Tuesday, April 28, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 4

Bab 4

“Owhhh…Mak engkau!!!”  Aku melatah apabila kusyen kecil melambung tepat ke mukaku.  Pandanganku mencerun memandang ke arah Naimah yang sedang ketawa. 
“Apa ni Imah.  Kau ni kacau konsentrasi aku tau!”  Marahku.  Kusyen kecil tadi aku baling semula ke arah Naimah.  Naimah yang sudah dapat membaca tindakanku itu pantas mengelak. 
“Kau tu kalau dapat tengok tv macam nak tembus masuk dalam tv tu ajer gayanya.”  Ujar Naimah. 
Aku mencebek.  “Kau memang tahu hobi aku tengok tv pun kan.”  Balasku.
“Meh sini remote control tu.  Boringlah cerita ni.  Macam manalah kau boleh layan cerita hero kayu ni.”  Ujar Naimah.
Aku cepat-cepat menyorokkan remote controller di celah-celah sofa.  Nanti kalau remote controller berada di tangan Naimah, jangan haraplah dia dapat tengok drama ini sampai habis. 
“Mana remote control ni Dian.”  Omel Naimah sewaktu mencari ke mana perginya remote control Astro.
Aku sekadar menjungkit bahu sambil menahan ketawa.  Bersungguh benar Naimah menyelongkar timbunan majalah di atas karpet semata-mata mahu mencari remote controller. 
Naimah berpaling memandang Dian.  “Mesti kau sorokkan kan Dian?”  Soalnya geram.  Telinganya dapat menangkap bunyi-bunyi pelik seakan orang sedang menahan ketawa. 
Ketawaku meletus kuat.  “Mana ada.”  Kataku sambil menggeleng kepala. 
“Kau tipu.  Aku tahu sangat memang kau yang sorokkan remote control kan.  Tukarlah Dian.  Aku boring betul tengok lakonan tak berkembang mamat ni.”  Naimah separa merayu.  Memang dia tidak sanggup rasanya mahu menambah dosa dengan menonton mamat kayu balak ini berlakon.  setiap kali dia menonton drama lakonan mamat ni dikaca tv setiap kali itu jugalah mulutnya tidak habis-habis mengata mencerca mamat ni.  Tak boleh terimalah berlakon bajet-bajet macho tapi hancur.  Harap muka sahaja handsome tetapi lakonan ke laut dalam perginya. 
“Imah, tak baik kau cakap macam ni tau Imah.  Aku tengok lakonan dia semakin memberangsangkan.  Dulu-dulu tu yerlah kayu sikit.  Sekarang dah okey apa.”  Aku cuba membela Eddy Kencana walaupun kadang-kadang aku pun tak faham macam mana aku boleh hadam lakonan kayu dari pelakon lelaki ini.  Aku cuma tahu aku dah minat Eddy Kencana ni sejak dari zaman sekolah lagi.  Eddy Kencana atau nama sebenarnya Suhardi bin Suparjo ni dulu rakan sekelasku masa sekolah menengah dulu.  Suhardi Suparjo ni memang handsome dari sekolah lagi.  Sekarang dah jadi artis lagilah bertambah-tambah handsome.  Tak sangka dapat juga dia mencapai cita-citanya mahu menjadi artis.
“Aku syak kan Dian kau ni mesti dah syok dengan Suhardi Suparjo ni sejak dari sekolah lagi kan.  Setiap kali aku dengar cerita-cerita kau pasal Suhardi Suparjo ni muka bukan main berseri-seri.”   Tebak Naimah. 
Wajahku automatik bertukar merah.  Aku tersipu-sipu.  Mahu mengaku di hadapan Naimah, aku malu.  Tapi aku tahu Naimah memang dah boleh agak aku syok dengan Suhardi Suparjo ni dari dulu lagi.  Mana tidaknya sejak Suhardi Suparjo menjadi pelajar Akademi Bintang setahun yang lepas aku sudah bercerita macam-macam tentang budak sekolah aku yang seorang ini kepada Naimah.  Pendek kata serba serbi pasal Suhardi Suparjo aku tahu. 
“Gatal!”  Naimah menyiku lengan Dian yang sedang memintal-mintal hujung rambut. 
“Ada satu pasal Suhardi Suparjo yang kau belum cerita lagi pada kau.  Macam mana nama dia dari Suhardi Suparjo boleh tiba-tiba bertukar menjadi Eddy Kencana.   Eddy tu aku faham lah mungkin nama pendek bagi Suhardi.  Yang Kencana tu.  Mana datangnya.”  Naimah menyoal ingin tahu.
Aku mengerut dahi.  “Entah.  Manalah aku tahu macam mana dia dapat nama Eddy Kencana tu.” Balasku.  Aku pun sebenarnya tak tahu dari mana datangnya Kencana.  Tapi lebih baik Kencana dari Kencang.  Bayangkanlah kalau nama glamour Suhardi Suparjo ini menjadi Eddy Kencang dan bukannnya Eddy Kencana.  Macam haru sangat jer bunyi dia kan!
“Agak-agak dulu tu kan dia tahu ker kau suka dia Dian?”  Naimah bertanya ingin tahu.
Aku tergelak mendengar soalan Naimah itu.  “Taklah.  Lagipun aku ni siapalah yang dia nak pandang.  Aku ni tahap biasa-biasa jer.  Kalau kau nak tahu awek-awek dia dulu semua hot-hot.  Semua edisi-edisi perempuan-perempuan cantik kat sekolah aku tu dulu tau.  Aku suka dia dalam hati ajer.”  Balasku. 
“Okey..tak apa.  Tak apa.  Lepas ni kau try la adjust dia pulak.  Takkanlah dari dulu sampai sekarang tak habis-habis nak usha line ajer.  Sekaranglah masanya untuk kau masuk line.”  Cadang Naimah.

Kali ini gelakku lagi kuat dari tadi.  “Kau gila.  Dia tu siapa.  Aku ni siapa.  Masa dia bukan siapa-siapa dekat sekolah dulu pun dia tak pandang aku inikan pulak dah jadi artis.  Lagilah, sebelah mata pun dia tak pandang tau.  Jurang aku dengan dia dah makin besar.”  Kataku.
“Eh…  Kau pun artis apa.  Retis sangat.  Kau jadi viral satu Malaysia kut.  Buat masa sekarang kau lagi popular dari dia tau.  Dia tu aku tengok dah tahap sejuk beku dah.”
Aku tak habis ketawa.  “Aku tak kisah pun kalau aku ni setakat boleh jadi peminat dia sampai bila-bila.  Takkanlah aku nak berangan couple dengan bintang popular.  Kau tahu tak Iman, lepas habis SPM aku mana pernah jumpa dia dah.  Aku jumpa dengan dia balik pun masa konsert final Akademi Bintang dekat stadium dulu tu jer.  Itupun dia kat atas pentas aku nun jauh dekat tempat duduk paling belakang sekali.  Engkaulah tak nak invest tiket mahal sikit” 
“Yer.  Aku ingat lagi.  Masa tu kau paksa aku teman kau pergi Bukit Jalil kan lepas tu kau paksa aku lagi pakai tshirt gambar muka Suhardi Suparjo sampaikan Farid bising dengan aku tanya pada aku apahal aku galak sangat nak menyokong budak-budak baru nak up jadi artis.”  Balas Naimah sambil ketawa. 
Aku turut sama ketawa.  Memang best sangat waktu tu.  Nak-nak pula malam konsert akhir itu Eddy Kencana telah dinobatkan sebagai juara Akademi Bintang untuk musim ke 14.  Dia turut sama bergembira meraikan kemenangan Eddy Kencana malam itu kerana dia juga menjadi penyumbang kepada kejayaan Eddy Kencana.  Sejak dari konsert pertama dah banyak dia berhabis top up untuk ABUNDI Eddy Kencana.   Nasib baik menang juga akhirnya.
“Ehh kalau kau nak tahu dua minggu lepas aku ada ternampak kelibat Eddy ni masuk dalam bank tau.  Aku duk tenung punya tenung tu yang sampai Kancil aku menghentak Proton Saga yang nak masuk simpang tu.  Tak pasal-pasal sangat.”  Ujarku terus ketawa lagi.
Ketawa Naimah mati . Dia pandang wajah Dian yang tak habis ketawa.  “Sekejap.  Kau kata kereta kau yang langgar Proton Saga tu.”  Naimah menyoal. 
Ketawaku serta merta mati apabila mendengar soalan Naimah itu.  Aku menyuring senyum segaris.  Aku garu kepala yang tidak gatal.  “Alahh…  Aku bukan sengaja.  Masa aku tengah drive kereta mata aku ni terus terpandang pada Eddy Kencana yang baru keluar dari kereta.  Aku try tengok lagi sekali untuk pastikan pandangan aku ni tak silap.  Time aku tenung lagi sekali tu la aku tak perasan ada proton Saga bagi signal nak masuk simpang kat hujung jalan tu.”  Aku menceritakan hal sebenar.
Mata Naimah menjegil memandangku.  Air liur yang kutelan terasa berpasir dicelah kerongkong.  “Imah, kau janganlah pandang aku macam tu.”  Tuturku rendah.
“Kau tipu aku Dian.  Kau tipu semua orang yang sokong kau.  Kau dah tipu satu Malaysia.”  Marah Naimah.
“Mana ada aku tipu.  Orang ramai yang fikir aku jadi mangsa gangster stereng lock tu.  Aku tak keluar statement apa-apa pun.”  Selarku.
“Tapi kau dah buat mamat proton Saga tu kena hina dengan masyarakat sedangkan kau yang salah.  Ni kira macam dah fitnah dia yang tak berdosa kau tahu tak.  Menganiaya orang namanya ni.” 
“Okey.  Aku cuma salah sebab aku dah langgar kereta dia dan….”  Kata-kataku terhenti.  Ni kalau diteruskan juga ni mahu makin berangin Naimah jadinya.
“Dan…..”  Kening Naimah terangkat sebelah.
Aku mengeluh perlahan.  “Okey…Okey… Aku salah sebab langgar kereta dia dan aku main lari macam tu ajer.  Tu sebab dia kejar aku dan tahan aku kat tepi jalan.  Tapi salah dia jugaklah, kut yer pun marah bumper Saga dia tu hampir tercabut tak payahlah nak ugut-ugut aku dengan stereng lock.”  Jelasku.
“Dia marah sampai keluar stereng lock sebab kau biadap.  Yang kau lari lepas kau langgar tu kau dah kenapa.  Sepatutnya kau turun dari kereta dan minta maaf elok-elok.” 
Aku mencebek bibir.  Amboi Naimah ni.  Hari tu dia juga yang memaki hamun lelaki stereng lock tu.  Hari ini bukan main pula mahu membela.  “Alah…Benda dah lepas.  Lagipun tak ada siapa yang nak mintak penjelasan pasal insiden tu.  Mamat Saga tu pun tak ada pulak buat video baru untuk bagi tahu dia lelaki teraniaya ker apa.  Jadi buat tak tahu sudahlah.”  Ujarku mudah.

Mata Naimah mengecil memandang ke arahku.  Aku buat selamba sahaja.  Mataku kembali menonton drama lakonan Eddy Kencana.  Ini lagi baik dari kena ambil pusing kata-kata Naimah yang menyelar tindakanku yang seolah-olah sudah menabur fitnah kepada pemilik Proton Saga itu.  Benda dah lepas, tak usah dikenang!

Monday, April 27, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 3

Bab 3
“Cik Nancy saya rasa tak patut la Cik Nancy buat macam ni.  Teruk dah saya tengok mamat tu kena bash dengan satu Malaysia.”  Ujar Abon yang sememangnya kurang bersetuju dengan idea Nancy yang mahu menghebahkan video yang dirakam sewaktu dalam perjalanan pulang dari lokasi pengambaran program ***** .  Memang menaya orang namanya.  Kut yer pun lelaki itu bersalah, manalah tahu kalau hal itu sudah setle.  Ni bila video dah viral macam ni kes makin panjang jadinya. 
“Abon, you boleh rileks sikit boleh tak.  Ini permulaan baik untuk rancangan I.”  Tutur Nancy selamba.
Dahi Abon automatic jadi berkerut-kerut.  “Rancangan?  Apa yang Cik Nancy rancangkan.”  Soalnya ingin tahu.
Nancy senyum senget.  Badan disandarkan malas pada belakang kerusi.  Perlahan kerusi digerakkan ke kiri dan ke kanan.  “I nak gunakan peluang ni untuk terbitkan satu program baru.   Kereta Kancil, Proton Saga.”  Balasnya dengan senyum meleret. 
Dahi Abon masih berkerut.  “Terbit program baru?  Habis program Masak Sampai Hangus tu macam mana?  Cik Nancy kata program tu akan masuk musim ke dua.”  Dia terus menyoal.
“Owhh….  Program tu pihak Pengurusan sudah berikan tanggungjawab pada penerbit lain.  I pun dah tak sanggup nak terbit rancangan yang tak boleh dapat ratings yang tinggi macam tu.”
“Memanglah Cik Nancy.  Masak Sampai Hangus tu kan hanya tertumpu pada golongan makcik-makcik suri rumah yang tak tahu nak buat apa siang-siang hari ajer.”  Tutur Abon mengiyakan kata-kata Nancy tadi.  Sememangnya rancangan itu tidak mampu mendapat ratings yang tinggi pun.  Lainlah kalau slot Akasia.  Siaran waktu orang nak sembahyang Maghrib pun ratings boleh cecah sampai angka empat juta penonton.
“Kali ni I nak terbitkan satu program tv yang boleh menarik penonton  untuk menonton.  Aku dah lama dahagakan ratings.  Jadi untuk dapatkan ratings aku perlukan sesuatu yang baru, yang unik, yang tak pernah dibuat oleh station tv lain.”  Tutur Nancy dengan semangat.
Abon mula faham agenda tersembunyi Nancy.  “Maksud Cik Nancy, Cik Nancy nak manfaatkan Kereta Kancil dan Proton Saga tu.  Nak jadikan diorang bintang?”  Suara Abon naik sedikit.
“Tepat sekali!”  Nancy petik jari dan terus pandang Abon.
“Cik Nancy sanggup ambil risiko?  Saya tak rasa ini idea yang brilliant Cik Nancy.  Kalau Cik Nancy betul-betul nakkan ratings, apa kata kali ni kita terbit drama ajer.   Drama adaptasi novel. Masuk slot tayang pukul tujuh. Confirm boleh dapat ratings sampai empat juta.”  Saran Abon yang agak kurang setuju dengan idea asal Nancy.
Nancy menggeleng kepala.  “Abon, you dengar tak apa yang I cakap tadi.  I nak buat sesuatu yang baru, yang fresh, yang tak pernah orang buat.  Setakat terbit drama adaptasi novel dah berapa banyak penerbit drama buat.  Storyline ulang-ulang yang sama.  Penonton pun dah naik muak tahu tak?”  Kata Nancy. 
“Tapi tindakan Cik Nancy nak terbitkan program Kereta Kancil, Proton Saga tu macam dah kira ambil kesempatan atas kesempitan orang lain tu Cik Nancy.  Lagipun setakat apa ajer yang boleh kita kembangkan dari insiden tu.”  Ujar Abon masih ragu-ragu dengan rancangan Nancy.
Nancy ketawa sinis.  “Abon…Abon…  Dalam kepala I ni dah ada macam-macam idea yang nak I laksanakan.”  Kata Nancy senang.
“Antaranya?”  Abon dah mula tunjuk minat.
“I nak buat sampai diorang boleh bercinta.”  Balas Nancy.
Ketawa Abon meletus kuat.  “Ini paling kelakar.  Cik Nancy, macam mana pulak kita nak buat diorang tu bercinta. Cik Nancy tak nampak ker macam mana awek Kancil tu nyaris-nyaris kena hentak dengan stereng lock tu.  Ada ker perempuan nak bercinta dengan lelaki yang hampir-hampir nak cederakan dia dengan stereng lock.”  Ujar Abon dengan ketawa masih bersisa.
Nancy tidak hiraukan ketawa Abon itu.  “Abon, semua tu kita boleh buat sampai jadi.  Asal diorang bercinta dalam skrin, itu sudah cukup.  Apa yang jadi disebalik tabir, itu belakang kira.”  Ujar Nancy.
Ketawa Abon mati.  Dia sudah nampak permainan Nancy di situ.  “Maksud Cik Nancy, Cik Nancy nak diorang berpura-pura depan kamera?”  Soalnya.
Nancy senyum senget lagi.  Keningnya menari ronggeng. 
Abon sudah faham seratus peratus rancangan Nancy.  Perempuan macam Nancy yang gilakan ratings memang sanggup lakukan apa sahaja asalkan programnya ditonton oleh berjuta orang.  “Tapi macam mana kita nak dapatkan diorang ni Cik Nancy?  Kalau diorang tak mahu macam mana?”  Soal Abon. 
“Itulah kerja yang you kena buat untuk I, Abon.  I nak you cari mereka berdua sampai dapat kemudian bawak diorang datang ke mari.  Soal diorang setuju atau tidak untuk sama-sama terlibat dalam program ni itu biar I sahaja yang uruskan.”  Ujar Nancy seterusnya memberitahu tindakan pertama yang perlu team dia lakukan.
Abon mengangguk faham dengan arahan Nancy.  Nancy pula tersenyum puas.  Owhh…ratings!!!



Friday, April 24, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 2

Bab 2
Setiap kali dia tengok video itu hatinya serta merta menjadi panas.  Entah siapalah yang punya angkara merakam video sewaktu insiden itu.  Kalau nak rakam pun rakamlah dari awal kejadian barulah satu Malaysia tahu siapa salah siapa yang betul.  Ini rakam time dia betul-betul menghayun stereng lock memang nampak sangatlah dia yang bersalah padahal dia tak akan naik angin kalau awek Kancil tu tahu macam mana nak bawa kereta elok-elok.  Apa tak cukup jelaskah signal yang dia beri sampai nak juga rempuh bontot Saga kesayangannya itu.  Memang pantang kalau ada yang cuba mencederakan Saganya itu. 
Boleh pulak kan dalam keadaan tegang macam ada juga insan yang mengambil peluang merakam video untuk dijadikan viral di media social.  Awek Kancil tu happy la sebab sekarang sudah menjadi kesayangan satu Malaysia malah berapa ramai abang-abang sado yang menawar diri mahu menjadi bodyguard sedangkan dia terpaksa menyembunyikan diri buat sementara waktu kerana terpaksa menanggung malu atas keterlanjuran perbuatannya tempoh hari.  Walaupun di dalam video itu mukanya tidaklah nampak begitu jelas sangat tetapi muka Proton Saganya yang berwarna kelabu itu memang jelas sangat-sangat.  Pandai yang tukang rakam tu.  Zoom baik punya pada plet Saga itu.  Sudahnya sekarang ini Saga yang tercabut bumper belakang itu tersadai dalam garaj rumah sambil berselimut sepanjang masa.  Bukan setakat dia ajer, Saga kelabu itu pun sekarang sudah malu nak berdepan dengan masyarakat.  Sekali lagi diulang, sepatutnya video itu dirakam dari mula.  Awek Kancil tu yang bersalah asalnya!
“Sampai bila kau nak sembunyikan diri macam ni, Li.”  Soal Mat.  Nasi bungkus yang dipesan oleh Wali diletakkan atas meja kopi. 
“Ini semua sebab awek Kancil tu la.  Sakit pulak hati aku ni Mat bila ingat balik muka selamba awek tu.  Sudahlah dia yang langgar Saga aku tu, lepas tu main selamba ajer lari.  Bila aku halang jalan dia, dia boleh claim cakap aku ni samseng jalanan.  Macam mana aku tak naik angin.”  Wali bercerita dengan penuh emosi. 
“Kau pun satu Li.  Kut yer pun angin masa tu, kenapa sampai perlu keluar stereng lock.  Tengok sekarang, tak pasal-pasal famous satu Malaysia.  Kena bayar denda pulak tu.”  Selar Mat sambil ketawa kecil. 
Wali mengeluh perlahan.  “Itu yang aku bengang tu.  Kalau famous pasal benda-benda baik tak apalah juga ni satu Malaysia kecam aku Mat.”  Ujar Wali tak habis emosi.
“Salah kau Li.  Siapa suruh guna kekerasan terhadap kaum wanita.  Ni aku nak sampaikan pesan bos pada kau.  Ah Tuck suruh juga kau masuk kerja esok.”  Kata Mat.
“Alah….  Ah Tuck ni.  Aku baru ingat nak sambung lagi cuti dalam sehari dua.”  Tutur Wali lemah.
“Banyak cantik kau nak sambung cuti lagi sehari dua.  Dekat bengkel tu kemain banyak kereta yang nak kena siapkan.  Kau datang.  Aku pun dah tak kuasa hari-hari kena hantar nasi bungkus untuk kau.”  Kata Mat.

Wali terus mengeluh lemah.  Kalau dia jumpa lagi awek Kancil tu memang dia picit-picit budak tu!!!

Wednesday, April 15, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 1

Bab 1

Aku tak sangka video berdurasi 12 minit itu ditonton lebih dari 500ribu orang pengunjung Youtube sejak ianya dimuatkan di dalam laman itu dua hari lalu.  Aku pun tak sangka jumlah followers dalam FanPage Facebook Awek Kancil Teraniaya dah mencapai 400ribu orang.  Itu belum lagi aku kira hashtag pasal Awek Kancil yang bersepah-sepah di dalam Twitter, Facebook dan Instagram.   Bagi masa lagi seminggu aku rasa hashtag Awek Kancil ni akan jadi worldwide trending.
Kalau bukan sebab Naimah yang tunjuk video ini kepada aku semalam aku pun tak tahu yang aku sudah jadi glemer satu Malaysia.  Aku ni kan boleh dikatakan golongan minority masyarakat Malaysia yang tidak berdaftar dengan mana-mana media sosial. 
Disebabkan video itu juga pagi tadi berdering-dering telefon bimbitku berbunyi.  Abang Long, Abang Ngah, Abang Teh, Acu, semua menghubungiku apabila mereka semua juga sudah menonton video itu.  Aku tak tahu siapa punya kerja yang pergi upload video insiden dua hari lepas dalam media sosial.  Aku kalau boleh nak lupakan semua yang dah jadi.  Aku tak nak ingat lagi.  Bayangkan sebab insiden itu aku terpaksa mengurungkan diri dalam rumah.  Aku takut mamat stereng lock tu cari aku lagi.  Memang laporan polis telah dibuat tapi apa jaminan polis akan menjaga keselamatanku selepas laporan di buat kan?
Abang-abang aku dah bising-bising suruh aku balik kampung.  Kata mereka keselamatanku lebih terjamin.  Alahai takkanlah sebab ni aku nak balik kampong.  Aku baru sebulan kerja dekat Alaudin and Co tu.  Memang aku takut tapi takkanlah sebab tu ajer aku kena berhenti kerja dan duduk dekat kampong.  Dekat kampong apa ajer yang boleh aku buat.  Aku tak minat nak uruskan homestay abah tu. 
Aku cakap pada mereka semua jangan risau lebih-lebih.  Lepas sembahyang tolong doakan aku sudahlah.  Last-last dia orang akur juga.
Nak ikutkan bukan keluarga aku sahaja malah geng sekolah rendah dan sekolah menengah juga ada yang menghubungi aku semata-mata mahu mengucapkan tahniah kepada aku yang dalam sekelip mata sudah menjadi popular satu Malaysia. 
Esok aku akan bekerja semula selepas dua hari bercuti.  Kemain fobia hampir diketuk dengan stereng lock sampai kena ambil cuti dua hari.  Mahu tak takut bayangkanlah kalau mamat muka ketat betul-betul melayangkan stereng lock ke kepalaku mahu arwah aku. 

Sebelum tidur aku tengok semula video yang telah trending satu Malaysia itu.  Aku ketawa kecil membaca satu persatu komen-komen di ruangan komen yang diberikan oleh penonton.  Rata-rata penonton mengecam tindakan lelaki yang agak keterlaluan mengugut seorang perempuan dengan stereng lock.  Aku rasa lelaki ini sudah terjun KLCC bila satu Malaysia telah sepakat menyelar tindakannya itu.  Hari tu bukan main buli aku sekarang satu Malaysia sedang buli emosi kau.   Padan muka kau!! 

Wednesday, November 19, 2014

Yes, Ma'am versi novel bercetak


Akhirnya......
Boleh order online di laman web Penerbitan Kaki Novel.
Kalau nak order direct dari saya boleh pm di alamat emel: akubintangbiasa@gmail.com


Friday, November 14, 2014

Yess Ma'am : Part 2 : Bab 9

Bab 9
“Mas, saya dah siapkan senarai barang kering yang awak kena order dari supplier.”    Aryana letak senarai bahan-bahan mentah yang perlu dipesan oleh Mastura  di tepi mesin wang. 
Mastura yang baru selesai memulang duit baki kepada pelanggan merenung Aryana dengan pandangan mencerun tajam.  Wajah Aryana ditenung garang silih berganti dengan senarai barang  di atas meja kaunter. 
“Lan suruh saya tolong awak periksa stok-stok bahan kering.  Ini saya dah siapkan list.  Nanti bolehlah awak hantar pada supplier.”  Tutur Aryana senang.  Asalnya kerja-kerja memeriksa stok bahan kering bukanlah termasuk dalam tugas hakikinya, tetapi sebab Razlan dah suruh, dia buat jugaklah. 
Sejak dua menjak ini Razlan agak sibuk dengan tugasnya sebagai CEO di Bersatu Teguh Bercerai Roboh Properties sehingga jarang ada waktu untuk ke mari.  Sebenarnya Aryana baru tahu yang Razlan juga adalah CEO di Bersatu Teguh Bercerai Roboh Properties.   Dia memang tak sangka lelaki simple seperti Razlan merupakan anak lelaki Tan Sri Ahmad Bakhtiar.  Rupa-rupanya restoran ini dibuka adalah sekadar tempat untuk Razlan menghilangkan stress dengan kerja pejabatnya sahaja. 
Chef Mior pula sibuk memantau kerja-kerja mengubahsuai cawangan terbaru House of Grill di Wangsa Maju jadi semua hal berkaitan dengan restoran di sini diuruskan oleh Mastura selaku orang kepercayaan Razlan.  Terasa bukan senang nak urus semua benda, bagi meringankan bebanan tugas yang ditanggung oleh Mastura, Razlan telah meminta Aryana untuk membantu Mastura.  Bagi permulaan, Aryana cuma diminta sekadar memeriksa stok bahan kering dan basah di dalam pantry sahaja. Lain-lain benda Mastura yang uruskan.  Lagipun Mastura sudah biasa untuk deal dengan supplier. 
“Ehh…Kau ni dah kenapa nak arah-arahkan aku pulak ni.  Kau bos ker.” 
Jerkahan Mastura yang tidak semena-mena itu membuatkan Aryana terkebil-kebil.  Beberapa pasang mata di dalam restoran ini semua terarah ke kaunter bayaran.  Pekerja-pekerja di dapur turut sama bergegas apabila mendengar suara Mastura tiba-tiba memetir.
Aryana pandang wajah Mastura yang macam nak telan dia hidup-hidup.  “Tak adalah.  Lan bagitahu saya, kalau pasal deal or order bahan dari supplier tu kerja awak.  Jadi saya bagilah senarai yang dah buat ni.”  Balas Aryana dalam nada yang terkawal walaupun saat ini dia memang dalam keadaan bengang  yang amat sangat. 
“Ehhh…Kau tak nampak ker aku tengah sibuk dengan customer nih.  Supervised budak aku kena buat.  Jaga kaunter aku kena buat.  Order barang aku kena buat.  Habis kau buat apa jer.  Sia-sialah Lan gajikan kau kerja dekat sini kalau semua benda tetap juga kau nak suruh aku buat.”  Hambur Mastura lagi.
Mata Aryana terasa panas.  Ada titisan halus menitis dari tubir matanya.  Aryana malu sangat bila dicerca di hadapan orang ramai macam ni.  Macam dia ni tak ada maruah ajer.  “Mas, saya tak kisah tau kalau awak nak saya tolong order bahan-bahan mentah ni semua tapi tak perlu la jerit-jerit dengan saya macam tu.  Saya bukan pekak.”  Tutur Aryana terus berlalu masuk ke dalam pejabatnya.  Di situ dia menangis sepuas-puasnya.  Sudah dikatakan, hati wanita bergelar ibu tunggal ini sensitif.  Sedangkan dijentik sikit pun air mata boleh menitis hiba, inikan pula terkena tikaman kata-kata pedas lagi menyakitkan hati itu.  Sekejap lagi banjirlah tempat ini!

Entah kenapa dalam keadaan sedih-sedih begini, yang terlintas di kepala adalah Ilham.  Aryana keluarkan telefon dari dalam beg tangan.  Dalam keadaan tersedu sedan dia mencari nombor telefon Ilham di dalam direktori. 
“Hello abang…”  Ucap Aryana.  Tisu dipekup pada batang hidup.  Sekuat tenaga dia menghembus hingus yang sudah mula bersarang di rongga hidung. 
“Yana….Kenapa nih???”  Ilham menyoal risau. 
“Abang…Yana sedih sangat hari ini.”  Ujar Aryana. 
“Kenapa nih.  Yana cakap dengan abang.”
“Yana baru lepas kena maki ni abang.”  Aryana mula mengadu domba.
“Kena maki?  Siapa yang maki Yana.  Berani orang tu yer maki-maki Yana.”  Ilham mula tunjuk emosi.  Terasa dia juga turut sama merasai kesengsaraan yang dialami oleh Aryana kini.  Ini bukti.  Jiwa yang sudah cukup sebati sukar untuk dipisahkan.
Aryana kesat air mata.  Hingus dihembus lagi.  “Adalah minah satu tempat kerja dengan Yana nih.  Yana sedih la abang.  Yana tak pernah pun buat salah dengan dia kenapa dia mesti nak marah-marah Yana.  Depan customer pulak tu.”  Adunya lagi. 
“Yana, Yana jangan risau.  Abang akan cuba dapatkan peguam yang terbaik untuk Yana.  Kita buat saman malu.  Suka-suka hati ajer.”  Balas Ilham tunjuk gaya hero.
“Saman?”  Aryana pelik.
“Yerlah.  Saman tetap saman!!!”  Ilham seperti sudah nekad.  Dia tidak boleh terima andai Aryana dimalukan sedemikian rupa. 
“Abang ni dah kenapa melebih-lebih pulak. Takkanlah benda macam ni pun nak panggil lawyer sampai nak saman menyaman ker.  Ingat hakim dekat mahkamah tak ada kerja lain ker?”  Tutur Aryana memindahkan rasa bengang dengan Mastura tadi kepada Ilham pula.  Memang benganglah kan kalau tengah stress-stress macam ni ada orang buat lawak bodoh yang tak lawak tu!
Ilham tahan rasa nak ketawa bila mendengar suara bengkek Aryana.  “Alahh…Abang prihatin dengan Yana jer.  Tapi abang pelik la, sebab kena maki sikit macam ni pun Yana nak meleleh-leleh air mata dah kenapa.  Setahu abanglah Yana ni iron lady.  Payah nak mengalir air mata.”
“Yerlah.  Yana sedihlah.  Yana ni baru lepas kena tinggal dengan laki tiba-tiba ada orang marah-marah Yana macam tu.  Yana ingat boleh lah dapat kawan baru tapi belum apa-apa dah kena sembur.”
Dahi Ilham berkerut memandang telefon bimbit di tangan.  Ehh…eh…Kau ni kan Yana dalam mengadu domba sempat lagi perli-perli aku.  Ilham berkata sendiri.
“Apa abang cakap tadi??!”  Aryana bersuara nyaring di hujung talian.
Ilham tampar mulut sendiri.  Dia cakap kuat ker tadi?  “Dah lah.  Tak payah nak sedih-sedih sangat.  Kalau rasa tak tahan kerja dekat situ berhenti ajer kerja.  Selesai masalah.”  Akhirnya Ilham memberi jalan penyelesaian.
Aryana gigit bawah bibir. 
“Tak pun, mari sini kerja dengan abang.  Tempat PA abang ni masih kosong lagi.”  Cadang Ilham dengan senyuman nakal.
“Jangan nak ambil kesempatan di atas kesakitan yang Yana tanggung sekarang yer abang.”  Pesan Aryana. 
“Encik Ilham meeting nak mula dah.” 
“Abang ada meeting yer.” Aryana menyoal apabila dia mendengar suara Kak Midah.
“Haah.”  Jawab Ilham.
“Okey tak apalah.  Abang pergilah meeting.” 
“Yana dah okey ke ni.  Kalau tak okey abang sanggup tak pergi meeting semata-mata untuk ‘okey’kan Yana.”  Bersungguh Ilham mahu membantu.
“Yana dah okey.  Rasa dah puas hati dah dapat luah dengan abang walaupun hakikatnya tak membantu apa pun.”  Balas Aryana.
Ilham mengekek ketawa.  “Okeylah kalau macam tu.  Abang masuk meeting dulu.  Babai.  Assalamualaikum.”
“Waalaikummusalam.” 
Aryana pandang sepi telefon yang dah mati.  Tanpa sedar bibir menyuring senyum.  Nasib baik ada best friend tau!

“Awak…” 
Sapaan di ambang pintu pejabat membuatkan Aryana tersentak.  Senyuman terukir dibibir hilang.  Aryana simpan kembali telefon bimbit. 
“Lan”  Aryana sekadar menyapa kembali bila Razlan datang menghampirinya.  Terkejut juga bila tengok Razlan tiba-tiba ada di sini.  Biasa waktu begini lelaki ini sepatutnya berada di pejabat.  Untung jadi bos-bos ni.  Boleh berada di mana-mana dan bila-bila masa tanpa ada yang marah. 
“Apa dah jadi tadi nih.  Betul ker Kak Mas marah awak depan pelanggan.”  Razlan terus bertanya.  Sebaik tiba tadi, heboh di dalam dapur tentang pertelingkahan yang terjadi antara Aryana dan Mastura.
Aryana menggeleng perlahan.  Dia ukir senyum kelat.  “Tak ada apalah.  Mungkin salah saya jugak kut tadi tu.  Dia tengah sibuk-sibuk layan pelanggan saya pergi letak list barang depan dia.  Saya okey.  Awak jangan risau okey.”  Tutur Aryana tidak mahu mengeruhkan keadaan.  Ikut hati memang bengang sangat dengan Mastura, tetapi disebabkan niatnya adalah untuk berkerja dan bukan nak mencari musuh, tidak mengapalah.  Biarlah orang buat kita asal kita tak buat orang. 
“Tapi Sarah cakap awak menangis tadi.  Tengok mata awak merah.  Sembab pulak tu.”  Razlan memandang wajah Aryana. 
Pandangan lembut Razlan buat Aryana jadi tak selesa.  Saban hari layanan Razlan pada dia semakin pelik.  Caring lebih pula.  “Ngeee…Budak Sarah ni kan.  Saya dah pesan pada dia banyak kali tadi tak payah nak kecoh-kecoh.  Tak ada apa-apa, awak.  Nangis sikit ajer.  Perempuan…Biasalah…Tapi sekarang saya betul-betul dah okey.  Serius.”  Tutur Aryana bersungguh.
Razlan mengangguk-angguk kemudian dia berdehem.  “Tadi tu awak cakap dengan siapa?”  Soalnya teragak.
“Bila?”  Soal Aryana sepatah.
“Dalam telefon tadi?  Saya terdengar perbualan awak tadi.  Awak cakap dengan siapa.  Abang awak?”
Aryana ketawa kecil.  “Abang?  Bukanlah.”
“Habis tu dengan siapa?”
“Tadi tu saya cakap dengan bekas suami saya.”  Aryana menjawab jujur.
“Hah…”  Mulut Razlan sudah ternganga.
Aryana angguk kepala.  “Ya.  Bekas suami saya.”
“Awak tak pernah bagi tahu yang awak pernah berkahwin.”
“Awak tak pernah tanya.”
“Okey, kalau dia bekas suami awak kenapa awak perlu bercakap dengan dia.”
Aryana makin pelik.  Eh…Suka hatilah kan nak cakap dengan siapa pun.  Sah-sah bil telefon aku yang bayar.  Getus Aryana sekadar di hati.  “Awak…tak boleh ker kalau saya nak bercakap dengan bekas suami saya.  Lagipun saya dah terbiasa setiap kali kalau saya tengah ada masalah memang dengan dia saya akan kongsikan. Lagipun masa saya tengah emosi tadi, saya cuma ingat dia sorang ajer.”
“Errmm…”  Razlan hilang kata.  Dia mengeluh perlahan.    
“Lan.”  Panggil Aryana pendek.
  “Apa dia?”
“Saya nak mintak sangat dengan awak, tak payahlah nak besar-besarkan isu ni ya.  Saya pun malas nak ambil port sangat dengan hal tadi.”  Pinta Aryana.
Razlan sekadar mengangguk.  “Sambung kerja.”  Ujar Razlan sebelum meninggalkan Aryana.
“Yes boss!!” 




Tuesday, November 4, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 8

Bab 8
“Okey abah.  Good night abah.”  Adib dan Adalia sama-sama bersalaman  dengan abah mereka.  Aryana sekadar memerhati.  Terasa sayu pula hati.  Selesai good night kiss antara anak dan bapak Aryana arah Adib dan Adalia masuk ke dalam rumah. 
Ilham menyorot pandang langkah Adib dan Adalia sehingga masuk ke rumah sebelum pandangan itu terarah pada Aryana yang bersandar di tepi pagar. 
Dia bersandar malas pada badan Alphad.  Kedua belah tangan dimasukkan ke dalam kocek.  Kepala tercari-cari ayat yang sesuai bagi menceriakan suasana.  Mood Aryana nampak baik.  Gaya tidak macam akan ‘menyinga’ malam ini.  “On time.  10.00 malam.”   Ilham bersuara.  Kening menari ronggeng sambil bibir menyuring sengih nakal. 
Aryana ketawa kecil.  Buat pertama kali, Ilham berjaya menepati waktu untuk menghantar Adib dan Adalia pulang.  Selalunya terbabas sahaja.
“Kenapa?”  Aryana menyoal pelik apabila Ilham memandangnya tidak berkelip. 
“Yana senyum.  Akhirnya.  Akhirnya selepas lima bulan, Yana senyum dengan abang balik.”  Ilham bersuara tidak percaya.
Mata Aryana juling ke atas.  Kepala menggeleng-geleng perlahan.  “Tak payah nak drama sangat boleh tak?”  Ujarnya meluat. 
“Yana, abang tahu apa yang jadi pada kita tak boleh nak ubah dah tapi kita masih boleh berkawan kan.  Demi Adib dan Baby.”  Ilham mengharap.
 Aryana pandang mata redup Ilham.  Eh…Macam ulang ayat Mak Ngah pulak.  Perlahan dia mengangguk.  Satu hari suntuk dia cuba hadam nasihat Mak Ngah semalam.  Rasanya dia berjaya.  Gaduh-gaduh lama-lama pun bukan boleh dapat apa pun.  Balik-balik dia yang stress.  Lebih baik berdamai demi anak-anak. 
“Okey.  Demi Adib dan Baby.”  Ujar Aryana rendah. 
Ilham mengangguk.  Untuk seketika dia dan Aryana sama-sama berbalas senyuman.  Malam ini, selepas hampir lima bulan berpisah, perjanjian damai termeterai akhirnya. 

Sebelum tidur, Ilham terasa mahu menelefon Mak Ngah.  Lantas tangan mencapai telefon bimbit. 
“Hallo Mak Ngah.”
“Hah Am.  Kenapa malam-malam telefon Mak Ngah nih.”
“Mak Ngah, Am nak ucap terima kasih pada Mak Ngah sebab dah tolong slow talk dengan Yana.  Mak Ngah pun tahu kan Yana dengan Am tu macam mana lepas selesai kes cerai kat mahkamah tu.  Dah puas Am cuba berlembut tapi dia tetap dengan keras kepala dia.  Hari ni baru nampak Yana cool sikit.  Yang ajaib siap boleh senyum tu Mak Ngah.  Dah tak kekwat macam selalu.”  Ilham galak bercerita. 
“Mak Ngah tolong sikit jer yang lebih kalau kamu rasa masih sayang Yana kamu usahalah sendiri.”
“Faham Mak Ngah.  Terima kasih Mak Ngah, sebab Mak Ngah percaya Am.  Apa yang jadi sebelum ni semua di luar kawalan Am Mak Ngah.  Am yang salah sebab terlepas cakap.  Kalau masa boleh diundur Am takkan senang-senang lafaz talak Mak Ngah.”
“Yerlah Am.  Dah seratus dua puluh kali kamu asyik ulang benda yang sama ni ajer.  Yang dah lepas tu biarkan.  Tak payah nak kesal.  Nasi dah pun jadi bubur.  Apa yang penting sekarang ni,  adalah usaha kamu untuk bagi Yana percaya pada kamu balik.”
“Insyaallah Mak Ngah.  Am akan cuba buat yang terbaik.  Am sayang Yana.  Am sayang anak-anak Am.  Am nak kami macam dulu kembali.  Mak Ngah tahu kan, kasih sayang cinta Am memang untuk Yana dengan anak-anak ajer Mak Ngah.  Tanpa Yana, tanpa anak-anak rasa tak sempurna Mak Ngah….. Yana tu segala-galanya untuk…”
“Ilham…Ilham…”  Samsiah dari hujung talian cepat memotong sebelum Ilham merapu lebih panjang lagi.
“Ya Mak Ngah.” Sahut Ilham.
“Am boleh tak kamu sambung cerita Cinta Agung kamu dengan Yana ni esok siang ker, minggu depan ker…Mak Ngah dah mengantuk ni.  Kamu tahu tak sekarang ni dah pukul berapa.”  Balas Samsiah geram. 
“Sorry…Sorry Mak Ngah.  Assalamualaikum Mak Ngah.” 
Ilham rebah badan atas katil empuk selepas menamatkan talian dengan Mak Ngah.  Lengan diletakkan di atas dahi.  Cinta agung aku dengan Yana?  Ilham tergelak kecil dengan kata-kata Mak Ngah tadi.  Seketika ketawa kecil mati.  Ilham jadi serius pula.  Ya Mak Ngah.  Cinta Agung Part II baru sahaja bermula.  Yeahh!!!