Monday, December 3, 2012

Kupilih Hatimu 13

Bab 13


Seawal pagi Intan telah bersiap. Selepas solat Subuh tadi dia terus mengenakan sepasang baju kurung kain kapas dan tudung bawal di kepala. Seperti biasa ini sahajalah fesyen yang dia tahu. Bedak baby Johnson di sapu ke muka. Setelah berpuas hati dengan penambilan diri, dia turun ke bawah untuk membantu Mak Wan. Lengan baju kurung dilipat. Bihun goring yang sudah siap digoreng oleh Mak Wan disenduk ke dalam mangkuk lalu di bawa ke hadapan. Dia membantu Mak Wan membancuh teh pula.

“Dah siap?” Imran menyoal di muka pintu dapur.

Intan dan Mak Wan sama-sama berpaling. “Dah.” Intan menjawab sambil tersengih seperti berbangga dengan fesyen baju kurung dan tudung bawal yang dipakainya ini.

“Macam ni ajer.” Imran bertanya dengan bola matanya memandang Intan dari atas ke bawah.

“Macam nilah. Habis tu nak macam mana lagi.” Intan menjawab polos.

“Errmm.. Tak kisahlah. Jom cepat.” Imran tidak ada masa. Dia cepat mengarah.

“Sarapan?”

“Tak payah. Sarapan dekat luar jer. Cepatlah.”

“Yerlah.” Intan mengambil tote bag yang ada di atas meja makan. Dia bersalaman dengan Mak Wan terlebih dahulu sebelum menuruti Imran yang sudah berada di dalam kereta.





“Awak sarapan dekat sini dulu. Saya nak masuk pejabat sekejap. Ada kerja nak buat.” Imran berkata ketika memberhentikan keretanya di hadapan kopitiam yang berhadapan dengan pejabatnya.

“Sorang-sorang? Tak mahulah. Saya ikut Encik Imran ya.” Pinta Intan.

“Awak gila. Dekat office saya mana ada orang. Kalau kena tangkap basah nanti awak nak kahwin free dengan saya.”

Intan menggeleng laju. Tak sanggup rasanya mahu berkahwin dengan lelaki Shrek seperti Imran. Berkahwin dalam mimpi pun dia tak rela.

“Tunggu ajer dekat sini. Saya pergi sekejap ajer.” Imran berjanji.

“Cik Imran jangan lama-lama. Saya tak biasa dekat sini.” Kata Intan.

“Tunggu ajerlah.” Imran menjawab.





Intan menarik nafas lega apabila melihat kelibat Imran dari seberang jalan menuju ke mari. Wajah Imran masih selamba walaupun sudah membiarkan dia menanti di sini hampir dua jam.

“Kata sekejap.” Omel Intan.

“Dah habis makan?” Imran bertanya tanpa mempedulikan omelan dan wajah mencuka Intan.

“Dah.” Balas Intan geram.

“Adik bil.” Imran mengangkat tangan meminta bil dari pelayan kopitiam ini.

“Jom.” Imran terus mengajak Intan pergi tanpa sedikit pun kata-kata maaf membiarkan gadis itu ditinggalkan lama-lama seorang diri di kopitiam ini.

Intan syak Imran mesti sengaja mahu mempermainkan dia hari ini. Kalau itulah niat Imran pasti balik nanti dia akan mengadu domba dengan Puan Rahimah. Intan menunggu selepas ini ke mana lagi Imran akan membawa dia pergi.

Intan mula rasa yang sangkaannya tadi meleset apabila Imran membawanya ke pusat membeli Mines. Kini dia berada ditingkat atas yang menjual pelbagai jenis gadjet dan telefon bimbit.

“Pilih.” Imran berkata lebih bernada arahan apabila dia dan Intan memasuki ke dalam sebuah kedai telefon bimbit.

“Hah..” Intan blur. Tidak faham.

“Pilih awak nak yang mana.” Ujar Imran. Matanya turut sama melihat-lihat telefon bimbit yang ada di dalam rak kaca.

“Hah..” Intan masih tidak faham lagi.

Imran memandang ke wajah Intan. “Pilihlah awak nak telefon yang mana satu.” Ujarnya lebih jelas.

Intan menelan air liur. Dia memandang Intan dan tauke kedai telefon silih berganti. “Tapi…Tapi… Saya mana ada duit nak beli telefon bimbit sekarang ni Encik Imran.” Dia cuba berbisik di telinga Imran.

“Saya suruh awak pilih. Maknanya pilih ajerlah. Saya bayar.” Imran berkata serius.

“Errmm…” Intan ragu-ragu.

“Cepatlah!!” Suara Imran sedikit meninggi.

“Okey.” Intan menjawab. Dia mengambil masa melihat-lihat telefon bimbit di dalam rak kaca itu dahulu kemudian jarinya menuding ke arah telefon bimbit biasa berjenama Nokia itu.

“Kasi yang ni bos.” Intan bersuarau.

“Eh sekejap.” Imran menahan. Dia memandang Intan sambil kepala menggeleng-geleng.

“Awak ni taste ke laut.” Tempelak Imran. Tauke Cina dihadapan mereka cuba menahan ketawa. Intan sebal dengan sikap Imran yang telah memalukannya di hadapan tauke Cina ini.

“Bos kasi tunjuk yang itu.” Kata Imran seraya telunjuk terarah kepada Iphone 4S yang berada dihadapan rak. Tauke Cina itu mengeluarkan telefon bimbit yang ditunjuk. Pembalut pelastik dibuka sebelum diberikan kepada Imran. Imran membelek-belek Iphone yang sudah berada ditangan.

“Macam mana?” Soalnya kepada Intan.

“Cantik.” Intan menjawab sepatah tanpa perasaan.

“Beli telefon bimbit bukan kira cantik atau tak. Kira feature yang ada pada telefon bimbit tu.” Imran membebel lagi. Intan menjuling mata ke atas. Lantaklah kau! desisnya.

“Berapa ni bos.” Imran bertanya harga telefon bimbit ini pula.

“RM2000.” Jawab tauke Cina itu senang sambil tersenyum.

“Encik Imran.” Intan memanggil Imran yang asyik berborak dengan tauke Cina tentang Iphone tersebut. Lengan tshirt Polo yang dipakai Imran ditarik-tarik perlahan.

“Apa dia?”

“Kita ambil yang biasa-biasa ajerlah.” Ujar Intan sedikit berbisik.

“Kenapa? Baguslah telefon ni. Awak boleh Facebook. Awak boleh Twitter. Pelik betul tahun zaman canggih macam ni ada manusia tak ada akaun Facebook.” Kata Imran.

Untuk kali ke seratus lima puluh kut Imran memperlekehkan Intan lagi. Intan berdecit. “Memanglah bagus tapi mahal sangat ni. Nanti mesti banyak tiap-tiap bulan Encik Imran akan potong gaji saya untuk bayar balik duit beli telefon bimbit ni. Tak kisahlah taste ke laut ker ke tasik ker janji saya nak beli telefon yang saya mampu. Ikut ketebalan poket saya, bukan ketebalan poket Encik Imran. Lagipun tak payah nak bangga sangatlah dengan akaun Facebook tu.” Intan meluahkan kebimbangan dalam sekali nafas. Bagaimana dia mahu mengumpul wang kalau setiap bulan gajinya akan dipotong untuk membayar kembali harga telefon bimbit yang mahal ini. Lambat lagilah dia akan jadi kaya!

“Saya ada cakap suruh awak bayar balik tak. Saya dah kata saya belikan telefon ni untuk awak maknanya saya belikan. Tak faham-faham bahasa.” Ujar Imran. Sengaja kata-katanya itu ditekan.

Intan terkulat-kulat. Dia menjeling touke Cina yang tersenyum-senyum sumbing ke arahnya.

“Bos, yang ni.” Intan sekadar menurut sahaja apabila Imran sudahpun memutuskan itulah telefon bimbit yang akan dibelinya untuk Intan. Suka atau tidak Intan terpaksa menerima juga pemberian yang disifatkan terlalu mewah itu.



“Sekarang awak pilih nombor mana yang awak nak.” Ujar Imran sebaik sahaja kami berdua memasuki ke dalam gerai Maxis pula.

Tanpa berfikir panjang Intan jari telunjuknya menunjuk ke nombor yang berada di atas sekali. “Yang ni.” Katanya.

“Eh sekejap.” Seperti dikedai telefon bimbit tadi, Imran sekali lagi menahan pekerja Maxis itu mengambil nombor yang ditunjuk oleh Intan. “Adik yang tu.” Jarinya menunjuk nombor pilihan dia pula.

“Nombor berterabur nanti susah awak nak ingat. Awak kan jenis yang susah nak ingat nombor-nombor kan. Nanti haru kalau nombor telefon sendiri pun tak ingat.” Ngomel Imran.

Intan diam tidak menjawab. Dia sekadar membuat muka bosan. Dia berikan segala hak untuk lelaki Shrek ini berkata apa sahaja yang ingin dia katakan. Intan tidak kuasa mahu melayan lebih-lebih.

“Bagi IC awak. Nak register.” Imran minta kad pengenalan dari Intan.

Tanpa banyak cakap Intan menurut. Kad pengenalan dikeluarkan dari dompetnya dan dihulurkan kepada Imran. Kad pengenalan Intan sudah berada ditangan Imran. Imran mengekek ketawa apabila melihat kad pengelanalan Intan itu.

“Menakutkan betullah gambar dalam kad pengenalan awak ni. Skema.” Dia mengata.

Intan sekadar menjeling. Macamlah gambar di dalam kad pengenalan dia tu fotogenik sangat! Intan memarahi Imran di dalam hati.

Setelah siap semua urusan di kedai Maxis itu Imran menghulurkan beg kertas berisi telefon bimbit kepada Intan. “Okey. Siap. Ambil. Telefon baru awak. Pastikan kalau awak pergi ke mana-mana awak bawak sekali telefon ni. Supaya senang saya cari awak.” Dia mengingatkan.

Intan menyambut huluran beg kertas itu dengan dada yang sedikit sebak. Sebelum ini tidak ada seorang pun yang pernah memberinya hadiah, apatah lagi hadiah semahal ini. Jika ada pun hanya arwah ayah sahaja pernah memberikannya hadiah berupa seutas rantai dengan loket berbentuk hati kecil yang sentiasa dipakai sehingga kini. Rantai dan loket berbentuk hati ini sepatutnya arwah ayah ingin hadiahkan kepada ibu tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila ibu menghilangkan diri selepas tamat proses penceraian mereka berdua.

“Terima kasih.” Ucap Intan.

“Okey. Sekarang kita pergi makan dululah sebelum balik. Awak nak makan apa?” Imran meminta cadangan.

“Apa-apa ajerlah.” Jawab Intan tidak kisah.

“Dekat sini tak ada kedai yang jual ‘apa-apa ajerlah’.” Ujar Imran sarkastik.

“McDonald.” Kata Intan apabila mereka sekarang betul-betul berdiri di dalam restoran McDonald yang agak penuh dengan orang.

“McDonald?” Imran menyoal kembali. “Awak ni macam budak-budaklah.” Buat sekian kalinya dia menempelak pilihan Intan lagi.

“Encik Imran ni tadi tanya saya lepas tu complaint.” Getus Intan seterusnya meluahkan rasa geram yang ditahan sejak tadi. Lihatlah Imran. Ada sahaja yang nak kritik, nak complaint. Huh!!

Imran ketawa besar mendengar Intan mengomel memarahinya. “Yerlah…. Yerlah… Jom.” Kali ini dia menurut kata gadis itu pula.



Sementara menunggu Imran membuat pesanan di kaunter Intan menunggu di meja yang agak terlindung sedikit berhampiran tempat permainan kanak-kanak. Beberapa minit kemudian Imran datang sambil menatang dulang berisi dua set Chicken McDulux.

“Awak okey kerja dekat rumah saya.” Imran memulakan perpualan untuk melenyapkan suasana sunyi antara mereka.

“Okey.” Intan menjawab tanpa mengangkat muka. Dia menikmati keenakan daging ayam yang digoreng empuk dengan roti jagung berserta salad segar itu dengan penuh nikmat.

“Dengan umi saya.” Imran menyoal lagi.

Intan mengangkat muka sekejap. Memandang Imran. “Ooo…keylah….” Katanya pandang sambil tangan kiri diawang-awangkan.

Imran tersenyum. “Saya kagum dengan awak.” Katanya berpura-pura tidak melihat Intan.

“Errmm..” Intan menghabiskan makanan di dalam mulutnya dahulu. Dia merenung wajah Imran.

“Saya kagum dengan awak sebab boleh bertahan dengan umi saya.” Imran memuji. Tidak ada apa lagi yang boleh dia luahkan selain dari rasa kagum terhadap keupayaan Intan melayani setiap tingkah Umi. Intan juga seperti tidak peduli dengan tindakan umi yang kadang-kadang agak gemar membuli dan membebel di tepi telinganya.

Intan ketawa kecil. “Encik Imran tengah puji saya ker?” Dia bertanya girang.

“Biasa mana-mana gadis yang saya upah untuk jaga umi seminggu dah lari.” Imran bercerita.

“Telinga saya kalis maki.” Kata Intan sambil kening terangkat-angkat.

“Awak tak pernah cerita pasal diri awak.” Kata Imran.

Intan terdiam. Dia memberi pandangan hambar. “Tak pernah tanya.” Katanya ringkas sebelum membawa kembali berger ke dalam mulut.

“Sekarang saya tanya.”

Intan menyedut air. “Tak ada yang menarik pun tentang saya yang nak diceritakan.” Katanya tidak berminat.

“Okey.” Imran tidak memaksa. “Nanti jangan bising pulak bila saya sebagai majikan tak pernah nak ambil tahu hal pekerja.” Ujarnya cuba mengingatkan.

“Encik Imran saya nak tanya sikit boleh tak?” Tiba giliran Intan pula menyoal.

“Errmm..”

“Tapi mungkin sensitif sikit.” Intan sedikit ragu-ragu.

Dahi Imran berkerut. “Pasal apa?” Dia menyoal serius.

“Puteri….. Farhana.” Intan berkata sepatah-sepatah.

Imran tersentak.

“Jangan kerana hari ni saya belikan awak Iphone 4S dan belanja makan McDonald awak boleh cuba nak masuk campur urusan peribadi keluarga saya.” Imran memberi amaran. Intan menelan air liur mendengar suara Imran sudah bernada tegas dan keras.

“Tapi…”

Imran pantas memotong.

“Habiskan berger awak. Lepas ni saya kerja nak kena buat.”

Intan terkulat-kulat. Terasa menyesal pula bertanyakan hal ini pada waktu yang salah. Patut tanya selepas makan. Seleranya mati. Nak mengunyah berger pun payah. Macam nak tercekik bila Imran kadang-kadang mengerling ke arahnya dengan pandangan tajam. Sudahnya separuh berger tadi tidak mampu dihabiskan.













Kupilih Hatimu 12

Bab 12


Intan mundar mandir di ruangan menunggu hospital. Sesekali matanya melirik ke arah jam besar di dinding hospital. Sekejap-sekejap dia akan menjenguk ke luar. Sudah satu jam dia dan Puan Rahimah menunggu di sini tetapi bayang kereta Encik Imran masih tidak kelihatan.

“Intan, awak nak suruh saya tunggu sini berapa lama lagi.”

Intan berdecit perlahan apabila Puan Rahimah membebel lagi untuk sekian kalinya. Dalam masa satu jam, rasanya lebih dari sepuluh kali wanita itu membebel kerana terpaksa menunggu terlalu lama.

“Sekejaplah puan. Kita tunggulah dulu.” Ujarnya dengan muka blur tidak tahu mahu buat apa.

“Kita dah tunggu satu jam.” Puan Rahimah berkata keras.

Intan berdecit. Dia bercekak pinggang malas. Dahi berkerut-kerut mencari jalan penyelesaian untuk buat mulut Puan Rahimah berhenti membebel. “Apa kata kita tambah lagi satu jam.” Ujar Intan bersama jari telunjuk yang dinaikkan ke atas.

Mata Puan Rahimah terjegil. “Awak jangan nak main-mainkan saya Intan. Sudahlah tak boleh diharap. Nombor telefon Imran pun tak ingat.” Puan Rahimah terus membebel.

Intan membuat muka. “Puan pun macam mana pulak hari ni boleh tertinggal telefon bimbit puan tu.” Perlinya perlahan ketika kembali menjenguk kereta Imran di luar.

“Entah-entah meeting dengan client kut puan.” Tebak Intan. Dia mengambil tempat duduk yang berhadapan dengan kerusi roda Puan Rahimah.

“Habis tu takkan kita nak tunggu sampai dia habis meeting. Awak ingat Imran kalau meeting lima belas minit? Cepat panggilkan teksi.” Marah Puan Rahimah lagi.

“Tapi puan, Encik Imran dah pesan, jangan naik teksi. Tunggu sampai dia datang.” Intan cuba mengingatkan Puan Rahimah dengan bersungguh-sungguh tentang pesanan dari Imran sewaktu menghantar mereka ke hospital. Setiap kali berhenti di lampu merah, pasti Imran akan mengingatkan Intan lagi sambil memerli dengan mengatakan dia ni kecil-kecil selalu sangat makan sup semut sebab tu dia harus mengingatkan sentiasa. Lelaki Shrek mestilah suka bersikap sarkastik dengan semua orang kan!

Puan Rahimah melepaskan keluhan halus. Salahnya juga kerana menolak cadangan Imran untuk mempunyai seorang pemandu peribadi.

“Habis tu nak tunggu sampai malam.” Perli Puan Rahimah pula.

Intan menggaru kepala yang tidak gatal. Dia hilang idea mahu berkata apa lagi. Malas dia mahu berlawan kata dengan Puan Rahimah. Sah-sah dia akan kalah. Buat seketika mereka sama-sama mendiamkan diri. Masing-masing sudah kering air liur barangkali.

“Ehh… Auntie Rahimah. Lama tak jumpa. Auntie dah habis buat fisioterapi ker.”

Tiba-tiba datang satu suara menegur Puan Rahimah. Intan mengangkat muka. Matanya memandang figura gadis cantik dihadapannya. Cantiknya dia, macam ratu cantik. Puji Intan dalam hati.

“Errmm..”

Kemudian mata Intan memandang ke arah Puan Rahimah yang tiba-tiba bersikap dingin. Dia turut mengerling gadis cantik itu. Gadis itu kelihatan terkulat-kulat apabila Puan Rahimah melayannya begitu. Eh.. Puan Rahimah ni. Orang tu cakap elok-elok, tanya baik-baik Puan Rahimah boleh pulak buat muka tidak sudi macam tu. Intan pelik.

“Habis buat apa lagi dekat sini Auntie.”

Gadis itu masih lagi mahu beramah mesra dengan Puan Rahimah. Seperti tadi Puan Rahimah masih lagi mempamerkan wajah tanpa perasaan.

“Tunggu teksi.” Ujar Puan Rahimah tanpa memandang muka gadis itu. Intan semakin pelik.

“Intan apa lagi yang tercegat tu. Pergilah panggil teksi.” Jerkahan Puan Rahimah itu membuatkan Intan menjadi terpinga-pinga. Aktiviti memerhati cara dua makhluk ini berkomunikasi serta merta terhenti. Intan cepat bangun namun langkahnya terpasak di lantai apabila gadis itu cuba menahan.

“Eh… Tak apa Auntie. Lydia hantar.” Ujar gadis itu seterusnya menawarkan diri untuk menghantar kami berdua untuk pulang ke rumah.

“Tak apalah. Menyusahkan Lydia pula.” Puan Rahimah cuba menolak.

“Eh tak susah Auntie. Tak apa. Auntie tunggu sini. Lydia ambilkan kereta. Lagipun panas ni.” Balas gadis itu yang membahasakan dirinya sebagai Lydia itu. Dia segera berlalu menuju ke parkir keretanya. Di dalam perjalanan ke kereta bibirnya menarik senyum senang. Ah… Biarlah Kamal tu. Katanya sendiri apabila mengenangkan tujuan asalnya ke mari adalah untuk melawat Kamal yang terkena demam denggi, separa perjalanan dia ubah fikiran apabila terlihat Puan Rahimah. Mengambil hati Puan Rahimah lebih penting dari Kamal yang sedang demam denggi itu.

“Tunggu apa lagi. Cepat tolak saya sampai ke depan tu.” Puan Rahimah mengarah.

Ketika menolak kerusi roda Puan Rahimah mulut Intan kumat kamit mengajuk cakap Puan Rahimah itu. Huh…



“Mak Wan. Mak Wan.” Intan memanggil Mak Wan berulang kali apabila Mak Wan begitu tekun melakukan kerjanya.

“Apa dia…” Mak Wan sekadar menjawab.

“Siapa perempuan dengan Puan tu. Baik ajer dia dengan puan.” Intan menyoal.

“Owhh.. Itu Lydia. Bekas tunang Imran.” Mak Wan menjawab bersahaja.

Intan mengangguk-angguk. “Owhh.. Baik kan dia.” Dia berkata sambil tersengih memandang Mak Wan.

“Ermmm…” Mak Wan malas melayan.

“Baik. Cantik lagi tu. Rugilah Encik Imran. Agak-agak Cik Lydia tu tak sanggup kut kan nak lelaki yang sombong, cakap lepas, kerek, poyo…”

Mak Wan memintas. “Sudah. Sudah… Jangan nak ajak Mak Wan bergosip.” Tegur Mak Wan. Intan tersengih.

“Bawak jus oren ni untuk puan dengan Lydia dekat taman tu.” Arah Mak Wan.

Intan menurut. “Okey.” Ujarnya senang terus menatang dulang berisi dua gelas jus oren dan sepiring kek buah-buahan.



“Jemput minum Cik Lydia.” Pelawa Intan ketika meletakkan gelas jus oren di hadapan Syazrin.

“Terima kasih.” Jawab Syazrin bersama senyuman manis.

“Siapa ni Auntie. Lupa nak tanya tadi.” Lydia bertanya kepada Puan Rahimah.

“Imran ambil budak ni kerja dekat sini untuk tolong jaga Auntie.” Jawab Puan Rahimah sambil mengerling ke arah Intan yang tercegat sambil tersengih seperti kerang busuk di antara mereka berdua.

“Owhh….” Lydia mengangguk-angguk. “Ini yang ke sebelas kan Auntie.” Sinis Lydia.

Intan menahan ketawa apabila gadis cantik ini berani menyindir Puan Rahimah dihadapannya. Air muka Puan Rahimah pula serta merta bertukar merah kerana menahan geram.

“Hai… Saya Lydia. Lydia Datuk Hamdan.” Ujar Lydia sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Intan menyambut huluran salam itu. “Intan.” Dia memperkenalkan diri dengan ringkas.

“Saya masuk dalam. Nak tolong Mak Wan.” Intan meminta diri.

“Okey. Nice to meet you.” Jawab Lydia mesra.

Intan begitu ingin sekali memuji sikap Lydia yang tidak sombong itu. Orangnya cantik dan pandai bergaya, rugi betullah Imran tidak jadi dengan Lydia. Mereka berdua sangat sepadan jika disandingkan bersama di atas pelamin. Walaupun Intan jelik dengan sikap Imran, tetapi dia tidak boleh menafikan yang Imran mempunyai personaliti yang menarik dan seperti kata Nadia dahulu Imran memang good looking. Agak kalau Imran tidak bermulut cabul rasanya boleh jadi dia juga akan terjatuh hati dengan lelaki Shrek itu.

“Lydia, kepala Auntie macam sakitlah. Berpusing-pusing. Auntie nak masuk bilik. Nak rehat.” Ujar Puan Rahimah sengaja memberi alasan kerana tidak mahu berlama-lama dengan Lydia.

“Intan…Intan….” Dia bertempik kuat.

Intan yang baru sahaja mahu membantu Mak Wan menghidang makanan tengahari untuk Puan Rahimah dan Lydia terkocoh-kocoh keluar ke taman. “Yer puan.” Intan termengah-mengah. Kalau Puan Rahimah sudah bertempik macam tu maknanya dia kena tangkas dan pantas. Kalau tidak wanita itu akan membebel sebanyak 350 perkataan tanpa henti atas kelembapannya itu.

“Bawak saya ke bilik.” Puan Rahimah mengarah.

Intan melihat Lydia yang terkulat-kulat.

“Cepat…” Puan Rahimah berkata apabila kerusi rodanya masih lagi tidak bergerak.

Intan menjulingkan mata ke atas. “Baik puan.” Dia akur.

Sebaik membawa Puan Rahimah masuk ke dalam biliknya Intan cepat-cepat mendapatkan Lydia semula. Lydia sudah mahu pulang. “Cik Lydia jangan kecil hati yer. Puan penat kut. Tu sebab dia tak dapat nak layan Cik Lydia lama-lama.” Intan cuba melegakan hati gadis itu yang kelihatan sangat kecewa dengan layanan Puan Rahimah kepadanya tadi.

“It’s ok. Bukan pertama kali pun.” Ujar Lydia seperti sudah biasa dengan layanan begitu.

Intan hanya mengangguk apabila muka gadis cantik ini tidak lagi semanis seperti semasa Puan Rahimah ada tadi. Mukanya berubah masam. Ishh.. Kalau terjadi pada dia pun dia akan menarik muka masam. Puan Rahimah entah kenapa anginnya berubah bila di hadapan Lydia.

“Cik Lydia tak mahu makan dulu ker. Semua dah siap.” Intan mempelawa.

“Tak apalah. Saya nak balik. Jumpa lagi.” Lydia menolak lembut. Dia masuk ke dalam perut kereta. Sebelum bergerak dia melambai tangan kepada gadis pembantu rumah itu. Intan membalasnya. Turut sama melambai tangan.

Sebaik kereta Lydia hilang dari pandangan Intan menjungkit bahu. “Macam-macam.” Ujarnya sendiri.





Dulang berisi gelas kosong hampir terlepas dari tangan apabila Imran tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Puan Rahimah.

“Mari sini…” Imran menarik kasar lengan Intan. Intan di tarik jauh sedikit dari pintu bilik umi.

“Apa ni Encik Imran. Sakitlah.” Intan mengaduh. Dahinya berkerut-kerut menahan sakit. Imran segera melepaskan pegangan tangannya dari lengan Intan.

“Umi buat apa?” Imran menyoal sekadar untuk mukadimah.

“Puan berehat dekat biliklah. Baru lepas bagi dia makan ubat.” Intan menjawab.

“Awak ni tak faham bahasa ker. Saya dah cakap, tunggu sampai saya datang ambil. Kenapa pandai-pandai balik sendiri.” Hambur Imran sekali nafas.

“Puan yang nak balik cepat.” Balas Intan.

“Habis tu tak boleh nak telefon.” Marah Imran.

Intan berdecit. “Puan tertinggal telefon bimbit dia dekat rumahlah.” Ujarnya geram.

“Public phone kan ada!!” Imran tidak habis mencari kesalahan Intan.

“Manalah saya ingat nombor telefon Encik Imran.” Getus Intan.

“Awak takkan tak ada handphone sendiri. Takkan tak simpan nombor telefon bimbit saya.” Marah Imran lagi. Masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Intan.

“Saya mana ada telefon bimbit.” Jawab Intan.

“Hahh.. Jangan nak tipu.” Imran tidak percaya. Intan cuba membohonginya.

“Ngeee… Encik Imran ni. Saya cakap saya tak ada handphone tak adalah.” Giliran Intan pula membentak geram.

“Eh.. Awak ni hidup dalam kurun ke berapa hah. Sampai telefon bimbit pun tak ada.” Tempelak Imran kepada Intan yang dirasakan sangat kolot sampai telefon bimbit pun tak ada.

Intan mencebek. Dia diam tidak mahu membalas.

“Habis tu tadi awak dengan umi balik naik teksi ker.” Imran bersuara lagi. Nadanya dikendurkan sedikit. Intan menggeleng.

“Habis dengan siapa.” Imran bertanya.

“Cik Lydia!” Ujar Intan seraya terus meninggalkan Imran termangu-mangu apabila nama Syazrin yang disebutnya.





“Encik Imran marah saya lagi ker pasal siang tadi tu.” Intan bertanya ketika Imran sedang menonton televisyen di ruang tamu atas. Mug Milo panas diletakkan di atas meja kopi.

“Taklah.” Imran menjawab tanpa memandang muka Intan. Matanya masih lagi focus pada layar skrin tv LCD di hadapan.

“Kalau macam tu tak apalah. Saya turun dulu.” Pinta Intan. Dia berasa sedikit lega.

“Tapi betul ni awak memang tak ada telefon bimbit.” Pertanyaan Imran itu membuatkan Intanb berpaling. Dia mengeluh perlahan.

“Laa… Encik Imran ni masih lagi tak percaya pada…”

Imran pantas memotong. “Saya cuma tanya betul ker awak tak ada telefon bimbit.”

“Betul Encik Imran.” Intan menjawab datar. Tidak larat rasanya mahu mengulangi benda yang sama dua tiga kali.

“Esok Sabtu. Awak ada buat apa-apa.” Imran bertanya aktiviti Intan pula.

“Buat kerja macam biasa.” Jawab Intan.

“Esok lepas sarapan ikut saya keluar.” Ajak Imran.

Imran terkejut. “Pergi mana.” Soalnya ingin tahu.

“Ikut ajerlah.” Jawab Imran. Dia kembali menonton televisyen.

“Puan?” Intan bertanya lagi.

“Tak apa. Nanti saya bagi tahu umi.” Imran menjawab. Dahi Intan berkerut. Apa mimpi pulak ni tiba-tiba lelaki Shrek ingin mengajaknya keluar pula. Desis Intan di dalam hati.

“Awak jangan siap lambat pulak. Perempuan ni kalau bersiap satu jam pun tak cukup.”

Intan mencebek apabila mendengar Imran sempat memerli ketika dia mahu menuruni tangga. Dasar lelaki Shrek!









Thursday, November 29, 2012

Kupilih Hatimu 11

Bab 11


Intan melangkah perlahan-lahan cuba merapati wanita tua itu. Mak Wan sedang sibuk di dapur. “Mak Wan.”Jerkah Intan dari belakang.

“Intan!! Jangan kejutkan Mak Wan macam tu. Nasib baik Mak Wan tak ada sakit jantung tau.” Marah Mak Wan. Lengan Intan dipukul-pukul. Dadanya diurut laju.

Intan sekadar mengekek ketawa meliha ekspresi muka Mak Wan yang terkejut itu.

“Alalala… Comel lah Mak Wan ni bila marah. Tapi Mak Wan tak pulak melatah kan.” Ujarnya seraya menyandar tubuh di cabinet dapur.

Mak Wan sekadar menggeleng perlahan dengan sikap Intan yang cukup gemar mengejutkannya. “Puan dah tidur ker?” Mak Wan sekadar menyoal.

Intan mengangguk kepala. “Dah. Tadi lepas makan ubat, dia sembang-sembang kejap dengan Intan lepas tu dia suruh Intan keluar. Mengantuk katanya. Nak tidur.” Terang Intan. Dia menarik tin biskut dan dibawa ke peha. Dibuka, lalu biskut empat segi Jacobs itu dibawa masuk ke dalam mulut.

“Macam mana kerja dekat sini?” Mak Wan menyoal lagi. Ingin mengetahui perasaan gadis ini yang sudah hampir sebulan berkerja di sini.

“Bolehlah….” Intan menjawab lemah. Siku diletak di atas tin biskut. Dia menunggu kunyahan terakhir biskut empat segi habis di dalam mulutnya sebelum menyambung lagi untuk berkata-kata.

“Huh… Tapi kalau bukan sebab tak ada siapa-siapa dekat sini tak kuasa Intan nak terus kerja dekat sini. Mak Wan tahu, Puan tu semua yang Intan buat, semua tak kena. Itu tak kena, ini tak kena. Lepas tu Encik Imran pun sama. Ada jer benda yang dia nak complaint.” Intan mengadu. Walaupun Puan Rahimah tidak pernah marah-marah tetapi ada sahaja sikap wanita itu buat Intan tidak senang. Puan Rahimah ada sahaja modal untuk menempelak setiap kerja yang dia lakukan. Alah.. Anak lelakinya juga begitu. Pendek kata setiap kerja yang Intan buat mesti akan mendapat teguran dan kritikan. Tak pernah sikit pun kerjanya itu dipuji walaupun dia sudah merasakan segala tugas dan arahan yang diberikan itu telah dilakukan dengan cukup baik.

“Mak Wan harap Intan sabar yer. Puan memang macam tu, tapi hati dia baik. Mak Wan dah berpuluh tahun kerja dekat sini. Dari Imran belum lahir lagi. Lagipun Mak Wan tau, Intan boleh buat. Kita sama-sama tolong Imran ya. Semenjak ayah dia meninggal, umi dia jadi macam tu, semua tanggungjawab dalam rumah ni dia yang pikul. Dengan syarikat lagi. Mak Wan kadang-kadang kesian juga tengok Imran.” Ujar Mak Wan. Bahu Intan ditepuk lembut.

Intan menoleh ke arah Mak Wan.

“Encik Imran ada berapa orang adik beradik?” Intan bertanya.

“Kalau yang satu emak satu ayah, Amir jerlah.” Beritahu Mak Wan.

Intan tersenyum. “Owhhh… Yang gambar dia dekat frame depan tu ya.” Ujarnya masih lagi tersenyum. Sudah lama dia berhajat mahu bertanya siapakah gerangan anak muda yang fotonya banyak tersimpan di atas almari perhiasan di ruang tamu. Tapi awal-awal Intan dapat mengangak pasti salah seorang ahli keluarga di dalam banglo ini. Cuma mahu bertanya siapakah nama pemuda itu Intan malu. Nanti kata dia cuba menggatal pulak.

“Megat Amir Haikal. Sekarang dia tak ada dekat sini. Dia kerja dekat London.” Ujar Mak Wan tanpa diminta.

Intan mengangguk kepala. Tiba-tiba dia menjadi teringat pula pada Micheal. Micheal juga bekerja di London seperti Megat Amir. Ah.. Rindulah pada lelaki bermata sepet itu. Apa khabar agaknya dirinya sekarang. Selepas sahaja peristiwa Mak Su mematahkan sim card dan mengambil telefon bimbit pemberian Micheal dahulu, Intan benar-benar telah terputus hubungan dengan lelaki bermata sepet itu. Menyesal pula kerana terlalu malu untuk meminta nombor telefon Micheal dari Auntie May seperti yang disarankan oleh Nadia.

Intan mengeluh perlahan. Pandangannya dihalakan ke luar tingkap dapur. Dah sebulan dekat sini, bukan dengan Micheal sahaja dia terputus hubunga. Dengan Nadia juga. Dia langsung tak kirim khabar berita kepada Nadia.

“Intan.” Mak Wan menepuk bahu Intan perlahan.

Teguran Mak Wan membuatkan Intan terpinga-pinga. Kemudian dia menarik sengih.

“Megat Amir tu taknak balik kerja dekat sini ke Mak Wan. Ya lah. Bapak dia tinggalkan syarikat besar untuk dia dengan Encik Imran. Rugilah kalau dia tak nak kerja dekat syarikat sendiri . Jadi bos.”

“Itulah yang selalu buat Puan Rahimah membebel. Entah apa yang dicari dekat London tu pun tak tahu. Lepas ajer habis belajar, taknak balik Malaysia. Balik Malaysia sebab nak sambut raya ajer.”

“Kekasih dia orang putih kut Mak Wan.” Tebak Intan bersama sengih

“Entahlah.” Mak Wan menjongket bahu. Perbualan yang rancak seperti terhenti apabila masing-masing sibuk membuat kerja. Intan membantu Mak Wan di dapur menyediakan bahan-bahan untuk memasak sarapan untuk pagi esok.

Intan duduk di hadapan Mak Wan. Dia mengambil bekas berisi ikan bilis. Ikan bilis itu dibelah bahagian tengah untuk membuang isi perutnya. Melihat bahan-bahan masakan yang ada di atas meja, rasanya menu sarapan pagi esok tentu sahaja nasi lemak istimewa Mak Wan.

“Tapi kan Intan, arwah Tuan Megat dulu ada kawen muda.” Tiba-tiba Mak Wan mula membuka rahsia. Suaranya sedikit berbisik.

Mata Intan terbeliak. Mulutnya ternganga. “Hahh…” Ingatkan perbualan tentang ahli keluarga Encik Imran sudah tamat. Rupanya ada lagi rahsia yang dia tidak tahu.

“Imran dengan Amir ada seorang adik perempuan. Anak ayah dan emak tiri mereka. Puteri Farhana. Kalau tak silap Mak Wan sekarang Nana baru tingkatan empat.” Cerita Mak Wan bermula.

Intan menukar posisi duduknya. Dia mengambil tempat duduk disebelah Mak Wan agar mudah untuk dia mendengar kata-kata Mak Wan yang seakan-akan sedang berbisik itu. “Habis adik perempuan dia dekat mana. Tak duduk sini ker?” Intan bertanya, turut sama berbisik. Tidak sabar mahu mendengar cerita dari Mak Wan lagi.

Mak Wan memandang Intan. Dia bangun dari duduk dan pergi ke cabinet dapur untuk membancuh Milo untuk Imran. Waktu-waktu begini adalah waktu untuk Imran menikmati Milo kegemarannya itu.

Intan mengekori Mak Wan. Dia masih lagi menanti dengan sabar cerita yang seterusnya daripada Mak Wan.

“Farhana, Imran hantar masuk asrama anak yatim selepas Tuan Megat dan ibu Farhana meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.” Mak Wan menyambung.

Intan berdicit. “Kejamnya…” Getusnya.

“Puan tak nak panggil Farhana tinggal di sini ker?” Dia menyoal.

“Puan tak cakap apa. Mungkin Puan masih terasa hati lagi dengan arwah mama Farhana yang merampas suami dia. Yerlah. Dulu arwah mama Farhana cuma setiausaha kepada Tuan Megat jer. Tuan Megat kahwin senyap-senyap dengan mama Farhana dekat sempadan. Tu yang Puan marah sangat. Puan tuduh Cik Marlia tu perampas suami dia.

Puan layan Cik Marlia dulu baik sangat. Cik Marlia tu pun Puan dah anggap macam adik dia sendiri. Tapi Cik Marlia boleh merampas Tuan Megat. Perkahwinan diorang tu tak ada siapa pun yang tahu. Pandai mereka sorok. Macam tak ada apa-apa. Sehinggalah semasa Tuan Megat dan Cik Marlia kemalangan dan meninggal dunia. Masa tu la semua perkara ni terbongkar. Puan kecewa sangat.” Mak Wan mula memasuk episod bagaimana skandal arwah Tuan Megat Husaini dengan arwah Cik Marlia dahulu.

Intan mendengar dengan penuh kusyuk. Sambil itu dia menangguk-angguk seperti faham bagaimana keadaan Puan Rahimah waktu itu. Yerlah…. Suami kena rampas oleh orang yang paling dipercayai. Haruslah sentap tak habis!

“Takkan tak ada seorang pun yang tahu arwah Tuan Megat ada skandal dengan setiausaha dia.” Intan cuba mengorek lagi.

“Imran. Imran seorang ajer yang tahu. Tapi dia tak sanggup nak beritahu umi dia tentang rahsia perkahwinan Tuan Megat dengan Cik Marlia. Imran tak mahu Puan tertekan. Yerlah kan Tuan Megat mula pandai mencari perempuan lain selepas Puan lumpuh. Inilah sebabnya Imran tak pernah berbaik dengan arwah Tuan Megat.” Ujar Mak Wan lagi.

Intan mengeluh. Samarinda betul konflik keluarga mereka ini.

“Tapi tu kan dah cerita lama Mak Wan. Lagipun Farhana tak salah. Kenapa mesti asingkan dia dari keluarga dia sendiri. Encik Imran pun tak bolehlah buat macam tu. Farhana tu adik dia juga. Farhana tetap juga ada hak dalam rumah ni.” Intan memberi pendapat.

“Entahlah Intan. Mak Wan pun tak faham kenapa Imran jadi keras kepala sampai macam tu sekali. Tuan Megat dah tak ada pun dia masih lagi simpan perasaan marah.” Ujar Mak Wan bernada kecewa dengan sikap Imran.

“Orang-orang dalam rumah ni pun tak pernah bangkitkan soal Farhana. Farhana macam tak pernah wujud dalam keluarga ni.” Sambung Mak Wan lagi.

“Habis tu Farhana memang tak pernah duduk sinilah?”

Mak Wan sekadar menggeleng.

“Kesiannya.” Ujar Intan sepatah. Terbit rasa simpati pada Puteri Farhana. Walaupun dia tidak mengenali apatah lagi bersua muka dengan Puteri Farhana, Intan yakin gadis itu pasti sengsara. Intan juga anak yatim piatu. Dia faham bagaimana menjadi sebatang kara walaupun hakikatnya masih ada ahli keluarga lain yang boleh menjadi tempat untuk menumpang kasih sayang.

“Intan tolong Mak Wan hantarkan Milo ni pada Imran Lutut Mak Wan sakitlah. Tak larat nak naik tangga.” Pinta Mak Wan menolak mug berisi Milo panas itu kepada Intan.

“Ok.” Intan menurut. Di dalam perjalanan ke bilik Imran dia berfikir bagaimana caranya untuk melembutkan hati-hati penghuni rumah ini. Dia bukan menyibuk, dia mahu lakukan tanggungjawab sosial!

“Assalamualaikum. Boleh saya masuk.” Intan memberi salam seterusnya meminta keizinan untuk memasuki ke dalam bilik lelaki itu.

“Masuklah.” Ujar Imran dari dalam.

Intan masuk ke dalam bilik. Matanya mengitari setiap inci bilik Imran. Kalau ikut skala pemarkahan Intan boleh berikan 9/10 kepada bilik lelaki ini. Kemas. Semenjak berkerja di sini dia tidak pernah lagi masuk ke dalam bilik Imran. Hanya Mak Wan sahaja yang diberi mandate untuk masuk ke sini. Imran mempunyai sifat berjaga-jaga yang agak keterlaluan. Mak Wan pernah berpesan kepada Intan agar jangan cuba mengusik barang-barang milik Imran tanpa kebenarannya. Kalau nak lihat lelaki ini bertukar menjadi Incredible Hulk, Intan boleh cuba. Itu yang telah Mak Wan pesan berkali-kali.

“Encik Imran.”

“Yer.” Imran menjawab tanpa mengangkat muka. Dia masih lagi tekun mengadap kerja yang sengaja di bawa pulang ke rumah. Laporan ini harus dibaca dan disemak. Imran tidak mahu ada kesilapan.

Intan menelan air liur. Imran nampak serius. Sangat serius. Dalam tempoh masa sebulan dia di sini, Intan telah mengklasifikasikan Imran sebagai lelaki yang sangat komited dengan kerja, tidak mempunyai kehidupan sosial dan juga tidak mempunyai teman wanita. Kalau sudah asyik kerja sahaja yang ada di dalam kepala pastilah kehidupan sosial lelaki ini ditahap yang sangat menyedihkan. Sudah berumur 32 tahun tetapi masih lagi hidup single adalah lebih menyedihkan lagi. Owhh… Intan begitu memberi perhatian kepada lelaki Shrek ini.

“Awak nak apa?” Ujar Imran. Mengangkat kepala. Cermin mata dilurutkan. Dia memicit pangkal hidung.

Intan tersengih. “Tak ada apa. Ni Mak Wan suruh hantar air Milo ni tuk Encik Imran.” Ujar Intan yang masih lagi menatang dulang berisi mug Milo panas Imran.

“Letak ajer dekat situ.” Arah Imran. Telunjuknya menghala ke hujung meja kerja.

Intan masih lagi tercegat.

“Ada apa-apa lagi?” Soalan dari Imran itu membuatkan Intan menjadi terpinga. Cepat-cepat dia menggeleng.

“Hah.. tak ada apa-apa.” Ujarnya sedikit gagap.

“Kalau tak ada apa-apa boleh tak awak keluar. Saya ada kerja nak buat ni.” Imran menghalau.

Intan buat muka. “Poyo!!” Getusnya perlahan apabila tangannya mula memulas tombol pintu.

“Intan.” Panggil Imran.

“Hah.” Intan cepat berpaling semula.

“Esok umi ada temujanji dengan doktor. Pastikan awak siap awal. Saya hantar.” Tutur Imran bernada arahan.

“Yerlah.” Intan menjawab malas. Terus dia berlalu meninggalkan lelaki Shrek itu.





Kupilih Hatimu 10

Bab 10


Intan berdiri tegak. Berhadapan dengannya ada seorang wanita di dalam lingkungan separa abad duduk di atas kerusi roda dengan kain selimut menyelimuti bahagian kakinya. Dari renungan wanita itu, Intan tahu yang kedatangannya di sini tidak dialu-alukan. Wanita ini memandangnya seperti mahu menelan dia hidup-hidup.

Mak Wan telah meninggalkan Intan dengan wanita ini selepas tamat sessi perkenalan kami berdua. Ini Puan Rahimah. Ibu kepada Megat Imran. Menurut Mak Wan, Puan Rahimah sudah hampir lima tahun lumpuh. Puan Rahimah lumpuh akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya. Mak Wan tidak bercerita banyak tentang Puan Rahimah. Cuma serba sedikit sahaja. Mak Wan kata bila dah lama bekerja dengan Puan Rahimah nanti, Intan akan tahu juga bagaimana sifat wanita ini.

“Intan boleh jaga orang lumpuh macam saya ni?” Puan Rahimah mula menyoal gadis dihadapannya ini. Ketika Mak Wan memberitahunya lewat subuh tadi yang Imran ada membawa seorang gadis untuk menjaganya Puan Rahimah menjadi sedikit curiga. Imran senang-senang sahaja membawa gadis entah dari mana datang ke rumah. Lagipun Puan Rahimah tidak suka Imran menggajikan mana-mana pembantu untuk membantu urusan sehariannya. Walaupun dia lumpuh, dia masih lagi boleh melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Cuma bila perlu, Mak Wan ada. Mak Wan boleh membantu.

“Bo…bo…boleh.” Intan menjawab. Sedikit gagap.

“Semua yang Imran pernah bawak datang sini pun mula-mula cakap boleh, tapi bila dah mula kerja semua tak boleh. Itu tak boleh ini tak boleh. Itu tak sanggup ini tak sanggup. Lepas tu lari.” Puan Rahimah mula membebel. Dia sudah tidak percaya lagi dengan mana-mana pembantu yang Imran gajikan untuk menjaga dirinya. Mana ada budak-budak muda yang sanggup bekerja menjadi pembantu rumah dan menguruskan orang lumpuh sepertinya. Sebelum Intan ada tiga orang gadis mudah yang Imran upah telah melarikan diri. Ada tu, tak sampai seminggu sudah cabut. Semua tidak tahan!!

Intan menarik nafas. Mencari-cari jawapan yang baik yang boleh memuaskan hati Puan Rahimah yang begitu serius bila menyoal. “Saya akan cuba buat apa yang saya termampu puan. Lagipun saya datang sini memang nak berkerja. Mencari rezeki puan.” Jawabnya penuh hemat. Rasanya ini jawapan paling selamat.

Puan Rahimah menarik senyum. “Kalau macam tu baguslah.” Ujarnya mendatar.

Intan menarik nafas lega apabila ada sedikit senyuman kecil dari bibir Puan Rahimah.

“Yang awak tercegat lagi ni kenapa. Pergi keluar. Kalau saya nak apa-apa saya telefon dekat bawah. Takkanlah 24 jam awak nak tengok saya. Pergi buat kerja apa yang patut dekat bawah tu. Jangan tahu nak makan gaji buta ajer.” Kata Puan Rahimah. Tangannya mula menggerakkan kerusi roda dan menuju ke balkoni bilik untuk menghirup udara segar pada waktu pagi.

Intan mengerut dahi. Kemudian dia meninggalkan Puan Rahimah seperti yang diminta. Intan keliru. Dia ni kena menjadi orang gaji atau menjadi pengasuh.



“Encik…Encik…” Intan cuba menahan Imran yang baru hendak memasuki perut kereta.

“Ada apa ni? Saya dah lambat ni.” Kata Imran terkocoh-kocoh. Jam tangan ditala pada Intan menunjukkan dia benar-benar sudah terlambat.

“Encik cakap saya kena jadi orang gaji. Dah kenapa pulak saya kena menjaga emak Encik pula.” Intan bertanya. Semalam ketika di dalam perjalanan lelaki ini hanya berkata yang dia perlu melakukan tugas-tugas biasa seperti orang-orang gaji yang lain disamping menemani ibunya bila perlu sahaja. Tapi Imran tidak pula memaklumkan yang ibunya seorang wanita yang tidak mampu berjalan. Susahlah macam ni. Dia bukan pernah menjaga orang lumpuh. Dia bukan jururawat!

Imran merenung wajah Intan. Ada sedikit bimbang terlukis pada riak wajah gadis itu. Ini mesti awal-awal lagi umi sudah cuba psycho Intan. Fikir Imran yang sudah masak dengan perangai umi. Umi akan berusaha ‘mendera’ mana-mana gadis yang dia bawa untuk menjadi pembantu umi sehingga semua gadis-gadis itu lari kerana tidak sanggup meneladani umi. Umi selalu beranggapan dia mampu melakukan semuanya sendiri. Di dalam keadaan yang terbatas mana boleh umi melakukan semua perkara seorang diri. Nak menukar pakaian pun umi perlukan Mak Wan untuk membantu. Kerana itu Imran menggajikan seorang pembantu yang boleh membantu umi . Mak Wan dah tua. Mana larat. Pernah terjadi satu insiden di mana ketika Mak Wan cuba meletakkan umi di atas katil mereka berdua sama-sama jatuh ke lantai kerana Mak Wan tak mampu nak menampung berat umi.

“Memang awak akan berkerja sebagai orang gaji saya di rumah ni. Dalam masa yang sama awak juga perlu menjaga umi saya. Ada apa-apa masalah?” Imran menyoal.

Intan berdecit. “Tak adalah. Encik tak cakap pun, yang saya kena jaga orang yang yang berkerusi roda.” Luah Intan.

“Kenapa kalau umi saya berkerusi roda? Ada masalah?” Soal Imran lagi.

Intan mengeluh. “Tak adalah. Tapi saya bukan jururawat.”

“Umi saya tak mahu jururawat yang jaga dia. Lagipun umi saya tak sakit. Dia cuma tak boleh berjalan. Itu sahaja.” Imran cuba menerangkan keadaan sebenar uminya.

“Maknanya saya kena buat semua ker. Maksud saya, mandi, basuh berak. Saya jugak ker?” Intan menyoal.

Imran hampir tergelak mendengar soalan polos dari Intan. “Apa guna saya bayar awak kalau awak tak buat semua tu.” Ujarnya seperti mahu menyakat.

Intan cepat-cepat menggeleng. “Ngee….Tak mahulah saya.”

“Kalau awak tak kerja dekat sini awak nak kerja dekat mana. Awak kena ingat, awak ada hutang ubat awak dengan saya.” Imran cuba mengugut.

Mata Intan membuntang. Semalam hatinya baru sahaja memuji lelaki mulut cabul ini mempunyai hati yang suci apabila sanggup membantu seorang gadis malang dari terpaksa tidur di surau atau di kaki lima. Huh… Tarik balik pujian semalam tu!

“Dengar sini. Dekat sini awak boleh dapat tempat tinggal percuma, makan minum percuma, dapat gaji lagi. Apa lagi yang tak cukup.”

Intan berdecit. “Tapi umi encik tu macam nak telan saya ajer.” Intan bersuara laju terus meluahkan rasa bimbang.

Imran tersenyum. Benarlah telahannya tadi. Umi sudah mula merencanakan agenda untuk ‘mendera’ Intan pula. “Awak boleh.” Katanya ringkas, cuba memberi semangat.

“Tapi Encik Imran….” Intan masih lagi mahu mencuba nasib.

“Saya dah lewat ni. Apa-apa tunggu lepas saya balik kerja karang baru kita cakap balik.” Balas Imran terus memasuki kereta.

Intan melepaskan keluhan lemah apabila kereta Imran sudah meninggalkan rumah. Dia berdiri sejenak di luar. Memikirkan masa depannya di dalam rumah banglo ini.

“Intan!!!!!”

Intan cepat-cepat berlari masuk ke dalam rumah apabila mendengar pekikan Puan Rahimah dari tingkat atas. Ahhh!! Tak sempat nak fikir masa depan dah kena tempik macam ni. Getus Intan di dalam hati.

















Kupilih Hatimu 9

Bab 9


“Kau dekat mana. Kau kena tolong aku ni. Aku baru lepas melanggar orang.” Ujar Imran senafas.

Rafi yang sedang menonton televisyen terperanjat besar apabila mendengar kata-kata Imran di hujung talian. Rasanya Imran baru sahaja meninggalkan rumahnya dalam lima belas minit tadi. Sebelum Imran pulang ke Kuala Lumpur malam ini, dia telah singgah ke rumah Rafi dahulu untuk menghantar dokumen yang tertinggal di dalam keretanya semalam.

“Kau dekat mana.” Soalnya mahu mengetahui di mana lokasi Imran berada sekarang.

“Aku dekat klinik erm…” Ujar Imran sedikit tersekat. Dahinya berkerut manakala matanya melilau mencari signage di hadapan kaunter klinik.

“Dik, apa nama klinik ni?” Dia menyoal adik yang menjaga kaunter.

“Klinik Safri Hamimah. Dekat area Station 18.” Jawab adik yang menjaga kaunter.

Tanpa berlengah terus Imran memberitahu Rafi di mana dia sedang berada sekarang.

Rafi mengangguk-angguk. Dekat sahaja dengan rumahnya.

“Okey. Okey. Kau tunggu situ. Aku datang.” Setelah mengetahui Imran berada di mana, Rafi cepat mencapai kunci keretanya. Dia sedikit lega apabila Imran memberitahu yang dia cuma berada di klinik sahaja. Pasti orang yang dilanggar Imran tidak cedera teruk. Kalau teruklah, haih… bertambah lagi beban masalah Imran. Fikir Rafi.

Sementara menanti doktor merawat gadis yang hampir dilanggarnya tadi Imran menanti di ruangan menunggu. Dia berdoa-doa di dalam hati agar gadis tadi tidak apa-apa.

Perjalanan dari rumah Rafi ke klinik yang dinyatakan oleh Imran tadi tidaklah mengambil masa yang lama. Dalam sepuluh minit sahaja. Setibanya dia di klinik kelihatan Imran sedang menanti di ruangan menunggu. Rafi terus mendapatkan Imran.

“Macam mana kau boleh melanggar orang ni Im.” Rafi terus menyoal.

“Aku tak langgarlah. Aku sempat brek. Budak tu yang tiba-tiba pengsan.” Imran bercerita.

“Kalau kau tak langgar macam mana budak tu boleh tiba-tiba pengsan. Kau langgarlah tu. Kau tu la aku kata jangan memandu kereta laju-laju. Tambah-tambah dalam keadaan hujan lebat macam ni.” Bebel Rafi seperti menyalahkan Imran pula. Dia faham tabiat Imran, tidak kira dalam keadaan apa pun, temannya itu memang suka memandu laju. Imran kalau memandu kereta, lajunya kurang sikit dari jet pejuang!

“Eh… Aku tak langgarlah.” Suara Imran sedikit meninggi. Kemudian dia cuba merendahkan kembali suaranya itu apabila adik yang menjaga kaunter meletakkan jari dibibir tanda menyuruh dia untuk diam. “Memang budak tu pengsan.” Beritahu Imran bersungguh-sungguh.



Perbualan Imran dan Rafi terganggu apabila mendengar pintu bilik rawatan di buka dari dalam. “Encik, doktor panggil.” Panggil pembantu doktor dari muka pintu bilik. Imran menuruti. Rafi hanya menanti di luar.

“Encik tak perlu risau. Cik Intan cuma demam ajer. Tadi dia pengsan mungkin sebab badan dia lemah sikit. Lagipun terkena hujan kan. Lepas makan ubat, berehat dia akan okey macam biasa.” Doktor Hamimah memaklumkan keadaan pesakitnya itu.

“Okey.” Imran menjawab sepatah. Dia sudah boleh menarik nafas lega setelah mendengar kata-kata dari doktor itu. Sambil itu, matanya turut mengerling ke arah gadis disebelahnya yang sedang menahan bersin.

“Okey Cik Intan. Boleh ambil ubat di luar.” Beritahu Doktor Hamimah dengan ramah.

Imran membuka pintu dan memberi laluan untuk si gadis lalu dahulu. Rafi yang menanti di luar begitu terperanjat apabila melihat Imran bersama-sama dengan gadis yang sama lagi. Bola matanya mujur tak tercabut keluar. Hatinya tiba-tiba digeletek. Lucu pula. Dalam masa tiga hari Imran berada di Ipoh, dia hanya berjumpa dengan gadis yang sama sahaja. Tiga hari berturut-turut dengan gadis yang sama!

“Awak tunggu sini. Saya ambilkan ubat untuk awak.” Imran berkata lebih kepada nada arahan. Dia menyuruh gadis itu duduk sementara biar dia sahaja yang pergi untuk mengambil ubat untuknya.

Intan yang mengambil tempat di sebelah teman lelaki itu sekadar memberi senyuman kosong. Dia hanya memerhati lelaki yang telah mencari pasal dengannya sejak dua hari lepas.

“Semua berapa?” Imran bertanya.



“RM55.00” Beritahu pembantu klinik.

Intan menyeluk perlahan saku pada baju kurungnya. Dia cuma mempunyai RM40 sahaja. Intan bergerak perlahan menghampiri lelaki itu. Lengan kemeja Polo ditarik perlahan. Dia memandang lelaki itu. Mukanya serba salah.

“Encik. Saya ada RM40 jer.” Intan bersuara perlahan namun masih boleh didengar. Dia cuba menundukkan kepalanya. Malu dengan pembantu klinik yang memerhati dirinya yang sedikit tidak terurus.

Imran menolak perlahan empat keeping not RM10 dari tangan gadis itu. Dia mengeluarkan dua keping not RM50 dari dompetnya. Setelah menerima kembali duit baki, plastik ubat diberikan kepada gadis itu.

Selesai semua urusan mereka bertiga keluar dari klinik. Di luar hujan sudah berhenti. Intan berdiri tegak. Dia perlu kembali memikirkan di mana dia harus bermalam.

“Awak nak pergi mana ni.” Imran menyoal seperti memahami apa yang sedang difikirkan oleh sang gadis. Gadis ini tadi ketika pengsan di tengah jalan raya turut ada bersamanya adalah sebuah beg pakaian sederhana besar. Imran syak gadis ini pasti mahu lari dari rumah. Entah-entah bohsia.

Intan mendiamkan diri. Kemudian dia menjongket bahu.

“Awak dah makan?” Imran bertanya lagi.

Intan hanya menggelengkan kepala.

“Okey jom.” Ajak Imran. Rafi yang sekadar memerhati seperti tertarik dengan sikap Imran malam ni. Mana tidaknya, tiba-tiba malam ini Imran begitu baik pula dengan gadis yang paling dia tidak suka di bandaraya Ipoh ni. Siap mengajak makan bersama. Cakap pun lembut sahaja. Owh… Siap belanja duit ubat sekali. Ajaib!!!



Imran dan Rafi sekadar memerhati sahaja gadis ini makan.

“Awak nak pergi mana sebenarnya ni. Dengan beg besar bagai.” Imran menyoal. Dia harus menguruskan gadis ini segera. Jika berlengah-lengah takut dia pula yang terlambat untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Sekarang pun jam sudah menginjak ke pukul sebelas malam.

Intan tidak menghiraukan soalan itu. Peket-peket kecil ubat dari klinik tadi dibuka. Dia menelan setiap jenis ubat yang diberikan oleh doktor.

“Sekarang awak bagi tahu saya rumah awak dekat mana. Mari, saya hantar awak balik.” Putus Imran akhirnya. Dia sudah bangun. Harga makanan dan minuman juga sudah dibayar.

Intan mengeluh perlahan. Dia mempamerkan wajah muram. “Saya tak ada rumah.” Katanya perlahan.

Imran yang baru sahaja mahu membuka pintu kereta berpaling. “Awak jangan main-main boleh tak. Awak lari dari rumah?” Suara Imran kembali meninggi. “Muka jer nampak macam baik, tapi bohsia.” Sambung Imran dengan nada memerli. Perlahan. Tapi masih boleh didengari.

Intan mengetap bibir. “Encik kalau bercakap tu janganlah main sedap mulut ajer. Saya bukan bohsialah. Encik pernah jumpa bohsia pakai tudung macthing dengan baju kurung ker?” Dia bersuara. Intonansi agak mendatar tetapi ada bunyi getar yang mencuri irama. Air mata terasa mahu mengalir untuk menyambung tangisan yang terhenti tadi.

Imran memandang penampilan gadis itu. Baju kurung kain kapas dan tudung bawal. Dia terasa mahu ketawa dengan tekaan bodohnya itu tadi namun cuba ditahan.

Rafi berdehem. Mereka berdua sudah berperang mulut kembali. “Adik. Jangan marah-marah yer. Abang ni tadi dia terlepas cakap.” Rafi memujuk lembut persis seperti seorang abang kacak yang baik hati.

“Encik, saya akan berterima kasih pada Encik kalau Encik boleh hantar saya ke stesen bas.” Intan membuat keputusan.

“Stesen bas? Awak nak pergi ke mana?” Rafi menyoal berkali-kali.

“KL.” Intan menjawab tanpa berfikir.

“Tadi awak kata awak cuma ada RM40 lepas tu awak nak pergi KL.” Imran menyampuk. Dia tidak percaya gadis itu mahu ke Kuala Lumpur dengan hanya berbekalkan wang saku sebanyak RM40.

“Cukuplah. Tiket bas ekspress RM27. Ada lagi baki RM13.” Intan menjawab seperti dia seorang pakar Matematik. Mencongak dengan pantas. Tapi tak fikir logik akal!

“Awak gila RM13 nak duduk dekat KL. KL masuk tandas pun lima puluh sen awak tahu?” Suara Imran meninggi lagi. Matanya dibulatkan.

Rafi berdehem lagi. Imran ditolak perlahan agar kebelakang sedikit. Dia takut kalau terjadi pertelingkahan kecil lagi antara mereka. Sudahlah gadis ini kelihatan masih lemah. “Dik, KL bukan macam kampung awak ni. Bahaya untuk perempuan macam adik kalau pergi sana sorang diri.” Rafi memberi nasihat.

“Saya tak kira. Saya nak pergi sana juga.” Intan membentak. “Saya nak cari……………”Kata-katanya terhenti separuh. Mindanya terbayangkan wajah ibu yang sudah hampir sepuluh tahun tidak ditemui. Kemudian dia menggeleng. Buat apa dia nak mencari perempuan yang sudah memusnahkan hidup ayah. Yang turut sama membuatkan hidupnya menderita.

“Cari apa?” Rafi menyoal. Masih menanti kata-kata yang akan terkeluar dari mulut gadis ini.

Intan berdehem. Membetulkan kotak suara.

“Kerja. Saya nak cari kerja dekat KL salah ker?” Katanya yakin.

“Awak ada saudara mara atau kawan yang tinggal dekat sana?” Rafi menyoal siasat.

Intan menggigit bibir bawah. Dia menggeleng.

“Gila.” Imran berkata sepatah.

“Kalau Encik tak nak hantar tak apalah. Saya boleh pergi stesen bas sendiri.” Ujar Intan. Dia mengeluarkan beg besar yang ada di tempat duduk belakang.

“Ehh… Awak.. awak.. Sekejap. Sekejap.” Rafi menahan.

“Betul ni nak kerja dekat KL?” Dia bertanya.

“Nekad!” Intan menjawab sepatah. Bersungguh-sungguh.

“Okey.” Rafi mengangguk. “Nama saya Rafi. Panggil Abang Rafi pun boleh. Sedap sikit dengar kan.” Dia berseloroh. Namun gadis ini sedikit pun tidak terkesan dengan jenakannya. Rafi sengih sendiri. “Mari sini saya perkenalan. Ini Megat Imran. Kawan baik saya merangkap bos saya.” Dia memperkenalkan gadis ini kepada Imran. “Nama cik adik.” Soal Rafi kepada gadis itu untuk melengkapkan sessi perkenalan antara mereka bertiga.

“Intan.” Intan menjawab pendek.

“Intan jer. Intan Payung???” Rafi cuba mengusik.

“Intan Nurain binti Mohamad Rusdi.” Intan menjawab. Sedikit garang.

“Intan Nurain. Sedap nama.” Balas Rafi. “Owhh yer, kebetulan Encik Imran ni memang tengah mencari seorang pekerja. Jadi Intan boleh ikut Encik Imran pergi ke KL.”

Imran terpempan mendengar cadangan Rafi yang tidak masuk akal itu. Sudahlah tidak berbincang dahulu. Tahu-tahu Rafi hanya menyuruh si Intan Payung ini untuk mengikut dia pulang ke Kuala Lumpur bersama.

“Eh… Kau ni dah kenapa. Kau gila apa nak suruh perempuan ni ikut aku balik.”Imran memarahi Rafi.

“Kau kata Siti yang kau upah untuk menjaga umi kau dah cabut lari kan dan kau pun ada cakap dekat aku memang nak cari orang baru yang boleh tolong jaga umi kau. Jadi? Ini calon terbaik yang boleh jaga umi kau.” Terang Rafi bersungguh-sungguh.

“Budak ni???” Telunjuk Imran menghala ke arah Intan. “Boleh ker? Aku takut dia tak boleh jer.” Ujar Imran was-was.

“Habis tu kau ada idea lain. Kau sendiri kata yang Mak Wan bukan larat sangat pun nak menjaga umi kau tu.” Rafi masih lagi cuba memancing Imran.

Imran mengeluh perlahan. “Itu aku tau… tapi…”

Rafi memotong. “Tapi apa lagi. Kau memang nak mencari seorang yang muda dan kuat kan untuk jaga umi kau. Kau terima ajer budak ni kerja dengan kau. Lagipun aku kesianlah dengan dia. Kita ni kena tolong menolong sesama manusia baru Allah sayang.” Rafi sempat bersyarah.

Intan menyelit antara kedua mereka. “Encik…encik bukan nak surh saya buat kerja yang bukan-bukan kan?” Dia menyampuk perbualan kedua orang teman itu.

“Kenapa? Awak ingat saya ni bapak ayam yang nak jual awak dekat mana-mana taukey kelab dangdut ker?” Imran menyoal sarkastik.

Intan kebelakang sedikit. Dahinya berkerut. “Saya tanya jer…” Mulutnya menggumam rendah.

“Okeylah. Awak boleh ikut saya. Kerja dengan saya. Saya harap awak tak kisah kalau jadi orang gaji dekat rumah saya.” Imran membuat keputusan. Rafi tersenyum puas.

“Saya tak kisah encik. Terima kasih encik.” Intan menjawab girang. “Encik jangan risau, saya pandai masak. Pandai kemas rumah. Pandai….”

Imran menjulingkan mata ke atas. “Dah masuk….” Arahnya pendek.

Rafi sempat menaikan kedua belah ibu jari tangannya ke atas. “Kerja elok-elok.” Pesannya kepada Intan sebelum gadis itu masuk ke dalam perut Harrier.



“Imran, lambatnya sampai.” Tegur Mak Wan sebaik sahaja pintu rumah dibuka.

“Tadi ada hal sikit Mak Wan.” Imran menjawab bersahaja. Tangan Mak Wan dicium. Intan juga turut berbuat demikian. Bersalaman dengan wanita ini.

“Umi macam mana. Umi okey tak?” Imran menyoal.

“Puan okey. Cuma dia asyik tanya bila Imran nak balik. Tu ajer. Rindu kut.” Balas Mak Wan senang.

“Siapa ni Im?” Giliran Mak Wan pula bertanya si gadis yang dibawa pulang oleh Imran.

“Owhh… Ini Intan Payung. Pembantu rumah yang baru mengantikan Siti. Nanti semua pasal umi dia yang akan uruskan. Mak Wan, Im harap Mak Wan tak kisah kalau Intan tumpang bilik Mak Wan.”

“Mak Wan tak kisah.” Mak Wan menjawab senang.

“Okey. Im naik atas dulu nak tengok umi.” Imran meminta diri. Dia meninggalkan Intan bersama Mak Wan. Ah.. Pandai-pandailah kau bawa diri. Desisnya di dalam hati.

“Nama penuh siapa?”

“Intan Nurain.” Jawab Intan dengan senyuman.

“Intan Nurain….” Sebut Mak Wan panjang. “Sedap nama.”

Intan tersengih malu apabila dipuji begitu.

“Intan panggil makcik Mak Wan ajerlah. Semua orang panggil dalam rumah ni panggil makcik Mak Wan.”

Intan mengangguk faham.

“Marilah Mak Wan tunjuk bilik Mak Wan. Mesti Intan penat kan. Lagipun dah lewat malam ni. Esok pagi-pagi Mak Wan kenalkan dengan Puan Rahimah.”

“Puan Rahimah?”

“Umi Imran. Esok Intan boleh berjumpa dengan dia.”

“Okey.”









Kupilih Hatimu 8

Bab 8


Ketika di dalam perjalanan pulang dari kedai Auntie May selepas tamat waktu bekerja hujan turun dengan lebatnya. Intan terpaksa pulang ke rumah untuk menyalin pakaian terlebih dahulu sebelum menyambung tugasan di restoran Mak Su pula. Di rumah kepalanya berpusing hebat. Mungkin akibat terkena air hujan. Intan tidak tahan jika terkena hujan. Terkena sedikit pun pasti dia akan mendapat demam. Ya Allah. Dia memicit-micit kepala yang berat. Mahu berdiri pun dia hampir merasa pitam bagaimana dia harus bekerja di restoran Mak Su malam nanti. Intan menuruni anak tangga ke bawah dengan berhati-hati. Dia pergi ke meja telefon kecil yang terletak di penjuru ruang tamu rumah. Nombor telefon Mak Su di dail.

“Hello.” Terdengar suara Mak Su dari hujung talian. Intan menelan air liur.

“Mak su, hari ni boleh tak kalau Intan nak cuti sehari.” Ujar Intan teragak-agak. Dia bimbang jika Mak Su tidak mengizinkannya untuk bercuti satu hari. Dia benar-benar tidak larat untuk berkerja. Tambah lagi badannya terlalu penat kerana di kedai Auntie May tadi terlalu banyak kerja yang dia lakukan.

“Dah kenapa kau ni.” Suara Mak Su yang kedengaran kuat itu membuatkan jantung Intan berdebar kencang.

“Intan tak sihatlah Mak Su. Intan rasa macam nak demam.” Intan bersuara.

“Kau ni tak payah nak bagi alasan. Siang tadi boleh pulak kau kerja dekat kedai bunga tu.” Marah Mak Su.

“Balik tadi Intan kena hujan Mak Su. Kepala Intan pening sangat ni.” Beritahu Intan mengharapkan kali ini biarlah Mak Su faham tentang keadaannya. Dia bukan suka-suka mahu ponteng kerja. Dia betul-betul tidak sihat.

Dari hujung talian Intan mendengar Mak Su mengeluh kasar. “Yerlah…Yerlah.. Kau ni macam-macamlah.” Ujar Mak Su terus mematikan talian.

Intan bersyukur sangat apabila akhirnya Mak Su memberi keizinan untuk dia berehat dari menjalankan tugas di restoran selama satu malam. Tanpa membuang masa dia terus ke dapur. Panadol Active Fast dikeluarkan dari peti kecemasan yang terletak di atas peti sejuk. Air masak dituang ke dalam gelas. Dia menelan dua biji Active Fast sebelum kembali naik ke biliknya yang terletak di atas untuk berehat.



“Kenapa sayang.” Tegur Khalil apabila melihat wajahnya isterinya itu sedang mencuka.

“Intan ni yang. Peninglah. Demamlah. Ada ajer modal nak ponteng kerja.” Maria merungut.

“Habis dia tak datanglah malam ni.” Khalil seperti teruja ingin tahu.

“Tak adalah. Nak rehat dekat rumah katanya.” Maria menjawab seadannya. Dia sibuk membuat kira-kira di kaunter hadapan. Khalil mengukir senyum penuh maknanya. Di kepalanya sudah terbayangkan ‘lauk kenduri’ malam ini.

“Yang awak ni dah kenapa senyum-senyum.” Maria menyoal suaminya yang tiba-tiba mengukir senyuman. Pelik!

Senyuman di bibir Khalil mati sejurus terdengar suara isterinya itu. Sebelum Maria memetir lebih baik dia pergi dari sini. Fikirnya. “Eh tak ada apa-apa. Saya pergi ambil pesanan pelanggan dulu ya.” Ujar Khalil terus melarikan diri dari disoal siasat.



Mata Maria mengitari seluruh restoran. Kemudian dia berinjak ke dapur pula namun bayang yang dicari-cari tidak jumpa. “Ada siapa-siapa nampak Khalil tak.” Soalnya kuat agar kedengaran jelas dek kerana bunyi bising kuali, senduk sudip berlaga sesame sendiri. Masing-masing berpandangan. Kemudian mereka menjongket bahu. “Tak tahu bos.” Ujar mereka serentak bersama-sama. Semua pekerja di restoran ini bukan pernah mahu mengambil tahu tentang Khalil. Khalil isteri bos. Karang kalau mereka mengadu tentang Khalil yang gemar curi tulang silap hari bulan Puan Maria akan memarahi mereka kembali. Pernah dulu Abang Mail mengadu pada Puan Maria yang Khalil pernah mencuri duit dari kaunter, mati-mati Puan Maria tidak percaya. Akhirnya Puan Maria pula menuduh para pekerja cuba memburukkan suaminya. Masa itu, semua gaji pekerja dipotong untuk menampung duit yang shot.

“Korang semua ni memang tak boleh haraplah.” Getus Maria bengang.

“Hah ni dari mana ni. Ponteng kerja?” Sembur Maria apabila melihat Talhah dan Asmadi muncul dari pintu belakang dapur.

“Mana ada bos. Pergi bakar diri.” Jawab Talhah selamba sambil dua jari dikepitkan dan bergaya seakan sedang merokok.

“Kau orang berdua nampak mana Khalil?” Soal Maria kepada Talhah dan Asmadi.

“Tadi masa kita orang membakar diri tadi nampak dia bergegas ikut pintu belakang.” Beritahu Asmadi pula.

Khalil keluar curi-curi ikut pintu belakang? Maria menyoal sendiri. Hatinya tiba-tiba menjadi tidak sedap.

“Talha!!” Panggil Maria.

“Yer bos.”

“Jaga kaunter sekejap. Aku nak balik rumah. Yang lain kerja!!” Maria mengarah.

“Yes bos.” Jawab mereka semua serentak.

Maria terus ke kaunter hadapan. Beg tangan dan kunci kereta dikeluar dari dalam laci yang berkunci. Dia bergegas untuk pulang ke rumah. Di dalam kepalanya berlegar-legar perkara buruk yang akan terjadi.





Khalil memerhati sekujur tubuh dihadapannya kini. Intan yang sedang tidur tidak menyedari langsung kehadiran lelaki itu. Khalil cuba mendekati Intan. Kain baju kurung yang sedikit terselak dan menampakkan betis putih bersih membuatkan jantungnya berdegup kencang. Perlahan-lahan dia cuba merapatkan dirinya dengan badan Intan.

Intan terjaga apabila terasa ada benda berat yang menghempap badannya. Pantas Khalil di tolak kuat.

“Apa ni Pak Su!!” Jeritnya kuat. Dia cepat-cepat bangun dan membawa diri duduk di birai katil dengan perasaan takut yang amat sangat.

“Shusshh… Jangan bising. Nanti orang dengar.” Ujar Khalil menggoda. Tali pinggang yang dipakai dilurut perlahan. Dia cuba mendekati Intan lagi.

“Pak Su jangan Pak Su.” Intan menjerit. Dia cuba melarikan diri namun Khalil terlebih dahulu memeluk erat pinggangnya.

“Pak Su tolong Pak Su. Jangan pak Su.” Intan cuba merayu apabila Khalil sudah mula mencium tengkuknya beberapa kali.

“Kau tau aku memang dah lama menantikan saat ini.” Ujar Khalil terus bibirnya mencari wajah Intan pula. Wajah Intan dikucup sepuas-puasnya.

“Pak Su.”Suara Intan seakan tenggelam timbul apabila dirasakan dia sudah semakin lemas diperlakukan begitu oleh Khalil. Di dalam keadaan lemah dia cuba mengumpul seluruh kudrat yang ada untuk cuba melepaskan diri. Namun sekuat mana pun kudrat seorang wanita sukar untuk dia meloloskan diri apabila nafsu Khalil sudah semakin menggila. Intan di tolak kasar ke katil.



“Khalil!!!!” Maria bertempik kuat. Khalil terpempan. Cepat-cepat dia melepaskan Intan. Pantas dia menarik kembali zip seluar yang terbuka. Intan cuba berlari dan berdiri di belakang Mak Su. Dia teresak-esak menangis. Di dalam hati dia memanjatkan rasa syukur apabila Mak Su tiba sebelum sempat Khalil mengapa-apakan dirinya.

Mata Maria merah memandang Khalil. Dia bagaikan seekor singa yang sudah bersedia mahu membaham mangsanya. Khalil sedikit gelabah.

“Sayang, awak tengok anak saudara awak ni. Dia cuba menggoda saya.” Khalil berkata tersekat-sekat. Telunjuknya menuding ke arah Intan yang bersembunyi dibelakang isterinya itu.

“Awak buat apa dekat sini. Bukan sepatutnya awak ada di kedai ker?” Maria memetir.

“Saya balik nak ambil barang yang tertinggal, tiba-tiba anak saudara awak menggoda saya.” Tipu Khalil, meletakkan kesalahan di bahu Intan. Dia berlagak seperti terlalu suci untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Mata Maria terarah kepada Intan yang masih tersedu sedan.

Intan menggeleng laju. “Mak Su tak Mak Su. Pak Su tipu.” Dia cuba membela diri. Melihat Mak Su yang hanya mendiamkan diri Intan tahu pasti Mak Su lebih mempercayai kata-kata suaminya.

“Mak Su… Intan tak salah Mak Su.” Intan berkata lirih. Masih lagi mahu mengharap simpati daripada Mak Su.

Setelah mendiamkan diri selama beberapa minit tanpa menghiraukan esakan dan kata-kata anak saudaranya itu tiba-tiba melayang satu tamparan tepat terkena pada muka putih bersih Intan.

Panggg!!!

Intan jatuh terjelepok ke lantai. “Mak Su…” Katanya sepatah. Tangan meraba pipi kanan yang terasa perit.

“Kau ni kan sudah aku bela sampai besar ini yang kau balas. Hey, dengan laki aku pun kau nak cuba ker. Engkau dengan mak kau ni sama ajer.” Maria sudah seperti hilang pedoman. Rambut panjang Intan di tarik. Gadis itu dipukul tanpa belas. Dia melempiaskan segala amarah yang terbuku pada tubuh anak saudaranya itu.

“Mak Su ampun mak Su. Intan tak buat.” Intan cuba merayu. Namun rayuannya itu tidak dipedulikan. Khalil pula seperti sudah sedia untuk berjoget lambak apabila isterinya lebih mempercayai kata-katanya daripada Intan.

“Kau keluar. Kau berambus dari rumah aku.” Maria menarik kasar badan Intan yang lemah. Dia menolak gadis itu ke muka pintu rumah. Kemudian dia masuk ke dalam dan kembali semula ke depan dengan beg pakaian milik Intan. “Ambil semua kain baju harta benda kau ni.” Beg pakaian itu dilempar kasar. “Pergi!! Pergi. Aku tak mahu tengok lagi muka kau dekat sini. Pergi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Maria terus memetir.

“Mak Su tolong Mak Su. Jangan halau Intan keluar macam ni Mak Su. Intan sujud kaki Mak Su.” Intan merangkul erat kaki Mak Su. Dia merayu semahu-mahunya agar ada sedikit simpati dalam diri Mak Su untuk dirinya.

“Sudah. Aku tak ada anak sedara macam kau lagi. Pergi!! Pergi!!” Tempik Maria kuat sebelum pintu rumah dihempas.

Dalam keadaan badan yang masih lagi demam Intan gagahkan diri untuk pergi dari sini. Dia buntu mahu pergi ke mana. Mahu menumpang di rumah Nadia, mereka sekeluarga tidak ada dirumah. Petang tadi Nadia tergesa-gesa memberitahu kepada Intan yang mereka sekeluarga akan pulang ke Pulau Pinang kerana ibu saudaranya telah meninggal dunia. Mungkin akan berada di sana dalam dua tiga hari. Kali ini Intan hanya mampu mengikut langkah kakinya sahaja. Sehingga ke mana kakinya larat berjalan, dia akan ikut. Andai malam ini dia perlu bermalam di kaki lima, dia pasrah.

Nasib Intan dirundung malang lagi. Tanpa disangka-sangka malam ini hujan turun dengan lebat seperti petang tadi. Dia bergegas berlari untuk menuju ke pondok menunggu bas di seberang jalan. Di dalam keadaan malam yang samar-samar dan kepala yang masih lagi berpusing Intan terus melintas jalan tanpa perasaan ada kereta yang sedang bergerak laju. Tiba-tiba……….



















Kupilih Hatimu 7

Bab 7


“Ya Allah. Gila apa Mak Su kau tu buat kau macam ni.” Nadia melempias marah sewaktu dia dan Intan makan tengahari di belakang butik mama pada keesokkan harinya.

Intan diam. Hanya air mata yang mengalir sahaja jawapan yang dia ada untuk pertanyaan Nadia itu. Nasi campur di dalam polistrin dikuis-kuis dengan sudu. Simpati Nadia kepada temannya itu menggunung lagi.

“Yang lelaki good looking tu pulak, apa masalah dia hah. Sengaja nak cari pasal sampai kau boleh kena maki dengan Mak Su kau dekat kedai semalam. Muka ajer kacak, tapi perangan haprak!” Nadia menghala rasa marah kepada lelaki yang hampir-hampir berlanggar dengan mereka pagi semalam.

“Dia tu gila!!” Kata Intan keras. Kesal sungguh rasanya kerana semalam malang datang kepadanya bertimpa-timpa. Lepas satu, datang satu lagi.

“Habis macam mana ni. Telefon kau nak kena rampas dengan Mak Su kau. Sim card pulak dah patah.”

“Aku akan anggap telefon tu bukan rezeki aku.” Intan berkata sayu. Dia seka air mata yang mengalir. Nasi bungkus untuk makanan tengahari ini di jamah sedikit. Seleranya mati sejak pagi tadi. Kerana sedih dia hilang mood mahu makan.

“Sorrylah Intan. Aku tengah sengkek ni. Tak ada bajet nak bagi kau pinjam duit untuk beli telefon baru.” Balas Nadia.

Intan senyum pahit. “Tak apa. Selama ni pun aku mana ada telefon pun kan. Aku dah biasa hidup tak ada telefon.” Katanya lagi.

“Errmmm…” Nadia cuba berfikir panjang. Dahinya berkerut. “Bagi aku nombor Micheal. Call dia okey. Bagi tahu telefon kau tu ada masalah. Kalau ada apa-apa suruh dia terus telefon ke nombor aku.” Kata Nadia.

Intan buat muka serba salah. “Aku mana ingat nombor telefon dia apa. Nombor aku tu pun tak ingat. Aku kan baru lagi pakai telefon. Kau macam tak kenal aku, aku bab-bab nak mengingat nombor ni selalu fail.” Keluh Intan.

Nadia tepuk dahi. “Ya Allah, takkan nombor telefon boyfriend pun kau tak ingat.” Ujar Nadia sedikit geram.

Intan mengerut dahi. “Mana ada boyfriend. Kami teman tapi mesra.” Dia menjawab.

“Teman tapi mesra pun takkan kau tak ingat?!!” Nadia meninggi suara.

Intan terkulat-kulat. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. “Kau jangan marah aku boleh tak. Aku semalam punya hal pun tak abis sedih lagi, hari ni kau nak tambah sedih aku pulak.” Katanya sayu.

“Okey..Okey.. Sory.” Nadia angkat kedua tangan. “Aku pun salah jugak dah kenapa pulak aku tak simpan nombor si Micheal tu jugak kan incase kalau ada kecemasan macam ni.” Dia turut menyalahkan dirinya sendiri. Nadia mengerut dahi. Beberapa ketika kemudian dia memetik jari. Matanya bersinar-sinar. Ada mentol yang menyala di dalam kepala otaknya kala ini. “Ermm.. Apa kata kita pergi tanya Auntie May. Lepas tu suruh Auntie May tanya Uncle Lee nombor Micheal.” Nadia memberi buah cadangan.

Mata Intan terbeliak. “Ehh…Kau gila. Malulah aku.” Katanya menolak cadangan Nadia itu.

Nadia mencebek. “Elehh… Mengada-ngadanya engkau. Malu tapi mahu.” Sedasnya.

“Nantilah.” Keluh Intan perlahan.

“Kau jangan nanti-nanti. Nanti Micheal ingat kau dah tak nak kawan dengan dia.” Nadia cuba menakut-nakutkan Intan pula.

Intan laju berdecit. “Ishh… Dia bukan jenis cepat berprasangkalah.” Tukasnya tidak mahu termakan momokan dari Nadia itu.

“Mana kau tau?” Kening Nadia sudah mula menari ronggeng. Bibirnya pula sudah mula mengulum senyuman nakal.

Intan memandang muka Nadia dengan perasaan bengang. Dia menutup kembali kotak polistrin dan membuangnya ke dalam tong sampah.

“Aku balik kedai Auntie May dululah.” Dia meminta diri.

“Jangan lupa tau!!” Jerit Nadia sambil ketawa besar.