Wednesday, August 20, 2014

Yes, Ma'am! : Part 1 : Bab 3

Bab 3


Seawal pukul 9 pagi Nadim sudah tercongok di luar pintu rumah Ilham. Ketibaannya disambut oleh Aryana yang seakan dapat meneka tujuannya datang pagi-pagi begini.

“Gym mana awak nak bawak suami saya ni Nadim.” Soal Aryana terus. Selepas solat subuh tadi Ilham ada beritahu yang dia mahu ke gym dengan Nadim. Pelik juga, dah bertahun tak masuk gym tiba-tiba hari ni nak ke gym pula. Kalau betul pergi ke gym tidak mengapa, takut melencong ke tempat lain. Aryana bukan nak sekat Ilham dari keluar bersosial dengan teman-temannya. Kalau dengan Abang Harun atau Shuib tidak mengapa tapi kalau dengan Nadim Nazri Tan Sri Burhanuddin ni dia perlu menyoal siasat dengan terperinci sikit. Nadim ni spesis Ilham sewaktu zaman jahiliahnya dahulu. Ilham sudah berhijrah. Nadim masih begitu. Patutlah mereka berdua sepupu rapat, rupanya perangai pun dua kali lima.

“Awak ni kan Yana, bagilah saya masuk dalam rumah dulu. Ni main terjah ajer. Awak buat sarapan apa pagi ni?” Kata Nadim sedikit mengusik.

“Awak ni kan… Orang suruh kahwin tak mahu. Lepas tu sibuk ajer menempel cari makanan dekat rumah orang.” Tutur Aryana ketika mengekori Nadim yang sudah menuju ke pintu rumah.

“Saya bukan taknak kahwin Yana, tapi tak ada calon yang sesuai.” Ujar Nadim acuh tidak acuh.

Automatik Aryana bercekak pinggang di hadapan Nadim yang sedang meleraikan tali kasut sukannya itu. “Girlfriend bersepah-sepah lagi mahu cakap tak ada calon yang sesuai.” Getus Aryana yang cukup menyampah dengan alasan lelaki buaya macam Nadim ini. Sudah diangkut anak dara orang ke sana ke mari, lepas tu masih lagi nak buat statement tiada calon yang sesuai.

“Dim, masuklah. Mari makan dulu.” Tegur Ilham dari ruang tamu rumah.

Nadim rasa lega bila tengok Ilham ada di ruang tamu. Cepat-cepat dia mendapatkan Ilham sebelum telinganya bernanah mendengar bebelan dari Aryana. “Aku masuk ni memang nak makan pun.” Seloroh Nadim terus menghampiri Ilham yang sedang mendandan tocang Adalia.

“Baby, salam Uncle Dim.” Sebaik dandan siap diikat dengan getah Ilham mengarah puterinya menyalami Nadim yang sudah melabuh punggung di atas sofa.

Adalia menurut. Huluran tangan Uncle Dim disambut.

Aryana membiarkan sahaja Ilham dan Nadim bersembang terlebih dahulu sementara dia menghidangkan sarapan pagi di atas meja makan.

Nadim bermain-main dengan tocang Adalia yang baru siap didandan itu. “Cantiknya abah ikatkan tocang Baby ni.” Ujar Nadim seraya mulut terus mengekek ketawa melihat tocang Adalia yang senget benget.

Ilham hanya ketawa apabila dia sendiri merasa lucu melihat tocang anak gadisnya itu.

“Dim, kau tunggu kejap. Aku nak siap.” Kata Ilham kepada Nadim sebelum dia meninggalkan Nadim bersama Adalia sementara dia pergi bersiap di atas.

“Uncle Dim tak bawak coklat ker hari ini?” Petah Adalia yang berusia empat tahun itu menyoal.

“Hari ini tak ada. Lagipun mana boleh makan coklat selalu. Tengok ni, dah rongak dah gigi depan Baby sebab asyik makan coklat ajer.” Jawab Nadim. Telunjuk terarah pada gigi hadapan Adalia yang sudah tiada.

“Alaahhh….” Adalia mengeluh.

Nadim mengekek ketawa mendengar keluhan lemah Adalia. Memang kebiasaannya kalau ke rumah Ilham tidak pernah datang dengan tangan kosong. Pasti akan ada coklat untuk Adalia yang comel ni. Cuma hari ini dia tidak sempat singgah ke kedai.

“Nanti Uncle Dim belikan okey. Tak cantiklah princess Uncle Dim buat muka macam ni.” Nadim bijak memujuk.

“Promise?” Adalia angkat kelingking.

Nadib bawa Adelia ke atas riba. “Yess. Promise sayang.” Jawab Nadim. Kelingkingnya dan kelingking Adalia saling bertaut.

“Uncle Dim….” Tegur Adib yang baru turun ke bawah.

“Hey…boy. Come…come…” Gamit Nadim kepada Adib.

Adib bersalaman dengan Uncle Dim.

“Buat apa tadi. Uncle Dim dah lama sampai baru nampak muka Adib.”

“Mummy suruh buat latihan Maths lagilah Uncle Dim.” Getus Adib kurang berpuas hati dengan ketegasan mummy yang pagi-pagi lagi dah paksa-paksa dia buat latihan Matematik.

“Apalah mummy Adib ni. Tak sporting langsung. Pagi-pagi lagi dah suruh buat Maths.” Nadim sedikit berbisik sebelum dia dan Adib sama-sama mengekek ketawa.

“Adib, ajak Uncle Dim breakfast. Mummy dah siapkan ni.” Pekik Aryana dari dapur.

“Jom Uncle Dim.” Ajak Adib.

Nadim turunkan Adalia dari ribanya sebelum bangun. “Jom. Bau macam sedap jer mummy Adib masak ni.” Tutur Nadim apabila dari tadi hidungnya dapat menghidu bau sambal tumis.

“Uncle Dim dukung.” Pinta Adalia manja. Tangan di depa sambil buat muka comel minta perhatian Uncle Dim.

Olololo......Nadim selalu lemah dengan godaan princess Ilham dan Aryana ini. Adalia didukung lalu dibawa ke dapur bersama.

“Awak ni sifat bapak-bapak tu dah ada. Kahwin ajerlah. Takkan tak teringin nak ada anak sendiri.” Kata Aryana apabila Nadim sudah duduk di kerusi meja makan.

“Entah kau pun Dim. Rugi Dim kahwin lewat-lewat ni.” Sampuk Ilham yang baru menyertai mereka semua di meja makan.

“Kau orang berdua ni, ingat senang ker nak cari perempuan yang boleh dibuat isteri.” Balas Nadim.

“Statement basi tau tak!” Perli Aryana ketika menuang air pada cawan Nadim.

Nadim buat tidak tahu. “Awak cakaplah apa yang awak nak cakap Aryana. Yang saya tahu sekarang ni saya nak makan. Dari tadi saya cium bau sambal tumis sotong awak ni.” Balas Nadim bersahaja. Sambal sotong dari mangkuk disudu ke dalam pinggan yang sudah berisi nasi lemak dan telur rebus. Dia makan dengan berseleranya dan membiarkan sahaja jika Aryana mahupun Ilham mahu membebel seperti mamanya yang acap kali membangkit soal kahwin dengan dia.





Aryana hantar suaminya dan Nadim sehingga ke kereta. “Awak ingat Nadim, kalau pergi ke gym tu pergi gym ajer. Jangan nak melencong bawak suami saya pergi ke tempat lain pula.” Sempat dia memberi amaran.

“Yana ni… Ada ker cakap macam tu. Yana ni tak percaya abang ker.” Tutur Ilham. Malu pun ada bila Aryana ni menunjuk gaya ma’am sangat di depan Nadim.

“Yana percayakan abang, tapi yang Yana kurang percaya Nadim ni. Nanti diajaknya abang merewang ke tempat lain.” Balas Aryana.

Nadim sekadar mengajuk cakap Aryana. Nak pergi ke gym ajer pun tapi risau Aryana tu macam dia mengajak Ilham pergi ke Thailand pula.

“Awak faham tak apa yang saya cakap tadi tu Dim.” Sambung Aryana lagi.

“Yess ma’am….. Faham. Jelas sangat.” Nadim menjawab malas.

“Dahlah. Abang pergi dulu yer.” Ilham mencelah. Cepat-cepat dia mengarah agar Nadim segera masuk ke dalam kereta sebelum pesanan penaja Aryana itu meleret-leret jadinya.



Ilham memerhati tingkah Nadim yang yang sedang asyik memandang ke arah yang sama di belakangnya. Perlahan badan berpaling sedikit untuk turut sama melihat apakah objek yang sangat menarik pada pandangan mata Nadim itu. Ilham lihat ada sekumpulan gadis-gadis berpakaian ketat seperti baru lepas melakukan senaman aerobic duduk di meja hujung. Ilham perhati seorang demi seorang setiap gadis itu merasakan mereka seperti sengaja mahu mencari perhatian pengunjung-pengunjung kafe ini. Dengan lagak yang selamba mereka ketawa sakan menyebabkan suasana di dalam kafe ini sedikit hingar.

Ilham cepat-cepat berpaling semula apabila salah seorang daripada gadis-gadis itu mengenyit mata ke arahnya. Seriau pula tua-tua begini digoda oleh gadis muda yang berpenampilan agak seksi dengan baju senaman melekat pada badan itu.

“Dim, jadi inilah motifnya kau rajin ke mari. Patutlah tak sampai setengah jam kau ajak aku turun minum kan.” Getus Ilham apabila dia sudah dapat mengetahui apakah punca sebenar Nadim begitu rajin untuk berkunjung ke gym.

“Alah… Bukan aku buat apa pun. Setakat cuci mata ajer.” Balas Nadim bersahaja.

Ilham mencebek. “Zina mata namanya tu Dim.” Dia bergaya macam Pak Ustaz. Tidak lama kemudian riaknya bertukar pula. Dia turut sama menayang sengih. “Cuci mata tak apa kut kan. Lagipun bukan Aryana tahu pun.” Tuturnya sambil ketawa kecil. Kadang-kadang apabila berada di luar kawalan Aryana, Ilham tidak nafikan perangai gatal tu adalah datang sikit-sikit. Sesekali terkeluar dari radar tidak mengapat kut. Setakat gatal sikit-sikit jer. Bukan gatal banyak-banyak pun.

“Tu sebab aku ajak kau datang sini. Tak lah kau asyik mengadu pada aku bosan dengar Aryana membebel ajer.” Ujar Nadim.

“Kau ni memang sepupu yang memahami Dim.” Balas Ilham dengan kening menari ronggeng.

“Tapi mana datangnya aweks-aweks ni ya. Setahu aku gym kita tu untuk lelaki ajer kan.” Soal Ilham.

“Itulah yang kau tak tahu. Memang gym ni untuk lelaki ajer. Tapi sebelah gym kita ni kan ada studio tarian. Aweks-aweks tu semua penari-penari professional yang berlatih dekat studio tarian tu la. Tu sebab body masing-masing mantap ajer.” Balas Nadim turut sama mengangkat-angkat kening.

Ilham mengangguk-angguk. Sengih gatal masih tak mati di bibir.

“Hai….”

Ilham dan Nadim sama-sama berpaling serentak pada suara manja yang menegur mereka. Ilham menunjukkan riaksi yang cukup terkejut apabila gadis yang mengenyit mata ke arahnya tadi kini sudah pun menarik kerusi untuk duduk disebelahnya. Nadim dilihat sedang menahan ketawa. Selamba juga Nadim memberi isyarat agar Ilham bertenang dan layankan sahaja gadis itu.

“I Sherry.” Ujar Sherry manja sambil menghulurkan tangan sebagai tanda salam perkenalan.

Huluran tangan bersambut. “Ilham.” Ujar Ilham sepatah.

“I tak pernah nampak you dekat sini.” Kata Sherry dengan liuk menggoda.

Ilham menahan getar di dada apabila pipinya terkena rambut harum Sherry ketika gadis itu mengibas rambut dengan penuh bergaya tadi.

“I baru ajer register di gym sebelah studio tarian you.” Kata Ilham.

Sherry mengangguk-angguk. “No wonderlah I tak pernah nampak you.” Ujar Sherry lembut.

“Babe!!”

Sherry berpaling pada suara teman-temannya yang sudah sedia untuk beredar.

“Okey I got to go. Ini nombor telefon I.” Ujar Sherry sambil menyua tisu yang tertulis nombor telefon bimbitnya.

Ilham tersengih-sengih sambil mengangguk-angguk.

“Bye…Nice to meet you.” Ujar Sherry perlahan cuba berbisik ditepi telinga Ilham. Tindakan Sherry itu membuatkan Ilham cepat-cepat menjarakkan kepalanya. Kalaulah Aryana dapat tahu ada penggoda berbisa dekat sini, pasti Aryana tak bagi lagi dia jejak ke sini.

“Kau memang legend bro!” Ujar Nadim kagum dengan aura yang dimiliki oleh Ilham. Walaupun usia Ilham sudah menjangkau 38 tahun, gayanya masih macho persis teruna idaman Malaya.

“Tapi Dim, kalau perempuan yang macam ni nak dijadikan calon isteri, aku tak fikir mama kau berkenan.” Ilham mengingatkan sebelum dia meneguk jus oren yang sudah tawar akibat ais yang mencair.

Nadim bersandar sambil mengeluh perlahan apabila mendengar peringatan dari Ilham itu. Pada usia 38 tahun begini, tidak dinafikan, dia juga berkeinginan nak berumah tangga, ada anak-anak tapi sampai sekarang dia masih belum berjumpa dengan calon yang sesuai. Kadang-kadang terdetik juga rasa cemburu apabila melihat kebahagian Ilham bersama anak isterinya. Bukan mama tidak pernah memperkenalkan calon yang boleh diharapkan untuk menjadi isteri, tetapi hatinya tidak dapat menerima calon pilihan mama. Nadim mahu dia. Hanya dia yang sudah menghilang entah ke mana……

No comments: