Friday, November 14, 2014

Yess Ma'am : Part 2 : Bab 9

Bab 9
“Mas, saya dah siapkan senarai barang kering yang awak kena order dari supplier.”    Aryana letak senarai bahan-bahan mentah yang perlu dipesan oleh Mastura  di tepi mesin wang. 
Mastura yang baru selesai memulang duit baki kepada pelanggan merenung Aryana dengan pandangan mencerun tajam.  Wajah Aryana ditenung garang silih berganti dengan senarai barang  di atas meja kaunter. 
“Lan suruh saya tolong awak periksa stok-stok bahan kering.  Ini saya dah siapkan list.  Nanti bolehlah awak hantar pada supplier.”  Tutur Aryana senang.  Asalnya kerja-kerja memeriksa stok bahan kering bukanlah termasuk dalam tugas hakikinya, tetapi sebab Razlan dah suruh, dia buat jugaklah. 
Sejak dua menjak ini Razlan agak sibuk dengan tugasnya sebagai CEO di Bersatu Teguh Bercerai Roboh Properties sehingga jarang ada waktu untuk ke mari.  Sebenarnya Aryana baru tahu yang Razlan juga adalah CEO di Bersatu Teguh Bercerai Roboh Properties.   Dia memang tak sangka lelaki simple seperti Razlan merupakan anak lelaki Tan Sri Ahmad Bakhtiar.  Rupa-rupanya restoran ini dibuka adalah sekadar tempat untuk Razlan menghilangkan stress dengan kerja pejabatnya sahaja. 
Chef Mior pula sibuk memantau kerja-kerja mengubahsuai cawangan terbaru House of Grill di Wangsa Maju jadi semua hal berkaitan dengan restoran di sini diuruskan oleh Mastura selaku orang kepercayaan Razlan.  Terasa bukan senang nak urus semua benda, bagi meringankan bebanan tugas yang ditanggung oleh Mastura, Razlan telah meminta Aryana untuk membantu Mastura.  Bagi permulaan, Aryana cuma diminta sekadar memeriksa stok bahan kering dan basah di dalam pantry sahaja. Lain-lain benda Mastura yang uruskan.  Lagipun Mastura sudah biasa untuk deal dengan supplier. 
“Ehh…Kau ni dah kenapa nak arah-arahkan aku pulak ni.  Kau bos ker.” 
Jerkahan Mastura yang tidak semena-mena itu membuatkan Aryana terkebil-kebil.  Beberapa pasang mata di dalam restoran ini semua terarah ke kaunter bayaran.  Pekerja-pekerja di dapur turut sama bergegas apabila mendengar suara Mastura tiba-tiba memetir.
Aryana pandang wajah Mastura yang macam nak telan dia hidup-hidup.  “Tak adalah.  Lan bagitahu saya, kalau pasal deal or order bahan dari supplier tu kerja awak.  Jadi saya bagilah senarai yang dah buat ni.”  Balas Aryana dalam nada yang terkawal walaupun saat ini dia memang dalam keadaan bengang  yang amat sangat. 
“Ehhh…Kau tak nampak ker aku tengah sibuk dengan customer nih.  Supervised budak aku kena buat.  Jaga kaunter aku kena buat.  Order barang aku kena buat.  Habis kau buat apa jer.  Sia-sialah Lan gajikan kau kerja dekat sini kalau semua benda tetap juga kau nak suruh aku buat.”  Hambur Mastura lagi.
Mata Aryana terasa panas.  Ada titisan halus menitis dari tubir matanya.  Aryana malu sangat bila dicerca di hadapan orang ramai macam ni.  Macam dia ni tak ada maruah ajer.  “Mas, saya tak kisah tau kalau awak nak saya tolong order bahan-bahan mentah ni semua tapi tak perlu la jerit-jerit dengan saya macam tu.  Saya bukan pekak.”  Tutur Aryana terus berlalu masuk ke dalam pejabatnya.  Di situ dia menangis sepuas-puasnya.  Sudah dikatakan, hati wanita bergelar ibu tunggal ini sensitif.  Sedangkan dijentik sikit pun air mata boleh menitis hiba, inikan pula terkena tikaman kata-kata pedas lagi menyakitkan hati itu.  Sekejap lagi banjirlah tempat ini!

Entah kenapa dalam keadaan sedih-sedih begini, yang terlintas di kepala adalah Ilham.  Aryana keluarkan telefon dari dalam beg tangan.  Dalam keadaan tersedu sedan dia mencari nombor telefon Ilham di dalam direktori. 
“Hello abang…”  Ucap Aryana.  Tisu dipekup pada batang hidup.  Sekuat tenaga dia menghembus hingus yang sudah mula bersarang di rongga hidung. 
“Yana….Kenapa nih???”  Ilham menyoal risau. 
“Abang…Yana sedih sangat hari ini.”  Ujar Aryana. 
“Kenapa nih.  Yana cakap dengan abang.”
“Yana baru lepas kena maki ni abang.”  Aryana mula mengadu domba.
“Kena maki?  Siapa yang maki Yana.  Berani orang tu yer maki-maki Yana.”  Ilham mula tunjuk emosi.  Terasa dia juga turut sama merasai kesengsaraan yang dialami oleh Aryana kini.  Ini bukti.  Jiwa yang sudah cukup sebati sukar untuk dipisahkan.
Aryana kesat air mata.  Hingus dihembus lagi.  “Adalah minah satu tempat kerja dengan Yana nih.  Yana sedih la abang.  Yana tak pernah pun buat salah dengan dia kenapa dia mesti nak marah-marah Yana.  Depan customer pulak tu.”  Adunya lagi. 
“Yana, Yana jangan risau.  Abang akan cuba dapatkan peguam yang terbaik untuk Yana.  Kita buat saman malu.  Suka-suka hati ajer.”  Balas Ilham tunjuk gaya hero.
“Saman?”  Aryana pelik.
“Yerlah.  Saman tetap saman!!!”  Ilham seperti sudah nekad.  Dia tidak boleh terima andai Aryana dimalukan sedemikian rupa. 
“Abang ni dah kenapa melebih-lebih pulak. Takkanlah benda macam ni pun nak panggil lawyer sampai nak saman menyaman ker.  Ingat hakim dekat mahkamah tak ada kerja lain ker?”  Tutur Aryana memindahkan rasa bengang dengan Mastura tadi kepada Ilham pula.  Memang benganglah kan kalau tengah stress-stress macam ni ada orang buat lawak bodoh yang tak lawak tu!
Ilham tahan rasa nak ketawa bila mendengar suara bengkek Aryana.  “Alahh…Abang prihatin dengan Yana jer.  Tapi abang pelik la, sebab kena maki sikit macam ni pun Yana nak meleleh-leleh air mata dah kenapa.  Setahu abanglah Yana ni iron lady.  Payah nak mengalir air mata.”
“Yerlah.  Yana sedihlah.  Yana ni baru lepas kena tinggal dengan laki tiba-tiba ada orang marah-marah Yana macam tu.  Yana ingat boleh lah dapat kawan baru tapi belum apa-apa dah kena sembur.”
Dahi Ilham berkerut memandang telefon bimbit di tangan.  Ehh…eh…Kau ni kan Yana dalam mengadu domba sempat lagi perli-perli aku.  Ilham berkata sendiri.
“Apa abang cakap tadi??!”  Aryana bersuara nyaring di hujung talian.
Ilham tampar mulut sendiri.  Dia cakap kuat ker tadi?  “Dah lah.  Tak payah nak sedih-sedih sangat.  Kalau rasa tak tahan kerja dekat situ berhenti ajer kerja.  Selesai masalah.”  Akhirnya Ilham memberi jalan penyelesaian.
Aryana gigit bawah bibir. 
“Tak pun, mari sini kerja dengan abang.  Tempat PA abang ni masih kosong lagi.”  Cadang Ilham dengan senyuman nakal.
“Jangan nak ambil kesempatan di atas kesakitan yang Yana tanggung sekarang yer abang.”  Pesan Aryana. 
“Encik Ilham meeting nak mula dah.” 
“Abang ada meeting yer.” Aryana menyoal apabila dia mendengar suara Kak Midah.
“Haah.”  Jawab Ilham.
“Okey tak apalah.  Abang pergilah meeting.” 
“Yana dah okey ke ni.  Kalau tak okey abang sanggup tak pergi meeting semata-mata untuk ‘okey’kan Yana.”  Bersungguh Ilham mahu membantu.
“Yana dah okey.  Rasa dah puas hati dah dapat luah dengan abang walaupun hakikatnya tak membantu apa pun.”  Balas Aryana.
Ilham mengekek ketawa.  “Okeylah kalau macam tu.  Abang masuk meeting dulu.  Babai.  Assalamualaikum.”
“Waalaikummusalam.” 
Aryana pandang sepi telefon yang dah mati.  Tanpa sedar bibir menyuring senyum.  Nasib baik ada best friend tau!

“Awak…” 
Sapaan di ambang pintu pejabat membuatkan Aryana tersentak.  Senyuman terukir dibibir hilang.  Aryana simpan kembali telefon bimbit. 
“Lan”  Aryana sekadar menyapa kembali bila Razlan datang menghampirinya.  Terkejut juga bila tengok Razlan tiba-tiba ada di sini.  Biasa waktu begini lelaki ini sepatutnya berada di pejabat.  Untung jadi bos-bos ni.  Boleh berada di mana-mana dan bila-bila masa tanpa ada yang marah. 
“Apa dah jadi tadi nih.  Betul ker Kak Mas marah awak depan pelanggan.”  Razlan terus bertanya.  Sebaik tiba tadi, heboh di dalam dapur tentang pertelingkahan yang terjadi antara Aryana dan Mastura.
Aryana menggeleng perlahan.  Dia ukir senyum kelat.  “Tak ada apalah.  Mungkin salah saya jugak kut tadi tu.  Dia tengah sibuk-sibuk layan pelanggan saya pergi letak list barang depan dia.  Saya okey.  Awak jangan risau okey.”  Tutur Aryana tidak mahu mengeruhkan keadaan.  Ikut hati memang bengang sangat dengan Mastura, tetapi disebabkan niatnya adalah untuk berkerja dan bukan nak mencari musuh, tidak mengapalah.  Biarlah orang buat kita asal kita tak buat orang. 
“Tapi Sarah cakap awak menangis tadi.  Tengok mata awak merah.  Sembab pulak tu.”  Razlan memandang wajah Aryana. 
Pandangan lembut Razlan buat Aryana jadi tak selesa.  Saban hari layanan Razlan pada dia semakin pelik.  Caring lebih pula.  “Ngeee…Budak Sarah ni kan.  Saya dah pesan pada dia banyak kali tadi tak payah nak kecoh-kecoh.  Tak ada apa-apa, awak.  Nangis sikit ajer.  Perempuan…Biasalah…Tapi sekarang saya betul-betul dah okey.  Serius.”  Tutur Aryana bersungguh.
Razlan mengangguk-angguk kemudian dia berdehem.  “Tadi tu awak cakap dengan siapa?”  Soalnya teragak.
“Bila?”  Soal Aryana sepatah.
“Dalam telefon tadi?  Saya terdengar perbualan awak tadi.  Awak cakap dengan siapa.  Abang awak?”
Aryana ketawa kecil.  “Abang?  Bukanlah.”
“Habis tu dengan siapa?”
“Tadi tu saya cakap dengan bekas suami saya.”  Aryana menjawab jujur.
“Hah…”  Mulut Razlan sudah ternganga.
Aryana angguk kepala.  “Ya.  Bekas suami saya.”
“Awak tak pernah bagi tahu yang awak pernah berkahwin.”
“Awak tak pernah tanya.”
“Okey, kalau dia bekas suami awak kenapa awak perlu bercakap dengan dia.”
Aryana makin pelik.  Eh…Suka hatilah kan nak cakap dengan siapa pun.  Sah-sah bil telefon aku yang bayar.  Getus Aryana sekadar di hati.  “Awak…tak boleh ker kalau saya nak bercakap dengan bekas suami saya.  Lagipun saya dah terbiasa setiap kali kalau saya tengah ada masalah memang dengan dia saya akan kongsikan. Lagipun masa saya tengah emosi tadi, saya cuma ingat dia sorang ajer.”
“Errmm…”  Razlan hilang kata.  Dia mengeluh perlahan.    
“Lan.”  Panggil Aryana pendek.
  “Apa dia?”
“Saya nak mintak sangat dengan awak, tak payahlah nak besar-besarkan isu ni ya.  Saya pun malas nak ambil port sangat dengan hal tadi.”  Pinta Aryana.
Razlan sekadar mengangguk.  “Sambung kerja.”  Ujar Razlan sebelum meninggalkan Aryana.
“Yes boss!!” 




4 comments:

Unknown said...

bersatu teguh bercerai roboh properties.. kelakar okeyyhhh kak ila.. kahkahkahh... peribahasa pon jalannn.. ;)

sweety said...

satujan ilham dan aryana semula..plssssss

dxyy said...

Kak, cepat sambung yee kakkkk. Tak sabar ni nak tahu kesinambungan kisah yana dgn ilham. Lama dah tggu ni, hehehe

Unknown said...

After reading a few chapter tak sabar nak baca novel...best sgt!