Friday, September 12, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 1

Bab 1


Tiga bulan sudah berlalu. Hari ini Aryana bangun dari tidur dan menjadi Aryana yang baru. Dia sudah tidak mahu menangis lagi apatah lagi meratapi nasib diri. Aryana mahu jadi kuat dan cekal menempuh dugaan. Adib sudah pergi ke sekolah. Sejak tiga bulan lalu, Abang Harun yang menghantar dan mengambil Adib dari sekolah. Sejak diceraikan Aryana hidup macam zombie. Langsung tidak terurus kerana itulah mama menyuruh Abang Harun menghantar dan mengambil Adib dari sekolah sementara Aryana pulih seperti sediakala. Sejak berpisah dengan Ilham, memang mamalah yang selalu ambil peduli pasal Aryana.

“Yana, dah okey ker. Ya Allah syukur Alhamdulillah. Mama seronok sangat tengok Yana dah okey macam biasa.” Tutur Datin Rokiah Kamsan gembira apabila menyambut kedatangan Aryana pagi itu. Aryana nampak sudah pulih dari kesedihan.

“Mama, Yana datang ni sebab nak tumpang tinggalkan Baby dengan mama ya. Nanti mama cakap dekat Abang Harun, sementara Yana keluar ni, mintak Abang Harun hantar Adib ke sini yer.” Ucap Aryana seraya mengeluarkan beg Adalia dari dalam kereta.

Dahi Datin Rokiah Kamsan berkerut. “Yana nak pergi ke mana nih?” Soalnya pelik.

Aryana mengeluh perlahan. “Pergi mana lagi mama. Cari kerja la.” Katanya.

“Kerja??” Suara Datin Rokiah Kamsan naik sedikit kerana terkejut.

“Ya la mama. Takkan Yana nak duduk dekat rumah tunggu duit turun dari langit kut.” Balas Aryana.

“Am tak bagi nafkah pada Yana ker.” Datin Rokiah Kamsan mula bersuara tidak puas hati. Kalau benar Ilham sudah abaikan tanggungjawabnya tentang pemberian nafkah anak-anak dan jandanya ini memang nak kena sangat dah budak ni. Sudahlah senang-senang hati lafazkan talak, lepas tu abaikan pula tanggungjawab. Benar, sejak Ilham lafazkan talak pada Aryana dan langsung tak ada usaha bersungguh nak rujuk kembali, hatinya selalu bengang dengan Ilham. Buat senang. Hidup pun bukan main kembali enjoy. Bujang duda dengan bujang tak kahwin tu lain.

“Untuk anak-anak adalah dia masukkan duit dalam akaun Yana mama.” Jujur Aryana memberi tahu. Sejak kena tinggal Ilham tak pernah pun bekas suaminya itu lupa akan tanggungjawabnya. Setakat ni nafkah memang tak pernah terabai. Setiap bulan seperti biasa RM5000 automatik akan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Duit bayaran kereta juga siap-siap sudah dibayar. Insurans untuk Aryana dan anak-anak juga siap berbayar juga. Semua sama seperti semasa mereka suami isteri.

“Habis untuk Yana?”

“Sekalilah tu mama.”

“Habis tu yang sibuk-sibuk nak kerja kenapa. Jaga ajerlah anak-anak dekat rumah.”

“Sampai bila Yana nak harap duit abang mama. Yana ni bukan isteri dia lagi. Yana kena juga belajar untuk berdikari.” Jelas Aryana.

“Yana, mama dengan abah masih boleh tanggung Yana dengan anak-anak Yana kalau Am tak bagi duit belanja. Berapa Yana nak. Yana cakap. Mama tulis cek sekarang juga.” Selar Datin Rokiah Kamsan tidak bersetuju dengan tindakan Aryana yang mahu bekerja semula.

Aryana mengeluh lagi. Dia tahu, mama dengan abah takkan biar dia hidup terkontang kanting tanpa duit, tapi takkanlah dia nak menagih duit dari mereka setiap bulan. Lagipun dia dah berazam nak mulakan hidup baru dan langkah pertama yang harus dia ambil adalah dengan kembali bekerja. Aryana yakin dengan bekerja dia dapat lupakan kenangan pahit yang dia alami.

“Tak payahlah. Kalau betul mama nak tolong Yana, mama tolong jagakan Baby dengan Adib sementara Yana pergi kerja ya mama.” Kata Aryana. Beg Adalia dihulurkan kepada Datin Rokiah Kamsan.

“Yana…” Panggil Datin Rokiah Kamsan lembut mahu memujuk dengan harapan Aryana berubah fikiran.

“Mama, please… Yana dah lewat nih. Yana pergi dulu yer…” Aryana cepat-cepat masuk ke dalam kereta selepas bersalaman. Lagi lama dia di sini, nanti macam-macam ayat sedih yang mama akan keluarkan. Dalam kereta, air mata Aryana jatuh. Ya Allah, kuatkanlah semangatku. Doanya dalam hati.

Aryana masih gigih turun naik bangunan-bangunan tinggi ini semata-mata untuk mencari kerja. Setakat hari ini adalah tiga empat syarikat yang dia pergi untuk temuduga tetapi nasib masih belum lagi menyebelahinya. Betullah cakap orang zaman sekarang makin sukar untuk mendapatkan pekerjaan apatah lagi kena bersaing dengan calon-calon yang muda-muda.

Aryana pandang jam di pergelangan tangan yang sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Cepat sangat masa berlalu hari ini. Biasa kalau duduk di rumah tidaklah pula cepat begini. Kaki Aryana sudah penat. Rasanya cukuplah untuk hari ini. Esok dia akan mencuba dan terus mencuba lagi. Masakan langsung tiada kerja kosong kan. Malaysia masih aman. Berpusu-pusu orang luar bekerja dekat sini. Takkanlah dia yang tidak pernah terlepas mengundi setiap lima tahun sukar benar nak dapat kerja. Aryana cuba positifkan diri.

Sebelum pulang Aryana singgah ke dalam sebuah restoran yang kebetulan terletak sederet dengan syarikat terakhir tempat dia temuduga tadi untuk melepaskan lelah setelah penat berjalan ke sana ke mari mencari lubang-lubang kerja.

“Aucchhh!!” Aryana terjerit kecil apabila badannya terlanggar dengan seseorang di hadapan kedai. Mujur Aryana dapat mengimbangkan badan kalau tidak pasti jatuh tergolek. Bukan main keras badan makhluk Allah yang melanggarnya tadi.

“Cik, Saya minta maaf.”

“Encik ni dah kenapa, lain kali kalau nak jalan tu tengok la depan bukan tengok handphone. Tengok nih.” Balas Aryana sedikit kasar. Jari telunjuk terarah kepada file sijil yang sudah jatuh di lantai. Tanpa menghiraukan lelaki tersebut dan juga beberapa pasang mata yang memandang ke arahnya, Aryana terus mengutip file tersebut. Sijil-sijil yang terkeluar dimasukkan semula ke dalam file.

“I’m sorry.” Balas lelaki tersebut turut sama membantu Aryana.

“Sorry…sorry….” Gerutu Aryana sebaik selesai memasukkan dokumen yang bertaburan ke dalam file.

Lelaki itu sekadar mempamer senyum manis.

Aryana yang terpandang senyuman manis lelaki itu segera buat muka jelik. Kau apahal?!! Aryana geleng-geleng kepala terus masuk ke dalam restoran. Macam geli geleman pulak bila budak muda macam tu sengih-sengih gatal pada dia. Huhh!!

“Lan, apahal tu?” Tegur Mastura apabila Chef Razlan menghampiri ke kaunter.

“Saya terlanggar dia tadi kak.” Razlan sekadar menjawab.

“Amboi terlanggar macam cedera parah ajer gayanya cara dia marahkan Lan tadi.” Gerutu Mastura yang kurang senang dengan sikap berlagak pelanggan yang berlaga dengan Razlan tadi. Tidak tahukah perempuan itu yang Razlan bukan setakat chef sambilan di sini, tetapi restoran ini juga adalah miliknya dan kalaulah perempuan itu tahu salasilah keluarga Razlan ini, pasti menyesal sebab biadap dengan beliau.

Razlan yang sedang mengikat tali apron pada pinggang hanya tersenyum mendengar omelan Mastura. “Biarlah kak. Customer kita tu kan. Bagi sini buku menu. Saya ambilkan order dia. Karang lambat ambil order bising lagi dia karang.” Ujar Razlan bersahaja. Buku menu yang dihulurkan oleh Mastura disambut. Dia menghampiri wanita yang berlanggar dengannya tadi. Wanita itu nampak sibuk mengemas dokumen-dokumen ke dalam filenya semula agar teratur.

“Order Cik.” Tutur Razlan.

Tangan Aryana yang rancak mengemas dokumen-dokumen ke dalam file berhenti seketika. Dia pandang muka budak yang mengambil order. Laa… Waiter dekat sini rupanya. Jalan kelam kabut sampai aku yang kecik sikit dari gergasi ni pun habis dilanggar mesti sebab dah terlambat masuk kerja. Desis Aryana di dalam hati.

“Bagi nilah.” Aryana menjawab. Telunjuknya diletakkan pada gambar kek tiramisu yang nampak begitu menyelerakan.

“Minum Cik?”

Cik…Cik… Alahai…Hemah sangat tutur kata lelaki ini. Akak ‘Puan’ dik! PUAN! Getus Aryana di dalam hati. Bukanlah nak perasan tapi dia memang kurang berkenan cara budak lelaki ini memandang ke arahnya. Tambah-tambah lagi memandang dengan senyum gatal pulak tu. Dari tadi tau! Dari tadi!

“Hot chocolate dan tiramisu ajerlah.” Cepat Aryana menjawab terus memberikan semula buku menu itu kepada pelayan gatal itu.



Setelah selesai makan, Aryana mengangkat tangan, memberi isyarat kepada pelayan restoran yang duduk di kaunter bayaran agar membawakan bil. Hatinya senang kerana pelayan gatal tadi sudah tiada di hadapan. Mungkin basuh pinggan di belakang barangkali.

“Bil.” Pinta Aryana sebaik sahaja pelayan menghampirinya.

“Tak payah bayar kak. Ada orang belanja.” Ujar pelayan itu mesra.

“Orang belanja?” Aryana pelik. Matanya melilau-lilau mencari kelibat siapa-siapa yang dia kenal di dalam restoran ini. Tidak ada. Aryana musykil. Serta merta timbul persoalan di hati.

“Terima kasih kak. Kalau tak sedap bagi tahu kami, kalau sedap bagi tahu rakan-rakan. Datang lagi yer kak.”

Aryana tayang sengih melihat semangat adik pelayan ini mempromosikan cogan kata restoran ini. Kalau tak sedap beritahu kami, kalau sedap beritahu rakan-rakan. Aryana membaca dalam hati cogan kata yang terpampang besar pada dinding restoran. Dia ketawa kecil. Pasti dia akan kembali lagi kerana rasa tiramisu di sini sangat sedap. Cair dimulut. Bila makan terasa terbuai-buai.

Ketika berlalu di hadapan bayaran, kaki Aryana berhenti seketika. Macam tak sedap hati pula tiba-tiba ada yang belanja hari ini. Kalau kenal tidak mengapalah. Memang dipanjatkan doa agar orang itu murah rezeki. Kalau tak kenal? Akan doakan jugalah tapi motif sebenar belanja tiramisu dan hot chocolate ni nak juga dia tahu.

“Hai, saya nak tanya, siapa ya yang bayarkan meja nombor sepuluh tu tadi.” Aryana bertanya.

“Owhh…Chef restoran ni.” Mastura sekadar menjawab soalan pelanggan yang bertanya ini.

Dahi Aryana berkerut. “Chef?” Soalnya pelik.

“Yang berlanggar dengan Cik Kak tadilah.” Balas Mastura agak sinis.

Dahi Aryana berkerut lagi.

“Tuu…” Panjang bibir Mastura menjuih ke arah dapur yang mana separuh daripada dinding dapur itu adalah terdiri daripada cermin telus pandang.

Mata Aryana menyorot pada arah yang ditunjukkan. Memandangkan restoran ini berkonsepkan open kitchen maka pelanggan yang berkunjung ke sini boleh melihat bagaimana tukang masak di sini menyediakan makanan.

“Owhh….Yang tu Chef…Ingat waiter.” Ujar Aryana sambil ketawa kecil.

“Tu Chef Razlan. Restoran ni dialah punya.” Beritahu Mastura tanpa diminta.

Mulut Aryana sedikit melopong. Wahh….Serta merta persepsinya pada pelayan gatal tadi berubah. Kagum sangat!

Dari balik cermin kaca Aryana lihat Chef Razlan melambai ke arahnya. Aryana sekadar melambai kembali sambil mulutnya mengucap terima kasih tanpa suara. Semoga Allah murahkan rezeki Chef Razlan!


Semoga terhibur buat yang sudi singgah blog saya!!!

7 comments:

Anonymous said...

kenapa bercerai....
bila novel nih keluar???

AINULRIDA HUSNI said...

Oh no! Awat sampai cerai ni? Chef Razlan ni akan jadi hero baru ke? Aduiiii... Dup dap baca n3 kali ni.

areila sahimi said...

Nak sebab apa kena habiskan part 1 dulu. Hikhikhik. ..

sweety said...

Tolong masukkan part kenapa mereka boleh bercerai..Ilham berpaling tadah kepada Sherry ke? Ilham dan Aryana kan pasangan ideal..huhuhu

Anonymous said...

dah lama akak tak menjengah rumah eila ni, tetiba dikejutkan dgn berita penceraian aryana dan ilham..alahai kenapa ek..cepat2 update entry baru ya dik

-chah husain-

areila sahimi said...

pasal apa boleh berpisah tu kena baca part 1 sampai habis. :P

Unknown said...

sedihnya. dh bca part 1 smp bab 10 tp xda tnda2 pn dorang ada mslh