Wednesday, August 20, 2014

Yes, Ma'am! : Part 1 : Bab 2

Bab 2


Suasana di kedai mamak masih meriah walaupun jam di pergelangan tangan sudah menunjuk ke pukul 12.30 pagi. Dari jauh Ilham lihat Harun, Shuib dan Nadim sudah melambai-lambai ke arahnya. Segera Ilham menuju ke arah mereka bertiga.

Setiap hujung minggu Ilham akan menghabiskan masanya duduk minum teh tarik dengan teman-temannya di kedai mamak. Lagaknya persis orang bujang yang selamba lepak di kedai mamak sambil menonton bola sepak pada layar projector sehingga pukul 2 3 pagi. Tekanan serta bebanan kerja di pejabat memerlukan dia ruang untuk bergembira disamping teman-teman. Mujur hobinya yang ini tidak mendapat tentangan dari Aryana. Aryana tahu, jika dia pergi ngeteh di kedai mamak, pasti dia pergi bersama Harun, Nadim dan Shuib. Takkan ada orang lain.

“Berkain pelikat bagai ni nak terus subuh dekat masjid ker Am.” Tegur Nadim selamba sebaik sahaja Ilham mengambil tempat pada kerusi kosong bersebelahan Harun.

“Aku lari dari Yana tadi. Tak sempat dah nak tukar-tukar seluar.” Jawab Ilham bersahaja.

Serentak dengan itu ahli korum meja bulat ketawa berdekah.

“Yana…Yana….Mujurlah kau kahwin juga dengan Yana kan. Kalau tak sah aku yang menderita macam kau sekarang ni.” Tutur Nadim dengan ketawa yang masih bersisa.

Ilham turut ketawa apabila mendengar kata-kata Nadim itu. Menderitalah sangat kan. Nadim adalah sepupu paling rapat dengan Ilham. Anak kepada Mak Lang Rubiah Kamsan. Nadim pernah memberitahu Ilham yang ibunya sangat berkenankan Aryana sejak pertama kali berjumpa dengan Aryana sewaktu majlis pertunangan Ilham dan arwah Mellina. Tinggi tak tinggi saham Aryana waktu itu sampai Puan Seri Rubiah Kamsan pun berkenankan Aryana sampai mahu mengangkat sebagai calon isteri Nadim Nazri. Mujur ketika itu Nadim bersama Sonia Rai gadis bermata hazel berhidung mancung keturunan separa British separa Hindi. Kalau tidak, gigit jari lah dia.

“Yana mulut ajer yang kuat membebel, hati dia baik Dim. Aku ni kira lelaki paling bertuah tau dapat Aryana sebagai isteri. Bahagia sentiasa.” Ilham ikhlas memuji Aryana di hadapan semua. Dia tidak kekok mahu memuji Aryana. Dah memang betul pun. Kalau tidak bahagia masakan boleh dapat dua orang anak. Untuk anak ketiga dalam perancangan. Tunggu sampai Adalia mencecah usia lima tahun baru boleh proceed dengan rancangan menambah anak ketiga. Itu perjanjian yang dah dibuat dengan Aryana selepas melahirkan Adalia.

“Bahagia dalam derita yer bos.” Sampuk Harun pula.

Makin galak ketawa ahli korum ditengah kedai mamak ini. Ilham hanya senyum sumbing sambil menggeleng perlahan. Nak mengiyakan pun tidak, nak menidakkan pun tidak.

“Abang Harun, respect sikit boleh tak. Bos kita ni.” Shuib selaku orang kepercayaan Ilham mencelah. Tangan menepuk-nepuk bahu Ilham yang kebetulan duduk disebelahnya.

“Kaki kipas!!” Sela Harun sambil buat muka.

Semenjak dia berhenti menjadi pemandu Ilham dan kembali berkhidmat dengan Datuk Maarof dia agak jarang dapat bertukar cerita dengan Ilham pada waktu pejabat. Sekarang ini, apa-apa hal Ilham akan bercerita dengan Shuib, office boy yang blur-blur selalu itu terlebih dahulu. Kemudian barulah Shuib akan update pada dia berita terkini dan sensasi yang melanda Ilham. Walaupun Shuib ni baru setahun dua bekerja dengan Ilham, tapi Shuib yang blur dan lurus ini sudah pun menjadi orang kepercayaan Ilham. Blur-blur si Shuib ni, kalau bab bodek bos, dia juara!

Shuib hanya tersengih-sengih apabila mendengar sindiran Harun itu. “Kipas tak main abang Harun. Pakai aircond terus.” Ujar Shuib sambil mengekek ketawa. “Kan bos…” Sambungnya lagi lalu mata mengerling ke arah Ilham.

Bola mata Ilham juling naik ke atas. Kepalanya digeleng-geleng perlahan. Harun dan Shuib kalau dah dapat menggiat mahu sampai ke subuh nanti tak habis-habis.

“Dim, esok apa plan kau?” Ilham mengalih topik. Harun dan Shuib yang masih lagi tidak mahu berhenti ketawa dibiarkan sahaja.

Nadim yang baru nak menghirup teh tarik panas berhenti sebentar. “Esok ek….” Dia berfikir-fikir sejenak tentang aktiviti hari Sabtunya esok. “Tak pergi mana kut. Aku ingat aku nak pergi gym jer..” Tuturnya sambil terus membawa bibir gelas bertangkai itu dekat ke mulut.

“Gym lagi?” Ilham menyoal seakan tidak percaya. “Kau ni seminggu dua tiga kali masuk gym, tapi badan tak jugak berketul-ketul aku tengok.” Perli Ilham. Takkanlah angkat besi berat-berat seminggu dua tiga kali badan masih lagi tak sasa bergaya macam Fahrin Ahmad. Dia yang sekadar berjoging dan berbasikal bodoh di dalam rumah setiap hujung minggu nampak lagi tough dari Nadim.

Nadim hanya ketawa. “Aku pergi gym bukan pergi angkat besi sangat pun, aku suka pergi gym tu sebab sekarang ni, dekat tingkat atas dah ada kelas earobik seminggu tiga kali. Cikgu aerobic dia mantap Am.” Ujar Nadim nakal. Keningnya menari-nari ronggeng seolah-olah mahu menghasut Ilham untuk mengikutinya ke gym esok hari.

“Apa lagi bos….. Takkan setakat kayuh basikal bodoh dekat rumah ajer. Dekat sana bolehlah cuci-cuci mata sekali.” Harun menggiat, cuba mencucuk jarum.

“Haahlah bos. Takkan tak berani kut. Kata lagenda kasanova.” Cucuk Shuib pula.

Ilham rasa tercabar dengan sindiran-sindiran mereka itu. Bengang betul bila tengok Nadim, Harun dan Shuib saling mencalit ibu jari sesama mereka seakan-akan mereka adalah satu pakatan jahat bertanduk dua yang cuba merosakkan dia.

“Jomlah Am. Aku tahu kau pun dah lama teringin nak pergi gym balik kan. Jomlah Am. Kalau kau ada dapatlah kau tolong adjustkan cikgu aerobic tu untuk aku. Aku ni dah jenuh tau Am mengayat tapi tak jugak lekat-lekat. Kau ingat kau ajer ker nak berbini. Aku pun nak jugak merasa ada isteri Am.” Hasut Nadim lagi sekadar berniat mahu berseloroh.

Ilham berfikir. Akhirnya dia berdecit.

“Tengoklah kalau aku rajin.” Jawab Ilham.

“Tak apa Am. Kalau kau tak berani nak bagi tahu Yana, biar aku bagi tahu Yana. Lagi pun Yana baik dengan aku. Dia percayakan aku. Mesti kau akan dapat green light punyalah.” Tutur Nadim yakin. Semangatnya membuak-buak mahu Ilham turut serta esok. Bab mengorat perempuan memang Ilham adalah lagenda yang paling dikagumi. Biar pi lah Ilham tegaskan yang Ilham sudah bersara, dia mintak tolong Ilham adjust untuk dia, bukan untuk Ilham.

“Kalau kau sanggup nak dengar bebelan Aryana silakan.” Balas Ilham.

“Okey. Esok pagi-pagi aku datang rumah kau. Aku pujuk Yana.” Balas Nadim sambil mengenyitkan mata.

“Harun dengan Shuib ni kau tak mahu ajak sekali ker Dim.” Ujar Ilham terhala pada Harun dan Shuib yang sedang enak menjamah roti na’an dan ayam tandoori.

Harun dengan Shuib ni kalau dapat keluar dengan Ilham mereka memang akan bedal makan bersungguh-sungguh. Maklumlah ada yang sudi bayarkan. Selama keluar lepak di kedai mamak dengan Ilham dan Nadim, tak pernah rasanya sekali pun mereka berdua membayar harga makanan yang dimakan. Antara dua, jika tidak Ilham pasti Nadim yang akan membayarnya.

“Saya tak boleh bos. Nak dating dengan buah hati.” Shuib menjawab dengan mulut penuh.

“Saya dah tua bos. Tulang pun banyak yang dah reput. Tak boleh dah nak angkat besi-besi tu semua.”

Kata-kata Harun yang selamba dan tidak berperasaan itu membuatkan tiba giliran Ilham pula ketawa berdekah. Nadim dan Shuib juga turut sama ketawa. Lagenda queen control yang masih menguasai carta adalah Abang Harun!







No comments: