Thursday, November 8, 2012

Kupilih Hatimu 5

Bab 5


“Im, boleh tak kalau kau cuba belajar control marah kau tu sikit. Aku tau kau banyak masalah tapi kau tak bolehlah lepaskan semua masalah kau tu dengan marah-marah orang lain. Ini aku tengok budak perempuan tadi tu sampai biru muka dia bila kau marah dia macam tu.” Ujar Rafi ketika dia dan temannya itu bersarapan pagi di warung yang berhampiran dengan tapak projek pembinaan yang sedang dijalankan.

Imran yang baru sahaja mahu menyuap nasi lemak sambal sotong ke mulut terhenti seketika. Dia merengus kasar. “Salah budak tu. Siapa suruh dia mencabar aku. Dia ingat dia perempuan aku nak cakap baik-baik dengan dia.” Ujarnya masih lagi bersisa geram dek kerana terpaksa bertegang urat dengan seorang gadis awal-awal pagi tadi.

Rafi mengeluh perlahan.Kepalanya turut menggeleng perlahan melihat kelakuan Imran yang tidak pernah susut barang sedikit sikap panas barannya itu.

“Tengok. Ini mesti kes bergaduh dengan Lydia la ni. Lepas tu kau lepas dekat semua orang.” Tempelak Rafi. Kening Imran sedikit terangkat apabila nama Lydia dibangkitkan. Patah seleranya mahu bersarapan. Milo panas diteguk perlahan-lahan. Sakit hati apabila mengingat kembali bagaimana seronoknya Lydia berpeluk dengan Kamal ketika keluar dari kelab malam tempoh hari.

“Kelmarin dekat kelab aku nampak dia keluar dengan Kamal. Again! Boleh pulak dia selamba ajer buat tak tahu dekat aku ni. Aku ni kan tunang dia.” Imran membentak sedikit keras. Beberapa orang pekerja kontrak yang turut sama bersarapan di warung ini memandang ke arahnya sebelum masing-masing membuat hal sendiri kembali.

Rafi berdehem. “Kau bekas tunang dia.” Rafi membetulkan kenyataan Imran tadi.

Imran melepas keluhan berat. “Yerlah. Bekas tunang.” Kata Imran menerima kenyataan.

“Kau tau kan Romeo macam Kamal tu bercakap lemah lembut. Atur ayat baik punya. Bila Lydia merajuk cepat-cepat pujuk. Kau ada? Nak cuba berlembut dengan dia. Pantang ada yang tak kena marah! Ada yang tak kena marah! Lepas tu bila Lydia merajuk kau biar ajer. Aku rasa mana-mana perempuan pun takkan boleh tahanlah dengan sikap panas baran kau ni Im.” Sedas Rafi lagi seperti sengaja mencurah petrol ke dalam bara api di hati teman baiknya itu.

Megat Imran dahulu tidak begitu. Rafi mengenali Imran bukan baru semalam. Mereka telah bersahabat sejak sekian lama. Dari sekolah sehingga ke university. Imran yang dikenali sangat bertolak ansur dan tidak mudah melempiaskan rasa marah pada orang lain. Tetapi sejak terbongkarnya skandal antara arwah Tuan Megat Husaini dan setiausahanya, Imran berubah secara total. Sikap panas barannya semakin menjadi-jadi apabila Lydia memilih untuk memasuki bidang peragaan. Sebelum Lydia menjadi model, Imran masih lagi berlembut dengannya walaupun dengan orang lain pantang silap sedikit dia pasti akan menyinga. Tetapi kini, baik Lydia atau sesiapa sahaja jika ada yang tidak kena siaplah untuk berdepan dengan singa jantan yang kelaparan itu.

Imran cuba bertenang tatkala mendengar Rafi cuba berkata sinis tentang dirinya. Kemudian dia ketawa kecil apabila mengenangkan bagaimana perhubungan Lydia dan Kamal.Dia yakin Kamal itu hanya stok geli-geli untuk Lydia sahaja. Lydia yang dia kenali tidak mungkin akan bertahan lama dengan lelaki yang tidak punya apa-apa selain dari mulut yang manis seperti Kamal. Kamal hanya seorang juru gambar yang cuma tahu mengikis duit perempuan. Lama-lama nanti Lydia pasti akan kembali kepadanya kerana dialah satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati gadis itu.Imran yakin tentang perkara itu.

“Kau ni kenapa tiba-tiba ketawa pula?” Rafi menyoal apabila melihat Imran sedang ketawa kecil.

“Kau yakin ker Lydia betul-betul nak dekat Kamal tu. Aku rasa sekejap ajer tu. Nanti-nanti pasti dia akan kembali kepada aku. Selama ni pun kita orang memang on off selalu. Lepas tu dia tetap juga datang merayu pada aku untuk terima dia balik.Kalau setakat Kamal yang tak ada apa-apa tu aku tak rasa Lydia boleh bertahan lama. Paling lama pun tiga bulan.” Ujar Imran penuh yakin.Sejarah telah membuktikan. Setiap kali mereka putus, mereka akan sambung kembali.

Kali ini Rafi sudah mula tersenyum sinis. “Kau pasti? Sekarang kau tengok dah berapa lama dia tak call kau, tak sms kau. Sudah tiga bulan lebih bro. Tak ada pun dia datang merayu nak kembali pada kau balik macam selalu.” Balas Rafi pula.

Imran terdiam. Ketawanya mati serta merta. Dia melihat jam.Hari ini sebenarnya sudah dekat empat bulan Lydia tidak menghubunginya.Menghantar pesanan ringkas untuk merayu agar mereka bersama lagi juga dia tidak terima. Duduk Imran menjadi tidak kena. Dia risau jika kali ini Lydia benar-benar mahu berpisah dengannya secara total.Bukan putus-sambung-putus-sambung macam selalu.

Imran cuba positifkan diri. Mungkin kali ini lambat sedikit. Sebab kali ini mereka bukan putus cinta tapi mereka putus tunang!! Hatinya berbisik seraya menolak kata-kata Rafi yang lebih kepada momokan untuk dia.



Rafi cuba menahan ketawa melihat muka Imran yang mula berubah. Tiada lagi riak yang penuh keyakinan seperti tadi.Kini muka Imran menjadi cemerut.Ada riak gusar. Padan muka. Cemuh Rafi di dalam hati.

“Alamatnya hajat kau nak naik pelamin dengan Lydia hujung tahun ni kena postpone lagi lah kan?” Rafi memerli.

Imran hanya mendiamkan diri. Mungkin benar telahan Rafi. Dalam beriaya-iya dia dan Lydia merancang untuk melangsungkan perkahwinan hujung tahun ni pasti akan bertangguh lagi. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya.

“Aku dengar umi kau pun macam dah tawar hati ajer nak bermenantukan Lydia tu.” Rafi cuba mengorek rahsia.

Imran angkat muka. Dia mencerun memandang Rafi. “Mana kau tahu? Lydia bercerita dengan Diana?” Tebak Imran.

“Alah kau ni. Lydia dengan Diana tu kan kawan baik. Mestilah apa-apa ajer masalah Lydia tu dia akan bercerita dengan Diana.” Ujar Rafi.

“Umi aku start tak berkenan masa dia masuk modeling tu la. Kau ingat aku suka-suka tak bagi dia jadi model ker.” Balas Imran yang masih lagi pening dengan sikap umi yang tidak berkenan dengan pilihan hatinya itu.

Rafi mengangguk faham. Benda baik tentang Imran yang selalu buat dia rasa kagum adalah Imran seorang anak yang taat kepada uminya. Apa sahaja yang umi Imran kata, Imran pasti menurut. Cuma tentang Lydia sahaja yang dia berkeras sikit. Maklumlah, Imran dan Lydia berkawan sudah lama, takkan senang-senang nak putus macam tu sahaja walaupun putus sambung tu sudah menjadi perkara biasa dalam perhubungan mereka.

“Aku tak rasa Lydia tu nak balik pada kau. Aku rasa Kamal romeo tu layan dia sepuluh kali lagi baik dari kau layan dia. Jadi, buat apa dia nak balik pada kau yang tak habis-habis nak baran ajer. Lepas tu tak romantik langsung!” Sedas Rafi lagi. Imran ni pelik jugak orangnya. Dalam selalu kata sayang Lydia gila-gila tapi jarang sekali tengok dia bersifat romantic dengan gadis itu. Yang Imran tahu, kalau ada yang tak kena sikit keluarlah baran dia tu.

Kadang-kadang dia fikir tindakan Lydia untuk berpisah dengan Imran itu adalah satu tindakan yang bijak.Walaupun dia kurang gemar dengan perangai Lydia yang sedikit gedik dan poyo itu, tetapi gadis itu wajar untuk dikasihani juga. Lydia bersungguh-sungguh menjaga perhubungannya dengan Imran, apa yang Imran inginkan semua dia cuba tunaikan walaupun mereka belum mempunyai apa-apa hubungan yang sah. Cuma apabila Imran meminta untuk Lydia meninggalkan bidang peragaan diminatinya itu yang tidak mampu dia tunaikan.

Tetapi Imran sedikit pun tidak pernah menghargai. Dia terlalu sibuk dengan kerjayanya. Tidak pernah ada masa untuk Lydia. Kadang-kadang kalau berjumpa dengan Lydia hanya apabila dirasakan perlu sahaja. Sedangkan lumrah seorang perempuan tentulah mahu kekasih hati lebih memberi perhatian. Ada masa untuk makan bersama dan berkongsi cerita. Ini tidak Imran. Kalau jumpa pun mesti akan ada perkara yang akan buat keduanya berakhir dengan satu pertengkaran. Kemudian Lydia akan berpura-pura mahu memutuskan hubungan dan kemudian tidak sampai sebulan gadis itu akan menghubungi Imran untuk bersama semula. Begitulah pola perhubungan Imran dan Lydia sejak dahulu lagi. Memang Lydia sahajalah yang akan mengalah.

Imran merengus geram. “Kau ni dah kenapa Fi. Sengaja nak tambah panas aku? Panas dengan budak tadi pun tak habis lagi sekarang ni kau nak tambah lagi?” Bentak Imran keras.Topi keselamatan dicapai.Dia terus bangun lalu beredar dari warung Kak Mah.Rafi yang sedikit tersentak cepat-cepat membayar harga makanan dan minuman mereka berdua. Dia terkocoh-kocoh cuba menyaingi langkah Imran yang sudah jauh ke hadapan.

“Tak adalah aku cakap ajer. Dahlah, aku malas nak bertekak dengan kau pasal soal ni. Aku pun dah berbuih nasihat benda yang sama. Kau tak juga buat peduli.” Ujar Rafi apabila mereka sudah berjalan seiringan.

“Aku tak perlukan nasihat dari kau tu.” Balas Imran terus melangkah laju.

“Yerlah. Kau bos. Mana nak dengar nasihat pekerja macam aku ni.” Ujar Rafi sedikit rendah.Langkah Imran terhenti.Dia melihat Rafi yang sudah bermuka sepuluh sen.

“Sudahlah kau. Nak merajuk-merajuk pulak. Walaupun aku ni bos aku tak pernah pun layan kau sebagai pekerja aku tau selama kau kerja dekat company arwah bapak aku ni.” Ujar Imran seterusnya mahu mematikan soal Lydia yang boleh membuatkan moodnya menjadi tidak baik sepanjang hari.Topi keselamatan di pakai apabila sudah menghampiri ke tapak projek. Rafi tersengih sambil dia juga turut sama memakai topi keselamatan. Dia berjalan menghampiri Imran yang telah beberapa langkah ke hadapan.

“Macam mana projek dekat sini. Aku harap semua berjalan lancar.” Soal Imran. Kali ini intonansinya agak serius.Dia memerhati kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

“Jangan risau bos. Dekat sini semua okey. Insyaallah, bulan depan kita dah boleh masuk fasa terakhir.” Ujar Rafi. Pelan di tangan dibentang di atas depan Harrier Imran. Tangannya juga dihala pada pelan seolah-olah turut sama menerangkan tentang fasa-fasa projek pembinaan di sini.

Imran mengangguk-anguk mendengar penerangan panjang lebar dari Rafi itu.Dia berpuas hati dengan penerangan dari Rafi. “Bagus.” Pujinya seraya menepuk bahu Rafi. “Aku percaya pada kemampuan kau selaku pengurus projek yang aku lantik untuk handle projek pembangunan dengan Kinta Nusa tu.” Ujar Imran lagi.RayBan disangkut di telinga untuk menghalang silau dek kerana cuaca yang sudah mula meninggi.Dia berjalan di sekitar tapak projek.Rafi seperti biasa sedia menemani Imran memerhati keadaan di sini. “Aku nak projek ni siap seperti yang telah dirancang. Kau tahukan, ini projek besar pertama yang aku handle selepas ayah aku meninggal. Projek ni akan menjadi KPI untuk aku. Projek ni juga akan menjadi benchmark untuk ahli lembaga pengarah yang lain menilai kemampuan aku menguruskan syarikat ni.” Terang Imran penuh karisma.

“Yes bos!! Jangan risau.” Balas Rafi seterusnya membuatkan darjah keyakinan Imran naik lagi.Dia tersenyum puas. “Tapi kau selaku pengurus projek jangan pula abaikan kebajikan pekerja. Memang syarikat kita mengutamakan achievement tapi subordinates welfare tak boleh nak ambil ringan. Apa yang para pekerja inginkan jika relevan kita boleh tunaikan.” Ujar Imran lagi. Rafi mengangguk-angguk. Di satu sisi dia kagum dengan karisma yang ditunjukkan oleh Imran.Imran benar-benar mahu menjadikan syarikat binaan hasil titik peluh arwah ayahnya dahulu menjadi satu legasi pembinaan yang disegani. Disebalik wajah tidak berperasaan Imran, ada sifat kemanusiaan juga.Imran memang amat menitik beratkan kebajikan para pekerjanya.

“Berapa lama kau akan ada dekat sini?” Soal Rafi cuba mengalih topic yang lebih santai apabila mereka sudah mula menuju ke kereta.

“Lusa aku baliklah.” Ujar Imran. Topi keselamatan ditanggalkan.

“Okey….” Rafi mengangguk-angguk. “Esok kau jangan lupa. Kita ada meeting dekat pejabat Setiausaha kerajaan negeri.” Ujar Rafi cuba mengingatkan tentang agenda mereka pada esok hari.

“Takkanlah aku nak lupa. Sebab tu aku balik lusa.” Balas Imran.

“So malam ni kita nak buat apa?” Rafi bertanya bersama kening yang sudah terjongket-jongket.

“Ada kelab best ker area Ipoh ni.” Imran bertanya sedikit sarkastik.

“Kau nak? Ada ajer.” Rafi sudah mula ketawa nakal. Tetapi ketawanya itu tiba-tiba mati apabila wajah Diana bersama batang penyapu muncul di fikirannya.Dia berdehem. “Tapi aku semenjak dah kahwin ni, tak beranilah nak masuk tempat macam tu. Buat Diana tahu, tak pasal-pasal kau kena arah orang lain pulak yang handle projek dekat sini sampai habis.” Balas Rafi sedikit malu-malu.

Imran sudah mahu ketawa.Dia tahu Diana itu garang macam singa.Melihat keadaan Rafi yang mendapat isteri garang seperti Diana itu membuatkan dia sedikit sebanyak takut nak menamatkan zaman bujangnya. “Sebab tu aku belum rasa nak kahwin lagi. Aku tak mahu hidup aku kena control dengan seorang perempuan bernama isteri.” Balas Imran.

“Tapi kahwin best wooo….”Ujar Rafi seraya terus menaikkan ibu jarinya ke atas.Mukanya begitu ceria sekali menyebut kata-kata itu.Imran sekadar menggeleng kepala.

“Kau boleh pulak kan jadi weekend husband and wife.”

“Tak tahan juga tapi nak buat macam mana tuntutan tugas. Tu sebab aku doa cepatlah projek dekat sini siap. Ni tambah Diana dah mengandung. Hari-hari dia telefon aku merayu-rayu bila kerja aku dekat sini nak habis.” Cerita Rafi. Mukanya menjadi sugul apabila terkenangkan isterinya yang sedang mengandung itu sendiri di Kuala Lumpur.

“Kalau kau rasa nak balik KL kau cakap. Aku boleh gantikan tempat kau dengan orang lain.” Ujar Imran yang memahami kesusahan Rafi yang setiap minggu akan berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan isteri kesayangannya itu.

Rafi menggeleng laju. “Eh tak apa. Diana faham. Tapi biasalah. Pembawakan budak.” Ujarnya sambil tersengih.Dari sengih Rafi itu Imran tahu, tentu Rafi sedang melalui fasa yang menggembirakan dalam hidupnya.Maklumlah bakal menjadi ayah. Tidak lama lagi akan mendapat Rafi atau Diana Jr.

“Okeylah kalau kau dah cakap macam tu. Tapi ingat, kalau kau ada apa-apa masalah bagi tahu aku.” Balas Imran.

“So malam ni?” Rafi menyoal kembali soalan yang sama tadi apabila masih lagi tidak menerima kata putus dari Imran tentang rancangan yang boleh mereka lakukan pada waktu malam nanti.

“Kau bawak ajerlah aku pergi makan tempa yang best. Aku tak mahu makan dekat hotel.” Ujar Imran.

“Okey. Kalau macam tu apa kata kita pekena makanan Thai nak. Ada satu restoran ni, staff-staff aku selalu cerita makanan dekat sana sedap-sedap terutama sekali sup ekor. Kita try dekat situ nak?” Rafi memberi cadangan.

“Okey. Boleh. Tapi kau ambil aku dekat lobi hotel la yer. Aku malas nak drive.” Balas Imran.

“Set. Nanti lepas maghrib aku ambil kau dekat lobi hotel.”

“Orait.” Balas Imran.

Selepas itu mereka sama-sama bergerak ke kabin kontena untuk merehatkan badan sebentar sebelum meneruskan agenda yang telah dirancang untuk hari ini.

1 comment:

Anonymous said...

interesting..keep it up kak eila..:)