Thursday, November 29, 2012

Kupilih Hatimu 11

Bab 11


Intan melangkah perlahan-lahan cuba merapati wanita tua itu. Mak Wan sedang sibuk di dapur. “Mak Wan.”Jerkah Intan dari belakang.

“Intan!! Jangan kejutkan Mak Wan macam tu. Nasib baik Mak Wan tak ada sakit jantung tau.” Marah Mak Wan. Lengan Intan dipukul-pukul. Dadanya diurut laju.

Intan sekadar mengekek ketawa meliha ekspresi muka Mak Wan yang terkejut itu.

“Alalala… Comel lah Mak Wan ni bila marah. Tapi Mak Wan tak pulak melatah kan.” Ujarnya seraya menyandar tubuh di cabinet dapur.

Mak Wan sekadar menggeleng perlahan dengan sikap Intan yang cukup gemar mengejutkannya. “Puan dah tidur ker?” Mak Wan sekadar menyoal.

Intan mengangguk kepala. “Dah. Tadi lepas makan ubat, dia sembang-sembang kejap dengan Intan lepas tu dia suruh Intan keluar. Mengantuk katanya. Nak tidur.” Terang Intan. Dia menarik tin biskut dan dibawa ke peha. Dibuka, lalu biskut empat segi Jacobs itu dibawa masuk ke dalam mulut.

“Macam mana kerja dekat sini?” Mak Wan menyoal lagi. Ingin mengetahui perasaan gadis ini yang sudah hampir sebulan berkerja di sini.

“Bolehlah….” Intan menjawab lemah. Siku diletak di atas tin biskut. Dia menunggu kunyahan terakhir biskut empat segi habis di dalam mulutnya sebelum menyambung lagi untuk berkata-kata.

“Huh… Tapi kalau bukan sebab tak ada siapa-siapa dekat sini tak kuasa Intan nak terus kerja dekat sini. Mak Wan tahu, Puan tu semua yang Intan buat, semua tak kena. Itu tak kena, ini tak kena. Lepas tu Encik Imran pun sama. Ada jer benda yang dia nak complaint.” Intan mengadu. Walaupun Puan Rahimah tidak pernah marah-marah tetapi ada sahaja sikap wanita itu buat Intan tidak senang. Puan Rahimah ada sahaja modal untuk menempelak setiap kerja yang dia lakukan. Alah.. Anak lelakinya juga begitu. Pendek kata setiap kerja yang Intan buat mesti akan mendapat teguran dan kritikan. Tak pernah sikit pun kerjanya itu dipuji walaupun dia sudah merasakan segala tugas dan arahan yang diberikan itu telah dilakukan dengan cukup baik.

“Mak Wan harap Intan sabar yer. Puan memang macam tu, tapi hati dia baik. Mak Wan dah berpuluh tahun kerja dekat sini. Dari Imran belum lahir lagi. Lagipun Mak Wan tau, Intan boleh buat. Kita sama-sama tolong Imran ya. Semenjak ayah dia meninggal, umi dia jadi macam tu, semua tanggungjawab dalam rumah ni dia yang pikul. Dengan syarikat lagi. Mak Wan kadang-kadang kesian juga tengok Imran.” Ujar Mak Wan. Bahu Intan ditepuk lembut.

Intan menoleh ke arah Mak Wan.

“Encik Imran ada berapa orang adik beradik?” Intan bertanya.

“Kalau yang satu emak satu ayah, Amir jerlah.” Beritahu Mak Wan.

Intan tersenyum. “Owhhh… Yang gambar dia dekat frame depan tu ya.” Ujarnya masih lagi tersenyum. Sudah lama dia berhajat mahu bertanya siapakah gerangan anak muda yang fotonya banyak tersimpan di atas almari perhiasan di ruang tamu. Tapi awal-awal Intan dapat mengangak pasti salah seorang ahli keluarga di dalam banglo ini. Cuma mahu bertanya siapakah nama pemuda itu Intan malu. Nanti kata dia cuba menggatal pulak.

“Megat Amir Haikal. Sekarang dia tak ada dekat sini. Dia kerja dekat London.” Ujar Mak Wan tanpa diminta.

Intan mengangguk kepala. Tiba-tiba dia menjadi teringat pula pada Micheal. Micheal juga bekerja di London seperti Megat Amir. Ah.. Rindulah pada lelaki bermata sepet itu. Apa khabar agaknya dirinya sekarang. Selepas sahaja peristiwa Mak Su mematahkan sim card dan mengambil telefon bimbit pemberian Micheal dahulu, Intan benar-benar telah terputus hubungan dengan lelaki bermata sepet itu. Menyesal pula kerana terlalu malu untuk meminta nombor telefon Micheal dari Auntie May seperti yang disarankan oleh Nadia.

Intan mengeluh perlahan. Pandangannya dihalakan ke luar tingkap dapur. Dah sebulan dekat sini, bukan dengan Micheal sahaja dia terputus hubunga. Dengan Nadia juga. Dia langsung tak kirim khabar berita kepada Nadia.

“Intan.” Mak Wan menepuk bahu Intan perlahan.

Teguran Mak Wan membuatkan Intan terpinga-pinga. Kemudian dia menarik sengih.

“Megat Amir tu taknak balik kerja dekat sini ke Mak Wan. Ya lah. Bapak dia tinggalkan syarikat besar untuk dia dengan Encik Imran. Rugilah kalau dia tak nak kerja dekat syarikat sendiri . Jadi bos.”

“Itulah yang selalu buat Puan Rahimah membebel. Entah apa yang dicari dekat London tu pun tak tahu. Lepas ajer habis belajar, taknak balik Malaysia. Balik Malaysia sebab nak sambut raya ajer.”

“Kekasih dia orang putih kut Mak Wan.” Tebak Intan bersama sengih

“Entahlah.” Mak Wan menjongket bahu. Perbualan yang rancak seperti terhenti apabila masing-masing sibuk membuat kerja. Intan membantu Mak Wan di dapur menyediakan bahan-bahan untuk memasak sarapan untuk pagi esok.

Intan duduk di hadapan Mak Wan. Dia mengambil bekas berisi ikan bilis. Ikan bilis itu dibelah bahagian tengah untuk membuang isi perutnya. Melihat bahan-bahan masakan yang ada di atas meja, rasanya menu sarapan pagi esok tentu sahaja nasi lemak istimewa Mak Wan.

“Tapi kan Intan, arwah Tuan Megat dulu ada kawen muda.” Tiba-tiba Mak Wan mula membuka rahsia. Suaranya sedikit berbisik.

Mata Intan terbeliak. Mulutnya ternganga. “Hahh…” Ingatkan perbualan tentang ahli keluarga Encik Imran sudah tamat. Rupanya ada lagi rahsia yang dia tidak tahu.

“Imran dengan Amir ada seorang adik perempuan. Anak ayah dan emak tiri mereka. Puteri Farhana. Kalau tak silap Mak Wan sekarang Nana baru tingkatan empat.” Cerita Mak Wan bermula.

Intan menukar posisi duduknya. Dia mengambil tempat duduk disebelah Mak Wan agar mudah untuk dia mendengar kata-kata Mak Wan yang seakan-akan sedang berbisik itu. “Habis adik perempuan dia dekat mana. Tak duduk sini ker?” Intan bertanya, turut sama berbisik. Tidak sabar mahu mendengar cerita dari Mak Wan lagi.

Mak Wan memandang Intan. Dia bangun dari duduk dan pergi ke cabinet dapur untuk membancuh Milo untuk Imran. Waktu-waktu begini adalah waktu untuk Imran menikmati Milo kegemarannya itu.

Intan mengekori Mak Wan. Dia masih lagi menanti dengan sabar cerita yang seterusnya daripada Mak Wan.

“Farhana, Imran hantar masuk asrama anak yatim selepas Tuan Megat dan ibu Farhana meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.” Mak Wan menyambung.

Intan berdicit. “Kejamnya…” Getusnya.

“Puan tak nak panggil Farhana tinggal di sini ker?” Dia menyoal.

“Puan tak cakap apa. Mungkin Puan masih terasa hati lagi dengan arwah mama Farhana yang merampas suami dia. Yerlah. Dulu arwah mama Farhana cuma setiausaha kepada Tuan Megat jer. Tuan Megat kahwin senyap-senyap dengan mama Farhana dekat sempadan. Tu yang Puan marah sangat. Puan tuduh Cik Marlia tu perampas suami dia.

Puan layan Cik Marlia dulu baik sangat. Cik Marlia tu pun Puan dah anggap macam adik dia sendiri. Tapi Cik Marlia boleh merampas Tuan Megat. Perkahwinan diorang tu tak ada siapa pun yang tahu. Pandai mereka sorok. Macam tak ada apa-apa. Sehinggalah semasa Tuan Megat dan Cik Marlia kemalangan dan meninggal dunia. Masa tu la semua perkara ni terbongkar. Puan kecewa sangat.” Mak Wan mula memasuk episod bagaimana skandal arwah Tuan Megat Husaini dengan arwah Cik Marlia dahulu.

Intan mendengar dengan penuh kusyuk. Sambil itu dia menangguk-angguk seperti faham bagaimana keadaan Puan Rahimah waktu itu. Yerlah…. Suami kena rampas oleh orang yang paling dipercayai. Haruslah sentap tak habis!

“Takkan tak ada seorang pun yang tahu arwah Tuan Megat ada skandal dengan setiausaha dia.” Intan cuba mengorek lagi.

“Imran. Imran seorang ajer yang tahu. Tapi dia tak sanggup nak beritahu umi dia tentang rahsia perkahwinan Tuan Megat dengan Cik Marlia. Imran tak mahu Puan tertekan. Yerlah kan Tuan Megat mula pandai mencari perempuan lain selepas Puan lumpuh. Inilah sebabnya Imran tak pernah berbaik dengan arwah Tuan Megat.” Ujar Mak Wan lagi.

Intan mengeluh. Samarinda betul konflik keluarga mereka ini.

“Tapi tu kan dah cerita lama Mak Wan. Lagipun Farhana tak salah. Kenapa mesti asingkan dia dari keluarga dia sendiri. Encik Imran pun tak bolehlah buat macam tu. Farhana tu adik dia juga. Farhana tetap juga ada hak dalam rumah ni.” Intan memberi pendapat.

“Entahlah Intan. Mak Wan pun tak faham kenapa Imran jadi keras kepala sampai macam tu sekali. Tuan Megat dah tak ada pun dia masih lagi simpan perasaan marah.” Ujar Mak Wan bernada kecewa dengan sikap Imran.

“Orang-orang dalam rumah ni pun tak pernah bangkitkan soal Farhana. Farhana macam tak pernah wujud dalam keluarga ni.” Sambung Mak Wan lagi.

“Habis tu Farhana memang tak pernah duduk sinilah?”

Mak Wan sekadar menggeleng.

“Kesiannya.” Ujar Intan sepatah. Terbit rasa simpati pada Puteri Farhana. Walaupun dia tidak mengenali apatah lagi bersua muka dengan Puteri Farhana, Intan yakin gadis itu pasti sengsara. Intan juga anak yatim piatu. Dia faham bagaimana menjadi sebatang kara walaupun hakikatnya masih ada ahli keluarga lain yang boleh menjadi tempat untuk menumpang kasih sayang.

“Intan tolong Mak Wan hantarkan Milo ni pada Imran Lutut Mak Wan sakitlah. Tak larat nak naik tangga.” Pinta Mak Wan menolak mug berisi Milo panas itu kepada Intan.

“Ok.” Intan menurut. Di dalam perjalanan ke bilik Imran dia berfikir bagaimana caranya untuk melembutkan hati-hati penghuni rumah ini. Dia bukan menyibuk, dia mahu lakukan tanggungjawab sosial!

“Assalamualaikum. Boleh saya masuk.” Intan memberi salam seterusnya meminta keizinan untuk memasuki ke dalam bilik lelaki itu.

“Masuklah.” Ujar Imran dari dalam.

Intan masuk ke dalam bilik. Matanya mengitari setiap inci bilik Imran. Kalau ikut skala pemarkahan Intan boleh berikan 9/10 kepada bilik lelaki ini. Kemas. Semenjak berkerja di sini dia tidak pernah lagi masuk ke dalam bilik Imran. Hanya Mak Wan sahaja yang diberi mandate untuk masuk ke sini. Imran mempunyai sifat berjaga-jaga yang agak keterlaluan. Mak Wan pernah berpesan kepada Intan agar jangan cuba mengusik barang-barang milik Imran tanpa kebenarannya. Kalau nak lihat lelaki ini bertukar menjadi Incredible Hulk, Intan boleh cuba. Itu yang telah Mak Wan pesan berkali-kali.

“Encik Imran.”

“Yer.” Imran menjawab tanpa mengangkat muka. Dia masih lagi tekun mengadap kerja yang sengaja di bawa pulang ke rumah. Laporan ini harus dibaca dan disemak. Imran tidak mahu ada kesilapan.

Intan menelan air liur. Imran nampak serius. Sangat serius. Dalam tempoh masa sebulan dia di sini, Intan telah mengklasifikasikan Imran sebagai lelaki yang sangat komited dengan kerja, tidak mempunyai kehidupan sosial dan juga tidak mempunyai teman wanita. Kalau sudah asyik kerja sahaja yang ada di dalam kepala pastilah kehidupan sosial lelaki ini ditahap yang sangat menyedihkan. Sudah berumur 32 tahun tetapi masih lagi hidup single adalah lebih menyedihkan lagi. Owhh… Intan begitu memberi perhatian kepada lelaki Shrek ini.

“Awak nak apa?” Ujar Imran. Mengangkat kepala. Cermin mata dilurutkan. Dia memicit pangkal hidung.

Intan tersengih. “Tak ada apa. Ni Mak Wan suruh hantar air Milo ni tuk Encik Imran.” Ujar Intan yang masih lagi menatang dulang berisi mug Milo panas Imran.

“Letak ajer dekat situ.” Arah Imran. Telunjuknya menghala ke hujung meja kerja.

Intan masih lagi tercegat.

“Ada apa-apa lagi?” Soalan dari Imran itu membuatkan Intan menjadi terpinga. Cepat-cepat dia menggeleng.

“Hah.. tak ada apa-apa.” Ujarnya sedikit gagap.

“Kalau tak ada apa-apa boleh tak awak keluar. Saya ada kerja nak buat ni.” Imran menghalau.

Intan buat muka. “Poyo!!” Getusnya perlahan apabila tangannya mula memulas tombol pintu.

“Intan.” Panggil Imran.

“Hah.” Intan cepat berpaling semula.

“Esok umi ada temujanji dengan doktor. Pastikan awak siap awal. Saya hantar.” Tutur Imran bernada arahan.

“Yerlah.” Intan menjawab malas. Terus dia berlalu meninggalkan lelaki Shrek itu.





Kupilih Hatimu 10

Bab 10


Intan berdiri tegak. Berhadapan dengannya ada seorang wanita di dalam lingkungan separa abad duduk di atas kerusi roda dengan kain selimut menyelimuti bahagian kakinya. Dari renungan wanita itu, Intan tahu yang kedatangannya di sini tidak dialu-alukan. Wanita ini memandangnya seperti mahu menelan dia hidup-hidup.

Mak Wan telah meninggalkan Intan dengan wanita ini selepas tamat sessi perkenalan kami berdua. Ini Puan Rahimah. Ibu kepada Megat Imran. Menurut Mak Wan, Puan Rahimah sudah hampir lima tahun lumpuh. Puan Rahimah lumpuh akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya. Mak Wan tidak bercerita banyak tentang Puan Rahimah. Cuma serba sedikit sahaja. Mak Wan kata bila dah lama bekerja dengan Puan Rahimah nanti, Intan akan tahu juga bagaimana sifat wanita ini.

“Intan boleh jaga orang lumpuh macam saya ni?” Puan Rahimah mula menyoal gadis dihadapannya ini. Ketika Mak Wan memberitahunya lewat subuh tadi yang Imran ada membawa seorang gadis untuk menjaganya Puan Rahimah menjadi sedikit curiga. Imran senang-senang sahaja membawa gadis entah dari mana datang ke rumah. Lagipun Puan Rahimah tidak suka Imran menggajikan mana-mana pembantu untuk membantu urusan sehariannya. Walaupun dia lumpuh, dia masih lagi boleh melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Cuma bila perlu, Mak Wan ada. Mak Wan boleh membantu.

“Bo…bo…boleh.” Intan menjawab. Sedikit gagap.

“Semua yang Imran pernah bawak datang sini pun mula-mula cakap boleh, tapi bila dah mula kerja semua tak boleh. Itu tak boleh ini tak boleh. Itu tak sanggup ini tak sanggup. Lepas tu lari.” Puan Rahimah mula membebel. Dia sudah tidak percaya lagi dengan mana-mana pembantu yang Imran gajikan untuk menjaga dirinya. Mana ada budak-budak muda yang sanggup bekerja menjadi pembantu rumah dan menguruskan orang lumpuh sepertinya. Sebelum Intan ada tiga orang gadis mudah yang Imran upah telah melarikan diri. Ada tu, tak sampai seminggu sudah cabut. Semua tidak tahan!!

Intan menarik nafas. Mencari-cari jawapan yang baik yang boleh memuaskan hati Puan Rahimah yang begitu serius bila menyoal. “Saya akan cuba buat apa yang saya termampu puan. Lagipun saya datang sini memang nak berkerja. Mencari rezeki puan.” Jawabnya penuh hemat. Rasanya ini jawapan paling selamat.

Puan Rahimah menarik senyum. “Kalau macam tu baguslah.” Ujarnya mendatar.

Intan menarik nafas lega apabila ada sedikit senyuman kecil dari bibir Puan Rahimah.

“Yang awak tercegat lagi ni kenapa. Pergi keluar. Kalau saya nak apa-apa saya telefon dekat bawah. Takkanlah 24 jam awak nak tengok saya. Pergi buat kerja apa yang patut dekat bawah tu. Jangan tahu nak makan gaji buta ajer.” Kata Puan Rahimah. Tangannya mula menggerakkan kerusi roda dan menuju ke balkoni bilik untuk menghirup udara segar pada waktu pagi.

Intan mengerut dahi. Kemudian dia meninggalkan Puan Rahimah seperti yang diminta. Intan keliru. Dia ni kena menjadi orang gaji atau menjadi pengasuh.



“Encik…Encik…” Intan cuba menahan Imran yang baru hendak memasuki perut kereta.

“Ada apa ni? Saya dah lambat ni.” Kata Imran terkocoh-kocoh. Jam tangan ditala pada Intan menunjukkan dia benar-benar sudah terlambat.

“Encik cakap saya kena jadi orang gaji. Dah kenapa pulak saya kena menjaga emak Encik pula.” Intan bertanya. Semalam ketika di dalam perjalanan lelaki ini hanya berkata yang dia perlu melakukan tugas-tugas biasa seperti orang-orang gaji yang lain disamping menemani ibunya bila perlu sahaja. Tapi Imran tidak pula memaklumkan yang ibunya seorang wanita yang tidak mampu berjalan. Susahlah macam ni. Dia bukan pernah menjaga orang lumpuh. Dia bukan jururawat!

Imran merenung wajah Intan. Ada sedikit bimbang terlukis pada riak wajah gadis itu. Ini mesti awal-awal lagi umi sudah cuba psycho Intan. Fikir Imran yang sudah masak dengan perangai umi. Umi akan berusaha ‘mendera’ mana-mana gadis yang dia bawa untuk menjadi pembantu umi sehingga semua gadis-gadis itu lari kerana tidak sanggup meneladani umi. Umi selalu beranggapan dia mampu melakukan semuanya sendiri. Di dalam keadaan yang terbatas mana boleh umi melakukan semua perkara seorang diri. Nak menukar pakaian pun umi perlukan Mak Wan untuk membantu. Kerana itu Imran menggajikan seorang pembantu yang boleh membantu umi . Mak Wan dah tua. Mana larat. Pernah terjadi satu insiden di mana ketika Mak Wan cuba meletakkan umi di atas katil mereka berdua sama-sama jatuh ke lantai kerana Mak Wan tak mampu nak menampung berat umi.

“Memang awak akan berkerja sebagai orang gaji saya di rumah ni. Dalam masa yang sama awak juga perlu menjaga umi saya. Ada apa-apa masalah?” Imran menyoal.

Intan berdecit. “Tak adalah. Encik tak cakap pun, yang saya kena jaga orang yang yang berkerusi roda.” Luah Intan.

“Kenapa kalau umi saya berkerusi roda? Ada masalah?” Soal Imran lagi.

Intan mengeluh. “Tak adalah. Tapi saya bukan jururawat.”

“Umi saya tak mahu jururawat yang jaga dia. Lagipun umi saya tak sakit. Dia cuma tak boleh berjalan. Itu sahaja.” Imran cuba menerangkan keadaan sebenar uminya.

“Maknanya saya kena buat semua ker. Maksud saya, mandi, basuh berak. Saya jugak ker?” Intan menyoal.

Imran hampir tergelak mendengar soalan polos dari Intan. “Apa guna saya bayar awak kalau awak tak buat semua tu.” Ujarnya seperti mahu menyakat.

Intan cepat-cepat menggeleng. “Ngee….Tak mahulah saya.”

“Kalau awak tak kerja dekat sini awak nak kerja dekat mana. Awak kena ingat, awak ada hutang ubat awak dengan saya.” Imran cuba mengugut.

Mata Intan membuntang. Semalam hatinya baru sahaja memuji lelaki mulut cabul ini mempunyai hati yang suci apabila sanggup membantu seorang gadis malang dari terpaksa tidur di surau atau di kaki lima. Huh… Tarik balik pujian semalam tu!

“Dengar sini. Dekat sini awak boleh dapat tempat tinggal percuma, makan minum percuma, dapat gaji lagi. Apa lagi yang tak cukup.”

Intan berdecit. “Tapi umi encik tu macam nak telan saya ajer.” Intan bersuara laju terus meluahkan rasa bimbang.

Imran tersenyum. Benarlah telahannya tadi. Umi sudah mula merencanakan agenda untuk ‘mendera’ Intan pula. “Awak boleh.” Katanya ringkas, cuba memberi semangat.

“Tapi Encik Imran….” Intan masih lagi mahu mencuba nasib.

“Saya dah lewat ni. Apa-apa tunggu lepas saya balik kerja karang baru kita cakap balik.” Balas Imran terus memasuki kereta.

Intan melepaskan keluhan lemah apabila kereta Imran sudah meninggalkan rumah. Dia berdiri sejenak di luar. Memikirkan masa depannya di dalam rumah banglo ini.

“Intan!!!!!”

Intan cepat-cepat berlari masuk ke dalam rumah apabila mendengar pekikan Puan Rahimah dari tingkat atas. Ahhh!! Tak sempat nak fikir masa depan dah kena tempik macam ni. Getus Intan di dalam hati.

















Kupilih Hatimu 9

Bab 9


“Kau dekat mana. Kau kena tolong aku ni. Aku baru lepas melanggar orang.” Ujar Imran senafas.

Rafi yang sedang menonton televisyen terperanjat besar apabila mendengar kata-kata Imran di hujung talian. Rasanya Imran baru sahaja meninggalkan rumahnya dalam lima belas minit tadi. Sebelum Imran pulang ke Kuala Lumpur malam ini, dia telah singgah ke rumah Rafi dahulu untuk menghantar dokumen yang tertinggal di dalam keretanya semalam.

“Kau dekat mana.” Soalnya mahu mengetahui di mana lokasi Imran berada sekarang.

“Aku dekat klinik erm…” Ujar Imran sedikit tersekat. Dahinya berkerut manakala matanya melilau mencari signage di hadapan kaunter klinik.

“Dik, apa nama klinik ni?” Dia menyoal adik yang menjaga kaunter.

“Klinik Safri Hamimah. Dekat area Station 18.” Jawab adik yang menjaga kaunter.

Tanpa berlengah terus Imran memberitahu Rafi di mana dia sedang berada sekarang.

Rafi mengangguk-angguk. Dekat sahaja dengan rumahnya.

“Okey. Okey. Kau tunggu situ. Aku datang.” Setelah mengetahui Imran berada di mana, Rafi cepat mencapai kunci keretanya. Dia sedikit lega apabila Imran memberitahu yang dia cuma berada di klinik sahaja. Pasti orang yang dilanggar Imran tidak cedera teruk. Kalau teruklah, haih… bertambah lagi beban masalah Imran. Fikir Rafi.

Sementara menanti doktor merawat gadis yang hampir dilanggarnya tadi Imran menanti di ruangan menunggu. Dia berdoa-doa di dalam hati agar gadis tadi tidak apa-apa.

Perjalanan dari rumah Rafi ke klinik yang dinyatakan oleh Imran tadi tidaklah mengambil masa yang lama. Dalam sepuluh minit sahaja. Setibanya dia di klinik kelihatan Imran sedang menanti di ruangan menunggu. Rafi terus mendapatkan Imran.

“Macam mana kau boleh melanggar orang ni Im.” Rafi terus menyoal.

“Aku tak langgarlah. Aku sempat brek. Budak tu yang tiba-tiba pengsan.” Imran bercerita.

“Kalau kau tak langgar macam mana budak tu boleh tiba-tiba pengsan. Kau langgarlah tu. Kau tu la aku kata jangan memandu kereta laju-laju. Tambah-tambah dalam keadaan hujan lebat macam ni.” Bebel Rafi seperti menyalahkan Imran pula. Dia faham tabiat Imran, tidak kira dalam keadaan apa pun, temannya itu memang suka memandu laju. Imran kalau memandu kereta, lajunya kurang sikit dari jet pejuang!

“Eh… Aku tak langgarlah.” Suara Imran sedikit meninggi. Kemudian dia cuba merendahkan kembali suaranya itu apabila adik yang menjaga kaunter meletakkan jari dibibir tanda menyuruh dia untuk diam. “Memang budak tu pengsan.” Beritahu Imran bersungguh-sungguh.



Perbualan Imran dan Rafi terganggu apabila mendengar pintu bilik rawatan di buka dari dalam. “Encik, doktor panggil.” Panggil pembantu doktor dari muka pintu bilik. Imran menuruti. Rafi hanya menanti di luar.

“Encik tak perlu risau. Cik Intan cuma demam ajer. Tadi dia pengsan mungkin sebab badan dia lemah sikit. Lagipun terkena hujan kan. Lepas makan ubat, berehat dia akan okey macam biasa.” Doktor Hamimah memaklumkan keadaan pesakitnya itu.

“Okey.” Imran menjawab sepatah. Dia sudah boleh menarik nafas lega setelah mendengar kata-kata dari doktor itu. Sambil itu, matanya turut mengerling ke arah gadis disebelahnya yang sedang menahan bersin.

“Okey Cik Intan. Boleh ambil ubat di luar.” Beritahu Doktor Hamimah dengan ramah.

Imran membuka pintu dan memberi laluan untuk si gadis lalu dahulu. Rafi yang menanti di luar begitu terperanjat apabila melihat Imran bersama-sama dengan gadis yang sama lagi. Bola matanya mujur tak tercabut keluar. Hatinya tiba-tiba digeletek. Lucu pula. Dalam masa tiga hari Imran berada di Ipoh, dia hanya berjumpa dengan gadis yang sama sahaja. Tiga hari berturut-turut dengan gadis yang sama!

“Awak tunggu sini. Saya ambilkan ubat untuk awak.” Imran berkata lebih kepada nada arahan. Dia menyuruh gadis itu duduk sementara biar dia sahaja yang pergi untuk mengambil ubat untuknya.

Intan yang mengambil tempat di sebelah teman lelaki itu sekadar memberi senyuman kosong. Dia hanya memerhati lelaki yang telah mencari pasal dengannya sejak dua hari lepas.

“Semua berapa?” Imran bertanya.



“RM55.00” Beritahu pembantu klinik.

Intan menyeluk perlahan saku pada baju kurungnya. Dia cuma mempunyai RM40 sahaja. Intan bergerak perlahan menghampiri lelaki itu. Lengan kemeja Polo ditarik perlahan. Dia memandang lelaki itu. Mukanya serba salah.

“Encik. Saya ada RM40 jer.” Intan bersuara perlahan namun masih boleh didengar. Dia cuba menundukkan kepalanya. Malu dengan pembantu klinik yang memerhati dirinya yang sedikit tidak terurus.

Imran menolak perlahan empat keeping not RM10 dari tangan gadis itu. Dia mengeluarkan dua keping not RM50 dari dompetnya. Setelah menerima kembali duit baki, plastik ubat diberikan kepada gadis itu.

Selesai semua urusan mereka bertiga keluar dari klinik. Di luar hujan sudah berhenti. Intan berdiri tegak. Dia perlu kembali memikirkan di mana dia harus bermalam.

“Awak nak pergi mana ni.” Imran menyoal seperti memahami apa yang sedang difikirkan oleh sang gadis. Gadis ini tadi ketika pengsan di tengah jalan raya turut ada bersamanya adalah sebuah beg pakaian sederhana besar. Imran syak gadis ini pasti mahu lari dari rumah. Entah-entah bohsia.

Intan mendiamkan diri. Kemudian dia menjongket bahu.

“Awak dah makan?” Imran bertanya lagi.

Intan hanya menggelengkan kepala.

“Okey jom.” Ajak Imran. Rafi yang sekadar memerhati seperti tertarik dengan sikap Imran malam ni. Mana tidaknya, tiba-tiba malam ini Imran begitu baik pula dengan gadis yang paling dia tidak suka di bandaraya Ipoh ni. Siap mengajak makan bersama. Cakap pun lembut sahaja. Owh… Siap belanja duit ubat sekali. Ajaib!!!



Imran dan Rafi sekadar memerhati sahaja gadis ini makan.

“Awak nak pergi mana sebenarnya ni. Dengan beg besar bagai.” Imran menyoal. Dia harus menguruskan gadis ini segera. Jika berlengah-lengah takut dia pula yang terlambat untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Sekarang pun jam sudah menginjak ke pukul sebelas malam.

Intan tidak menghiraukan soalan itu. Peket-peket kecil ubat dari klinik tadi dibuka. Dia menelan setiap jenis ubat yang diberikan oleh doktor.

“Sekarang awak bagi tahu saya rumah awak dekat mana. Mari, saya hantar awak balik.” Putus Imran akhirnya. Dia sudah bangun. Harga makanan dan minuman juga sudah dibayar.

Intan mengeluh perlahan. Dia mempamerkan wajah muram. “Saya tak ada rumah.” Katanya perlahan.

Imran yang baru sahaja mahu membuka pintu kereta berpaling. “Awak jangan main-main boleh tak. Awak lari dari rumah?” Suara Imran kembali meninggi. “Muka jer nampak macam baik, tapi bohsia.” Sambung Imran dengan nada memerli. Perlahan. Tapi masih boleh didengari.

Intan mengetap bibir. “Encik kalau bercakap tu janganlah main sedap mulut ajer. Saya bukan bohsialah. Encik pernah jumpa bohsia pakai tudung macthing dengan baju kurung ker?” Dia bersuara. Intonansi agak mendatar tetapi ada bunyi getar yang mencuri irama. Air mata terasa mahu mengalir untuk menyambung tangisan yang terhenti tadi.

Imran memandang penampilan gadis itu. Baju kurung kain kapas dan tudung bawal. Dia terasa mahu ketawa dengan tekaan bodohnya itu tadi namun cuba ditahan.

Rafi berdehem. Mereka berdua sudah berperang mulut kembali. “Adik. Jangan marah-marah yer. Abang ni tadi dia terlepas cakap.” Rafi memujuk lembut persis seperti seorang abang kacak yang baik hati.

“Encik, saya akan berterima kasih pada Encik kalau Encik boleh hantar saya ke stesen bas.” Intan membuat keputusan.

“Stesen bas? Awak nak pergi ke mana?” Rafi menyoal berkali-kali.

“KL.” Intan menjawab tanpa berfikir.

“Tadi awak kata awak cuma ada RM40 lepas tu awak nak pergi KL.” Imran menyampuk. Dia tidak percaya gadis itu mahu ke Kuala Lumpur dengan hanya berbekalkan wang saku sebanyak RM40.

“Cukuplah. Tiket bas ekspress RM27. Ada lagi baki RM13.” Intan menjawab seperti dia seorang pakar Matematik. Mencongak dengan pantas. Tapi tak fikir logik akal!

“Awak gila RM13 nak duduk dekat KL. KL masuk tandas pun lima puluh sen awak tahu?” Suara Imran meninggi lagi. Matanya dibulatkan.

Rafi berdehem lagi. Imran ditolak perlahan agar kebelakang sedikit. Dia takut kalau terjadi pertelingkahan kecil lagi antara mereka. Sudahlah gadis ini kelihatan masih lemah. “Dik, KL bukan macam kampung awak ni. Bahaya untuk perempuan macam adik kalau pergi sana sorang diri.” Rafi memberi nasihat.

“Saya tak kira. Saya nak pergi sana juga.” Intan membentak. “Saya nak cari……………”Kata-katanya terhenti separuh. Mindanya terbayangkan wajah ibu yang sudah hampir sepuluh tahun tidak ditemui. Kemudian dia menggeleng. Buat apa dia nak mencari perempuan yang sudah memusnahkan hidup ayah. Yang turut sama membuatkan hidupnya menderita.

“Cari apa?” Rafi menyoal. Masih menanti kata-kata yang akan terkeluar dari mulut gadis ini.

Intan berdehem. Membetulkan kotak suara.

“Kerja. Saya nak cari kerja dekat KL salah ker?” Katanya yakin.

“Awak ada saudara mara atau kawan yang tinggal dekat sana?” Rafi menyoal siasat.

Intan menggigit bibir bawah. Dia menggeleng.

“Gila.” Imran berkata sepatah.

“Kalau Encik tak nak hantar tak apalah. Saya boleh pergi stesen bas sendiri.” Ujar Intan. Dia mengeluarkan beg besar yang ada di tempat duduk belakang.

“Ehh… Awak.. awak.. Sekejap. Sekejap.” Rafi menahan.

“Betul ni nak kerja dekat KL?” Dia bertanya.

“Nekad!” Intan menjawab sepatah. Bersungguh-sungguh.

“Okey.” Rafi mengangguk. “Nama saya Rafi. Panggil Abang Rafi pun boleh. Sedap sikit dengar kan.” Dia berseloroh. Namun gadis ini sedikit pun tidak terkesan dengan jenakannya. Rafi sengih sendiri. “Mari sini saya perkenalan. Ini Megat Imran. Kawan baik saya merangkap bos saya.” Dia memperkenalkan gadis ini kepada Imran. “Nama cik adik.” Soal Rafi kepada gadis itu untuk melengkapkan sessi perkenalan antara mereka bertiga.

“Intan.” Intan menjawab pendek.

“Intan jer. Intan Payung???” Rafi cuba mengusik.

“Intan Nurain binti Mohamad Rusdi.” Intan menjawab. Sedikit garang.

“Intan Nurain. Sedap nama.” Balas Rafi. “Owhh yer, kebetulan Encik Imran ni memang tengah mencari seorang pekerja. Jadi Intan boleh ikut Encik Imran pergi ke KL.”

Imran terpempan mendengar cadangan Rafi yang tidak masuk akal itu. Sudahlah tidak berbincang dahulu. Tahu-tahu Rafi hanya menyuruh si Intan Payung ini untuk mengikut dia pulang ke Kuala Lumpur bersama.

“Eh… Kau ni dah kenapa. Kau gila apa nak suruh perempuan ni ikut aku balik.”Imran memarahi Rafi.

“Kau kata Siti yang kau upah untuk menjaga umi kau dah cabut lari kan dan kau pun ada cakap dekat aku memang nak cari orang baru yang boleh tolong jaga umi kau. Jadi? Ini calon terbaik yang boleh jaga umi kau.” Terang Rafi bersungguh-sungguh.

“Budak ni???” Telunjuk Imran menghala ke arah Intan. “Boleh ker? Aku takut dia tak boleh jer.” Ujar Imran was-was.

“Habis tu kau ada idea lain. Kau sendiri kata yang Mak Wan bukan larat sangat pun nak menjaga umi kau tu.” Rafi masih lagi cuba memancing Imran.

Imran mengeluh perlahan. “Itu aku tau… tapi…”

Rafi memotong. “Tapi apa lagi. Kau memang nak mencari seorang yang muda dan kuat kan untuk jaga umi kau. Kau terima ajer budak ni kerja dengan kau. Lagipun aku kesianlah dengan dia. Kita ni kena tolong menolong sesama manusia baru Allah sayang.” Rafi sempat bersyarah.

Intan menyelit antara kedua mereka. “Encik…encik bukan nak surh saya buat kerja yang bukan-bukan kan?” Dia menyampuk perbualan kedua orang teman itu.

“Kenapa? Awak ingat saya ni bapak ayam yang nak jual awak dekat mana-mana taukey kelab dangdut ker?” Imran menyoal sarkastik.

Intan kebelakang sedikit. Dahinya berkerut. “Saya tanya jer…” Mulutnya menggumam rendah.

“Okeylah. Awak boleh ikut saya. Kerja dengan saya. Saya harap awak tak kisah kalau jadi orang gaji dekat rumah saya.” Imran membuat keputusan. Rafi tersenyum puas.

“Saya tak kisah encik. Terima kasih encik.” Intan menjawab girang. “Encik jangan risau, saya pandai masak. Pandai kemas rumah. Pandai….”

Imran menjulingkan mata ke atas. “Dah masuk….” Arahnya pendek.

Rafi sempat menaikan kedua belah ibu jari tangannya ke atas. “Kerja elok-elok.” Pesannya kepada Intan sebelum gadis itu masuk ke dalam perut Harrier.



“Imran, lambatnya sampai.” Tegur Mak Wan sebaik sahaja pintu rumah dibuka.

“Tadi ada hal sikit Mak Wan.” Imran menjawab bersahaja. Tangan Mak Wan dicium. Intan juga turut berbuat demikian. Bersalaman dengan wanita ini.

“Umi macam mana. Umi okey tak?” Imran menyoal.

“Puan okey. Cuma dia asyik tanya bila Imran nak balik. Tu ajer. Rindu kut.” Balas Mak Wan senang.

“Siapa ni Im?” Giliran Mak Wan pula bertanya si gadis yang dibawa pulang oleh Imran.

“Owhh… Ini Intan Payung. Pembantu rumah yang baru mengantikan Siti. Nanti semua pasal umi dia yang akan uruskan. Mak Wan, Im harap Mak Wan tak kisah kalau Intan tumpang bilik Mak Wan.”

“Mak Wan tak kisah.” Mak Wan menjawab senang.

“Okey. Im naik atas dulu nak tengok umi.” Imran meminta diri. Dia meninggalkan Intan bersama Mak Wan. Ah.. Pandai-pandailah kau bawa diri. Desisnya di dalam hati.

“Nama penuh siapa?”

“Intan Nurain.” Jawab Intan dengan senyuman.

“Intan Nurain….” Sebut Mak Wan panjang. “Sedap nama.”

Intan tersengih malu apabila dipuji begitu.

“Intan panggil makcik Mak Wan ajerlah. Semua orang panggil dalam rumah ni panggil makcik Mak Wan.”

Intan mengangguk faham.

“Marilah Mak Wan tunjuk bilik Mak Wan. Mesti Intan penat kan. Lagipun dah lewat malam ni. Esok pagi-pagi Mak Wan kenalkan dengan Puan Rahimah.”

“Puan Rahimah?”

“Umi Imran. Esok Intan boleh berjumpa dengan dia.”

“Okey.”









Kupilih Hatimu 8

Bab 8


Ketika di dalam perjalanan pulang dari kedai Auntie May selepas tamat waktu bekerja hujan turun dengan lebatnya. Intan terpaksa pulang ke rumah untuk menyalin pakaian terlebih dahulu sebelum menyambung tugasan di restoran Mak Su pula. Di rumah kepalanya berpusing hebat. Mungkin akibat terkena air hujan. Intan tidak tahan jika terkena hujan. Terkena sedikit pun pasti dia akan mendapat demam. Ya Allah. Dia memicit-micit kepala yang berat. Mahu berdiri pun dia hampir merasa pitam bagaimana dia harus bekerja di restoran Mak Su malam nanti. Intan menuruni anak tangga ke bawah dengan berhati-hati. Dia pergi ke meja telefon kecil yang terletak di penjuru ruang tamu rumah. Nombor telefon Mak Su di dail.

“Hello.” Terdengar suara Mak Su dari hujung talian. Intan menelan air liur.

“Mak su, hari ni boleh tak kalau Intan nak cuti sehari.” Ujar Intan teragak-agak. Dia bimbang jika Mak Su tidak mengizinkannya untuk bercuti satu hari. Dia benar-benar tidak larat untuk berkerja. Tambah lagi badannya terlalu penat kerana di kedai Auntie May tadi terlalu banyak kerja yang dia lakukan.

“Dah kenapa kau ni.” Suara Mak Su yang kedengaran kuat itu membuatkan jantung Intan berdebar kencang.

“Intan tak sihatlah Mak Su. Intan rasa macam nak demam.” Intan bersuara.

“Kau ni tak payah nak bagi alasan. Siang tadi boleh pulak kau kerja dekat kedai bunga tu.” Marah Mak Su.

“Balik tadi Intan kena hujan Mak Su. Kepala Intan pening sangat ni.” Beritahu Intan mengharapkan kali ini biarlah Mak Su faham tentang keadaannya. Dia bukan suka-suka mahu ponteng kerja. Dia betul-betul tidak sihat.

Dari hujung talian Intan mendengar Mak Su mengeluh kasar. “Yerlah…Yerlah.. Kau ni macam-macamlah.” Ujar Mak Su terus mematikan talian.

Intan bersyukur sangat apabila akhirnya Mak Su memberi keizinan untuk dia berehat dari menjalankan tugas di restoran selama satu malam. Tanpa membuang masa dia terus ke dapur. Panadol Active Fast dikeluarkan dari peti kecemasan yang terletak di atas peti sejuk. Air masak dituang ke dalam gelas. Dia menelan dua biji Active Fast sebelum kembali naik ke biliknya yang terletak di atas untuk berehat.



“Kenapa sayang.” Tegur Khalil apabila melihat wajahnya isterinya itu sedang mencuka.

“Intan ni yang. Peninglah. Demamlah. Ada ajer modal nak ponteng kerja.” Maria merungut.

“Habis dia tak datanglah malam ni.” Khalil seperti teruja ingin tahu.

“Tak adalah. Nak rehat dekat rumah katanya.” Maria menjawab seadannya. Dia sibuk membuat kira-kira di kaunter hadapan. Khalil mengukir senyum penuh maknanya. Di kepalanya sudah terbayangkan ‘lauk kenduri’ malam ini.

“Yang awak ni dah kenapa senyum-senyum.” Maria menyoal suaminya yang tiba-tiba mengukir senyuman. Pelik!

Senyuman di bibir Khalil mati sejurus terdengar suara isterinya itu. Sebelum Maria memetir lebih baik dia pergi dari sini. Fikirnya. “Eh tak ada apa-apa. Saya pergi ambil pesanan pelanggan dulu ya.” Ujar Khalil terus melarikan diri dari disoal siasat.



Mata Maria mengitari seluruh restoran. Kemudian dia berinjak ke dapur pula namun bayang yang dicari-cari tidak jumpa. “Ada siapa-siapa nampak Khalil tak.” Soalnya kuat agar kedengaran jelas dek kerana bunyi bising kuali, senduk sudip berlaga sesame sendiri. Masing-masing berpandangan. Kemudian mereka menjongket bahu. “Tak tahu bos.” Ujar mereka serentak bersama-sama. Semua pekerja di restoran ini bukan pernah mahu mengambil tahu tentang Khalil. Khalil isteri bos. Karang kalau mereka mengadu tentang Khalil yang gemar curi tulang silap hari bulan Puan Maria akan memarahi mereka kembali. Pernah dulu Abang Mail mengadu pada Puan Maria yang Khalil pernah mencuri duit dari kaunter, mati-mati Puan Maria tidak percaya. Akhirnya Puan Maria pula menuduh para pekerja cuba memburukkan suaminya. Masa itu, semua gaji pekerja dipotong untuk menampung duit yang shot.

“Korang semua ni memang tak boleh haraplah.” Getus Maria bengang.

“Hah ni dari mana ni. Ponteng kerja?” Sembur Maria apabila melihat Talhah dan Asmadi muncul dari pintu belakang dapur.

“Mana ada bos. Pergi bakar diri.” Jawab Talhah selamba sambil dua jari dikepitkan dan bergaya seakan sedang merokok.

“Kau orang berdua nampak mana Khalil?” Soal Maria kepada Talhah dan Asmadi.

“Tadi masa kita orang membakar diri tadi nampak dia bergegas ikut pintu belakang.” Beritahu Asmadi pula.

Khalil keluar curi-curi ikut pintu belakang? Maria menyoal sendiri. Hatinya tiba-tiba menjadi tidak sedap.

“Talha!!” Panggil Maria.

“Yer bos.”

“Jaga kaunter sekejap. Aku nak balik rumah. Yang lain kerja!!” Maria mengarah.

“Yes bos.” Jawab mereka semua serentak.

Maria terus ke kaunter hadapan. Beg tangan dan kunci kereta dikeluar dari dalam laci yang berkunci. Dia bergegas untuk pulang ke rumah. Di dalam kepalanya berlegar-legar perkara buruk yang akan terjadi.





Khalil memerhati sekujur tubuh dihadapannya kini. Intan yang sedang tidur tidak menyedari langsung kehadiran lelaki itu. Khalil cuba mendekati Intan. Kain baju kurung yang sedikit terselak dan menampakkan betis putih bersih membuatkan jantungnya berdegup kencang. Perlahan-lahan dia cuba merapatkan dirinya dengan badan Intan.

Intan terjaga apabila terasa ada benda berat yang menghempap badannya. Pantas Khalil di tolak kuat.

“Apa ni Pak Su!!” Jeritnya kuat. Dia cepat-cepat bangun dan membawa diri duduk di birai katil dengan perasaan takut yang amat sangat.

“Shusshh… Jangan bising. Nanti orang dengar.” Ujar Khalil menggoda. Tali pinggang yang dipakai dilurut perlahan. Dia cuba mendekati Intan lagi.

“Pak Su jangan Pak Su.” Intan menjerit. Dia cuba melarikan diri namun Khalil terlebih dahulu memeluk erat pinggangnya.

“Pak Su tolong Pak Su. Jangan pak Su.” Intan cuba merayu apabila Khalil sudah mula mencium tengkuknya beberapa kali.

“Kau tau aku memang dah lama menantikan saat ini.” Ujar Khalil terus bibirnya mencari wajah Intan pula. Wajah Intan dikucup sepuas-puasnya.

“Pak Su.”Suara Intan seakan tenggelam timbul apabila dirasakan dia sudah semakin lemas diperlakukan begitu oleh Khalil. Di dalam keadaan lemah dia cuba mengumpul seluruh kudrat yang ada untuk cuba melepaskan diri. Namun sekuat mana pun kudrat seorang wanita sukar untuk dia meloloskan diri apabila nafsu Khalil sudah semakin menggila. Intan di tolak kasar ke katil.



“Khalil!!!!” Maria bertempik kuat. Khalil terpempan. Cepat-cepat dia melepaskan Intan. Pantas dia menarik kembali zip seluar yang terbuka. Intan cuba berlari dan berdiri di belakang Mak Su. Dia teresak-esak menangis. Di dalam hati dia memanjatkan rasa syukur apabila Mak Su tiba sebelum sempat Khalil mengapa-apakan dirinya.

Mata Maria merah memandang Khalil. Dia bagaikan seekor singa yang sudah bersedia mahu membaham mangsanya. Khalil sedikit gelabah.

“Sayang, awak tengok anak saudara awak ni. Dia cuba menggoda saya.” Khalil berkata tersekat-sekat. Telunjuknya menuding ke arah Intan yang bersembunyi dibelakang isterinya itu.

“Awak buat apa dekat sini. Bukan sepatutnya awak ada di kedai ker?” Maria memetir.

“Saya balik nak ambil barang yang tertinggal, tiba-tiba anak saudara awak menggoda saya.” Tipu Khalil, meletakkan kesalahan di bahu Intan. Dia berlagak seperti terlalu suci untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Mata Maria terarah kepada Intan yang masih tersedu sedan.

Intan menggeleng laju. “Mak Su tak Mak Su. Pak Su tipu.” Dia cuba membela diri. Melihat Mak Su yang hanya mendiamkan diri Intan tahu pasti Mak Su lebih mempercayai kata-kata suaminya.

“Mak Su… Intan tak salah Mak Su.” Intan berkata lirih. Masih lagi mahu mengharap simpati daripada Mak Su.

Setelah mendiamkan diri selama beberapa minit tanpa menghiraukan esakan dan kata-kata anak saudaranya itu tiba-tiba melayang satu tamparan tepat terkena pada muka putih bersih Intan.

Panggg!!!

Intan jatuh terjelepok ke lantai. “Mak Su…” Katanya sepatah. Tangan meraba pipi kanan yang terasa perit.

“Kau ni kan sudah aku bela sampai besar ini yang kau balas. Hey, dengan laki aku pun kau nak cuba ker. Engkau dengan mak kau ni sama ajer.” Maria sudah seperti hilang pedoman. Rambut panjang Intan di tarik. Gadis itu dipukul tanpa belas. Dia melempiaskan segala amarah yang terbuku pada tubuh anak saudaranya itu.

“Mak Su ampun mak Su. Intan tak buat.” Intan cuba merayu. Namun rayuannya itu tidak dipedulikan. Khalil pula seperti sudah sedia untuk berjoget lambak apabila isterinya lebih mempercayai kata-katanya daripada Intan.

“Kau keluar. Kau berambus dari rumah aku.” Maria menarik kasar badan Intan yang lemah. Dia menolak gadis itu ke muka pintu rumah. Kemudian dia masuk ke dalam dan kembali semula ke depan dengan beg pakaian milik Intan. “Ambil semua kain baju harta benda kau ni.” Beg pakaian itu dilempar kasar. “Pergi!! Pergi. Aku tak mahu tengok lagi muka kau dekat sini. Pergi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Maria terus memetir.

“Mak Su tolong Mak Su. Jangan halau Intan keluar macam ni Mak Su. Intan sujud kaki Mak Su.” Intan merangkul erat kaki Mak Su. Dia merayu semahu-mahunya agar ada sedikit simpati dalam diri Mak Su untuk dirinya.

“Sudah. Aku tak ada anak sedara macam kau lagi. Pergi!! Pergi!!” Tempik Maria kuat sebelum pintu rumah dihempas.

Dalam keadaan badan yang masih lagi demam Intan gagahkan diri untuk pergi dari sini. Dia buntu mahu pergi ke mana. Mahu menumpang di rumah Nadia, mereka sekeluarga tidak ada dirumah. Petang tadi Nadia tergesa-gesa memberitahu kepada Intan yang mereka sekeluarga akan pulang ke Pulau Pinang kerana ibu saudaranya telah meninggal dunia. Mungkin akan berada di sana dalam dua tiga hari. Kali ini Intan hanya mampu mengikut langkah kakinya sahaja. Sehingga ke mana kakinya larat berjalan, dia akan ikut. Andai malam ini dia perlu bermalam di kaki lima, dia pasrah.

Nasib Intan dirundung malang lagi. Tanpa disangka-sangka malam ini hujan turun dengan lebat seperti petang tadi. Dia bergegas berlari untuk menuju ke pondok menunggu bas di seberang jalan. Di dalam keadaan malam yang samar-samar dan kepala yang masih lagi berpusing Intan terus melintas jalan tanpa perasaan ada kereta yang sedang bergerak laju. Tiba-tiba……….



















Kupilih Hatimu 7

Bab 7


“Ya Allah. Gila apa Mak Su kau tu buat kau macam ni.” Nadia melempias marah sewaktu dia dan Intan makan tengahari di belakang butik mama pada keesokkan harinya.

Intan diam. Hanya air mata yang mengalir sahaja jawapan yang dia ada untuk pertanyaan Nadia itu. Nasi campur di dalam polistrin dikuis-kuis dengan sudu. Simpati Nadia kepada temannya itu menggunung lagi.

“Yang lelaki good looking tu pulak, apa masalah dia hah. Sengaja nak cari pasal sampai kau boleh kena maki dengan Mak Su kau dekat kedai semalam. Muka ajer kacak, tapi perangan haprak!” Nadia menghala rasa marah kepada lelaki yang hampir-hampir berlanggar dengan mereka pagi semalam.

“Dia tu gila!!” Kata Intan keras. Kesal sungguh rasanya kerana semalam malang datang kepadanya bertimpa-timpa. Lepas satu, datang satu lagi.

“Habis macam mana ni. Telefon kau nak kena rampas dengan Mak Su kau. Sim card pulak dah patah.”

“Aku akan anggap telefon tu bukan rezeki aku.” Intan berkata sayu. Dia seka air mata yang mengalir. Nasi bungkus untuk makanan tengahari ini di jamah sedikit. Seleranya mati sejak pagi tadi. Kerana sedih dia hilang mood mahu makan.

“Sorrylah Intan. Aku tengah sengkek ni. Tak ada bajet nak bagi kau pinjam duit untuk beli telefon baru.” Balas Nadia.

Intan senyum pahit. “Tak apa. Selama ni pun aku mana ada telefon pun kan. Aku dah biasa hidup tak ada telefon.” Katanya lagi.

“Errmmm…” Nadia cuba berfikir panjang. Dahinya berkerut. “Bagi aku nombor Micheal. Call dia okey. Bagi tahu telefon kau tu ada masalah. Kalau ada apa-apa suruh dia terus telefon ke nombor aku.” Kata Nadia.

Intan buat muka serba salah. “Aku mana ingat nombor telefon dia apa. Nombor aku tu pun tak ingat. Aku kan baru lagi pakai telefon. Kau macam tak kenal aku, aku bab-bab nak mengingat nombor ni selalu fail.” Keluh Intan.

Nadia tepuk dahi. “Ya Allah, takkan nombor telefon boyfriend pun kau tak ingat.” Ujar Nadia sedikit geram.

Intan mengerut dahi. “Mana ada boyfriend. Kami teman tapi mesra.” Dia menjawab.

“Teman tapi mesra pun takkan kau tak ingat?!!” Nadia meninggi suara.

Intan terkulat-kulat. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. “Kau jangan marah aku boleh tak. Aku semalam punya hal pun tak abis sedih lagi, hari ni kau nak tambah sedih aku pulak.” Katanya sayu.

“Okey..Okey.. Sory.” Nadia angkat kedua tangan. “Aku pun salah jugak dah kenapa pulak aku tak simpan nombor si Micheal tu jugak kan incase kalau ada kecemasan macam ni.” Dia turut menyalahkan dirinya sendiri. Nadia mengerut dahi. Beberapa ketika kemudian dia memetik jari. Matanya bersinar-sinar. Ada mentol yang menyala di dalam kepala otaknya kala ini. “Ermm.. Apa kata kita pergi tanya Auntie May. Lepas tu suruh Auntie May tanya Uncle Lee nombor Micheal.” Nadia memberi buah cadangan.

Mata Intan terbeliak. “Ehh…Kau gila. Malulah aku.” Katanya menolak cadangan Nadia itu.

Nadia mencebek. “Elehh… Mengada-ngadanya engkau. Malu tapi mahu.” Sedasnya.

“Nantilah.” Keluh Intan perlahan.

“Kau jangan nanti-nanti. Nanti Micheal ingat kau dah tak nak kawan dengan dia.” Nadia cuba menakut-nakutkan Intan pula.

Intan laju berdecit. “Ishh… Dia bukan jenis cepat berprasangkalah.” Tukasnya tidak mahu termakan momokan dari Nadia itu.

“Mana kau tau?” Kening Nadia sudah mula menari ronggeng. Bibirnya pula sudah mula mengulum senyuman nakal.

Intan memandang muka Nadia dengan perasaan bengang. Dia menutup kembali kotak polistrin dan membuangnya ke dalam tong sampah.

“Aku balik kedai Auntie May dululah.” Dia meminta diri.

“Jangan lupa tau!!” Jerit Nadia sambil ketawa besar.









Friday, November 9, 2012

Kupilih Hatimu 6

Bab 6


Malam hari di Bandar Ipoh walaupun tidak sesibuk Kuala Lumpur tetapi suasananya agak happening juga. Sana-sini ada lampu lip lap di pasang sepanjang jalan. Sebelum makan, Rafi telah membawa Imran berjalan-jalan di sekitar bandaraya bourganvilla ini. Mereka telah singgah di Down Memory Lane yang terletak di belakang pusat makanan Taman Kanak-kanak. Imran sekadar melihat-lihat barangan yang dijual di situ. Macam-macam barang berjenama antarabangsa ada jual di situ. Semuanya ‘berjenama’lah sangat. Imran mengukir senyuman apabila melihat Louise Vuitton Monogram yang pernah dibelikan untuk Lydia ketika dia berkunjung ke Paris tahun lepas tergantung di sana sini. Dahulu dia membelinya dengan harga RM5000. Tetapi di sini bag yang sama dijual dengan harga RM50 sahaja. Ah… Kalau dah cinta punya pasal, gunung yang tinggi sanggup didaki lautan luas pun sanggup direnangi. Setakat beg LV berharga RM5000 itu apalah sangat jika nak dibandingkan dengan kasih sayangnya pada Lydia. Cuma Lydia sahaja yang tidak reti bersyukur.

“Fi, lambat lagi ker. Aku dah lapar ni.” Soal Imran ketika Rafi sedang sedap melakukan urutan refleksologi pada tapak kakinya. Mata Rafi yang tertutup terbuka sedikit. Nikmat yang baru dia rasa sekejap tadi bagai dicantas dengan suara Imran yang sudah seperti orang tak makan seminggu. “Sekejaplah. Aku tengah syok ni.” Ujar Rafi. Sesekali dahinya berkerut-kerut apabila tukang urut menekan-nekan tapak kakinya. Mungkin sudah terkena urat yang sakit.

Imran mencebek. “Alah kau ni. Kau nak berurut bila-bila masa pun boleh. Bukan kau nak ikut aku balik pun lusa nanti.” Ujar Imran yang sedikit geram.

“Ishh…. Kau ni memang tak boleh nak bersabar sikit kan.” Ujarnya geram. “Sudahlah bang.” Ujar Rafi kepada abang tukang urut. Not RM10 dihulurkan.

“Tapi tak habis masa lagi encik.” Kata abang tukang urut yang sedikit ragu-ragu mahu mengambil not RM10 dari Rafi. “Tak apa abang. Rezeki abang. Nanti-nanti saya datang sini lagi.” Balas Rafi ramah. Abang tukang urut hanya tersenyum. Not RM10 bertukar tangan.

“Dah jom!” Ujar Rafi seraya memasukkan dompet pada poket belakang jeans. Mereka segera menuju ke kereta untuk ke tempat makan yang dinyatakan siang tadi.

“Itu bukan budak perempuan yang kita jumpa pagi tadi tu ker?”Ujar Rafi.

“Mana?” Soal Imran sedikit kuat.

“Tu yang tengah ambil order tu.” Ujar Rafi lagi sambil bibirnya sengaja dijuihkan ke hala seorang gadis berbaju kurung kain kapas dan tudung bawal menutup kepala.

Imran yang baru mahu duduk berpaling. Dia ralit memerhati gadis yang sedang mengambil pesanan pelanggan itu.

“Haah. Yerlah. Budak pagi tadi tu.” Dia mengiyakan. Dahinya berkerut sebelum terbit senyuman nakal dibibir.

“Owhh… Kerja dekat sini rupanya.” Dia mengangguk-angguk sambil bibir masih lagi mengulum senyuman nakal.

“Kenapa? Kau dah tak ada selera nak makan dekat sini ker?” Rafi menyoal takut seandainya tiba-tiba selera Imran boleh terpatah dek terpandang gadis bermulut lepas ini. Sangkaan Rafi meleset. Imran dilihat begitu teruja mengambil tempat sambil tersenyum penuh makna.

“Eh… Siapa kata. Jom. Aku dah lapar sangat dah ni.” Balas Imran. Tangannya menggosok perut. Entah kenapa dia mahu gadis itu cepat-cepat datang mengambil pesanan di meja mereka.



Selesai menghantar pesanan meja bernombor tiga ke dapur Intan kembali semula kehadapan. Dia menuju ke meja bernombor dua belas yang sedikit terceruk ke tepi kedai. Seperti biasa Intan akan melayan mesra setiap pelanggan yang datang makan di restoran Mak Su. Ditangannya ada sebatang pen dan buku kecil untuk menulis senarai pesanan.

“Order bang!” Ujarnya ceria, namun keceriaan itu bagai diragut apabila melihat wajah pelanggan dihadapannya ini. Intan menelan air liur. Wajahnya berubah riak.

Alamak macam mana dia boleh ada dekat sini!!! Getusnya di dalam hati. Pasti malang nasibnya hari ini apabila berjumpa dengan lelaki yang menyakitkan hati ini untuk kali ke dua dalam satu hari.

“Menu?” Imran menyoal. Intan segera menghulurkan buku menu yang dibawa.

“Errrmm… Apa yang special.” Soal Imran lagi sambil tangannya menyelak-nyelak helaian pada buku menu. Biji matanya turun naik membaca nama-nama masakan yang ada tertulis di dalam buku menu tersebut.

Rafi menyampuk. “Kan aku dah cakap dekat kau pagi tadi. Sup ekor, siakap steam limau, kai….” Namun belum sempat dia menyebut nama menu yang terakhir Imran terlebih dahulu telah memotong.

“Aku cuma nak tahu apa yang tuan kedai boleh rekemen pada kita. Dia mesti lagi tahu apa special dishes dekat restoran ni.” Balas Imran mengerling pada si gadis yang setia menanti dengan pen dan buku nota kecil ditangan. Intan menjulingkan mata ke atas sebelum bersuara.

“Sup ekor, siakap steam limau, kai……lan ikan masin!” Ujarnya cuba mengulangi kata-kata teman lelaki ini tadi.

Imran menutup buku. “Lagi?” Soalnya sambil tersenyum nakal. Intan cuba mengawal perasaan. Jika lelaki ini bukan pelanggan restoran Mak Su sudah lama dia perhalau keluar dari kedai. Menyakitkan hati betullah.

“Daging merah, udang goring tepung, tomyam campur!” Intan menyebut lagi menu-menu lain yang dirasakan menjadi hidangan istimewa di restoran ini.

“Lagi?” Imran menyoal lagi. Sabar Intan seperti sudah memuncak. Lelaki ini seperti mahu mempermainkannya. Eh hello… Nampak macam orang belajar tinggi tapi takkanlah tak tahu nak baca menu itu sendiri.

“Encik, depan encik tu ada buku menu. Encik boleh tengok semua menu yang ada dekat dalam tu. Semuanya dijamin sedap sehingga menjilat jari.” Ujar Intan dalam nada terkawal. Dia masih lagi berusaha untuk mengawal perasaannya.

Imran ketawa sinis apabila mengesan nada yang lain dari suara gadis ini. Dia mengangguk seolah-olah faham. “Owhhh…. Ok.” Ujarnya bersama-sama senyuman sinis. Intan jengkel melihat senyum tak ikhlas begitu apatah lagi yang mengukir senyum sumbing itu adalah dari lelaki yang telah memaki hamun dia pagi tadi. Ish… lagilah dia tak suka!

“Dik, ikan siakap steam limau, sup ekor dengan kailan ikan masin. Kau nak tambah apa-apa lagi Im?” Rafi membuat pesanan tanpa mahu menunggu Imran lagi. Melihat dari cara Imran tadi, dia dapat rasakan ada agenda busuk yang sedang bermain-main di kepala Imran. Imran disebalik ketegasannya ada sifat-sifat kenakalan. Bab mengenakan orang Imran jagoan!!!

“Ermm…” Dahi Imran berkerut. Dia berfikir. Seketika dia memandang ke wajah gadis itu sebelum beralih semula ke helaian buku menu.

“Kerabu mangga, udang tepung dengan daging merah.” Ujarnya kemudian.

“Okey.” Balas Intan. “Air?” Intan menyoal minuman pula.

“Jus tembikai.” Rafi menjawab. “Kau?” Dia menyoal Imran pula.

“Milo panas.” Imran menjawab.

“Okey.” Setelah selesai mengambil pesanan Intan berlalu namun baru beberapa langkah dia telah dipanggil semula oleh lelaki yang menyebalkan itu.

“Eh sekejap.” Panggil Imran. Dahi Rafi berkerut. Ah…. Dia mahu memerhati sahaja apa yang Imran mahu lakukan lagi. Rafi dapat rasakan nasib gadis ini akan bertukar menjadi malang hanya kerana telah mencari pasal dengan Megat Imran pagi tadi.

“Tukar-tukar. Kerabu mangga tu tak mahu gantikan dengan kerabu sotong. Errmm.. okey.” Ujar Imran.

Intan hanya menjeling sebelum menjawab perlahan. “Okey.”

“Eh… Tadi kami order apa?” Imran menyoal berpura-pura telah lupa pesanan yang mereka buat tadi.

Intan menarik nafas. Terasa seperti mahu nafas yang terhembus ni akan mengeluarkan api pula dari mulut seperti seekor naga kepada lelaki ini. Biar rentung!!

“Sup ekor, siakap steam limau, kailan ikan masin, kerabu sotong, udang tepung dan daging merah.” Intan mengulangi tanpa mahu lagi memandang muka lelaki itu yang ternyata sangat-sangat menyakitkan hatinya.

“Udang tepung tak mahu, ganti ayam goreng kunyit.” Imran membatalkan pesanan yang tadi dan menggantikan pesanan yang baru pula.

“Owhh…daging merah pun saya tak mahu lah.”

Lagi.

“Encik! Encik ni nak order makanan tu orderlah elok-elok. Kejap nak kejap tak nak. Encik nak main-mainkan saya ya?” Suara Intan meninggi memarahi lelaki yang tak ada sivik ini. Suka-suka hati sahaja bila sekejap mahu pesan yang ini lepas tu batal pesan yang lain pula. Intan mual. Patutlah hatinya hanya mampu terpaut pada Micheal Lee yang bermata sepet itu. Bukan kerana Micheal Lee ada iras-iras seperti Lee Dong Wook (sila muntah) yang membuatkan dia jatuh hati tetap yang lebih penting apek tu bukan lelaki biadap orangnya. Tak macam tipikal lelaki Melayu yang selalu sahaja bajet bagus dengan mempermainkan orang perempuan macam ni.

Imran menghempas buku menu ke meja. Dia berdiri. Wajahnya dicerunkan sedikit untuk mencari anak mata gadis yang sedikit rendah darinya. “Eh macam ni ker cara awak melayan pelanggan yang datang makan kat sini.” Katanya bersama jari telunjuk sengaja dituding pada muka gadis itu.

“Encik tu yang sengaja nak mencari pasal dulu.” Intan tidak mengalah dengan mudah. Telunjuknya turut sama terangkat menuding kepada lelaki yang tinggi lampai ni.

“Mana bos awak. Saya nak jumpa bos dekat sini.” Kata Imran berang.

“Ya saya encik. Pekerja saya ada buat apa-apa salah ker.” Suara Mak Su yang muncul tiba-tiba membuatkan Intan seperti baru kembali ke dunia realiti. Dia terasa kerdil apabila Mak Su mula menjegilkan biji matanya. Intan menjadi takut.

“Bos dekat sini?” Imran menyoal dengan nada sedikit sombong.

Mak Su mengangguk laju.

“Ni awak tolong ajar budak awak ni supaya lebih pandai nak menghormati pelanggan. Saya nak order boleh pulak nak marah-marah.” Imran mengadu. Matanya dijelingkan ke arah gadis yang tadinya begitu pandai bercakap tetapi kini sudah diam menikus apabila majikannya ada sekali di sini.

“Maaf encik kalau anak buah saya buat salah.” Mak Su memohon maaf. Pantas dia menarik lengan Intan ke belakang sedikit.

“Mak Su sakit Mak Su.” Intan mengaduh sakit apabila cengkaman tangan Mak Su terasa sehingga ke tulang lengannya.

“Engkau ni dah kenapa?” Soal Mak Su sambil tangannya memukul lengan Intan.

“Encik tu sebenarnya…” Belum sempat Intan menceritakan hal yang sebenar Mak Su terlebih dahulu memotong.

“Eyhh… Intan. Kau nak buat kedai aku ni bankrap ker. Kau tu pekerja dekat sini. Bila pelanggan datang kau kena layan elok-elok. Baru pelanggan akan datang lagi dekat restoran aku ni. Itu pun tak tahu. Bodoh!” Hambur Mak Su senafas. Kepala Intan diluku.

Intan tidak melawan. “Mak su. Customer tu sajer nak main-mainlah Maksu.” Dia masih cuba mahu menerangkan kedudukan sebenar.

“Tak ada sebabnya dia nak main-main dengan kamu. Kau ingat dia suka dekat kau sampai nak main-main macam tu” Balas Mak Su. Tangan Mak Su berkali-kali meluku kepala Intan. Intan menjadi malu. Terasa air mata sudah mula bertakung di tubir mata. Dia cuba tahan dari air mata jatuh mengalir apatah lagi banyak mata sedang memerhati dia dimarahi oleh Mak Su. Terasa malu yang amat sangat.

“Dah kau jangan nak buat muka sedih macam ni. Aku tak nak tengok Dah kau pergi balik ke depan. Ambil order.” Mak Su mengarah keras. Dia menolak Intan ke depan dengan sedikit kasar.

“Maafkan pekerja saya ya encik. Saya akan pastikan dia memberi layanan yang baik untuk encik dan teman.” Balas Mak Su penuh ramah.

Intan menunduk sikit. “Maaf.” Ujarnya sepatah. Mak Su hanya tersenyum apabila pelanggannya itu sudah boleh mengukir senyuman puas.

“Saya ulang balik pesanan encik tadi.” Ujar Intan lagi sedikit tersekat-sekat ketika mahu mengulangi semula semua makanan yang dipesan oleh lelaki itu. Macam nak meletup hati bila terpaksa menahan sebak begini. Mahu sahaja Intan bom muka lelaki yang telah berjaya membuat dia dimarahi oleh Mak Su. Biar muka good looking yang dikata oleh Nadia itu hancur berkecai. Huhh!!



Sementara menunggu kesemua hidangan untuk meja bernombor tiga belas itu siap Intan menghantar air minuman terlebih dahulu. Gelas berisi jus tembikai dan Milo ais berserta segelas air kosong diletakkan di dalam dulang dan dibawa dengan berhati-hati. Intan meletakkan air minuman itu di atas meja dengan cermat. Tiba-tiba…

“Eyhh… Awak sengaja tumpahkan air ni pada saya kan.” Lelaki itu menjerit kuat membuatkan seluruh pengunjungi di dalam restoran ini melihat kea rah kami. Ada antara mereka berbisik-bisik.

“Eh.. mana ada encik.” Intan menjawab. Dia langsung tidak tahu bagaimana air kosong dari gelas itu boleh tiba-tiba tertumpah sedangkan dia telah begitu cermat meletakkan gelas air kosong itu di atas meja.

“Awak ni kan?!!” Imran menggetus geram. Matanya dijegilkan besar-besar memandang wajah gadis itu. Mak Su yang berada di daput turut sama terdengar suara kuat lelaki itu segera bergegas ke hadapan.

“Ada apa lagi ni Intan.” Mak Su menyoal keras.

“Encik ni. Tuduh Intan tumpahkan air kosong ni pada baju dia.” Cerita Intan.

“Memang awak yang tumpahkannya tadi kan.” Imran menyampuk laju.

Intan mengetap bibir. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum berkata. “Kalau saya nak tumpahkan air, saya tak pakai air sejuk kosong macam ni. Saya pakai air panas terus ajer.” Kali ini Intan sudah hilang sabar. Dia lantang bersuara walaupun ada Mak Su yang ditakuti disebelahnya kini.

“Tengok ni. Eh pekerja macam mana yang awak ambil bekerja dekat sini. Macam ni ker awak selaku tuan punya restoran mengajar pekerja awak melayan pelanggan. Biadap!” Tempelak Imran. Rafi yang dari tadi duduk memerhati bangun dan cuba menenangkan Imran dari terus membuat onar di dalam restoran ini.

“Enciklah yang biadap. Saya tak buat, encik tuduh saya buat.” Balas Intan lagi. Dia begitu berani merenung tajam ke dalam biji mata lelaki ni. Mak Su yang mengitari keadaan restoran menjadi malu dengan kekalutan yang terjadi. Ada antara pelanggan mula memandang serong kepadanya dek kerana insiden ini.

“Dah. Masuk ke dalam. Masuk kedalam.” Mak Su mengarah Intan agar masuk ke ruangan dapur agar perbalahan ini tidak lagi berpanjangan. Intan menurut. Dia menjeling ke arah lelaki puaka itu sebelum berlalu.

“Maafkan pekerja saya encik. Tak apa. Hari ni encik makan saya bagi diskaun 20%”

Imran hanya tersenyum puas apabila majikan gadis itu telah sekali lagi memohon maaf kepadanya. Dia yakin kali ini pasti lagi teruk gadis itu akan dimarahi oleh majikannya. Imran gembira. Terasa seperti mahu melompat keriangan apabila berjaya mengenakan gadis yang banyak mulut itu.





Di ruangan dapur Intan cuba ditenangkan oleh Kak Surti. Dada Intan berdegup kencang. Dia tahu apa yang telah dilakukan tadi adalah salah apabila berani bersikap biadap dengan pelanggan tetapi bukan dia yang mulakan dahulu. Lelaki itu yang mulakan. Dia cuba bertindak untuk mempertahankan diri dari menjadi mangsa fitnah.

“Intan!!”

Mendengar suara Mak Su yang nyaring dengan wajah yang menyiga masuk ke dapur membuatkan jantung Intan terasa bagai mahu tercabut dari tangkainya. Intan cuba berdiri dihadapan Mak Su. Wajah Mak Su merah padam. Mak Su kelihatan sangat marah.

Tanpa berfikir panjang Mak Su terus menolak kepala Intan. Intan dipukul berkali-kali. “Kau ni dah kenapa. Nak melingkupkan bisnes aku?” Hambur Mak Su penuh amarah.

“Mak Su Intan tak salah Mak Su. Lelaki tu yang sengaja nak cari pasal dengan Intan.” Ujar Intan sambil menangis teresak-esak. Dia cuba mendapatkan simpati dari pekerja-pekerja lain tetapi mereka semua tidak berani membantu. Mereka semua sekadar memerhati.

“Dia nak cari pasal dengan kau kenapa? Kau kenal dia ker?” Mak Su masih lagi menggila memarahi Intan. Intan dipukul sekuat hatinya. Intan mengerang ke sakitan.

“Mak…” Intan cuba bersuara namun Mak Su masih yang sedang naik minyak sukar untuk ditenangkan. Mak Su terus menerus memukulnya.

“Kau jangan nak banyak cakap lagi. Aku tahu kau memang tak nak kerja dekat sini kan, sebab tu kau nak melingkupkan bisnes aku.” Ujar Mak Su.

“Mana ada Mak Su.” Intan menidakkan kata-kata Mak Su itu. Tidak terlintas difikiran untuk menjahanamkan perniagaan Mak Su apatah lagi inilah sumber rezeki Mak Su. Takkanlah dia perlu bersikap busuk hati mahu merosakkan perniagaan Mak Su yang sudah banyak berjasa dengan membesarkannya selepas ayah tiada.

“Meh sini kau.” Mak Su menarik tangan Intan. Pergelangan yang kecil itu digenggam kuat. Mak Su mula menarik dia ke tempat Abang Mail membancuh air. Mak Su merampas senduk air panas dari tangan Abang Mail. Air panas di dalam periuk yang sedang menggelegak disenduk separa.

“Tadi kau kata apa? Nak curah air panas dekat pelanggan aku kan. Kau nak rasa macam mana kena curah air panas. Mari sini aku bagi rasa.” Mak Su mengacahkan senduk berisi air panas itu.

“Mak Su tak nak mak Su. Tak nak Mak Su.” Intan merayu agar dilepaskan. Terasa sendi lututnya seperti sudah lemah. Dia benar-benar takut andai Mak Su benar-benar mahu menjirus tangannya dengan air panas itu. Keadaan di bahagian dapur sedikit kalut. Mak Su tidak mempedulikan kata-kata para pekerjanya yang lain agar jangan melakukkannya. Mak Su tidak peduli.

“Mak Su tak nak mak Su… Mak su..” Intan merayu. Dia cuba menarik tangannnya tetapi gagal. Tiba-tiba muncul Pak Su Khalil.

“Sayang…Sayang.. bawak bertenang boleh tak. Awak marah-marah macam ni pun benda dah jadi. Nanti kalau dah terkena air panas si Intan ni nanti, awak jugak yang nak kena bawak ke klinik. Kena keluar duit lagi. Sudahlah. Hari ni awak lepaskanlah dia. Lagipun Intan bukan pernah buat salah pun selama kerja dekat sini. Mungkin hari ni dia letih sikit kut.” Khalil cuba menghalang. Mak Su cuba bertenang. Hidungnya kembang kempis melihat wajah Intan yang sudah basah dek kerana air mata yang tidak berhenti mengalir.

“Eh…Kau ni kan nasib baik ada laki aku tau. Kalau tak nahas kau. Sudah. Kau pergi kemas meja yang dah kosong tu. Hari ni kau jangan nak ambil pesanan pelanggan. Pergi!!” Mak Su bertempik. Intan mengesat air matanya dengan hujung tudung bawal yang dipakai. Dia pergi kehadapan untuk menyambung tugasnya semula. Ketika mengelap meja yang sudah tiada pelanggan dia merenung tajam lelaki itu. Renungannya penuh rasa benci.



“Free-free ajer budak tu kena marah dengan bos dia.” Rafi berkata sebaik sahaja gadis yang menjadi mangsa Imran tadi keluar dari arah dapur. Dengan mata yang sembab dia tahu pasti teruk gadis ini dimarahi oleh majikannya.

“Dah dia yang salah. Siapa suruh dia tumpahkan air dekat aku.” Imran menjawab tanpa ada rasa bersalah. Dia bersikap selamba sahaja.

“Aku nampak Im. Bukan aku buta. Aku nampak kau yang sengaja tumpahkan air sejuk tu kan.” Ujar Rafi sedikit bengang.

Imran ketawa kecil. “Biarlah. Rasakan. Pagi tadi pandai sangatkan bahasakan aku.” Balasnya senang hati.

Rafi hanya mampu menggelengkan kepala. Imran bakal hidup keseorang sampai ke tua jika dia tidak mahu berubah. Getus Rafi di dalam hati.



Balik sahaja dari kedai Mak Su Maria dia tanpa membuang masa terus masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci sebelum blackberry dikeluarkan dari celah-celah lipatan baju di dalam almari. Dia menaip mesej di BBM untuk Michael. Dia buang rasa malu yang selama ini menjadi kekangan untuk dia menjadi pendahulu yang membuka bicara di skrin telefon. Dia mahu mengadu domba dengan Micheal tentang lelaki gila tadi. Dia juga mahu mengadu tentang Mak Su Maria yang cuba mencederakannya.

Dia membaca sepintas lalu mesej panjang lebar untuk Micheal itu terlebih dahulu sebelum menekan butang send. Intan tarik bantal busuk yang selalu menjadi peneman lenanya. Dia bawa bantal ke dada. Air matanya mengalir lagi. Satu persatu kejadian di kedai tadi berlegar-legar dimatanya. Bengangnya dia dengan lelaki tadi. Lelaki tadilah punca Mak Su Maria mengamuk sakan. Kecik…besar…kecik…besar dia melihat lelaki itu tersengih sinis sebaik sahaja dia keluar dari bahagian dapur dengan mata yang membengkak.

Pintu bilik diketuk dari luar. Intan cepat-cepat menyorok telefon bimbitnya ke dalam sarung bantal busuk sebelum bergegas membuka pintu.

“Eh…Kau tau tak sekarang pukul berapa. Kenapa tak tidur lagi.” Sergah Mak Su Maria.

“Intan belum mengantuk lagi Mak Su.” Intan menjawab terketar-ketar. Dia masih lagi takut untuk berhadapan dengan Mak Su Maria selepas insiden di restoran tadi.

“Kau dah mengantuk ker belum mengantuk ker aku tak nak tahu. Yang aku tahu sekarang ni kenapa dah lewat malam kau masih biarkan lampu bilik ni menyala. Kau nak naikkan bil elektrik aku. Kau tu dah la kedekut!! Bila aku mintak lebih sikit gaji kau kerja dengan May macam-macam alasan kau bagi. Nak buat simpan cari ibu kau di Kuala Lumpur konon.” Kata Mak Su dengan suara yang memetir.

Kepala Intan mengangguk-angguk laju. “Intan tutup lampu sekarang ya Mak Su.” Dia cepat-cepat menjawab.

“Tutup!!!” Jerkah Mak Su lagi.

Ketika Mak Su Maria mahu keluar dari bilik Intan, telefon bimbit Intan berdering hebat dan kemudian senyap.. Segera mak Su Maria berpaling. Muka Intan berubah pucat. Dia menelan air liur apabila biji mata Mak Su terjegil seperti sudah mahu terkeluar dari soketnya.

“Bunyi apa tu?” Soal Mak Su Maria sambil matanya memanah ke dalam biji mata Intan.

Air liur yang ditelan terasa berpasir. “Tak ada apa-apa Mak Sue.” Jawab Intan takut-takut tanpa memandang mata Mak Su.

“Aku tanya bunyi apa tu.” Suara Mak Su Maria sengaja dikendurkan.

“Tak ada apa-apa Maksu.” Tipu Intan lagi. Kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi. Kali ini lebih lama dari tadi.

Mak Su Maria mula menyelongkar seluruh bilik Intan untuk mencari dari mana punca datangnya bunyi deringan telefon berirama lagu tema drama Korea itu. Bantal lembik milik anak saudaranya itu dikibas-kibas menyebabkan sebuah telefon bimbit terjatuh keluar. Intan kaget. Mukanya menjadi pucat serta merta. Mak Su Maria mengambil telefon bimbit itu dan memandangn Intan dengan garang. Badan Intan terasa sedang menggigil apabila direnung begitu oleh Mak Su Maria.

“Apa ni?” Soal Mak Su Maria perlahan. Intan diam. Mata dibawa memandang ke lantai.

“Apa nih!!”

Jerkahan dari Mak Su Maria itu membuatkan jantung Intan hampir tercabut dari tangkainya. Dengan suara yang terketar-ketar dia menjawab.

“Handphone.”

“Handphone…” Kata Mak Su Maria panjang. Perlahan-lahan dia merapati Intan yang masih lagi menunduk.

“Bila aku mintak duit lebih sikit kau kata nak simpan. Tapi beli handphone mahal macam ni boleh pulak!!!” Herdik Mak Su Maria. Intan hanya menelan sahaja kata-kata herdikan Mak Su Maria itu. Dia tidak ada kekuatan untuk membalas.

Mak Su Maria menekan butang on pada telefon bimbit itu. Dia melihat nama pemanggil yang cuba menelefon Intan tadi. Kemudian matanya teralih pada Intan yang menikus. Dia membuka pula peti mesej dan membaca mesej-mesej di dalamnya. Kemudian matanya sekali lagi memandang ke wajah Intan.

“Owwhh…. Dah pandai bercinta. Dah pandai cari jantan dekat luar.” Kata-kata Mak Su Maria sinis menyucuk hati.

“Tak Maksu. Kami kawan ajer.” Kata Intan.

“Kawan kepala otak kau!” Mak Su Maria mula menonjol kepala Intan. “Kau ingat aku bodoh macam kau!!! Berapa kali aku dah cakap aku tak nak kau bercinta-cinta. Engkau tu hidup pun masih menumpang rumah aku, ada hati nak bantah cakap aku. Aku tak suka kau bercinta sebab aku tengah cari lelaki kaya untuk bagi kahwin dengan kau supaya hidup aku senang. Hidup kau pun senang. Bodoh!!!” Tempik Mak Su Maria.

“Nak bercinta sangat kan….” Mak Su Maria mula membuka telefon bimbit milik Intan. Sim card ditarik keluar dari slot.

“Nak bercinta sangat kan….” Mak Su Maria menayang sim card di tangannya ke mata Intan.

“Mak Su jangan.” Intan cuba menghalang apabila dengan rakus Mak Su Maria cuba mematahkan sim card itu kepada dua.

“Telefon ni kau bagi aku pakai ya.” Ujar Mak Su Maria.

Intan hanya memandang pilu sim card yang telah pun terpatah dua itu.

“Apa lagi yang kau tenung-tenung sim card yang dah patah tu. Tutup lampu cepat. Tidur!!”

Herdikan Mak Su Maria itu membuatkan Intan tersentak. Dia menurut. Lampu bilik dipadam. Di dalam gelap dia menangis semahu-mahunya. Kejamnya dunia!!!





Thursday, November 8, 2012

Kupilih Hatimu 5

Bab 5


“Im, boleh tak kalau kau cuba belajar control marah kau tu sikit. Aku tau kau banyak masalah tapi kau tak bolehlah lepaskan semua masalah kau tu dengan marah-marah orang lain. Ini aku tengok budak perempuan tadi tu sampai biru muka dia bila kau marah dia macam tu.” Ujar Rafi ketika dia dan temannya itu bersarapan pagi di warung yang berhampiran dengan tapak projek pembinaan yang sedang dijalankan.

Imran yang baru sahaja mahu menyuap nasi lemak sambal sotong ke mulut terhenti seketika. Dia merengus kasar. “Salah budak tu. Siapa suruh dia mencabar aku. Dia ingat dia perempuan aku nak cakap baik-baik dengan dia.” Ujarnya masih lagi bersisa geram dek kerana terpaksa bertegang urat dengan seorang gadis awal-awal pagi tadi.

Rafi mengeluh perlahan.Kepalanya turut menggeleng perlahan melihat kelakuan Imran yang tidak pernah susut barang sedikit sikap panas barannya itu.

“Tengok. Ini mesti kes bergaduh dengan Lydia la ni. Lepas tu kau lepas dekat semua orang.” Tempelak Rafi. Kening Imran sedikit terangkat apabila nama Lydia dibangkitkan. Patah seleranya mahu bersarapan. Milo panas diteguk perlahan-lahan. Sakit hati apabila mengingat kembali bagaimana seronoknya Lydia berpeluk dengan Kamal ketika keluar dari kelab malam tempoh hari.

“Kelmarin dekat kelab aku nampak dia keluar dengan Kamal. Again! Boleh pulak dia selamba ajer buat tak tahu dekat aku ni. Aku ni kan tunang dia.” Imran membentak sedikit keras. Beberapa orang pekerja kontrak yang turut sama bersarapan di warung ini memandang ke arahnya sebelum masing-masing membuat hal sendiri kembali.

Rafi berdehem. “Kau bekas tunang dia.” Rafi membetulkan kenyataan Imran tadi.

Imran melepas keluhan berat. “Yerlah. Bekas tunang.” Kata Imran menerima kenyataan.

“Kau tau kan Romeo macam Kamal tu bercakap lemah lembut. Atur ayat baik punya. Bila Lydia merajuk cepat-cepat pujuk. Kau ada? Nak cuba berlembut dengan dia. Pantang ada yang tak kena marah! Ada yang tak kena marah! Lepas tu bila Lydia merajuk kau biar ajer. Aku rasa mana-mana perempuan pun takkan boleh tahanlah dengan sikap panas baran kau ni Im.” Sedas Rafi lagi seperti sengaja mencurah petrol ke dalam bara api di hati teman baiknya itu.

Megat Imran dahulu tidak begitu. Rafi mengenali Imran bukan baru semalam. Mereka telah bersahabat sejak sekian lama. Dari sekolah sehingga ke university. Imran yang dikenali sangat bertolak ansur dan tidak mudah melempiaskan rasa marah pada orang lain. Tetapi sejak terbongkarnya skandal antara arwah Tuan Megat Husaini dan setiausahanya, Imran berubah secara total. Sikap panas barannya semakin menjadi-jadi apabila Lydia memilih untuk memasuki bidang peragaan. Sebelum Lydia menjadi model, Imran masih lagi berlembut dengannya walaupun dengan orang lain pantang silap sedikit dia pasti akan menyinga. Tetapi kini, baik Lydia atau sesiapa sahaja jika ada yang tidak kena siaplah untuk berdepan dengan singa jantan yang kelaparan itu.

Imran cuba bertenang tatkala mendengar Rafi cuba berkata sinis tentang dirinya. Kemudian dia ketawa kecil apabila mengenangkan bagaimana perhubungan Lydia dan Kamal.Dia yakin Kamal itu hanya stok geli-geli untuk Lydia sahaja. Lydia yang dia kenali tidak mungkin akan bertahan lama dengan lelaki yang tidak punya apa-apa selain dari mulut yang manis seperti Kamal. Kamal hanya seorang juru gambar yang cuma tahu mengikis duit perempuan. Lama-lama nanti Lydia pasti akan kembali kepadanya kerana dialah satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati gadis itu.Imran yakin tentang perkara itu.

“Kau ni kenapa tiba-tiba ketawa pula?” Rafi menyoal apabila melihat Imran sedang ketawa kecil.

“Kau yakin ker Lydia betul-betul nak dekat Kamal tu. Aku rasa sekejap ajer tu. Nanti-nanti pasti dia akan kembali kepada aku. Selama ni pun kita orang memang on off selalu. Lepas tu dia tetap juga datang merayu pada aku untuk terima dia balik.Kalau setakat Kamal yang tak ada apa-apa tu aku tak rasa Lydia boleh bertahan lama. Paling lama pun tiga bulan.” Ujar Imran penuh yakin.Sejarah telah membuktikan. Setiap kali mereka putus, mereka akan sambung kembali.

Kali ini Rafi sudah mula tersenyum sinis. “Kau pasti? Sekarang kau tengok dah berapa lama dia tak call kau, tak sms kau. Sudah tiga bulan lebih bro. Tak ada pun dia datang merayu nak kembali pada kau balik macam selalu.” Balas Rafi pula.

Imran terdiam. Ketawanya mati serta merta. Dia melihat jam.Hari ini sebenarnya sudah dekat empat bulan Lydia tidak menghubunginya.Menghantar pesanan ringkas untuk merayu agar mereka bersama lagi juga dia tidak terima. Duduk Imran menjadi tidak kena. Dia risau jika kali ini Lydia benar-benar mahu berpisah dengannya secara total.Bukan putus-sambung-putus-sambung macam selalu.

Imran cuba positifkan diri. Mungkin kali ini lambat sedikit. Sebab kali ini mereka bukan putus cinta tapi mereka putus tunang!! Hatinya berbisik seraya menolak kata-kata Rafi yang lebih kepada momokan untuk dia.



Rafi cuba menahan ketawa melihat muka Imran yang mula berubah. Tiada lagi riak yang penuh keyakinan seperti tadi.Kini muka Imran menjadi cemerut.Ada riak gusar. Padan muka. Cemuh Rafi di dalam hati.

“Alamatnya hajat kau nak naik pelamin dengan Lydia hujung tahun ni kena postpone lagi lah kan?” Rafi memerli.

Imran hanya mendiamkan diri. Mungkin benar telahan Rafi. Dalam beriaya-iya dia dan Lydia merancang untuk melangsungkan perkahwinan hujung tahun ni pasti akan bertangguh lagi. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya.

“Aku dengar umi kau pun macam dah tawar hati ajer nak bermenantukan Lydia tu.” Rafi cuba mengorek rahsia.

Imran angkat muka. Dia mencerun memandang Rafi. “Mana kau tahu? Lydia bercerita dengan Diana?” Tebak Imran.

“Alah kau ni. Lydia dengan Diana tu kan kawan baik. Mestilah apa-apa ajer masalah Lydia tu dia akan bercerita dengan Diana.” Ujar Rafi.

“Umi aku start tak berkenan masa dia masuk modeling tu la. Kau ingat aku suka-suka tak bagi dia jadi model ker.” Balas Imran yang masih lagi pening dengan sikap umi yang tidak berkenan dengan pilihan hatinya itu.

Rafi mengangguk faham. Benda baik tentang Imran yang selalu buat dia rasa kagum adalah Imran seorang anak yang taat kepada uminya. Apa sahaja yang umi Imran kata, Imran pasti menurut. Cuma tentang Lydia sahaja yang dia berkeras sikit. Maklumlah, Imran dan Lydia berkawan sudah lama, takkan senang-senang nak putus macam tu sahaja walaupun putus sambung tu sudah menjadi perkara biasa dalam perhubungan mereka.

“Aku tak rasa Lydia tu nak balik pada kau. Aku rasa Kamal romeo tu layan dia sepuluh kali lagi baik dari kau layan dia. Jadi, buat apa dia nak balik pada kau yang tak habis-habis nak baran ajer. Lepas tu tak romantik langsung!” Sedas Rafi lagi. Imran ni pelik jugak orangnya. Dalam selalu kata sayang Lydia gila-gila tapi jarang sekali tengok dia bersifat romantic dengan gadis itu. Yang Imran tahu, kalau ada yang tak kena sikit keluarlah baran dia tu.

Kadang-kadang dia fikir tindakan Lydia untuk berpisah dengan Imran itu adalah satu tindakan yang bijak.Walaupun dia kurang gemar dengan perangai Lydia yang sedikit gedik dan poyo itu, tetapi gadis itu wajar untuk dikasihani juga. Lydia bersungguh-sungguh menjaga perhubungannya dengan Imran, apa yang Imran inginkan semua dia cuba tunaikan walaupun mereka belum mempunyai apa-apa hubungan yang sah. Cuma apabila Imran meminta untuk Lydia meninggalkan bidang peragaan diminatinya itu yang tidak mampu dia tunaikan.

Tetapi Imran sedikit pun tidak pernah menghargai. Dia terlalu sibuk dengan kerjayanya. Tidak pernah ada masa untuk Lydia. Kadang-kadang kalau berjumpa dengan Lydia hanya apabila dirasakan perlu sahaja. Sedangkan lumrah seorang perempuan tentulah mahu kekasih hati lebih memberi perhatian. Ada masa untuk makan bersama dan berkongsi cerita. Ini tidak Imran. Kalau jumpa pun mesti akan ada perkara yang akan buat keduanya berakhir dengan satu pertengkaran. Kemudian Lydia akan berpura-pura mahu memutuskan hubungan dan kemudian tidak sampai sebulan gadis itu akan menghubungi Imran untuk bersama semula. Begitulah pola perhubungan Imran dan Lydia sejak dahulu lagi. Memang Lydia sahajalah yang akan mengalah.

Imran merengus geram. “Kau ni dah kenapa Fi. Sengaja nak tambah panas aku? Panas dengan budak tadi pun tak habis lagi sekarang ni kau nak tambah lagi?” Bentak Imran keras.Topi keselamatan dicapai.Dia terus bangun lalu beredar dari warung Kak Mah.Rafi yang sedikit tersentak cepat-cepat membayar harga makanan dan minuman mereka berdua. Dia terkocoh-kocoh cuba menyaingi langkah Imran yang sudah jauh ke hadapan.

“Tak adalah aku cakap ajer. Dahlah, aku malas nak bertekak dengan kau pasal soal ni. Aku pun dah berbuih nasihat benda yang sama. Kau tak juga buat peduli.” Ujar Rafi apabila mereka sudah berjalan seiringan.

“Aku tak perlukan nasihat dari kau tu.” Balas Imran terus melangkah laju.

“Yerlah. Kau bos. Mana nak dengar nasihat pekerja macam aku ni.” Ujar Rafi sedikit rendah.Langkah Imran terhenti.Dia melihat Rafi yang sudah bermuka sepuluh sen.

“Sudahlah kau. Nak merajuk-merajuk pulak. Walaupun aku ni bos aku tak pernah pun layan kau sebagai pekerja aku tau selama kau kerja dekat company arwah bapak aku ni.” Ujar Imran seterusnya mahu mematikan soal Lydia yang boleh membuatkan moodnya menjadi tidak baik sepanjang hari.Topi keselamatan di pakai apabila sudah menghampiri ke tapak projek. Rafi tersengih sambil dia juga turut sama memakai topi keselamatan. Dia berjalan menghampiri Imran yang telah beberapa langkah ke hadapan.

“Macam mana projek dekat sini. Aku harap semua berjalan lancar.” Soal Imran. Kali ini intonansinya agak serius.Dia memerhati kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

“Jangan risau bos. Dekat sini semua okey. Insyaallah, bulan depan kita dah boleh masuk fasa terakhir.” Ujar Rafi. Pelan di tangan dibentang di atas depan Harrier Imran. Tangannya juga dihala pada pelan seolah-olah turut sama menerangkan tentang fasa-fasa projek pembinaan di sini.

Imran mengangguk-anguk mendengar penerangan panjang lebar dari Rafi itu.Dia berpuas hati dengan penerangan dari Rafi. “Bagus.” Pujinya seraya menepuk bahu Rafi. “Aku percaya pada kemampuan kau selaku pengurus projek yang aku lantik untuk handle projek pembangunan dengan Kinta Nusa tu.” Ujar Imran lagi.RayBan disangkut di telinga untuk menghalang silau dek kerana cuaca yang sudah mula meninggi.Dia berjalan di sekitar tapak projek.Rafi seperti biasa sedia menemani Imran memerhati keadaan di sini. “Aku nak projek ni siap seperti yang telah dirancang. Kau tahukan, ini projek besar pertama yang aku handle selepas ayah aku meninggal. Projek ni akan menjadi KPI untuk aku. Projek ni juga akan menjadi benchmark untuk ahli lembaga pengarah yang lain menilai kemampuan aku menguruskan syarikat ni.” Terang Imran penuh karisma.

“Yes bos!! Jangan risau.” Balas Rafi seterusnya membuatkan darjah keyakinan Imran naik lagi.Dia tersenyum puas. “Tapi kau selaku pengurus projek jangan pula abaikan kebajikan pekerja. Memang syarikat kita mengutamakan achievement tapi subordinates welfare tak boleh nak ambil ringan. Apa yang para pekerja inginkan jika relevan kita boleh tunaikan.” Ujar Imran lagi. Rafi mengangguk-angguk. Di satu sisi dia kagum dengan karisma yang ditunjukkan oleh Imran.Imran benar-benar mahu menjadikan syarikat binaan hasil titik peluh arwah ayahnya dahulu menjadi satu legasi pembinaan yang disegani. Disebalik wajah tidak berperasaan Imran, ada sifat kemanusiaan juga.Imran memang amat menitik beratkan kebajikan para pekerjanya.

“Berapa lama kau akan ada dekat sini?” Soal Rafi cuba mengalih topic yang lebih santai apabila mereka sudah mula menuju ke kereta.

“Lusa aku baliklah.” Ujar Imran. Topi keselamatan ditanggalkan.

“Okey….” Rafi mengangguk-angguk. “Esok kau jangan lupa. Kita ada meeting dekat pejabat Setiausaha kerajaan negeri.” Ujar Rafi cuba mengingatkan tentang agenda mereka pada esok hari.

“Takkanlah aku nak lupa. Sebab tu aku balik lusa.” Balas Imran.

“So malam ni kita nak buat apa?” Rafi bertanya bersama kening yang sudah terjongket-jongket.

“Ada kelab best ker area Ipoh ni.” Imran bertanya sedikit sarkastik.

“Kau nak? Ada ajer.” Rafi sudah mula ketawa nakal. Tetapi ketawanya itu tiba-tiba mati apabila wajah Diana bersama batang penyapu muncul di fikirannya.Dia berdehem. “Tapi aku semenjak dah kahwin ni, tak beranilah nak masuk tempat macam tu. Buat Diana tahu, tak pasal-pasal kau kena arah orang lain pulak yang handle projek dekat sini sampai habis.” Balas Rafi sedikit malu-malu.

Imran sudah mahu ketawa.Dia tahu Diana itu garang macam singa.Melihat keadaan Rafi yang mendapat isteri garang seperti Diana itu membuatkan dia sedikit sebanyak takut nak menamatkan zaman bujangnya. “Sebab tu aku belum rasa nak kahwin lagi. Aku tak mahu hidup aku kena control dengan seorang perempuan bernama isteri.” Balas Imran.

“Tapi kahwin best wooo….”Ujar Rafi seraya terus menaikkan ibu jarinya ke atas.Mukanya begitu ceria sekali menyebut kata-kata itu.Imran sekadar menggeleng kepala.

“Kau boleh pulak kan jadi weekend husband and wife.”

“Tak tahan juga tapi nak buat macam mana tuntutan tugas. Tu sebab aku doa cepatlah projek dekat sini siap. Ni tambah Diana dah mengandung. Hari-hari dia telefon aku merayu-rayu bila kerja aku dekat sini nak habis.” Cerita Rafi. Mukanya menjadi sugul apabila terkenangkan isterinya yang sedang mengandung itu sendiri di Kuala Lumpur.

“Kalau kau rasa nak balik KL kau cakap. Aku boleh gantikan tempat kau dengan orang lain.” Ujar Imran yang memahami kesusahan Rafi yang setiap minggu akan berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan isteri kesayangannya itu.

Rafi menggeleng laju. “Eh tak apa. Diana faham. Tapi biasalah. Pembawakan budak.” Ujarnya sambil tersengih.Dari sengih Rafi itu Imran tahu, tentu Rafi sedang melalui fasa yang menggembirakan dalam hidupnya.Maklumlah bakal menjadi ayah. Tidak lama lagi akan mendapat Rafi atau Diana Jr.

“Okeylah kalau kau dah cakap macam tu. Tapi ingat, kalau kau ada apa-apa masalah bagi tahu aku.” Balas Imran.

“So malam ni?” Rafi menyoal kembali soalan yang sama tadi apabila masih lagi tidak menerima kata putus dari Imran tentang rancangan yang boleh mereka lakukan pada waktu malam nanti.

“Kau bawak ajerlah aku pergi makan tempa yang best. Aku tak mahu makan dekat hotel.” Ujar Imran.

“Okey. Kalau macam tu apa kata kita pekena makanan Thai nak. Ada satu restoran ni, staff-staff aku selalu cerita makanan dekat sana sedap-sedap terutama sekali sup ekor. Kita try dekat situ nak?” Rafi memberi cadangan.

“Okey. Boleh. Tapi kau ambil aku dekat lobi hotel la yer. Aku malas nak drive.” Balas Imran.

“Set. Nanti lepas maghrib aku ambil kau dekat lobi hotel.”

“Orait.” Balas Imran.

Selepas itu mereka sama-sama bergerak ke kabin kontena untuk merehatkan badan sebentar sebelum meneruskan agenda yang telah dirancang untuk hari ini.

Kupilih Hatimu 4

Bab 4


“So macam mana? Dah cuba call dia ker?” Soal Nadia ingin tahu ketika menghantar Intan ke tempat kerja pada suatu hari.

Intan mengeluh perlahan. Sudah sebulan Micheal pulang semula ke London, namun tiada lagi khabar berita dari lelaki itu yang diterimanya. Intan terasa seperti dipermain-mainkan pula. Setiap hari dia menanti Micheal menelefonnya di sini, tetapi hampa kerana itulah semalam dia telah meluahkan kegusaran di hati kepada Nadia.

“Patutlah kau awal kau datang ambil aku hari ni kan. Rupanya sibuk nak ambil tahu pasal perkara ni.” Getus Intan geram. Tangannya membetulkan tudung yang senget benget akibat mahu cepat tadi.

“Alah… bagus kan. Nanti lagi lama, lagilah panjang bebelan Mak Su kau tu kan.” Balas Nadia. Dia sudah sedia maklum, ibu saudara Intan itu selalu sahaja mencari kesalahan Intan tak kira masa dan tempat. Pagi-pagi buta pun ada sahaja modalnya mahu memarahi Intan tanpa sebab.

“Betul juga kan. Thanks!” Ujar Intan sedikit gembira kerana pagi ini telinganya bebas dari mendengar bebelan Mak Su yang tidak sudah-sudah itu.

“So amacam?” Nadia menyoal kembali soalan yang belum lagi mendapat jawapan yang dikehendakinya itu.

“Aku tak call pun. Text dia pun tak.” Ujar Intan jujur.

“Dah kenapa!” Suara Nadia sedikit kuat. “Dah tahu dia tak call, tak sms, kau lah yang call.” Nadia berkata geram.

“Aku malu!” Balas Intan. Dalam perkara-perkara begini dia perlu menjaga reputasi dirinya sebagai seorang perempuan. Jadi perempuan tidak perlu tersua-sua dan menunjuk sangat yang rasa suka pada seorang lelaki. Tambah-tambah perempuan Melayu. Lagipun Micheal yang bersungguh-sungguh mahu mengenali dia dengan lebih rapat sehingga sanggup menghadiahkan sebuat telefon bimbit kepadanya agar perkenalan ini tidak putus sekerat jalan. Tapi kini lelaki itu pula mendiamkan diri apabila sudah berada di sana. Agaknya Micheal memang bermulut manis kut. Di London dia memilih si gadis set-set minah saleh berwarna biru. Apabila dia pulang ke tanah air, dia pilih yang made in Malaysia pula. Dan yang lebih menyedihkan di dalam kisah ini adalah mangsa made in Malaysia lelaki itu adalah si gadis Melayu yang polos ini!! Hati Intan dicucuk-cucuk rasa geram apabila mindanya tidak habis-habis mengatakan Micheal memang orang yang macam itu!!

Nadia mencebek. “Mengadanya kau. Malu tapi bahu!” Katanya dengan nada sedikit memerli.

“Suka hati kaulah nak cakap apa. Aku kena jaga reputasi aku. Lagipun kalau Mak Su tau aku dengan apek tu, mati aku.” Ujar Intan lagi. Beberapa minggu ini dia dapat rasakan seolah-olah Mak Su Maria sedang memerhati apa yang dia lakukan.

“Tak payahlah kau nak takut sangat dengan ugutan Mak Su kau yang tak bagi kau nak bercinta-cinta tu. Kau dah 24 tahun kut. Bukan budak kecil lagi. Ish kalau aku kan. Aku dah lama keluar dari rumah Mak Su kau tu. Kau dah besar dah boleh jaga diri kau sendiri. Ni kau duduk rumah dia, sanggup jer menjadi hamba dia.” Balas Nadia meluah rasa bengang terhadap sikap terlalu berdiam diri sahabatnya itu sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh ibu saudaranya itu dibiarkan sahaja.

Intan sekadar mendiamkan diri. Kalau nak dia boleh lari dari rumah Mak Su. Dia boleh hidup sendiri, tetapi di dalam dunia ini dia hanya Mak Su sahaja saudara yang dia ada.

“Kau nak buat apa ni?” Intan menyoal apabila sebelah tangan Nadia sudah mula memegang Blackberry dan sebelah lagi memegang stereng kereta.

“Kau malu kan nak call dia, mari sini aku yang call dia.” Balas Nadia nekad.

“Eh tak payahlah. Kau tengah drive tu.” Intan menghalang.

“Bak lah sini.” Nadia tidak mahu mengalah. Ketika itu, tanpa dia perasan ada kereta lain yang baru mahu keluar dari simpang tiga.

“Nadd!!!!!!” Jerit Intan.

Tiba-tiba terdengar bunyi brek kereta ditekan kuat.

Intan dan Nadia terkehadapan. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Mereka menarik nafas lega apabila pasti tiada yang cedera. Namun kelegaan mereka itu hanya sebentar. Dua orang lelaki telah keluar dari perut Harrier putih yang nyaris-nyaris berlanggar dengan Myvi Nadia. Salah seorang daripada lelaki ini nampaknya sedang marah sangat. Dia mengetuk-ngetuk cermin tingkap pemandu. Lantas Nadia menurunkan cermin keretanya.

“Hoiii…. Ni ada lessen ker tak ada lesen bawak kereta ni. Sekolah memandu mana yang bagi lessen dekat awak ni.” Marah lelaki itu bersungguh-sungguh.

“Sorry.” Ujar Nadia dengan sengih kerang busuk.

“Sorry. Sorry. Sorry.” Lelaki itu cuba mengajuk Nadia. “Eh.. Sorry naik lorry lah. Kalau apa-apa jadi dekat kereta saya tadi macam mana?” Soalnya sedikit sombong sambil telunjuk dihalakan ke arah Harrier putihnya itu.

“Alah. Lepaklah bro. Belum kena lagi kut.” Intan menjawab bagi pihak Nadia. Nadia sudah terdiam. Mungkin takut akibat diherdik oleh lelaki ini.

“Belum kena lagi! Habis tu kalau terkena macam mana? Awak mampu nak bayar ganti rugi?” Sekali lagi lelaki ini menunjukkan sikap sombongnya. Intan sedikit jelik apabila masih ada lagi orang kita yang tak tahu beradab bila bercakap. Lantas dia keluar dari perut kereta. Turut sama menunjukkan sikap samsengnya juga. Lengan baju kurung yang dipakai di selingsing hingga ke lengan.

“Hello… Kan tak kena. Syukur Alhamdulillah lah kan. Tak payahlah nak herdik-herdik orang macam tu.” Intan menunjuk jarak antara Myvi Nadia dan Harrier lelaki itu. “Jarak yang begitu besar macam ni gajah dan rakan-rakannya lalu pun boleh.” Sambung Intan lagi dengan nada memerli.

Lelaki itu kelihatan semakin bengkek. Pandangannya yang tajam mencerun tepat ke wajah Intan. Intan sedikit gugup. Tetapi dia cuba menyembunyikan perasaannya.

“Lagipun kereta encik ni bukan Ferrari pun.” Balasnya sedikit menyindir.

Nadia yang turut sama telah keluar dari kereta sedikit kagum dengan keberanian Intan membidas setiap dari kata-kata lelaki itu.

“Apa dia?” Lelaki itu menyoal. Dia menghampiri Intan. Sedikit terkebelakang Intan apabila lelaki itu semakin dekat dengannya sehingga dia terpaksa bersandar pada badan Harrier putih itu. “Awak cakap apa tadi?” Haba panas yang keluar dari mulut lelaki itu terasa-terasa di muka. Intan cuak. Mukanya bertukar menjadi pucat lesi.

“Imran sudahlah tu. Semua okeylah.” Teman kepada lelaki yang biadap itu mula bersuara setelah hanya menjadi pemerhati sahaja kepada insiden perang mulut antara Intan dan temannya itu. Lelaki itu di tarik agar menjauhi Intan. Nadia juga cepat-cepat menarik Intan jauh dari tuan punya Harrier itu.

“Minta maaf yer Encik. Kami tak sengaja. Insyaallah lain kali kami akan lebih berhati-hati dan tidak akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.” Ujar Nadia laju sambil kepalanya mengangguk-angguk memohon maaf. Intan pula masih cuba merenung lelaki itu dengan pandangan yang begitu tajam.

Telunjuk lelaki itu naik menghala ke muka Intan. Intan buat tidak peduli. Dia masih lagi merenung tajam lelaki itu. “Nasib baik kawan awak ni tau nak minta maaf. Kalau tak memang saya takkan lepaskan awak tau.” Ujarnya sebelum berlalu.







“Yang kau ni dah kenapa pergi layan bertekak dengan mamat tu. Sah-sah kita yang salah kan.” Ujar Nadia setelah lelaki itu pergi.

“Bukan kita, tapi kau yang salah. Kau yang memandu sambil main-main telefon sampai nyaris tak excident lepas tu kau kata aku yang salah pulak.” Tukas Intan.

“Yerlah.. Yerlah. Tu aku mengaku, aku yang salah. Tapi tak patutlah kau pergi bergaduh macam tu dekat tengah-tengah jalan raya macam ni. Ini nasib baik awal pagi tau, kereta pun tak banyak. Kalau tak, jadi bahan tontonan umum pulak.”

“Aku geram dengan lelaki yang biadap macam tu. Nak bercakap ikut sedap mulut dia ajer. Apa dia ingat dia bawak kereta mahal boleh nak tunjuk sombong dengan semua orang ker.”

Nadia hanya mendiamkan diri.

“Yang kau ni dah kenapa pulak tiba-tiba senyap ajer bila kena herdik-herdik macam tu. Selalu kau lagi hebat bergaduh dari aku kan.” Soal Intan tidak faham dengan kebisuan Nadia tadi.

“Aku terkesima. Aku tak mampulah nak bergaduh dengan mamat good looking macam tu.” Balas Nadia selamba sambil tersengih gatal.

“Good looking? Maknanya kau nak kata mamat tadi tu handsome?” Intan menyoal berkali-kali.

“Handsome dowh!!” Dengan teruja Nadia membalas.

Intan menggeleng kepala. “Cepatlah hantar aku. Karang lambat lagi.” Intan mengarah kerana malas mahu memanjangkan cerita. Doanya hanya satu, semoga dia tidak lagi akan berjumpa dengan lelaki sombong, bongkak, riak berlagak seperti itu lagi walaupun Nadia mengatakan yang lelaki itu good looking!

Tiba-tiba telefon bimbit Intan berbunyi menandakan ada mesej yang baru diterima. Dia melihat nama pengirim sms. Dari rasa marah, jelik dan sebal, hati Intan kini bertukar menjadi berbunga-bunga. Dia mengukir senyuman segaris. Mesej dari dia… Dari dia Lee Dong Wook pujaan hatiku itu!

Kupilih Hatimu 3

Bab 3


Nadia melirik Intan yang duduk di sebelah.Kelihatan temannya itu begitu ralit dengan Blackberry baru yang dihadiahkan oleh Micheal semalam.Sambil-sambil menaip BBM mulut Intan mengukir senyuman.Senyuman bahagia yang penuh bunga-bunga.

“Setahu aku kau lah manusia paling buta teknologi tapi cepat pulak kau belajar macam mana nak pakai BBM kan.” Nadia memerli.

“Kau ni, lepak-lepak lah. Kasilah chance dekat aku. Aku ni baru nak rasa perasaan sedang ingin bercinta.”Ujar Intan sambil ketawa. “Lagipun dekat rumah aku tak ada peluang nak bersembang dengan dia. Aku takut kantoi dengan Mak Su.” Ujar Intan dengan nada yang sedikit bimbang jika Mak Su dapat tahu dia sudah memakai telefon bimbit.

“Yerlah. Yerlah. Tapi kau kalau bercinta janganlah sampai lupakan aku. Dah macam aku ni driver kau pula. Aku sibuk-sibuk memandu kereta untuk menghantar kau ke tempat kerja, kau pulak senang-senang berBBM dengan Mike.” Selar Nadia.

Intan menyambung ketawa lagi.“Olololo… Takkanlah dengan Mike pun kau nak cemburu. Okey, aku simpan ya.” Katanya terus mematikan BBMnya dengan Micheal. Telefon itu disimpan semula di dalam beg. Dia mula memberi perhatian kepada Nadia.

“So, Mike propose kau jadi girlfriend dia ker?”Nadia menyoal ingin tahu.

“Ishh… Takkanlah secepat tu.”

Nadia mencebek. “Elelelele… Dah sampai bagi kau Blackberry, haruslah dia nak ikat kau jadi girlfriend dia. Apa-apa pun kau kena ingat Intan, dia bagi kau telefon ni dah kira macam dia menabur budi tau, jangan nanti bila tiba masa dia minta macam-macam kau terus bagi.”Ujar Nadia serius seterusnya memberi nasihat.

“Aku tahu. Aku pun takut jugak bila dia bagi aku telefon ni. Takut nanti dia minta kat aku macam-macam.Macam yang kau kata.Termakan budi, nanti tergadai body.Lagi satu, kalau Mak Su aku taulah aku pakai telefon, mesti dia marah.Mesti dia rampas dari aku.Kau tahulah Mak Su aku tu. Dialah manusia yang dah buat aku ni menjadi manusia yang buta teknologi yang macam kau cakap tadi.” Luah Intan tentang apa yang bersarang di hatinya.

“Kau simpanlah elok-elok. Jangan sampai Mak Su kau tahu. Kau pun janganlah gatal-gatal berBBM dengan Mike depan dia. Cari nahaslah tu!”Kata Nadia.

Intan mencebek. Geram tau dengan Nadia. Macamlah dia ni bodoh sangat. Dah tahu tak nak Mak Su tercium dia ada telefon bimbit baru, takkanlah dia lagi mahu berBBM dengan Mike di depan Mak Su pula. Itu samalah macam korek lubang kubur sendiri.

Perjalanan menuju ke kedai Auntie May menjadi sepi bila perbualan tadi Intan dan Nadia mati macam tu ajer.Sekarang yang cuma kedengaran celoteh Johara Pagi Di Era terjerit-jerit di corong radio.

“Terima kasih ya Nad.” Ucap Intan sebaik sahaja kereta Nadia berhenti di petak parkir dihadapan butik ibunya.

“Ah. Tak ada hal lah.Eh…. Karang lunch sama tau.” Ujar Nadia sebelum mereka sama-sama membawa haluan ke tempat kerja masing-masing.

“Okey.” Intan sekadar menjawab bersahaja.





Walaupun jam baru menunjukkan pukul sebelas pagi, Nadia sudah tercongok di kedai bunga Auntie May untuk mengajak Intan keluar makan tengahari. Dia sebenarnya bosan duduk di butik mama. Tangannya terlalu keras untuk membantu Kak Zaiton menghias bakul hantaran untuk pelanggan mama. Dia tidak ada bakat seperti mama dan Kak Zaiton yang begitu kreatif menghias hantaran. Kerja seni bukanlah kelebihan yang ada di dalam dirinya.

Intan membiarkan sahaja Nadia seorang diri melayan kebosanan yang sengaja ditempahnya sendiri. Nadia berkerja dengan ibunya. Bolehlah suka-suka hati mahu keluar makan tengahari pukul berapa pun, dia pula bekerja dengan Auntie May. Walaupun Auntie May jenis orang yang boleh bertolak ansur, Intan tidak mahu menggunakan kebaikkan Auntie May itu untuk culas di dalam waktu kerja.

“Kau tak nak jumpa dia dulu ker sebelum dia balik ke London.”Soal Nadia sedikit berbisik apabila Intan sudah datang kepadanya.

“Nak jumpa macam mana.”Intan menyoal kembali.Tiga kuntum bunga ros dan sebiji teddy bear kecil diletakkan diatas meja.Tangannya mula lincah menghias jambangan bunga yang di pesan pelanggan awal pagi tadi. Beberapa tangkai bunga gerbera di susun elok-elok sebelum di ikat. Pada tangkai-tangkai bahagian bawah batang bunga-bunga tersebut diletakkan kapas basah dan di baluti dengan kertas timah. Ditengah-tengah jambangan tadi diletak pula teddy bear kecil yang terlebih dahulu sudah diikat pada batang belon.Intan menarik plastik pembalut berwarna biru dan ungu. Dia balut separuh jambangan bunga tersebut dengan plastik berwarna sebanyak dua lapisan dan memberi tone warna yang menarik.

Nadia menepuk dahi. “Kau keluarlah dating dengan dia sekali sebelum dia pergi. Luahkan perasaan kau pada dia. Baik kau cepat sebelum ada minah saleh yang rembat dia nanti.” Dia cuba mengajar. Sesekali mata Nadia melirik pada Auntie May yang berada tidak jauh dari mereka. Dia tidak mahu Auntie May tahu tentang Intan dan Micheal. Auntie May itu ibu saudaranya Micheal. Manalah tahu jika Auntie May tidak suka mempunyai bakal anak saudara dari keturunan Melayu pula. Walaupun hubungan Intan dan Micheal masih terlalu hijau, kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku di masa hadapan perlu ambil kira juga. Fikir Nadia di luar kotak.

Tangan Intan berhenti bekerja sebentar.Nadia di pandang. “Kau ni cakap senangkan. Bila masa yang aku ada nak keluar dengan dia. Kau pun tahu kan aku ni sibuk mengalahkan Obama. Obama pun tak sibuk macam aku. Siang-siang aku dekat kedai bunga, malam-malam pulak aku kena tolong Mak Su dekat restoran. Tak ada masa.” Ujar Intan tentang jadual hariannya yang tidak pernah ada masa terluang. Pendek kata selagi belum masuk waktu sepatutnya untuk dia tidur, kerja…kerja..kerja…

Nadia mengangguk faham.Lupa pula yang Intan tu masa untuk diri sendiri pun dia kena curi-curi inikan pula nak adakan masa untuk keluar dating.Nadia mengeluh perlahan. Nampaknya memang BBM sahajalah yang akan menentukan sama ada perhubungan Intan dan Micheal berjaya atau pun tidak.

“Kalau sekarang?”Tiba-tiba satu suara datang mencelah antara mereka. Intan dan Nadia sama-sama berpaling lipat maut. Kedua mereka terpinga-pinga apabila melihat Micheal sedang berdiri di hadapan kedai sambil mempamer senyum 1000megawattnya itu.Intan menelan air liur.Senyuman itulah yang menjadi punca jantungnya berdegup kencang tatkala saling perpandangan dengan Micheal.

Hari ini Micheal tidak seperti selalu.Selalu Micheal datang menghantar bunga dengan hanya sekadar memakai tshirt lusuh dan berseluar steng.Tapi hari ini Micheal lebih perpenampilan kemas.Dengan seluar jeans dan tshirt polo berwarna biru gelap seperti melengkapkan ciri-ciri maskulin untuk seorang lelaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan hari ini Micheal dan Lee Dong Wook macam kembar lain emak lain bapak. Biarlah Nadia mahu mencerca untuk kali ke seratus dua puluh pun yang Micheal dengan Lee Dong Wook tu langsung tidak ada persamaan, Intan tidak peduli. Suka hati dialah kan nak kata Micheal dan Lee Dong Wook itu sama.

“Kalau sekarang awak boleh keluar dengan saya?” Soal Micheal sekali lagi apabila dia sudah menghampiri Intan dan Nadia.

“Hah…” Mulut Intan melopong.Dia tidak ada jawapan. Bagus juga jika sekarang Auntie May menjadi ibu angkatnya kan. Bolehlah dia suka-suka hati keluar makan tengahari awal macam yang selalu Nadia lakukan.

Micheal masih setia menanti jawapan.Intan pula menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Saya…”

“Pergilah Intan. Micheal dah minta izin semasa dia mahu datang ke mari tadi dengan Auntie May. Nanti kalau Micheal dah sampai ke London bila masa pula mahu berjumpa.” Auntie May mencelah seterusnya memberi lampu hijau untuk Intan keluar makan tengahari sedikit awal hari ini.

“Auntie May….”Intan menjadi serba salah.

“Tak apa. pergilah. Dari jauh Micheal datang tu.Takkan nak biar dia hampa. Lagipun lepas ni dah tak boleh jumpa lagi.”Ujar Auntie May sambil tersenyum.



“Haahlah. Pergilah Intan. Ini peluang.”Arah Nadia pula.

Hati Intan kembang berbunga.“Tunggu sekejap. Saya ambil beg saya.” Ujarnya.

“Jom Nad. Kau teman aku.” Intan menarik tangan Nadia untuk sama-sama menyertai dia dan Micheal keluar makan tengahari bersama-sama.

“Ngeee… Mana boleh aku teman. Kalau aku teman bukanlah dating namanya.” Kata Nadia separa berbisik. Dia melepaskan tangan Intan.

“Takkan aku nak keluar berdua ajer dengan dia. Agak-agaklah sikit.” Intan berkata dari celah-celah gigi yang dikatup rapat. Dia tersengih-sengih memandang Micheal dan Aunty May.

“Pergi ajer…” Kata Nadia. Bahu Intan ditepuk-tepuk perlahan.

Intan menarik muncung apabila Nadia tidak sudi menemaninya keluar bersama Micheal. Intan bukan apa kalau Nadia ikut, bolehlah Nadia menjadi pencetus suasana. Selama ini pun, Nadialah yang memeriahkan perbualan antara dia dan Micheal kerana jika kami hanya berdua sahaja masing-masing akan diam seribu bahasa.

“Pergilah. Kau tunggu apa lagi ni. Buat macam biasa ajer. Lagi satu kau janganlah cover-cover ayu pulak. Be yourself.” Sempat Nadia menitip pesan.

“Yerlah. Yerlah.” Intan menjawab.

“Auntie May pergi dulu ya.” Dia kemudian meminta diri dan dibalas dengan anggukan dan senyuman Auntie May.



Selepas selesai makan, Micheal membawa Intan keluar berjalan-jalan di sekitar Taman Polo. Asalnya Intan sangat tidak sedap hati untuk keluar berjalan-jalan selepas makan tadi, tetapi Micheal telah memberitahu Intan yang Auntie May memberi pelepasan untuk Intan separuh hari dengan dibayar gaji penuh. Micheal telah berpakat dengan ibu saudaranya itu untuk memberi sedikit ruang antara dia dan Intan untuk bersembang lebih lama dan tanpa gangguan kerana esok pagi-pagi lagi dia akan ke Kuala Lumpur dan malamnya dia akan terus terbang ke London.

Intan terpaksa bersetuju apabila Micheal sendiri telah menelefon Auntie May dan meminta Auntie May untuk bercakap sendiri dengan Intan, kerana Intan memang tidak selesa mahu mengulat di waktu dia sedang bekerja. Selepas mendengar sendiri kata-kata Auntie May yang memberi kebenaran kepadanya, barulah Intan berasa sedikit lega untuk keluar bersama Micheal. Itu pun setelah Micheal berjanji untuk menghantarnya pulang sebaik waktu kerja sebenarnya tamat. Dia tidak mahu Mak Su tercium yang hari ini dia pergi bersuka ria dan tidak bekerja.

“Intan, terima kasih kerana sudi keluar dengan saya.” Ujar Micheal sebaik mereka berdua melabuhkan punggung di kerusi batu di hadapan taman permainan.

“Awak kena berterima kasih dengan Auntie May. Kalau Auntie May tak izinkan saya keluar dengan awak tak mungkin kita dapat makan bersama-sama. Lain kali janganlah buat macam ni. Segan saya dengan Auntie May nanti.” Kata Intan seakan memberi peringatan pula.

“Lain kali maknanya kita boleh keluar lagilah?” Micheal cuba mengusik.

Intan gigit bibir bawah. Adakah lain kali lagi di dalam episod mereka. “Ermm.. Mungkin. Tapi awak kan nak balik London. Mungkin takkan ada lain kali lagi kut…” Kata Intan mendatar.

“Intan saya suka berkawan dengan awak.” Ucap Micheal jujur.

“Saya pun suka berkawan dengan awak.” Balas Intan.

“Boleh tak sebelum saya pergi, saya nak minta izin awak.” Micheal bertanya dengan penuh hemat.

Intan mengerut dahi. “Minta izin apa.” Soalnya.

“Saya nak minta izin untuk menjadi lebih dari sekadar kawan dengan awak.” Ucap Micheal jujur seterusnya meluahkan hasrat hati.

Intan terpinga-pinga dengan permintaan Micheal itu. Gentleman sungguh Micheal. Puji Intan di dalam hati.

“Saya suka pada awak sejak kali pertama saya ternampak awak semasa menghantar bunga di kedai Auntie May dulu. Saya pun tak tahu macam mana tiba-tiba saya boleh terjatuh hati pula pada gadis melayu macam awak.Yang saya tahu, sekarang saya memang sudah jatuh cinta dengan awak Intan.” Luah Micheal apa yang dirasakan sejak kali pertama bertentang mata dengan Intan.

Intan mengambil sedikit masa sebelum dia berkata. “Tapi Micheal…..” Namun kata-katanya cepat dipotong oleh Micheal.

“Awak pun kan. Saya tahu awak pun suka pada saya. Saya boleh nampak.” Ujar Micheal penuh yakin.

Intan mengukir senyum. “Micheal saya gadis Melayu, Islam. Awak dengan saya berbeza.” Kata Intan.

Micheal mengerut dahi pula. “Kenapa. Sebab awak melayu. Sebab awak islam. Saya tak kisah dengan semua tu. Andai kata suatu hari nanti saya akan berkahwin dengan awak, saya sanggup peluk islam semata-mata untuk bersama awak.” Kata Micheal yang sudah mula membayangkan perkenalan yang masih hijau ini akan menemui kesudahan yang sempurna.

Intan menelan air liur. Tidak sangka Micheal bersungguh-sungguh seperti ini. Dia memang menyukai Micheal tetapi dia tidak lagi mahu fikir sejauh itu. Dia dan Micheal datang dari dua dunia yang berbeza kerana itu dia masih perlukan masa untuk menilai Micheal secara keseluruhannya. Jodoh pertemuan di tangan tuhan. Jika sekuat mana pun hari ini dia dan Micheal merancang kalau Allah sudah menetapkan jodohnya dengan lelaki lain dia harus terima juga. Buat masa sekarang ini berkawan adalah yang terbaik.

“Micheal… janganlah berniat untuk memeluk islam semata-sama untuk berkahwin dengan seorang yang beragama Islam. Islam itu indah. Berniatlah meemeluk islam kerana kesucian agamanya.” Ujar Intan lembut. Micheal mengeluh lemah.

“Micheal, terlalu awal untuk awak luahkan perasan cinta awak pada saya. Kita pun baru sahaja berkenalan. Bagilah ruang untuk diri kita mencari keserasian.” Kata Intan lagi tidak mahu lelaki itu kecewa dan terasa dia telah ditolak sementah-mentahnya.

“Awak tolak saya.” Micheal berkata. Matanya cuba mencari anak mata gadis itu tetapi Intan cepat-cepat mengalih ke tempat lain.

“Apa yang saya katakana tadi tidaklah bermakna saya menolak awak. Cuma saya minta kita sama-sama memberi peluang kepada diri masing-masing untuk cuba mencari keserasian. Lagipun awak tak rasa ker, semua ni terjadi macam terlalu pantas. Saya baru kenal awak sebulan dan hari ni awak cakap awak cintakan saya.” Balas Intan tenang.

“Micheal, jujur saya katakan, saya pun suka pada awak juga. Jadi tolonglah jangan buat muka sememeh macam tu.” Kata Intan lagi. Serta merta muka sugul Micheal kini bertukar menjadi ceria kembali apabila kata-kata Intan itu membawa makna peluang untuk dia cuba bertahta di hati gadis itu masih ada.

“Sememeh? Apa tu.” Micheal bertanya.

Soalan dari Micheal itu membuatkan terbit ketawa kecil dari Intan. “Macam muka awak tadi. Masam ajer.” Katanya memberi penjelasan.

“Esok saya akan ke Kuala Lumpur pergi ke rumah abang saya. Lusa saya akan fly. Tak sabar nak tunggu cuti yang seterusnya. Lepas ni saya nak cuti lama sikit.” Beritahu Micheal.

Intan mengangguk. “Okey. Saya tunggu awak. Nanti kalau cuti jangan lupa datang hantar bunga dekat kedai Auntie May.”

“Mestilah.” Jawab Micheal girang. Hatinya sudah mula membilang hari untuk bercuti lagi di Malaysia. Mahu cuti lama-lama. Kalau boleh mahu pindah duduk di sini balik. Tidak lagi mahu bekerja di sana.

“Micheal, telefon ni macam mana. Betul awak bagi pada saya?” Intan tunjuk telefon bimbit hadiah dari Micheal semalam.

“Telefon ini memang hadiah dari saya untuk awak. Awak pakai sahaja.” Ulang Micheal lagi tentang perihal hadiah telefon bimbit ini.

Intan sekadar mengukir senyum.

“Awak gunakanlah. Bukankah awak dan saya nak mencari keserasian. Mana tahu teknologi boleh mendekatkan kita. Lagipun saya ikhlas hadiahkannya untuk awak.” Ujar Micheal.

Intan sekadar mengangguk. Bila Micheal berkata begitu dia menjadi sedikit lega.

Hari ini mereka berdua telah bersembang panjang lebar tentang diri masing-masing. Intan gembira sangat apabila Micheal begitu sporting bercerita tentang dirinya. Dari pada cerita tentang hobi terus ke makanan kegemaran terus kea lam pekerjaannya sebagai jurutera perisian. Perbualan mereka berdua sering kali diselang seli dengan gelak ketawa. Ah… Terasa seakan-akan hati sedang ingin bercinta!



“Lambat kau datang tolong aku hari ni.” Soal Mak Su Maria ketika Intan melintasinya di hadapan kaunter restoran.

Intan menelan air liur. Dek kerana begitu asyik berbual dengan Micheal di taman tadi dia jadi lupa yang dia harus menolong Mak Su Maria di kedai. “Tadi ada kerja sikit Mak Su.” Intan cuba berbohong. Cepat-cepat dia ke bahagian dapur untuk menyimpan beg di dalam locker pekerja.

Khalil yang memerhati tingkah isterinya itu terpinga-pinga. “Sayang, apa yang saya cakap tadi tu betullah. Saya nampak Intan keluar dengan jantan Cina mana entah dekat Taman Polo tu.” Khalil mengadu lagi.

“Saya tahu apa yang saya buat.” Ujar Maria tenang. “Tu ada pelanggan. Ambil order.” Maria mengarah suaminya pula sementara dia masih lagi menekan-nekan kasar kalkulator di atas meja. “Kau dah pandai menipu aku sekarang ya. Sampai masa taulah macam mana aku kerjakan kau nanti.” Maria menggumam di dalam hati.