Thursday, September 11, 2014

URUSAN HATI BAB 5

Bab 5


Che Ros letak mug Milo panas atas meja kopi. Anak dara tunggalnya yang sedang membelek telefon dipandang. Syazlin kalau pulang ke kampung dia bukan mahu keluar berjalan-jalan. Memang ini sahaja aktiviti yang suka dilakukannya. Duduk terperap di rumah sambil bermanja-manja dengan mama.

“Kenapa ni mama, pandang-pandang Lin macam tu.” Syazlin menyoal selamba. Dia bangun dari baring. Mug Milo atas meja dicapai lalu dibawa ke bibir. Dia meniup perlahan Milo yang berasap panas sebelum dihirup. Air tangan manusia yang bergelar ibu ini ajaib. Air Milo buatan mama ni rasanya sedap ya amat. Kalah Milo buatan Saif Ali Khan!

“Babah Lin telefon mama tadi. Kenapalah masa lalu depan rumah dia semalam Lin tak singgah. Babah ada dekat luar tau tengok ajer kereta Lin laju ajer lalu depan rumah dia.” Kata Che Ros.

Syazlin buat muka. “Malaslah mama. Nanti-nantilah.” Tuturnya malas. Kembali baring dan bermain dengan telefon bimbitnya.

“Nanti-nanti tu bila Nurul Syazlin? Raya? Pergilah Lin. Tak baik buat Babah macam tu.” Che Ros memujuk lembut.

Syazlin mengeluh perlahan. “Maaaa….jangan paksa.” Balas Syazlin panjang tanpa memandang mama yang sedang memandang ke arahnya.

“Assalamualaikum….”

Automatik Syazlin bangun dari baring apabila mendengar orang memberi salam dari luar. Cepat-cepat dia mendaki tangga untuk menyorok di dalam bilik tidur.

“Mama, cakap Lin keluar.” Sempat dia berpesan pada mama sebelum menyembunyikan diri di dalam bilik.

Che Ros mengetap bibir. Macam-macamlah Syazlin nih!!

“Waalaikummusalam…” Che Ros jawab salam. Dia buka pintu rumah. Dia ukir senyum manis apabila melihat wajah Fasha. Seperti biasa Fasha bersalaman dengan Che Ros.

“Che Ros, ibu bagi.” Fasha hulur Tupperware berisi pengat pisang kepada Che Ros.

“Terima kasih.” Ujar Che Ros sebaik bekas Tupperware bertukar tangan.

“Che Ros, Kak Lin mana?” Fasha bertanya.

Che Ros tidak terus menjawab. Dia cuma tersenyum sambil telunjuk menunjuk ke atas, isyarat di mana Syazlin berada.

Fasha mengangguk-angguk faham. Dia segera menaiki tangga untuk ke tingkat atas.



Di dalam bilik Syazlin hanya menikuskan diri. Takut benar kalau Fasha menemuinya. Dia rapatkan cuping telinga pada pintu bilik. Keadaan sudah senyap sunyi. Sudah tidak ada lagi suara kecoh di bawah. Syazlin ukir senyum lebar. Dia hela nafas lega. Pintu bilik terus dibuka.

“Kak Lin!!!”

“Oh mak kau!!” Terkejut beruk Syazlin apabila disergah oleh Fasha. Habis berterabur mulut melatah. Dia urut dada. Matanya mengecil memandang Fasha yang sudah ketawa besar.

“Kak Lin…Rindunya dekat Kak Lin.” Ujar Fasha terus memeluk erat Kak Lin. Sikit pun dia tidak takut pada pandangan Kak Lin yang mencerun itu.

“Fasha nih!! Nasib baik Kak Syazlin taka da sakit lemah jantung tau. Kalau tak dah arwah dah Kak Syazlin.” Syazlin menggetus geram sewaktu meleraikan pelukan Fasha. Terasa rimas betul bila berpeluk-peluk begini. Dia bawa diri ke katil. Novel di tepi meja katil yang masih tinggal separuh untuk dihabiskan itu.

Fasha masih ketawa. Dia mengekori langkah Kak Lin ke katil.

“Fasha nak apa nih?” Syazlin sekadar bertanya apabila Fasha duduk menempel disebelahnya. Rimas okey. Rimas! Nak feeling-feeling dengan hero novel ni pun terganggu apabila ada Fasha di sebelah.

Fasha mencebik. Seperti biasa Kak Lin selalu sahaja bersikap dingin dengannya. Bila dengan Kak Lin, nak rasa kemesraan adik beradik tu payah sangat. Dia teringin nak ada kakak yang boleh berkongsi cerita sama-sama. Kak Lin ni nama ajer kakak satu ayah berlainan ibu tetapi taraf layanan kepada dia macam orang asing. Langsung tak ada semangat adik beradik.

“Nak jumpa Kak Lin lah. Kak Lin kalau bukan hari raya memang taklah kan nak pergi rumah Fasha.” Rungut Fasha.

Syazlin cuma jeling Fasha disebelah dengan ekor mata.

“Ibu kirim salam.” Ujar Fasha.

“Waalaikummusalam.” Syazlin menjawab malas.

“Fasha ada bawakkan pengat pisang untuk Kak Lin. Ibu masak. Babah kata Kak Lin suka makan pengat pisang.” Ujar Fasha.

Hati Syazlin terusik sedikit. Setiap kali balik ke rumah mama, Babah pasti akan menyuruh Fasha menghantar pengat pisang kegemarannya itu ke sini. Che Yam punya pengat pisang memang sedap. Kalau pasal Che Yam punya pengat pisang dia jarang nak jual mahal. Walaupun dia tak suka pada Che Yam, tetapi dia tak boleh paksa lidahnya ini untuk tidak suka pada pengat pisang Che Yam yang sedap itu juga.

“Fasha datang sorang ajer ker. Fadhil mana?” Syazlin mula buat-buat ramah, bertanya tentang Fadhil, kembar Fasha. Anggap sahaja sikap ramahnya ini sebagai tanda terima kasih kerana Fasha sudah bersusah payah datang ke mari semata-mata mahu menghantar pengat pisang untuknya.

“Fadhil keluar dengan abang baru kita orang.” Fasha memberitahu sambil kening terjongket-jongket.

“Abang baru? Bila masa pula Fasha dengan Fadhil ada abang. Setahu Kak Lin, korang tu menempel dengan Abang Shah ajer kan. Siapa tu?” Syazlin bertanya. Novel di tangan ditutup. Dia tidak pernah mendengar tentang nama itu.

“Anak ibu dengan suami lama ibu dulu. Dia baru sampai semalam.” Kata Fasha lagi.

“Owhh…Okey.” Syazlin mengangguk-angguk kepala. Selama ini dia tidak pernah tahu yang Che Yam ada anak dengan suami pertamanya dulu. Ingat Che Yam tu dulu janda berhias yang vogue da vass.

Syazlin sambung membaca novel yang terhenti. Fasha dibiarkan sahaja. Mahu tergolek ker, mahu terlentang ker di atas katil ini suka hatilah.

Fasha rasa penat nak menarik perhatian Kak Lin lagi. Kakak yang seorang ini memang jenis hati ais. Dia bangun dari baring. Boringlah dengan Kak Lin nih! Boleh pulak buat-buat tak tahu dia di sini.

“Kak Lin, malam esok jangan nak pergi ke mana-mana yer. Babah suruh Kak Lin datang rumah makan malam ramai-ramai.” Ujar Fasha sewaktu mahu keluar dari bilik Kak Lin.

“Tengoklah kalau rajin.” Syazlin menjawab malas tanpa memandang muka Fasha.

“Tak ada tengok-tengok. Datang tau. Nanti boleh berkenalan dengan abang baru Fasha.” Jerit Fasha yang dah menuruni anak tangga ke tingkat bawah.

“Abang baru Fasha?” Syazlin ketawa sendiri. Entah apa yang bagus sangat entah tentang abang tiri si Fasha tu pun dia tak tahu sampai beria-ia benar budak seorang itu mahu dia berkenalan dengan mamat itu.

Syazlin cepat-cepat turun ke bawah sebaik sahaja mendengar enjin skuter Fasha yang sudah sayup-sayup meninggalkan kawasan rumah. Anak tekak ni dah meronta-ronta nak makan pengat pisang Che Yam!





No comments: