Friday, May 4, 2012

Pencinta Terbaik 5

Airani melihat penampilannya di cermin. Dari baju kurung Pahang yang dia pakai sehinggalah ke solekan nipis yang tercalit di muka, kelihatan segalanya cukup sempurna. Dia cuba mengukir senyum segaris. Aku boleh lakukannya. Desisnya di dalam hati seraya mahu menanam semangat.


Hari ini dia perlukan kekuatan diri untuk berdiri teguh di hadapan mereka. Dia perlu tunjukkan kepada setiap dari mereka yang dia mampu menerima takdir yang sudah tertulis untuknya. Dia juga mahu mereka tahu, dia tidak akan biarkan dirinya terus berduka lara di atas kebahagian mereka berdua. Dia mahu mereka tahu dia wanita yang kental jiwa raga dan bukannya seperti tipikal perempuan yang akan frust berguling bila mana cinta dikhianati. Owhh… Drama ini sudah masuk episod keberapa ya?

Seperti mana episod pertamanya dahulu, dia sanggup melepaskan Lutfi untuk lelaki itu mengejar cita-citanya. Dia masih ingat waktu itu, Lutfi telah berjanji untuk terus setia kepadaku walaupun dilambakkan dengan sedozen perempuan mat saleh bermata biru di hadapannya. Ahh!! Manis sungguh ayat seorang lelaki. Dan dia yang terlalu naïf kala itu, bagaikan terus terpesona dengan janji-janji manis seorang lelaki. Iyalah, konon-konon waktu itu pangeran cintanya yang berbicara sebegitu, haruslah terpesona.

“Aira!!!!!!!! Dian Airani!!!!!!” Suara pekikan emak di luar pintu bilik menyedarkan Airani. Kerap benar pula sekarang ini dia asyik teringatkan detik-detik indah percintaannya bersama Lutfi dahulu.

“Ya mak.” Airani membalas malas. Sekali lagi Airani lihat penampilannya. Bolehlah. Keyakinannya yang tadi menggunung tinggi kini bagai ditarah sedikit demi sedikit bilamana dia sedar yang dia akan menghadiri ke majlis resepsi perkahwinan Lutfi Adam dan Nurhafizah. Owhh…tuhan. Berikan aku sedikit kekuatan. Doanya di dalam hati.

Airani keluar dari bilik dengan senyuman plastic menghias bibir.

“Apakehal lama sangat bersiapnya ni.” Mak Mah jelas sudah bising-bising kepada Airani. Airani sekadar berdecit sebelum berkata-kata. “Alah mak ni. Anak dara bersiap memanglah lama.” Balasnya pula. Dia lihat emak sedang memerhati tingkahnya. Emak tersenyum sayu.

“Kalau Aira rasa tak mampu, tak payah pergi. Emak tak paksa Aira pergi.” Ujar Mak Mah sambil menepuk-nepuk bahu puteri kesayangannya itu.

Ah… Airani terasa mahu menangis tetapi ditahan empangan kelopak matanya dari pecah. Jika dia menangis lagi, dia akan membuat emak berasa susah hati. Dan jika dia menangis lagi, dia takut, usul emak yang mahu mengenenkan dia dengna anak jiran sebelah rumah itu akan kedengaran lagi. Siapa mahu lelaki mulut puaka seperti Affendi Imran. Bagi free pun dia tidak mahu.

Dalam penuh rasa kepura-puraan Airani mengukir senyum segaris. “Emak ni, Aira okey lah. Lagipun, apa kata Pakcik Borhan dengan Makcik Latifah kan kalau Aira tak pergi sedangkan Aira ada dekat sini.” Kata Airani cuba meyakinkan emak. Walaupun dia dan Lutfi tidak ada jodoh, dia tidak pernah sekali pun memutuskan hubungan baiknya dengan Pakcik Borhan dan Makcik Latifah. Mereka sudah lama dia anggap seperti orang tuanya sendiri. Cumanya, dahulu ketika dia dan Lutfi masih berpacaran, dua mengangap mereka berdua seperti bakal ayah dan ibu mertuaku tapi kini…Bakal-mertua-tak-jadi!!!

“Apa lagi yang diborakkan tu. Cepatlah. Ayah dah lapar ni.”

Airani dan emak sama-sama tersengih apabila ayah mencelah tiba-tiba. Bagus timing ayah. Kalaulah ikutkan melankolik Airani hari ini, boleh kebuluran ayah jadinya. Khabarnya untuk majlis Lutfi dan Kak Fiza, Pakcik Borhan dan Makcik Latifah telah menumbang dua ekor lembu untuk dibuat kari daging dan rendang tok. Itu belum lagi termasuk lauk-lauk lain. Yerlahkan, doktor sama doktor yang kahwin. Haruslah besar-besaran!

Dengan kuat semangat Airani menuruti langkah emak yang sudah berjalan bersama ayah menuju ke kereta.



“Mak Pah harap Aira bersabar ya. Mungkin jodoh Aira dengan orang lain. Insyaallah aka nada lelaki lain yang lagi baik dari Lutfi untuk Aira nanti.”

Ujar Makcik Latifah ketika Airani bersalaman dengannya. Dengan payah, Airani paksa bibir mengukir senyum nipis dan mengangguk perlahan.

“Tak mengapalah Pah. Aira akan tetap doakan kebahagian Lutfi dan Fiza. Lagipun mereka dahulu kan bersahabat. Tak gitu Aira.”

Emak menyampuk sambil mengerling ke arah Airani. Ah… Kenapa pula aku perlu mendoakan kebahagian mereka berdua sedangkan sah-sah kedua mereka telah mengkhianati aku. Desis hati kecilku.

Airani berpura-pura senyum sambil mengangguk laju apabila emak menyiku lengannya.

“Baguslah macam tu. Asyik berborak sahaja kita ni, jemputlah makan.” Makcik Lafitah mempelawa tetamu-tetamunya itu ke meja hidangan.

“Yerlah Pah. Kami pergi dulu.” Kata emak sebelum menarik Airani pergi menuju ke khemah.

“Boleh tak kalau muka tu jangan masam macam ni. Kan emak dah kata tadi, kalau tak tahan, tak payah datang kan. Nanti apa makcik Pah fikir kalau Aira datang sini dengan muka kelat macam ni.”

Mak Mah memarahi Airani apabila anak gadisnya itu gagal menyembunyikan muka ketatnya apabila berhadapan dengan ibunya Lutfi tadi.

Airani berdecit sambil membuat muka lagi. Dia tidak tahu kenapa, ketika melalui sahaja pintu gerbang yang dihiasi bunga berwarna ungu dan putih tadi pun dia sudah mula menarik muncung sedepa. Dia tidak bersedia untuk menghadiri majlis ini barangkali. Lagi yang buat mukanya bertambah ketat adalah apabila mendengar Cik Kiah Mekropon menyanyi karaoke lagu ‘Pelamin Anganku Musnah’ tengah-tengah hari rembang begini. Sentap Airani mendengarnya. Entah dimana logiknya di tengah majlis yang meriah ini ada pula yang mensumbangkan lagu begini. Makin hot lah dia jadinya. Ini semua gara-gara Cik Kiah Mekropon itu!

“Senyum…”

Arah Mak Mah kepada Airani agar senyum dan tidak terus-terusan bermuka masam begini.

Dengan selama Airani melebarkan bibir, lalu ditayang sebarisan giginya yang putih ini kepada emak. Senyumman Airani tidak ubah seperti model iklan ubat gigi!

Automatik kepit ketam emak mengena ke lengan. “Emak. Sakitlah.” Dia mengaduh. Tangannya laju menggosok-gosok bahagian lengan yang terkena kepit ketam emak itu. Perit.

“Main-main dengan emak ya.”

Automatik Airani melepaskan ketawa melihat muka emak pula yang berubah ketat. “Yerlah. Yerlah. Orang senyum semanis-manisnya untuk emak. Ini untuk emak Okey. Bukan untuk pengantin atau siapa-siapa pun.” Kata Airani manja sambil mengelip-ngelipkan mata.

Melihat tinggah dia yang begitu emak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Airani tahu, emak faham sangat yang dia belum mahu redha, jadi tidak perlu lah nak berpura-pura suci hati sangat.

“Emak jomlah makan. Boifren emak tu mesti hangin jer tunggu kita tak datang-datang. Padahal dah suruh cop tempat tadi.” Ujar Airani sambil menggosok perut yang sudah mula kelaparan. Bengang-bengang pun, daging dendeng, ayam masak merah, dalca sayur, acar rampai, nasi minyak hujan panas haruslah disantap juga. Ingat senang nak makan nasi minyak kenduri kahwin bekas boyfriend sendiri. Huh!!

“Boyfriend emak? Bila masa pula mak ada boyfriend ni.”

Emak menyoal kurang faham. “Tu. Abah.” Airani berkata sambil bibir menjuih kea rah abah yang masih lagi setia menanti kami di bawah khemah.

“Jom mak.” Giliran Airani pula menarik tangna emak apabila melihat abah yang sudah melambai-lambai kea rah kami.





Airani membawa pinggan makan yang penuh dengan pelbagai jenis lauk ke meja panjang. Dia mengambil tempat betul-betul bersebelahan abah. Matanya automatik juling naik keatas apabila baru tersedar yang tetamu yang makan di hadapannya ini adalah Fendi. Ya. Fendi dan ibu bapanya sedang makan mengadap kami anak beranak. Seperti dirancang-rancang. Airani melihat mata Fendi yang sedang memandang pinggannya tanpa berkelip.

“Gila banyak. Kuat makan!” Ujarnya sengaja mahu menyakitkan hati gadis itu.

“Biarlah. Kau ada masalah ker.” Balas Airani pula. Dia mengerling ke sebelah. Emak dan abah sedang rancak bersembang dengan ibu bapa Fendi.

“Owhhh… Bukan senang kan, nak makan nasi minyak bekas boifren. Tak apa. Aku faham.”

Berdesing telinga Airani mendengar sindiran Fendi itu. Fendu seperti tahu-tahu sahaja apa yang dia fikirkan tadi. Airani makan dengan berselerananya tanpa mempedulikan Fendi yang berada dihadapan.

Lantak Fendilah jika mahu menjadi saksi bagaimana dia yang kurus cekeding dan berbadan kecil molek ini boleh menghabiskan sepinggan nasi minyak hujan panas bersama lauk-lauk yang penuh diletakkan di atasnya.

“Aira macam mana? Dah okey.” Hampir tersedak Airani apabila Makcik Zaharah bertanya kepadanya kala dia sedang enak menikmati hidangan lauk kenduri ini. Gelas berisi air sirap yang berada agak jauh sedikit itu dicapai. Segera air sirap itu diteguk agar tidak tercekik sebelum bersuara.

“Okey.” Balas Airani sepatah sambil mengukir senyuman.

“Baguslah. Takapa Aira. Jodoh dengan orang lain kut.” Kata Makcik Zaharah sambil tersenyum simpul memandang emak. Emak juga begitu. Membalas dengan senyuman makcik Zaharah dengan satu senyumana yang penuh makna. Ah sudah! Airani senyum payah.

“Awak minum air saya.”

Tegur Fendi, apabila Airani meneguk lagi air di dalam gelas itu. Mujur air yang Airani minum sempat masuk ke dalam salur kerongkong, kalau tidak Fendi pasti akan bermandi dengan air semburan dari mulutnya. Oucchhh!! Muka Airani pasti merona merah. Bagaimana dia boleh terlupa yang dia memang tak ambil air tadi. Airani menjadi kelu kerana sekarang dia benar-benar sedang menanggung malu.

“taka pa. mula-mula berkongsi air, nanti mana tahu boleh berkongsi kasih sayang pulak.” Ujar Fendi bersama senyuman nakal. Gelas air sirap itu dimain-main.

“Ngee… tak mahu aku. Kirim salam!” Balas Airani serta merta. Walaupun suara Fendi itu perlahan sahaja, tetapi dia jelas dapat menangkap seketul-ketul perkataan yang keluar dari mulut Fendi itu. Amboi, tingginya impian. Melebih-lebih sampai mahu berkongsi kasih sayang pulak dah.

Fendi ketawa kecil mendengar kata-kata Airani itu. Getik Airani melihat Fendi yang ketawa begitu. Dia sekadar menjeling sahaja.

“Tu dia. Pengantin dah datang.” Pekik dua tiga orang tetamu yang sedang sama-sama menikmati hidangan di meja kami. Bunyi paluan kompang menggamat kan suasana. Kelihatannya Lutfi dan Kak Fiza sedang jalan beriringan. Mereka mengenakan busana pengantin berwarna ungu perlahan.

Cantiknya. Desis hati kecil Airani yang turut mengakui kenyataan yang mereka berdua sangat cantik dan sepadan. Saat ini, dia seperti cemburu melihat kak Fiza. Sepatutnya dialah pengantin perempuan yang berjalan beriringan dengan lutfi dan menerima doa dari seluruh tetamu untuk kebahagian kami berdua. Tapi, huh… sukarnya mahu menerima kenyataan yang ianya bukanlah Dian Airani. Ia adalah kak fiza. Kak fiza itulah. Kak fiza kakak angkat Airani yang konon-konon telah berjanji mahu menjaga Lutfi untuk Airani dahulu yang rupa-rupanya memang berhajat mahu menjaga lutfi untuk seluruh kehidupannya. Airani merengus kasar. Pandangannya kea rah pasangan pengantin itu penuh dengan rasa dendam dan marah yang amat sangat! Ya. Yang amat-amat sangat!

“emak nak balik.” Airani bersuara. Tidak betah berlama-lama di sini.

“Alah… Emak nak tengok pengantin bersanding.”

Balas emak yang masih lagi beriya-iya mahu melihat bakal menantu tidak jadinya itu bersanding. Emak ni dasyatlah. Tak sentap langsung kan dia. Lutfi tu kan ker bakal menantu yang sepatutnya berkahwin dengan anak emak yang malang ni. Huh.. desis hati kecil Airani lagi.

“Tak apalah. Orang balik jalna kaki ajer. Bukan jauh pun.” Airani berkata lagi.

“Pergilah. Jalan elok-elok.”

Pesan emak.

“Yerlah.” Airani menjawab rendah. “Eh… Ini bunga telur ni tak nak bawak balik ker.” Emak bersuara apabila Airani tidak mengambil bakul kaca kecil berisi telur, cenderahati hati pasangan pengantin untuk tetamu yang hadir. Sebagai kenang-kenangan. “Mak bawaklah.” Airani bersuara sebelum terus pergi. Malas eh… siapa lagi mahu cenderahati kenangan-kenangan dari majlis mereka. Cemuhnya sendiri.

Fendi melihat Aira yang sudah pergi meninggalkan majlis. “Emak…emak nak balik.”

“Ish kamu ni. Mak belum tengok lagi pengantin bersanding ni.” Balas Puan Zaharah.

“Taka pa-apa. Fendi jalan kaki jer.” Ujar Fendi sedikit tergesa-gesa.

“Fendi…” Panggil Puan Zaharah.

Fendi berpaling. “Apa dia mak.” Soalnya cepat.

“Be a man!”

Hahaha… fendi benar-benar ketawa besar mendengar kata-kata semangat dari ibunya itu. Ya. Anak emak ini memang seorang lelaki. Lelaki budiman kaedahnya. Sebagai seorang lelaki budiman dia tidak akan membiarkan seorang perempuan berjalan kaki pulang ke rumah seorang diri dalam keadaan sedih setelah melihat pelamin angannya musnah! Wah!! Seperti lagu nyanyian Cik Kiah Mekropon tadi.





“Aira…sekejap.”

Airani berpaling kebelakang melihat gerangan pemilik suara yang menyapanya. Kelihatan Fendi sedang berlari-lari anak untuk menyaingi langkah bersama-sama. Airani sekadar buat tidak tahu. Langkah laju terus dihayunkan.

“Aira.. sekejaplah. Gila laju awak berjalan.” Ujar Fendi lagi apabila dia sudah mula jalan beriringan dengan aku.

“Kau ikut aku.” Airani bertanya bersama kening yang terjongket sebelah.

Fendi menggeleng laju. “Tak. Mana ada. Saya nak balik.” Ujarnya sambil tersengih.

Airani menjuling mata ke atas. “Yerlah tu.” Balasnya senada.

“Bila nak balik KL.” Sengaja Fendi menyoal bagi menghilangkan kesunyian antara mereka berdua.

“Kau sibuk nak tahu apa hal.” Balas Airani sombong.

“Tak payahlah nak sombong sangat. Apasal awak sombong sangat dengan saya hah. Rasa kecil-kecil dahulu kita okey jerk an.”

“Fendi kau dengan aku tak pernah okey dari kecik.” Marah Airani lagi.

“Okey… kalau macam tu apa kata kita okeykan keadaan tu sekarang. At least tak terlewat kan. Awak dan saya jadi kawan.”

“Kawan dengan kau. MImpilah! Dah pergi jalan jauh-jauh. Jangan jalan dekat-dekat aku.”

“Tak apa. take your time. Saya teman awak balik ya.”

“Kau ni memang jenis tak faham bahasa melayu kan.” Ujar Airani tanpa mahu menghabiskan air liur untuk berbicara dengan orang yang tidak pernah faham bahasa seperti Fendi ini. Dia terus mempercepatkan langkah untuk pulang ke rumah agar dapat menonton Panggung Sabtu di tv3.









Pencinta Terbaik 4

“Airani….” Fendi menegur mesra apabila melihat kelibat Airani di dalam kedai runcit Pak Abu.


Airani pula entah mengapa apabila terpandangkan wajah Fendi terus sahaja moodnya lari tiba-tiba. Fendi dijeling tajam.

“Apa khabar.” Fendi menyoal. Sengaja dia mengekori Airani yang sedang mencari-cari barang di rak makanan ringan di dalam kedai runcit ini.

“Apa pendapat awak dengan nyanyian saya kelmarin. Cair tak.” Fendi menyoal lagi bersama kening yang sudah menari ronggeng. Jalan Airani cuba dihalang. Walaupun Airani masih lagi pasif tanpa memberi sebarang tindak balas, itu semua sedikit pun tidak mematahkan semangat Fendi. Alah… Aira sudah free. Anytime dia boleh masuk line. Desis hati Fendi nakal.

Kening Airani naik tinggi sebelah. Matanya juga dibulatkan menunjukkan dia sangat tidak suka diperlakukan sebegini, di dalam kedai Pak Abu. Fendi dari zaman gelapnya tidak pernah berubah. Selalu sahaja mahu menyakitkan hati Airani tidak kira tempat. Kedai Pak Abu pun jadi. Huhh.. “Ehy… Awak jangan nak halang jalan saya boleh tak. Tepilah!” Marah Airani. Badan sasa Fendi di tolak ke tepi.

Fendi sedikit pun tidak terkesan dengan suara Airani yang meninggi kerana memarahinya sebentar tadi. Hatinya sudah tertawan, jadi suara Airani yang sedang memetir itu pun dirasakan lembut di telinga. Terasa baru lepas dipuji menggunung tinggi. “Awak pergi tak kenduri Lutfi dengan Fiza nanti.” Fendi masih lagi berusaha untuk memancing minat Airani untuk memberi tindak balas kepadanya. Namun gadis itu masih lagi membatu. Dia dijeling lagi.

“Ehh… Takkanlah awak taknak pergi kan. Yerlah korang kan sahabat sejati. Fiza pun mesti nak awak yang jadi pengapit dia nanti.” Kali ini sengaja Fendi mahu mencurah minyak ke dalam hati Airani.

“Ehhh…sekejap..sekejap… Tapi awak nak ker jadi pengapit Fiza sedangkan rasa-rasanya dulu Fiza yang akan jadi pengapit masa awak bersanding dengan Lutfi kan.” Fendi cuba bermonolog sendiri, tetapi secara kuat-kuat. Dia mahu Airani mendengarnya.

“Saya confius lah sekarang ni. Dulu-dulu tu mesti awak yang syok sendiri dengna Lutfi kan. Tapi Lutfi tak suka dekat awak pun….” Fendi bersuara sinis pula.

“Heyy!! Kau ni kenapa hah. Ngee… Blahlah!” Airani memetir. Kali ini kuat dan lantang. Yang pasti kali ini, bersama mata yang berkaca. Semua barang runcit yang ada ditangan dihempas kuas ke atas rak kembali. Airani terus pergi dari kedai Pak Abu.

Airani tidak tahan lagi dengan kata-kata Fendi yang penuh dengan sindiran itu. Sudah cukup dia menjadi bahan sindiran dan umpatan seluruh penduduk kampung semenjak Lutfi berkahwin dengna perempuan lain. Dia tidak mahu lagi dijadikan bahan jenaka untuk mereka. Dia ada hati dan perasaan.

Di dalam perjalanan pulan kerumah, jenuh si Fendi meriam buluh itu dimaki oleh Airani. Rasa macam nak sumpah biar jadi mangkuk tandas. Rasa macam nak bunuh sahaja lelaki ini. Bencinya Airani kepada lelaki bermulut puaka ini membuak-buak.



Fendi terkulat-kulat melihat Airani pergi begitu sahaja. Dia sekadar memandang baying Airani yang semakin hilang dari pandangan.

“Kamu ni kan Fendi, memang tak pernah nak berubah kan. Kenapalah si Aira yang tengah patah hati tu jugak yang kau pergi kacau.”

Sapaan Pak Abu menyedarkan Fendi. Dia kemudian tersenyum.

“Alah… Saya main-main ajerlah Pak Abu.” Kata Fendi sambil ketawa kecil.

Pak Abu menggeleng-gelengkan kepala. “Kamu main-mainkan pelanggan Pak Abu. Tengok ni. Dah lari seorang pelanggan Pak Abu.” Marah Pak Abu.

Fendi ketawa besar melihat Pak Abu yang sudah tua itu marah-marah hanya kerana seorang pelanggannya lari. “Alah.. Kecoh lah pak Abu ni. Mehlah saya bayarkan barang-barang si Aira ni.” Balas Fendi. Barang-barang yang tidak jadi dibeli oleh Airani tadi diambil semula dan diletakkan di atas meja kaunter.

“Kamu suka dia ya. Pak Abu tahu Naz, dari zaman korang sekolah-sekolah dulu pak Abu dah nampak kamu sukakan si Aira.” Usik Pak Abu sambil-sambil jemarinya menekan kalkulator besar untuk mengira semua jumlah harga barangan ini.

“Hish… Pak Abu ni. Mana ada.” Balas Fendi sambil terkulat-kulat malu.

“Cara kamu duk asyik mengusik Aira tu Pak Abu dah boleh tahu.” Ujar Pak Abu pula.

“Dah lah Pak Abu. Saya beli.” Ujar Fendi sebelum cepat-cepat dia berlalu meninggalkan Pak Abu dan spekulasinya itu.





“Hah Fendi, naiklah.” Pelawa Mak Mah sebaik sahaja melihat gerangan tetamu yang datang ke rumahnya petang-petang begini.

“Eh.. Tak apa Mak Mah. Ni… Aira tertinggal barang yang dia beli dekat kedai Pak Abu tadi.” Kata Fendi penuh hormat.

“Owhh… Aira…Aira… Ni, Fendi tunggu dekat bawah. Katanya kamu tertinggal barang yang kamu beli dekat kedai Pak Abu tadi.” Mak Mah memanggil Airani.

Airani keluar dari rumah dengan muka yang masam mencuka. Sementara itu ibunya telah pergi ke dapur menyambung kerja yang tertinggal tadi.

“Meh sini.” Kata Airani seraya tangannya ganas terus merampas beg plastic dari tangan Fendi.

“Amboi. Main rampas macam tu jer. Dah lah saya yang tolong bayarkan barang awak ni. terima kasih pun tak.” Balas Fendi seperti sedikit terasa hati. Beberapa saat kemudian dia kembali bersama sengih nakalnya itu. Sengih yang selalu sahaja membuatkan hati Airani menggelegak panas.

“Nah… Duit.” Airani menghulurkan not RM5 itu kepada Fendi.

“Eyhhh… Tak payahlah. Saya belanja awak.” Fendi menolak. Ikhlas hari ini dia mahu belanja Airani di kedai Pak Abu sebagai tanda minta maaf di atas sikapnya yang selalu membuatkan hati gadis ini naik jengkel dengannya.

“Saya taknak termakan budi dengan orang yang saya tak suka.” Jawab Airani sombong. Fendi dijeling tajam. “Ambilah.” Not RM5 tadi diunjuk sekali lagi.

“Kenapa? Takut bila termakan budi nanti tergadai body.” Fendi membalas sarcastic.

Automatik bola mata Airani terjegil besar.

“Okey…okey…sikit-sikitkan nak jegil-jegilkan mata. Ini tak cukup lagi 30 sen ni. Semua ni harga RM5.30.” Kata Fendi malas lagi mahu menambahkan rebut taufan antara mereka berdua.

“Alah…30 sen jer kut.” Cemuh Airani dengan sikap Fendi yang kedekut 30 sen itu.

“Kalau awak nak termakan budi 30 sen saya ni, saya okey jer. Awak lah. tak takut ker nanti.” Kening Fendi sudah mula menari ronggeng. Ritma suaranya juga menjadi nakal kembali.

“Awak ni kan, memang menyakitkan hati kan. Tunggulah kejap.” Airani mendengus geram. Dengan perasaan sebal dia kembali naik ke atas rumah untuk membawa 30 sen lagi baki wang yang dia berhutang dengan Fendi tadi.

“Nah, 50 sen. Saya halal jer baki 20 sen tu. Tak payah nak takut nanti-nanti tu nak tergadai apa.” Syiling 50sen itu diletakkan di atas telapak tangan Fendi yang sudah tersedia ditadah.

“Alah awak ni. saya dah lama pun gadaikan hati saya ni untuk awak.” Ujar Fendi sambil mengekek ketawa.

Airani membuat muka jelik. Nak termuntah pun iya mendengar kata-kata Fendi itu. Entah-entah sudah berapa ramai anak gadis yang telah dipergunakan dengan menggunakan ayatnya itu. “Fendi, mari naik dulu. Mak Mah baru goreng cucur udang.” Mak Mah kembali ke hadapan untuk mempelawa Fendi naik ke atas. Hidangan minum petang cucur udang dan milo panas sudah tersedia di ruang tamu rumah.

“Rezeki jangan ditolak Mak Mah.” Ujar Fendi bersama senyum segaris.

“Mak tak…” Airani cepat menyampuk sebelum Fendi berlalu ke anak tangga untuk naik ke atas. Tangan kanannya didepa untuk menghalang Fendi dari membuka langkah. Fendi melihat tingkah Airani itu dengan pelik.

“Ermm.. dia kena balik. Se…karang…” Beritahu Airani sedikit gagap.

“Makanlah dulu, lepas tu baru balik.” Ujar Mak Mah sedikit memujuk Fendi agar menjamah sedikit hidangan yang telahpun tersedia itu.

“Tak mak.” Airani menyampuk laju sebelum sempat Fendi membuka mulut. “Dia kena balik sekarang jugak. Kalau dia balik lambat, nanti…ermm…nanti Haji Zaini pelupuh dia dengan batang paip.” Beritahu Airani. “Hah… Batang paip.” Katanya lagi dengan bersungguh-sungguh sambil kepala diangguk-angguk.

“Hai… Fendi. Takkan dah besar-besar pun kena pelupuh jugak kut.” Mak Mah ketawa kecil mendengar kata-kata Airani itu. Sememangnya kecil-kecil dahulu Fendi sering kali dirotan oleh ayahnya kerana perangai yang sedikit nakal.

“Kalau macam tu tunggu sekejap, Mak Mah pergi bungkuskan cucur udang untuk kamu bawak balik. Boleh makan dengan mak ayah kamu.” Mak Mah berlalu sekali lagi meninggalkan Airani dan Fendi untuk membungkus cucur undang buat Fendi dan keluarganya.

“Kejam betul awak ni Aira, malukan saya depan mak awak. Ada ker cakap saya yang dah besar ni masih kena pukul dengan Haji Zaini.” Kata Fendi sedikit bengang.

“Memang pun kan. Dahlah. Anyway terima kasih banyak-banyak.” Balas Airani sambil senyum mengejek kepada Fendi. Dia terus masuk ke dalam rumah dan membiarkan Fendi terkebil-kebil di bawah sementara menunggu ibunya membungkuskan cucur udang.

Friday, March 2, 2012

Calon Jodoh Untuk Adik

Istimewa untuk Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur 2012

Monday, February 20, 2012

Sesi Book Signing Yang Pertama Tahun Ini


p/s: Kalau ada masa meh la datang ramai-ramai.

Wednesday, February 15, 2012

Pencinta Terbaik 3

BAB 3


“Fendi, jodoh kau datanglah.” Zaki berbisik nakal sambil tangannya membetulkan tali gitar. Fendi yang bersinar-sinar biji matanya dengan kehadiran Airani yang tanpa diduga itu mendapat satu idea. Rambut yang kemas tadi sengaja diserabut-serabutkan sedikit. Sengaja rambutnya itu dibiarkan terjuntai sebelah. Konon-kononnya inspirasi artis Kpop. Anak gadis zaman sekarang semuanya berangan-angan nak ada boyfriend gaya Kpop. Mungkin Airani juga mahu boyfriend bergaya begitu.

Zaki dan yang lain sedikit pelik melihat Fendi yang tiba-tiba mengubah gaya rambutnya itu, tetapi tiada seorang pun terlintas nak bertanya kenapa dia berbuat demikian. Mereka lebih berminat nak tengok apa yang ingin dilakukan oleh Fendi pada Airani sekejap lagi. Alah, kalau dua makhluk ini bertembung, mesti ada sahaja perkara yang berlaku. Harap, Airani tak akan baling kerusi dekat kedai Abang Roslan ini pula ke kepala Fendi kerana dahulu selipar jepun Airani pernah sahaja melayang tepat mengena kepala Fendi.

“Airani…..” Tegur Fendi bersama kening terjongket-jongket. Jalan Airani dihalang. Dia tersenyum nakal sambil mengejit mata ke arah gadis itu.

Airani mendengus geram. “Apahal kau ni?” Soalnya keras. Dia sempat melihat rambut Fendi yang sedikit pelik. Tak sukanya apabila lelaki Melayu yang ada feeling nak jadi macam artis Korea. Tolong. Tak sesuai langsung!

“Kau mesti nak cakap aku kiut kan.” Ujar Fendi apabila dia perasan Airani sedang memerhatinya.

Airani buat muka. Sekarang ini terasa nak termuntah juga. “Tak ada maknanya. Alignment rambut berterabur.” Katanya masih lagi bernada kasar sambil telunjuk menunjuk ke arah rambut serabut Fendi itu.

Fendi ketawa besar mendengar sindiran tajam Airani itu. “Laa… Kau tak suka ker. Aku ingatkan kau set-set awek yang suka pakwe ala-ala Kepop.” Ujar Fendi dalam gelak tawanya. Telahannya silap. Airani rupanya sukakan lelaki Melayu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh muzik dari negara luar. Mungkin Airani bercitarasa lelaki Melayu terakhir ala-ala Remy Ishak. Mungkin!



Airani menjulingkan mata di atas. Benci betul dia pada Fendi. Dari kecil, bawa ke zaman remaja sampai dia dah jadi tua bangka pun masih lagi mempunyai modal untuk menyakitkan hatinya. “Kau ni gilalah. Tepi lah sikit. Aku nak makan.” Kata Airani tidak lagi terfikir mahu bercakap elok-elok dengan lelaki ini. Badan tegapnya dia tolak ke tepi.

Fendi seperti kebiasaannya sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata Airani yang tak pernah pun lembut apabila bercakap denganya. Dia tidak kisah pun kerana mulut celupar Airani itulah buat dia jatuh cinta dari dulu sehingga sekarang. Perasaan indah yang tak pernah berubah walaupun dia tahu, kala ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. “Tak apa. Sambil-sambil kau makan, mari sini aku dendangkan sebuah lagu untuk kau.” Fendi berteriak sebelum bersiap sedia untuk membuat show tidak berbayar malam ini.



“Beb saper tu. Kiutlah muka dia.” Soal Asyila sambil matanya masih lagi memberi tumpuan kepada lelaki yang telah menghalang jalan mereka tadi. Dia sangat tertarik pada gaya lelaki itu yang bersahaja. Apatah lagi lelaki itu memang sangat menarik pun.

Airani menoleh belakang. Dia lihat Fendi sedang melambai-lambaikan tangannya ke arahnya. Dia bukanlah mahu curi-curi lihat Fendi yang sedang bersedia di pentas kecil di hadapan kedai makan Abang Roslan ini cumanya dia mahu mencari, dimana kiut yang Syila katakan tadi. Tak nampak pun!

“Kau tak rasa ke itu muka pecah rumah. Kiut kemendanya.” Balas Airani sarcastik.

Asyila mencebek sahaja mendengar kata-kata Airani itu. “Kiutlah. Haihh… Nasib baiklah aku ni dah bertunang. Kalau tak mahu jugaklah kut aku tersangkut dengan budak kampung kau ni.” Ujar Asyila. Dua belah tangan diletakkan di dada sambil mata menjuling ke atas. Bercakap dengan dramatik adalah tabiatnya dari kecil.

Airani letih melihat gelagat teman baiknya yang seorang ini. Teh o ais disedut sementara menanti makanan yang kami pesan tadi sampai. “Kau tahu tak itu siapa.” Airani berkata.

Asyila menjungkit bahu. “Tak tahu.” Katanya tanpa memandang wajah Airani. Dia lebih berminat budak-budak lelaki di atas pentas itu, tambah-tambah pula mereka sudah mula mahu bermain alat muzik. Seronok pula sesekali tengok persembahan kugiran seperti ini.

“Itulah Fendi. Orang kampung ni yang paling aku benci. Yang tak pernah nak tengok aku senang.” Airani memberitahu siapa sebenarnya lelaki yang baru sekejap tadi dia rasa telah menggugat kedudukan Fauzi sebagai tunangan Asyila. Apalah Syila ni. Lelaki seperti Fendi pun boleh buat dia gedik on the spot. Desis Airani.

Asyila memandang tepat ke wajah Airani. Dahinya berkerut. “Yer ker. Tapi lain sangatlah dari apa yang aku dengar kau cerita dengan apa yang aku tengok. Tak adalah teruk sangat. Okey apa.” Asyila memberi pendapat dua puluh sen. Memang benar. Sebelum ini dia hanya mendengar cerita dari Airani sahaja tentang Fendi. Entah kenapa, setiap kali ada benda yang memualkan, menjelikan, menyebalkan semuanya akan Airani samakan seperti Fendi. Mulanya dia juga ingatkan Fendi itu pasti jelmaan momok yang telah menjadi mimpi ngeri dalam kehidupan lalu Airani. Tapi hari ini apabila berkesempatan bertemu saling bertentang mata Fendi bukan seperti apa yang selalu Airani ceritakan. Airani pandai menokok tambah. Fendi tu okey. Kiut kut. Hey! Hey!

“Tak ada okeynya. Ngee… menyampahlah aku tengok dia.” Ujar Airani penuh menunjukkan rasa meluat. Getik pula dia melihat Syila tidak habis lagi memuji Fendi. Dia rasa mahu sahaja merepot pada Fauzi yang tunang kesayangannya ini sudah mula pandai melihat lelaki lain.

Asyila ketawa kecil melihat tingkah Airani itu. bukan main lagi Airani membenci Fendi. “Kau ni bahaya tau. Biasanya yang menyampah tu la lastnya jadi orang yang paling kau sayang.” Ujar Asyila masih lagi tidak mahu berhenti ketawa apabila melihat muka Airani yang bertambah kelat dan ketat.

“Ni teori mana pulak yang kau pakai ni.” Airani menyoal.

“Aku baca dalam novel melayulah. Drama korea pun macam tu jugak tau.” Asyila menjawab selamba.

Airani menggeleng-geleng perlahan. “Kau ni mental cepat betul terpengaruh.” Balasnya kemudian.

Asyila kembali mengekek ketawa. “Biarlah. Janji aku suka.” Katanya dalam keadaan gedik gelencat cuba mencuri perhatian anak muda kampung yang masih lagi menghibur pengunjung restoran ini.

“Beb, kita tapau ajerlah ek. Aku takut selera aku hilang kalau makan dekat sini nanti.” Airani memberi usul apabila dia rasakan lama sangat pula masa yang perlu di ambil oleh tukang masak restoran Abang Roslan ini menyiapkan dua pinggan nasi goreng USA dan tomyam campur itu.

“Alah… Takkan kau taknak makan dekat sini. Kau taknak tengok mamat tu perform ker.” Balas Asyila yang menjelaskan dia tidak bersetuju dengan usul Airani itu.

“Taknaklah aku. Aku tahu sangat. Dia bukannya nak menyumbangkan lagu. Mensumbangkan adalah.” Airani masih lagi berfikiran negatif tentang Fendi padahal dia tak pernah pun dengar suara Fendi apabila menyanyi. Dia bukan apa, cuma berhati-hati. Dia takut hujan lebat, petir berdentum dentam pula nanti sebelum kami berdua sempat pulang ke rumah.

“Jomlah.” Airani mengajak Asyila.

“Mengadalah kau ni. Lepak kejaplah. Aku nak jugak tengok, budak-budak dekat kampung kau ni ada talent ke tak.” Marah Asyila dengan sikap tidak menyempat Airani itu.

“Ke lautlah beb.” Airani negatif lagi. Baiklah. Dia memang akan negatif memanjang apa sahaja yang kena mengena dengan Fendi.

“Tak mahu. Tak mahu. Aku nak makan dekat sini jugak.”

Melihat Asyila yang sudah membentak seperti budak kecil membuatkan Airani terpaksa akur pada kemahuan Asyila yang ingin juga makan di sini. Mujur sehingga tamat show tidak berbayar ini keadaan cuaca elok-elok sahaja. Semasa Fendi menyanyi lagu Anuar Zain tadi, suara dia sedaplah. Airani terpaksa positif untuk kali ini kerana suara lunak Fendi adalah anugerah yang Allah berikan kepadanya. Tak baik pula kalau anugerah itu diperkotak katikkan. Memang sedap suaranya itu. Percayalah!





“Beb, aku memang tak sangka, Fendi yang selalu kau momok-momokkan pada aku tu rupanya sweet jer kut orangnya. Kau tak rasa something ker beb. Aku ni, yang cuma mendengar jer pun, rasa melting habis dengan lagu yang dia nyanyi tu ini kan pulak kau, yang ditujukan khas.” Kata Asyila mula membuka cerita ketika di restoran tadi sebelum tidur. Lengannya dibawa ke dahi. Sambil berbaring dia tersenyum-senyum sambil memandang kipas siling yang ligat berpusing.

“Nak rasa apa. Bukan dia cipta lagu tu lepas tu nyanyi pada aku pun.” Ujar Airani biasa-biasa. Pada Airani, tak ada yang istimewa pun jika hanya menyanyikan lagu Anuar Zain dan claim macam itu lagi sendiri, menyanyi-menyanyi sambil feeling sepenuh hati. Lebih kurang budak AF jer.

Asyila mencebek menyampah dengan Airani yang tidak habis-habis memandang rendah kepada kemampuan Fendi. “Melampaulahlah tu. Kau ingat kau tu siapa, nak dia cipta lagu lepas tu tuju dekat kau.” Sedas Asyila tepat. Dia mahu Airani sedar supaya tidak terus berlagak diva. Macamlah dia tu ratu cantik ker, puteri kayangan ker, takpun macamlah dia tu dewi remaja macam Neelofa sampai nak ada orang cipta lagu khas untuk dia. Huh!!



Kali ini giliran Airani pula yang tersenyum malu dengan sindiran pedas Asyila tu. “Yang kau beriya-iya sangat memuji mamat tu apahal. Kau tak kenal dia.” Balas Airani. Dia tidak suka apabila teman baiknya sendiri kini seperti telah dipukau melalui lagu Sedetik Lebih yang dinyanyikan oleh Fendi tadi. “Aku report dekat Fauzi nanti baru tau.” Airani mengugut. Dia harap dengan ugutan lembut ini, Syila akan berhenti dari terus menerus memuji Fendi. Dia tidak mahu tema untuk malam ini semuanya berkonsep Fendi sahaja.

“Taklah. Aku cakap benda yang betul jer. Eyhh… Takkan itu pun kau nak mereport kat Fauzi. Tak bestlah wey. Sikit-sikit nak report. Dah lah paksa aku makan cepat-cepat tadi. Nasib tak tercekik jer tadi tau.” Kata Asyila yang sedikit bengang mendengar ugutan dari Airani itu.

“Kalau kau taknak aku report Fauzi baik kau stop. Tak mahu lah cerita pasal mamat tu. Esok kau balik KL dulu yer. Aku nak habiskan cuti aku dekat sini dululah.” Ujar Airani seraya melabuhkan kepala di atas bantal.

“Kau jangan nak mengada sambung-sambung cuti ataupun pergi beli MC palsu pulak tau. Bos bisinglah, kau tak ada. Jenuhlah aku asyik nak cover kerja kau jer.” Asyila sempat berpesan sebelum Airani dibuai mimpi.

“Yerlah. Habis cuti aku nanti aku baliklah.” Ujar Airani perlahan.

“Esok aku nak balik tau.”

“Cepatnya. Kau baru sampai siang tadi. Takkan nak balik dah. Ahad ni kenduri Lutfi dengan Fiza, kau tak nak pergi ker.” Airani menyoal tentang acara pada Ahad ini. Ya, acara yang telah dimasukkan di dalam calendar hidupnya. Yang akan diingati sampai bila-bila. Majlis resepsi pasangan Lutfi dan Hafizah!

“Hish… Apa kena mengena dengan aku. Aku Lutfi tu pun aku tak kenal. Bukannya aku dijemput pun.” Balas Syila sambil membuat muka jelik. Benar, dia jelik dengan pasangan doktor itu. Walaupun dia tidak mengenali langsung siapakah Lutfi Adam dan Nur Hafizah itu, tetapi sebagai best friend forever kepada Dian Airani yang telah dikhianati, dia juga turut sama menyimpan perasaan menyampah dan benci kepada orang-orang yang bertanggungjawab membuatkan Airani terluka.

“Suka hati kaulah. Apa-apa pun terima kasih sebab ambil berat pasal aku. Sanggup pulak cuti semata-mata nak tgk keadaan aku kat sini. Padahal aku okey jer kut.” Ucap Airani sedikit terharu dengan kesudian temannya itu yang sanggup datang melawat dia di kampung semata-mata untuk memastikan keadaan hidupnya baik.

“Kata kawan.” Balas Syila sambil kening menari-nari.

“Aku sayang kau. Tapi boleh tak kalau kita stop berborak. Esok pagi-pagi kau nak drive balik kan. Lebih baik kau tidur. Aku pun dah mengantok ni.” Ujar Airani. Mulut yang menguap luas ditutup dengan tangan.Teddy bear pink pemberian Lutfi dahulu dipeluk erat.

“Hey!!!” Airani terjerit apabila Asyila menarik kasar teddy bear itu dan dicampak ke bawah katil.

“Tolonglah. Geli aku dah tua-tua tidur pun nak berkepit dengan teddy bear.” Balas Asyila dengan nada geli geleman sebelum dia pergi menutup lampu.

Airani sekadar merengus perlahan. Dia malas nak kutip balik kerana nanti Syila pasti akan membuangnya ke bawah juga apabila dia telah tidur nanti.

Tuesday, February 14, 2012

Pencinta Terbaik 2

BAB 2

“Kad kahwin siapa ni mak.” Soal Affendi. Kad jemputan walimatulurus berwarna perak bertulisan emas di atas rak tv diambil

“Lutfi dengan Fiza. Hari minggu ni. Dah alang-alang kamu ada kat kampung, jangan tak pergi pulak. Pakcik Borhan dengan Makcik Latifah dah jemput kita semua satu keluarga.” Beritahu Cik Ton tanpa memandangkan ke wajah anak terunanya itu. pandanganya masih setia pada skrin televisyen.

Mulut Affendi sedikit melopong mendengar kata-kata emaknya itu. “Lutfi dengan Fiza? Bukan Lutfi dengan Aira.” Ujar Fendi cuba mendapatkan sedikit penjelasan daripada emaknya yang masih lagi fokus menonton aksi Baim Wong di dalam senetron. Haihhh Cik Ton. Patutlah ayah bising-bising sahaja semenjak menambah pakej IndoPek di dalam bil Astro. Emak langsung tak jadi kerja dibuatnya. Pagi petang siang malam asyik dengan sinetron.

“Tu la kamu Fendi, balik kampung tu jarang. Tu sebab banyak benda sensasi yang jadi dekat kampung ni pun kamu terlepas. Lutfi dengan Fiza, deme dah kahwin tiga bulan sebelum deme tu balik Malaysia.” Ujar Cik Ton senafas.

“Sungguh mak.” Mata Affendi sudah bersinar-sinar seperti bersinarnya hatinya kala ini. Maknanya, jalan untuk dia sudah terbuka luas. Tanpa pesaing, pastilah dia boleh menang tanpa bertanding.

“Yerlah. Ini cuma tinggal kenduri ajerlah.” Ujar Cik Ton lagi.

“Bulan lepas Fendi balik tak ada dengar cerita pun.” Kata Affendi pelik pula. Angin tiada, ribut tiada, tiba-tiba Fiza dengan Lutfi pula.

“Keluarga Fiza dengan Lutfi senyap-senyap jer masa deme nikah tu. Nak bagi surprise satu kampung kut.” Balas Cik Ton.

“Memang surprise ni mak.” Kata Affendi. Tanpa dia sedar dia mengukir senyuman manis.

“Padanlah tu, dua dua doktor. Dua dua belajar luar negeri. Dua dua bijak.”

“Habis kalau Fiza dengan Lutfi tu sepadan Aira macam mana pulak mak. Bukan satu kampung ke tahu Aira dengan Lutfi tu pasangan paling ideal sekali ker.” Kata Affendi pula. Dari intonansi suaranya itu, jelas dia cukup jelik dengan jolokan yang diberikan oleh orang kampung tentang betapa idealnya Lutfi dan Airani dahulu.

Cik Ton terdiam sejenak. Dia memerhati Fendi yang sudah duduk disebelahnya. Teringat pula pada budak Airani itu. Semalam semasa dia singgah sebentar di rumah Cik Zaharah selepas pulang dari klinik, kelihatannya Airani agak teruk juga. Sedih memanjang kata Cik Zaharah. Terkejut barangkali. Mana tidaknya, Airani bercuti di kampung untuk bertemu Lutfi yang baru pulang dari luar negara, alih-alih berita ini pula yang dia terima. “Dah tak ada jodoh la tu.” Balas Cik Ton perlahan. Dia memang kasihan melihat Airani. Kalau boleh mahu sahaja Airani itu dibuat menantu. Itupun kalau Fendi mahulah. Tapi kalau Fendi mahu belum tentu Airani mahukan anak terunanya itu. Mereka dari kecil sampai ke dewasa tak pernah berbaik-baik. Bergaduh memanjang.

“Laa… Macam tu jer.”

“Habis tu kamu nak macam mana.”

“Bagus juga. Ada chance la lagi Fendi nak cuba usha line si Aira tu.” Tanpa memandang wajah emak kening Fendi sudah mula menari ronggeng bersama senyuman yang sukar untuk ditafsirkan. Belum tentu jadi, dia yakin seratus peratus, ini pasti senyuman bahagia.

Automatik kepala Cik Ton berpaling ke tepi untuk memandang wajah anak terunanya. “Apa dia?” Soal Cik Ton cuba mendekatkan cuping telinganya kepada Fendi. Dia mahu mendengar kembali apa yang diucapkan oleh Fendi tadi.

Fendi kalut. Dia tidak mahu kantoi di hadapan emak. Lagipun dia tidak mahu emak menyedari yang selama ini emak mempunyai seorang anak lelaki yang jiwang memendam perasaan pada anak dara Makcik Zaharah dan Pakcik Marzuki itu. Malulah, kerana selama ini emak bukan tahu pun yang dia syok gila pada Airani. Yang emak tahu, dia dan Airani seteru. “Eh…Tak adalah mak. Emak tukar yer mak. Tak habis-habislah mak ni dari siang bawak ke malam tengok sinetron. Slang pun kadang-kadang Fendi dengar dah macam orang seberang jer.” Affendi cuba mengalih topik. Remote controller diambil. Kini turn dia pula melayan ESPN.

“Kamu jangan nak mengada. Emak nak tengok Baim Wong tu.” Marah Cik Ton. Remote controller dari tangan Fendi diambil. Cepat-cepat dia mengalih semula ke channel Pelangi.

Affendi mengeluh lemah apabila dia juga terpaksa melayan anak angkat emak si Baim Wong ini juga. “Alah emak ni. Kenapalah masa mak mengandungkan Fendi dulu emak tak tengok cerita-cerita yang ada hero hensem ni. Kalau tak terkenan jugak Fendi ni muka yang konon-konon emak kata kacak sangat tu.”

Cik Ton tidak menghiraukan bebelan Fendi itu. “Kamu tu terlebih gen bapak kamu. Kalau ikut gen mak, kamu duk sebelah Tom Cruise pun orang tak boleh cam, kamu Tom Cruise ker, Tom Cruise tu kamu.” Ujar Cik Ton.

Affendi melopong mendengar kata-kata emaknya itu. Canggih juga impian emak mahukan anak lelaki setampan Tom Cruise. “Wahh… Bukan main lagi mak ni. Sejak bila keturunan mak ada darah-darah mat salleh. Mak bukan jawa ker.” Kata Affendi terus melepaskan ketawa. Emaknya memang begitu. Pandai bergurau. Tak reti nak marah-marah. Patutlah emak dan ayah sepadan. Kalau tengok dari gaya ayah, jangan berani nak dibuat main. Ayah tu garang gila.

“Sudahlah Fendi. Mengacau jer mak nak layan sinetron. Pergi buat benda lain.” Arah Cik Ton agar Affendi pergi dari sini dan berhenti mengacau dia yang sedang menonton sinetron. Inilah peluang dapat tengok siaran ulangan. Kalau nak ikut waktu sebenar, tak masak lah dia jawabnya. Tengok ulangan pun jadilah.

Affendi sekadar tersenyum sahaja apabila dihalau dari ruang tamu rumah oelh emaknya. Dia turun duduk di kerusi rehat luar rumah. Ketika berehat-rehat kelihatan Zaki bersama kapcainya masuk ke halaman rumah.

“Assalamualaikum…” Zaki memberi salam bersama gayanya yang biasa. Gaya ala-ala wakil rakyat turun padang apabila tarikh mengundi semakin dekat.

“Waalaikummusalam.” Jawab Affendi. Mereka berdua bersalaman.

“Eyyhh…Der, kau balik tak bagi tahu aku kut....” Ujar Zaki dengan gaya brutal pula.

“Aku baru sampai petang tadi. Penat pun tak habis lagi.” Beritahu Affendi. Dia sengaja bersandar malas di tepi Vios putih yang masih lagi kusyen di dalamnya bau kedai. Dia mahu menunjuk di hadapan Zaki yang kini dia sudah ada sebuah kereta walaupun separuh down payment adalah ehsan dari duit ayah.

“Elleehh!!” Zaki mencebek melihat muka riak Fendi itu. “Eyh… Taknak bagi aku naik kereta baru ker.” Tanya Zaki sambil mengusap-ngusap badan Vios putih milik Fendi itu. Dia sangat-sangat menunjuk minat yang tinggi terhadap kereta keluaran negara Jepun itu. Tak mampu nak beli, dapat naik pusing satu kampung pun jadilah!

Lengan Fendi memaut bahu Zaki. “Kau nak? Boleh. Tak ada hal. Kau nak pergi ke mana. Cakap jer.” Katanya ikhlas. Dia dan Zaki sudah lama bersahabat walaupun terdapat jurang perbezaan yang besar antara mereka berdua. Zaki bekerja sebagai mekanik di bengkel Ah Chai, Fendi pula berkat dari sikap garang ayah, dapat menjadi jurutera. Kalau bukan sebab garang ayah, mungkin dia jadi kutu kut.

“Jamming nak. Lamalah tak asah bakat.” Ajak Zaki.

“Bukak ker lagi studio jamming Ah Tuck tu.” Soal Fendi pula apabila jam di pergelangan tangan sudah menginjak ke pukul 9.30 malam.

“Tak payah Ah Tuck. Kedai makan Abang Roslan sekarang dah ada full set alat muzik wa cakap sama lu. Sebiji Ah Tuck. Kita boleh buat show tau. Live lagi.” Cerita Zaki penuh bersemangat tentang kemajuan yang telah dicapai oleh kedai makan Abang Roslan.

Mata Fendi membulat mendengar cerita Zaki. “Biar betul. Gila maju bisness dia.” Balas Fendi menunjukkan rasa kagum yang amat sangat.

“Alah, tu pun dia buat side income lah. kau ingat dia suka-suka hati nak bagi kita main free. Bayarlah. Kita kumpul budak kita. Lepas tu macam biasalah. Tong-tong. Atau malam ni kau nak sponser. Maklumlah antara samseng-samseng yang ada dekat kampung ni, kaulah samseng paling berjaya kut.” Ujar Zaki bersama sebelah kening sudah terjongket-jongket.

Fendi sekadar ketawa. Dia bukanlah jenis manusia yang berkira sangat bila dengan kawan-kawan baik. Sekali sekala belanja mereka tiada hal untuk dia. “Ah…Tak ada hal lah. Kau tunggu kejap, aku pergi ambil kunci kereta.”

“Wokey bro.”

“Kamu nak ke mana ni Fendi.” Soal Haji Lokman sebaik pulang dari masjid.

“Keluar sekejap ayah.” Jawab Fendi sedikit tergagap.

“Ayah ajak kamu pergi masjid tadi kamu kata penat. Ini Zaki ajak keluar hilang pulak penat kamu ni.” Kata Haji Lokman serius.

Fendi sekadar terkulat-kulat di hadapan ayahnya. “Pergi dulu ayah.” Pinta Fendi sambil berlalu sopan.

Ketika memasuki ke dalam perut kereta Zaki ketawa mengekek. “Kau dah besar-besar macam ni pun bapak kau training kau macam polis kadet jugak ker.” Katanya bersama ketawa yang masih lagi bersisa.

Fendi sekadar senyum semata. “Tu la punca aku jadi samseng paling berjaya.” Balasnya. Dia pasti di kedai Abang Roslan nanti, mesti dia jadi bahan. Dah besar-besar pun masih lagi kena sound tempek dengan bapak sendiri. Umur dah 29 tahun kut!

“Betul…betul… Tu aku sokong.”

“Kita nak pergi mana dulu ni.” Fendi menyoal.

“Pergi ambik Syam dulu, lepas tu terus ar pergi kedai Abang Roslan. Rashid dah tunggu dekat sana.”

“Okey.”

Sunday, February 12, 2012

Pencinta Terbaik 1

BAB 1


“Awak dekat sana jangan nakal-nakal tau.” Pesan Airani kepada Lutfi ketika dia menemui lelaki itu, pada hari sebelum Lutfi dan Kak Fiza berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Saya sayang awak seorang jerlah.” Balas Lutfi sambil mengenyitkan sebelah matanya.

Airani mencebik. “Nakal!” Katanya sambil mengulum senyuman sebelum wajahnya itu bertukar menjadi sedikit risau dan takut untuk melepaskan Lutfi pergi jauh dari pandangan mata.

“Yerlah tu. Takut dekat sini cakap lain. Dah sampai sana terus lupa. Yerlah, dekat sana kan ramai minah-minah saleh bermata biru. Nanti mesti tak rindu dekat kita yang ada dekat sini.” Ujar Airani sedikit perlahan, meluahkan gusar yang tiba-tiba bertandang dihati. Siapa yang tidak khuatir, di sana nanti tentu sahaja pandangan mata Lutfi lebih terbuka luas. Maklumlah perempuan-perempuan mat saleh bukankah hot-hot belakang. Hot chick lah katakan.

Lutfi menunduk sedikit sambil mencari mata jernih milik Airani. “Hey, belum pergi pun saya dah rindu dekat awak tau.” Dia cuba bersuara lembut untuk melegakan kegusaran di dalam hati gadisnya itu.

Airani mencebik apabila mendengar kata-kata Lutfi yang seperti di dalam filem-filem romantika de amor yang biasa dia tonton. Terasa tekak mahu muntah sebakul. “Alahhh… Bajet Romeo jer. Yerla tu.” Kata Airani kurang yakin.

“Hey, awak percayakan sayakan.” Balas Lutfi.

Airani memandang wajah Lutfi yang serius. Akhir dia mengukir senyuman lega. “Percaya. Saya percaya pada awak.” Ujarnya sambil mengangguk-angguk kepala.

“Eyhhh… Korang ni. Tak abis lagi ker.” Tiba-tiba Hafiza mencelah.

“Dah…dah…” Airan dan Lutfi menyahut serentak.

“Aira tak payah nak risau sangatlah. Kak Fiza kan pergi sekali dengan Lutfi. Tahulah Kak Fiza tengok-tengokkan mamat ni. Kalau dia cuba menggatal dengan orang lain dekat sana, Kak Fiza terus hantar laporan dekat kau.” Seloroh Hafiza sambil menjeling ke arah Lutfi yang terkulat-kulat di sebelah Airani.

“Wahhh… Jadi awak memang hantar Fiza untuk jadi spy awak lah ni.” Balas Lutfi sambil bercekak pinggang memandang Airani yang sedang berbalas sengih dengan Hafizah.

“Tau tak pe. Awak ingat. Awak tak boleh nak menggatal dengan orang lain dekat sana. Awak silap sikit terus Kak Fiza report dekat saya.” Ujar Airani berpura-pura serius.

Lutfi buat muka. “Ngeee…Takutnya saya.” Katanya main-main.

“Okeylah. Saya nak kena pergi dah ni. Awak study rajin-rajin okey. Capai cita-cita awak.” Pesan Lutfi sebelum masuk ke dalam kereta.

“Okey. Awak pun. Kalau musim sejuk, pakai baju tebal-tebal. Awak dah cepat kena selesema.” Balas Airani pula.

“Yerlah. Saya tahu. Saya pergi dulu.” Kata Lutfi.

“Okey.”

“Kak Fiza pergi dulu yer Aira.”

Airani sekadar mengangguk apabila Lutfi dan Kak Fiza telah pun masuk ke dalam Serena Pakcik Hamdan, ayah Lutfi. Keluarga Lutfi dan keluarga Kak Fiza pergi ke KLIA hanya menaiki sebuah kereta sahaja kerana itulah aku tak dapat menyelit untuk mengikut menghantar mereka sehingga ke KLIA.

“Babai.” Kata Airani perlahan bersama linangan air mata sambil melambai lemah ke arah Serena yang sudah bergerak perlahan-lahan meninggalkan aku. Tidak mengapalah, asal nanti aku boleh menjadi isteri doktor, aku relakan pemergian Lutfi untuk mengejar cita-citanya itu. Huhh!!! Tinggi benar impianku itu.







“Aira….”

Suara lembut emak itu mematikan lamunan Airani. Air mata yang setia menjadi peneman hidupnya sejak dua hari lepas diseka dengan belakang telapak tangan.

Betapa dia percaya pada cinta Lutfi, tegar Lutfi melukai. Begitu dia percayakan pada persahabatannya dengan Kak Fiza, akhirnya dia dikhianati.. Kenapa selepas lima tahun mereka di Ireland, mereka berdua pulang membawa bersama ikatan sebagai sepasang pasangan suami isteri yang sah. Lutfi telah berkahwin dengan Kak Fiza tiga bulan sebelum pulang ke Malaysia.

Ya. Lutfi kahwin dengan Kak Fiza itulah. Kak Fiza mana lagi. Tak sangka betul Kak Fiza yang telah Airani anggap seperti kakak dia sendiri itu boleh memotong jalannya kala Kak Fiza mempunyai banyak masa dan peluang untuk bersama Lutfi di sana. Dalam diam-diam mereka menyemai benih cinta apabila dia jauh berada di sini. Airani terasa benar-benar dikhianati saat ini. Patutlah Lutfi selalu menjauhi diri dari Airani selepas tahun pertama dia berada di sana. Rupanya Airani sudah tiada dihati lelaki itu. Sedikit pincang peribahasa jauh dimata dekat di hati. Hakikat sebenar bila sudah jauh di mata, maka jauhlah di hati.

Sehingga kini langsung Airani tidak menduga Kak Fiza akan menjadi watak antogonis di dalam kisah cintanya. Dia benar-benar tidak menyangka, Kak Fiza yang dahulunya pernah berjanji akan menjaga Lutfi untuk dia rupa-rupanya menyimpan impian mahu menjaga Lutfi untuk seluruh hayatnya. Kelebihan Kak Fiza yang selalu dekat dengan Lutfi dan Airani yang jauh beribu-ribu batu membuatkan Airani mengigit jari. Harapkan pagar, pagar makan padi! Berani-berani sahaja Kak Fiza mencaras Lutfi daripada Airani. Dan Lutfi pula, di mana sumpah setiamu sayang!



“Aira…sudahlah tu nak. Aira kena terima hakikat yang Aira tak ada jodoh dengan Lutfi.” Kata Puan Zaharah kepada puteri tunggalnya itu. Gusar hati seorang ibu melihat satu-satunya puteri tunggal di dalam keluarga ini menjadi sedih sampai begitu sekali.

“Kenapa semua ni jadi dekat Aira mak.” Airani bersuara lirih. Emak dipeluk erat-erat. Bahunya terhinjut-hinjut apabila mencuba untuk menahan tangis yang ternyata masih gagal untuk dia hentikan.

“Aira sudahlah tu. Takkanlah Aira nak menangis, meratap, meraung tiga puluh hari tiga puluh malam kut. Sudahlah tu nak.” Puan Zaharah masih lagi memujuk.

“Betullah cakap mak kau tu Aira. Lepak sudah. Ramai jer kut lelaki lain suka dekat kau. Lutfi tak mahu dekat kau, ramai lagi lelaki lain yang nak dekat kau. Kau apa ada hal.” Sampuk Asyila di muka pintu bilik.

“Makcik dah puas pujuk Syila. Cuba kamu pulak.” Kata Puan Zaharah menyuruh Asyila mengambil alih tugas memujuk Airani pula. Sememangnya Airani memerlukan kehadiran teman baiknya itu kala dia berada di dalam kesedihan begini kerana itulah Puan Zaharah telah menelefon si manis Asyila ini untuk datang ke mari.

“Wey, dari semalam aku sampai sini, asyik tengok kau menangis jer. Kau tak penat ke Aira. Kau patut bawaklah aku jalan-jalan.” Kata Asyila dengan mulut yang penuh dengan cucur udang buatan emak Aira. Ditangannya juga masih ada dua tiga biji cucur udang.

“Aku sedih. Aku tak ada mood nak berjalan-jalan.” Balas Airani pula. Cucur udang ditangan Asyila dia rembat dua biji lalu dimasukkan semua ke dalam mulut. Sambil sedih-sedih dia perlu makan juga cucur udang emak kerana kualitinya bertaraf internasional.

Dahi Asyila berkerut sedikit apabila cucur udang yang dari dapur tadi panas-panas dia bawak dengan telapak tangan telah selamat masuk ke dalam mulut Airani. Dia tidak mahu marah Airani. Kalau cucur udang Makcik Zaharah menjadi pengubat sedih Airani saat ini, dia rela pergi turun ke dapur balik dan ambil lagi cucur udang untuk Airani. Lagipun Makcik Zaharah telah menggorengnya setapis besar.

“Yerlah… Yerlah…. Aku tahulah kau sedih. Tapi berbaloi ker kau nangis-nangis bagai nak rak macam ni untuk orang macam Lutfi tu. Sudahlah tu. Rimas tau aku tengok kau macam ni. Huru hara jer rupa. Ingat sikit. Cuti kau dah nak habis. Jangan sebab sedih kau lupa semua benda. Kerja tu tetap kerja. Ni pun bos asyik bising jer tanya bila kau nak masuk kerja balik.” Asyila mula membebel sedikit-sedikit apabila Airani sudah mula mahu berhenti menangis.

“Kau tahu kan beb, aku dah kecoh satu office kata dekat semua orang, bakal suami aku tu doktor, belajar dekat oversea. Malulah aku kalau orang tahu aku putus cinta. Mesti teruk aku kena bahan.” Airani tersedu-sedu. Dia tidak boleh membayangkan betapa malu mukanya ini nanti apabila satu pejabat mengetahui dia sudah putus cinta. Dia boleh bayangkan betapa azabnya dia dibahankan oleh budak-budak pejabat.

Asyila mencebek geram. “Tu lah. Makanya lain kali kalau benda belum tentu jadi, jangan nak kecoh-kecoh.” Bebel Asyila lagi. Sudah berapa kali dia sudah menasihati Airani supaya jangan suka kepochi sana sini mencanang kisah kekasih bakal doktornya yang konon-konon hebat itu. Macamlah dia seorang sahaja yang ada boyfriend. Tengok sekarang, bukankah sudah terpaksa menanggung malu.

“Manalah aku nak tahu ending kisah aku dengan Lutfi macam ni. Aku ingat semua kisah cinta akan happily ever after.” Balas Airani tidak mahu mengaku kesalahannya.

Asyila menggeleng-gelengkan kepala. “Sudahlah. Malu sekejap jer kut. Lama-lama diorang penat tahulah mulut diorang berhenti mengata. Tapi aku tak tahulah pulakkan bila diorang nak berhenti. Tu lah kau. Kepochi sangat. Belum apa-apa dah canang satu office.” Sedas Asyila sambil cuba menakut-nakutkan Airani.

“Kenapalah mulut aku ni suka sangat kecoh-kecoh dulu kan.” Airani menampar-nampar mulutnya sendiri. Lihatlah bahana mulut sendiri. Dia yang terpaksa menanggung malu.

“Kau buat tak tahu jerlah. Glemer kut bila jadi bahan satu pejabat. Glemer-glemer ni kan kau suka.” Kata Asyila.

“Syila kau janji yer, jangan bagi tahu orang lain yang aku impian aku nak jadi isteri doktor hancur berkecai.” Ujar Airani kepada Asyila. Setakat ini Asyila sahaja yang tahu tentang hubungannya yang tidak jadi itu. Belum sempat Asyila menjawab cepat-cepat Airani menyambung lagi kata-katanya apabila terlintas lagi perkara yang ingin dia luahkan kepada Asyila. “Tapi beb, mesti pelik kalau tiba-tiba status Facebook aku dari in relationship jadi single. Arrgghhh…” Airani semakin huru hara. Bagaimana dia perlu membuang status di Facebook. Kalau sudah bertukar status di Facebook, sah-sahlah semua orang akan tahu.

“Baguslah tu. Kalau single barulah berani orang nak tackle.” Asyila memberi semangat.

Dahi Airani berkerut mendengar kata-kata Asyila itu.

Positif Airani. Ada benar kata-kata Asyila itu. Lagipun, sudah pastilah 3999 di dalam friend list aku itu akan memberi kata-kata semangat untuk aku boleh meneruskan hidup walaupun tak ada boyfriend. Single is simple! Double akan buat hidup jadi trouble!! Semangat!!! Desis hati Airani cuba memberi semangat untuk dia dia meneruskan kehidupan sebagai seorang yang berstatus single di dalam laman mukabuku.

“Sudahlah Aira. Menyampah pulak aku duk melayan duka lara kau ni. Jom makan cucur udang. Sedap gila cucur udang mak kau ni.” Ajak Asyila.

“Kau pergilah dulu. Aku tak ada selera.” Balas Airani lemah terus merebahkan semula badan di atas katil.

“Beb, jangan nak over boleh tak. Jom cepat.” Asyila menjerit kecil apabila melihat Airani sudah kembali bergolek-golek di atas katil bersama teddy bear pink besar pemberian dari Lutfi itu. Cepat dia menarik tangan Airani untuk mengikut dia ke dapur dan menikmati cucur udang Makcik Zaharah. Budak ini kritikal sangat kut!!!!