Thursday, November 8, 2012

Kupilih Hatimu 2

Bab 2


Intan dan Nadia hanya bersarapan dengan nasi lemak sambal sotong dan teh ais yang dibungkus dari warung depan Telekom Pasir Putih itu. Kerana Intan perlu segera ke kedai mereka membuat keputusan untuk bersarapan di kedai Auntie May sahaja. Selesai bersarapan Intan memulakan tugasnya seperti biasa dengan mengemas-ngemas di bahagian depan dan menyapu lantai. Nadia dibiarkan sahaja termangu-mangu seorang diri selepas bersarapan kerana gadis itu nampaknya masih mahu melepak di sini.

“Wahh… Cantiknya beb. Kau ker yang gubah.” Soal Nadia. Matanya masih memandang kagum jambangan bunga yang terdapat di dalam peti sejuk di dalam kedai Auntie May. Sahabatnya itu memang berbakat. Setiap dari sentuhan Intan tidak pernah mengecewakan. Pelanggan Blooming Florist pun sudah semakin bertambah ramai. Kebanyakkan mereka datang ke mari kerana begitu menyukai setiap jambangan bunga yang dihasilkan di sini. Tambah-tambah lagi bunga-bunga di sini segar-segar belaka kerana setiap hari pembekal bunga dari Cameron Highland akan menghantarnya sendiri ke sini.

Intan yang sedang menyapu lantai berhenti sebentar. “Bukanlah semua. Ada yang aku gubah, ada yang Auntie May gubah.” Ujarnya bersahaja sebelum menyambung menyapu kembali.

“Eh..kenapa Auntie May tak masuk hari ni.” Soal Nadia lagi sibuk ingin tahu.

“Dia bukan tak masuk. Dia lewat sikit. Hari ni ada hari anugerah dekat sekolah Carolyn. Selesai majlis di sekolah Carolyn barulah dia masuk.” Intan menjawab.

“Owhh..” Nadia mengangguk-anggukkan kepala.

Intan malas mahu melayani Nadia yang masih lagi duduk menyibuk di dalam kedai Auntie May. Tangannya masih lincah bekerja. Sampah yang sudah dikumpul setempat dikaut dengan penyodok sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah. Selesai menyapu dia menyertai Nadia yang masih lagi duduk di kerusi berhadapan dengan meja kerja.

“Yang kau ni dah kenapa melepak dekat sini. Dah tak ada kerja. Mama kau tu dah la suka melenting. Nanti dengarlah speaker radio dia tu berbunyi. Nadia… Nadia…” Intan cuba mengajuk cara Auntie Kamalia menjerit memanggil nama Nadia. Dia pelik apabila diwaktu yang sepatutnya semua orang sudah patut berada di tempat kerja masing-masing, si Nadia boleh kelepek di kedai bunga Auntie May pula. Nanti tak pasal-pasal dia dituduh mengajar Nadia ponteng kerja.

Nadia hanya ketawa melihat Intan cuba mengajuk cara ibunya itu. “Alah… Telinga aku dah immune dengan bunyi suara mama aku tu. Lagipun aku cuma tolong-tolong ajer sementara nak dapat kerja yang lagi bagus. Tak apalah kalau nak kelepek sekejap-sekejap.” Kata Nadia bersama tawa yang masih bersisa.

Intan menggeleng kepala. Mentang-mentang butik pengantin itu ibu Nadia yang punya boleh pula dia suka-suka hati kelepek merata-rata pada waktu bekerja. Kelepek sekejap-sekejap? Nadia duduk di kedai Auntie May ini sudah hampir satu jam!

“Beb, baliklah kat butik mama kau tu. Aku banyak kerja ni.” Intan cuba untuk menghalau Nadia keluar. Dia perlu segera menyusun baldi-baldi di hadapan kedai ini. Sekejap lagi lori bunga dari Cameron Highland akan tiba.

“Kau ni kan… Macamlah aku nak sangat lepak dekat sini. Aku tengah tunggu lori bunga tu juga. Mama aku ada pesan fresh flowers color biru untuk majlis pertunangan customer kita orang. Kelas kan. Fresh flowers color biru. Cantiknya Intan… Aku pun dah berangan-angan kalau aku kahwin nanti nak pakai fresh flowers jugak.” Beritahu Nadia dengan teruja. Matanya sudah menjuling naik ke atas sambil membayangkan betapa indahnya konsep perkahwinan dalam taman yang selalu dia idam-idamkan. Di mana akan terdapat beribu-ribu kuntum mawar segar yang akan menghiasi setiap tempat. Dia pula akan memakai gaun pengantin ala-ala Kate Middleton dan diiringi pengiring-pengiring kecil yang turut sama memakai gaun kembang sambil membaling kelopak-kelopak mawar kepadanya. Nadia tersenyum panjang.

Intan menggeleng-gelengkan kepala. Bola matanya dijuling ke atas. “Berangan!!” Ujarnya kuat membuatkan Nadia terpaksa kembali kepada paksi yang asal. “Kalau nak macam tu kau kenalah usaha dengan lebih keras lagi. Takkan nak harapkan mama kau sponsor kut. Tahulah mama tauke butik pengantin, tapi dia pun mestilah kena buat kira-kira jugak untuk tunaikan impian perkahwinan kau yang mengalahkan artis popular tu.” Sedas Intan sebiji tepat terkena batang hidung Nadia.

Nadia mencebek. “Alahh… Aku kan anak perempuan tunggal dalam keluarga. Mestilah mama aku tak kisah kalau nak spedo majlis perkahwinan dalam taman aku tu nanti. Dia pun takkan nak jatuhkan reputasi dia dengan buat majlis kahwin anak sendiri ala kadar. Aku jamin, mesti grand. Silap hari bulan tiga hari tiga malam tau!” Balas Nadia sedikit bangga.

Kali ini Intan hanya mampu mengukir senyuman. Nadia benar. Dia adalah anak perempuan tunggal di dalam keluarganya. Ibunya memeliki perniagaan butik pengantin. Manakala bapanya pula seorang doctor yang mempunyai klinik sendiri. Tentu sahaja pendapatan keluarga Nadia sangat lumayan. Pasti sahaja apa yang dihajati Nadia akan ditunaikan seperti menghadiahkan Nadia sebuah Myvi sebaik sahaja Nadia tamat pengajiannya di universiti. Dia pula? Nak dapat kasih sayang pun terpaksa menagih dari orang ini kan pula berhajat nak macam-macam. Intan pasrah. Dia tahu, Allah telah aturkan yang terbaik untuk setiap hambanya. Allah juga tidak akan membebankan hambanya pada apa yang mereka tidak mampu.

“Hai Intan….” Sapa Pak Su Khalil tiba-tiba.

Intan dan Nadia sama-sama terkejut. “Pak Su buat kat sini.” Suara Intan sedikit meninggi. Dengan tidak semena-mena dia menjadi marah dengan kehadiran Pak Su Khalil yang secara tiba-tiba ini.

“Alah… Dekat sini tak payahlah nak berpaksu-paksu. Panggil abang kan lagi sedap.” Ujar Khalil dengan nada cuba menggoda.

Intan menjeling tajam. Lelaki ini bagai tidak faham Bahasa Melayu setelah banyak kali dia memberi amaran agar jangan terus-terusan menganggu kehidupan dia. Intan tidak suka Khalil. Dari dahulu Khalil suka mengganggu hidupnya. Intan sudah lama mengetahui niat Khalil berkahwin dengan Mak Su selain disebabkan oleh harta Mak Su yang banyak, adalah kerana lelaki itu mahu cuba rapat dengan dirinya. Tidak logik seorang lelaki muda seperti Khalil mahu berkahwin dengan perempuan yang jauh lebih berusia. Mak Su berumur 40 tahun sedangkan usia Khalil baru menginjak ke angka 28 tahun. Modes operandi Khalil mudah. Berkahwin dengan Mak Su, bolot semua harta Mak Su dan kemudiannya bercerai dan berkahwin dengan Intan pula. Mudah bukan? Semudah kehidupannya kini yang siang malam makan minum tempat tinggal ditaja oleh Mak Su semuanya.

“Intan ni, dari dulu sombong dengan Abang. Sekarang dah duduk serumah pun nak sombong-sombong buat apa.” Kata Khalil lagi seraya tangannya sudah mula merayap naik ke muka Intan. Dengan pantas tangan itu di tepis.

“Baik Pak Su jaga tingkah Pak Su. Jangan sampai Intan bagi tahu pada Mak Su apa yang Pak Su buat dekat belakang dia. Pak Su ingat Intan tak tahu ker, yang selama ni Pak Su ada perempuan lain dekat luar. Pak Su ingat Intan tak tahu, yang Pak Su nak bolot harta Mak Su jer kan.” Sedas Intan lancar. Mukanya merah menahan marah.

Khalil memerhati Intan yang sudah mula mahu menyinga. Dia tersenyum sinis. “Bila Intan marah, makin cantik.” Katanya lembut menggoda. “Bai sayang. Malam nanti kita jumpa di rumah okey. Muahh..” Ujarnya bersama muncung yang sedikit menjuih dan mengeluarkan bunyi ‘muahh’ yang agak meloyakan sebelum berlalu pergi.

Sejurus Khalil pergi cepat-cepat Nadia menghampiri Intan. “Gilalah. Bila Mak Su kau kahwin dengan Khalil?” Soalnya laju. Terasa dia begitu ketinggalan jauh kerana tidak mendapat berita sensasi ini.

“Mama kau tak cerita ker?” Intan bertanya pelik.

“Dah tiga bulan.” Beritahunya ringkas terus menyambung kembali tugas yang terhenti. Sengaja dia berbuat demikian kerana malas mahu menjawab soalan-soalan lain yang bakal di soal oleh Nadia.

Nadia hanya mencebek. Jika Intan tidak mahu bercerita dengan lebih lanjut pasti dia akan bertanya kepada ibunya nanti bagaimana Mak Su Intan yang berusia itu mendapat anak ikan seperti Khalil.

Suasana di dalam kedai Auntie May kembali tenang. Nadia tidak lagi mengganggu Intan yang sedang bekerja. Dia hanya duduk di kerusi sambil bermain-main dengan daun-daun bunga yang masih tertinggal. Kemudian dia berlalu pula ke luar kedai.

“Intan…Intan…” Panggil Nadia tiba-tiba. “Intan cepatlah Intan.” Panggilnya lagi sekali apabila Intan tidak mengendahkan panggilannya tadi. Bahu sahabatnya yang sedang menyusun baldi-baldi untuk mengisi bunga dicuit-cuit.

“Apa dia kau ni!” Kata Intan sedikit marah.

“Tu.. Pakwe Korea kau dah sampai.” Nadia menjuihkan bibirnya menghala ke arah lori bunga Uncle Lee yang sudah pun berhenti di hadapan kedai Auntie May. Intan mengalih pandang. Muka yang masam mencuka tadi kini secara automatic telah menjadi semanis gula. Senyuman manis terukir dibibir sebaik sahaja melihat Micheal Lee turun dari lori. Micheal pula seperti biasa, membalas senyuman itu.

Sejak sebulan lepas hati Intan selalu berbunga-bunga setiap kali melihat lori Uncle Lee tiba. Malah setiap hari tak sabar dia menanti kedatangan lori Uncle Lee itu. Seperti mana segar dan berkembangnya bunga-bunga ros yang dibawa dari Cameron Highland begitulah juga hatinya tatkala setiap pagi akan berbalas senyuman dengan anak teruna Uncle Lee itu.

Nadia mengerling Intan yang mula bersikap malu-malu kucing. “Ellehh… Patut kau tak senangkan masa Khalil datang tadi. Rupanya kau tengah tunggu apek tu kan.” Ujar Nadia sedikit berbisik. Sengaja bahunya dilaga-laga dengan bahu Intan. Intan sekadar menjeling ke arah Nadia yang sedang tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Hello Intan. Lama tunggu Uncle.” Seperti biasa Uncle Lee menyapa ramah gadis Melayu yang berkerja di kedai bunga adik iparnya ini.

