Wednesday, December 5, 2012

Kupilih Hatimu 15

Bab 15
Intan menanti di muka pintu bilik sehingga Puan Rahimah menamatkan ayat terakhir pada surah Yassin yang dibaca.  Sudah menjadi rutin Puan Rahimah, setiap malam Jumaat beliau akan membaca surah Yassin untuk disedekahkan kepada arwah suaminya. 
Apabila sudah lama bekerja dengan Puan Rahimah, Intan semakin selesa dengannya.  Puan Rahimah mungkin seorang yang sedikit cerewet tetapi dia juga adalah wanita yang baik.  Intan selalu berangan-angan untuk memilik seorang ibu seperti Puan Rahimah yang sentiasa mengambil berat tentang anak-anaknya. 
“Puan.  Ubat.”  Ujar Intan sebaik Puan Rahimah telahpun menanggalkan telekungnya. 
Puan Rahimah mengambil butir-butir pil dan capsule dari mangkuk kecil itu lalu dimasukkan ke dalam mulut satu persatu diselang seli dengan air masak.
Gelas diletakkan kembali di dalam dulang yang masih ditatang oleh Intan. 

“Terima kasih.”  Ucapnya seperti biasa.  Matanya merenung Intan yang masih lagi berdiri tegak dihadapannya.  Kelihatan gadis ini seperti ingin mengatakan sesuatu kepadanya.
“Awak ada benda nak cakap dengan saya ker?”  Puan Rahimah mula menyoal.
“Ermm…”  Intan menjadi teragak-agak untuk bertanya. 
“Apa benda ni Intan.”  Soal Puan Rahimah lagi. 
“Puan, puan tak nak bawak Puteri Farhana duduk dekat sini ker?”  Intan menyoal takut-takut. 
Soalan itu membuatkan Puan Rahimah terdiam.  Dia merenung Intan tidak berkelip.  Dada Intan berombak kencang apabila ditenung begitu oleh Puan Rahimah.  Dia menelan air liur sebelum berkata lagi.
“Puan, dia tak salah puan.  Tak patut dia dihantar di rumah anak yatim sedangkan dia masih ada keluarga.”  Intan mencuri nafas sebentar. 
“Puan, saya tau tahu dalam keras sifat puan, puan memiliki sifat seorang ibu.  Takkan puan tak simpati pada Puteri Farhana.  Dia anak arwah suami puan.  Walaupun dia bukan anak puan, tapi puan boleh sayang dia macam anak puan sendiri.”  Ujar Intan penuh berhati-hati.  Takut juga jika Puan Rahimah memetir.  Tetapi sebaliknya.  Puan Rahimah hanya tenang mendiamkan diri.  Intan tarik nafas lagi.
“Puan….”
Puan Rahimah mencelah sebelum Intan meneruskan lagi.  “Intan, saya dah nak tidur ni. Boleh awak tinggalkan saya.”  Pintanya lembut. 
Intan sekadar mengangguk sebelum keluar.  Diluar dia mengeluh perlahan apabila gagal memujuk Puan Rahimah agar mempertimbangkan kata-katanya tadi. 
Sebaik sahaja Intan keluar Puan Rahimah menangis semahu-mahunya selepas puas menahan sebak.Setelah tiga tahun dia tidak pernah memikirkan tentang perkara itu sehinggalah gadis itu berani membangkitkannya semula.  Ketika mendengar betapa beraninya Intan cuba mengungkit perihal Farhana tadi dia asalnya mahu sahaja menempelak gadis itu tetapi dek kerana sapaan lembut setiap nasihat dari Intan membuatkan hatinya berubah.  Kata-kata dari Intan itu benar-benar membuatkannya sedar.  Selama ini seluruh keluarganya telah mengabaikan Farhana.  Malah mereka sekeluarga tidak pernah mempedulikan kehadiran Farhana.  Amanat terakhir arwah suaminya mahu keluarga mereka kembali bersatu setelah ketiadaannya dipandang enteng.  Malah dengan kejam dia juga tidak pernah kisah akan tindakan Imran menghantar Farhana ke rumah anak yatim sebaik sahaja ibu bapanya selamat dikebumikan. 
Puan Rahimah sedar dia bukanlah seorang ibu yang baik jika terus membiarkan Farhana berada di rumah anak yatim.  Dia memasang tekad mahu menunaikan amanat terakhir arwah suaminya itu.  Jika dia menggunakan kuasanya sebagai seorang ibu, mungkin Imran juga boleh berubah hati dan membawa Farhana pulang ke pangkuang keluarganya. 

Nafas Imran turun naik.  Terasa dadanya sesak apabila umi tiba-tiba memanggilnya pulang awal semata-mata untuk membincangkan tentang perkara ini. 
“Kenapa tiba-tiba umi nak sebut nama budak tu.  Umi tahu kan keluarga kita tak ada kena mengena dengan dia.”  Imran bersuara sedikit keras.  Selama ini umi tidak pernah mempertikaikan tindakannya menghantar Farhana ke rumah anak yatim, tetapi hari ini Umi sendiri yang memintanya untuk membawa Farhana kembali ke sini.  Imran tidak boleh menerima Farhana.  Farhana tetap orang luar.  Dia tidak sepatutnya berada di dalam keluarga ini.  Fikir Imran.
“Imran dia adik Imran.  Sampai bila nak menolak hakikat yang Imran dengan Farhana adik beradik.”  Kata Puan Rahima lembut.  Air matanya menitis sedikit demi sedikit.  Bahu Imran dibelai.  Imran seperti arwah suaminya.  Walaupun bersifat panas baran, namun ada kelembutan di jiwa anak lelaki sulungnya itu.  Sifat lembut itu hanya boleh dilihat oleh orang yang begitu mengenali Imran. 
Imran bangun.  Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket slack yang dipakai manakala sebelah tangan lagi melonggorkan tali leher yang menjerut.   Dia menuju ke tingkap.  “Adik Imran cuma Amir ajer.  Dia tak pernah ada apa-apa ikatan baik dengan Imran, Amir atau pun Umi.”  Imran berkata seperti dia sudah memutuskan itulah hakikatnya. 
“Imran.”  Panggil Puan Rahimah.  Masih lembut. 
Imran memandang Umi kembali.  Dia mengeluh perlahan.  “Umi, kita dah janji kan tak akan cakap pasal hal ni?”  Ujar Imran.  Dia melutut mengadap umi.  Tangan umi dipegang erat. 
Puan Rahimah memandang tepat ke dalam mata Imran.  Kepala Imran diusap perlahan.
“Imran, Farhana anak walid Imran.  Dia ada hak dalam rumah ni macam Imran dan Amir.  Dalam syarikat.  Imran tak boleh senang-senang nak menafikan hak dia.  Umi rasa kita dah keterlaluan masukkan dia dalam rumah anak yatim tu sedangkan kita semua masih ada.  Umi rasa bersalah pada arwah walid Imran, sebab umi abaikan Farhana.”  Puan Rahimah masih lagi cuba membeli jiwa Imran. 
Imran bangun.  “Apa yang mama Farhana buat pada umi tak boleh nak dimaafkan umi.  Imran nampak sendiri macam mana dia cuba menggoda walid.  Dia mengambil kesempatan atas kebaikkan umi.”  Bentak Imran.  Dia tidak akan dapat melupakan bagaimana Marlia menggoda walidnya dahulu.  Imran tidak boleh menerima kenyataan bagaimana walid sanggup curang dengan umi yang ketika itu tidak berdaya dek kerana lumpuh akibat kemalangan jalan raya yang dialami. 
Lagi meninggalkan kesan dihati Imran adalah apabila dia sendiri menjadi saksi kecurangan walid dan pengkhianatan Marlia sewaktu mereka berdua sedang berasmara di atas katil di dalam bilik umi.  Waktu itu Umi berada dihospital akibat tekanan kerana lumpuh.  Sebagai seorang anak, hancur hatinya melihat walid yang cukup dihormati tergamak melakukan perkara terkutuk itu di dalam rumah mereka sendiri.  Imran sendiri telah menyuruh walid mengahwini Marlia jika hanya itulah satu-satunya cara yang dapat memuaskan nafsu walid sebagai seorang lelaki tetapi dengan syarat jangan sampai umi ketahuan.  Imran tidak mahu bersubahat menanggung dosa walid dan dia juga tidak mahu umi terus menderita kerana kecurangan walid. 
“Imran, umi tak pernah ajar anak-anak umi menjadi manusia keras kepala macam ni.  Tolonglah umi Imran.  Bawa Farhana balik ke sini.”  Puan Rahimah merayu.  Air matanya bercucuran jatuh. 
“Arghhh!!!!”  Getus Imran.  Terus dia keluar dari bilik umi. 
Intan yang mencuri-curi dengar perbualan dua beranak itu dari luar segera mendapatkan Puan Rahimah sebaik sahaja Imran keluar.  Ketika Imran keluar tadi pun, pandangannya betul-betul menikam Intan.  Intan dapat rasakan silap hari bulan memang dia akan kena penampar dari Imran kerana telah cuba mempengaruhi uminya.  Ah…  Intan tidak pernah takut pada lelaki Shrek itu.  Imran lelaki yang ego.  Pasti kena ada orang yang harus sedarkannya. 
Intan menghampiri Puan Rahimah yang sudah menangis teresak-esak.  Pilu hatinya melihat keadaan Puan Rahimah.  “Puan…Puan okey?”  Intan cuba bertanya.  Bahu Puan Rahimah diusap lembut.  Dia mahu wanita itu berada di dalam keadaan selesa.
“Intan…..”  Panggil Puan Rahimah.  Kedua tangannya cuba mendapatkan Intan.  Intan yang mengerti menunduk sedikit.  Puan Rahimah terus mendakap erat gadis itu.  Puan Rahimah menangis semahu-mahunya di dalam pelukan Intan.  Intan membiarkannya sahaja tindakan Puan Rahimah itu.  Di dalam hati, ada sedikit rasa bahagia berbunga.  Telah lama dia impikan untuk dipeluk sebegitu oleh seorang yang bernama ibu.  Tanpa sedar Intan juga turut sama mengalirkan air matanya.

Setelah Puan Rahimah tidur Intan turun ke dapur.  Seperti biasa dia membancuh Milo panas untuk Imran.  Mak Wan telah menyerahkan tugas ini kepadanya.  Mula-mula dahulu memang menyampah mahu membancuh Milo untuk Imran.  Ada sahaja yang tak kena pada rasa Milo buatannya itu.  Semedang nak kritik, padahal niat dia mengurangkan susu manis di dalam Milo Imran itu adalah untuk mengelakkan lelaki itu terkena penyakit kencing manis bila tua nanti.
Walaupun telah banyak kali dikritik dan dimarahi Intan tidak pernah peduli.  Dia tetap mengurangkan kuantiti susu manis di dalam Milo Imran sehingga tekak lelaki itu sudah boleh menerima rasa Milo yang dia buat. 
Imran jenis lelaki yang kalau apa yang dia marah dan bebel kita buat dek ajer lama-lama dia akan menjadi diam sendiri.  Intan semakin mengerti dengan sikap Imran yang satu itu.  Errmm…  Mungkin dia boleh menggunakan cara air Milo itu untuk cuba membuat hati Imran lembut.  Imran boleh bentak.  Imran boleh marah.  Jika dia hari-hari cuba provoke Imran dengan hal Farhana ini, mungkin lama-kelamaan terbuka juga hati lelaki Shrek itu.  Insyaallah ada jalan.  Semua masalah ada penyelesaian.

