Wednesday, October 8, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 7

Bab 7


“Abahh!!!” Adib melonjak gembira sebaik kereta abahnya sudah berada di hadapan pagar rumah. Dia dan Adalia berlari-lari mendapatkan abah.

Ilham peluk anak-anaknya. Kiri kanan pipi Adib dan Adalia dicium. Terlerai rindu pada anak-anak.

“Nah!!” Aryana menyua beg pakaian Adib dan Adalia pada Ilham.

Ilham mendongak memandang Aryana yang mencuka. Setiap kali datang ambil Adib dan Adalia muka Aryana tidak pernah manis. Asyik-asyik tunjuk muka tertelan cuka sahaja di depan dia. Ikutkan dia bukan setakat rindukan Adib dan Adalia ajer, tapi mummy Adib dan Adalia pun dia rindu jugak. Ikut hati nak ajer dipeluk-peluk, dicium-cium Aryana, tapi apa kan daya, sekarang dah tak boleh nak buat itu semua. Haram!

“Abang dengar Yana dah dapat kerja. Betul ker?” Soal Ilham ketika beg beralih tangan.

“Haah.” Aryana sekadar menjawab. Wajahnya berpaling ke tepi. Menyampah betul tengok Ilham.

“Kerja dekat mana?” Ilham berbasa-basi.

“Yana buat akaun dekat House Of Grill Restaurant.” Beritahu Aryana. Matanya masih lagi tidak mahu memandang Ilham.

Automatik Ilham tergelak kecil. “Yana nih… Kut ya pun nak kerja carilah tempat yang semenggah sikit. Kalau tak dapat yang lebih hebat dari Alam Corporation yang sama level pun tak apa. Ada ker kerja setakat buat akaun dekat kedai makan. Nak bayar duit kereta pun tak cukup tau duit gaji Yana tu.” Ilham cuba mencari perhatian Aryana dengan bersikap sarkastik dalam berkata-kata.

Aryana berpaling lipat maut memandang Ilham yang menyuring senyum sinis. Macamlah teruk sangat kerja dekat restoran kan!! “Apa masalah abang ni hah. Suka hati Yana lah nak kerja dekat mana. Tak ada kena mengena pun dengan abang kan.” Aryana mula menghambur marah apabila Ilham seakan-akan merendah-rendahkan usaha dia mencari duit.

Ilham menelan air liur. “Tak adalah, Yana kan dah terbiasa hidup mewah. Takut tak mampu nak tampung maintenance hidup Yana yang tinggi tu ajer.” Tutur Ilham.

Hidung Aryana kembang kempis menahan geram. Memang semasa menjadi isteri Ilham maintenance hidup dia tinggi, tapi dia bukan tak ada otak. Pandai-pandailah dia sesuaikan dengan keadaan ekonomi dia sekarang. Berbulu betul dengan Ilham nih! “Sudahlah. Ni Yana nak pesan make sure tepat pukul 10.00 malam hari Ahad nanti abang hantar balik anak-anak Yana.” Pesan Aryana.

Ilham tersengih-sengih apabila Aryana mengalih topik. Hilang idea la tu. Ilham berani jamin Aryana takkan bertahan lama kalau setakat kerja dekat restoran tu. Last-last mesti Aryana terima juga cadangan abah untuk bekerja dengan dia semula. “Yes ma’am….” Ilham tutur ayat keramat yang sudah cukup sebati dengan lidah dia sejak sepuluh tahun lepas.

“Tunggu apa lagi. Pergilah.” Aryana menghalau.

“Yana tak nak ikut sekali ker. Alahh…Yana jomlah keluar. Makan-makan. Jalan-jalan. Cuti-cuti duduk rumah sorang-sorang buat stress ajer. Jom yer. Ikut abang dengan anak-anak. Hari ni abang belanja makan satey.” Ilham mengumpan.

Pandangan mata Aryana mencerun memandang muka bersahaja Ilham. “Abang ni tak faham bahasa ker. Kan ker Yana dah cakap dalam telefon tadi, Yana tak nak ikut. Sudahlah. Pergilah cepat. Tengok muka abang ni lama-lama stress Yana jadinya.” Hambur Aryana senafas.

“Muka handsome macam ni pun boleh stress ker pandang.” Ilham sengaja menggiat. Rindu wey!! Rindu nak tengok Aryana membebel macam selalu!

Bila cakap dengan mulut pun dah tak faham, Aryana mula nak cakap guna selipar Jepun yang dipakai. Mungkin macam ni Ilham boleh faham.

“Yer…Yer…Yes ma’am. Abang pergi sekarang. Assalamualaikum.” Ilham mencicit berlari memasuki kereta apabila Aryana sudah bersedia mahu menanggalkan selipar jepunnya. Cepat-cepat enjin kereta dihidupkan. Fuhh… Aryana kalau dah buat datang angin ribut taufan bukan kira siapa dah. Nasib baik cepat lari. Kalau tak…. Ilham ketawa sendiri. Teringat pula kenangan mengorat Aryana dulu. Alahaii…. Tak semena-mena kenangan aku, dia dan selipar Jepun datang menerjah. Ilham terus senyum meleret sepanjang perjalanan sehingga Adib dan Adalia pun pelik tengok abah mereka senyum sorang-sorang.







Remote controller di tangan di tekan-tekan. Sampai sekarang tidak ada satu pun saluran tv yang seronok untuk ditonton. Beginilah keadaan bila anak-anak balik ke rumah abah mereka. Tak ada benda yang seronok nak dibuat kalau dah kena tinggal sorang-sorang. Jika ada Adib dan Adalia riuh sikit rumah ni. Tak adalah sunyi sepi.

Fikiran Aryana melayang sewaktu hidup bersama Ilham dahulu. Biasanya jika tiba hujung minggu mereka sekeluarga akan membuat aktiviti bersama-sama seperti berkelah, jalan-jalan, shopping. Masa inilah pun nak merapatkan hubungan sesama mereka dan anak-anak memandangkan hari biasa Ilham begitu sibuk dengna tugasannya di pejabat. Keluhan lemah keluar dari celah kerongkong Aryana.

Apalah nak jadi dengan kau ni Yana. Elok-elok dah berlaki, sekarang dah janda. Elok-elok bahagia akhirnya end up dengan kehidupan yang sedih macam ni. Tutur Aryana sendirian, mengeluh dengan takdir yang menimpa hidupnya sekarang.

Qada dan qadar. Jodoh pertemuan di tangan tuhan. Kalau dah setakat itu jodoh dengan Ilham, kenalah terima dengan redha. Bisik hati kecil Aryana cuba memujuk diri. Aryana tarik nafas dalam-dalam. Dia kena belajar untuk terus kuat. Bukan senang dan pikul gelaran ibu tunggal. Kalau asyik mengeluh mengenang kisah duka, sampai bila-bilalah hidup dia tak akan bahagia.

Aryana boleh!! Ucap Aryana dengan semangat.

“Apa yang boleh Yana!!”

Aryana hampir terjatuh dari sofa akibat terkejut dengan suara orang di muka pintu rumahnya. “Mak Ngah. Bila Mak Ngah sampai. Macam mana Mak Ngah masuk.” Tutur Aryana senafas. Tangannya mengurut-urut dada.

“Kamu tak tutup pintu kecil sebelah pagar.” Samsiah cekak pinggang di muka pintu.

“Laa…Yer ker. Yana lupa la tu lepas Abang Am ambil budak-budak pagi tadi.”

Samsiah memandang Aryana yang kelihatan serabut. “Yana…Yana…Bahaya tahu tak. Dah la sekarang ni musim orang merompak sana sini. Lepas tu bunuh membunuh. Kamu boleh biar pintu tak berkunci macam tu.”

Aryana garu kepala yang tidak gatal. “Alahhh…Mak Ngah nih. Hari ni ajer pun Yana terlupa. Biasa tak lupa. Yana ni kan jenis berhati-hati.” Tutur Aryana bersungguh-sungguh.

Samsiah mencemik. “Cepat tolong bukak kan pintu pagar. Mak Ngah nak masukkan kereta Mak Ngah.” Arahnya kemudian.

Aryana sekadar menurut. Dia mengekori langkah Mak Ngah dari belakang.





“Apa yang Yana khayalkan tadi ni. Berapa kali Mak Ngah hon tak sedar.”

Tangan yang sedang mengacau air teh di dalam teko terhenti. Aryana pandang muka Mak Ngah yang berdiri di sebelahnya. Dia mengeluh perlahan. “Tak ada apalah Mak Ngah. Teringat budak-budak.”

Aryana lihat Mak Ngah menyuring senyum perli.

“Mak Ngah ni bila sampai KL. Kenapa nak datang sini tak bagi tahu dulu. Kalau tak bolehlah Yana masakkan nasi ayam ker, nasi tomato ker, nasi beriani ker… Ni sebab datang tak bagi tahu, biskut empat segi ajer yang ada.” Ujar Aryana sambil membuka tin biskut Hup Seng. Beberapa keping biskut diletakkan ke dalam piring.

Samsiah bantu Aryana mengeluarkan cawan di dalam kabinet. Air teh panas di tuang ke dalam cawan. “Mak Ngah sampai KL semalam lagi. Pak Ngah kamu rindu dengan cucu-cucu dia. Ni dah alang-alang ada dekat sini, Mak Ngah singgahlah rumah Yana. Tadi masa Mak Ngah bercakap dalam telefon dengan Am tadi dia yang bagi tahu Yana boring duduk rumah sorang-sorang sebab anak-anak semua dengan dia.”

Aryana mencebik apabila mendengar nama Ilham keluar dari mulut Mak Ngah. “Ngeee…Pandai-pandai ajer dia ni kata orang boring. Bila masa pulak.”

“Yana kalau dah cakap sorang-sorang tu apa namanya. Yang Mak Ngah tahu kalau tak sebab boring, mesti sebab stress…errmm….kalau tak pun mental!! Yana yang mana satu.” Samsiah menyakat.

“Ngeee….Mak Ngah nih.” Aryana merengek. Ada sahaja modal Mak Ngah mahu menyakat dia.

“Ngeee…Dah-dah…Mak Ngah nih….Mak Ngah nih…Cepat siap. Kita keluar. Kita ambil udara segar dekat luar. Dekat dalam rumah ni banyak sangat aura negatif. Tu sebab kamu ni pun asyik negatif memanjang.”

“Keluar? Nak pergi mana?”

“Pergilah ke mana-mana lah. Shopping. Makan-makan. Spa. Saloon. Asal tak terperap dekat rumah. Mak Ngah dah lama tak pusing-pusing KL. Yana pun dah lama tak keluar dengan Mak Ngah kan.”

“Yerlah. Macam mana nak keluar. Mak Ngah sibuk ajer dengan Pak Ngah dengan anak-anak tiri Mak Ngah lagi. Cucu-cucu tiri. Yerlah. Orang dah ada keluarga besar.” Ujar Aryana pura-pura merajuk. Semenjak Mak Ngah mendirikan rumahtangga Aryana sudah segan nak kacau hidup Mak Ngah dengan masalah-masalah dia. Dulu bolehlah masa Mak Ngah tengah single. Sekarang ni dia kena share Mak Ngah dengan Pak Ngah, dengan anak-anak tiri Mak Ngah.

Samsiah hanya ketawa. “Alahh…Mengadanya kamu ni Yana. Semenjak hidup sendiri ni asyiklah nak merajuk.” Dia menyindir.

Aryana mencebik apabila Mak Ngah langsung tidak terkesan dengan rajuknya tadi. Lagi kena sindir adalah! “Mak Ngah perasaan ibu tunggal ni hatinya mudah tersentuh. Mak Ngah mana tahu. Mak Ngah mana pernah kena tinggal dengan laki.”

Kali ini ketawa Samsiah meletus kuat. “Sudahlah. Tak payah nak melankolik sangat. Drama…drama….drama…. Cepat siap. Ni Pak Ngah kamu dah bagi can pada Mak Ngah untuk spent time masa dengan anak saudara Mak Ngah yang tersayang nih.”

“Yerlah. Tapi dengan syarat Mak Ngah belanja yer. Mak Ngah tahulah, Yana dah tak ada personal banker lagi. Kena belajar jimat.” Tutur Aryana malu-malu.

“Cepatlah Yana!!” Suara Samsiah meninggi.

Aryana mengekek ketawa sebelum naik ke atas untuk bersiap.





Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, Aryana lihat muka pada cermin bedak compact. Kiri kanan pipi dibelek-belek.

“Mak Ngah, terima kasih tau sebab bawak Yana pergi facial, spa, shopping… Mak Ngah memang best!” Tutur Aryana girang. Ada untungnya juga dia keluar dengan Mak Ngah hari ini. Dah lama tak bermanjakan diri di spa. Dapat urut satu badan sambil menikmati bauan aroma terapi teramatlah menenangkan fikiran. Terasa masalah yang bortingkek-tingkek dalam kepala lenyap semuanya.

Samsiah sekadar memerhati tingkah Aryana yang masih lagi tak habis membelek muka. Gaya belek muka macam inilah baru pertama kali buat facial untuk hilangkan black head white head.

“Yana.” Panggil Samsiah lembut.

“Errmm…” Aryana sekadar menjawab. Tangan mula memegang pisau dah garfu untuk memotong daging lamb chop dengan sos lada hitam yang baru tiba.

“Am cakap dengan Mak Ngah tadi, dia ajak Yana keluar sekali kenapa tak nak pergi.”

Tangan Aryana berhenti dari terus menghiris daging lamb chop. Dia angkat wajah memandang Mak Ngah. “Ngeee…Tak kuasa Yana. Setiap kali tengok muka dia tu, sakit hati sangat. Geram tak habis lagi ni Mak Ngah.” Ujarnya kemudian. Tangan menyambung semula menghiris daging. Kali ini gaya menghiris daging agak ganas.

“Tapi Yana, kalau dia nak cuba berbaik-baik dengan Yana apa salahnya kalau Yana berlembut sikit. Tak payahlah nak tunjuk kekwat kamu tu Yana.” Samsiah tidak jemu menasihati anak saudaranya itu.

Aryana letak pisau dan garfu. “Mak Ngah, kenapa Mak Ngah ni berpuak dengan Abang Am pulak ni. Mak Ngah, kita sama-sama perempuan. Kita wanita kena saling menyokong sesama wanita. Yang nak cuba backing Abang Am tu kenapa.” Dia menggetus geram.

“Mak Ngah cuba bersikap relevan. Walaupun Mak Ngah ni wanita macam Yana, tapi Mak Ngah kena neutral. Memang nampak sangat dalam hal ni Yana yang melebih-lebih. Yana jangan nak ikut perasaan sangat. Mak Ngah tahu Yana kecewa dengan apa yang dah jadi dengan rumah tangga Yana. Tapi tak boleh ker Yana ketepikan sikit perasaan bengang marah Yana tu demi anak-anak Yana. Mak Ngah yakin dalam tempoh tiga empat bulan Yana berpisah dengan Ilham, anak-anak Yana rindu nak spent time masa bersama mummy dan abah diorang sekali macam dulu. Yana berpisah tak bermakna tak boleh berkawan. Yana dengan Ilham masih boleh berkawan baik kan demi anak-anak.”

Aryana terdiam mendengar hujah Mak Ngah yang panjang lebar.

“Kenapa diam?” Samsiah menyoal.

“Diamlah. Nak cakap apa lagi. Back up besar Yana dah taknak back up Yana.” Tutur Aryana rendah. Perlahan-lahan daging lamb chop yang dah hancur dimasukkan ke dalam mulut.

Samsiah mengeluh perlahan. “Yana….Yana….” Tuturnya kemudian.







“Mak Ngah, thank you sangat sebab bawak Yana jalan-jalan spent time masa dengan Yana. Dah lama tak rasa happy macam ni.” Ucap Aryana sebelum Mak Ngah pulang.

“Tak ada hal lah. Yana ingat apa yang Mak Ngah cakap tadi. Mak Ngah suruh Yana berbaik dengan Ilham demi kebaikan anak-anak Yana. Kalau dah memang tak ada jodoh nak bersatu balik, jadi kawan pun bagus dari terus nak bermusuh.”

Aryana menyuring senyum. Dia mengangguk perlahan. “Okey Mak Ngah. Yana cuba!”

Samsiah turut sama mengangguk. “Yana boleh. Ingat Adib. Ingat Baby. Mak Ngah yakin.”

“Mak Ngah nanti kirim salam dengan Pak Ngah ya.”

“Yerlah. Mak Ngah balik dulu.”

“Okey. Babai Mak Nagah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam.”



Selepas Mak Ngah pulang Aryana mula berfikir-fikir. “Boleh ker dalam tengah bengang-bengang sakit hati ni nak cuba berkawan baik?” Tuturnya sendiri.

Aryana tarik nafas dalam-dalam. “Ingat Yana. Demi Adib. Demi Baby.” Ucapnya semangat.

“Ilham Irfan, mujse dosti karoge?” Tidak semena-mena dialog Hrithik Roshan dalam filem Hindustan Mujse Dosti Karoge terpacul dari mulut.

Ngeee… Automatik bahu menari tergedik-gedik. Geli pulak aku!



Thursday, October 2, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 6

Bab 6


Mastura mengetap bibir apabila terpandangkan kemesraan Aryana dan Razlan di dapur. Kenapa Aryana berada di dapur ketika ini padahal sepatutnya dia berada di pejabat untuk uruskan akaun. Aryana cuma pembantu akaun, bukannya pembantu chef yang kena ada di dapur. Kut ya nak periksa stok bahan mentah, perlu ker sampai nak tergedik-gedik mengendeng-mengendeng dengan Razlan yang jauh lebih muda.

Razlan pula, semenjak Aryana bekerja di sini, bukan main rajin lagi datang ke mari. Boleh dikatakan setiap hari Razlan akan ke mari. Banyak sangatkah masa yang terluang bagi seorang lelaki yang berjawatan sebagai CEO di syarikat keluarga sendiri. Tak ada kerja dah ker yang nak kena buat dekat pejabat CEO tu sampai senang hati melepak dekat restoran sambil ketawa-ketawa gembira dengan seorang pembantu akaun.

Mastura memang tidak berkenan dengan Aryana sejak hari pertama wanita itu masuk bekerja di sini. Aryana tu tak ubah macam anak dara tua terdesak yang sibuk-sibuk mencari pucuk muda. Huhh!!

“Oiii mak engkau.” Mastura hambur latah apabila bahunya dicuit dari belakang.

“Hey…. Apa yang Kak Mas terintai-intai ni.” Tegur Sarah sambil ketawa kecil mendengar Mastura melatah akibat dicuit olehnya tadi.

“Tu…Cuba kamu tengok. Sakitnya mata akak tengok Yana tu menyendeng-nyendeng dengan Razlan. Razlan pun satu. Dia tak tahu ker yang Yana tu tua enam tahun dari dia.” Ujar Mastura. Bahunya tergedik-gedik menunjuk rasa meluat.

“Dah apa masalahnya kalau Kak Yana tu tua dari Chef Razlan. Kak Yana tu awet muda tau Kak Mas.” Becok mulut Sarah bercerita.

Mastura buat muka apabila Sarah memuji Aryana di hadapannya. “Mata kau ni rabun ker apa Sarah. Kau tak nampak ker kedut-kedut kat muka Yana tu. Awet muda apa nya!” Hambur Mastura. Sebenarnya semenjak Aryana berkerja di sini semua orang sukakan Aryana. Kedudukan dia dalam restoran ini sudah tergugat dengan adanya Aryana.

Sarah menjuling mata ke atas. Dia pandang muka dengki Kak Mastura itu. Nampak sangat Kak Mastura cemburukan Kak Yana. Kak Mastura muka asyik masam ajer lepas tu mulut hazabedah sangat tahu nak menjoyah ajer kerjanya. Sarah mencemuh dalam hati. Dia memang tak suka Kak Mastura. Sudahlah suka marah-marah orang tak kena tempat. Huhh!!

“Apalah yang Razlan pandang pada perempuan macam Aryana tu.” Mastura terus-terusan mencemuh.

Sarah sekadar menggeleng-geleng perlahan. “Tak baik tau Kak Mas cakap Kak Yana macam tu. Entah-entah Kak Mas jealous kut sebab Chef Razlan lebih perhatian pada Kak Yana.” Tutur Sarah sinis.

Mata Mastura membulat memandang Sarah yang berwajah selamba. “Dah kenapa pulak akak nak cemburu. Aku ni dah bersuami. Suami aku sayang sangat dengan aku. Akak ni bukan apa, akak curiga sikit dengan Yana tu.” Tuturnya bersungguh mahu menyembunyi rasa cemburu yang telah bercambah di dalam hati sejak Aryana kerja di sini.

Sarah kalih pandang pada Mastura dengan dahi berkerut. “Apa yang akak curigakan. Sarah tengok Kak Yana tu biasa ajer.” Balasnya tidak faham maksud kata-kata Mastura itu.

Mastura mendekat dirinya sedikit dengan Sarah. “Tu la engkau tak tahu. Akak rasa Yana tu sebenarnya kaki kikis tau. Tu sebab dia mengendeng-ngendeng dengan Razlan. Dengan pekerja-pekerja lain tak ada pulak dia nak mengendeng-ngendeng. Mentang-mentang dia tahu restoran ni Razlan yang punya. Dia pun apa lagi. Nak try lah. Entah-entah belaan orang-orang kaya.” Tutur Mastura agak perlahan. Cukup sekadar untuk didengari oleh Sarah sahaja.

Sarah tunjuk muka tak percaya. “Ehhh Kak Mas tak baik fitnah orang macam tu. Dosa menfitnah tu sama macam dosa membunuh tau.” Sempat dia menasihati Mastura.

“Ehhh…Budak ni, jangan naïf sangat boleh tak. Kau tengok style Yana tu. Ada gaya orang kerja macam kita ni ker? Kalau setakat gaji buat akaun dekat sini berapa sen sangatlah yang dia dapat tapi cuba Sarah tengok kereta apa yang dia pakai?” Mastura menyoal.

“Prius.” Sarah menjawab sepatah.

“Kau tahu tak kereta technology hybrid buatan Jepun macam tu paling-paling koman pun sebulan RM900 tau. Tu belum lagi termasuk kos service roadtax semua.” Mastura mula menguatkan hujah dengan mencari point-point yang boleh dikaitkan dengan Aryana.

Sarah diam. Berfikir.

Mastura menyuring senyum apabila Sarah terdiam mendengar penerangannya. “Lagi satu, kau cuba tengok jenama beg tangan yang dia pakai. Kau mampu ker Sarah menjinjit Prada, LV ke sana sini macam Aryana tu.” Mastura terus menghasut.

“Setengah tahun punya gaji pun belum mampu Kak Mas.” Sarah menjawab polos.

“Jadi kau dah nampak kan. Sama ada kau nak percaya ke tidak cakap akak ni Sarah kau punya pasal. Tapi akak tetap rasa yang Yana tu belaan seseorang. Orang kaya mana entah yang spedo hidup dia. Akak rasa entah-entah dia kerja dekat sini nak cover line ajer.”

Sarah pandang muka Mastura yang tak ubah seperti makcik-makcik loser yang hanya tahu menjaga tepi kain orang lain. Jahatnya mulut kau ni kak! “Akak ni dari tadi tak habis-habis dengan akak rasa…akak rasa…akak rasa…” Sarah mengajuk. “Kalau akak nak tahu Sarah pun ada rasa jugak…” Sambung lagi.

“Kau rasa apa Sarah. Kau pun mesti rasa macam apa yang akak rasa kan…” Mastura berpuas hati kerana akhirnya dapat mempengaruhi Sarah.

“Akak nak tahu apa yang Sarah rasa?”

“Apa dia?”

“Sarah rasa macam telinga Sarah ni berdosa pulak mendengar Kak Mas sibuk menjoyah. Sudahlah kak, Sarah nak buat kerja.”

Sarah berlalu meninggalkan Mastura yang terpinga-pinga dengan kata-kata pedasnya itu. Memang kenalah gelaran Mastura Mercun Pop Pop yang Chef Mior bagi pada Kak Mastura. Dia kalau dah mula mencanang hal orang, bukan main meriah lagi. Mengata orang tahap tak ingat dosa pahala.



Yes Ma'am : Part 2 : Bab 5

Bab 5


Sebaik keluar dari bilik temuduga, Aryana mengeluh lemah. Kau dah kenapa Aryana…. Dia berkata perlahan. Kecewanya dengan diri sendiri. Setiap kali temuduga pasti dia akan mengalami darah gemuruh yang hebat dan akhirnya telah membuatkan peluang cerah untuk mendapat pekerjaan jadi kelam-kelam hitam. Dalam sejarah pun cuma sekali ajer dia bernasib baik. Itu pun masa interview dengan Datuk Maarof yang merangkap bapa mertuanya sekarang ini tapi tu special case kerana kerja tersebut memang sudah dikhaskan untuk dia.

Haihh…Aryana mengeluh lagi.

Nampaknya peluang nak kerja sudah tiada. Esok rutinnya akan kembali seperti sedia kala. Dia akan menjadi suri rumah sepenuh masa seperti permintaan abah. Kerana terlalu menghormati abah, Aryana mengalah. Janji perlu ditepati.

Sebelum pulang ke rumah, Aryana ingat mahu singgah ke restoran yang biasa dia kunjungi dalam tempoh seminggu dua ini. Apalah yang ramuan rahsia yang diletakkan di dalam tiramisu restoran itu sehinggakan Aryana begitu terlagi-lagi mahu menikmatinya setiap hari. Pedulikanlah tentang kadar gula dan lemak yang tinggi, janji tiramisu istimewa itu boleh buat dia hilang rasa kecewa bilamana tahu, dia gagal dalam temuduga.





Bila jam tangan menginjak hampir ke pukul empat petang, Razlan jadi tidak tentu arah. Sekejap-sekejap dia akan menjenguk ke ruang hadapan restoran. Nampaknya orang yang dinantikan tidak tiba lagi.

“Chef ni kenapa? Asyik terjenguk-jenguk ke hadapan tu?” Zamir yang sedang membalikkan daging tenderloin atas pan grill bertanya apabila melihat Chef Razlan keluar masuk ke dapur dan ke hadapan.

“Tak ada apa-apalah.” Razlan sekadar menjawab. Tengkuk sekejap-kejap masih dipanjangkan ke hadapan. “Mir ingat jangan lama sangat biarkan daging tu atas grill. Pelanggan request medium rare.” Pesan Razlan kepada Zamir.

“Yes Chef. Lima minit setiap bahagian kan. Saya ingat apa yang Chef ajar.” Tutur Zamir.

Razlan cuma tersenyum. Tidak sampai seminggu praktikal di sini, Zamir sudah pandai mengaplikasikan apa yang dia belajar di kolej kulinari dalam tugas hariannya. Melihat dari gaya Zamir yang rajin belajar dan tidak malu bertanya, Razlan yakin yang Zamir akan menjadi tukang masak yang terkenal satu hari nanti. Mungkin lebih hebat daripada dia.

“Lan…Lan…” Sapa Chef Mior tiba-tiba di muka pintu dapur.

“Apa hal?” Semua yang ada di dapur memandang ke arah Chef Mior yang tersengih-sengih.

Chef Mior menggamit Razlan agar datang dekat kepadanya. Razlan menurut. “Orang yang kau tunggu-tunggu tadi tu dah sampai.” Bisiknya perlahan. Razlan memandang muka Chef Mior yang tak habis sengih. Dia mengulum senyum. Tanpa berlengah dia terus ke hadapan restoran.



Aryana yang baru sahaja mahu membuat pesanan terkejut apabila sepotong tiramisu dan hot chocolate diletakkan di atas meja. Dia angkat wajah untuk memandang ke arah pelayan restoran yang menghantar hidangan ini. Razlan yang sedang berdiri di hadapannya sekadar tersenyum manis. Aryana tidak ada sebab untuk tunjuk kekwat lagi dengan lelaki ini. Kekerapan dia datang ke mari membuatkan mereka sudah saling mengenali kerana kadang-kadang jika lelaki ini tidak sibuk di dapur dia sendiri yang akan mengambil pesanan dari Aryana. Waktu itulah kami sempat berborak-borak. Tidaklah berborak panjang, sekadar ‘hai hai bai bai’ tapi sekurang-kurangnya kami berdua sudah kenal nama masing-masing.

“Macam mana Chef tahu yang saya nak order tiramisu dan hot chocolate ni.” Aryana bertanya.

“Cik Aryana, hampir setiap hari Cik Aryana datang ke restoran saya ni, mesti akan pesan tiramisu dan hot choclate. Jadi sebelum Cik Aryana order saya dah hantarkan.” Razlan menjawab ramah.

“Efisyen.” Jawab Aryana sepatah sambil ketawa.

Aryana capai garfu kecil di tepi piring tiramisu. Tiramisu diambil sedikit dengan menggunakan garfu dan terus masuk ke dalam mulut.

“Macam mana?” Razlan bertanya.

“As usual. Super delicious.” Aryana memuji.

Razlan senyum bangga. “Errrmm…Kalau Cik Aryana tak kisah, boleh saya duduk di sini?” Razlan mula mengorak langkah.

Aryana ketawa. “Ini restoran awak, Chef Razlan. Tak kan saya nak halang awak duduk dekat sini. My pleasure. Silakan.” Balas Aryana tidak kisah.

“So macam mana? Awak dapat tak kerja?” Razlan bertanya.

Aryana mengeluh. Ibu jari di hala ke bawah.

“Awak pernah cakap pada saya hari tu yang awak tak kisah kerja apa pun janji halal kan?” Razlan bertanya semula mahu memastikan yang Aryana betul-betul memaksudkan apa yang dikatakannya tempoh hari.

“Ya. Tapi nampaknya rezeki tetap juga tak ada. Sampai saya sendiri dah give up.” Lemah Aryana bersuara.

“Jangan cepat sangat mengalah Cik Aryana. Kebetulan restoran saya ni memang nak cari seorang yang boleh uruskan akaun kalau Cik Aryana tak kisah Cik Aryana boleh kerja di sini.” Ujar Razlan.

Muka muram Aryana bertukar ceria semula apabila mendapat tawaran kerja di restoran milik Razlan.

“Betul Chef bagi saya kerja dekat sini?” Aryana bertanya seakan tidak percaya.

“Ya. Kalau awak ada pengalaman buat akaun sebelum ni mungkin awak boleh tolong uruskan akaun restoran ni.” Balas Razlan.

“Chef tak payah risau okey. Walaupun degree saya bukan dalam bidang accountancy tapi saya ada ambil matapelajaran akaun masa semester pertama dulu. 3 jam kredit. Saya dapat A. Insyaallah dengan sedikit ulangkaji balik saya boleh buat. Lagipun setakat debit kredit, balance account, kunci kira-kira, kacang ajer tu. Small the pieces.” Balas Aryana bersemangat.

“Good. Awak diterima bekerja di sini. Welcome to the family.”

“Terima kasih Chef. Terima kasih sangat-sangat.” Ucap Aryana teruja.

“Tapi saya ada satu syarat.” Ujar Razlan.

Dahi Aryana berkerut. Dah agak dah. Ni kalau tiba-tiba buat baik mesti ada udang di sebalik mee. Kenapalah tak ada orang yang benar-benar ikhlas nak membantu golongan ibu tunggal sepertinya.

“Apa dia syarat Chef ni?” Aryana bertanya malas.

“Tolong jangan panggil saya Chef. Saya tak ada qualification untuk gelaran Chef tu. Kalau Chef Mior tu lainlah. Dia memang belajar kulinary sampai oversea. Saya cuma pemilik restoran sahaja. Bukan Chef.”

Aryana ketawa. Telahannya tersasar. “Tapi Chef Razlan pandai masak. Pandai buat kek.” Balas Aryana.

“Ni hobi saya ajer. Tolong yer. Jangan berChef-Chef dengan saya. Panggil saya Lan ajer.”

“Tapi budak-budak yang kerja dekat sini semua panggil Chef.”

“Cik Aryana please. Lan sahaja.”

Aryana angguk paham. “Tapi Lan, awak pun jangan nak berCik-Cik dengan saya. Panggil saya Yana jer. Boleh?”

“Deal!”

“Okeylah. Saya rasa saya kena balik sekarang. Tak sabar nak bagi tahu pada family saya yang akhirnya saya berjaya jugak untuk dapat kerja.” Sambungnya lagi.

“Balik sekarang. Tapi awak tak habiskan lagi kek awak ni?”

Aryana pandang tiramisu yang baru dijamah sedikit. “Eh…Gila nak balik sebelum habiskan tiramisu awak ni. Saya habiskan dulu. Bestnya dapat kerja….” Aryana sudah teruja tahap maksimun. Lantaklah kerja dekat restoran pun. Janji kerja!

Razlan senyum sendiri melihat tingkah Aryana yang bersungguh-sungguh menghabiskan tiramisunya. Haiiii laa Cik Aryana. Kau tahu tak kau dah buat aku gila bayang sejak pertama kali kita bertemu. Hatinya mengusik nakal.





“Lan, serius ker Lan nak perempuan tu kerja dekat sini?” Mastura menyoal ketika semua yang lain sedang sibuk berkemas sebelum restoran di tutup.

“Seriuslah Kak Mas. Kenapa Kak Mas tanya?” Soal Razlan. Sejak dia menyatakan yang esok akan ada seorang pembantu akaun yang akan bekerja di restoran ini Mastura sudah buat muka tidak senang hati. Malah seingatnya dalam empat lima enam kali Mastura bertanya sama ada dia betul-betul serius mahu mengambil pekerja baru.

“Bukan selama ni Cik Linda ker yang tolong buatkan account restoran ni. Kenapa tiba-tiba nak ambil account assistant pulak.” Selar Mastura apabila merasakan Razlan sengaja mengada-adakan posisi sebagai pembantu akaun di restorannya kerana mahu wanita yang terdesak mahukan pekerjaan itu bekerja di sini. Sudah seminggu lebih dia perhatikan tingkah Razlan setiap kali wanita yang bernama Aryana itu datang ke mari. Nampak sangat macam ada ‘sesuatu’ dari gaya Razlan itu dan apabila tiba-tiba hari ini Razlan memberitahu yang Aryana akan bekerja di sini esok, jadi memang ‘sesuatu’ sangat!!

Razlan cuma senyum. “Kak Mas ni, lupa ker. Dah dua bulan kan Linda sambung master dekat Australia. Lagipun Linda sendiri yang cadangkan agar saya ambil seorang pembantu akaun untuk uruskan akaun restoran ni. Aryana bukan sekadar buat akaun sahaja, dia boleh bantu Kak Mas dengan Chef Mior juga. Kak Mas sendiri pun tahu kan yang kita akan buka satu lagi cawangan. Memang tepat sangat masanya saya tambah bilangan pekerja.” Ujar Razlan tentang rasional dan waras tindakannya menggajikan Aryana.

Mastura mencebek. “Tapi Lan kena bincang dengan Kak Mas dulu. Memang restoran ni Lan yang punya tapi Lan tak patut membelakangkan Kak Mas. Lan sendiri lantik Kak Mas sebagai pengurus di sini. Kalau betul nak pakai pembantu akaun kita boleh buat interview betul-betul bukan dengan cara ambil pekerja membuta tuli macam tu ajer. Kita tak tahu Aryana tu orang dia macam mana. Lan, kalau soal duit jangan senang-senang percaya pada orang.” Balas Mastura panjang lebar.

Razlan mula ketawa kecil. “Kak Mas…Kak Mas…” Kepalanya menggeleng perlahan. “Aryana tu nampak macam orang jahat ker. Tak kan…. Kak Mas jangan risau okey. Kak Mas kena yakin dengan pilihan saya. Chef Mior pun okey jer.” Sambungnya lagi.

Mastura merengus perlahan bila Razlan menangkan Aryana. Tengoklah. Belum lagi kerja di sini Aryana sudah mendapat pengaruh Razlan.

“Suka hati Lan lah kalau dah cakap macam tu.” Tutur Mastura kemudian terus meninggalkan Razlan di dalam pejabatnya.











URUSAN HATI BAB 7

Bab 7


“Che Ros. Che Ros.”

Che Ros yang sedang memasak di dapur bergegas ke hadapan apabila mendengar namanya disapa berulang kali dari luar rumah. Pintu rumah dibuka. Terjojol wajah Fasha, Fadhil dan seorang pemuda bersama mereka.

“Eh…Fasha. Fadhil.” Che Ros menyambut kedatangan Fasha dan Fadhil dengan ramah. Fasha dan Fadhil terus bergilir-gilir bersalaman dengan Che Ros.

“Saper nih…” Che Ros bertanya apabila pemuda itu turut sama bersalaman dengannya. Che Ros suka tengok air muka pemuda ini. Nampak tenang. Sudahlah tenang, rupa pun boleh tahan. Sepadan dengan Lin. Memang itulah perkara yang terlintas di benak Che Ros sewaktu mula-mula melihat pemuda ini.

“Inilah Abang Afzan, Che Ros.” Ujar Fadhil.

Che Ros mengangguk-angguk. “Owhh…Ini Afzan. Semalam Lin ada cerita tentang Afzan pada Che Ros.” Ujar Che Ros yang mengetahui siapa Afzan melalui cerita yang disampaikan oleh Syazlin malam tadi.

Afzan senyum senang dengan keramahan Che Ros. Walaupun baru pertama kali bertemu, Che Ros kelihatan cukup mesra. Che Ros tidak seperti anak gadisnya yang dingin semacam. Kalau dengan dia Lin nak tunjuk kerek itu boleh diterima, dia tahu dia pun pernah buat salah pada gadis itu tetapi sewaktu makan malam semalam, dia perasan yang Lin macam ada masalah dengan Pakcik Rahman, ibu, Fasha dan Fadhil.

“Kenapa pagi-pagi datang rumah Che Ros ni?” Che Ros bertanya tujuan budak bertiga ni datang ke rumahnya pada waktu pagi-pagi begini.

Fasha seluk tangan dalam kocek track suit. Jam tangan dikeluarkan. “Ini hah…ibu suruh hantar jam tangan Kak Lin. Kak Lin tertinggal kat atas kabinet dapur lepas tolong cuci pinggan semalam. Dah alang-alang nak datang sini Fasha ajaklah Abang Afzan ikut sekali. Boleh kenal-kenal dengan Che Ros.” Tutur Fasha seraya menyerahkan jam tangan milik Kak Lin kepada Che Ros.

“Syazlin…. Syazlin…” Kepala Che Ros menggeleng perlahan apabila jam tangan sudah beralih tangan. “Dah dia letak merata-rata bukan main bising tadi mencari jam dia ni.” Ngomel Che Ros.

“Lin mana Che Ros? Tak nampak pun.” Afzan bersuara.

“Lin pergi ke kedai. Beli telur. Che Ros masak nasi lemak. Telur pulak tak ada. Lin tu kalau makan nasi lemak nak cukup semua bahan.” Jawab Che Ros.

“Owhhh…Patut dari luar bau sedap ajer Che Ros.” Fadhil mencelah. Hidungnya kembang kempis menghidu bau aroma nasi lemak buatan Che Ros.

Che Ros ketawa kecil. “Ni dah sarapan pagi ke belum ni. Kalau belum marilah sarapan sekali. Che Ros memang masak lebih hari ni. Macam tahu-tahu ajer ada tetamu nak datang makan sarapan sekali.” Dengan senang hati Che Ros jemput mereka untuk bersarapan sekali.

“Sebenarnya dah makan tadi Che Ros tapi bila tercium bau wangi nasi lemak yang Che Ros masak rasa tak apa kut kan kalau sarapan lagi sekali.” Fadhil pantas menjawab. Bijak mengambil hati Che Ros.

Che Ros ukir senyum segaris. “Yerlah. Sementara tunggu Kak Lin kamu tu balik dari kedai, duduk lah depan. Bawak Abang Afzan sekali.”

“Fasha tolong Che Ros buat air dekat dapur yer.” Pinta Che Ros.

“Okey Che Ros. No problem.” Fasha menjawab senang seraya terus mengikut langkah Che Ros ke dapur.



Sementara menanti telur siap direbus, Syazlin mengintai-intai tetamu yang berada di ruang tamu rumah. Bukan main lagi mereka bertiga kan, buat rumah ni macam rumah mereka sendiri.

“Lin!”

Che Ros tepuk bahu Syazlin.

“Oh mak engkau!!” Syazlin hambur latah. “Mama ni. Terkejut Lin.” Dia merengus sambil dada diurut perlahan.

“Buat apa ni? Skodeng anak teruna orang yer Lin.” Che Ros nakal menggiat anak gadisnya itu.

Syazlin mengerling mama yang sedang tersengih. Dia buat muka. “Ngeee…Please la.” Tuturnya ringkas seraya berlalu ke arah periuk di atas dapur. Air di dalam periuk sudah menggelegak dengan jayanya. Pasti telur rebus sudah siap direbus. Api dapur di matikan. Dengan berhati-hati, air panas dibuang ke dalam singki, sebelum dimasukkan semula dengan air paip yang sejuk. Syazlin bawa periuk berisi telur rebus dan mangkuk kaca ke arah kaunter dapur. Punggung dilabuhkan di atas kerusi tinggi. Tangannya mula lincah mengupas kulit telur.

“Lin ni apahal? Muka tak puas hati jer dari tadi.” Che Ros bertanya. Kerusi tinggi di sebelah Syazlin ditarik keluar. Punggungnya dilabuhkan disitu. Sebelah tangan menongkat dagu memandang Syazlin yang sedang mengupas telur dengan muka yang tidak puas hati.

Syazlin merengus perlahan. “Yerlah. Apasal mama jemput diorang tu datang breakfast sekali dengan kita. Rimas betul.” Luahnya sebal tanpa memandang muka mama.

Che Ros berdecit. “Lin, Fasha dengan Fadhil tu bukan orang lain tau. Diorang tu adik-adik Lin jugak.” Che Ros mengingatkan hubungan antara Syazlin dengan Fasha dan Fadhil. Che Ros betul-betul tak suka bila Syazlin buat perangai kekwat begini depan adik-adiknya. Walaupun Fasha dan Fadhil berlainan ibu tetapi mereka tetap satu bapa dengan Syazlin dan Syahrul.

“Satu bapak jer, tapi mak lain-lain.” Balas Syazlin acuh tak acuh.

Mata Che Ros mula mencerun memandang Syazlin.

“Tetap juga adik beradik. Diorang tetamu kita. Mama tak mahu Lin tunjuk muka ketat macam ni depan tetamu-tetamu mama. Dapat pahala tau kalau kita meraikan tetamu yang datang rumah kita.” Kali ini Che Ros bersuara tegas. Ada masa bercakap dengan Syazlin bagai mencurah air di daun keladi. Bukan mahu didengarnya. Asyik nak ikut kepala angin dia sahaja.

Syazlin jadi terkulat-kulat bila mama sudah mula mengubah nada suara dari lembut kepada tegas begitu. Sebagai seorang pengetua sekolah, mama ada sisi tegas dalam diri. Jangankan anak-anak muridnya, Syazlin yang anak mama pun kecut kalau mama dah mula masuk mood Puan Pengetua Hajjah Rose Yatimah macam ni.

“Cepat siapkan kupas kulit telur tu. Lepas tu bawa ke depan. Semua orang dah tunggu nak makan nasi lemak.” Arah Che Ros sebelum meninggalkan Syazlin di dapur.

Kepala Syazlin mengangguk laju. Tak berani nak melawan mama. Dia cepat-cepat menyudahkan kerjanya dan membawa telur yang sudah siap dikupas ke hadapan. Sebelum keluar dari dapur sempat dia sekolahkan raut wajah agar cuba menjadi lebih manis di depan tetamu yang tidak diundang itu.





Happy Reading!!