Thursday, November 29, 2012

Kupilih Hatimu 9

Bab 9


“Kau dekat mana. Kau kena tolong aku ni. Aku baru lepas melanggar orang.” Ujar Imran senafas.

Rafi yang sedang menonton televisyen terperanjat besar apabila mendengar kata-kata Imran di hujung talian. Rasanya Imran baru sahaja meninggalkan rumahnya dalam lima belas minit tadi. Sebelum Imran pulang ke Kuala Lumpur malam ini, dia telah singgah ke rumah Rafi dahulu untuk menghantar dokumen yang tertinggal di dalam keretanya semalam.

“Kau dekat mana.” Soalnya mahu mengetahui di mana lokasi Imran berada sekarang.

“Aku dekat klinik erm…” Ujar Imran sedikit tersekat. Dahinya berkerut manakala matanya melilau mencari signage di hadapan kaunter klinik.

“Dik, apa nama klinik ni?” Dia menyoal adik yang menjaga kaunter.

“Klinik Safri Hamimah. Dekat area Station 18.” Jawab adik yang menjaga kaunter.

Tanpa berlengah terus Imran memberitahu Rafi di mana dia sedang berada sekarang.

Rafi mengangguk-angguk. Dekat sahaja dengan rumahnya.

“Okey. Okey. Kau tunggu situ. Aku datang.” Setelah mengetahui Imran berada di mana, Rafi cepat mencapai kunci keretanya. Dia sedikit lega apabila Imran memberitahu yang dia cuma berada di klinik sahaja. Pasti orang yang dilanggar Imran tidak cedera teruk. Kalau teruklah, haih… bertambah lagi beban masalah Imran. Fikir Rafi.

Sementara menanti doktor merawat gadis yang hampir dilanggarnya tadi Imran menanti di ruangan menunggu. Dia berdoa-doa di dalam hati agar gadis tadi tidak apa-apa.

Perjalanan dari rumah Rafi ke klinik yang dinyatakan oleh Imran tadi tidaklah mengambil masa yang lama. Dalam sepuluh minit sahaja. Setibanya dia di klinik kelihatan Imran sedang menanti di ruangan menunggu. Rafi terus mendapatkan Imran.

“Macam mana kau boleh melanggar orang ni Im.” Rafi terus menyoal.

“Aku tak langgarlah. Aku sempat brek. Budak tu yang tiba-tiba pengsan.” Imran bercerita.

“Kalau kau tak langgar macam mana budak tu boleh tiba-tiba pengsan. Kau langgarlah tu. Kau tu la aku kata jangan memandu kereta laju-laju. Tambah-tambah dalam keadaan hujan lebat macam ni.” Bebel Rafi seperti menyalahkan Imran pula. Dia faham tabiat Imran, tidak kira dalam keadaan apa pun, temannya itu memang suka memandu laju. Imran kalau memandu kereta, lajunya kurang sikit dari jet pejuang!

“Eh… Aku tak langgarlah.” Suara Imran sedikit meninggi. Kemudian dia cuba merendahkan kembali suaranya itu apabila adik yang menjaga kaunter meletakkan jari dibibir tanda menyuruh dia untuk diam. “Memang budak tu pengsan.” Beritahu Imran bersungguh-sungguh.



Perbualan Imran dan Rafi terganggu apabila mendengar pintu bilik rawatan di buka dari dalam. “Encik, doktor panggil.” Panggil pembantu doktor dari muka pintu bilik. Imran menuruti. Rafi hanya menanti di luar.

“Encik tak perlu risau. Cik Intan cuma demam ajer. Tadi dia pengsan mungkin sebab badan dia lemah sikit. Lagipun terkena hujan kan. Lepas makan ubat, berehat dia akan okey macam biasa.” Doktor Hamimah memaklumkan keadaan pesakitnya itu.

“Okey.” Imran menjawab sepatah. Dia sudah boleh menarik nafas lega setelah mendengar kata-kata dari doktor itu. Sambil itu, matanya turut mengerling ke arah gadis disebelahnya yang sedang menahan bersin.

“Okey Cik Intan. Boleh ambil ubat di luar.” Beritahu Doktor Hamimah dengan ramah.

Imran membuka pintu dan memberi laluan untuk si gadis lalu dahulu. Rafi yang menanti di luar begitu terperanjat apabila melihat Imran bersama-sama dengan gadis yang sama lagi. Bola matanya mujur tak tercabut keluar. Hatinya tiba-tiba digeletek. Lucu pula. Dalam masa tiga hari Imran berada di Ipoh, dia hanya berjumpa dengan gadis yang sama sahaja. Tiga hari berturut-turut dengan gadis yang sama!

“Awak tunggu sini. Saya ambilkan ubat untuk awak.” Imran berkata lebih kepada nada arahan. Dia menyuruh gadis itu duduk sementara biar dia sahaja yang pergi untuk mengambil ubat untuknya.

Intan yang mengambil tempat di sebelah teman lelaki itu sekadar memberi senyuman kosong. Dia hanya memerhati lelaki yang telah mencari pasal dengannya sejak dua hari lepas.

“Semua berapa?” Imran bertanya.



“RM55.00” Beritahu pembantu klinik.

Intan menyeluk perlahan saku pada baju kurungnya. Dia cuma mempunyai RM40 sahaja. Intan bergerak perlahan menghampiri lelaki itu. Lengan kemeja Polo ditarik perlahan. Dia memandang lelaki itu. Mukanya serba salah.

“Encik. Saya ada RM40 jer.” Intan bersuara perlahan namun masih boleh didengar. Dia cuba menundukkan kepalanya. Malu dengan pembantu klinik yang memerhati dirinya yang sedikit tidak terurus.

Imran menolak perlahan empat keeping not RM10 dari tangan gadis itu. Dia mengeluarkan dua keping not RM50 dari dompetnya. Setelah menerima kembali duit baki, plastik ubat diberikan kepada gadis itu.

Selesai semua urusan mereka bertiga keluar dari klinik. Di luar hujan sudah berhenti. Intan berdiri tegak. Dia perlu kembali memikirkan di mana dia harus bermalam.

“Awak nak pergi mana ni.” Imran menyoal seperti memahami apa yang sedang difikirkan oleh sang gadis. Gadis ini tadi ketika pengsan di tengah jalan raya turut ada bersamanya adalah sebuah beg pakaian sederhana besar. Imran syak gadis ini pasti mahu lari dari rumah. Entah-entah bohsia.

Intan mendiamkan diri. Kemudian dia menjongket bahu.

“Awak dah makan?” Imran bertanya lagi.

Intan hanya menggelengkan kepala.

“Okey jom.” Ajak Imran. Rafi yang sekadar memerhati seperti tertarik dengan sikap Imran malam ni. Mana tidaknya, tiba-tiba malam ini Imran begitu baik pula dengan gadis yang paling dia tidak suka di bandaraya Ipoh ni. Siap mengajak makan bersama. Cakap pun lembut sahaja. Owh… Siap belanja duit ubat sekali. Ajaib!!!



Imran dan Rafi sekadar memerhati sahaja gadis ini makan.

“Awak nak pergi mana sebenarnya ni. Dengan beg besar bagai.” Imran menyoal. Dia harus menguruskan gadis ini segera. Jika berlengah-lengah takut dia pula yang terlambat untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Sekarang pun jam sudah menginjak ke pukul sebelas malam.

Intan tidak menghiraukan soalan itu. Peket-peket kecil ubat dari klinik tadi dibuka. Dia menelan setiap jenis ubat yang diberikan oleh doktor.

“Sekarang awak bagi tahu saya rumah awak dekat mana. Mari, saya hantar awak balik.” Putus Imran akhirnya. Dia sudah bangun. Harga makanan dan minuman juga sudah dibayar.

Intan mengeluh perlahan. Dia mempamerkan wajah muram. “Saya tak ada rumah.” Katanya perlahan.

Imran yang baru sahaja mahu membuka pintu kereta berpaling. “Awak jangan main-main boleh tak. Awak lari dari rumah?” Suara Imran kembali meninggi. “Muka jer nampak macam baik, tapi bohsia.” Sambung Imran dengan nada memerli. Perlahan. Tapi masih boleh didengari.

Intan mengetap bibir. “Encik kalau bercakap tu janganlah main sedap mulut ajer. Saya bukan bohsialah. Encik pernah jumpa bohsia pakai tudung macthing dengan baju kurung ker?” Dia bersuara. Intonansi agak mendatar tetapi ada bunyi getar yang mencuri irama. Air mata terasa mahu mengalir untuk menyambung tangisan yang terhenti tadi.

Imran memandang penampilan gadis itu. Baju kurung kain kapas dan tudung bawal. Dia terasa mahu ketawa dengan tekaan bodohnya itu tadi namun cuba ditahan.

Rafi berdehem. Mereka berdua sudah berperang mulut kembali. “Adik. Jangan marah-marah yer. Abang ni tadi dia terlepas cakap.” Rafi memujuk lembut persis seperti seorang abang kacak yang baik hati.

“Encik, saya akan berterima kasih pada Encik kalau Encik boleh hantar saya ke stesen bas.” Intan membuat keputusan.

“Stesen bas? Awak nak pergi ke mana?” Rafi menyoal berkali-kali.

“KL.” Intan menjawab tanpa berfikir.

“Tadi awak kata awak cuma ada RM40 lepas tu awak nak pergi KL.” Imran menyampuk. Dia tidak percaya gadis itu mahu ke Kuala Lumpur dengan hanya berbekalkan wang saku sebanyak RM40.

“Cukuplah. Tiket bas ekspress RM27. Ada lagi baki RM13.” Intan menjawab seperti dia seorang pakar Matematik. Mencongak dengan pantas. Tapi tak fikir logik akal!

“Awak gila RM13 nak duduk dekat KL. KL masuk tandas pun lima puluh sen awak tahu?” Suara Imran meninggi lagi. Matanya dibulatkan.

Rafi berdehem lagi. Imran ditolak perlahan agar kebelakang sedikit. Dia takut kalau terjadi pertelingkahan kecil lagi antara mereka. Sudahlah gadis ini kelihatan masih lemah. “Dik, KL bukan macam kampung awak ni. Bahaya untuk perempuan macam adik kalau pergi sana sorang diri.” Rafi memberi nasihat.

“Saya tak kira. Saya nak pergi sana juga.” Intan membentak. “Saya nak cari……………”Kata-katanya terhenti separuh. Mindanya terbayangkan wajah ibu yang sudah hampir sepuluh tahun tidak ditemui. Kemudian dia menggeleng. Buat apa dia nak mencari perempuan yang sudah memusnahkan hidup ayah. Yang turut sama membuatkan hidupnya menderita.

“Cari apa?” Rafi menyoal. Masih menanti kata-kata yang akan terkeluar dari mulut gadis ini.

Intan berdehem. Membetulkan kotak suara.

“Kerja. Saya nak cari kerja dekat KL salah ker?” Katanya yakin.

“Awak ada saudara mara atau kawan yang tinggal dekat sana?” Rafi menyoal siasat.

Intan menggigit bibir bawah. Dia menggeleng.

“Gila.” Imran berkata sepatah.

“Kalau Encik tak nak hantar tak apalah. Saya boleh pergi stesen bas sendiri.” Ujar Intan. Dia mengeluarkan beg besar yang ada di tempat duduk belakang.

“Ehh… Awak.. awak.. Sekejap. Sekejap.” Rafi menahan.

“Betul ni nak kerja dekat KL?” Dia bertanya.

“Nekad!” Intan menjawab sepatah. Bersungguh-sungguh.

“Okey.” Rafi mengangguk. “Nama saya Rafi. Panggil Abang Rafi pun boleh. Sedap sikit dengar kan.” Dia berseloroh. Namun gadis ini sedikit pun tidak terkesan dengan jenakannya. Rafi sengih sendiri. “Mari sini saya perkenalan. Ini Megat Imran. Kawan baik saya merangkap bos saya.” Dia memperkenalkan gadis ini kepada Imran. “Nama cik adik.” Soal Rafi kepada gadis itu untuk melengkapkan sessi perkenalan antara mereka bertiga.

“Intan.” Intan menjawab pendek.

“Intan jer. Intan Payung???” Rafi cuba mengusik.

“Intan Nurain binti Mohamad Rusdi.” Intan menjawab. Sedikit garang.

“Intan Nurain. Sedap nama.” Balas Rafi. “Owhh yer, kebetulan Encik Imran ni memang tengah mencari seorang pekerja. Jadi Intan boleh ikut Encik Imran pergi ke KL.”

Imran terpempan mendengar cadangan Rafi yang tidak masuk akal itu. Sudahlah tidak berbincang dahulu. Tahu-tahu Rafi hanya menyuruh si Intan Payung ini untuk mengikut dia pulang ke Kuala Lumpur bersama.

“Eh… Kau ni dah kenapa. Kau gila apa nak suruh perempuan ni ikut aku balik.”Imran memarahi Rafi.

“Kau kata Siti yang kau upah untuk menjaga umi kau dah cabut lari kan dan kau pun ada cakap dekat aku memang nak cari orang baru yang boleh tolong jaga umi kau. Jadi? Ini calon terbaik yang boleh jaga umi kau.” Terang Rafi bersungguh-sungguh.

“Budak ni???” Telunjuk Imran menghala ke arah Intan. “Boleh ker? Aku takut dia tak boleh jer.” Ujar Imran was-was.

“Habis tu kau ada idea lain. Kau sendiri kata yang Mak Wan bukan larat sangat pun nak menjaga umi kau tu.” Rafi masih lagi cuba memancing Imran.

Imran mengeluh perlahan. “Itu aku tau… tapi…”

Rafi memotong. “Tapi apa lagi. Kau memang nak mencari seorang yang muda dan kuat kan untuk jaga umi kau. Kau terima ajer budak ni kerja dengan kau. Lagipun aku kesianlah dengan dia. Kita ni kena tolong menolong sesama manusia baru Allah sayang.” Rafi sempat bersyarah.

Intan menyelit antara kedua mereka. “Encik…encik bukan nak surh saya buat kerja yang bukan-bukan kan?” Dia menyampuk perbualan kedua orang teman itu.

“Kenapa? Awak ingat saya ni bapak ayam yang nak jual awak dekat mana-mana taukey kelab dangdut ker?” Imran menyoal sarkastik.

Intan kebelakang sedikit. Dahinya berkerut. “Saya tanya jer…” Mulutnya menggumam rendah.

“Okeylah. Awak boleh ikut saya. Kerja dengan saya. Saya harap awak tak kisah kalau jadi orang gaji dekat rumah saya.” Imran membuat keputusan. Rafi tersenyum puas.

“Saya tak kisah encik. Terima kasih encik.” Intan menjawab girang. “Encik jangan risau, saya pandai masak. Pandai kemas rumah. Pandai….”

Imran menjulingkan mata ke atas. “Dah masuk….” Arahnya pendek.

Rafi sempat menaikan kedua belah ibu jari tangannya ke atas. “Kerja elok-elok.” Pesannya kepada Intan sebelum gadis itu masuk ke dalam perut Harrier.



“Imran, lambatnya sampai.” Tegur Mak Wan sebaik sahaja pintu rumah dibuka.

“Tadi ada hal sikit Mak Wan.” Imran menjawab bersahaja. Tangan Mak Wan dicium. Intan juga turut berbuat demikian. Bersalaman dengan wanita ini.

“Umi macam mana. Umi okey tak?” Imran menyoal.

“Puan okey. Cuma dia asyik tanya bila Imran nak balik. Tu ajer. Rindu kut.” Balas Mak Wan senang.

“Siapa ni Im?” Giliran Mak Wan pula bertanya si gadis yang dibawa pulang oleh Imran.

“Owhh… Ini Intan Payung. Pembantu rumah yang baru mengantikan Siti. Nanti semua pasal umi dia yang akan uruskan. Mak Wan, Im harap Mak Wan tak kisah kalau Intan tumpang bilik Mak Wan.”

“Mak Wan tak kisah.” Mak Wan menjawab senang.

“Okey. Im naik atas dulu nak tengok umi.” Imran meminta diri. Dia meninggalkan Intan bersama Mak Wan. Ah.. Pandai-pandailah kau bawa diri. Desisnya di dalam hati.

“Nama penuh siapa?”

“Intan Nurain.” Jawab Intan dengan senyuman.

“Intan Nurain….” Sebut Mak Wan panjang. “Sedap nama.”

Intan tersengih malu apabila dipuji begitu.

“Intan panggil makcik Mak Wan ajerlah. Semua orang panggil dalam rumah ni panggil makcik Mak Wan.”

Intan mengangguk faham.

“Marilah Mak Wan tunjuk bilik Mak Wan. Mesti Intan penat kan. Lagipun dah lewat malam ni. Esok pagi-pagi Mak Wan kenalkan dengan Puan Rahimah.”

“Puan Rahimah?”

“Umi Imran. Esok Intan boleh berjumpa dengan dia.”

“Okey.”









No comments: