Monday, February 8, 2010

Awatif Bab 7

Bab 7
“Tif!! Tif!!” Suara Amanda menggamatkan suasana di pagi hari. Awatif yang masih lagi bertelekung terkocoh-kocoh keluar.
“Yer Cik Manda.” Ucapnya perlahan.
“Mana baju aku. Kenapa tak siapkan. Kau tau tak yang aku ada interview dengan SuamKuku.FM pagi ni.” Tengking Amanda.
“Cik Manda tak kata pun pagi ni ada interview. Jadi saya tak sediakan apa-apa.” Terketar-ketar Awatif menjawab.
“Kau ni kan, dasar kampung yang bodoh. Takkan semua benda aku nak kena bagi tahu. Kau tak boleh nak arrange sendiri ker. Apa gunanya aku gajikan kau. Takkan schedule aku pun kau tak tau nak tengokkan. Takkan setiap hari nak aku ingatkan kau. Aku bos ker. Engkau bos.” Telunjuk Amanda mula menonjol-nonjol ke kepala Awatif.
“Saya minta maaf Cik Manda. Saya terlupa nak bertanya pada Linda semalam.” Jawab Awatif.
“Kau ni memang bodoh. Sudahlah bodoh, bebal pulak tu. Semua benda boleh lupa.” Kali ini Amanda sudah mula menolak kasar tubuh kecil Awatif. Jatuh terjelepok Awatif di tepi sofa.
Awatif terduduk disitu.
“Eyyhh bodoh!! Yang kau duduk dekat situ lagi buat apa. Cepat siapkan baju aku.” Bentak Amanda. Kali ini kelajuan tangannya bertambah ketika menolak kepala Awatif mengakibatkan kepala Awatif terhantuk pada bucu meja kopi. Hantukkan itu meninggalkan kesan lebam kebiruan didahinya. Awatif hanya mampu mengerang di dalam hati. Perlahan dia bangun dan menuju ke bilik Amanda untuk menyediakan segala kelengkapan Amanda. Itulah rutin hariannya sejak sebulan lalu. Dia bagai hamba abdi pada abad ini. tenaganya dikerah tak kira siang atau malam. Bukan itu sahaja, tersilap sedikit pasti sahaja tubuhnya menjadi mangsa kepada setiap tindakan Amanda yang dirasakan ganas itu. Jauh disudut hati dia sangat menyesal dengan keputusan bodohnya dulu. Kalaulah dia mendengar nasihat abah, pasti dia tidak akan jadi sebegini. Benarlah, menderhaka kepada ibu bapa hidup pasti tidak akan selamat. Belum lagi nak dikira di akhirat kelak, di dunia pun dia sudah dapat balasannya. Cash!! Free-free ajer dapat.

Awatif duduk pada belakang van. Terasa lelah untuk dia bernafas saat ini kerana penat yang amat sangat. Seawal pukul 6.30 pagi dia sudah mengikut Amanda pergi ke stesen radio SuamKuku.FM kerana Amanda punya slot temuramah bersama DJ Yoep Manjoi pada pukul 7 pagi. Dan seperti biasa inilah rutin harian yang perlu dilakukan. Dia perlu menemani kemana sahaja Amanda pergi. Dia digajikan oleh Amanda untuk membuat pelbagai kerja. Walaupun bukan disuruh angkat batu, bancuh simen macam orang kerja kontrak tetapi kerja bukan setempat, kerja yang kena buat tak sempat-sempat, kerja yang tak kena masa ini membuatkan badan yang dahulunya sihat walfiat sekarang cepat benar didatangi penyakit. Andai dia ingkar dengan setiap arahan Amanda pasti tubuh menjadi mangsa.
Awatif mengeluh lemah. Dihati terbit rasa rindu pada abah dan emak. Rasanya dia ingin sahaja lari dari rumah Amanda kerana tidak larat untuk diperlakukan sebegitu lagi. Niat dia ke sini hanya ingin mencari rezeki. Tapi di sini, dia dijadikan abdi. Dia ingin sahaja mengadu kepada Linda dan Jojie namun bila mengenangkan betapa sombongnya dia berbicara dengan Linda perihal kesanggupannya untuk menjadi pembantu Amanda membuatkan dia menjadi malu. Lantas apa yang dilakukan oleh Amanda kepada dirinya didiamkan sahaja.
“Cik!!” Tegur satu suara mengejutkan Awatif yang jauh termenung.
“Yer.” Jawab Awatif perlahan sambil kepala didongakkan mata pula memandang gerangan suara yang baru sahaja menegurnya tadi.
“Bunga untuk Cik Amanda Dayana.” Beritahu lelaki tersebut.
Awatif memandang lelaki penghantar bunga tersebut. “Bunga?” Keningnya terangkat.
Lelaki tersebut hanya mengangguk perlahan. “Dari peminat barangkali. Saya cuba memberi sendiri pada Amanda, tapi PRnya minta diberikan sehaja pada cik kerana Amanda sedang shoot.”
Awatif mengangguk mengerti.
Jambangan bunga ros merah hati sebanyak dua belas kuntum kini bertukar tangan.
“Kat mana nak sign?” Soalnya. Mata Awatif tercari-cari buku despacth lelaki penghantar bunga ini. tapi nampaknya seperti lelaki ini datang berlenggang kangkung sahaja.
“Owhh…Tak perlu. Amanda orang yang terkenal. Lagipun dah selamat saya berikan pada temannya. Jadi tak perlu nak sign-sign.” Beritahu lelaki tersebut bersahaja.
“Lerr…Macam tu pulak ker.” Balas Awatif.
Lelaki tersebut hanya mengangguk bersama senyuman yang sukar ditafsirkan. Namun, senyumannya itu Berjaya membuatkan jantung Awatif berdegup kencang lebih hebat dari biasa.
“Dah tak ada apa-apakan. Kalau dah taka pa-apa lebih baiklah encik gerak dari sini. Saya ada kerja nak buat lagi ni.” Beritahu Awatif. Sebolehnya dia inginkan lelaki ini pergi cepat. Awatif sendiri macam tak berapa nak sedap hati melihat lelaki ini terjenguk-jenguk Amanda yang sedang berlakon di hadapan kamera.
“Encik. Kalau dah tak ada apa-apa lebih baiklah encik pergi dari sini sebelum kena halau dengan krew.” Kata Awatif. Dia kini sudah pandai bercakap gaya Linda. Maklum sahajalah, menjadi pengawal peribadi juga adalah sebahagian dari senarai tugas yang telah ditetapkan oleh Amanda. Nasib badan. Terima ajerlah.
Lelaki tersebut memandang Awatif. “Okey. Tapi jangan lupa berikan ros ini untuk Amanda.” Katanya sebelum berlalu pergi.
Awatif hanya memandang kelibat lelaki itu pergi dengan ekor mata. Over pulak mamat penghantar bunga ini. sudahlah memandang Amanda macam geram ajer gayanya. Tak sedar diri betul. Rupa macam bangunan tak lulus CF ada hati mahu mencuba nasib dengan bintang terkenal. Desis Awatif di dalam hati namun begitu hatinya turut sama terpesona juga pada senyuman lelaki yang kononnya ada rupa macam bangunan tak lulus CF itu!!
“Tif ambilkan air aku.” Arah Amanda sebaik sahaja dia menghabiskan babak untuk scene tengahari ini.
Awatif hanya mengangguk. Pantas dia berlari anak kea rah meja yang tersedia minuman dan makanan tengahari yang disediakan oleh catering yang ditempah oleh pihak produksi sebagai santapan krew-krew hari ini.
Amanda melabuhkan punggung pada kerusi lipat yang telah siap dibuka oleh Linda. Jojie pula masih setia menekan-nekan muka Amanda dengan tisu. Sambil-sambil itu diselang seli dengan meletakkan bedak bagi menutupi mana-mana kawasan muka yang mekapnya telah pun cair.
Tak sampai seminit Awatif kembali semula ke tempat Amanda berehat. Dihulurkan cawan polisterin berisi air oren Sunkist.
Cawan polisterein bertukar tangan. Amanda meneguk rakus. Awatif pula setia menanti. Menunggu arahan yang seterusnya dari Amanda.
“Hari ini menu apa yang catering sediakan?” Soal Amanda sebaik secawan air oren itu habis diteguk.
“Hari ini catering sediakan beriani gam Johor dengan kuah dalca dan kurma ayam Cik Manda.” Beritahu Awatif.
“What!!” Suara Amanda naik sedikit. Dia mendengus geram. Geram sungguh bila permintaannya semalam tidak ditunaikan. Sudah berbuih dia berpesan kepada pihak yang bertanggungjawab menguruskan makanan di lokasi agar tidak menyediakan makanan-makanan yang berminyak dan berlemak. Semuanya buat tidak dipedulikan.
Awatif hanya diam membisu sambil menundukkan kepala.
“Pergi belikan aku makanan dekat restoran depan jalan masuk tu. Aku Nampak ada restoran Western di situ. Belikan aku Speggety Bolognese.” Arah Amanda lagi.
Awatif mengangkat muka apabila mendengar arahan Amanda itu.
Linda pula sudah terjegil biji mata.
Tisu ditangan Jojie tiba-tiba boleh terlepas dari tangan.
Semuanya menjadi terkejut dengan arahan dari Amanda itu tadi.
“Manda, kalau kau tak ingat jalan nak ke sini biar aku beritahu yang restoran Western tu jauhnya dua kilometer dari tempat kita ni.” Linda bersuara. Walaupun dia masih marah pada Awatif berkenaan hal kelancangan mulut gadis itu beberapa bulan lalu, namun dia juga masih manusia biasa untuk mempertahankan orang yang tertindas macam tu. Amanda dilihat semakin melampau mengerah keringat budak kampung yang tidak tahu apa-apa ini.
“Linda, kau ni kenapa. Aku yang bayar gaji dia. Jadi suka hati akulah nak suruh dia buat apa.”
“Tapi takkanlah kau nak suruh….” Linda berpaling mengadap Awatif yang diam menikus. “Kau nak suruh budak ni berjalan tengahari rembang macam ni semata-mata nak kenyangkan perut kau.” Sambung Linda dengan kepala menggeleng perlahan.
“Lin, sudahlah tu. Saya boleh pergi beli.” Awatif menyampuk tiba-tiba. Dia tidak mahu Linda dan Amanda kecoh-kecoh hanya kerana perkara ini. sudah namanya kerja dia adalah menuruti setiap arahan Amanda, jadi dia harus sahaja menerimanya walaupun memang restoran makanan barat itu jauhnya hampir dua kilometer. Awatif berlalu meninggalkan Linda dan Amanda.
Linda mendengus perlahan dia berjalan menuju kea rah keretanya. Jojie hanya diam tidak berkata apa-apa.


Pin!!
Pin!!
Hon kereta Linda dibunyi kuat.
Awatif mengalih pandang pada kereta Kelisa Linda yang bergerak perlahan di tepi divider jalan raya.
“Tif naik.” Arah Linda.
“Taka pa. saya boleh jalan kaki.”
“Aku kata naik. Naik ajerlah.” Marah Linda.
Awatif mencebek. Dia berhenti berjalan bila kereta Linda sudah berhenti. PIntu kereta dibuka dan terus memboloskan diri masuk ke dalamnya. Kereta kembali meluncur laju menuju ke restoran makanan barat.
“Kenapa dahi tu?” Soal Linda di dalam kereta.
“Jatuh.” Jawab Awatif rendah. Dia kalih pandang di luar tingkap kereta.
“Alasan tu, orang gaji Amanda dah gunakan sebelum kau guna lagi.” Kata Linda sinis.
Awatif hanya mendiamkan diri.
“Sampai bila nak bersabar dengan dia. awak bukan hamba.” Nada suara Linda mula berubah lembut.
Awatif lebih senang duduk diam-diam sahaja. dia taknak komen apa-apa pada kata-kata Linda itu. Selagi dia mampu bersabar, dia akan bersabar. Lagipun di sini dia hanya punya Amanda untuk menumpang tempat tinggal.
Melihat Awatif sekadar membatukan diri sahaja membuatkan Linda malas mahu berbicara panjang. Kereta diberhentikan sebaik sahaja tiba di hadapan restoran makanan barat yang dimaksudkan Amanda tadi.
“Aku tunggu dalam kereta. Kau pergilah belikan apa yang idola kau tu nak.” Kata Linda.
Awatif tidak mampu membidas apa-apa. Dia keluar dari kereta dan terus masuk ke dalam restoran itu.

No comments: