Friday, November 9, 2012

Kupilih Hatimu 6

Bab 6


Malam hari di Bandar Ipoh walaupun tidak sesibuk Kuala Lumpur tetapi suasananya agak happening juga. Sana-sini ada lampu lip lap di pasang sepanjang jalan. Sebelum makan, Rafi telah membawa Imran berjalan-jalan di sekitar bandaraya bourganvilla ini. Mereka telah singgah di Down Memory Lane yang terletak di belakang pusat makanan Taman Kanak-kanak. Imran sekadar melihat-lihat barangan yang dijual di situ. Macam-macam barang berjenama antarabangsa ada jual di situ. Semuanya ‘berjenama’lah sangat. Imran mengukir senyuman apabila melihat Louise Vuitton Monogram yang pernah dibelikan untuk Lydia ketika dia berkunjung ke Paris tahun lepas tergantung di sana sini. Dahulu dia membelinya dengan harga RM5000. Tetapi di sini bag yang sama dijual dengan harga RM50 sahaja. Ah… Kalau dah cinta punya pasal, gunung yang tinggi sanggup didaki lautan luas pun sanggup direnangi. Setakat beg LV berharga RM5000 itu apalah sangat jika nak dibandingkan dengan kasih sayangnya pada Lydia. Cuma Lydia sahaja yang tidak reti bersyukur.

“Fi, lambat lagi ker. Aku dah lapar ni.” Soal Imran ketika Rafi sedang sedap melakukan urutan refleksologi pada tapak kakinya. Mata Rafi yang tertutup terbuka sedikit. Nikmat yang baru dia rasa sekejap tadi bagai dicantas dengan suara Imran yang sudah seperti orang tak makan seminggu. “Sekejaplah. Aku tengah syok ni.” Ujar Rafi. Sesekali dahinya berkerut-kerut apabila tukang urut menekan-nekan tapak kakinya. Mungkin sudah terkena urat yang sakit.

Imran mencebek. “Alah kau ni. Kau nak berurut bila-bila masa pun boleh. Bukan kau nak ikut aku balik pun lusa nanti.” Ujar Imran yang sedikit geram.

“Ishh…. Kau ni memang tak boleh nak bersabar sikit kan.” Ujarnya geram. “Sudahlah bang.” Ujar Rafi kepada abang tukang urut. Not RM10 dihulurkan.

“Tapi tak habis masa lagi encik.” Kata abang tukang urut yang sedikit ragu-ragu mahu mengambil not RM10 dari Rafi. “Tak apa abang. Rezeki abang. Nanti-nanti saya datang sini lagi.” Balas Rafi ramah. Abang tukang urut hanya tersenyum. Not RM10 bertukar tangan.

“Dah jom!” Ujar Rafi seraya memasukkan dompet pada poket belakang jeans. Mereka segera menuju ke kereta untuk ke tempat makan yang dinyatakan siang tadi.

“Itu bukan budak perempuan yang kita jumpa pagi tadi tu ker?”Ujar Rafi.

“Mana?” Soal Imran sedikit kuat.

“Tu yang tengah ambil order tu.” Ujar Rafi lagi sambil bibirnya sengaja dijuihkan ke hala seorang gadis berbaju kurung kain kapas dan tudung bawal menutup kepala.

Imran yang baru mahu duduk berpaling. Dia ralit memerhati gadis yang sedang mengambil pesanan pelanggan itu.

“Haah. Yerlah. Budak pagi tadi tu.” Dia mengiyakan. Dahinya berkerut sebelum terbit senyuman nakal dibibir.

“Owhh… Kerja dekat sini rupanya.” Dia mengangguk-angguk sambil bibir masih lagi mengulum senyuman nakal.

“Kenapa? Kau dah tak ada selera nak makan dekat sini ker?” Rafi menyoal takut seandainya tiba-tiba selera Imran boleh terpatah dek terpandang gadis bermulut lepas ini. Sangkaan Rafi meleset. Imran dilihat begitu teruja mengambil tempat sambil tersenyum penuh makna.

“Eh… Siapa kata. Jom. Aku dah lapar sangat dah ni.” Balas Imran. Tangannya menggosok perut. Entah kenapa dia mahu gadis itu cepat-cepat datang mengambil pesanan di meja mereka.



Selesai menghantar pesanan meja bernombor tiga ke dapur Intan kembali semula kehadapan. Dia menuju ke meja bernombor dua belas yang sedikit terceruk ke tepi kedai. Seperti biasa Intan akan melayan mesra setiap pelanggan yang datang makan di restoran Mak Su. Ditangannya ada sebatang pen dan buku kecil untuk menulis senarai pesanan.

“Order bang!” Ujarnya ceria, namun keceriaan itu bagai diragut apabila melihat wajah pelanggan dihadapannya ini. Intan menelan air liur. Wajahnya berubah riak.

Alamak macam mana dia boleh ada dekat sini!!! Getusnya di dalam hati. Pasti malang nasibnya hari ini apabila berjumpa dengan lelaki yang menyakitkan hati ini untuk kali ke dua dalam satu hari.

“Menu?” Imran menyoal. Intan segera menghulurkan buku menu yang dibawa.

“Errrmm… Apa yang special.” Soal Imran lagi sambil tangannya menyelak-nyelak helaian pada buku menu. Biji matanya turun naik membaca nama-nama masakan yang ada tertulis di dalam buku menu tersebut.

Rafi menyampuk. “Kan aku dah cakap dekat kau pagi tadi. Sup ekor, siakap steam limau, kai….” Namun belum sempat dia menyebut nama menu yang terakhir Imran terlebih dahulu telah memotong.

“Aku cuma nak tahu apa yang tuan kedai boleh rekemen pada kita. Dia mesti lagi tahu apa special dishes dekat restoran ni.” Balas Imran mengerling pada si gadis yang setia menanti dengan pen dan buku nota kecil ditangan. Intan menjulingkan mata ke atas sebelum bersuara.

“Sup ekor, siakap steam limau, kai……lan ikan masin!” Ujarnya cuba mengulangi kata-kata teman lelaki ini tadi.

Imran menutup buku. “Lagi?” Soalnya sambil tersenyum nakal. Intan cuba mengawal perasaan. Jika lelaki ini bukan pelanggan restoran Mak Su sudah lama dia perhalau keluar dari kedai. Menyakitkan hati betullah.

“Daging merah, udang goring tepung, tomyam campur!” Intan menyebut lagi menu-menu lain yang dirasakan menjadi hidangan istimewa di restoran ini.

“Lagi?” Imran menyoal lagi. Sabar Intan seperti sudah memuncak. Lelaki ini seperti mahu mempermainkannya. Eh hello… Nampak macam orang belajar tinggi tapi takkanlah tak tahu nak baca menu itu sendiri.

“Encik, depan encik tu ada buku menu. Encik boleh tengok semua menu yang ada dekat dalam tu. Semuanya dijamin sedap sehingga menjilat jari.” Ujar Intan dalam nada terkawal. Dia masih lagi berusaha untuk mengawal perasaannya.

Imran ketawa sinis apabila mengesan nada yang lain dari suara gadis ini. Dia mengangguk seolah-olah faham. “Owhhh…. Ok.” Ujarnya bersama-sama senyuman sinis. Intan jengkel melihat senyum tak ikhlas begitu apatah lagi yang mengukir senyum sumbing itu adalah dari lelaki yang telah memaki hamun dia pagi tadi. Ish… lagilah dia tak suka!

“Dik, ikan siakap steam limau, sup ekor dengan kailan ikan masin. Kau nak tambah apa-apa lagi Im?” Rafi membuat pesanan tanpa mahu menunggu Imran lagi. Melihat dari cara Imran tadi, dia dapat rasakan ada agenda busuk yang sedang bermain-main di kepala Imran. Imran disebalik ketegasannya ada sifat-sifat kenakalan. Bab mengenakan orang Imran jagoan!!!

“Ermm…” Dahi Imran berkerut. Dia berfikir. Seketika dia memandang ke wajah gadis itu sebelum beralih semula ke helaian buku menu.

“Kerabu mangga, udang tepung dengan daging merah.” Ujarnya kemudian.

“Okey.” Balas Intan. “Air?” Intan menyoal minuman pula.

“Jus tembikai.” Rafi menjawab. “Kau?” Dia menyoal Imran pula.

“Milo panas.” Imran menjawab.

“Okey.” Setelah selesai mengambil pesanan Intan berlalu namun baru beberapa langkah dia telah dipanggil semula oleh lelaki yang menyebalkan itu.

“Eh sekejap.” Panggil Imran. Dahi Rafi berkerut. Ah…. Dia mahu memerhati sahaja apa yang Imran mahu lakukan lagi. Rafi dapat rasakan nasib gadis ini akan bertukar menjadi malang hanya kerana telah mencari pasal dengan Megat Imran pagi tadi.

“Tukar-tukar. Kerabu mangga tu tak mahu gantikan dengan kerabu sotong. Errmm.. okey.” Ujar Imran.

Intan hanya menjeling sebelum menjawab perlahan. “Okey.”

“Eh… Tadi kami order apa?” Imran menyoal berpura-pura telah lupa pesanan yang mereka buat tadi.

Intan menarik nafas. Terasa seperti mahu nafas yang terhembus ni akan mengeluarkan api pula dari mulut seperti seekor naga kepada lelaki ini. Biar rentung!!

“Sup ekor, siakap steam limau, kailan ikan masin, kerabu sotong, udang tepung dan daging merah.” Intan mengulangi tanpa mahu lagi memandang muka lelaki itu yang ternyata sangat-sangat menyakitkan hatinya.

“Udang tepung tak mahu, ganti ayam goreng kunyit.” Imran membatalkan pesanan yang tadi dan menggantikan pesanan yang baru pula.

“Owhh…daging merah pun saya tak mahu lah.”

Lagi.

“Encik! Encik ni nak order makanan tu orderlah elok-elok. Kejap nak kejap tak nak. Encik nak main-mainkan saya ya?” Suara Intan meninggi memarahi lelaki yang tak ada sivik ini. Suka-suka hati sahaja bila sekejap mahu pesan yang ini lepas tu batal pesan yang lain pula. Intan mual. Patutlah hatinya hanya mampu terpaut pada Micheal Lee yang bermata sepet itu. Bukan kerana Micheal Lee ada iras-iras seperti Lee Dong Wook (sila muntah) yang membuatkan dia jatuh hati tetap yang lebih penting apek tu bukan lelaki biadap orangnya. Tak macam tipikal lelaki Melayu yang selalu sahaja bajet bagus dengan mempermainkan orang perempuan macam ni.

Imran menghempas buku menu ke meja. Dia berdiri. Wajahnya dicerunkan sedikit untuk mencari anak mata gadis yang sedikit rendah darinya. “Eh macam ni ker cara awak melayan pelanggan yang datang makan kat sini.” Katanya bersama jari telunjuk sengaja dituding pada muka gadis itu.

“Encik tu yang sengaja nak mencari pasal dulu.” Intan tidak mengalah dengan mudah. Telunjuknya turut sama terangkat menuding kepada lelaki yang tinggi lampai ni.

“Mana bos awak. Saya nak jumpa bos dekat sini.” Kata Imran berang.

“Ya saya encik. Pekerja saya ada buat apa-apa salah ker.” Suara Mak Su yang muncul tiba-tiba membuatkan Intan seperti baru kembali ke dunia realiti. Dia terasa kerdil apabila Mak Su mula menjegilkan biji matanya. Intan menjadi takut.

“Bos dekat sini?” Imran menyoal dengan nada sedikit sombong.

Mak Su mengangguk laju.

“Ni awak tolong ajar budak awak ni supaya lebih pandai nak menghormati pelanggan. Saya nak order boleh pulak nak marah-marah.” Imran mengadu. Matanya dijelingkan ke arah gadis yang tadinya begitu pandai bercakap tetapi kini sudah diam menikus apabila majikannya ada sekali di sini.

“Maaf encik kalau anak buah saya buat salah.” Mak Su memohon maaf. Pantas dia menarik lengan Intan ke belakang sedikit.

“Mak Su sakit Mak Su.” Intan mengaduh sakit apabila cengkaman tangan Mak Su terasa sehingga ke tulang lengannya.

“Engkau ni dah kenapa?” Soal Mak Su sambil tangannya memukul lengan Intan.

“Encik tu sebenarnya…” Belum sempat Intan menceritakan hal yang sebenar Mak Su terlebih dahulu memotong.

“Eyhh… Intan. Kau nak buat kedai aku ni bankrap ker. Kau tu pekerja dekat sini. Bila pelanggan datang kau kena layan elok-elok. Baru pelanggan akan datang lagi dekat restoran aku ni. Itu pun tak tahu. Bodoh!” Hambur Mak Su senafas. Kepala Intan diluku.

Intan tidak melawan. “Mak su. Customer tu sajer nak main-mainlah Maksu.” Dia masih cuba mahu menerangkan kedudukan sebenar.

“Tak ada sebabnya dia nak main-main dengan kamu. Kau ingat dia suka dekat kau sampai nak main-main macam tu” Balas Mak Su. Tangan Mak Su berkali-kali meluku kepala Intan. Intan menjadi malu. Terasa air mata sudah mula bertakung di tubir mata. Dia cuba tahan dari air mata jatuh mengalir apatah lagi banyak mata sedang memerhati dia dimarahi oleh Mak Su. Terasa malu yang amat sangat.

“Dah kau jangan nak buat muka sedih macam ni. Aku tak nak tengok Dah kau pergi balik ke depan. Ambil order.” Mak Su mengarah keras. Dia menolak Intan ke depan dengan sedikit kasar.

“Maafkan pekerja saya ya encik. Saya akan pastikan dia memberi layanan yang baik untuk encik dan teman.” Balas Mak Su penuh ramah.

Intan menunduk sikit. “Maaf.” Ujarnya sepatah. Mak Su hanya tersenyum apabila pelanggannya itu sudah boleh mengukir senyuman puas.

“Saya ulang balik pesanan encik tadi.” Ujar Intan lagi sedikit tersekat-sekat ketika mahu mengulangi semula semua makanan yang dipesan oleh lelaki itu. Macam nak meletup hati bila terpaksa menahan sebak begini. Mahu sahaja Intan bom muka lelaki yang telah berjaya membuat dia dimarahi oleh Mak Su. Biar muka good looking yang dikata oleh Nadia itu hancur berkecai. Huhh!!



Sementara menunggu kesemua hidangan untuk meja bernombor tiga belas itu siap Intan menghantar air minuman terlebih dahulu. Gelas berisi jus tembikai dan Milo ais berserta segelas air kosong diletakkan di dalam dulang dan dibawa dengan berhati-hati. Intan meletakkan air minuman itu di atas meja dengan cermat. Tiba-tiba…

“Eyhh… Awak sengaja tumpahkan air ni pada saya kan.” Lelaki itu menjerit kuat membuatkan seluruh pengunjungi di dalam restoran ini melihat kea rah kami. Ada antara mereka berbisik-bisik.

“Eh.. mana ada encik.” Intan menjawab. Dia langsung tidak tahu bagaimana air kosong dari gelas itu boleh tiba-tiba tertumpah sedangkan dia telah begitu cermat meletakkan gelas air kosong itu di atas meja.

“Awak ni kan?!!” Imran menggetus geram. Matanya dijegilkan besar-besar memandang wajah gadis itu. Mak Su yang berada di daput turut sama terdengar suara kuat lelaki itu segera bergegas ke hadapan.

“Ada apa lagi ni Intan.” Mak Su menyoal keras.

“Encik ni. Tuduh Intan tumpahkan air kosong ni pada baju dia.” Cerita Intan.

“Memang awak yang tumpahkannya tadi kan.” Imran menyampuk laju.

Intan mengetap bibir. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum berkata. “Kalau saya nak tumpahkan air, saya tak pakai air sejuk kosong macam ni. Saya pakai air panas terus ajer.” Kali ini Intan sudah hilang sabar. Dia lantang bersuara walaupun ada Mak Su yang ditakuti disebelahnya kini.

“Tengok ni. Eh pekerja macam mana yang awak ambil bekerja dekat sini. Macam ni ker awak selaku tuan punya restoran mengajar pekerja awak melayan pelanggan. Biadap!” Tempelak Imran. Rafi yang dari tadi duduk memerhati bangun dan cuba menenangkan Imran dari terus membuat onar di dalam restoran ini.

“Enciklah yang biadap. Saya tak buat, encik tuduh saya buat.” Balas Intan lagi. Dia begitu berani merenung tajam ke dalam biji mata lelaki ni. Mak Su yang mengitari keadaan restoran menjadi malu dengan kekalutan yang terjadi. Ada antara pelanggan mula memandang serong kepadanya dek kerana insiden ini.

“Dah. Masuk ke dalam. Masuk kedalam.” Mak Su mengarah Intan agar masuk ke ruangan dapur agar perbalahan ini tidak lagi berpanjangan. Intan menurut. Dia menjeling ke arah lelaki puaka itu sebelum berlalu.

“Maafkan pekerja saya encik. Tak apa. Hari ni encik makan saya bagi diskaun 20%”

Imran hanya tersenyum puas apabila majikan gadis itu telah sekali lagi memohon maaf kepadanya. Dia yakin kali ini pasti lagi teruk gadis itu akan dimarahi oleh majikannya. Imran gembira. Terasa seperti mahu melompat keriangan apabila berjaya mengenakan gadis yang banyak mulut itu.





Di ruangan dapur Intan cuba ditenangkan oleh Kak Surti. Dada Intan berdegup kencang. Dia tahu apa yang telah dilakukan tadi adalah salah apabila berani bersikap biadap dengan pelanggan tetapi bukan dia yang mulakan dahulu. Lelaki itu yang mulakan. Dia cuba bertindak untuk mempertahankan diri dari menjadi mangsa fitnah.

“Intan!!”

Mendengar suara Mak Su yang nyaring dengan wajah yang menyiga masuk ke dapur membuatkan jantung Intan terasa bagai mahu tercabut dari tangkainya. Intan cuba berdiri dihadapan Mak Su. Wajah Mak Su merah padam. Mak Su kelihatan sangat marah.

Tanpa berfikir panjang Mak Su terus menolak kepala Intan. Intan dipukul berkali-kali. “Kau ni dah kenapa. Nak melingkupkan bisnes aku?” Hambur Mak Su penuh amarah.

“Mak Su Intan tak salah Mak Su. Lelaki tu yang sengaja nak cari pasal dengan Intan.” Ujar Intan sambil menangis teresak-esak. Dia cuba mendapatkan simpati dari pekerja-pekerja lain tetapi mereka semua tidak berani membantu. Mereka semua sekadar memerhati.

“Dia nak cari pasal dengan kau kenapa? Kau kenal dia ker?” Mak Su masih lagi menggila memarahi Intan. Intan dipukul sekuat hatinya. Intan mengerang ke sakitan.

“Mak…” Intan cuba bersuara namun Mak Su masih yang sedang naik minyak sukar untuk ditenangkan. Mak Su terus menerus memukulnya.

“Kau jangan nak banyak cakap lagi. Aku tahu kau memang tak nak kerja dekat sini kan, sebab tu kau nak melingkupkan bisnes aku.” Ujar Mak Su.

“Mana ada Mak Su.” Intan menidakkan kata-kata Mak Su itu. Tidak terlintas difikiran untuk menjahanamkan perniagaan Mak Su apatah lagi inilah sumber rezeki Mak Su. Takkanlah dia perlu bersikap busuk hati mahu merosakkan perniagaan Mak Su yang sudah banyak berjasa dengan membesarkannya selepas ayah tiada.

“Meh sini kau.” Mak Su menarik tangan Intan. Pergelangan yang kecil itu digenggam kuat. Mak Su mula menarik dia ke tempat Abang Mail membancuh air. Mak Su merampas senduk air panas dari tangan Abang Mail. Air panas di dalam periuk yang sedang menggelegak disenduk separa.

“Tadi kau kata apa? Nak curah air panas dekat pelanggan aku kan. Kau nak rasa macam mana kena curah air panas. Mari sini aku bagi rasa.” Mak Su mengacahkan senduk berisi air panas itu.

“Mak Su tak nak mak Su. Tak nak Mak Su.” Intan merayu agar dilepaskan. Terasa sendi lututnya seperti sudah lemah. Dia benar-benar takut andai Mak Su benar-benar mahu menjirus tangannya dengan air panas itu. Keadaan di bahagian dapur sedikit kalut. Mak Su tidak mempedulikan kata-kata para pekerjanya yang lain agar jangan melakukkannya. Mak Su tidak peduli.

“Mak Su tak nak mak Su… Mak su..” Intan merayu. Dia cuba menarik tangannnya tetapi gagal. Tiba-tiba muncul Pak Su Khalil.

“Sayang…Sayang.. bawak bertenang boleh tak. Awak marah-marah macam ni pun benda dah jadi. Nanti kalau dah terkena air panas si Intan ni nanti, awak jugak yang nak kena bawak ke klinik. Kena keluar duit lagi. Sudahlah. Hari ni awak lepaskanlah dia. Lagipun Intan bukan pernah buat salah pun selama kerja dekat sini. Mungkin hari ni dia letih sikit kut.” Khalil cuba menghalang. Mak Su cuba bertenang. Hidungnya kembang kempis melihat wajah Intan yang sudah basah dek kerana air mata yang tidak berhenti mengalir.

“Eh…Kau ni kan nasib baik ada laki aku tau. Kalau tak nahas kau. Sudah. Kau pergi kemas meja yang dah kosong tu. Hari ni kau jangan nak ambil pesanan pelanggan. Pergi!!” Mak Su bertempik. Intan mengesat air matanya dengan hujung tudung bawal yang dipakai. Dia pergi kehadapan untuk menyambung tugasnya semula. Ketika mengelap meja yang sudah tiada pelanggan dia merenung tajam lelaki itu. Renungannya penuh rasa benci.



“Free-free ajer budak tu kena marah dengan bos dia.” Rafi berkata sebaik sahaja gadis yang menjadi mangsa Imran tadi keluar dari arah dapur. Dengan mata yang sembab dia tahu pasti teruk gadis ini dimarahi oleh majikannya.

“Dah dia yang salah. Siapa suruh dia tumpahkan air dekat aku.” Imran menjawab tanpa ada rasa bersalah. Dia bersikap selamba sahaja.

“Aku nampak Im. Bukan aku buta. Aku nampak kau yang sengaja tumpahkan air sejuk tu kan.” Ujar Rafi sedikit bengang.

Imran ketawa kecil. “Biarlah. Rasakan. Pagi tadi pandai sangatkan bahasakan aku.” Balasnya senang hati.

Rafi hanya mampu menggelengkan kepala. Imran bakal hidup keseorang sampai ke tua jika dia tidak mahu berubah. Getus Rafi di dalam hati.



Balik sahaja dari kedai Mak Su Maria dia tanpa membuang masa terus masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci sebelum blackberry dikeluarkan dari celah-celah lipatan baju di dalam almari. Dia menaip mesej di BBM untuk Michael. Dia buang rasa malu yang selama ini menjadi kekangan untuk dia menjadi pendahulu yang membuka bicara di skrin telefon. Dia mahu mengadu domba dengan Micheal tentang lelaki gila tadi. Dia juga mahu mengadu tentang Mak Su Maria yang cuba mencederakannya.

Dia membaca sepintas lalu mesej panjang lebar untuk Micheal itu terlebih dahulu sebelum menekan butang send. Intan tarik bantal busuk yang selalu menjadi peneman lenanya. Dia bawa bantal ke dada. Air matanya mengalir lagi. Satu persatu kejadian di kedai tadi berlegar-legar dimatanya. Bengangnya dia dengan lelaki tadi. Lelaki tadilah punca Mak Su Maria mengamuk sakan. Kecik…besar…kecik…besar dia melihat lelaki itu tersengih sinis sebaik sahaja dia keluar dari bahagian dapur dengan mata yang membengkak.

Pintu bilik diketuk dari luar. Intan cepat-cepat menyorok telefon bimbitnya ke dalam sarung bantal busuk sebelum bergegas membuka pintu.

“Eh…Kau tau tak sekarang pukul berapa. Kenapa tak tidur lagi.” Sergah Mak Su Maria.

“Intan belum mengantuk lagi Mak Su.” Intan menjawab terketar-ketar. Dia masih lagi takut untuk berhadapan dengan Mak Su Maria selepas insiden di restoran tadi.

“Kau dah mengantuk ker belum mengantuk ker aku tak nak tahu. Yang aku tahu sekarang ni kenapa dah lewat malam kau masih biarkan lampu bilik ni menyala. Kau nak naikkan bil elektrik aku. Kau tu dah la kedekut!! Bila aku mintak lebih sikit gaji kau kerja dengan May macam-macam alasan kau bagi. Nak buat simpan cari ibu kau di Kuala Lumpur konon.” Kata Mak Su dengan suara yang memetir.

Kepala Intan mengangguk-angguk laju. “Intan tutup lampu sekarang ya Mak Su.” Dia cepat-cepat menjawab.

“Tutup!!!” Jerkah Mak Su lagi.

Ketika Mak Su Maria mahu keluar dari bilik Intan, telefon bimbit Intan berdering hebat dan kemudian senyap.. Segera mak Su Maria berpaling. Muka Intan berubah pucat. Dia menelan air liur apabila biji mata Mak Su terjegil seperti sudah mahu terkeluar dari soketnya.

“Bunyi apa tu?” Soal Mak Su Maria sambil matanya memanah ke dalam biji mata Intan.

Air liur yang ditelan terasa berpasir. “Tak ada apa-apa Mak Sue.” Jawab Intan takut-takut tanpa memandang mata Mak Su.

“Aku tanya bunyi apa tu.” Suara Mak Su Maria sengaja dikendurkan.

“Tak ada apa-apa Maksu.” Tipu Intan lagi. Kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi. Kali ini lebih lama dari tadi.

Mak Su Maria mula menyelongkar seluruh bilik Intan untuk mencari dari mana punca datangnya bunyi deringan telefon berirama lagu tema drama Korea itu. Bantal lembik milik anak saudaranya itu dikibas-kibas menyebabkan sebuah telefon bimbit terjatuh keluar. Intan kaget. Mukanya menjadi pucat serta merta. Mak Su Maria mengambil telefon bimbit itu dan memandangn Intan dengan garang. Badan Intan terasa sedang menggigil apabila direnung begitu oleh Mak Su Maria.

“Apa ni?” Soal Mak Su Maria perlahan. Intan diam. Mata dibawa memandang ke lantai.

“Apa nih!!”

Jerkahan dari Mak Su Maria itu membuatkan jantung Intan hampir tercabut dari tangkainya. Dengan suara yang terketar-ketar dia menjawab.

“Handphone.”

“Handphone…” Kata Mak Su Maria panjang. Perlahan-lahan dia merapati Intan yang masih lagi menunduk.

“Bila aku mintak duit lebih sikit kau kata nak simpan. Tapi beli handphone mahal macam ni boleh pulak!!!” Herdik Mak Su Maria. Intan hanya menelan sahaja kata-kata herdikan Mak Su Maria itu. Dia tidak ada kekuatan untuk membalas.

Mak Su Maria menekan butang on pada telefon bimbit itu. Dia melihat nama pemanggil yang cuba menelefon Intan tadi. Kemudian matanya teralih pada Intan yang menikus. Dia membuka pula peti mesej dan membaca mesej-mesej di dalamnya. Kemudian matanya sekali lagi memandang ke wajah Intan.

“Owwhh…. Dah pandai bercinta. Dah pandai cari jantan dekat luar.” Kata-kata Mak Su Maria sinis menyucuk hati.

“Tak Maksu. Kami kawan ajer.” Kata Intan.

“Kawan kepala otak kau!” Mak Su Maria mula menonjol kepala Intan. “Kau ingat aku bodoh macam kau!!! Berapa kali aku dah cakap aku tak nak kau bercinta-cinta. Engkau tu hidup pun masih menumpang rumah aku, ada hati nak bantah cakap aku. Aku tak suka kau bercinta sebab aku tengah cari lelaki kaya untuk bagi kahwin dengan kau supaya hidup aku senang. Hidup kau pun senang. Bodoh!!!” Tempik Mak Su Maria.

“Nak bercinta sangat kan….” Mak Su Maria mula membuka telefon bimbit milik Intan. Sim card ditarik keluar dari slot.

“Nak bercinta sangat kan….” Mak Su Maria menayang sim card di tangannya ke mata Intan.

“Mak Su jangan.” Intan cuba menghalang apabila dengan rakus Mak Su Maria cuba mematahkan sim card itu kepada dua.

“Telefon ni kau bagi aku pakai ya.” Ujar Mak Su Maria.

Intan hanya memandang pilu sim card yang telah pun terpatah dua itu.

“Apa lagi yang kau tenung-tenung sim card yang dah patah tu. Tutup lampu cepat. Tidur!!”

Herdikan Mak Su Maria itu membuatkan Intan tersentak. Dia menurut. Lampu bilik dipadam. Di dalam gelap dia menangis semahu-mahunya. Kejamnya dunia!!!





4 comments:

Aziela said...

uwaa...sedihnyaaa

Anonymous said...

apasallah intan ni bengong sgt tak keluar dari rumah maksu dia walau dah besar gajah, umur 24. rela kena seksa macam tu.

Anonymous said...

sedehhh...

Anonymous said...

menci ngn maksu!!..sian intan...;)

~uly~