Monday, December 31, 2012

Pertandingan Mereka Cover E-novel???

Semenjak blog ini diwujudkan memang tak pernah ada sebarang bentuk pertandingan ker atau saja2 nak buat giveaway pada pembaca.  Bukan kemut nak keluar duit beli hadiah tapi macam blur nak buat pertandingan jenis macam mana.

Jadi sempena nak menyambut tahun baru ni, julung-julung kalinya saya nak buat pertandingan mereka cover novel.  Owhh...  Saya memang tak kreatif bab nak mereka2 cover novel ni *sebenarnya saya tak pandai nak guna photoshop segala bagai itu*  Jadi korang bantulah saya yer.  :)

Untuk cerita yang mana?  Hihihi... Mestilah cerita yang sedang rancak diupload setiap minggu di dalam blog saya ni.  Cerita Kupilih Hatimu.  Tak ada sebarang syarat pun.  Tapi kat dalam cover tu silalah masukkan gambar-gambar watak yang saya gambarkan ketika menulis Kupilih Hatimu ini.


Adiputra sebagai Imran Hadi



Asmirandah sebagai Intan Nurain



Taufik Batisah sebagai Amir Haikal



Lee Dong Wook sebagai Micheal Lee a.k.a Mikail Lee Abdullah


Wahh gitu...Kelas Memandu Ravi sungguh tak saya berangan semasa menulis cerita ni.  Ekkekeke...  Kalau rasa gambar kat sini tak cun boleh ajer ganti dengan gambar lain asalkan orangnya sama.  Saya tak nak tiba-tiba muka Lee Dong Wook jadi muka Nazim Othman pula okey.  Pada saya LDW dengan Nazim Othman ni tetap tak sama! 

Pertandingan ni akan bermula 1 hb Januari sehingga 31 Januari 2013.  Sebulan kut! Cover novel yang dah siap boleh emel pada saya di akubintangbiasa@gmail.com.  Pemenang akan ditentukan dengan cara yang akan saya fikirkan kemudian. 

Hadiah?  Ada...ada.. Dah nama pun pertandingan mestilah ada hadiah kan.  Hadiah misteri tau.  Tapi janganlah pula korang mengharapkan saya menghadiahkan korang dengan tiket penerbangan pergi balik ke Korea Selatan ataupun pakej percutian di Instanbul pula.  Ini cuma pertandingan cover enovel ajer korang.   Tak perlu canggih-canggih sangat.  Saya perlu cover yang standard2 macam cover enovel yang biasa ajer.  Yang penting kreatif. 

Yang banyak sangat masa terluang tu marilah join.  Hadiah misteri menanti anda!!  Pertandingan ni tak ada syarat yang susah-susah pun.  Cukup dengan:

1. Kena letak gambar watak2 dalam cerita ini.
2. Tarikh tutup penyertaan 31 Januari 2013.
3. Emelkan hasil kerja anda di akubintangbiasa@gmail.com (jangan lupa letak nama, alamat dan nombor telefon sekali yer)
4. Keputusan pertandingan ini adalah muktamad. 


Sekian.  Terima kasih.

p/s:  Tak sabar nak tengok cover2 enovel yang menarik dari korang semua!!

Wednesday, December 26, 2012

Kupilih Hatimu 20

Bab 20
Imran menggeleng-gelengkan kepalanya.  Tidak percaya dia cuba menjadi lelaki yang romantik hari ini. Jambangan bunga ros segar berwarna merah dan juga sekotak coklat ferrero rochel di tempat duduk sebelah diperhati.  Kalaulah Intan tahu yang dia melakukan perkara remeh temeh ini untuk seorang perempuan, pasti teruk gadis itu akan membahankan dia.  Mana tidaknya, malam tadi dia begitu memperlekehkan idea remeh temeh macam ni, tetapi hari ini dia mempraktikkannya pula.  Imran tersenyum.  Kampung-kampung Intan tu pun, ideanya masih boleh diterima pakai lagi.  Imran memuji Intan pula tiba-tiba.  Dia tersenyum lagi sementara menanti Lydia selesai sessi photografinya petang itu.  Dia tidak mahu mengganggu Lydia di studio.  Dia mahu memberi kejutan kepada Lydia selepas gadis itu selesai kerjanya.  Lydia tidak suka diganggu jika sedang beraksi di depan lensa kamera.  Imran masih lagi setia menanti.
CD lagu Celine Deon kegemaran Lydia di pasang.  Jenuh dia mencari CD Celine Dion ini tadi.  Dulu dia paling tidak suka lagu yang mendayu-dayu dan berbunga-bunga begini, tetapi hari ini dia mahu mendengar lagu kesukaan Lydia ini.  Dia mahu belajar menyukai apa yang Lydia suka.  Dia tidak mahu mereka berdua bergaduh lagi hanya disebabkan selera muzik mereka yang berbeza.  Dia tidak mahu mereka berdua bergaduh lagi disebabkan pendapat yang tidak sama.  Dia tidak mahu kerana hal-hal kecil hubungan mereka berantakan lagi.  Dia mencintai Lydia sepenuh hati.  Dia harus menjaga hubungan ini kerana tiada perempuan lain selain Lydia yang mampu menghuni hati lelakinya ini.
Imran cepat-cepat keluar dari perut kereta apabila melihat ada dua tiga orang krew yang sudah keluar dari studio rakaman. Mungkin sudah selesai sessi fotografi. 
“Hai sayang.”  Tegur Imran sebaik sahaja Lydia keluar dari studio fotografi.
“Imran.  You buat apa dekat sini.”
Lydia memaperkan riak terkejut.  Dia terpana dengan kehadiran Imran yang tidak disangka-sangka itu.
“I nak jumpa youlah sayang.  For you.”  Ujar Imran sebaik menyerahkan jambangan bunga ros itu kepada si kekasih hatinya.
Lydia menyambut huluran jambangan bunga itu dengan mata yang tidak berkelip.  Setelah bertahun inilah kali pertama Imran menghadiahkannya dengan sejambak bunga.  Hati Lydia berbunga girang.  Terasa marahnya pada lelaki ini sedikit berkurang.  Tambah-tambah lagi kali ini Imran yang mengalah. 
“Sayang, kita bersama balik ya.”  Pinta Imran lembut.
Lydia memandang muka Imran yang mengharap.  Matanya mengitari sekeliling.  Budak-budak krew macam tak nak pergi makan.  Mereka lebih tahan untuk berdiri di kaki lima ini untuk melihat adegan yang seterusnya. Lydia cuba jual mahal. Dia mahu membuktikan yang selama ini bukan dia yang terhegeh-hegeh mengharapkan Imran.  Telinganya kerap kali berdesing apabila ada mulut-mulut yang membawa cerita yang selama ini dia yang macam muka tak malu.  Terhegeh-hegeh mahukan Imran sedangkan Imran tiada apa pun.  Kalau boleh hari ni biar Imran melutut untuk merayu agar dia kembali lagi kesisinya.  Biar budak-budak krew tahu yang selama ini sangkaan mereka tu silap.
Lydia mengembalikan kembali jambangan bunga yang diberikan tadi kepada Imran.  Dia buat gaya tidak sudi dan terus berlalu meninggalkan Imran.  Budak-budak krew ternganga sikit.  Antara mereka ada yang berbisik.  Lydia memperlahankan langkah.  Berharap sangat agar Imran mengejarnya dan terus melutut.  Kalau Imran bersikap keras kepala macam selalu rugilah dia.  Nanti silap hari bulan dia pulak yang perlu merayu kepada lelaki itu seperti selalu.  Lebih kurang enam bulan tidak berhubungan dengan Imran hatinya kosong.  Imran sahaja yang boleh buat dia rasa bahagia selalu.  Bukan Kamal ataupun lelaki lain.
“Lydia sayang.” 
Hati Lydia menjadi kembang berbunga apabila Imran cuba menahan langkahnya.  Lengannya di pegang agar dia tidak lagi terus melangkah. 
“Lepaslah.”  Lydia sedikit meronta.  Dia masih lagi mahu menduga.  Dia berpura-pura dingin.  Pegangan tangan Imran dilepaskan.  Dia berpeluk tubuh, menghala ke tempat lain.  Dramanya masih lagi berjalan tanpa ada rasa mahu ‘cut’.
“Sayang……”  Panggil Imran.  Lydia tidak menyahut. 
“Lydia Datuk Hamdan, sudikah awak terima saya sebagai kekasih awak kembali.”  Ujar Imran. Tanpa segan silu dia berlutut di hadapan Lydia.  Jambangan bunga dan cincin tunang yang pernah dikembalikan oleh Lydia disuakan.  Keadaan waktu ini agak bising.  Budak-budak krew bersorak meminta Lydia menerima Imran kembali.
“Terimalah Cik Lydia..Terimalah…”  Mereka bersorak kuat.  Lydia terasa seperti di dalam since filem Bollywood pula.  Imran adalah Saif Ali Khan dan dia pula Kareena Kapoor. 
“Okey.  Tapi dengan satu syarat.  You tak boleh nak marah-marah lagi macam selalu.  You kena selalu ada dengan I.”  Ujar Lydia.
“Promise.”  Balas Imran yang masih lagi berlutut.
Dengan gaya mengada-ngada Lydia menghulurkan tangannya.  Jemarinya menari-nari tanda mahu Imran segera menyarung cincin tunang ke jari manisnya kembali.  Imran menurut.  Disarungkan cincin tersebut ke jari Lydia.  Kemudian dia bangun.  Terus Lydia memeluknya erat tanpa ada rasa malu.  Dia hanya melepaskan pelukannya itu selepas budak-budak krew berlalu kerana tidah tahan mahu muntah hijau dengan aksi romantika de amornya bersama Imran.  Lydia tidak malu sebaliknya dia hatinya puas.
“I miss you sayang.”  Ujar Imran romantis.
“I miss you too.”  Lydia menjawab penuh menggoda.  Hidung mancung Imran ditarik manja sebelum lengan lelaki itu dirangkul erat.
“So kita nak pergi mana untuk celebrate our anniversary.”  Soal Lydia.
Imran mengerut dahi.  “Anniversary?”  Dia kurang faham.
“Sayang, selama kita couple kita tak pernah celebrate our anniversary macam couple-couple lain. I teringin tau.  I don’t care malam ni you kena bawa I pergi candle light dinner dekat five star hotel.”  Tutur Lydia manja.
“Okey, sayang.  Anything for you.  Hari ni you are my princess.  You boleh minta apa sahaja.  I bagi tanpa banyak bunyi.”  Janji Imran.
Mata Lydia mencerun memandang Imran.  “Betul ni sayang?”  Dia menyoal.
“Betul sayang.”  Balas Imran.  Dia meletakkan lengan di bahu Lydia, melingkari separuh leher jinjang milik gadis itu.
“Kalau shopping?”  Lydia bertanya lagi.
“Okey.”  Balas Imran.
“Sayang you are the best.  I love you.”  Lydia bersorak gembira.  “Eh Kamal…”  Dia menyapa Kamal sebaik melihat lelaki itu keluar dari studio bersama dua helmet.  Imran tersenyum melihat Kamal yang berubah air muka melihat kini Lydia berada di dalam rangkulannya.  “I balik dengan Imran.  Dadaaa…”  Ujar Lydia selamba meninggalkan Kamal yang menanggung perasaan bengang tahap maksima!


“Hai Encik Imran, gembira nampak.”  Intan menegur majikannya itu apabila tidak pernah-pernah dia melihat Imran pulang ke rumah dalam keadaan gembira seperti ini.  Bersiul-siul senang hati sambil memusing-musing kunci kereta di jari.
“Owhhh…”  Intan berpaling apabila Intan menyapanya.  Gadis itu sedang menyiram pokok bunga.  Dia menghampiri Intan.  “Untuk awak.”  Imran memberikan beg kertas kepada Intan.
Intan meletakkan getah paip ke bawah.  Dia menyambut huluran yang diberikan.  Dahinya berkerut.  “Untuk saya?”  Tanpa melihat isi dalam dia bertanya dengan nada sedikit pelik.  Namun kemudian dia mengucap terima kasih pula.  “Thank you.”  Ucapnya gembira seraya melihat isi dalam beg kertas itu.  Wau… Minyak wangi mahal.  Baiknya hati Encik Imran.  Intan kelihatan teruja.  Jakun sedikitlah kan. Dia mana pernah sembur minyak jenama Gucci ini.
“Nanti tolong saya, uruskan umi.”  Ujar Imran sedikit berbisik.
Intan mengalih pandang.  Dia lihat kening Encik Imran menari-nari.  “Nah.  Ambil balik.”  Dia menyua kembali beg kertas tadi.
“Kenapa?”  Imran menyoal pelik.  Sekejap tadi muka Intan bukan main ceria apabila menerima hadiah.  Sekarang air muka gadis ini berubah pula.
“Saya tidak akan sesekali menggadaikan integriti saya dengan mengambil rasuah minyak wangi mahal ni dari Encik Imran.  Tidak-akan-sesekali!”  Ujar Intan panjang lebar.  Penuh ketegasan seperti sedang berpidato pula gayanya. 
“Ini bukan rasuah.  Ini u…….pah!”  Terang Imran pula. 
Mata Intan mencerun memandang Encik Imran.  Lelaki itu masih lagi tersengih.  “Tolonglah yer.” Ujarnya terus berlalu tanpa mengambil huluran beg kertas itu.  Intan berdecit.  Ish…  Geram betul bila Encik Imran sudah pandai mengguna-gunakan dia sebagai alat untuk cover line!

“Awalnya balik Im.”  Tegur Puan Rahimah sebaik sahaja Imran masuk ke dalam rumah. 
“Im nak keluar dengan kawanlah umi.  Dah lama tak keluar.”  Balas Imran bersahaja.  Dia terus berjalan laju menuju ke tangga. 
“Rafi?”  Soal Puan Rahimah
Langkah Imran terhenti.  Dia memandang wajah umi yang mula menunjuk tanda-tanda akan mengeluarkan bebelan seperti biasa.  “Lydia.”  Jawabnya berani.
“Im, umi tak suka tau Im berbaik dengan Lydia tu balik.  Dah macam-macam Lydia tu buat pada Im pun Im masih nak jugak dengan Lydia tu.  Tak ada perempuan lain lagi ker dalam dunia ni Imran.”  Omel Puan Rahimah lancar.
Imran pamer wajah bosan.  “Umi…  Lydia tu okeylah umi .  Soal karier modeling dia yang umi tak berkenan tu nanti-nanti Im pujuk dia lagi supaya stop buat modeling.”
“Imran.”
“Umi….  Im dah lambat ni.  Im kena siap cepat.  Im tak mahu lambat.”  Imran pantas memotong.  Sebelum umi memulakan tarbiyahnya seperti selalu baik dia cepat-cepat beredar. Ketika menaiki tangga dia sempat memberi isyarat mata kepada Intan agar menguruskan umi.
“Degil betul budak seorang ni.  Dah banyak kali Lydia tu buat perangai pun tak sedar-sedar lagi.”  Bebel Puan Rahimah masih lagi belum mahu berhenti walaupun Imran telah tiada di sini.
“Biarlah puan.  Saya tengok Cik Lydia tu okey apa.  Baik.  Cantik.  Sepadan sangat dah tu dengan Encik Imran.  Lagipun Encik Imran tu dah patut kahwin.  Kalau puan asyik membantah ajer hubungan Encik Imran dengan Cik Lydia tu bilanya diorang nak kahwin.  Puan tak nak timang cucu ker? Ker puan nak bela Encik Imran tu sampai dia tua.”  Ujar Intan panjang lebar agar wanita ini dapat bertenang. 
Puan Rahimah membulatkan mata memandang Intan.  Intan terkulat-kulat menayang sengih.  Haih…  Mujur tadi dia sempat singgah ke bilik untuk menyimpan hadiah Encik Imran tadi.  Kalau tidak sah-sah dia pula yang akan ditarbiyahkan oleh Puan Rahimah. 
“Pandainya kamu ni bercakap.  Saya ni makan garam dulu dari awak.  Tahulah saya perempuan tu layak atau tak layak dengan anak saya.”  Ujar Puan Rahimah dengan serius. 
“Patutlah darah tinggi tak turun-turun.  Banyak makan garam.”  Intan berkata sendiri antara dengar dan tidak.
“Apa dia Intan.”  Suara Puan Rahimah memetirkan sedikit.  Intan menelan air liur.  Rasa nak tampar-tampar sahaja mulut ini kerana lancar sangat berkata-kata. 
“Errr..Tak ada apa-apa puan.”  Intan menggeleng laju.  Puan Rahimah menjeling.  “Errmm….  Puan jomlah.  Kita pergi jalan-jalan kat luar.  Ambil angin.  Sinetron yang puan tengok ni sama ajer cerita jalan cerita dia.  Asyik-asyik cinta-cinta, orang jahat tak sudah-sudah lepas tu hilang ingatan. Boringlah puan.  Nanti bertambah stress puan dibuatnya.”  Balas Intan.
“Eh…” 
“Jom..Jom…”  Sebelum sempat Puan Rahimah mahu menyambung membebel pasal sinetron yang sudah mengarut-ngarut ini pula cepat-cepat Intan menolak kerusi roda wanita itu keluar rumah. 


p/s:   Minggu baru.
          Entry baru.
          Enjoy reading.
          Terima kasih komen.

Tuesday, December 18, 2012

Kupilih Hatimu 19

Bab 19
Dari gazebo di laman rumah Puan Rahimah tersenyum melihat gelagat anak-anaknya.  Imran dan Amir sedang berpencak badminton.  Farhana menjadi tukang sorak manakla Intan pula seakan pengadil yang sedang berdiri di tengah garisan pemisah dua pemain. 
“Puan kenapa puan senyum sorang-sorang.”  Tegur Mak Wan apabila melihat Puan Rahimah sedang senyum meleret. 
“Saya macam tak percaya Mak Wan.  Yang rumah ni akan menjadi ceria balik macam sekarang.”  Kata Puan Rahimah.  Matanya masih lagi tertumpu kepada anak-anaknya.
“Haah puan.  Saya pun rasa suasana dalam rumah ni dah kembali ceria.  Imran pun dah boleh terima Farhana.  Amir pulak dah balik.  Makin gamatlah suasana dalam rumah ni.”  Mak Wan turut sama mengiyakan.
“Apa pendapat Mak Wan tentang Intan.”  Tiba-tiba nama Intan meniti di bibir Puan Rahimah.
“Lain macam ajer nada puan.”  Kata Mak Wan seakan ada satu ritma pelik dari butir bicara Puan Rahimah tadi.
“Saya tengok semenjak dia datang, dia dah mengubah macam-macam dalam rumah ni.  Yang paling saya tak sangka dia dah boleh mengubah Imran.  Saya pun tak mampu nak ubah Imran, tapi dia boleh.”  Ujar Puan Rahimah memberi kredit kepada gadis yang berjaya membuatkan anak lelaki sulungnya berubah menjadi seorang yang lebih berlembut hati.
Mak Wan tersenyum.  Dia sudah dapat menangkap apa yang ada di dalam hati Puan Rahimah. “Intan tu baik puan.”  Ujar Mak Wan sengaja mahu menaikan lagi saham Intan di mata Puan Rahimah.
“Dia pernah ker cerita apa-apa dengan Mak Wan pasal diri dia ker.  Keluarga dia ker.”  Puan Rahimah menyoal ingin tahu.
“Dia cuma cakap ayah dia dah lama meninggal dunia.  Lepas tu dia tinggal dengan Makcik dia.”  Mak Wan bercerita sekadar apa yang dia tahu.  Selama Mak Wan mengenali Intan, gadis itu agak berahsia tentang hidupnya.  Intan tidak pernah bercerita lebih. 
“Emak dia.”  Puan Rahimah menyoal lagi.
Mak Wan menggeleng.  “Intan tak pernah bercerita pasal emak dia.”  Beritahu Mak Wan lagi.
“Kenapa puan?”  Mak Wan menyoal Puan Rahimah pula.
“Saya rasa dialah calon paling sesuai untuk menjadi isteri Imran.”  Puan Rahimah menyatakan hasratnya.  Sebenarnya sudah lama dia memerhatikan Intan.  Gadis ini memang secocok untuk dipadankan dengan Imran.  Intan lambang gadis Melayu yang tidak tercemar dengan arus pemodenan.  Intan masih lagi mengekalkan ciri-ciri gadis Melayu yang sukar ditemui sekarang ini.  Memiliki wajah yang sedap mata memandang dan pandai pula menguruskan rumah dan memasak menjadi aspek utama kenapa gadis ini yang menjadi pilihan hatinya untuk dipadankan dengan Imran.  Imran perlukan perempuan seperti Intan, bukannya perempuan yang kerjanya hanya tahu menayang susuk tubuh seperti Lydia.  Dapat yang kampung pun tidak mengapa, dari dapat yang berlagak persis Paris Hilton tetapi susah nak jaga buat apa.  Kan?
Mak Wan senyum segaris.  Benarlah telahannya tadi.  “Puan yakin ker.  Intan kan cuma pembantu rumah ajer.”  Ujar Mak Wan mahu Puan Rahimah lebih berfikir sedalam-dalam tentang status Intan yang sekadar orang gaji sahaja.  Pada Mak Wan, Puan Rahimah ni pelik sikit, Cik Lydia anak Datuk tu pun dia tak berkenan inikan pula gadis kampung yang berkerja sebagai orang gaji mahu diangkat menjadi calon menantu.
“Saya tak pernah menilai orang berdasarkan siapa dia, kerja apa.  Yang penting saya tahu, dia boleh buat Imran bahagia.  Lagipun Mak Wan sendiri nampak kan, dia mampu buat Imran berubah.”  Beritahu Puan Rahimah jujur. 
Mak Wan mempamer senyum lega.  “Kalau puan okey elok sangatlah tu.  Lagipun Imran tu sepatutnya dah lama berkahwin.  Tapi sebab setia sangat dengan Lydia tu yang buat dia tak mahu berkenalan dengan perempuan lain.  Bercintanya pun tak ke mana asyik putus sambung sahaja.  Ingat bila dah bertunang bolehlah kekal sampai hari nak nikah tapi sama juga.”  Balas Mak Wan lancar.
Puan Rahimah pamer senyum kecil.  Walaupun dia tidak suka pada Lydia, tetapi bukan dia yang mendoakan hubungan Imran dan Lydia selalu putus di tengah jalan.  Mendoakan yang baik tidak, mendoakan yang buruk pun tidak.  Mereka berdua putus tunang tu pun atas sebab sikap masing-masing; Lydia yang selalu berfoya-foya dengan lelaki lain dan Imran yang lebih menunmpukan perhatian kepada kerjayanya.  Yang peliknya, mereka putus hubungan senang.  Nak sambung balik pun senang. 
“Tapi saya akan cuba tanya dengan Imran dulu Mak Wan.  Saya malas nak paksa-paksa kalau budak tu taknak.  Takut nanti merana hidup anak orang sebab anak kita.”  Kata Puan Rahimah. Dia tidak mahu mengawal seluruh kehidupan anak-anaknya.  Sebagai lelaki dewasa Puan Rahimah berharap Imran boleh berfikir dengan sebaik-baiknya dalam soal mencari jodoh.
“Elok lah tu puan.  Soal kahwin ni bukan boleh buat main-main.”  Mak Wan bersetuju.  “Kalau dah jodoh budak berdua tu takkan kemana puan.”  Sambung Mak Wan seraya disambut dengan anggukan kepala dari Puan Rahimah.
Puan Rahimah dan Mak Wan sama-sama menghala pandang kepada budak-budak tu kembali sambil masing-masing berbalas senyuman penuh erti apabila melihat Intan dan Imran seperti mula mahu bertengkar kecil seperti biasa.  Mereka memang secocok!


“Along…”  Panggil Amir perlahan sewaktu dia dan Imran sedang memerah otak bermain catur di luar rumah. 
“Apa dia.”  Soal Imran tanpa mengangkat muka.  Dia sedang memikirkan buah mana yang patut dia jalan. 
“Aku nak tanya kau sikit.”  Balas Amir.
“Apa dia.”
Amir memerhati sekeliling.  Selepas dirasakan line cukup clear, baru dia bersuara.  “Intan tu dah ada boyfriend tak?”  Soalnya tanpa segan silu.
Imran cepat mengangkat wajah.  Dahinya berkerut memandang Amir yang sedang tersengih-sengih.  “Kenapa?  Kau suka dekat dia?”  Soal Imran berkali.
Amir menggaru kepala yang tidak gatal.  “Aku tanya ajer.”  Kata Amir.
“Manalah aku tahu, aku tak pernah ambil tahu hal dia.”  Balas Imran acuh tak acuh.
“Aku selalu perasan Long kalau aku sembang ajer dengan Intan tu kau mesti macam tak suka.  Kau syok dekat dia ek…”  Amir menggiat. 
“Kau ni gila apa.  Tak ada sebab aku nak cemburukan kau dengan dia.”  Balas Imran serius. “Dah.  Turn kau jalan.”  Kata Imran lagi setelah apabila menolak terus bishop ke hadapan.
“Eh Along kau bila nak kahwin hah.  Kau tu bukan muda lagi Along.  Takkan kau nak berkepit bawak ketiak umi sampai ke tua.”  Ujar Amir seraya menggerakkan kuda tanpa berfikir panjang. 
“Kenapa kau dah nak kahwin ker?”  Imran menyoal.
“Tak adalah.  Umi dah pesan dekat aku, selagi kau tak kahwin aku tak boleh kahwin.”  Beritahu Amir yang agak susah hati apabila umi meletakkan syarat begitu.  Melihat gaya hubungan Imran dan Lydia tu alamatnya lambat lagilah dia akan berkahwin.
“Kalau kau dah ada calon kau kahwin ajerlah kau tak payahlah dengar cakap umi tu sangat yang nak kena tunggu aku kahwin dulu baru kau boleh kahwin.”
“Kau dengan Lydia tu macam mana Along.  Umi kata kau putus tunang dengan dia ek.  Aku peliklah dengan kau ni.  Boleh kau bertahan dengan perempuan macam Lydia tu.  Bila bergaduh minta putus.  Bila bergaduh minta putus.  Nanti bila dah kahwin, sikit-sikit minta cerai.  Yang kau pula jenis bagi ajer.  Nak putus? Putus ajer.  Nak cerai? Nah, ambik!”  Tempelak Amir yang sudah muak dengan kisah percintaan Imran dan Lydia itu. 
“Kau pun tau kan aku kenal dia dah lama.  Kita orang pun dah bertahun bercinta.  Kau ingat senang-senang ajer ker aku nak cari perempuan lain buat pengganti.”  Imran bersuara malas. 
“Aku bukan suruh kau bercinta Along.  Aku suruh kau kahwin.  Lepas tu dah sah menjadi hak milik mutlak kau, bercintalah lepas tu.  Lagi selamat.  Tak ada risiko clash lepas bercinta bagai nak rak.”  Amir cuba mengajar.
“Kau ni bercakap macam dah ada calon ajer.  Kau nak kahwin yer?”  Imran cuba menggiat adiknya pula.
“Kau tu kahwin dulu.  Baru boleh aku kahwin.  Selagi kau tak kahwin alamatnya aku pun akan jadi bujang terlajak jugaklah macam kau.”  Selar Amir.  “Eh.. Tapi Intan tu aku tengok sweet lah.  Muka-muka innocent.  Comel pulak tu.” Ujar Amir pula. 
“Kau nak?  Ambil lah.”  Kata Imran tidak heran.
“Betul aku boleh try dia Long?”  Kata Amir sedikit nakal.
“Kau ni sampai bila nak cuti.  Tu, pejabat kau dekat office tu dah lama aku siapkan.  Tinggal tunggu kau masuk ajer.”  Imran mengalih kepada topic yang lebih serius pula.
“Kau ni Long boringlah.  Ada ajer modal nak tukar topic.”  Kata Amir sambil buat muka bosan.  Malas-malas dia menggerakkan buah castle.  “Nah.  Check mate.  Kau kalah lagi.  Aku tak mahu main dah.  Mengantuk.”  Katanya seraya terus berlalu masuk ke dalam rumah.
Imran terpinga-pinga apabila dengan mudah Amir telah mengalahkannya.  Di dalam permainan catur dia memang tak akan dapat menandingi adiknya itu sampai bila-bila. 


“Eh…Mana Amir.  Saya bawa dua mug Milo ni.  Dah hilang pulak dia.”  Ngomel Intan apabila melihat Amir tiada lagi di luar.  Dulang berisi dua mug Milo panas dan piring berisi biskut empat segi diletakkan di atas meja. 
“Dia nak tidur.”  Imran sekadar menjawab.
“Encik Imran nak minum dekat sini ker atau nak saya hantar ke bilik?”  Intan menyoal.
“Sini ajer.”  Balas Imran.  “Intan.”  Panggilnya apabila gadis itu mahu berlalu.
“Apa dia?”
“Mari minum sama.  Lagipun saya tak mampu nak habiskan Milo yang lagi satu ni.”  Pelawa Imran.
“Errm..” Intan sedikit teragak-agak.
“Marilah…”  Pelawa Imran lagi.  Kerusi besi di tarik keluar.
“Okey.”  Intan menurut.
Imran meletakkan satu mug di hadapan Intan.  Suasana antara mereka menjadi sunyi Cuma kadang-kadang ada bunyi cengkerik yang menjadi halwa telinga.  Intan mengambil sekeping biskut empat segi lalu dicelupkan di dalam mug Milonya.
“Sejak bila pula awak ni mengikut selera saya, cicah biskut empat segi dalam air milo.”  Imran berkata.
“Eh… Saya tak ikut selera Encik imran.  Dah memang mencicah biskut dalam air milo macam ni memang sedap.”  Intan menjawab dengan mulut penuh dengan biskut lembit.  Ada sedikit sisa biskut yang gagal masuk ke dalam mulutnya membuatkan ia terjatuh.  Laju Intan mengelap tepi bibir dengan tangan.
Imran sekadar melihat si gadis ini makan.  Dia menggeleng-geleng perlahan.  “Comotnya awak makan.  Tak ada lelaki dalam dunia ni yang nak perempuan pengotor macam awak tau.”  Katanya selamba.
“Tak payahlah nak mengata saya macam tu, lelaki yang bersih, bajet kacak macam Encik Imran ni pun tak ada perempuan yang nak.”  Sedas Intan pula.
“Awak mengata saya?”  Suara Imran sedikit tegas.
“Encik Imran yang mengata saya dulu tadi.”  Intan menjawab berani.
“Saya cakap benda yang betul.  Awak ni memang  pengotor.  Makan comot.  Tengok dressing.  Ish..  kampung!!”  Tempelak Imran.
“Alah..Tak payahlah nak kutuk-kutuk.  Memanglah jadi orang gaji dressing kampung macam ni.  Pernah tengok ker orang gaji pakai gaun kembang semangkuk Dolce and Gabana.”  Intan membalas lancar. Panas cuping telinganya mendengar Imran memperlekehkan penampilannya yang selalu ayu dgn baju kurung dan kain batik. Kalau nak orang gaji dressing macam Paris Hilton naikkanlah gaji!! Bentak hatinya geram.
“Lagipun tadi tu saya memang cakap benda betul.  Memang Encik Imran tak ada perempuan yang nak.”  Kata Intan lagi cuba menyindir Imran yang tidak sedar diri.
Mata Imran mencerun memandang Intan yang beriak tidak bersalah itu.  “Awak ni, mentang-mentang satu rumah dah jadi kroni awak, bukan main lagi awak berani mengata saya kan.  Dah tak pakai filter.”  Katanya geram.
Intan buat tidak tahu. Cepat-cepat dia menghabiskan baki Milonya.  Dia tidak mahu bertelingkah dengan Encik Imran.  Kadang-kadang, tuhan ajer tahu betapa boringnya dia mahu bertegang urat dengan lelaki ini lagi. 
“Saya sayangkan Lydia.  Selama saya dengan dia saya tak pernah curang.  Betul, saya tak romantik, saya panas baran, tap saya tak pernah curang dengna dia.  Saya setia.  Dia perempuan pertama yang saya cinta.  Yang saya sayang.  Takkan itu pun tak cukup.  Kadang-kadang saya pelik dengan orang perempuan ni.  Apa sebenarnya yang mereka inginkan.”  Tanpa diminta Imran meluahkan apa yang terbuku dihatinya. 
Intan tercengang apabila tiba-tiba Encik Imran bercerita tentang perhubungannya dengan Cik Lydia.  “Errmm… Dia nak pinjam telinga aku untuk tolong dengar masalah dia kut.”  Intan berkata di dalam hati. 
“Ada sesetengah perempuan inginkan perhatian.  Mungkin Encik Imran tak pernah ada masa dengan Cik Lydia.  Mungkin Encik Imran sibuk dengan kerja.  Mungkin selama Encik Imran bercinta dengan Cik Lydia tu, Encik Imran tak pernah  candle light dinner dengan dia?  Mungkin Encik Imran tak pernah buat kejutan macam hantar bunga dengan kad jiwang-jiwang ke pejabat dia?”  Intan cuba menyenaraikan segala bentuk kemungkinan yang menyebabkan hubungan Encik Imran dan Lydia selalu suram dan muram. 
“Ishh….  Tu semua benda yang remeh temeh.  Saya nak menjalinkan hubungan yang matang dengan dia.  Tak perlu nak buat benda yang remeh temeh macam tu sebab nak tunjuk rasa sayang.”  Imran menjawab laju.
Intan menelan air liur.  Jadi segala kemungkinan yang telah dia senaraikan tadi memang betul lah?  Owhh..  Kayu sungguh bekas teman lelaki Si Lydia ini.  Kalau dia pun dapat free lelaki macam Encik Imran dia tak mahu.  Kayu kayan sangat.  Lelaki hebat seperti Encik Imran rupanya perlu lebih banyak belajar untuk mencintai seorang perempuan. 
“Itulah yang salah.  Benda yang remeh temeh pada lelaki tu sebenarnya tidak pada perempuan.  Tahu tak macam mana perasaan seorang perempuan bila dia terima bunga ros sejambak, strawberry chocolate dari lelaki yang dia cinta.  Hati bunga-bunga tau tak.  Rasa dihargai.”  Balas Intan panjang lebar.
“Strawberry chocolate?”  Imran bertanya.
Intan pamer sengih sumbing.  Dah kenapa elemen strawberry chocolate pun ada jugak ni.  Dikit-dikit wajah Encik Imran bertukar ke wajah Micheal.
“Strawberry chocolate pun wajib bagi jugak ker?” 
Soalan serius dari Encik Imran itu membuatkan Intan tersedar.  Kejamnya dia membayangkan lelaki Shrek ini sama dengan Micheal. 
“Ermm…Hah…”  Intan mengangguk.  “Ermm..Datuk K dulu masa bercinta dengan Siti Nurhaliza kan suka hadiahkan strawberry chocolate untuk Siti.  Encik Imran boleh cuba.  Mana tau Cik Lydia cair dan kembali pada Encik Imran balik.”  Intan berkata.  Keningnya menari ronggeng.
Imran ternganga.  “Awak ni banyak tengok Melodi tau tak.”  Kata Imran menempelak idea Intan yang sudah agak melebih-lebih itu.
Intan mengukir senyum sendiri.  Strawberry chocolate?  Dia melebarkan senyuman. Sekali lagi wajah apek yang seorang itu bermain dimindanya.  Apa khabarnya dia sekarang yer…..

Owh...semalam cinonit sangat ek?
Hehehe.. 
Okey. 
Nah, ambil!
Terima kasih singgah dan baca.
Terima kasih juga buat yang sudi jatuh komen :)

Monday, December 17, 2012

Kupilih Hatimu 18

Bab 18
Semenjak Amir pulang ke rumah banglo ini tidak ada satu hari pun keadaan rumah menjadi tenang dan tenteram.  Setiap hari pasti akan ada bunyi-bunyi bising yang konon-konon ceria.  Kadang-kadang Imran rimas.  Dia mahu membuat kerja pun terganggu apabila ada bunyi-bunyi bising yang mengganggu.  Imran turun ke bawah untuk melihat apa pula yang menjadi sebab untuk makhluk-makhluk di dalam rumah ini membuat bising.  Seperti berpesta sakan pula mereka.  Sudah lewat malam tetapi masih belum mahu tidur.  
Sebaik sahaja turun, Imran melihat Amir, Intan dan Nana begitu gembira bermain monopoly sehingga kehadirannya langsung tidak disedari.  “Kenapa bising-bising ni.  Tak tahu ker dah malam ni.”  Imran bersuara separa menjerit di atas anak tangga.  Semua mata terarah kepadanya. 
“Alah, kau ni Long.  Baru pukul berapa.”  Balas Amir bersahaja sebelum membaling buah dadu. 
“Intan, umi mana?”  Imran menyoal Intan pula.
“Dalam bilik dengan Mak Wan.”  Jawab Intan tanpa memandang wajah Encik Imran.  Matanya lebih tertumpu kepada tangan Amir yang sedang menggerakkan buah penandanya di atas papan monopoly.  Amir ni licik sikit. Jika leka dia akan suka-suka hati melangkau lebih dari bilangan dadu yang dia baling tadi.  Intan harus berhati-hati kerana tadi dia baru sahaja membayar denda akibat termasuk di dalam tapak rumah Amir. 
Imran menjadi geram apabila kehadirnanya seakan tidak dipedulikan.  Mereka masih lagi asyik bermain.  Lantas dia menghampiri mereka semua.  “Eh…  Kan saya suruh awak yang tengok-tengokkan umi bukan Mak Wan.  Ponteng kerja?”  Tidak semena-mena Imran memarahi Intan.
Intan berdecit.  “Mana ada.  Puan nak berborak dengan Mak Wan.”  Beritahu Intan polos tanpa memandang muka Encik Imran.
Imran bercekak pinggang.  “Habis kalau umi nak berborak dengan Mak Wan awak boleh main-main macam nil ah.”
Intan berdecit. Dia angkat wajah.  Memandang muka Encik Imran yang menjadi bengis.  “Encik Imran, Puan dengan Mak Wan nak berborak pasal orang-orang tualah.  Takkanlah saya yang muda belia ni nak join group warga-tua-teras-masyarakat.  Malaslah.”  Jelas Intan.
Mata Imran membulat. 
“Amir!!”  Intan menepis tangan Amir yang sudah mahu main tipu. 
“Apa?”  Soal Amir kurang faham.
“Awak ingat saya tak nampak.”  Getus Intan.  Buah penanda Amir diundur tiga tapak ke belakang.  “Sini!!”  Ujar Intan.
Amir mengekek ketawa.  Dahi Imran berkerut.  Dia rasa macam orang bodoh. 
“Yang korang semua ni pulak tak tahu nak masuk tidur dah ker.  Bising ajer malam-malam.”  Imran masih lagi mahu membebel.
“Alah… Macam orang dah kahwin pulak kau ni Along ajak tidur awal-awal.  Lepaklah.  Kita orang nak habiskan main Monopoly ni.”  Amir menjawab bagi pihak semua.
“Haahlah.  Kita orang tengah syok main ni.  Janganlah kacau.”  Sampuk Intan. 
Imran menarik nafas geram. Sejak kebelakangan ini dia seringkali melihat Intan begitu mesra dengan Amir.  Mereka boleh berbual bersama sambil bergurau-gurau.  Seperti dia, Amir juga seringkali menjadi mangsa gosip Intan dengan Mak Wan.  Bezanya cuma gosip tentang Amir semuanya baik-baik dan manis-manis belaka.  Jika dia yang digosipkan pasti tak ada yang baik melainkan yang buruk-buruk belaka.
Imran syak Intan sedang menggoda Amir.  Tidak pun Amir yang sedang menggoda Intan.  Ah.. Mereka tidak sepadan langsung!  Imran pegang dada.  Ada rasa sakit.  Cemburukah dia melihat kemesraan itu?  Gila sungguh perasaan yang tiba-tiba datang ni.  Tempelak Imran di dalam hati.
“Along nak join.”  Kata Imran tiba-tiba terus menyelit duduk di sebelah Intan dan Farhana. 
“Eh… Along kau pandai ke main.”  Kata Amir tidak percaya.
“Urus syarikat pun aku boleh takkanlah setakat main monopoly aku tak boleh.”  Balas Imran sedikit riak bunyinya.
“Tapi kita orang dah main lama dah ni.  Kalau kau masuk alamat kena mula dari awal lah.”  Ujar Amir.
“Tak apa. Tak apa.  Encik Imran geng dengan Nana lah.  Kesian asyik bankrap ajer daripada tadi.”  Kata Intan sambil ketawa melihat Farhana yang hanya tinggal beberapa keping duit tipu sahaja ditangannya. 
“Haah.  Nana, bagi Along tolong Nana.” 
Kata-kata Imran itu membuatkan semua mata tertumpu kepadanya.  Buat pertama kalinya Imran membahasakan dirinya Along dengan Farhana.  Imran yang tersedar diri diperhatikan membuat muka selamba.  “Mulai sekarang panggil Along, Along okey.”  Kata Imran sambil mengusap-usap lembut kepala Farhana.  Farhana mengangguk.  Dia tersenyum bahagia.  “Jom, kita kalahkan diorang berdua ni.”  Ajak Imran bersemangat.

Entry cinonit!
Terima kasih sebab masuk blog saya dan baca!


Thursday, December 13, 2012

Kupilih Hatimu 17

Bab 17


“Siapa Im.” Tegur Puan Rahimah apabila melihat Imran baru sahaja meletakkan gagang telefon rumah. Intan yang sedang menolak kerusi roda Puan Rahimah dari belakang berhenti. Mereka sama-sama menanti jawapan dari Encik Imran.

“Amir baru lepas telefon. Lagi seminggu dia balik.” Beritahu Imran.

“Betul ni Imran.” Puan Rahimah menyoal. Dek kerana begitu teruja apabila mendapat tahu anak lelaki bongsunya akan pulang tidak lama lagi automatic kakinya cuba untuk berdiri. Intan dan Imran sama-sama terpana dengan aksi spontan Puan Rahimah itu. Namun tidak sampai beberapa minit dia terjatuh semula. Mujur Imran dan Intan sama-sama cepat memegang lengan Puan Rahimah dari terus jatuh terjelepok.

“Mak Wan…Mak Wan…” Puan Rahimah berteriak. Dia tidak hiraukan keadaan dirinya yang sedang dipegang kuat oleh Imran dan Intan.

“Yer puan.” Terkocoh-kocoh Mak Wan keluar dari dapur dengan bancuhan tepung untuk membuat cucur udang berselumut di tangan.

“Lagi seminggu Amir balik. Nanti Mak Wan siapkan semua makanan kegemaran dia yer.” Beritahu Puan Rahimah lagi. Hari ini adalah hari yang paling gembira untuk dirinya.



“Perasan tak tadi puan boleh berdiri?” Kata Intan kepada Imran sebaik sahaja Puan Rahimah masuk ke dalam biliknya.

“Yang saya perasan awak tu. Ambil kesempatan. Berani ya depan umi saya cuba-cuba pegang tangan saya.” Balas Imran bersahaja.

Intan menelan air liur. Mukanya merona merah. “Eh… Itu tindakan reflex lah. Kalau saya tahu Encik Imran nak pegang puan, tak adalah saya gatal-gatal nak pegang jugak.” Intan menjawab geram apabila dituduh cuba mengambil kesempatan.

Imran cuba sembunyi senyum. Hatinya digeletek apabila melihat mulut kecil Intan membebel tidak puas hati.

Intan merenung tajam Imran yang berwajah pelik apabila cuba menahan senyum. “Owhh.. Encik Imran tu, tadi bukan main syok lagi kan bila saya terpegang tangan Encik Imran lama-lama.” Ujar Intan lagi.

“Eh… Dah awak yang nak pegang saya. Saya biarlah. Lagipun free. Bukan kena bayar pun.” Giat Imran.

Intan menarik nafas geram. Dia menjeling sebelum meninggalkan Imran.

“Nak ke mana tu?” Imran berteriak.

“Nak basuh tangan dengan sabun cap kapak!!” Balas Intan masih lagi terbuku rasa geram.



Hari berganti hari, akhirnya hari yang dinanti sampai juga. Semua persiapan untuk menyambut kepulangan Megat Amir Haikal dilakukan dengan sempurna. Asalnya Puan Rahimah mahu membuat majlis kecil untuk menyambut kepulangan anak bongsunya itu, tetapi Amir telah awal-awal lagi memberi peringatan yang dia tidak mahu sebarang majlis untuk menyambut kepulangann. Cukuplah sekadar makan-makan bersama ahli keluarga. Lauk pauk kegemaran Amir telah siap terhidang. Penuh satu meja.

“Umi!!! Rindunya Amir dengan Umi.” Amir menerpa uminya sebaik tiba di rumah yang telah lama dia tinggalkan. Seingatnya kali terakhir dia balik ke sini adalah pada hari raya dua tahun yang lepas. Selepas itu dia terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga sukar untuk mendapat cuti panjang.

“Umi pun rindu sangat dengan Amir.” Balas Puan Rahimah. Amir dicium berkali-kali untuk melepaskan rindu.

“Mak Wan!!!” Amir berteriak apabila melihat Mak Wan keluar dari dapur. Wanita tua itu turut sama dipeluk.

“Mak Wan ni maintain cantiklah. Dari dulu sampai sekarang tak berubah.” Sengaja dia menggiat Mak Wan. “Single lagi tak?” Amir terus menggiat.

Seraya itu Mak Wan memukul lembut lengan anak muda itu. “Pandai ajerlah kamu ni.” Kata Mak Wan bersama ketawa.

Amir menghampiri gadis yang berdiri di sebelah kerusi roda umi. “Puteri Farhana.” Dia menyebut nama gadis itu. Farhana mengangguk.

“Dah besar dah adik Abang.” Amir mengusap-usap lembut kepala Farhana. Dia dan Farhana pertama kali bertemu ketika majlis pengkebumian arwah ayah dan ibu tirinya tiga tahun dahulu. Ketika itu Farhana tidaklah setinggi sekarang. Sekarang sudah tinggi lampai. Cantik juga adik perempuannya ini walaupun berlainan emak. Gen ayah tetap ada. Farhana tinggi lampai. Macam dia dan Along.

“Puan semua makanan saya dah hidang atas….meja….”

Mata Amir teralih pula kepada gadis manis berbaju kurung dan bertudung bawal di muka pintu dapur. Dia ralit memerhati si gadis. Kemudian dia tersenyum sambil memandang Along.

“Biar saya teka awak siapa? Intan Payung right?” Soalnya sengaja mahu mendapat kepastian.

“Intan betul. Payung salah.” Intan menjawab bersahaja.

Amir mengangguk-angguk. “Yup… Setiap kali Along emel saya, mesti ada sahaja cerita pasal awak.” Beritahu Amir. Imran yang berdiri tidak jauh dari mereka buat-buat memandang ke tempat lain apabila semua mata tertumpu ke arahnya. Ah… Amir ni sengajakah mahu buat dia kantoi di hadapan semua orang.

“Owhh…” Mulut Intan membulat. Kepalanya terangguk-angguk sambil mengerling Encik Imran.

“Encik Imran cerita apa dengan Encik Amir?” Intan menyoal ramah seperti sudah lama mengenali Amir.

Belum sempat Amir menjawab Imran cepat-cepat mencelah. “Errmm… Kau kata tadi lapar kan. Apa kata kita makan dulu. Kau kata tadi tak sabar nak makan kari kepala ikan Mak Wan.” Katanya terus menarik Amir ke meja makan.

Kata-kata Imran itu lebih menarik minat Amir. “Owhh… Haahlah. Dah rindu nak rasa masakan Mak Wan. ” Katanya girang.



“Eh… Encik Imran. Saya baru nak hantar Milo Encik Imran ni.” Tegur Intan apabila melihat Imran masuk ke dapur. Milo di dalam mug masih lagi dikacau perlahan sehingga serbuk milo benar-benar larut.

“Tak apa. Saya nak minum dekat sini ajer.” Ujar Imran. Dia menarik keluar kerusi tinggi di kaunter dapur.

“Okey.” Intan menjawab bersahaja. Mug Milo di letakkan di hadapan lelaki itu. “Nak biskut?” Dia menyoal. Imran mengangguk perlahan.

“Saya tak sangka pulak Encik Imran suka mengumpat pasal saya dengan adik Encik Imran.” Kata Intan selamba semasa membuka tin biskut cream crakers. Biskut itu disusun di dalam piring sebelum dibawa kepada Imran.

“Saya tak cakap benda buruk. Jadi awak tak boleh kata saya mengumpat awak.” Kata Imran pula ketika menyambut huluran piring berisi biskut.

“Maknanya Encik Imran selalu puji-puji sayalah yer dengan Encik Amir.” Kata Intan sedikit gembira. Dia menyandar pada kaunter bersebelahan dengan Imran. Imran tidak layan. Dia ambil biskut tadi, dicicah di dalam milo panas dan dibawa ke mulut. Intan mencebek apabila Imran buat muka tidak berperasaan.

“Saya tahu, saya adalah pembantu rumah yang terbaik selepas Mak Wan kan?” Katanya ceria dengan kening terangkat sebelah.

“Perasan.” Kata Imran sepatah.

Kata-kata Imran yang berbau sarkastik itu sedikit pun tidak buat Intan sentap. Alah.. Dia tahulah dia memang yang terbaik selepas Mak Wan. Encik Imran tu ajer yang malu nak berterus terang. Takut bila dia terus terang egonya akan jatuh ke lantai dapur dan lepas tu kena mop dengan Mak Wan.

Intan meninggalkan Imran menikmati biskut kering cicah milo sendiri. Dia kembali ke bahagian dapur. Mengelap kesan-kesan milo yang tertumpah sedikit tadi.

“Tapi awak lagi teruk.” Imran tiba-tiba bersuara.

Intan berpaling. Dahinya berkerut. “Kenapa pulak saya teruk.” Soalnya kurang faham.

“Awak selalu mengumpat saya kan.” Tebak Imran. Mug kosong di bawa ke singki.

“Eh mana ada. Bila masa pulak.” Intan cuba menafikan. Dia basuh mug kosong di dalam singki yang baru diletakkan oleh Encik Imran tadi.

Imran menyandar di sebelah singki. Dia berpeluk tubuh. “Awak ingat saya tak tahu. Bila awak dengan Mak Wan, ada ajer benda buruk pasal saya yang awak cerita dengan Mak Wan kan.”

“Ehh… Mana ada.” Intan menggeleng laju tanpa memandang ke muka Imran. Jika dia memandang Imran, dia pasti akan menunjukkan riak bersalah.

“Tak payah nak cover-cover. Kerusi dengan meja makan tu kalau boleh bercakap, boleh jadi saksi tau. Kat situ kan port awak bergosip dengan Mak Wan pasal saya.”

Intan berdecit. Dia turut sama bersandar. Memeluk tubuh dan berkata. “Saya cakap benda yang betul. Jadi Encik Imran tak bolehlah nak kata saya mengumpat Encik Imran.” Kata berani.

Imran bercekak pinggang. “Jadi saya ni memang lelaki teruklah.” Imran menyoal.

“Hah.” Intan mengangguk.

“Encik Imran suka marah-marah saya.” Kata Intan.

“Sebab saya suka marah-marah awak, jadi saya teruk.” Imran menyoal lagi.

Intan menelan air liur. “Encik Imran ada apa-apa lagi kan. Kalau tak ada saya nak masuk tidur.” Katanya terus terkedek-kedek melarikan diri dari sebarang bentuk soal siasat dari Encik Imran lagi.

Sebab rajin :P Sebab baik hati juga :P Sebab nak cepat-cepat habiskan cerita :P Kasilah satu lagi entry. Terima kasih sudi baca. Terima kasih jatuhkan komen. Terima kasih tak henti bagi semangat.  :)