Thursday, November 8, 2012

Kupilih Hatimu 1

Bab 1


Pagi yang seperti biasa. Cuma hari ini dia bangun tidur agak awal sedikit. Sempat dia menghabiskan bacaan surah Yassin untuk disedekah kepada arwah ayah sementara menunggu masuk waktu Subuh tadi. Selesai solat, Intan terus bersiap untuk ke tempat kerja. Walaupun rutin kerjanya bermula pada pukul lapan pagi, tetapi dia lebih gemar untuk pergi awal. Tambahan pula, hari ini Auntie May, tauke kedai bunga tempat dia bekerja masuk agak lewat. Dialah yang bertanggungjawab untuk membuka pintu kedai.

“Intan, bila kau nak berhenti kerja dekat kedai bunga tu.” Soal Mak Su Maria ketika Intan baru sahaja mahu menuju ke dapur.

Langkah Intan terhenti di tepi meja makan. Kelihatan Mak Su Maria sedang bersarapan pagi. Pak Su Khalil pula sedang terlentang di depan televisyen sambil sedap berdengkur. Mungkin Pak Su Khalil menonton bola sehingga ke lewat malam. Kerana itu pagi ini dia masih lagi terlentang di ruang tamu rumah bersama tin Coca-Cola dan bungkusan kacang cap Ngan Yin.

“Kenapa pula Intan nak berhenti kerja Mak Su?” Soal Intan kurang faham. Sudah bertahun dia bekerja di kedai bunga milik Auntie May. Sejak dia habis SPM lagi. Dia sudah seronok bekerja di situ. Apatah lagi mendapat majikan seperti Auntie May yang sangat bertimbang rasa.

Mak Su Maria merengus. “Kalau kau berhenti kerja senang. Bolehlah kau tolong aku dekat restoran tu.” Balasnya sedikit kasar.

Intan mengerut dahi. “Selama ni pun kan memang Intan tolong Mak Su dekat restoran tu pun kan.” Intan menjawab kembali.

“Tu bila malam jer. Habis siang-siang, macam mana?” Mak Su Maria mula meninggikan suara apabila Intan seakan-akan terlalu bodoh untuk memahami maksud kata-katanya itu..

Intan menelan air liur. Dia menjeling Pak Su Khalil yang semakin galak pula bunyi dengkurannya. “Mak Su kan ada pekerja Mak Su sendiri. Dah kenapa pula siang malam pun Intan nak kena tolong Mak Su dekat kedai.” Intan menjawab berani. Kadang-kadang dia sudah tidak larat lagi untuk bekerja siang malam. Siang-siang dia perlu bekerja di kedai bunga Auntie May. Malam pula, Mak Su mengerah tenaganya untuk bekerja di restoran Mak Su. Setiap malam dia bekerja di restoran Mak Su tanpa ada bayaran diterima kerana Mak Su pernah berkata, bayaran tersebut telah dipotong untuk membayar bilik, bil api air dan makan minum selama dia masih lagi tinggal bersama Mak Su. Kadang-kadang Intan pelik. Berapa ringgit sangatlah maintenance hidupnya di rumah ini sehingga semua gaji di restoran itu Mak Su ambil malah ¼ gaji yang diterima hasil dari bekerja di kedai bunga Auntie May pun Mak Su minta juga. Katanya gaji di kedai bunga Auntie May itu adalah bayaran untuk melunaskan hutang yang pernah arwah ayah pinjam daripada Mak Su dulu. Bila difikir-fikirkan dia terasa seperti hamba Mak Su, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Selalu dia berpesan pada diri agar biarkan sahaja Mak Su mengambil kesempatan seperti itu, anggap sahaja itu semua sebagai balasan untuk dia membalas ehsan Mak Su yang sudi memelihara dia selepas ayah meninggal dunia.

Bukan dia tidak mahu membantu Mak Su di gerai siang dan malam, tetapi Intan tau, Mak Su majikan yang agak kejam. Mengerah tenaga pekerja teruk-teruk, tetapi bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Intan lelah.

Mak Su Maria menjegilkan biji matanya. “Kau ni kan Intan, kalau tak menjawab cakap aku tak boleh ker. Kau tau tak, daripada aku gajikan orang lain, biarlah aku gajikan kau.” Herdik Mak Su Maria lantang. Intan yang mendengarnya sekadar terkulat-kulat.

“Lagipun, si Baim tu dah berhenti kerja. Dapat kerja kontrak katanya.” Sambung Mak Su Maria lagi menggendurkan suaranya.

“Baim tu lari kut dah Mak Su bayar gaji pun ciput, siapa yang tak lari.” Mulut Intan kumat kamit menjawab perlahan. Suaranya antara dengar dengan tidak sahaja.

“Apa dia kau cakap tadi.” Soal Mak Su Maria seperti mendengar ada suara yang sedang memerlinya.

Intan cepat-cepat menggeleng laju. “Tak ada apa-apa.” Katanya dengan muka penuh confident. Mata Mak Su Maria mencerun memandang Intan.

Air liur yang ditelan terasa berpasir di kerongkong. “Kenapa Mak Su tak suruh suami baru Mak Su tu ajer yang kerja dengan Mak Su. Dari duduk dekat rumah ni, lebih baik dia tolong Mak Su dekat kedai. Lagi ada faedah.” Ujar Intan sambil muncung menjuih ke arah Pak Su Khalil yang masih lagi lena.

“Kau nak mengajar aku pulak ker.” Soal Mak Su keras. Suaranya memetir.

“Tak adalah… Orang…”

Mak Su Maria pantas memotong sebelum Intan menghabiskan kata-katanya. “Dah..dah.. Kau nak pergi kerja kan. Pergi..pergi.. nanti lagi lama aku bercakap dengan kau makin menyakitkan hati aku. Kau dengan mak kau tu sama ajer. Mak kau menyusahkan abang aku. Kau pulak menyusahkan hidup aku. Kau orang anak beranak ni memang membawa sial sahaja di dalam keturunan aku.” Getus Mak Su Maria sengaja mahu mengungkit kisah ibu Intan.

Intan tersentak apabila Mak Su membangkitkan soal ibunya. “Apa Mak Su ni. Kalau marah Intan, tak payahlah babit-babitkan ibu pula.” Ujar Intan sebelum terus berlalu pergi.

Sekali lagi apabila soal ibu yang diungkitkan oleh Mak Su, hati Intan bagai disiat-siat. Ibu bercerai dengan ayah ketika dia di tingkatan tiga lagi. Ibu memohon cerai selepas ayah lumpuh akibat kemalangan jalan raya. Selepas sah penceraian ibu keluar dari kampung dan tidak lagi kembali. Kini sudah hampir lapan tahun Intan tidak mendengar khabar ibu. Ibu sihat atau tidak dia tidak tahu. Sebelah sisi jiwanya sangat-sangat merindui ibu, manakala sebelah sisi lagi, ada rasa marah yang berbuku. Kenapa ibu harus memilih untuk bercerai dengan ayah ketika ayah sedang sakit. Ibu tidak mahu hidup susah, sedangkan ketika kami sekeluarga hidup senang kami sangat bahagia.

Ayah meninggal dua tahun selepas ibu pergi meninggalkan kami. Kemudian, Mak Su Marialah yang menjaga Intan. Sejak itulah kehidupan dia, Intan Nuraini semakin tersiksa. Mempunyai Mak Su yang garang, dan juga Pak Su yang bermata keranjang sangat-sangat mencabar diri dan kesabaranya. Terasa dia mahu lari sahaja dari sini, tetapi dia tidak tahu mahu lari ke mana. Mujur ada Nadia dan Auntie May yang sudi menjadi tempat dia meluah perasaan. Jika tidak pasti dia gila menanggung beban ini seorang diri.

Pinnn!!

Intan tersentak apabila mendengar bunyi hon kereta yang panjang itu. Dia menoleh. Nadia sedang menurunkan cermin keretanya.

“Kenapa tak tunggu aku. Berjalan pun menonong ajer.” Tegur Nadia dari dalam keretanya.

Tanpa menjawab soalan Nadia itu Intan terus masuk ke dalam perut kereta Nadia. Dia melepaskan keluhan kasar.

“Mesti Mak Su kau cari ungkit pasal ibu kau lagi kan.” Tebak Nadia yang sudah seakan tahu apa yang membuatkan mood Intan kurang baik hari ni.

Intan hanya mendiamkan diri. Dia lempar pandangan ke luar tingkap kereta.

Nadia turut sama mengeluh perlahan. “Tak apalah. Kau mesti belum sarapan kan. Lagipun awal lagi ni. Aku bawak kau sarapan dulu. Aku belanja.” Pujuk Nadia.

Sedikit-sedikit Intan tersenyum kecil. Dia mengalih pandang pada Nadia yang sudah mula menolak gear ke huruf D. Sayangnya dia pada Nadia kerana setiap kali dia gusar dan berdepan dengan masalah pasti Nadia ada untuk buat dia selalu rasa selesa.