Friday, September 5, 2014

Yes Ma'am : Part 1 : Bab 7

Bab 7


Sudah dua hari Aryana mogok tak mahu masak. Dia masih geram pada Ilham yang sanggup melayan berborak dengan Qistina di dalam telefon hari itu. Bukan main mesra butir bicara mereka berdua. Lagi bertambah bengang adalah apabila Qistina seperti tidak bersalah sahaja bercakap dengan Ilham menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Assalamualaikum.”

Aryana sengaja buat-buat tidak dengar tetapi salam Ilham itu tetap dia jawab dalam hati. Kalau tak jawab karang berdosa pulak. Tanpa mempedulikan Ilham yang datang menghampiri ke arahnya, Aryana buat-buat sibuk melayan Adib dan Adalia makan pizza yang baru dihantar oleh budak penghantar pizza tadi.

Berkerut kening Ilham melihat menu makan malam mereka sekeluarga hari ini adalah pizza lagi. Dia melabuhkan punggung ke atas sofa. Tali leher yang menjerut tengkuk dilonggarkan.

“Malam ni makan pizza ajer ker?” Soal Ilham. Tangannya mencapai sekeping pizza Beef Pepperoni dari dalam kotak.

“Mummy kata mummy tak ada mood nak masak. Jadi kita makan pizza ajerlah.”

Mata Aryana membuntang mendengar jawapan lancar yang keluar dari mulut Adib itu. Adib mengangkat bahu. Dia paksa bibir menyuring sengih walaupun mulut penuh dengan pizza.

Ngeee…Adib ni kan. Tak boleh nak diajak bersekongkol betul. Tadi beria-ia berjanji, jika abah tanya kenapa makan pizza lagi, kena jawab Adib yang nak makan pizza. Bukan jawab sebab mummy tak ada mood nak masak. Kan dah nampak sangat sekarang ni yang mummy tengah tunjuk perasaan! Ngomel Aryana dalam hati.

Aryana angkat punggung apabila melihat Ilham melirik ke arahnya. Dia berlalu menuju ke dapur.

“Yana ni kenapa. Tak sihat?” Ilham bertanya lembut. Dia menunduk sedikit mencari wajah mencuka Aryana.

Aryana angkat wajah sedikit untuk melihat muka Ilham. Lemah lah pulak bila mendengar suara lembut Ilham itu. Kalau boleh tengah-tengah angin tak berapa nak betul, Aryana malas nak bercakap tentang hal Qistina. Buat tercetus perang dunia ketiga ajer nanti dalam rumah ni. Setakat tunjuk perasaan rasanya okey-okey sahaja.

“Yana tak sihat ker?” Ilham menyoal penuh prihatin apabila Aryana masih tidak menunjukkan respon.

Aryana tepis perlahan belakang telapak tangan Ilham yang baru mendarat ke dahinya.

Dia beralih ke cabinet dapur lalu berpura-pura mengelap cabinet yang sudah sedia berkilat.

“Yana ni kenapa. Abang tengok sejak balik ajer dari majlis Puan Seri Mariam hari tu, muka moody semacam ajer. Bila abang tanya kenapa, Yana diam.” Nada Ilham tinggi menyoal. Suaranya sedikit tegas apabila Aryana masih lagi bersikap dingin. Sudah dua hari Aryana begini. Hati suami mana yang tak dipagut rasa risau apabila si isteri yang selalunya banyak mulut tiba-tiba menjadi pendiam pula.

Aryana tersentak apabila suara Ilham naik begitu. Serta merta tangannya berhenti dari mengelap cabinet dapur.

Baru dia hendak menjawab, dia lihat Adib dengan selamba masuk ke dapur. Aryana kunci mulut. Sejak dari dulu lagi, jika ada perselisihan pendapat, atau ada yang tidak puas hati dalam rumahtangga, Aryana dan Ilham tidak pernah sama sekali membahaskan depan anak-anak. Aryana tidak mahu emosi kanak-kanak sebesar Adib dan Adalia terganggu apabila melihat ibu dan ayah mereka bertengkar.

Aryana dan Ilham sama-sama melihat Adib membasuh tangan di singki selepas makan.

“Mummy dah kenyang. Nak main game boleh.” Adib meminta kebenaran.

Aryana jeling Ilham dihadapannya. Kepalanya mengangguk.

“Okey. Bawak Baby naik atas sekali.” Tutur Aryana lembut.

“Yess Mummy!” Adib tabik hormat sebelum beredar meninggalkan ibu dan abahnya.

Sebaik sahaja melihat Adib dan Adalia sudah naik ke ruang tamu tingkat atas, Ilham dekatkan dirinya dengan Aryana. Kedua belah bahu Aryana dipegang. “Cakap dengan abang, apa yang buat Yana emosi dua hari ni sampai mogok tak mahu masak. Tau tak abang jemu makan pizza hari-hari.” Suara Ilham mengendur. Lembut dia menuturkan satu persatu patah perkataan yang keluar dari mulutnya.

Aryana berdecit. Ilham memang bijak mencantas rasa kurang senang yang sedang bercambah dalam hatinya. “Tak ada apa-apalah.” Balas Aryana. Dia menyambung kembali mengelap cabinet dapur.

“See…” Tidak semena-mena suara Ilham naik semula. Dia pening. “Tak ada apa-apa. Tapi…”

Tangan Aryana berhenti dari terus berpura-pura mengelap cabinet. Dia berpaling ke arah Ilham. “Abang tu lah.” Aryana pantas memotong.

“Abang pulak. Apa salah abang.” Balas Ilham yang tidak faham jika angin tak baik Aryana ini ada kena mengena dengan dia. Bila masa pula dia melakukan kesalahan.

“Ermm..A..” Aryana teragak-agak mahu meluahkannya tapi apabila melihat muka kerek Ilham yang bajet-bajet macam tak bersalah itu buatkan dia semangat nak menjawab.

“Abang tulah. Bercakap dengan Qistina bukan main mesra lagi.” Akhirnya terluah jua apa yang terbuku di dalam hati sejak dua hari lepas. Aryana berpeluk tubuh. Pandangannya dilemparkan ke arah lain. Dia curi-curi pandang Ilham. Ya Allah. Geramnya. Ilham boleh buat muka blur!

Ilham garu kepala yang tidak gatal. “Laa…Bukan masa abang bercakap dengan Kiki tu Yana ada sekali ker. Takkan itu pun nak cemburu.” Balas Ilham yang merasakan cemburu Aryana itu adalah sesuatu yang tidak relevan. Bukannya dia bermanja-manja dengan Qistina di belakang Aryana. Sah-sah semasa dia berborak dengan Qistina di dalam telefon hari itu Aryana pun ada sekali memandangkan telefon yang digunakan oleh Qistina waktu itu adalah telefon bimbit milik Aryana.

“Abang, mana-mana isteri pun akan cemburu tau bila tengok bukan main manja lagi perempuan macam Qistina tu bercakap dengan suami mereka.” Selar Aryana pula.

“Kan masa tu Yana pun ada sekali dengan Kiki, kenapa Yana tak sound ajer dia supaya jangan bercakap dengan abang macam tu.” Ilham berkata mudah. Orang perempuan suka merumitkan keadaan. Kalau sudah tidak suka, tegur sahajalah Qistina waktu itu juga. Habis cerita, tak perlulah sampai nak kena buat mogok malas masak sampai dua hari baru nak luah perasaan tak puas hati.

“Macam mana nak sound, Yana dekat rumah dia.” Aryana menggetus geram.

“Yana ni cemburu sangatlah. Abang dengan Kiki tu kawan lama. Takkan nak bersembang dengan kawan lama pun tak boleh.” Balas Ilham yang sudah mula bosan mahu melayan sikap cemburu melampau Aryana itu.

Tubir mata Aryana terasa panas. Aryana tahan air mata sedaya mungkin agar ia tidak jatuh mengalir dihadapan Ilham. “Kalau abang tahu Yana ni jenis cepat cemburu, abang patut lebih sensitif dengan perasaan Yana. Yana tahulah Yana tak sehebat dia. Tapi Yana isteri abang. Yana cemburu sebab Yana sayang abang.” Lirih Aryana bersuara.

Ilham terdiam. Dia kaget apabila melihat manik halus mula mengalir dari tubir mata Aryana. Inilah perempuan. Semedang menggunakan taktik air mata untuk melemahkan jiwa lelakinya.

Ilham bawa Aryana ke dalam pelukannya. Tepi bahu Aryana ditepuk-tepuk perlahan. “Yerlah. Yerlah. Kalau abang salah sebab layan Kiki melebih-lebih sampai buat Yana sentap abang minta maaf. Lain kali abang dah tak layan dah Kiki tu.” Ilham memujuk.

Aryana menolak perlahan dada bidang Ilham. Dia mencemik bibir. “Yerlah abang tu. Tak layan konon.” Sinis dia berkata.

Kening Ilham terangkat sebelah.

“Lagi satu, hapak sangat ker bau badan abang dulu sampai Qistina panggil abang Buchuk. Nak termuntah tahu tak!” Sedas Aryana.

“Yana…Ngeee…Yana ni kalau bercakap ikut sedap mulut Yana ajer kan. Sudahlah. Tak ada mood nak pujuk Yana dah. Abang balik penat ingat dapatlah makan masakan isteri yang sedap-sedap. Abang nak keluar. Duduk rumah ni pun berserabut kepala asyik dengar Yana membebel ajer.” Hambur Ilham satu nafas seraya terus meninggalkan Aryana termangu seorang diri di dapur.

“Abang!!” Aryana menjerit dari muka pintu apabila melihat kereta Ilham sudah meluncur laju meninggalkan parkir rumah.

Ishhh… Keluhnya lemah. Ingat nak test ajer kesabaran Ilham tadi. Nak tengok semangat Ilham memujuk sama ker tidak macam masa bercinta dulu. Rupanya nan hado!











No comments: