Thursday, November 26, 2009

Awatif Bab 2

Kain satin berwarna biru lembut terhampar di atas lantai rumah. Sudah hampir dua puluh minit Awatif merenung kosong kain satin itu namun tangannya masih lagi kaku untuk mengunting kain tersebut seperti ukuran yang telah emak tandakan dengan kapur berwarna. Sepanjang tempoh berkurung di dalam rumah, ini ajerlah kerja yang boleh dilakukan. Jika dulu dia lincah sahaja menjadi tukang kacau di kolam ikan keli abah, tetapi sekarang tidak lagi. Tidak semena-mena professionnya juga turut berubah. Daripada menjadi tukang kacau dia menjadi tukang gunting kain untuk para pelanggan yang menempah baju dengan emak. Pening jadinya macam mana nak menggunting kain satin yang lembut dan licin macam ni. Baru letak gunting sikit, ianya telah bergerak-gerak. Stress gila bila dipaksa buat kerja yang lemah gemalai, yang berseni-seni macam ni. Lagi lama dia kena berkurung lagi tension dia dibuatnya. Tambahan pula sekarang ini semakin menghampiri musim cuti sekolah. Makin bertambah kencanglah tempahan jahitan yang emak akan terima dari penduduk kampong. Dan makin bertambah terbebanlah dia yang tak pasal-pasal kena take over kerja gunting mengunting kain ni. Emak hanya menanda. Kerja mengunting dia yang lakukan.
Gunting direnggangkan dan kain satin biru lembut itu dimasukkan ke celahnya.
“Bismillahirrahmanirahim.” Sebutnya perlahan saat gunting sudah mula menjalankan kerjanya. Berhati-hati Awatif mengunting kain satin ini. takut benar andai tersalah gunting. Maklum sahajalah kain satin ini kepunyaan anak Cikgu Mat Dom yang ingin dijahitkan kurung moden berlengan Datuk Siti Nurhaliza untuk majlis pernikahannya bulan depan. Kalaulah tersalah gunting tak pasal-pasal elaunnya akan ditolak semata-mata mahu mengganti kain yang telah rosak. Sudahlah poket pun selalu sahaja kering, kalau elaun yang ada ini pun kena potong alamatnya dia pasti akan menjadi insan yang papa kedana. Tak sanggup!!
“Tif!! Tif!! Tif!!”
Suara pekikan dari Nabila membuatkan hampir sahaja gunting ditangan Awatif terlari dari line yang emak sudah tandakan.
“Ila!!!” Jeritnya menahan geram. Dia tahu Nabila jauh lagi. Tapi suara Nabila yang ala-ala Diva Anita Sarawak itu sudah sampai dulu menerjah ke dalam lubang telinga.
“Tif!! Tif!! Tif!!” Jerit Nabila lagi dari bawah rumah. Selamba Nabila mencampak basikal Rally miliknya ke tanah.
Gunting ditangan dicampakkan sahaja ke tepi. Cermin mata yang disangkut di telinga dilurutkan lalu diletakkan sahaja di atas kain satin biru lembut itu. Bergegas langkah kaki dihayun menuju ke tingkap. Kelihatan Nabila sudah tercungap-cungap. Lelah barangkali. Mana tidaknya memekik sambil menunggang basikal. Pasti sahaja kederasan jantung berdegup lebih hebat daripada biasa.
“Apa kena dengan kau ni Ila. Terpekik-pekik. Apasal?” Soal Awatif sedikit menjerit juga.
“Aku ada berita gempak nak bagi tahu kau ni!!” Balas Nabila dengan suara yang nyaring. Mereka bercakap macam seorang di hulu seorang lagi dihilir. Kuat. Langsung tak tau nak menjaga aurat suara seorang muslimah yang sepatutnya menjaga tutur kata. Main redah ajer keduanya.
Awatif buat muka. Apa sahajalah cerita sensasi yang ingin Nabila khabarkan ini. Dia memang sedia maklum yang temannya itu memang berpotensi untuk menjadi agen Murai.Com. sebab boleh dikatakan semua benda yang berlaku di dalam kampong ini semua Nabila akan tahu. Pendek kata, sebelum orang kampong dapat tahu Nabila akan tahu terlebih dahulu. Nabila sentiasa mendapat berita yang up-to-date. Dan dia pulak akan setia meng’update’ berita semasa.
“Apa yang gempak sangat tu?” Soal Awatif malas. Time-time dia banyak kerja yang perlu dibereskan ada pula yang datang menganggu.
Tangan Nabila menyeluk ke dalam kocek track bottom yang dipakai. Dikeluarkan sehelai kertas putih bersaiz separuh A4 lalu di regangkan mengadap Awatif yang masih lagi berdiri di tepi tingkap. “Cuba kau tengok ni?” Nabila berkata girang.
Awatif cuba meneliti apa yang tertulis pada kertas di tangan Nabila itu. Tetapi gagal. Rabunnya makin teruk barangkali. Jarak yang hanya tak sampai tiga meter ke bawah itu pun dia tidak dapat membaca tulisan yang ada pada kertas itu. Awatif cuba mengecilkan matanya. Sedaya upaya dia cuba mengamati kertas apa yang sebenarnya di pegang oleh Nabila. Dia gagal lagi.
“Naiklah. Aku tak nampak apa yang tertulis atas kertas tu.” Kata Awatif.
Terus sahaja langkah kaki Nabila deras mendaki anak tangga batu untuk naik ke atas rumah Awatif.
“Tengok ni. Tengok ni.” Nabila masih lagi teruja untuk menunjuk apa yang tercatit pada kertas ditangannya kepada Awatif.
Kertas ditangan Nabila dipegang. Awatif lihat dekat-dekat apa yang tertulis di atasnya. Tak sampai seminit matanya membulat. Mulutnya juga telah ternganga luas. Dia pandang Nabila yang sudah tersengih bangga dengan hidung turut sama sudah kembang sedepa. Kemudian matanya terarah kembali pada kertas di tangan. Dia pandang Nabila semula.
Nabila mengangguk laju. Dia faham benar bila Awatif sudah mula buat muka blurnya itu.
“Amanda Dayana ada dekat kampong kita Tif. Dia tengah shooting dekat anak parit sebelah sawah Lebai Deraman.” Beritahu Nabila. Nabila masih seperti tadi. Terujanya melebih-lebih.
Awatif terkaku. Kayu sekejap dia jadinya bila mendengar berita yang Nabila sampaikan itu. Kemudian…..
“Arrrgghhhh!!!!!” Terlepas jeritan Awatif dan Nabila menggegarkan rumah papan Pakcik Rahman dan Makcik Samsiah. Mereka saling berpegangan tangan sambil melompat-lompat kegembiraan.
“Tif!! Ila!! Apa kena dengan kamu berdua nih!!” Suara Makcik Samsiah bergema dari muka pintu rumah. Dari jauh dia sudah mendengar orang menjerit-jerit macam naik hantu. Rumahnya ini pun sudah bergegar jadinya. Mujur sahaja tidak runtuh menyembah ke bumi.
Awatif dan Nabila yang meroyan melompat-lompat terkejut dengan sergahan dari Makcik Samsiah. Mereka saling berpandangan. Kemudian keduanya menarik sengih di bibir.
Makcik Samsiah hanya menggelengkan kepala melihat keduanya. Tak sedar diri budak berdua ini. Makcik Samsiah tahu apa yang menyebabkan anak daranya dan anak dara Kak Munah ini terkinja-kinja tadi. Mana tidaknya, idola keduanya berada di kampong halaman mereka. Tentu sahajalah Awatif dan Nabila akan melebih-lebih terujanya. Semasa dia di kedai runcit Che Ah tadi pun semua orang sibuk duk bercerita hal kedatangan bintang popular itu ke sini. Tiba-tiba kampong Sungai Lang dilanda tsunami disebabkan kedatanganan Amanda Dayana.
“Mak, Tif nak tengok Amanda shooting mak.” Pinta Awatif. Telapak tangannya dirapatkan. Dia pohon agar hari ini perintah berkurungnya dilonggarkan sedikit. Dia benar-benar mahu bertemu dengan Amanda Dayana dari jarak dekat. Dua minggu lepas tu dia hanya melihat Amanda dari jauh sahaja kerana tiket yang dia beli untuk show penyanyi dan pelakon pujaannya itu berharga paling murah. Dia mana mampu nak beli tiket VVIP yang boleh duduk betul-betul depan pentas. Tapi dia puas jugak, sekurang-kurangnya hajatnya nak melihat persembahan Amanda Dayana menjadi kenyataan walaupun Amanda Dayana kelihatan macam semut kecil sahaja dari jauh. Jadilah. Janji dapat. Tak kisahlah dia mendapat habuan dari abah di atas kedegilannya untuk ke sana juga.
Makcik Samsiah memandang Awatif dengan mata yang bulat. “Tif tak ingat ker pesan abah. Nanti tak pasal-pasal kena lagi.” Makcik Samsiah memberi peringatan kepada Awatif dengan amaran suaminya itu. Suaminya jangan dibuat main. Kalau sudah kata jangan dibuat, maknanya janganlah dibuat. Walau hanya untuk cuba-cuba. Nanti teruk jadinya.
Awatif buat muka. Dia sudah jemu dengan amaran abah. “Emak bolehlah. Sekejap jer.” Awatif merayu lagi. Kali ini dia hanya nak ke tepi parit kecil di hujung sawah milik Lebai Deraman tu ajer. Dia bukan nak ke mana pun. Ke situ sekadar untuk melihat wajah Amanda Dayana dari dekat. Itu ajer. Takkan tak boleh.
“Jangan cari pasallah Awatif.” Pesan Makcik Samsiah lagi. Dia tidak mahu ada rebut taufan macam dua minggu lepas lagi. Cukuplah. Dia tak mahu melihat suaminya itu naik angin dengan Awatif. Lagipun suaminya itu bukan sihat benar. Nanti takut pulak darah tingginnya naik.
“Sekejap ajer mak.” Awatif menekankan sedikit suaranya.
“Jangan…” Kata Makcik Samsiah lembut.
“Mak….” Awatif sudah mula merengek macam budak kecil.
Nabila hanya diam memerhati. Dia rasa serba salah pula mengkhabarkan perkara ini. Dia bukan tak tau yang Awatif sekarang dalam perintah berkurung. Mana boleh keluar kalau itu yang sudah ditetapkan Pakcik Rahman.
“Alah Tif. Rileklah. Amanda tu ada dekat sini sebulan. Diorang shooting filem tu lama.” Pujuk Nabila. Nabila tak mahulah Awatif ingkar pada perintah orang tuanya hanya kerana penyanyi dan pelakon itu.
“Mak…” Awatif tak habis merengek.
“Kenapa nih?” Soal Pakcik Rahman tiba-tiba.
Semua mata tertumpu pada Pakcik Rahman di muka pintu. Pakcik Rahman yang baru pulang dari kolam ikan keli miliknya kelihatan sedikit penat. Badannya sudah bermandi peluh. Dikaki seluar pula ada kesan lumpur.
Awatif menelan air liur bila melihat abahnya yang terpacak di depan pintu. Tak sempat dia nak larikan diri dengan Nabila ke tempat Amanda shooting abah sudah pulang ke rumah. Alamatnya tak ada rezeki dialah untuk berjumpa dengan Amanda hari ini.
“Kenapa nih?” Soal Pakcik Rahman lagi. Botol air dan mangkuk tingkat yang dibekalkan oleh isterinya pagi tadi diletakkan di atas lantai. Pakcik Rahman duduk di atas tangga rumah membelakangkan semua yang ada.
Makcik Samsiah mengisyaratkan sesuatu kepada Awatif agar jangan sengaja membangkitkan hal ini di hadapan abahnya memandangkan abahnya itu baru pulang dari kolam ikan keli. Penat lagi. Karang tak pasal-pasal hangin pulak jadinya.
Awatif mencebek. Dia diam sahaja. Nabila juga sudah terasa cuak bila Pakcik Rahman ada di sini. Dia bukan berani sangat pun dengan Pakcik Rahman. Kalau dengan Makcik Samsiah senang nak kawtim. Kalau dengan Pakcik Rahman memang pasti akan kena kaw-kaw punya. Ngeri.
Makcik Samsiah mengangkat botol air dan mangkuk di atas lantai. Dia terus ke dapur untuk membancuh air kopi untuk suaminya. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali suaminya pulang dari kolam pasti suaminya itu mahu meminum kopi panas kampong yang ditumbuk sendiri.
“Abah…” Panggil Awatif perlahan.
Seraya itu lengan Awatif dicuit Nabila. Nabila juga mengisyaratkan kepada Awatif supaya jangan nak cari pasal petang-petang yang bahagia ini.
Awatif sekadar membiarkan sahaja.
“Abah…” Panggil Awatif lagi. Manalah tahu jika dia diizinkan keluar jika cuba berdiplomasi baik-baik dengan abah.
“Errrmm….” Jawab Pakcik Rahman.
Awatif menelan air liur. “Tif nak keluar sekejap.” Katanya tergagap-gagap.
Pakcik Rahman berpaling mengadap Awatif dan Nabila silih berganti. Nabila sudah ketar lutut bila Pakcik Rahman sudah mula memandang macam tu.
“Sekejap ajer abah. Tif janji sebelum Maghrib Tif sampai rumah. Tak jauh abah. Kat tepi tali air tu ajer.” Lancar Awatif menyuarakan hajat dihati. “Abah, Amanda Dayana tu ada shooting dekat sini. Bukan selalu jumpa artis femes abah. Bolehlah.” Tambah Awatif lagi. Suaranya lembut sahaja menyapa telinga sesiapa yang mendengarnya. Bukankah dia mahu berdiplomasi baik-baik dengan abah. Jadi ini macam trick lah kononnya.
Pakcik Rahman hanya memandang seraut wajah Awatif yang penuh mengharap. Dia sudah tahu. Satu kampong sudah kecoh bila ada produksi filem sedang menjalankan pengambaran filem di sini.
“Bolehlah abah.” Awatif cuba merayu lagi.
Pakcik Rahman mendengus kuat.
Mendengar sahaja bunyi dengusan kasar dari abah membuatkan Awatif sedikit kecewa. Confirm hari ini dia tak ada rezeki nak berjumpa dengan Amanda.
“Nanti kalau kau ke sana Ila kirim salam aku pada Amanda.” Kata Awatif perlahan kepada Nabila.
Nabila terkebil-kebil. Macamlah dia ini suka-suka hati boleh mendekati untuk menyampaikan salam Awatif kepada Amanda yang dikawal bagai anak raja di tempat pengambaran tu. Nak dapat autograph pun payah. Inikan pula mahu bersembang-sembang sambil berutus salam.
Awatif melangkah longlai masuk ke dalam bilik.
“Balik sebelum Maghrib.” Kata Pakcik Rahman ketika Awatif sudah melangkah perlahan menuju ke bilik. Faham sangat. Merajuklah tu.
Awatif berpaling lipat maut. Dia pandang wajah abah.
“Balik sebelum Maghrib.” Ulang Pakcik Rahman lagi.
Mata Awatif sudah bersinar-sinar. Menjadi jugak drama sebabaknya tadi.
Awatif terus mendapatkan abahnya yang masih lagi duduk mengambil angin di atas tangga rumah. Dia melutut. Terus abah dipeluk. Dia cium-cium muka abah. Dia sudah tidak kisah dengan bau masam peluh pada badan abah dan kotor lumpur pada baju abah. Janji dia dibebaskan. Yahoooo…
“Ingat, balik sebelum Maghrib.” Pesan Pakcik Rahman tegas.
“Janji bah. Janji.” Awatif menaikkan lima jarinya berjanji akan mengikut arahan itu dengan sebaik-baiknya.
“Jom Ila.” Panggil Awatif kepada Nabila yang berdiri dibelakang.
“Pergi dulu yer pakcik.” Ucap Nabila kepada Pakcik Rahman ketika dia berlalu di tepi Pakcik Rahman. Bibirnya dipaksa sengih di depan Pakcik Rahman.
“Cepatlah.” Awatif sudah berteriak dari bawah. Dia telah pun mencapai basikal mountain bikenya.
“Kamu pun Ila. Jangan nak memerap dekat sana lama-lama.” Sempat juga Pakcik Rahman berpesan kepada Nabila.
“Janji pakcik. Janji.” Nabila turut sama mengangkat lima jarinya ke atas. Dia lakukan sepertimana yang Awatif lakukan tadi.
“Pergi dulu abah!! Pergi dulu mak!!” Jerit Awatif bila basikalnya telah memecut laju meninggalkan halaman rumah.
Di dapur rumah, Makcik Samsiah yang sedang memotong kuih tepung pelita kurma hanya tersenyum sendirian. Dia faham sifat sebenar suaminya itu. Suaminya cukup sayang dengan semua anak-anaknya. Tegasnya hanya untuk mengajar. Yang mana salah harus dibetulkan kerana itu adalah tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

Thursday, November 19, 2009

Awatif Bab 1

Pintu dapur dibuka berhati-hati agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Langkah dihayun terjengkek-jengkek agar tidak ada yang mendengar derap langkah kakinya. Awatif memanjat tangga dapur perlahan-lahan untuk menuju ke bilik yang terletak di atas.
Pap!!
Lampu menyala. Langkahnya mati.
“Awatif Rahman!!” Suara garau abah kedengaran dari arah dapur.
Perlahan dia berpaling. Kelihatan muka abah tegang macam baru cucuk botox setengah botol. Air liur yang ditelan terasa berpasir malah turut sama tersekat di tengah kerongkong. Dup-dap-dup-dap jantung berdegup kencang macam bunyi enjin motobot kehabisan minyak subsidi kerajaan Malaysia. Malam ini dia kantoi lagi!!
“Ke mana kamu?” Abah menyoal keras.
Awatif tegak berdiri di atas anak tangga ke tiga. Kepala digaru-garukan supaya otaknya dapat merangsang apa alasan yang boleh pakai untuk kali ini.
“Errrmmm….” Teragak-agak dia nak menjawab soalan abah. Sudahlah abah menyoal dengan pandangan mata yang tajam menikam. Lagilah kelu dia nak berbahasa. Macam mana dia tak kena renjatan tiba-tiba sampai boleh jadi gagap untuk berkata-kata kalau abah kat bawah tu dah macam standby nak telan orang jer gayanya.
“Ke mana kamu!!” Suara abah sudah bergema satu rumah.
Emak dan adik-adik yang lain meluru dari bilik masing-masing untuk melihat apa yang terjadi di dapur saat jam dinding sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi waktu tempatan. Mereka semua pandang wajah bersalah yang masih lagi tak berganjak dari tempat dia berdiri tadi.
“Tif baru balik?” Tanya emak.
Awatif hanya mengangguk. Dia buat muka kesian depan emak. Mintaklah laku muka kesiannya ini. Matanya sudah mengantuk sangat ni. Nak terus masuk bilik dan tidur.
“Dah. Pergi masuk bilik.” Emak bersuara rendah.
Awatif mengangguk. Ahhh….Alhamdulillah. Baru sahaja menaiki satu lagi anak tangga dia dah dengar bunyi suara abah yang kuat di bawah.

“Jangan nak masuk ke bilik selagi kamu tak bagi tahu abah mana kamu pergi Awatif Rahman!!” Teriak abah.
“Abang sudahlah tu. Budak tu penat. Lagipun dah malam ni kan. Apa nanti jiran-jiran kita kata.” Emak bersuara perlahan. Cuba melembutkan hati suaminya.
“Sebab saya dah tak tahan dengan apa yang jiran-jiran kita ni cakaplah saya nak tanya anak awak tu kemana dia hilang. Kamu keluar ikut jantan yer Tif.” Abah sudah naik berang.
Awatif berpaling. Dia mengadap abah. “Mana ada abah.” Tukas Awatif. Dia tak suka bila abah senang-senang hati ajer menuduh dia keluar dengan lelaki. Ingat dia ni murah sangat ker sampai boleh merewang ke sana ke mari dengan mana-mana lelaki.
“Habis tu kamu ke mana? Keluar pagi. Balik pagi-pagi buta.” Soal abah lagi.
Mata dijulingkan ke atas. Dia malas nak berlawan kata dengan abah lagi. Selamba dia naik ke atas.
Laju langkah abah mengejarnya dari belakang. Tangan Awatif disentap. “Kamu cakap dengan abah kamu pergi mana?” Soal abah kuat.
Awatif lihat adik-adik yang lain semua dah menikus berdiri di belakang emak. “Abang sudahlah tu. Jangan nak di apa-apakan budak tu.” Rayu emak.
Abah tak pedulikan rayuan emak. abah dah naik minyak. “Cakap mana kamu pergi?” Frekuensi suara abah naik lagi.
“Apa ni abah!!” Kasar Awatif menarik kembali tangannya. “Tif keluar pergi KL. Tif tengok show Amanda dekat sana. Takkan nak keluar pergi KL pun tak boleh kut abah.” Jawab Awatif kasar. Senang-senang dia melawan cakap abah. Free-free jugak dia dapat dosa sebab meninggikan suara dengan orang tuanya sendiri.
Pang!!
Tangan abah dah naik ke pipi Awatif.
“Siapa ajar kamu cakap macam ni dengan abah hah!! Siapa ajar kamu jadi kurang ajar ni hah!!” Tangan abah sudah menonjol-nonjol kepala Awatif. Laju saja abah menarik Awatif masuk ke dalam biliknya.
“Abang!!”
“Awak diam. Pergi bawak yang lain masuk ke dalam bilik. Cepat!!” Arah abah.
Di dalam bilik, Awatif dihumban ke lantai.
“Sebab ni kan?? Sebab ni kan?? Kamu melawan cakap abah. Kamu pergi jugak ke KL tu kan.” Abah menunjuk-nunjuk poster penyanyi, pelakon dan Bintang Paling Popular yang memenuhi seluruh dinding bilik anaknya itu. Rakus tangan abah menarik semua poster di dinding dan mengoyakkannya menjadi cebisan-cebisan kecil.
“Abah jangan abah.” Awatif dah merayu macam budak kecil. Kaki abah dipegang. “Abah jangan abah.” Rayu Awatif lagi. Masa kena penampar tadi cukup kuat dia tahan air mata dari mengalir. Kini bila melihat hampir separuh poster yang dikumpulnya itu menjadi mangsa amarah abah buat dia hilang kawalan. Itu termasuk barang-barang yang dia sayang. Mana boleh abah suka-suka hati buat macam tu. Dahlah tu semua beli pakai duit. Bukannya pakai daun rambutan dekat depan laman rumah.
Mata abah merah memandang Awatif yang beriya-iya menangis mahu mempertahankan poster yang tak bernyawa ini. lantas abah beralih pula pada meja belajar. Bukan buku pelajaran yang penuh di atasnya tapi berselerak dengan segala majalah hiburan yang terpampang muka Amanda Dayana diva Negara itu. Kali ini abah koyak-koyakkan pula majalah yang dah berkurun Awatif simpan. Sudahlah tu, buku skrap hasil kerja tangan yang Awatif buat khas untuk bintang pujaannya itu juga menjadi mangsa abah. Huh..Tak sempat nak mintak autograph.
Bila tangan abah pantas mengambil CD album Amanda Dayana makin kuat suara Awatif menangis. “Abah jangan abah. Yang lain kalau abah nak koyak abah koyaklah. Tapi CD tu jangan abah. Tif sayang tu abah. Tif beli pakai duit raya tahun lepas tu abah.” Jatuh meleleh air mata Awatif saat dia merayu pada abah. Bersungguh-sungguh dia mempertahankan CD Amanda itu dari menjadi mangsa abah yang seterusnya.
Abah merenung tepat ke muka Awatif. Berkerut dahi abah. Kemudian CD tadi dicampak kembali di atas meja.
“Ingat yer. Mulai hari ini kamu duduk dekat rumah. Jangan nak keluar. Ini hukuman sebab kamu ingkar kata abah.” Kata abah berbau arahan.
Awatif hanya tunduk. “Ingat yer. Mulai hari ini kamu duduk dekat rumah. Jangan nak keluar. Ini hukuman sebab kamu ingkar kata abah.” Tersedu-sedu dia mengajuk cakap abah bila dia merasakan abah dah selamat keluar dari bilik. Huhh.. Awatif merengus kuat bila dia terpaksa mengutip cebisan-cebisan poster yang dah berselerak penuh satu lantai bilik.
“Kak Tif.” Tegur Wahida dari belakang.
“Diam.” Kata Awatif sepatah.
“Kak Tif.” Tegur Wahida lagi.
“Diam.” Bulat membuntang Awatif memandang Wahida. Dia cakap sekali pun susah nak faham.
Wahida hanya menjongket bahu. Perlahan dia memanjat naik ke katil atas. Kak Tif dibiarkan sendiri melayan lara bila poster bintang pujaannya sudah bersepah-sepah.

***************************************************************

Tak tau nak letak tajuk apa. So saya letak ajerlah nama heroin ni. AWATIF. Nanti2 saya akan usahakan nak bagi tajuk apa yang sesuai untuk cerita ini. Mungkinlah mengarut sikit untuk bab awal2 ni. Hope jangan ader yang marah. Enjoy reading!!

Salam sayang,
Eila.

Wednesday, November 11, 2009

2 X 5 Bab 19

“Im kau ada pergi Bahagian Kewangan tak hari ni.” Soal Hairi ketika dia dan Zaim sedang sibuk memilih lauk di gerai nasi campur yang terletak tidak jauh dari pejabat mereka berdua.
“Aku naik Bahagian Kewangan tu kalau tiba hari gaji ajer. Itu pun sebab nak ambil payslip. Kalau tidak, tak kuasa nak menapak ke tingkat tujuh tu kalau semata-mata nak buat pemantauan dekat situ. Lainlah kau yang banyak sangat masa terluang sampai boleh buat buat lawatan dekat sana tu mengalahkan GM.” Sedas Zaim.
“Amboi kau. Mengata tak menoleh langsung. Jagalah hati aku ni sikit. Ni main lepas ajer. Sah belajar dari Kirin ni. Kau dengan bini kau tu pun aku tengok dah sama ajer perangai. Aku naik ke atas tu pasal loan rumah yang aku nak buat tulah.” Balas Hairi. Kemain lagi Zaim ni sekarang berkata. Ada ajer benda yang aku beat tak kena. Macamlah tak tau sekarang ni aku berurusan dengan kewangan tu pun sebab hal loan rumah yang tak lepas-lepas keluar lagi dari bilik akauntan syarikat. Nak buat macam mana, Minggu lepas dia submit form, dan-dan pulak Cathrine Chong, akauntan bermata sepet tu dikhabarkan sudah berhenti kerj kerana mendapat tawaran kerja di luar Negara. Kenapalah Cat ni berhenti kerja time aku nak sangat mintak tandatangan dia tu. Terpaksalah menunggu akauntan baru masuk. Pagi tadi dapat ajer berita yang akauntan baru yang menggantikan tempat Cathrine Chong sudah masuk pejabat terus ajer dia pergi bertanyakan perihal borang pinjaman perumahannya itu. Dan…inilah benda yang tak sabar sangat nak diceritakan pada Zaim.
Sekejap kemudian Hairi mula mempamerkan barisan gigi-giginya yang bersusun cantik. Meang tak sabar sangat dah ni nak mula bukak cerita.
“Ni apa hal tiba-tiba tersengih macam kerang busuk. Rosak ark au ni Ri aku tengok. Makin lama sengal kau tu makin menjadi. Patutlah tak ada satu pun calon yang boleh melekat dengan kau.” Kata Zaim selamba. Nasi yang sudah bercampur dengan ikan keli berlada dan sayur kangkung goring belacan dibawa ke mulut.
“Aku ada benda nak cerita dengan kau ni.”
“Hal perempuan?” Teka Zaim. Alahh.. Sudah berapa lama berkawan dengan Hairi ni. Macamlah tak tau cerita apa yang ingin disampaikan oleh Hairi kalau dia sudah mula jadi tersengih memanjang, dengan excited yang melebih itu. Pasti-pasti sahaja hal perempuan. Hairi memang selalu begitu. Hal perempuan ajerlah topic utama kalau dia nak berborak. Tak ada hal lain. Tu sebab Kirin tu tak berapa nak berkenan aku berkawan dengan Hairi. Hairi tu mata keranjang katanya. Kata Kirin lagi, agak kalau orang hutan dekat Zoo Negara di paksa pakai mini skirt berwarna merah jambu mahunya dengan orang hutan pun Hairi akan terpikat.
“Kau memang kawan yang sangat memahami aku lah Im. Ni buat I sayang you lebih.” Kata Hairi bersama sengih yang dari tadi tak lekang dari bibir
“Bab sayang-sayang ni kau kasi pelan sikit okey. Buat orang dengar nanti tak ker dituduhnya aku ni ada skandal dengan kau. Tak lalu aku.” Zaim memberi amaran keras.
Hairi ketawa besar mendengar amaran keras Zaim itu. Ngok betul punya kawan. aku pun tak hadaplah lelaki sama jenis ni. Apa daaa…. “Aku dah jumpa akauntan syarikat yang baru. Cantik siot wa cakap sama lu. Macam anak pak arab daa….” Kata Hairi sambil menaikkan ibu jari kirinya. Memang lawa ar akauntan baru tu. Tak rugi pagi-pagi tadi menapak ke atas semata-mata nak bertanya perihal borang permohonan pinjaman perumahannya tadi. Sambil menyelam minum air. Sharifah Nur Sofea Syed Barakbah. Aduhhh!!! Akan aku pahat nama itu dihati ini.
“Betullah cakap Kirin. Kau kalau orang hutan dekat Zoo Negara pakai mini skirt pun kau akan kata cantik jugak. silap hari bulan boleh flirt sekali.” Kata Zaim sambil ketawa kecil melihat gaya Hairi menceritakan perihal akauntan baru yang dia jumpa pagi tadi.
“Isshhh…Melampau betul bini kau mengutuk aku Im. Betul. Kali ini aku yakin terkena pahanan cinta pandang pertama. Tak adalah macam yang bini kau nak rekemenkan dekat aku tu. Saper nama budak tu. Fi…Fi..Fi..” Berkerut dahi Hairi cuba mengingatkan nama si gadis yang pernah ingin di’adjust’ oleh isteri Zaim itu. Fuhhh… Fesyen sama ajer. Kepala ting-tong. Mengerikan betul bila mengingatkan pertemuan pertama yang di atur oleh Zaim dengan Syakirin. Sungguh tak sanggup kalau perempuan patern itu yang ingin dibuat calon.
“Fiqa.” Sebut Zaim. Membantu temannya itu pulih ingatan terhadap kawan Syakirin juga merupakan budak sekampung dia jugak. Memang lawak kalau tengok first time mereka berdua ini berjumpa dulu. Serba tak kena. Serba tak masuk. Ada ajer benda yang nak ditelagahkan. Kalaulah bukan Syakirin yang beriya-iya benar mahu memadankan Hairi dengan Figa dia pun malas mahu masuk campur. Bukan tak tau perangai Hairi. Fiqa tu pun dia kenal ajer kalau dah namanya pun budak sekampung. Nasib tak menjadi. Kalau tak lagi teruk dua-duanya.
“Hah!!! Fiqa. Ngeee…” Laju Hairi menggeleng kepala. Ngeri sangat ajer bila dia mendengar semula nama Fiqa.
“Okey what. Lawa apa. Pakai tudung…. Pakai tudung…Haaaa..” Zaim mula mahu menjalankan aktiviti menggiatnya. Jari telunjuknya digerak ke atas dan ke bawah dengan kening dijongkang jongket. Hairi sudah kena bahan. Memang seronok bila sekali sekala dapat membahankan Hairi. Jangan ingat dia ajer yang reti membahankan orang. Aku pun tau jugak tau. “Mak kau sukakan. Kalau mak kau jumpa mesti berkenan terus.” Zaim tidak habis mengusik lagi. Usik jangan tak usik.
“Tak sanggup aku. Mulut longkang ar budak tu. Ada ker mengata aku direct ajer tak kona-kona. Depan-depan pulak tu.” Kata Hairi sambil ketawa geram bila teringat satu-persatu kata-kata menyakitkan hati yang keluar dari mulut Fiqa tu. Memang bukan citarasa aku sungguh.
“Kau jangan membenci sangat Ri. Takut nanti tak tidur malam pulak kau dengan budak Fiqa tu.” Giat Zaim lagi.
Hairi mendengus geram. “Boleh tak kalau kau gugurkan nama budak Fiqa tu. Sekarang ni aku lebih berminat dengan akauntan syarikat yang bernama Syarifah Nur Sofea Syed Barakbah.” Kata Hairi. Nama si akauntan yang cantik itu disebut dengan sejelas-jelasnya. Cukup hokum dia menyebutnya.
Tersedak Zaim mendengar nama yang baru disebut oleh Hairi tadi.
“Asal kau? Baru aku sebut nama dah tersedak macam tu. Belum lagi jumpa dengan orangnya.” Hairi mengangkat kening sebelah.
“Siapa nama akauntan tu?” Soal Zaim inginkan kepastian.
“Syarifah Nur Sofea Syed Barakbah.” Ulang Hairi.
“Sofea.” Teka Zaim di dalam hati.
“Im..Im.. Memang rezeki kau lah nak tengok buah hati baru aku ni. Dia datang. Dia datang.” Kata Hairi bersemangat. Dan-dan itu jugak sikat dikeluarkan dari poket slack yang dipakai. Dirapikan sikit rambutnya. Jambul di depan dia kasi terangkat. Barulah ada gaya. “Cik Sofea.” Dengan muka tak malu Hairi menegur akauntan syarikat yang baru itu. Dia berdiri apabila dilihat Sofea datang menghampiri meja makannya.
“Eyyhhh!! Encik Hairi. Makan disini jugak.” Lunak suara Sofea menyapa Hairi.
Zaim sekadar tunduk mengadap pinggan nasi yang telah kosong sambil berdoa di dalam hati. Semoga Syarifah Nur Sofea Syed Barakbah itu bukanlah Sofea yang dia pernah kenali dulu. Telinganya dapat menangkap jelas suara empunya nama yang disapa oleh Hairi itu. Ya Allah. Betul ker dia.
“Mari saya kenalkan. Senior architect kita. Ahmad Zaim.” Ramah Hairi memperkenalkan Zaim kepada Sofea.
Perlahan Zaim mengangkat muka. Dia bangun. “Hai.” Katanya sepatah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Ha…Ha..Hai..” Sedikit tergagap Sofea menuturkannya. “Zaim?” Katanya perlahan.
Zaim sekadar mengangguk lemah.
“Korang kenal each other?” Hairi pula menyampuk dengan muka pelik.
“Sofea ni kawan lama aku.” Beritahu Zaim tenang.
“Ya. Kawan.” Sofea mengiyakan. “Kawan lama.”
“Buat suspen ajer tadi. Nasib kawan lama. Ingat kekasih lama.” Selar Hairi sambil mengurut dadanya.


“Ri aku ingat nak balik office dululah.” Bisik Zaim perlahan kepada Hairi.
“Kau ni Im macam tau-tau ajer apa dalam kepala aku ni. Bagus jugak kau gerak dulu. Aku dah nak atur ayat ni.” Jawab Hairi bersama tawa gatalnya sambil mata melirik Sofea yang sedang memesan sesuatu pada kaunter pembayaran.
“Apa-apa ajerlah Ri. Janji kau jangan sampai lupa nak masuk pejabat sudah. Nanti tak pasal-pasal bos kau memekak tepi telinga aku sebab membiarkan engineer dia mengulat dekat restoran ini lama-lama. Macam kau tak tau perangai bos kau tu.”
“Yer. Yer. Aku paham. Jangan risau. Habis ajer rehat aku baliklah pejabat. Kau doakan semoga aku berjaya yer.”
“Suka hati kaulah.”
Terus Zaim berlalu meninggalkan Hairi dengan agendanya itu.




“Lambatnya awak balik hari ini. Dah pukul Sembilan malam.” Tegur Syakirin ketika menyambut kepulangan suami tercinta. Tangan Zaim disalam lalu dicium. Scroller lukisan dan briefcase dari tangan Zaim telah pun berpindah kepada tangannya. “Awak nak makan. Saya siapkan.” Kata Syakirin lagi.
Zaim mengangguk perlahan. “Tapi saya nak mandi dulu.”
“Okey.”
Usai mandi dan bersolat Isyak, Zaim duduk di meja makan. Syakirin telah sedia menanti. Nasi disenduk ke pinggan Zaim. Mala mini menu makan malam mereka berdua adalah sayur campur, ayam goreng berempah dan jugak sambal tumis udang. Itu semua makanan kegemaran Zaim. Sekarang ini dia sendiri sudah mahir memasak apa sahaja makanan kegemaran suaminya itu kecuali….ermmm…gulai tempoyak!! Kalau Zaim nak makan gulai tempoyaknya itu tunggu balik kampunglah. Suruh emak yang masakkan. Kalau dia yang nak masak, kirim salam banyak-banyak. Tak sanggup!!
Di meja makan Zaim senyap sahaja menjamah hidangan makan malamnya. Sedikit gusar hati Syakirin melihat sikap Zaim mala mini. Selalunya Zaim tidak begini. Pasti ada ajer kata-kata pujian terhadap masakannya walaupun dia pun tau sebenarnya dia masak tak adalah sedap mana pun. Tapi Zaim tidak lekang memuji. Itu buat dia terasa dihargai dan rasa sangat seronok menyediakan semua kelengkapan dan apa sahaja yang Zaim inginkan. Zaim pandai berterima kasih. Itu yang buat semakin hari semakin sayang.
“Awak tak sihat ker?” Syakirin mula menyoal apabila Zaim sudah bangun menuju ke singki. Dah masak macam-macam Zaim makan sikit ajer. Tidak sihatkah dia? Desis hati kecil Syakirin.
“Saya tak apa-apa. Cuma penat ajer. By the way, sangat sedap awak masak hari ini.” Puji Zaim seperti biasa.
Syakirin mengulum senyum. Tapi dihati tetap timbul tanda tanya. Macamlah baru hari ini Zaim tu penat bekerja. Setahu dia hari-hari Zaim ni kerja menimbun. Tak pernah lah pulak berkeadaan macam ni. Pasti ada yang tidak kena. Desis Syakriin di dalam hati.

Selesai mengemas dapur, Syakirin masuk ke dalam bilik. Zaim sudah duduk bersandar dikepala katil melakukan aktiviti biasanya sebelum tidur. Membaca majalah. Syakirin pula turut sama berbuat demikian. Pelangi di atas meja tepi katil dicapai. Dia mula membuka halaman bertanda untuk menyambung bacaannya yang terhenti semalam. Dah masuk cerita baru rupanya. Semalam dia Berjaya menghabiskan cerita Syud. Hari ini dia mula baca cerita barulah pulak. Ked’s Story mula memasuki bab pertama. Dia pembaca tegar apa sahaja tulisan Doktor Hlovate ini yang dirasakan semuanya best-best belaka.

Sepuluh minit membaca, Syakirin mula menjadi bosan. Selalu kalau baca novel macam ni pasti dia tak lepas dari berborak perihal cerita yang sedang dibacanya tika ini. Macam semalam. Tengok ajer cara dia bukak cerita Usamah dengan Iman dengan Zaim semalam punyalah bersemangat kental sungguh menerangkan watak-watak dan jalan cerita Syud itu. Usamah itu lah. Usamah inilah. Iman itulah. Iman inilah. Yang Zaim pula sekadar tersenyum ajer. Lastnya yang terkeluar dari mulut Zaim, ‘awak ni banyak betul modalnya’. Heheheh… Tapi mala mini…errrmmm..macam serius ajer Zaim membelek majalah. Dia sendiri takut hendak menyapa.
Naskhah Pelangi ditutup. Bacaannya terhenti setakat bab enam sahaja. dia sudah tidak ada mood mahu meneruskannya. Zaim masih lagi senyap. Perlahan-lahan Syakirin melentokkan kepalanya pada bahu Zaim.
“Rinn..saya penatlah. Tidur yer.” Kata Zaim lalu terus majalah ditangan diletakkan dimeja tepi katil sebelah kanan. Lampu tidur ditutup.
Baru ingat nak bermanja. Nak tidur pulak dia ni. sah ada yang tak kena. Ngomel Syakirin di dalam hati.


__________________________________________________________________________________

Assalamualaikum,

Pertama sekali saya, Eila nak menyusun sepuluh jari memohon maaf andai apa yang ingin dimaklumkan di sini akan buat ramai bengang, tension, stress, rasa nak bakar blog ni dan yang sewaktu dengannya.

Secara rasminya saya nak katakan di sini, 2X5 akan berhenti setakat ini sahaja. Insyaallah, edisi bercetaknya akan menyusul kemudian hari. Harap semua dapat bersabar dan maafkanlah saya andai membuat anda semua tertunggu-tunggu. Apakan daya, saya hanya sekadar menghormati permintaan pihak penerbit.

Saya harap semua pembaca yang disayangi boleh terhibur untuk N3 terakhir. Saya pun dah tak sabar nak mengasah pensel Steadler Noris 2B untuk mula menconteng 'Terbang Tinggi-Tinggi'. Test pad yang baru pun dah siap beli memandangkan test pad yang ada sudah dihabiskan untuk mencoret kira2 2X5 itu.


Harap semua bertabah okey!! Saya hargai anda semua di dalam hidup saya.

Sekian.

Salam sayang untuk semua,

*Eila*

Tuesday, November 3, 2009

2 X 5 Bab 18

“Misya Ellana Mohd Aminuddin!!!” Jerit Syakirin pada anak buah yang ketegak sangat tu. Abang sengaja betul menyuruh aku menjaga Misya sementara dia nak berdating dengan Kak Yati. Suka menjadikan rumah aku macam nursery. Lepas tu aku ni jadi baby sitter tak bergaji. Bukannya tak tau yang aku dengan puteri sulungnya itu langsung tidak ada chemistry. Budak ni pun satu. Degil ya amat. Main panjat-panjat macam lelaki. Buatlah kalau terjatuh nanti. Siapa yang akan disalahkan. Mummy Ngah jugak.
“Misya…Turun sayang.” Tegur Zaim lembut. Gadis kecil menginjak usia enam tahun itu didukung dari atas palang tempat dia sedang berdiri. Manja sahaja gaya Misya di dalam dukungan Zaim.
Syakirin sekadar mencebek bila Misya tersengih memandangnya. Sajer tau Misya ni. Mummy Ngah pun tak pernah kena dukung dengan Pak Ngah dia tu macam tu.
“Misya kalau nakal-nakal macam ni Mummy Ngah report dekat papa okey.” Ugut Syakirin.
“Pak Ngah tengok Mummy Ngah ni. sikit-sikit report papa. Sikit-sikit report papa.” Petah Misya mengajuk gaya Mummy Ngahnya itu bercakap tadi.
Nggee… “Tak padan dengan kecik.” Tocang ekor kuda Misya ditarik.
“Pak Ngah….” Rengek Misya manja di sisi Zaim.
“Awak ni sudahlah tu.” Kata Zaim. “Jom kita balik. Dah nak dekat senja dah ni.” Ajak Zaim. Sudah berjam duduk di taman permainan ini. Hari pun dah nak keluar mambang kuning ajer ni.

Di dalam kereta Syakirin dan Zaim sekadar mendiamkan diri Cuma sesekali terdengar suara kecil di tempat duduk belakang menyanyi girang. Tak tahan betul dengan anak lawyer sorang ni. umur baru nak masuk enam tahun sudah pandai menyanyi lagu Yuna. Misya dibiarkan sahaja mensumbangkan suara dibelakang. Cuma Zaim ajer sesekali ketawa kecil bila mendengar Misya tersasul mahupun tersilap menyanyikan bait-bait kata di dalam lagu Dan Sebenarnya dendangan Yunalis Dato’ Mat Zarai yang merupakan anak seorang lawyer itu jugak.
“Pak Ngah…” Panggil Misya manja.
“Apa dia sayang…” Sahut Zaim.
“Malam ni Misya tidur sekali dengan Pak Ngah ek.”
Zaim sekadar tersenyum mendengar permintaan gadis kecil yang sudah pun bersandar dibelakang. Penat barangkali. Penat memencak satu padang permainan tadi.
“Mana boleh. Pak Ngah tidur dengan Mummy Ngah. Awak tidur depan tv.” Syakirin menjawab bagi pihak Zaim. Sengaja mahu menyakat anak dara abang tu.
“Taknak.. Nak tidur sekali dengan Pak Ngah dengan Mummy Ngah…” Rengek Misya. Matanya sudah mula berkaca. Mummy Ngah kejam. Idea untuk suruh tidur seorang diri di depan tv sangat kejam.
“Rinn..” Zaim bersuara panjang sambil menjeling kea rah Syakirin. Syakirin mula sedaya upaya menahan tawa apabila melihat gadis kecil itu sudah mula mahu menitiskan air mata. Salah satu hobinya sejak dua menjak ini adalah menyakat Misya. Itulah satu-satunya anak saudara yang menjadi pengarang jantung hatinya. Dia sayangkan Misya. Sayang sangat. Tapi semakin besar semakin menjadi mulut si kecil ini membidas kata-katanya kalau ada yang tidak kena padanya. Tu yang buat geram tu. Mengikut gaya abang. Maklumlah. Anak lawyer kan. Dimana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
“Pak Ngah tak mau tidur kat luar.” Kata Misya teresak-esak.
“Yerlah. Malam nanti sayang tidur dengan Mummy Ngah dengan Pak Ngah okey. Tak mau menangis-menangis. Tak cantik dah Pak Ngah tengok.”
Mendengar kata-kata dari Pak Ngahnya itu membuatkan Misya tersenyum kelat. Bila sahaja mendengar diri sudah tidak cantik terus sahaja dia berhenti menangis. Air mata yang mengalir diseka.
“Pak Ngah…”
“Apa dia sayang.”
“Suruhlah Mummy Ngah tidur luar. Biar dia kena kacau dengan momok.”
Kata-kata Misya itu benar-benar melucukan. Ketawa besar Zaim dibuatnya. Syakirin pula sudah bengkek ajer gayanya. Matanya dibuntangkan mengadap Zaim yang masih rancak ketawanya tanpa ada sebarang tanda mahu berhenti. Amboi cik adik seorang ini. Sudahlah Pak Ngahnya memanggil sayang. Aku pun Zaim tak pernah nak panggil sayang tau. Lepas tu ada hati nak menghalau Mummy Ngahnya keluar dari bilik. Sabar ajerlah aku dengan anak abang ni. Abang!!! Ambillah anak awak cepat. Betul-betul menganggu privasi rumah tangga orang tau tak!!! Ngomel Syakirin di dalam hati.


“Shusshhh!!!” Jari telunjuk Syakirin diletakkan pada bibir apabila melihat wajah Zaim terpacul dari luar pintu bilik.
Zaim yang baru sahaja pulang dari masjid menjenguk ke dalam bilik. Lar.. Dah tidur budak ni. Syakirin duduk di atas katil bersebelahan Syakirin yang masih lagi menepuk lembut badan anak saudaranya itu. Seketika kemudian tangannya membelai rambut panjang Misya. Kemudian dahi si kecil itu dicium. Zaim yang sekadar memerhati sekadar mengulum senyum. Misya..Misya.. Mummy Ngah awak ni tak adalah teruk sangat pun. Detik hatinya.
“Buat saya Nescafe.” Pinta Zaim lembut ditepi telinga Syakirin.
“Tak boleh buat sendiri ker.” Jawab Syakirin acuh tak acuh. Tangannya masih lagi membelai Misya yang sudah jauh diulit mimpi.
“Boleh. Tapi saya paling suka Nescafe yang awak buat.”
“Sama ajerkan rasanya.”
Zaim menggeleng perlahan. “Awak…” Panggil Zaim panjang. “Nescafe satu ek.” Pintanya lagi. Dibuat muka kesian.
“Ngadalah awak ni.” Lengan Zaim dicubit manja.
“Please…”
Syakirin menjulingkan mata mengadap kipas siling yang ligat berpusing. “Yerlah.” Patuh juga dia bangun dari duduk dan menuju ke dapur.

Mug dikeluarkan dari cabinet dapur. Botol Nescafe dicapai dari raknya. Tangannya menyudu Nescafe dan dimasukkan ke dalam mug. Kemudian beralih pula kepada Coffee Mate. Setelah semuanya dimasukkan ke dalam mug, air panas dari termos dituangkan ke dalam. Aroma Nescafe bersama Coffe Mate yang telah bercampur sejati terbit membangkitkan selera. Memang sedap menghirup Nescafe panas dalam keadaan dingin dengan renyai hujan di luar.
“Ouchhh!!!” Syakirin memalingkan badan. Dilihat Zaim sedang ketawa mengekek sebab Berjaya untuk mengejutkannya buat kesekian kalinya. Sajer tau Zaim ni. Suka main kejut-kejutkan aku macam tu. Buatlah kalau tertumpah Nescafe panas ni tadi. Tak ker melecur orang yang kena. “Pergilah duduk depan. Nanti saya bawakkan air awak.” Kata Syakirin malas. Tangannya menyambung kembali mengacau air Nescafe yang di’oder’ oleh Zaim tadi.
“Naaa…” Zaim menggeleng perlahan. “Saya duduk kat sinilah. Temankan awak.”
“Suka hatilah. Ambil ni. Air awak dah siap. Saya nak menjenguk Misya kejap. Karang menangis pulak tengok diri sorang-sorang dekat dalam bilik tu.”
“Tak payahlah. Siang tadi jenuh bermain. Penat. Lena ajer saya tengok Misya tidur. Apa kata awak temankan saya minum okey. Kita share air Nescafe ni.”
“Awak ni kan…Berapa lama dah kahwin dengan saya. Saya tak minum Nescafelah. Milo panas satu yer.” Tiba giliran Syakirin pula membuat pesanan. Keningnya terangkat sebelah sambil tersengih nakal.
“Okey ma’am!!” Zaim tabik spring sebelum dia pula mengambil tugas tukang bancuh air untuk ma’am besar yang sudah pun ke ruang tamu rumah.
“Milo panas satu.”
“Thank you bos!!”
Tin biskut marrie coklat yang dibawa tadi dibuka. Dicelup ke dalam milo panas dan dibawa ke mulut. Sedapnya. Tak hengat!!!
“Rinn…”
“Errrmm…” Sahut Syakirin tanpa menoleh. Matanya tertumpu pada filem Summer Holiday yang membariskan bintang terkenal dari Hongkong seperti Sammy Cheng dan Jerry Jen. Syok betul layan filem ni. Dah lama tak tengok. Bagus tau channel8 ni. Macam tau-tau ajer aku lama merindui mahu menonton filem lakonan Sammy Chen ini.
“Kita dah kahwin hampir setahun setengah tapi saya tak taulah bila kita boleh merasa ada baby sendiri yer. Asyik menumpang sayang dengan anak abang, anak Along Zain ajer kita ni.” Perlahan Zaim menuturkannya. Dia tahu. Kalau Kirin sudah melagut menonton filem yang dia suka bukannya diambil port sangat dengan orang disebelah. Sudah masak sangat dengan perangai isterinya itu. Kaki tengok wayang. Kaki tengok tv jugak. Tak rugi bayar Astro bila duduk satu rumah dengan orang yang kerjanya memanglah suka tengok tv.
Syakirin berpaling lipat kilat. Dia memandang Zaim yang sedang membelek Readers Digest ditangan. Kemudian dia melepaskan keluhan lemah. Sudah berpuluh kali Zaim berrtanya soalan yang sama. Dan juga sudah berpuluh kali jugak dia pening memikirkan jawapan terbaik yang harus diberikan. Kalau kira-kira pakai jari tangan, jari kaki tak payah nak tekan calculator digital pun dia memang tau yang usia perkahwinannya itu sudah pun menjangkau setahun setengah. Tang kira-kira ilmu hisab Zaim memang terror. Tapi Zaim lupa kut yang enam bulan buat hal sendiri-sendiri tu tak tau pulak dia nak tolak. Kalau nak dikutkan yang betul-betul jadi suami isteri tu pun dalam setahun ajer.
“Zaim. Saya tak pernah merancang tau. Belum ada rezeki lagi. Insyaallah nanti-nanti tu adalah.”
“Saya teringin nak ada anak sendiri.”
Sekali lagi Syakirin melepaskan keluhan lemah. Sah dia ni dah buat dah perangai tak paham Bahasa Melayunya itu. “Saya pun teringin nak ada anak sendiri. Kita berdoalah. Semoga tuhan makbulkan permintaan kita.” Jelas Syakirin. Dia pun berharap benar agar dapat menimang anak sendiri. Sudah lama sangat dia mengidam mahu melengkapkan kehidupan mereka suami isteri dengan kehadiran cahaya mata. Tapi nak buat macam mana. Tuhan belum nak bagi. Hari-hari pun dia tidak pernah lupa berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah lewat sembahyangnya. Zaim ni macam tak tau yang setiap orang ‘power’nya lain-lain. Tak kiralah kalau saban hari membedal pemangkin Pearl Kacip Fatimah mahupun Ali CafĂ© yang boleh menambahkan power dari Power Root tu. Kalau yang di atas sana tidak berkehendak untuk memberi kita selaku hambanya haruslah sentiasa berdoa dan bertawakal disamping disertakan dengan usaha yang mantop!! Zaim. Tu pun nak kena ajar ker.
Zaim sekadar memerhati raut wajah Syakirin yang tiba-tiba berubah menjadi sugul. Terasa bersalah pula dia membangkitkan hal ini. bukan mereka berdua tidak pernah berbincang mengenai hal ini. malah sudah acap kali jugak hal ini dijadikan topic perbualan utama. tapi bila terpandangkan wajah Misya perasaan ingin memiliki cahaya mata sendiri semakin meluap-luap. Tak tau lah pulak Kirin akan touching lebih mala mini.
“Sorry.”
Syakirin mengalih pandang pada Zaim. “Sorry kenapa?” Syakirin menyoal pelik. Ellehh… Macamlah tak tau sorry untuk apa-apa. Kura-kura tercekik tauhu, buat-buat tak tahu. Deyyyhhh….Piirrraahhhh!!!!!!
“Saya tau awak mesti terasa hati sekarang ni kan. I’m so sorry.”
“Taka pa. Saya tak kisah. Kita jangan berhenti berdoa okey.”
“Dan berusaha jugak.” Sambung Zaim dengan senyuman nakal menggoda.
Merah muka Syakirin tidak dapat dibendung lagi. Ngeee… Gatal!!!...Ma’am kecil tu ada dalam bilik. Jangan nak buat pasal.
“Awak tidur dekat luar lah yer. Lagipun malam ni MU lawan Chelsea.” Kata Syakirin dengan sengih kerang busuknya. Macam biasalah kalau ma’am kecil itu menumpang tidur di sini, Zaim kenalah tidur di luar ataupun di bilik sebelah. Misya jenis lesak. Katil bersaiz queen tu pun aku ni sipi-sipi ajer muat.
“La…Pak Ngahlah pulak kena tidur dekat luar.” Kata Zaim buat-buat merajuk. Mukanya monyok.
Ketawa kecil Syakirin apabila melihat muka Zaim berubah menjadi macam tu. “Yerlah. Takkan Pak Ngah nak bagi Mummy Ngah tidur dekat luar pulak kan.. Pak Ngah sayang Mummy Ngah kan.” Syakirin bersuara manja. Mata kirinya dikenyit sebelum terus masuk ke dalam bilik.
“Yerlah…” Sahut Zaim malas. Mummy Ngah.. Mummy Ngah… Dah macam Auntie Zaza ajer rupanya. Mug sendiri pun main letak ajer dekat sini. Opppsss!! Lupa pulak. Pak Ngah kan ker ada.