“Ini Milo panas Encik Imran.”  Ujar Intan seraya meletakkan mug berisi Milo panas ditempat biasa.  Imran tidak mengangkat wajah tapi dari bunyi dengusan-dengusan kasar setiap kali lelaki ini menyelak muka surat dokumen yang sedang dibacanya itu, Intan tahu yang Imran berada di dalam keadaan tegang.  Dokumen yang diselak kasar itu sebagai tanda bagaimana dia sedang menunjuk perasaannya yang sebenar. Intan menelan air liur.  Terdetik juga perasaan bimbang jika fail tebal itu akan melayang ke kepalanya nanti. 
“Encik Imran tak baik Encik Imran tinggikan suara dengan umi Encik Imran tadi.”  Ujar Intan perlahan.
“Awak diam.”  Kata Imran keras tanpa mengangkat wajah.
Intan menelan air liur lagi.  Perlukah dia mengambil risiko untuk menerima tamparan sulung dari lelaki ini?  Hatinya menimbang.  Intan menarik nafas dalam-dalam.
“Taknak.  Saya taknak diam.”  Dia berkata berani. 
“What?”  Imran mengangkat wajah.  Matanya tepat merenung ke dalam biji mata Intan.  Intan melarikan pandangannya.  Dia membelakangkan Imran.  Jika Imran terus terusan memandang dia begitu pasti dia tidak akan mempunyai kekuatan untuk bersuara.  Sekarang pun lututnya sudah lemah.  Mahu karang dia terus pengsan. 
“Saya minta maaflah kalau apa yang saya nak cakap ni akan buat Encik Imran marah, sentap.” Kata Intan.
“Encik Imran patut rasa bersyukur.  Walaupun ayah Encik Imran memilih untuk berkahwin lagi, dia tak pernah pun mengabaikan Encik Imran, Amir dan Umi encik.  Arwah ayah Encik Imran tetap menjalankan tanggungjawab dia dengan adil.”  Ujar Intan main belasah.  Dia berkata berdasarkan info-info yang diterima dengan Mak Wan.  Setiap hari sebelum tidur Mak Wan pasti akan bercerita sedikit sebanyak tentang orang-orang di dalam rumah ini. 
Imran diam tidak bersuara.  Intan menoleh kebelakang memandang Intan semula.  Lelaki itu seperti bersedia mahu mendengar apa yang dia mahu katakan lagi.
“Nasib Encik Imran jauh lebih baik dari saya.  Ibu saya tinggalkan ayah saya ketika ayah saya sedang sakit.  Dia minta ayah saya ceraikan dia bila ayah saya tak mampu nak berikan segala kemewahan yang ibu saya nak.  Ibu saya tinggalkan kami macam tu ajer.  Selepas ayah saya meninggal mak Su saya yang jaga saya.  Dan selepas tu saya dah tak pernah rasa sekali pun hidup bahagia.  Saya faham perasaan Nana macam mana bila menjadi yatim piatu.  Sekurang-kurangnya Encik Imran masih ada umi encik lagi yang boleh sayang Encik Imran dan Amir.  Tapi Nana.  Dia tiada ayah.  Tiada ibu.  Yang dia ada hanya Encik Imran sekeluarga.  Walaupun Encik Imran dan Nana berlainan ibu tapi dia tetap adik Encik Imran.  Dia tetap darah daging ayah Encik Imran.  Encik Imran tak boleh nak buang Nana suka-suka hati macam tu ajer.  Fikirlah orang lain juga Encik Imran.”  Luah Intan sedikit beremosi.  Nadanya menjadi sayu apabila terpaksa juga menceritakan sejarah hidupnya kepada Imran.
Imran memandang tunak ke wajah gadis itu. 
“Dah habis cakap dah?”  Soalnya tidak berperasaan.
Intan mengerutkan dahi.  “Dah.”  Jawabnya sepatah. 
“Good.  Kalau macam tu awak boleh keluar.”  Imran menghalau.  Dia kembali duduk dan menyambung kerja semula. 
Intan menggenggam kedua belah tangannya.  Ngeee….  Rasa macam sia-sia ajer bercakap dengan penuh emosi tadi tetapi Imran tetap buat batu.  Imran buat suaranya tadi macam angin yang sepoi-sepoi bahasa.  Tak ada apa-apa riaksi. 
“Huh!!” Intan mengeluh kuat.  Terus dia meninggalkan Imran bersama-sama egonya yang menggunung itu. Dasar stone!

No comments: