Tuesday, November 11, 2008

Baju Pengantin Mak Andam Bab 7

BAB 7
Perjalanan hampir tiga jam dari Ipoh ke Putrajaya terasa amat memenatkan. Sampai di rumah sewa Aleeya terus masuk ke dalam bilik dan merebahkan badan di atas tilam toto yang sudah sedia elok terbentang. Barang-barang yang dibawa dari kampung hanya dilonggokkan ditengah-tengah ruang tamu rumah pangsa yang tidak berapa besar itu. Ikan masin, belacan, taucu, kicap sehingga cili jeruk semua diangkut ke Putrajaya. Buah jampu Tapah yang dibeli di Hentian Rehat dan Rawat tadi juga turut dilonggokkan bersama. Ikutkan hati malas nak mengangkut segala macam benda itu, tapi setelah emak membebel tepi telinga terpaksa juga diturutkan.

“Kat sana tu bukan senang nak dapatkan ikan masin, belacan, taucu yang sedap macam kat Ipoh ini. Bawak ajerlah. Simpan dalam peti sejuk. Kalau nak masak senang. Tak payah nak tercari-cari.” Aleeya tersenyum sendiri mengingat kata-kata emak pagi tadi sebelum berangkat pulang. Memanglah. Telinga aku dah tahan kebal, kalis maki, dengan suara emak. Sampai nak balik pun, kena tadah telinga lagi.
Itu cerita di rumah sebelum bertolak pulang. dalam perjalanan pulang mengikut Lebuh Raya Utara Selatan lain pulak kisahnya. Niat dihati mahu berhenti sekejap di Perhentian Rehat Dan Rawat Tapah hanyalah untuk membuang hajat yang ditahan sejak kereta yang dipandu mula masuk melepasi pintu tol Simpang Pulai tadi. Tapi hati macam terpanggil nak beli buah jambu Tapah yang sememangnya cukup popular disini. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang dah sampai, baik beli ajer takut nanti menyesal. Ketika mahu membayar harga buah jambu yang dibeli, tiba-tiba ada suara yang menegur dari arah belakang.
“Aleeya.”
Automatik leher Aleeya terpusing melihat gerangan si empunya suara yang memanggil namanya itu.
“Zain??”
Aleeya kerut dahi. Zain angkat kening.
“Buat apa kat sini?” Apa punya soalan bodoh yang aku tanya. Dah terjumpa dekat RnR. Mestilah datang nak makan, tak pun nak melepaskan hajat atau macam apa yang aku tengah buat sekarang ni. Beli buah jambu yang dah cukup femes satu Malaysia.
“Rehat kejap. Nak makan. Kau?” Zain bertanya kembali.
“Aku beli ni.” Aleeya menjawab sambil menunjukkan beg plastik buah jambu yang sudah pun dibayar harganya.
“Jom makan sekali. Teman aku. Bosanlah kalau duduk makan sengsorang.”
Aleeya menimbang-nimbang. “Okey.” Terus berjalan ke deretan kedai-kedai makan yang ada di hentian itu.
Zain mengikut jejak dari belakang. Angin apa pulak yang melanda makcik sorang ni. Terus agree cakap okey ajer.
Aleeya dan Zain duduk di satu meja kosong bahagian kanan tepi gerai.
“Minum adik manis?” Zain bertanya sambil buat gaya pelayan dekat mapley tengah ambil order.
“Bos, kasi milo suam, taknak milo taknak susu, letak air suam ajer.” Pinta Aleeya.
Zain angkat kening. Dahi dah nampak berkerut. Pening memikirkan jenis air milo yang baru diminta oleh Aleeya. Kemudian dia memandang Aleeya yang sedang ketawa. Ciss!!.. Baru dia terperasan. Cakap la nak minum air suam. Ayat punya panjang. Milo suam la. Tak nak milo lah. Taknak susu lah. Point penting cuma nak minum air suam ajer. Mangkuk tingkat Cap Kuda Belang betul la budak Aleeya ini.
“Air suam ajer.” Zain bertanya kembali. Dilihat Aleeya masih mengekek ketawa.
“Dapat kau tangkap yer?”
“Aku memang pantas bab tangkap menangkap ni.” Zain balas.
“Yer la tu. Yo yo oii ajer. Aku tengok dahi kau tu berkerut-kerut nak paham apa aku mintak tadi.” Aleeya balas balik.
Zain diam. Tercari-cari patah perkataan untuk membalas balik ayat-ayat Aleeya. Akhirnya yang cuma keluar. “Banyak lah kau.”
“Hilang kata? Atau… dah tak tau nak kata apa lagi?” Aleeya senyum.
Zain diam.
Aleeya sambung ketawa. “Yes!!.. Aku menang.”
“Kasi can.” Zain terus berlalu menuju ke gerai yang menjual air.

“Air suam satu siap!!” Zain datang membawa dulang yang berisi segelas air suam, teh o ais dan semangkuk bihun sup. Gelas air suam tadi diletakkan dihadapan Aleeya. “Betul taknak makan ni.” Dia bertanya kembali.
Aleeya menggelengkan kepala tanda tidak mahu. “Aku on diet”
“Elleh.. badan kurus cekeding macam anak cicak lagi mahu diet.”
Aleeya membulatkan biji mata. Kurang asam jawa, asam boi, tempoyak masam punya mamat. Berani sungguh mengata aku depan-depan yang aku ni macam anak cicak. Sungguh tak berinsurans mulut dia itu. Wei!!.. Aku anak orang lah bukan spesies cicak.
Aleeya cuma mendiamkan diri. Malas mahu bertikam lidah dengan orang yang tengah sedap-sedap menikmati bihun sup di dalam mangkuk itu. Kalau tercekik nanti tak pasal-pasal aku dituduh cuba mengapa-apakan Mat Zain ini pulak.
“Kau nak balik mana?”
“Putrajaya.”
“Pricint?”
“Sebelas.”
“Ooo…” Zain menyambung kembali menghirup kuah sup di dalam mangkuk.
“Kau?” Turn Aleeya pulak bertanyakan soalan.
Zain mengangkat muka memandang muka Aleeya yang tak beriak itu.
“Bandar Baru Bangi.”
“Ooo.. aku selalu jugak pergi Bangi. Training futsal dengan budak-budak office.”
“Kat maner.”
“Active Futsal.”
“Aku selalu jugak training futsal kat situ. Dah lama kau join team futsal.”
“Baru lagi. Itu pun lepas kena paksa join team department aku untuk tournament futsal antara department. Nak taknak aku kena join la. Kira macam paksa relalah. Biasa aku tengok orang ajer main bola.”
“Kalau bola kau sokong mana.”
“Kejor Yoep Kejor.”
“Sungguh bersemangat kenegerian. Kalau luar negara.”
“M.U.”
“Ini sah sebab David Bekham.”
“Mana tau ni?”
“Perempuan..”
Dari sesi perkenalan bertukar menjadi sesi sembang-sembang sukan hari ini. Semua cerita yang ada kena mengena dengan bola sepak mahupun futsal semua terkeluar. Dari cerita skuad tempatan sampai masuk international, dua-dua layan ajer. sampai licin kuah sup di dalam mangkuk, kering air di dalam gelas.
Melihat mangkuk dihadapan Zain sudah licin berkilat, Aleeya angkat punggung mahu pulang.
“Nak pergi mana.”
Apa jenis soalan entah. “Balik la. Jauh lagi perjalanan ni.”
“Naik apa.”
“Aku ni budak perempuan besar yang ada lesen bawak kereta tau. Naik kereta la. Takkan kereta lembu.”
Zain tersengeh. Memanglah naik kereta. Kalau naik kereta lembu sampai hari Ahad bulan Januari tahun depan pun tak akan sampai. “Parking kat mana.”
“Sana tu.” Sambil mulut menjuih ke arah yang ditunjuk.
“Aku kat sana?” Zain tunjuk pakai jari telunjuk.
“So?”
“Okey lah.” Zain bangun dari kerusi. Dia berjalan menyaingi Aleeya. Aleeya mula menukar haluan ke arah kanan menuju tempat parking kereta manakala Zain pula menuju ke arah kiri.
“Aleeya!!”
Aleeya menoleh kebelakang. Kelihatan Zain berlari-lari anak ke arahnya.
“What?”
“Kau ada hutang dengan aku?”
Aleeya mengerut dahi. Mak oii.. duit air suam tadi pun nak kena bayar balik ker. Aleeya yang macam tak berapa nak paham terus mengeluarkan wang kertas satu ringgit dan dihulurkan kepada Zain. “Keep the change.”
“Apa ni.”
Dah tak kenal duit lagi ker. “Duit la. Takkan tisu tandas.”
“Untuk apa?”
“Air suam tadi.”
Zain ketawa. Hatoii.. sakit kepala aku. Mau aku kena cepuk dengan Rizal sama Syam kalau diorang tau aku claim balik duit air awek ni tadi. Buat malu kaum sejenis ajer.
“Aku maksudkan nombor telefon kau la makcik. Bukan duit milo suam, taknak milo, taknak susu, letak air suam ajer tadi.” Not satu ringgit tadi dikembalikan semula ke tangan Aleeya. Tangan sebelah sudah menyeluk ke dalam poket seluar. Telefon bimbit Nokia N81 sudah tersedia ditangan.
Aleeya menimbang-nimbang dikotak fikiran sama ada wajar atau tidak nombor telefonnya diberikan kepada Zain. Takut juga kalau kena terima gangguan teknologi setiap malam. Lama dia terdiam.
“Leeya, kita kawan kan.” Zain separuh merayu. Dia buat muka seposen..dan lima sen…dan…satu sen..
Aleeya menghembus keluhan perlahan. “0125844411”
Tangan Zain pantas menari-nari di atas keypad menaip nombor-nombor yang baru keluar dari mulut Aleeya. Kemudian dia menekan ke butang ‘call’.
Deringan bunyi telefon bimbit dari beg tangan Aleeya membuatkan Zain senyum. Aleeya mengeluarkan telefon bimbitnya dan menunjuk kepada Zain nombor yang sedia tertera di skrin.
Zain senyum. “Jangan lupa save nombor aku tu. Nombor exclusive milik lelaki terhangat dipasaran.” Dia terus berlalu pergi.
“Citt!!” Aleeya juga terus menuju ke kereta.

“Wah!!.. Leeya banyak bawak balik bekalan dari kampung. Tengok ni. Macam-macam ada.” Mulut Iwa pot..pet..pot..pet sambil tangan sibuk mengemas barang-barang yang dibawa oleh Aleeya dari kampung tadi. Apa punya anak dara entah, main longgok ajer dekat tengah-tengah rumah segala macam ikan masin, belacan ini semua. Lepas tu boleh sedap landing atas toto.
“Mak aku kata tu untuk bekalan dunia akhirat.” Slumber Aleeya bersuara dari dalam bilik air. Mengekek dia ketawa mendengar Iwa yang sibuk membebel di dapur. Habislah aku. Ketua rumah dah bising.
“Leeya lambat lagi ker?” Anis nak bising dekat luar pintu bilik air. “Aku nak mandi ni. Kau buat apa lama sangat kat dalam tu.”
Aleeya hanya buat tak tahu. Tapi dari luar pintu bilik boleh dengar jelas suara dia ketawa gelakkan Anis diluar pintu bilik air.
Anis di luar dah panas berasap. Badan dah melengas semacam ni. Aleeya kat dalam bilik air boleh pulak bersiram lama-lama. Bukan apa tu. Sebenarnya makcik tu dah lama siap mandi. Tapi sebab nak sangat sakitkan hati aku sajer ajer dia duduk lama-lama dalam bilik air tu. Gila apa kalau sejam tak habis mandi lagi. “Nak kena yer kau Leeeya dengan aku.” Melintas idea nakal dalam kepala Anis. Lalu dia masuk ke toilet di sebelah bilik air. Ambil secebuk air lalu dibaling ke dalam bilik air. Aleeya yang tengah sedap-sedap mandi bersiram air rasa macam nak terlompat sampai terhantuk siling bilik air dengan serangan yang tak disangka-sangka itu.
“Wei main kasar ek.?” Jerit Aleeya dari dalam bilik air.
Tiada sebarang jeritan balas dari tandas disebelah. Selang beberapa saat. Bushh!!!!.. secebok lagi air dari tandas sebelah masuk dalam bilik air.
“Wah main kasar ek. Nak main-main sangat.” Kata Aleeya dalam hati. Kali ini dia hanya membatukan diri. Nak lawan perang mesti kena atur strategi. Aleeya dapat mendengar dengan jelas suara Anis yang bukan main lagi mengekek ketawa. Lalu, baldi yang berisi separuh air itu, ditimbang-timbang terlebih dahulu, sebelum lontaran dibuat. Satu, dua, tiga… gedebushh!!!...
“Arrgghhh!!!”bergema suara jeritan Anis. “Wah kau kasi lebih nampak.” Anis mula balas balik.
Aleeya dengan Anis main perang air berbentengkan dinding sebagai penghadang. Bingit dapur rumah dengan suara budak berdua ini. Iwa yang tengah sibuk memasak untuk makan malam hanya buat tak tahu. Dia cuma boleh menggelengkan kepala dengan perangai dua orang teman serumah yang tak ubah macam kanak-kanak Rebina.
“Hoi orang depan rumah.. Tak tau duduk diam ker?? Memekak ajer. menganggu ketenteraman awam sungguh.” Suara dari rumah hadapan yang cukup dikenali. Aleeya dan Anis terus diam menikus. Terjengkek-jengkek Aleeya keluar dari bilik air dengan berkemban sahaja. Anis juga. Mereka berdua ketawa bersama-sama apabila tidak pasal-pasal kena sound dengan jiran depan rumah.
“Wei kenapa Encik Izzat tu?” Anis berbisik kepada Aleeya.
Aleeya menggeleng kepala. “Tak tau. Kau tanyalah orang yang duduk sepejabat dengan Encik Izzat depan rumah kita tu.” Mulut menutur sambil telunjuk dituding ke arah Iwa yang sedang mengupas kulit ubi kentang.
“Naper dengan dia tu Iwa?” Anis mula mengajukan soalan kepada Iwa.
“Entah.” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Iwa. Malas mahu melayan dua orang yang masuk air dalam rumah ini.
“Encik Izzat tu bukan apa tu, stress la tu. Jiwa kacau wei.. Sebab tak berjaya nak ajak makcik tu keluar dating.” Aleeya bersuara kuat kepada Anis. Serentak mereka berdua ketawa.
Makcik yang mendengar dah mula merengus geram. Ubi kentang ditangan dibaling ke arah budak berdua yang sibuk bermesyuarat depan pintu bilik air. Mencicit kedua-duanya berlari masuk ke dalam bilik.

2 comments:

Anonymous said...

wakaka, best siot

Anonymous said...

wakaka, best siot