“Tak adalah.” Intan menjawab mesra. Sambil-sambil itu matanya mencuri-curi pandang Micheal yang sedang mengangkat raga-raga bunga ke bawah sebelum dipindahkan ke dalam baldi-baldi yang telah diisi air tadi.

“May mana?” Uncle menyoal sambil matanya mengitari kawasan kedai. Dia terjenguk-jenguk di dalam kedai mencari bayang-bayang adik iparnya itu.

“Auntie May pergi sekolah Carolyn. Carolyn dapat nombor satu dalam peperiksaan. Jadi hari ni majlis penyampaian hadiah. Petang sikit baru Auntie May masuk kedai.”

Owhh… Uncle mengangguk-anggukkan kepalanya. “Carolyn memang bijak maa. Kalau you tanya nanti dia mahu belajar dekat university mana, mesti dia akan jawab mahu pergi belajar sampai UK, macam Micheal. Kalau tanya apa cita-cita bila besar, mesti jawab mahu jadi enggineer macam Micheal jugak lor…” Cerita Uncle Lee sambil ketawa.

Intan dan Nadia yang mendengar cerita Uncle Lee itu turut sama buat-buat ketawa. Kadang-kadang pelat Uncle Lee dan bahasa Melayu yang berbelit-belit itu agak menyukarkan mereka untuk memahami apa yang Uncle Lee katakana. Tapi mereka buat-buat dengar dan buat-buat faham sahajalah. Bila Uncle Lee ketawa, mereka ketawa jugaklah. Jika tidak kasihan pulak melihat Uncle Lee ketawa syok sendiri. Sendiri buat kelakar, sendiri ketawa.

Uncle Lee melabuhkan punggung di atas ruang rak yang kosong sedikit itu. Topi di kepala di tanggalkan lalu dibuat kipas. “Sekarang banyak panas maa..” Uncle Lee sekadar berbahasa.

Intan hanya ketawa kecil. Dia sudah faham taktik Uncle Lee itu jika mahu meminta air minuman untuk menghilangkan dahaga. Dia masuk ke dalam kedai. Seketika kemudian dia keluar semula bersama dengan dua kotak air kotak berperisa teh bunga. Satu diberikan kepada Unlce Lee satu lagi dipegang sahaja. Nanti apabila Micheal selesai menyusun bunga-bunga di dalam baldi dia akan berikan kepada lelaki itu.

Uncle Lee menyambut huluran air kotak itu dengan senyuman. “Banyak baiklah lu.. Boleh jadi menantu gua.” Uncle Lee berseloroh.

Serta merta muka Intan berubah menjadi warna merah. Terasa hangat wajahnya kini apabila Uncle Lee mengusiknya sebegitu. Dari jauh dia dapat melihat, wajah Micheal yang putih itu turut sama bertukar menjadi merah. Adakah selama ini dia sahaja yang menyimpan perasaan pada Micheal atau sebenarnya kami sama-sama menyimpan rasa yang sama.

“Uncle kalau saya. Boleh tak jadi menantu uncle.” Nadia tiba-tiba mencelah.

“Lu sapa?” Soal Uncle Lee.

Nadia mencebek. “Alah… Uncle Lee ni. Buat-buat tak kenal. Nadia dari butik depan tu la.” Beritahu Nadia.

Uncle Lee ketawa mengekek apabila melihat Nadia menarik muka. “Owhh.. itu butik depan ya. You punya mama ada pesan itu bunga ros biru bukan.”

“Yerlah.” Nadia menjawab geram.

“Ada..ada… Tapi ros biru sikalang banyak mahal maa…” Ujar Uncle Lee sedikit mengeluh.

Nadia menarik senyum kembali. “Customer kita orang tak kisah. Janji ada. Duit tak ada masalah.”

Uncle Lee mengangguk-angguk. “Okey…okey. Nanti I mintak Micheal kasi hantar terus ke kedai lu.” Ujarnya seraya terus menyedut baki air kotak sebelum kembali bangun untuk menyambung kerja mengeluarkan bunga-bunga yang masih ada di dalam lori.

“Tak payah. Saya boleh bawak sendiri lah Uncle Lee.” Ujar Nadia pula berpura-pura mahu menolak pertolongan Uncle Lee itu.

“Tak usah. Tak usah. Banyak maa…” Uncle Lee kelam kabut cuba menghalang apabila Nadia sudah mula mahu naik ke belakang lori Uncle Lee untuk menarik keluar bakul bunga ros biru yang besar itu.

Nadia mengekek ketawa. Intan yang memerhati sekadar menggeleng-geleng kepala melihat Nadia yang kadang-kadang gemar menyakat Uncle Lee. Suka benar Nadia apabila melihat Uncle Lee kelam kabut begitu.

“Micheal, nanti lu kasi hantar itu ros biru dekat kedai pengantin depan tu okey.” Arah Uncle Lee pula kepada Micheal yang baru selesai menyusun ke semua bunga di dalam baldi.

“Okey papa.” Micheal menjawab senang.

Semasa Nadia sedang rancak berborak dengan Uncle Lee, Intan sengaja menghampiri Micheal yang sedang berehat sebentar di belakang lori. Air kotak ditangannya dihulurkan kepada Micheal yang senang menyambut dengan sekuntum senyuman. “Terima kasih.” Ujar Micheal yang cukup lancar berbahasa Melayu. Straw dikeluarkan dari plastic lalu dicucuk ke dalam kotak air. Teh bunga disedut penuh nikmat.

“Untung Uncle Lee kan. Ada anak rajin macam Micheal. Dahlah hensem, rajin, engineer dekat oversea pulak tu.” Ujar Nadia kuat. Sengaja dia menguatkan suaranya agar dapat didengari oleh merpati dua sejoli yang berada di belakang lori. Intan dan Micheal yang mendengar suara lantang Nadia itu tidak berkata apa. Hanya masing-masing sekadar tersenyum dan berbalas pandangan sebelum sama-sama bergerak untuk menyertai Uncle Lee dan Nadia yang masih lagi rancak berbual.

“Dia hensem ikut waa maa…” Sampuk Uncle Lee pula. Ibu jarinya menghala ke diri sendiri. Intan dan Micheal yang mendengar ketawa serentak.

“Yerker?” Nadia buat muka. Dia bertanya kerek.

“Yer lorr.. Like father, like son.” Uncle Lee menjawab bersama kening yang sudah menari ronggeng.

Intan mengangguk kepala laju kepada Nadia agar mengiyakan sahaja kata-kata Uncle Lee itu. Dia tidak mahu perbualan mesra Nadia dengan Uncle Lee itu menjadi semakin panjang dan semakin mengarut kerana lagi lama Uncle Lee ada di sini, lagi tidak tentu arah dia jadinya. Apatah lagi, apabila ada Micheal entah kenapa, jantungnya akan mula berdegup deras tidak seperti biasa.





Setelah selesai semua tugas Micheal dan Intan berjumpa senyap-senyap di belakang lori. Seperti biasa juga, perjumpaan mereka adalah atas bantuan dari Nadia. Jika tiada Nadia yang pandai memanupulasikan keadaan dengan sengaja mengajak Uncle Lee berborak di hadapan tidak mungkin mereka boleh berjumpa begini.

“Minggu depan saya akan pulang ke London semula. Cuti saya sudah habis.” Beritahu Micheal tanpa diminta.

Intan sembunyi wajah hampa. Jika begitu entah bila lagilah dia boleh bertemu dengan Micheal lagi.

“Okey. Good luck.” Balas Intan malu-malu. Sekejap-sekejap, matanya dihala ke tempat lain. Takut jika mata kami berdua bertentangan.

Micheal mengangguk-angguk. Setiap kali berhadapan dengan Intan, dia sering kehilangan perbendaharaan kata. Dia seperti tidak tahu apa perkataan yang patut dia guna untuk mewujudkan kemesraan mereka berdua. Intan juga begitu. Bila ditanya sepatah, Intan akan menjawab sepatah. Bila dia bertanya banyak patah perkataan pun, Intan tetap akan menjawab sepatah juga.

“Owh…sekejap.” Micheal beriaksi seperti baru mengingati sesuatu. Dia segera ke hadapan lori untuk mengambil beg kertas yang ada di tempat duduk hadapan.

“For you.” Katanya seraya menghulurkan beg kertas itu. Intan sekadar menyambut sahaja. Beg kertas sudah bertukar tangan.

“Okeylah. Saya pergi dulu.” Ujar Micheal meminta diri.

“Okey.” Intan pula sekadar mengangguk.

“Lepas ni saya rasa saya akan rindu awak.” Balas Micheal antara dengar dan tidak sebelum dia terus masuk ke dalam perut lori.

Muka Intan menjadi hangat dengan kata-kata Micheal yang baru didengarinya tadi. Ah.. Kalaulah lepas ini Micheal tidak lagi menghantar bunga, haruslah dia juga akan merindui Lee Dong Wook celup itu.

Sebaik sahaja lori Uncle Lee berlalu, Intan dan Nadia cepat-cepat melihat isi di dalam beg kertas yang diberikan oleh Micheal tadi.

Mata Nadia membuntang. “Strawberry. Choclate. Lagi!!” Katanya sepatah-sepatah. Kemudian Nadia mula menarik sengih.

“Kelas!” Ujar Nadia sambil mengekek ketawa pula. Bahu Intan dicuit membuatkan gadis itu turut sama ketawa.

“Kelaskan!” Kening Intan sudah mula menari ronggeng. Dia mengiyakan kata-kata Nadia itu.

“Seminggu sekali dia mesti bagi kau strawberry choclatekan. So korang dah kenal sebulan. Sebulan ada empat minggu. Makanya dah empat kalilah Micheal tu bagi kau strawberry chocolate kan.” Kata Nadia selepas selesai membilang-bilang dengan jari berapa kali temannya itu sudah menerima strawberry bersalut chocolate istimewa itu.

Intan hanya tersenyum. Tiada kata yang mampu dia katakan. Dia terasa seperti bahagia setiap kali menerima strawberry chocolate dari Micheal. Bekas plastik jernih berisi strawberry tadi diletakkan di atas meja di dalam kedai.

“Sah. Sah. Sah.” Nadia berkata serius.

Dahi Intan berkerut. “Apa yang sah.” Soalnya kurang faham.

“Micheal Lee tu pun sebenarnya suka dekat kau. Cuma dia belum ada keberanian ajer nak luahkan dekat kau.” Ujar Nadia membuat konklusi.

“Yer ker?” Intan menyoal kembali. Kurang yakin dengan kesimpulan yang dibuat oleh Nadia itu. “Dia kan Cina. Aku Melayu. Takkanlah dia suka dengan gadis Melayu yang kerja dekat kedai bunga macam aku ni.” Ujar Intan sedikit merendah diri. Dia bergerak menuju ke rak bunga. Beberapa kuntum bunga ros berwarna putih dan merah ditarik keluar. Dia perlu menyiapkan satu lagi gubahan untuk pelanggan.

“Alah… Apa masalahnya. Semuanya tak mustahillah.” Tukas Nadia laju. Dia kini bergaya seperti seorang pakar kepada masalah hati dan perasaan pula. “Tapi…Tapi…Tapi…” Jari telunjuk Nadia terangkat. “Kalau kau nak hubungan kau dengan dia masuk ke fasa yang seterusnya, pastikan Micheal Lee kena tukar menjadi…..”

“Ahmad Mikail Lee Abdullah.” Intan menyambung tanpa sedar.

Mata Nadia membulat lagi. “Kau memang syok kat dia kan.” Dia memandang tepat ke dalam mata sahabatnya itu.

Intan terdiam. Wajah terasa hangat. Rasa macam nak tampar-tampar mulut sendiri kerana terlalu cabul. Kut iya pun itu nama yang selalu bermain-main difikirannya semenjak jantung mula berdebar terpandangkan Micheal, tak perlulah sampai nak bagi Nadia tahu. Intan takut jika Nadia akan mula membahankannya dengan modal yang baru. Iyalah. Belum apa-apa sudah pandai berfikir sejauh itu.

“Pantas! Dah siap plan nama baru untuk mamat tu lagi.” Tebak Nadia lagi dengan kening terjongket-jongket.

Intan menutup mukanya dengan kuntuman-kuntuman bunga ros yang ingin digubah nanti. Dia segera berlalu masuk ke dalam kedai semula. Nadia semakin galak ketawa.

“Alah… Aku tak rasa pun dia syok dekat aku.” Intan bersuara rendah.

“Itulah kau. Orang lain semua dah pakai telefon bimbit canggih-canggih kau telefon bimbit biasa pun tak ada. Kalau ada kan senang. Bolehlah kau pas nombor telefon kau dekat dia. Boleh sms. Boleh sembang-sembang. Boleh kenal hati budi masing-masing.” Tempelak Nadia pula.

Intan mencebek bibir. “Tak payah nak tunggu aku pakai telefon bimbitlah baru boleh nak kenal hati budi masing-masing, kalau betul dia syok dekat aku, kenapa tak dia ada banyak peluang untuk cakapkan. Ini tak ada pun.” Intan bersuara lagi.

Dahi Nadia berkerut hebat seperti memikirkan sesuatu. “Dia malu kut. Kau ni agak-agaklah nak suruh dia luahkan perasaan pada kau. Kau pun sepatah dia tanya, sepatah kau jawab. Mestilah dia ada rasa segan.” Katanya mudah. “Alah… dah nampak sangatlah yang dia memang syok dekat kau, kalau tak takkanlah setiap minggu dia bagi kau strawberry chocolate nih!” Ujarnya lagi seraya menunjukkan beg kertas yang berisi strawberry chocolate tadi.

Tiba-tiba bunyi irama ringtone Never say Good Bye. Intan dan Nadia tercari-cari dari mana datang bunyi itu. Ketika mengeluarkan bekas strawberry chocolate yang diberi oleh Micheal mereka berdua-dua sama-sama tercengang melihat ada kotak telefon bimbit baru di dalamnya. Kotak telefon bimbit itu dibuka. Dan ternyata, bunyi ringtone itu tadi datangnya dari telefon bimbit ini.

“Jawablah.” Nadia mengarah.

“Taknaklah.” Balas Intan ragu-ragu. Dia sekadar memandang telefon bimbit yang masih menjerit itu.

“Jawabbbbb!!” Arah Nadia lagi dengan sedikit geram.

“Hee…llloo..” Intan menjawab panggilan telefon itu dengan suara yang sedikit gagap. Mendengar suara dari hujung talian, Intan sudah tahu siapa orangnya. Lama-lama bibirnya mengukir senyum bahagia. Lama-lama perbualan mereka menjadi mesra. Lama-lama dia telah seperti melupakan Nadia yang ada disebelahnya dan hanya tersedar apabila Nadia buat-buat batuk berulang kali. Selepas hampir setengah jam berborak di telefon talian ditamatkan. Senyuman masih lagi belum lekang dari bibir Intan.



“Micheal kata telefon ni dia bagi aku. Hadiah.” Ujar Intan tanpa diminta. Dahinya berkerut sambil melihat telefon bimbit yang berada di dalam tangannya.

Mulut Nadia melongo. Dia turut sama memandang telefon Blackberry itu.

“Dia kata, dia hadiahkan telefon bimbit ni pada aku supaya senang nanti dia nak call aku. Soal bil tak payah risau. Dia yang akan bayar. Aku guna ajer.” Kata Intan sedikit kurang gembira dengan pemberian hadiah yang tidak disangka-sangkan ini.

“Serius?” Nadia menyoal tidak percaya. “Bertuahnya kau. Belum apa-apa dia dah sudi nak spedo bil telefon.” Nadia bersuara sedikit sinis.

Intan sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata Nadia itu malah dia mula menayang sengih pula. Gaya Nadia seperti cemburu apabila dia menerima hadiah mahal ini dari Micheal. “Aku pun tak hadaplah Nad. Nanti aku ingat nak pulangkan baliklah telefon bimbit ni.” Ujar Intan meluahkan apa yang terbuku di hatinya sejak Micheal memberitahu yang telefon ini hadiah daripanya untuk dia.

“Eh kau gila. Rezeki jangan ditolak. Maut jangan dicari. Dia dah bagi. Ambil ajerlah.” Nadia menentang.

“Tapi aku tak naklah. Aku tak perlukannya. Mahal kut!” Balas Intan.

“Mahal tak mahal dah dia bagi kau ambil ajerlah. Bukan kau yang minta. Lagipun inilah satu-satunya cara untuk kau selalu berhubungan dengan dia kan.” Balas Nadia pula.

“Nad, aku dengan dia tak ada apa-apa jadi mana boleh suka-suka hati dia bagi aku hadiah mahal macam ni.” Intan bersuara polos.

Nadia mengetap bibir. “Ngeee…” Dia mengetus geram. “Sekarang memanglah tak ada apa-apa, tapi dengan telefon ni la kau akan ada apa-apa dengan dia. Eh.. Kau boleh tak jangan jadi lurus sangat.” Nadia melempiaskan marah. Dari dahulu sehingga sekarang Intan memang begitu. Lurus tak kena tempat. Sebab itulah apa sahaja yang Mak Su Maria lakukan Intan tabah menerima tanpa ada rasa mahu mempertahankan diri. Padahal kalau ikut logik, Intan yang dah besar begini, boleh sahaja kan nak larikan diri dari cengkaman Mak Su Maria yang kejamnya mengalahkan emak tiri Cinderella. Huh!!

Intan mendiamkan diri. Dia cuba mencerna kata-kata Nadia yang seperti peluru torpedo itu.

“Boleh tahan romantic juga apek Cameron Highland ni kan. Dah la bagi strawberry coklat. Lepas tu kasi hadiah telefon mahal pulak tu.” Ujar Nadia lagi, kembali mengukir sengih mengusik.

Intan yang mendengar tersengih-sengih malu.

“Ellehh.. Sukalah tu. Ada orang syok kat dia.” Giat Nadia. Lengan Intan disendeng dengan lengannya.

Muka Intan merona merah. Walaupun ada rasa malu, tetapi rasa bahagia tetap terselit sedikit bila Nadia mengusiknya begitu.

“Dah… dah lebih baik kau balik sekarang juga. Pergilah balik kat tempat kerja kau . Aku nak buat kerja ni. Layan kau tak siap gubahan bunga untuk customer aku ni nanti. Dah lah nak datang ambil pukul satu karang.” Balas Intan sudah tidak mahu lagi berborak-borak kosong dengan Nadia. Rasanya hari ini tak banyak kerja dapat dilakukan selain dari melayan Nadia sahaja.

“Hish.. Yerlah.. Yerlah… Dah dapat telefon baru terus halau aku. Nak sambung borak dengan Micheal la tu.” Ujar Nadia berpura-pura merajuk.

“Bukanlah. Tapi aku ada kerja ni. Nanti Auntie May balik tengok kau lepak dekat sini, tak pasal-pasal aku kena marah.” Ujar Intan.

“Yerlah. Yerlah. Tapi bagilah aku sikit strawberry chocolate tu.” Pinta Nadia dengan muka yang tidak malu.

“Ambil lah sikit. Jangan kau habiskan semua sudahlah. Lepas ni kau balik ya. Aku dah ada pelanggan ni.” Sempat Intan berpesan lagi sebelum dia melayan pelanggan yang baru sahaja memasuki kedai Auntie May.

“Yerlah.” Sahut Nadia seraya terus memenuhkan buah-buah strawberry bersalut coklat itu didalam kedua belah tangannya yang dirapatkan. Selepas itu dia keluar dari kedai bunga Auntie May sambil menyanyi dengan hati yang girang.



















No comments: