Friday, September 5, 2014

Yes Ma'am : Part 1 : Bab 6

Bab 6


“Ni Yana kalau ke rumah Puan Seri Mariam tu, ke rumah Puan Seri Mariam jer. Jangan pulak lepas tu melencong ke tempat lain. Shoppinglah. Spalah. Yana macam tak tahu anak-anak Yana ni, bukan boleh duduk lama dengan abah mereka. Nak Yana jugak.” Pesan Ilham ketika menghantar Aryana ke kereta.

Aryana sekadar mencebek. “Alah abang ni, sesekali cubalah spent time dengan anak-anak. Asyik spent time dengan kawan-kawan jer. Anak-anak abang tu nak juga bermanja dengan abah diorang.” Becok mulut Aryana membebel cuba memulangkan paku buah keras kepada Ilham.

Ilham buka pintu pemandu untuk Aryana. “Yana ni kan apa jer yang abang cakap ada jer modal nak membidas kan!” Gerutu Ilham sambil tayang muka tak puas hati.

Aryana tergelak kecil. “Olololo…Sentaplah tu.” Tuturnya sambil jari mencubit geram pipi kanan Ilham. “Bukan bidas, betul lah apa yang Yana cakap. Abang Isnin sampai Jumaat sibuk dekat pejabat. Balik lewat. Lepas tu hari-hari cuti sibuk dengan Nadimlah, dengan Abang Harunlah……”

“Yerlah…Yerlah… Yes Ma’am. Yana ajerlah yang betul.” Ilham pantas memotong sebelum bebelan Aryana menjadi makin berjela-jela.

Aryana tergelak lagi.

“Ketawa pulak. Pergilah cepat. Nanti lama mama tunggu.” Tutur Ilham. Tangan nakalnya cuba menolak Aryana masuk ke dalam kereta.

“Abang tolak Yana.” Tutur Aryana yang hampir terjatuh.

Giliran Ilham pula ketawa. Seronoknya dapat bergurau senda dengan isteri tersayang. Selain daripada gaduh-gaduh manja, bergurau senda begini pun dapat mengeratkan perhubungan suami isteri. Barulah warna warni alam rumahtangga.

“Abang suruh Yana pergi cepat. Nanti kalau lambat, kene bebel dengan Datin Rokiah Kamsan, abang tak boleh nak tolong.” Tutur Ilham yang masih ketawa.

Aryana mencebek. Seketika bibirnya menyuring sengeh bila dia rasakan apa yang dikatakan oleh Ilham ada benarnya. “Yerlah. Abang jaga rumah. Jangan buat sepah-sepah.” Sempat Aryana berpesan.

“Iya. Abang tahulah.” Ilham sekadar menjawab.

Aryana raih tangan kanan Ilham untuk bersalaman. “Yana pergi dulu. Assalamuaikum.” Tutur Aryana sebelum memboloskan diri ke dalam keretanya.

Ilham melambai-lambai apabila kereta Aryana perlahan-lahan mengundur ke belakang sebelum kereta isterinya itu terus meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan mereka.

“Mummy!!!!”

Ilham mengeluh panjang apabila mendengar jeritan Adalia yang baru bangun tidur di depan pintu rumah. Belum sampai lima minit Aryana hilang, Adalia dah menangis jerit-jerit kerana mahukan mummynya. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Tekanan perasaan ni nak memikir cara terbaik untuk memujuk Adalia agar berhenti dari menangis. Tiba-tiba mentol di dalam kepala menyala. Mc Donalds!!



Ilham melihat muka boring Adib diselang seli dengan keletah gembira Adalia yang sedang bermain papan gelungsur di dalam restoran McDonald Seksyen 7 ini. Sudah hampir dua jam mereka anak beranak berkampung di dalam restoran ini. Dua kali dia memesan nugget dan air untuk anak-anaknya selepas mereka habis makan fillet o fish ketika baru sampai tadi.

Ketika Adalia menangis mahukan Aryana tadi, Ilham hanya terfikir untuk memujuk dengan cara membawa anak-anaknya ke Mc Donalds sahaja. Idea tersebut dirasakan berkesan untuk Adalia yang kelihatan sedang gembira bermain dengan kawan-kawan yang baru dikenali tetapi tidak pada Adib rupanya.

“Abah, bila nak balik nih….” Adib tolak Ipad yang sudah kehabisan bateri. Kepala diletak malas di atas meja. Tangan pula bermain-main dengan straw di dalam gelas kertas yang cuma hanya berisi ais batu yang hampir mencair keseluruhannya.

“Duduk dululah. Baby tengah main tu. Kalau balik awal-awal pun nak buat apa. Lagi boring. Mummy tak ada. Apa kata Adib pergi main dengan Baby dekat sana tu.” Ilham menjawab seterusnya memberi cadangan untuk mengurangkan rasa bosan Adib itu.

Dahi Adib berkerut seraya mata mengerling ke arah papan gelongsor yang dimonopoli budak-budak sebaya Adalia. “Boringlah abah. Takkan Adib nak main mainan tu semua. Malulah Adib.” Tutur Adib lemah.

Ilham pandang muka tak berperasaan Adib itu. Automatik dia tersengih sendiri apabila mendengar kata-kata Adib tadi. Adib sudah berumur sepuluh tahun. Takkanlah nak main panjat-panjat macam Adalia. Tak macholah!!

“Abah jomlah balik…” Adib separa merayu. Mulutnya yang sudah menguap luas ditutup dengan telapak tangan.

Ilham keluar telefon bimbit dari dalam kocek seluar. “Sekejap abah telefon mummy. Lambat lagi ker mummy balik.” Ujar Ilham. Jari menari di atas touch skrin Iphone 5 mencari nombor telefon Aryana. Tiga kali Ilham cuba menghubungi Aryana tetapi panggilannya itu ditolak. Ilham mengeluh lemah. Katanya tak sukalah…malaslah…boringlah…tapi bila keluar dengan mama sampai nak jawab telefon pun tak sempat. Ngomel Ilham ketika menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar.

“Abah jom balik!!”

Ilham kalih pandang pada Adalia yang sudah tercungap-cungap kepenatan. Kawasan papan gelongsor yang tadinya dimonopoli oleh Adalia dan teman yang barunya sudah pun dimonopoli oleh puak lain pula.

“Nak balik dah? Baby tak mahu main lagi ker?” Ilham sekadar menyoal.

Adalia menggeleng laju. “Kawan Baby dah balik. Jadi Baby nak baliklah. Nanti kasihan mummy tengok kita tak ada dekat rumah.” Petah Adalia berkata-kata sebelum air Milo yang masih bersisa di dalam gelas kertasnya disedut untuk menghilangkan lelah setelah penat bermain.

Ilham ketawa kecil.

“Okeylah jom!!” Balas Ilham. “Adib!! Ya Allah budak ni sampai tertidur dekat sini. Adib bangun. Jom. Jom. Balik. Tidur dekat rumah. Adib ni buat abah malu ajerlah. Macam rumah tak cukup besar sampai nak tidur dekat McDonald pulak dah dia.” Ilham membebel semasa mengejutkan Adib yang sudah tertidur. Bebelism yang berlaku membuatkan mata-mata pengunjung restoran ini terarah kepada dia anak beranak. Ilham buat tidak tahu. Takkanlah dia nak dukung Adib yang sudah besar begini. Ilham terus mengejutkan Adib sehingga Adib terjaga dan boleh berjalan sampai ke kereta.





“Hai….”

Aryana berpaling sekilas mencari empunya suara yang menegurnya.

Dahi Aryana berkerut. Sejak tadi dia perasan anak gadis Puan Seri Mariam ini tidak habis-habis memerhati dirinya sehingga Aryana jadi segan. Aryana terasa seperti penampilannya agak janggal untuk majlis minum petang seperti ini. Eksotik sangat ker wajah kampung dia sehinggakan blouse Zara serta tote bag dari Micheal Kors ini nampak tiada aura untuk menyerlahkan penampilannya sehingga diperhatikan atas bawah macam gaya orang tak puas hati.

“Hai…” Aryana sekadar berbahasa.

“You must be Aryana. Isteri Ilham.” Bijak si gadis tinggi lampai ini meneka.

Aryana terpana apabila Qistina mengenali dirinya sedangkan mereka berdua langsung tidak sempat berkenalan tadi. Sebaik sahaja Aryana dan mama sampai majlis telah pun bermula. Aryana hanya diberitahu oleh mama, nama anak gadis Puan Seri Mariam ini adalah Qistina. Setakat itu sahaja dia mengenali gadis tinggi lampai yang pada kiraan Aryana mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 9 inci, mempunyai susuk tubuh 34-24-34, kulit putih gebu, rambut ikal mayang. Memang edisi supermodel Qistina Zaara Tan Sri Ridzuan Hashim ini.

“Ya Saya Aryana. Isteri Ilham. Mana awak tahu saya isteri Ilham.” Aryana menyoal terus.

“Sejak dari you sampai tadi you asyik berkepit ajer dengan Auntie Kiah. Mestilah you menantu dia walaupun mula-mula I ingatkan you pembantu peribadi Datin Rokiah Kamsan.” Balas Qistina sambil menekup mulut menahan tawa.

Air muka Aryana sedikit berubah riak apabila mendengar kata-kata Qistina itu seperti memerlinya. Jika Aryana jenis yang murah perangai, mahu sahaja Aryana bidas kata-kata Qistina itu sambil menunjuk label original Zara dan Micheal Kors yang dia sedang jinjit ini. Excuse me, kalau setakat pembantu peribadi sahaja mampukah memakai designer branded sebegini melainkan jika ada skandal dengan bos sendiri sahaja!. Aryana ajar diri untuk bersabar. Dugaan apabila dia terpaksa bersosial dengan golongan sebegini.

“Dah lama kahwin.” Qistina menyoal lagi.

“Alhamdulillah. Dah masuk sepuluh tahun. Dah ada dua orang anak pun.” Aryana sekadar menjawab.

“Mesti anak-anak you cute kan. Maklumlah Am pun boleh tahan juga orangnya.”

Aryana buat muka. Sorry ek. Adib dan Adalia cute sebab diorang mewarisi wajah mummy mereka yang cute ini.

“Hah…” Aryana mengangguk perlahan. Dia lihat setiap kali Qistina menyebut nama Ilham, pasti wajahnya berseri-seri. Aryana kenal semua teman-teman wanita Ilham dahulu, tetapi tentang Qistina Zara dia langsung tak kenal. Ilham pun tak pernah bercerita tentang kewujudan Qistina. Mustahil sebelum ini mereka pernah berpacaran. Aryana cuba menolak rasa-rasa syak yang mula bercambah sedikit.

“Awak kenal ker dengan Ilham.” Aryana bertanya.

“Takkanlah I tak kenal. I dengan Am kawan dah lama.” Balas Qistina.

“Owwhh…. Okey.” Aryana mengangguk-angguk. Owhhh……Teman tapi mesra. Ishh… Aryana menyampah betul kalau hatinya mengapi-api tentang kepercayaan dia pada Ilham.

Perbualan Aryana dan Qistina terhenti sebentar apabila telefon bimbit Aryana berbunyi lagi. Aryana lihat Ilham menelefonnya lagi. Kalau Aryana yang bersosial kemain empat lima enam kali telefon suruh balik… Aryana mengomel di dalam hati. “Ehh…Sekejap telefon I berbunyi pulak.” Aryana meminta izin dari Qistina untuk beredar jauh sedikit sebelum menjawab panggilan dari Ilham.

“Hello… Abang, yer sekejap lagi Yana balik. Mama tengah bersembang tu….” Ujar Aryana laju seperti sudah dapat mengangak apa yang ingin Ilham kata.

Aryana berpaling apabila bahunya dicuit dari belakang.

“Ilham??” Suara Qistina sedikit berbisik kepada Aryana .

“Haaa…” Aryana mengangguk pelik apabila melihat senyuman Qistina yang kian melebar dan dia terus tergamam apabila dengan selamba Qistina merampas telefon bimbit dari tangannya.

“Hello Buchuk….”

Buchuk??!!!!!! Aryana jerit dalam hati.







No comments: