Thursday, November 10, 2011

Ehem!

Insyaallah.

Esok pagi, saya akan muncul dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 untuk bercakap mengenai novel-novel saya.

Nervous. 

Doakan esok semua akan baik2 sahaja okey.

Baju kurung okey tak???

Thursday, November 3, 2011

Edisi Membebel

Saya tahu, awak tengah tunggu. 

Tapi macam mana nak cakap ek...

Saya tak suka betul melalui masa-masa ketandusan idea. 

Saya tengah usaha.  Draf 'Langkah Izzara'.

Calon Jodoh Untuk Adik?  Alhamdulillah.  Lama dah siap sepenuhnya.  Dah masuk baris untuk kena edit. 

 
Kak Cik kata tahun depan.  Insyaallah.  Jom tunggu sama2. 

Eila.

Monday, October 31, 2011

Pemberitahuan

Salam,

Saya nak bagi tahu, saya terpaksa deactivate akaun Facebook saya buat sementara waktu atas masalah2 peribadi.  Nak emel through gmail , okey jer!

Salam sayang,
Eila

Thursday, September 29, 2011

Yang Original Lebih Baik Daripada Yang Klon

Semalam saya baca post dekat wall Meen Zulaikha.  Novel pun ada orang nak cetak rompak.  Ish...ish..ish...  Pekehal la.  Dah tak ada kerja sangat ker sampai nak rompak-rompak hasil karya orang lain lepas tu dapat duit pergi beli makanan.  Lepas tu bagi anak bini makan.  Lepas tu satu famili makan benda haram.  Tak tau dosa pahala betul la golongan-golongan macam ni.

Harap pihak penerbit perlu berjaga-jaga lepas ni.  Kami penulis just tahu siapkan manuskrip, hantar untuk edit, dan tunggu siap publish.  Hal-hal lain tak ambil tahu pun (penulis lain saya tak pasti, tapi kalau saya memang macam ni sebab saya ni kan pemalas serba serbi...hik3).

Proses penghasilan sebuah novel bukan senang.  Susah tau nak create cerita, berimaginasi, tak tidur malam lagi semata-mata nak tulis sebuah novel yang tebalnya 500++ pages tu (so korang boleh bayangkan berapa punyer hazab yang novelis-novelis yang menulis lagi tebal dari tu.  kesian dorang tau).  Lepas tu tempoh menunggu untuk editing, hazab hoccay, bukan hantar manuskrip hari ni minggu depan editor akan edit (penulis popular saya tak pasti, tapi kalau saya tetap jugak kena tunggu bulan2) , lepas tu tambah lagi dengan kos penerbitan, promosi tak ker semua tu makan banyak duit.  Lepas siap buku, korang golongan tak ada etika ni senang-senang pergi ciplak.  Haihh...  Dunia.. dunia...  Main senang jer nak untung atas angin.  Apalah maknanya dapat duit tak berkat yang sah-sahlah haram tu. 

Walaupun kes ni tak melibatkan novel-novel saya (harap taklah terjadi) saya tetap simpati pada mereka yang terlibat.  Mesti mereka yang terlibat ni rasa teraniaya.  Kalaulah terjadi pada saya (nauzubillah. mintak dijauhkan) tak tahulah nak buat macam mana.  Sudahlah penulis kecik, tulisan pun ada jer yang kritik (saya baca okey kritikan-kritikan tu...terima kasih....saya akan terus belajar untuk memperbaiki kelemahan) kalau itu pun nak ciplak, apalah nasibbbb....  Berkecailah angan-angan nak jadi kaya raya tu... hahahahah... 

Pesanan saya kepada peminat novel.  Hati-hati okey.  Jangan sampai terbeli yang cetak rompak.  Ingat kata CicakMan 'YANG ORIGINAL LEBIH BAIK DARIPADA YANG KLON'. 

Kepada kaki ciplak, insaf beb.  Tuhan tahu apa yang korang buat. 

~Nama saya Eila~

Tuesday, September 13, 2011

Langkah Izzara Bab 6

Pagi itu sebelum pergi ke restoran aku telah meminta Cik Mala, Abang Fuad dan Cicik menunggu sebentar.  Aku bernekad mahu berterus terang dengan mereka bertiga hari ini jugak kerana lagi lama aku berahsia aku semakin berasa bersalah dan tidak selesa mahu berdepan dengan mereka. 
“Cik Mala, Abang Fuad, Cicik…. Errmm…  Boleh tak saya nak cakap sesuatu sebelum kita pergi kedai.”  Pintaku sebelum kami semua masuk ke dalam Kelisa Cik Mala.
“Cakap apa?  Kita dah lambat ni.  Cakap dekat sana jer tak boleh ker?” Kata Cik Mala yang agak terburu-buru mahu segera sampai ke restoran. 
“Tak boleh Cik Mala.  Kat sana ada Uncle Don.  Tak boleh.  Tak boleh.  Ana nak bercakap dengan korang bertiga jer.”  Aku berkata sambil menggeleng-gelengkan kepala. 
“Uncle Don ada buat apa-apa dekat kau ker noks sampai tak boleh nak cakap depan Uncle Don.”  Soal Cicik dengan gayanya yang sangat tipikal bagi seorang lelaki yang bernurani lembut mengalahkan orang perempuan tu.
Aku menggetus geram mendengar soalan Cicik yang berbunyi sebegitu.  Aku faham maksud soalan Cicik itu.  “Ishh…  Tak lah.  Mana ada Uncle Don buat apa-apa dekat saya.  Cuma saya nak cakap satu rahsia pada awak bertiga dulu.”  Balasku.
“Rahsia?  Rahsia apa?”  Soal Abang Fuad pula.
Aku berdecit perlahan.  “Errrmm…”  Aku perlu mengambil masa lebih panjang untuk berterus terang.  Jantungku berdegup sedikit laju.  Aku bermain dengan hujung tshirt berwarna merah yang masih belum ku masukkan ke dalam seluar.  Ini adalah uniform kerjaku. 
“Cakaplah cepat.  Kan dah lambat ni.”  Desak Cik Mala apabila Izzara masih lagi berlengah-lengah dengan bermain hujung tshirtnya itu. 
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum berkata.  “Sebenarnya saya datang KL bukan sebab nak cari kerja untuk tolong keluarga.  Saya lari dari rumah.”  Luahku laju tanpa ada satu perkataan pun yang tertinggal.  Itu adalah point penting di dalam pengakuanku ini. 
“Owhh…  Okey.  Sekarang boleh gerak kan. Jom semua.”  Jawab Cik Mala. 
 “Okey.”  Balas Fuad dan Cicik serentak.  Masing-masing telah masuk ke dalam kereta.  Aku juga. 
Aku menjadi pelik melihat riaksi bersahaja yang ditunjukkan oleh mereka semua.  Masing-masing tidak member respon seperti yang aku bayangkan.  Aku membayangkan Cik Mala akan membebel di tepi telingaku sebanyak seratus patah perkataan dalam seminit, Abang Fuad akan menghentak aku dengan tongkatnya dan Cicik akan memukul-mukul bahuku dengan lembut kerana marahkan aku yang telah berbohong kepada mereka semua.  Tapi, sebaliknya.  Mereka cool dan bersahaja.  Mereka mahu cepat ke tempat kerja. 
“Sebenarnya saya bukan orang susah.  Abah saya orang kaya kampong.  Dia banyak duit.  Betul saya tak tipu.”  Kataku dengan bersungguh-sungguh apabila kereta Cik Mala sudah berhenti betul-betul di hadapan restoran milik Uncle Don.
“Okey…”  Mereka bertiga bercakap serentak dan terus keluar dari kereta lalu meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.
“Cicik sekejap.” Aku menghampiri Cicik yang sedang tekun menyusun kerusi dan meja.  “Kenapa semua orang dari tadi asyik okey…okey…  okey jer.  Saya dah tipu awak semua, termasuk Uncle Don sekali.  Marahlah saya, saya tak kisah.”  Kataku dengan bersungguh-sungguh.  Selagi aku tidak dimarahi oleh mereka bertiga aku berasa tidak sedap hati. 
Cicik mengerutkan dahi.  “Apa yang awak merepek ni Ana.  Pergi buat kerja.  Sekejap lagi kedai nak bukak.”  Cicik mengarah.  Sebelum Cik Mala yang berada di dapur restoran membebel kerana melihat dia dan Izzara bermain-main di depan ni adalah lebih baik dia berjaga-jaga. 
“Cicik, saya buat salah pada awak semua.  Takkan awak semua tak nak marah-marahkan saya.”  Kataku lagi tanpa menghiraukan arahan lembut dari Cicik tadi.
Cicik melihat wajah polos Izzara.  “Awak tahu tak.  Semua orang dekat sini semuanya pernah buat salah lah.  Takkan kita orang nak marah-marahkan awak pulak sedangkan kami pun pernah melakukan kesalahan jugak.”
“Maksudnya awak pun pernah lari dari rumah.  Cik Mala lari dari rumah.  Abang Fuad pun lari dari rumah?”  Aku bertanya laju.
“Nokss…  Bukanlah kita orang semua ni pernah lari dari rumah.  Tapi adalah kesalahan-kesalahan lampau yang pernah kita orang buat.”
“Kesalahan lampau?  Apa yang awak semua pernah buat?”  Aku bertanya penuh minat.  Mahu mengorek cerita-cerita insan bertiga ini. 
“Nanti bila senang-senang nanti saya cerita okey.  Awak pun nanti kena cerita jugak macam mana awak boleh lari dari rumah sampai ke mari.”
“Siapa yang lari dari rumah??!!”  Tiba-tiba datang suara orang menerjah dari arah pintu depan restoran ketika aku dan Cicik sedang berbual. 
Aku dan Cicik sama-sama berpaling.  “Uncle Don….”  Aku bersuara perlahan.  Entah kenapa melihat riak muka pada wajah Uncle Don membuatkan aku menjadi gugup. 
“Hanna Izzara.  Ada benda yang saya patut tahu yang awak tak bagi tahu saya ker?”  Soal Uncle Don dengan nada yang garang. 
Aku menelan air liur.  Ku perhati Cicik juga begitu.  Semua orang okey hari ni, tetapi kenapa Uncle Don begitu.  Kenapa macam ganas sangat Uncle Don hari ni?  Aku berkata di dalam hati apabila muka Uncle Don masih lagi tidak hilang tegangnya.
“Okey…  Cool…  Hanna Izzara.  Uncle Don panggil nama penuh awak.  Maknanya….”  Cicik cuba berbisik di telinga Izzara.
“Maknanya…”  Aku masih menanti Cicik menghabiskan kata-katanya sambil mata masih lagi memandang Uncle Don yang sebentar lagi mungkin akan bertukar menjadi seorang Incredible Hulk.
“Cicik!”  Uncle Don menyergah kuat membuatkan Cicik menjadi kelam kelibut.
“Saya kena tinggalkan awak sekarang jugak.”  Bisik Cicik laju sebelum menyambung kata-katanya semula dengan sedikit kuat.  “Okey bos.  Saya buat kerja sekarang jugak.”
Aku sekadar melihat Cicik menyelinap masuk ke bahagian dapur restoran.  Aku sempat mengerling kea rah dapur.  Aku lihat Cik Mala, Abang Fuad dan Cicik curi-curi mengintai aku dan Uncle Don.  Huhh…  Gayanya aku memang aku akan kena teruk dengan Uncle Don. 
“Uncle Don….” Panggilku lembut.
“Cakap sekarang….”
Dan Uncle Don masih lagi bernada seperti tadi.  Garang dan tegas. 






Tuesday, August 23, 2011

Langkah Izzara Bab 5

BAB 5
“Cerita pada saya apa yang Ana dah setelah sebulan kerja di sini?” 
“Errmmm…”  Dahiku berkerut.  Cuba memikirkan perkara-perkara baru yang telah aku belajar di sini.  “Macam-macam.”  Jawabku akhirnya kepada pertanyaan lelaki ini.  Aku lihat dia tersenyum apabila mendengar jawapan dariku.  Perasaanku menjadi senang apabila melihat Uncle Don tersenyum begitu.  Jika dia muda tentu aku cair dibuat dek panahan senyuman manisnya itu.  Itu bila muka Uncle Don sedang tersenyumlah.  Kadang-kadang bila mukanya berubah menjadi kelat-kelat masam aku pun tak berani nak berdepan dengan dia.  Nak tengok muka apatah lagi.
Uncle Don yang usianya menghampiri ke angka 50 tapi masih lagi tegap dan nampak kuat.  Wajahnya tidak mencerminkan yang dia lelaki yang bakal menginjak ke umur separa abad.  Dia nampak kacak dengan pakaian chef bersama topi putih tinggi.  Owh yer..  Uncle Don lah yang melanggar aku lalu membawa aku ke rumah Cik Mala dahulu.  Jadi dia secara tak langsung dia menjadi penyelamat aku kerana jika aku tidak dilanggar oleh keretanya, pasti aku akan tidur merekot kesejukkan di mana-mana masjid di Kuala Lumpur.  Entah-entah aku telah selamat dibaham oleh kutu-kutu Kuala Lumpur.
“So Ana dah pandai buat semua bendalah.  Dah tahu macam mana selok belok perniagaan yang kami jalankan.”  Soalnya lagi.
Aku mengangguk.  Uncle Don walaupun sudah berkali aku mengingatinya agar memanggilku Zara seperti orang-orang lain yang mengenaliku dia tetap berdegil.  Mahu juga memanggil aku sebagai Ana. Katanya Ana lebih mudah disebut dan senang diingati.  Malah dia juga menyuruh Abang Fuad, Cik Mala dan Cicik memanggilku sepertinya juga.   Di sini namaku manjaku bertukar menjadi Ana.  Sepatutnya bukan Hannah ker.  Hannah Izzara.  Tukan nama penuhku.  Apa apalah.  Aku bukan Hannah Montana pun!
“Ana seronok kerja di sini.”  Uncle Don menyoal lagi.
“Seronok.”  Aku menjawab girang.  Semestinya aku patut bersyukur dengan pekerjaan ini.  Tidak kisahlah jika ianya hanyalah sekadar menjadi pelayan di dalam restoran milik Uncle Don.  Itu sudah cukup baik untuk seorang budak kampung yang hanya berkelulusan setakat SPM gred 3 yang terpaksa datang ke bandar semata-mata untuk mencari pekerjaan bagi menyara keluarganya di kampung. 
“Kalau seronok kerja elok-elok.  Ini gaji Ana untuk bulan ni. Jangan boros.  Kata nak tolong keluarga di kampungkan.”  Ujar Uncle Don dengan mesra.
Aku senyum semata menerima sampul surat yang berisi gaji pertamaku berkerja di sini. 
“Terima kasih Uncle Don.  Saya pergi ke belakang dulu.”  Kataku sebelum berlalu.
Aku melabuhkan punggung di kerusi panjang yang diletakkan di bahagian belakang kedai.  Sengaja kerusi panjang itu diletakkan di sini untuk kami berehat-rehat setelah penat melayan para pelanggan.  Kadang-kadang sini jugalah tempat Cicik dan Abang Fuad curi tulang.  Mereka selalu sahaja curi-curi tidur di sini. 
Sebaik punggung menyentuh permukaan bangku, aku melepaskan keluhan lemah.  Sebenarnya aku terpaksa menipu sunat dengan Uncle Don, Abang Fuad, Cik Mala dan Cicik.  Aku  memang mendapat SPM Gred 3.  Aku memang budak asal dari kampung.  Tetapi ada satu perkara yang mereka tidak tahu aku bukanlah dari keluarga yang susah.  Abah aku adalah antara orang-orang paling kaya di kampung.  Abah adalah ikon usahawan tani yang berjaya.  Abah ada kebun buah-buah yang besar.  Abah ada ladang ternakan kambingnya sendiri.  Selain itu kilang memproses pelbagai jenis kerepek itu adalah usaha abah yang boleh aku banggakan.  Lihat.  Aku adalah anak pemilik kilang.  Tak kisahlah jika hanya kilang kerepek.  Kerana kilang kerepek itulah abah pernah masuk di dalam rancangan Malaysia Hari Ini.  Muka abah penuh di dalam kaca televisyen ketika ditermuramah oleh Ally Iskandar.  Keesokkan harinya aku pula yang terkena tempias popular di sekolah. 
Tetapi kerana kedudukan abah sebagai orang kaya itulah yang membuatkan kisah cintaku berakhir dengan sesuatu yang menyedihkan.  Abah telah menghalang aku dari menjalinkan hubungan dengan Kamal, salah seorang pekerja abah.  Kamal bukan orang kaya.  Dia si yatim piatu yang sudah mula bekerja dengan abah sejak dari zaman remajanya.  Kejayaan ladang ternakan kambing abah itu pun sedikit sebanyak berkat usaha Kamal.  Dan di ladang kambing itulah aku dan Kamal tertangkap basah dengan abah.  Puas aku bersumpah yang kami berdua tidak melakukan apa-apa dan aku ke sana sekadar untuk menghantar makanan buat Kamal tetapi tiada siapa pun yang mahu mempercayai kata-kataku itu.   Aku dituduh sengaja mengada-adakan cerita.  Paling menyedihkan emak juga sukar mempercayai kata-kataku.  Kesan dari kejadian itu, Kamal telah diusir dari kampung.  Aku pula, sudah hilang semangat untuk hidup. Mahu belajar pun sudah malas.  Kerana itulah keputusan SPM kut setakat tu ajer.
Tamat SPM aku telah dipaksa bertunang dengan Zarul Azhar.  Satu-satunya belia yang menjadi kebanggaan orang kampung kerana dialah anak kampung pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara.  Menurut abah, lelaki seperti Zarul itulah yang boleh membahagiakan aku dan anak-anak aku nanti.  Ah…  Abah kan.  Sejak dari Zarul berjaya mendapat 12A1 dulu sudah diangkatnya lelaki itu untuk menjadi calon menantunya.  Zarul pula apa lagi.  Sukalah dia.  Sememangnya sejak dari kami lagi Zarul memang sukakan aku.  Aku pelik dengan diriku.  Apa kurangnya Zarul sampai payah sangat untuk aku menerimanya.  Sanggup pula tu meninggalkan dia di majlis pernikahan kami.  Zarul baik.  Zarul ada rupa yang menarik. Zarul anak tok ketua kampung.  Paling penting, Zarul begitu tulus dan setia terhadap cintanya kepadaku.  Bertahun di negara orang putih tidak sedikit pun cintanya teralih pada yang lain.  Zarul pernah berkata yang cintanya hanya untuk aku sahaja.  Errmm…  Cinta itu tak mengenal paras rupa. Cinta itu tak mengenal pangkat dan darjat.  Cinta itu tidak mengenal harta benda.  Segala kualiti yang ada pada Zarul bukan jaminan untuk buat aku jatuh cinta dengannya.
Aku mengeluh lemah lagi.  Terasa bersalah pula apabila terus melakukan penipuan ini terhadap Uncle Don, Abang Fuad, Cik Mala dan Cicik.  Tetapi jika aku berterus terang sekarang, aku jamin pasti aku akan disuruh pulang ke kampung sedangkan aku tidak mahu pulang ke kampung selagi tidak bertemu Kamal. Ermmm…
“Ana!!” 
“Opocot mak engkau!!” 
Sergahan Cicik dari arah belakang itu membuatkan jantungku hampir tercabut.  Aku paling tidak suka dengan hobi si lembut ini yang gemar membuat aku terkejut.  Dia suka sangat melihat aku melatah.  Katanya aku seperti nenek-nenek apabila melatah sambil menjerit opocot. 
“Cicik!! Awak ni…”  Aku mencebek.
“Alah awak ni.  Itu kan memang trade mark kita bila tengok awak tengah layan blues sorang-sorang dekat belakang ni.” 
Aku mengetap bibir sambil mencerunkan pandang ke arahnya.  Jadi si lembut ini memang tidak boleh melihat aku duduk bersenang-senang.  Ada sahaja modal mahu mengganggu ketenteraman sejagat. 
“Awak dah dapat gaji kan.  Bolehlah awak belanja saya, Ad dengan Cik Mala makan luar malam ni.” 
Aku sekadar ketawa.  “Boleh.  Kita pergi medan selera….”  Dahiku berkerut.  Cuba mengingati nama medan selera yang biasa aku dan Cik Mala pergi apabila hari cuti.
“Ishh….  Takkan nak makan dekat medan selera kut. Paling-paling tidak awak bawaklah kita semua pergi makan kat restoran-restoran mewah sikit.”  Sampuk Cicik laju.
“Hah..”  Aku melopong.  Demand!  “Tapi gaji kita…”
Cicik melepaskan tawa melihat wajah polos Izzara yang sedikit takut jika duit gajinya terkurang hanya kerana membawa mereka semua pergi makan malam di restoran mewah.  “Alah..  Kita main-main ajerlah awak.  Lagipun Uncle Don dah pesan.  Jangan nak paw duit gaji awak sebab awak kerja kan untuk tolong keluarga awak di kampung.  Awak ni good girl tau.”  Ujar Cicik panjang lebar.
Aku senyum semata mendengar kata-kata Cicik itu.  Goodlah sangat kan! Haihh…  Aku mengeluh apabila melihat Cicik yang sedang menunjukkan muka simpatinya kepadaku.  Aku memang rasa bersalah sangat-sangat nih!





Cover Enovel CJUA

Lagi satu cover enovel hasil sentuhan Kak Sue a.k.a Ilya Abdullah.  Sungguh kreatif.  Thanx Kak Sue!

Friday, August 19, 2011

Cover E-Novel

Owhhh....  Buat pertama kalinya enovel saya ada cover.  Itu pun ihsan dari orang yang rajin untuk tolong buatkan.  Terima kasih Kak Sue a.k.a Ilya Abdullah yang sememangnya sangat kreatif dalam nak design cover enovel.  Saya suka.  Lepas ni Izzara kena pakai shawl ala2 Yuna lah!... 

Thursday, August 18, 2011

Langkah Izzara Bab 4

BAB 4
“Eyyhhh budak nama awak siapa?”  Cicik menyoal.
Aku tersenyum ke arah si lembut ini.  “Zara.”  Jawabku sepatah.
“Zara jer?”  Fuad yang duduk di hadapan tiba-tiba menyampuk.
Aku menggeleng perlahan.  “Tak.  Hannah Izzara.”  Aku menjawab.
“Ki…ki..ta nak pergi mana ni?”  Giliran aku pula menyoal mereka bertiga.  Dadaku masih berdegup kencang seperti tadi apatah lagi terpaksa berhimpit-himpit di dalam sebuah kereta Kelisa SE yang comel dan cinonet ni. 
“Kita orang nak bawak awak pergi ke satu tempat.  Aummmm!!!!” 
Mataku membuntang melihat si lembut ini mengaum bagai harimau jadian.  Wajah cuak yang cuba ku sembunyikan tadi kini jelas terlihat di muka.  Aku sudah seperti mahu menangis. 
“Cicik!!”  Marah Mala apabila Cicik sengaja menyakat budak Izzara ini.
Cicik mencebek.  “Alah Cik Mala ni.  Tak habis-habis ker anginnyer lagi.”  Getusnya tidak berpuas hati dengan sikap angin Cik Mala yang asyik hangin jer.
Mala yang melihat muka cemerut Cicik dari cermin depan sekadar diam sahaja.  Fuad yang kembali diam di sebelah dijeling.
“Owhh..  Awak, kita tak sempat nak berkenalan lagi.  Nama kita Cicik.  Yang depan tu Abang Fuad.  Yang tu…  ermm..  dah kenal kut kan.  Cik Mala a.k.a Normala Sulaiman.”  Kata Cicik dengan kepala yang digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan seperti Madhuri Dixit yang sedang menyanyi sambil menari tarian klasik India seperti di dalam filem Dil To Pagal Hai.
Aku mengangguk apabila Cicik memperkenalkan setiap dari mereka seorang demi seorang.  “Cicik, awak cakaplah dengan kita, awak semua nak bawak kita pergi ke mana?”  Aku merayu.
“Tak payah takut.  Kami bukan nak pergi jual awak pun.  Kami cuma nak bawak awak pergi jumpa bos kami.  Sebenarnya awak, semalam bos kamilah yang langgar awak.  Lepas tu awak pengsan.  Dia terus bawak awak pergi rumah Cik Mala.”
“Bos??”  Dahiku berkerut.
Cicik mengangguk. 
Aku melemparkan pandangan ke luar.  Aku harap mereka ni orang-orang baik.  Lagipun tak patut nak berfikir mereka ni bukan-bukan, nampak macam mereka ni orang baik jer.  Cik Mala walaupun mukanya masam jer tapi dia tak nampak macam orang jahat.  Cicik lembut macam ni berani ke nak buat benda yang bukan-bukan.  Cuma Abang Fuad yang kadang bersuara dan kadang tidak tu yang buat hati tak senang sikit.  Tapi kalau Abang Fuad berani nak buat benda tak elok akan aku pukul sebelah lagi kakinya yang rengkat itu dengan kayu hoki.  Biar dua-dua rengkat dan tak boleh nak berjalan dah. 

p/s:  Saya suka en3 cinonit2.  Senang korang baca.  :)

Wednesday, August 17, 2011

Langkah Izzara Bab 3

BAB 3
Pagi ini aku bangun dari tidur dengan kepala yang masih sakit-sakit.  Lengan dan kakiku juga terasa sengal-sengal.  Mataku pisat-pisat.  Aku menguap sebelum mengeliat. 
“Agggrrhhhh!!”  Aku terjerit kuat apabila melihat ada dua orang lelaki di dalam bilik ini.  Bilik atau neraka?  Pantas tanganku menutup badan dengan comforter tebal.  Errmm…  Apa ke hal.  Aku masih lagi lengkap berpakaian.  Macam semalam!
“Apa korang buat dekat dia ni.  Kan saya suruh tunggu dekat luar jer.”  Marah seorang perempuan yang meluru masuk ke dalam bilik.  Mungkin dia terkejut mendengar jeritanku tadi.  Lelaki yang duduk dibirai katil ditolaknya.
“Auucchhh!! Sakitlah Cik Mala!  Kita orang tak buat apa-apalah.  Kita orang cuma datang nak tengok ajer.”  Gerutu lelaki itu.  Aku melihat lelaki itu.  Dia seperti adik-adik.  Entah kenapa aku terasa ingin tersenyum pula. 
“Kau dah okey dah.”  Soal lelaki yang seorang lagi pula. 
Aku menelan air liur melihat muka berkerut lelaki ini.  Mukanya nampak ganas. Ya Allah…  Di manalah aku tercampak ni.  Siapakah manusia-manusia ini?  mereka bertiga sangat-sangat berbeza karektor antara satu sama lain.
“Aku tanya kau dah okey ker?”  Soal lelaki itu lagi.  suaranya garau dan garang.
Aku menggangguk. Takut.
“Okey.  Korang dah tahu dia okey kan.  So sekarang tolong keluar.  Kita dah lambat dah ni.  Karang bising karang Uncle Don kalau kita lambat sampai.” 
Aku lihat wanita yang bernama Cik Mala itu menghalau dua orang lelaki yang masih belum ku ketahui namanya ini keluar dari dalam bilik.  Sepertinya mereka sudah bersiap-siap mahu ke tempat kerja.
“Cik Mala!”  Aku memanggil wanita itu.  Aku sudah boleh berjalan walaupun kaki masih sengal.  “Nak pergi mana?”  Soalku. 
“Kerja.” 
Dia membalas sepatah.  “Saya?”  Aku bertanya lagi.
“Duduk dekat sini.”
“Haahh…”  Aku sedikit terkejut.  Terus bola mataku berpusing melihat rumah ini.  Kepala otakku ligat berfikir yang bukan-bukan. 
“Tak mahulah.”  Aku menolak.  Beg pakaianku yang berada di tepi katil aku galas.  Aku tidak mahu duduk di rumah Cik Mala seorang diri.  Memang setakat ini makhluk bertiga ini tidak melakukan apa-apa yang tidak elok terhadap diriku tapi manalah tahu kan.  Ini hanyalah rancangan mereka semata-mata mahu menjadikan aku ‘lauk’.  Selepas sahaja mereka keluar dari rumah ini ada seorang lelaki kaya yang sudah standby di luar mahu meratah aku.  Biarlah aku berprasangka buruk janji aku selamat.  Aku nak keluar dari sini.
“Nak ke mana?”  Soal Cik Mala pula.
“Saya nak balik.”  Aku pejam mata.  Membayangkan kemungkinan yang akan terjadi aku jika aku balik sekarang.  Masak!  Ah..  Mungkin aku boleh ke mana-mana.  Aku boleh masih terus mencari Kamal.  Ya.  Nekadku melakukan ini semua hanya kerana Kamal!
“Awak nak balik sekarang?  Takkan awak taknak jumpa siapa yang selamatkan awak semalam.”  Balas Normala.
Aku mengerut dahi.  Masih ada lagi individu lain ker?  “Siapa yang selamat kan saya.”  Soalku.
“Pergi mandi dan siap.  Ikut kita orang.”  Arah Normala.
“Pergi mana?”  Aku bertanya.
“Pergi siap sekarang.”  Arahan Normala semakin tegas.
“Angin Cik Mala tak berapa nak okey.  Period katanya.  Cepat-cepat pergi mandi.” 
“Cicik!!!”  Suara Normala naik tinggi apabila Cicik sibuk-sibuk menyibukkan diri mahu menghantar gadis itu ke dalam bilik mandi.
 “Ya.. ya Cik Mala.  Kita tunggu dekat luar.  Ad, jom keluar sebelum bom jangka Cik Mala meletus.”  Cicik yang mendengar suara nyaring Cik Mala terus tidak tentu arah jadinya.  Laju dia meluru terus ker pintu sambil menarik Fuad bersama.  Fuad yang sekadar memerhati memberi jelingan tajam kepada Cik Mala sebelum dia turut sama keluar dan menanti di dalam kereta.

Langkah Izzara Bab 2

BAB 2
Aku masih setia menanti Kamal di tempat yang telah dijanjikan.  Mataku melilau mencari kelibat Kamal yang masih lagi belum muncul.  Berada di tengah kotaraya Kuala Lumpur pada waktu lewat malam begini adalah sesuatu yang asing padaku.  Hatiku dipagut rasa takut melihat manusia-manusia pelik yang lalu lalang dihadapanku. 
Aku cuba sekali lagi untuk menghubungi Kamal dengan menggunakan telefon awam ditepi hentian bas ini, tetapi talian masih tidak bersambut.  Keluhan lemah di lepaskan.  Mataku kembali mengitari tempat ini dengan harapan bayang Kamal akan ditemui.  Aku hampa lagi.  jam dipergelangan dilihat sekilas.  Sudah jam sebelas malam.  Aku menelan air liur.  Aku lihat kerusi tempat duduk tadi.  Seorang lelaki bersama beg plastic sudah merebahkan badan di situ.  Owhhh…  Takkan aku nak tidor di sini juga. 
Kamal pun entah kemana dan sekarang pun dah jauh malam lalu aku mengambil keputusan untuk pergi dari sini.  Paling-paling tidak, menumpang tidur di masjid adalah lebih baik dari tidur di hentian bas ini.  Walaupun hati masih berasa takut aku memberanikan diri meredah Kuala Lumpur seorang diri mencari tempat untuk bermalam.  Aku berjalan perlahan-lahan menyusuri tepi-tepi jalan raya sambil mata melihat-lihat kut ternampak papan tanda yang menunjuk kea rah masjid yang berdekatan. 
Ketika berjalan seorang diri, aku mendengar suara-suara nakal yang cuba mengganggunya.  Aku sekadar buat tidak tahu.  Dalam hati aku berdoa-doa agar janganlah ada salah seorang kutu-kutu ini cuba berbuat apa-apa terhadap diriku.  Aku tidak ada ilmu seni mempertahankan diri jika kutu-kutu ini berani untuk buat yang bukan-bukan.  Mereka masih lagi mengeluarkan suara-suara nakal.  Aku cuba bertenang dan cuba berlagak bersahaja.  Mungkin kerana melihat ketenangan yang cuba aku tontonkan kepada mereka membuat mereka terasa tercabar.  Salah seorang dari kutu tersebut menghampiri aku.  Namun sebelum sempat dia berbuat apa-apa, aku telah membuka langkah seribu.  Fuhh…  Mujur aku jagoan lumba lari 100 meter semasa zaman sekolah dulu.  Aku fikir nasibku baik kerana terlepas bala tadi tetapi tidak.  Ketika melintas jalan tiba-tiba….. 

Pemberitahuan:  Izzara dan Aku tu adalah orang yg sama.  Lepas ni saya akan menggunakan kata ganti diri 'aku' untuk watak Izzara.  Mau feel lebih katanyerrr... 

Monday, August 15, 2011

Calon Jodoh Untuk Adik 18


BAB 18
“Semalam saya cuba call awak banyak kali.  Kenapa tak jawab?  Awak ke mana?” 
“Abang sakit.  Jadi saya pergi tengok abanglah.”
“Tengok abang takkan sampai tak boleh nak jawab telefon.”
“Bateri telefon saya habis.”
“Tapi awak boleh telefon saya balik kan.  Kenapa awak tak telefon?  Awak tahu tak kenapa Alexander Graham Bell tu cipta benda yang namanya telefon?  Supaya manusia tu senang nak berhubung.  Bukan untuk simpan ajer.”
Aku mengeluh.  Alexander Graham Bell pulak.  Macam aku tak pernah belajar masa sekolah dulu.  “Awak, saya ada kerja nak buat ni.  Malam nanti kita jumpa kita cakap panjang-panjang yer.”
Aku mematikan talian dari Fariz.  Aku malas mahu membebankan fikiranku dengan menadah telinga untuk mendengar bebelan Fariz hanya kerana aku tidak menelefonnya kembali selepas 30 panggilannya tidak aku jawab.  Aku lebih risaukan keadaan abang, walaupun pagi tadi abang ada membalas smsku mengatakan dia sudah okey dan demamnya sudah kebah.  Entah kenapa, perasaan tidak sedap hati itu tetap jua ada. 
Aku cuba membuatkan diri menjadi sibuk dari terus memikirkan keadaan abang.  Fail profil syarikat yang akan kami jalankan siasatan audit aku ambil untuk aku baca.  Walaupun aku sekadar auditor kontrak sahaja di dalam firma ini, kerjaku tetap sama macam mereka yang sudah bertaraf tetap.  Aku turut sama disuruh untuk turun padang menjalankan siasatan.  Biasanya setiap kali pasukan audit turun padang, pasti ramai yang memandang serong.  Maklumlah pasukan kami dan pasukan CSI tu lebih kurang sama ajer bezanya kami menyelongkar segala bentuk  akaun dan harta syarikat dan bukannya bermain dengan mayat yang sudah reput seminggu!
Telefonku berbunyi lagi.  Kali ini dari Suhaila. 
“Apa kau nak ni.”  Aku menjawab malas.  Badanku sandarkan pada belakang kerusi.
Favourite colour abang kau apa?”  Suhaila bertanya.  Telefon bimbit dikepit pada telinga, manakala tangannya pula sibuk memilih warna tali leher yang sesuai untuk Abang Azmer.
“Kau ni kata admire, takkanlah itu pun tak tahu.”  Aku sekadar menjawab. 
“Cakaplah.  Aku ada dekat KLCC ni.”  Suhaila masih lagi mengharapkan jawapan dari Arisa.  Dia tidak mahu tersalah pilih tali leher yang bakal dihadiahkan kepada Abang Azmer sempena hari jadi lelaki itu nanti.
Mataku cepat teralih pada jam dinding.  “Heyyhhh….Sejak bila pulak tempat kerja kau pindah ke KLCC?” Aku menyoal Suhaila lagi dengan suara sedikit naik.   Aku geram kerana Suhaila ke sana tanpa mengajak aku sekali. 
Suhaila ketawa.  “Aku ada kerja dekat KL.  Alang-alang aku singgah KLCC sekejap.”  Balas Suhaila. 
“Mengulat!”  Getusku.
“Cepatlah.  Apa warna favaurite abang kau.”
“Kau nak buat apa?”  Aku bertanya.  Kenapa pada waktu pejabat ini Suhaila boleh berada di KLCC dan beriya-iya benar menelefonku hanya untuk mengetahui warna kegemaran abang. 
Suhaila berdecit.  “Ishhh…kau ni lupa ker.  Lagi tiga hari, kan birthday abang kau.  Aku nak belikan dia neck tie sebagai hadiah supaya setiap kali dia pakai neck tie tu dia akan ingat pada aku.”  Suhaila memberitahu tujuannya.
Aku menepuk dahi.  Hampir terlupa hari Sabtu ini hari lahir abang. 
“Cepatlah!  Jangan kau biarkan pihak Maxis menjadi bertambah kaya dengan melengah-lengahkan perbualan di dalam telefon.”  Bebel Suhaila.
“Biru!  Biru gelap.”  Kataku pantas.
“Ok.!”
“Ei……”
Belum sempat aku meneruskan kata, Suhaila telah mematikan talian.  Okey.  Aku ada alasan untuk keluar shopping malam ini!  Tanganku cekap menghantar SMS kepada Fariz.  Aku mahu mengajak dia keluar untuk mencari hadiah hari lahir untuk abang malam ini. 


“Awak habiskan RM270 ringgit semata-mata untuk membeli jersy MU limited edition ini hanya untuk menggembirakan abang awak di hari lahir dia.”  Kata Fariz sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Aku memandang Fariz.  Langkah kakiku terpasak di lantai shopping mall Alamanda ini.  Aku sedikit kurang senang dengan kata-kata Fariz itu.  “Dari kecil abang saya tak penah berkira untuk belikan apa sahaja yang saya nak.  Lagipun setakat dua ratus lebih ni apalah sangat jika dibandingkan jasa, kasih sayang dia pada saya.”  Aku menjawab serius.  Boyfriend, boyfriend jugak.  Abang tu tetap abang tau. 
“Sampai bila awak nak mengharap pada abang awak.  Sampai bila abang awak akan mengatur seluruh hidup awak.”  Fariz menyoal. 
“Kenapa awak tanya macam tu.  Dia abang saya.  Lagipun awak silap.  Abang tak mengatur hidup saya.  Dia cuma bertanggungjawab pada saya.  Awak kenalah tahu, selagi saya masih belum berkahwin, saya masih dalam tanggungjawab dia.”  Bidasku membela abang.  Memang aku kurang senang apabila ada orang yang berani memburukkan abang.  Apatah lagi berkata buruk di hadapan aku adiknya.  Tidak kiralah yang berkata buruk tentang abang itu adalah teman lelakiku sekalipun.  Itu tetap sesuatu yang biadap dan tidak boleh untuk aku terima.
“Tapi saya tengok abang awak tu macam tak suka ajer awak berkawan dengan awak jer.”  Ujar Fariz rendah.
Aku memandang ke mukanya yang sudah berpaling ke tepi.  “Awak yang salah.  Awak yang tak cuba mengambil hati abang.”  Kataku masih lagi mahu membela abang.  Aku tidak ingin mengakui kebenaran kata-kata Fariz itu.  Memang nampak sangat Abang seperti tidak menyukainya, tetapi Fariz perlulah memainkan peranan.  Dia perlulah pandai mengambil hati abang.  Ini bila abang beria-ia mengajak dia menonton bola di kedai mamak, ada sahaja alasan.  Jika berkumpul ramai-ramai pula, Fariz akan menjadi kera sumbang kerana tidak pandai bergaul dengan abang dan Abang Shahrul.  Dia juga akan bermuka masam jika aku tidak mahu berkepit dengannya dan membiarkan dia duduk seorang diri di tepi kolam rumah Kak Ina macam orang bodoh.  Itulah perkara yang membuatkan aku sedikit merasa lemas bila bersama Fariz. 
“Bercakap dengan awak ni kan memang takkan habis.  Awak memang sentiasa mahu menang.”  Fariz menjawab. 
Aku mencebek.  “Awak yang mulakan dulu.   Awak yang simpan prasangka pada abang.  Padahal abang tak ada apa pun.”  Aku menjawab berani.
“Okey.  I’m sorry sebab berprasangka yang bukan-bukan tentang abang awak.  Saya sayang awak.  Saya taknak kehilangan awak, Arisa.” Fariz berkata tulus.  Dia mahu pertelingkahan kecil ini  dimatikan.  Takut semakin lama semakin melarat. 
“Saya  pun sayang awak jugak.”  Aku berkata malas.  Pelik, aku menuturkan perasaan sayang itu tanpa ada perasaan yang selari dengan kata-kata itu. Seperti aku menuturkannya dalam keadaan terpaksa di hadapan Fariz.  Menjaga hati! 
“So, kita nak ke mana lepas ni.”  Fariz bertanya. 
“Makan.  Lepas itu awak hantar saya balik boleh.  Dah lewat.  Esok kan kerja.”  Aku memberi cadangan.  Sebenarnya mood aku untuk keluar dengan dia sudah mati sejak dia mula buruk-burukkan abang tadi.
Fariz kembali tersenyum manis menghilangkan kerutan diwajahnya tadi.  Dia mengangguk.  Kami sama-sama menuju ke restoran Kenny Rogers.