Wednesday, May 13, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 7

Bab 7
Hari ini aku memang terlebih semangat.  Bukan aku sahaja, Naimah juga.  Makcik ni sanggup tuang kelas hari ini semata-mata nak teman aku pergi ke pejabat GTV.  Aku tahu, Naimah bukan nak sangat teman aku, tapi lebih kepada niatnya mahu mencuci mata melihat personaliti-personaliti GTV yang bersepah-sepah dekat sana.  Macamlah aku tak tahu perangai Naimah.
Aku sampai di GTV dalam pukul 7.30 pagi.  Nasib baik kami keluar awal, kalau tidak pasti akan tersekat di dalam kesesakan lalu lintas.  Aku parkir Kancil comelku itu di tempat parkir pelawat.  Semasa keluar dari perut Kancil mataku terlihat Proton Saga yang sangat aku kenali itu.  Aku cam sangat Proton Saga ini tambah-tambah lagi apabila melihat bumper belakang yang masih rongak dan masih terdapat kesan calar balar.  Gulpp…  Aku telan air liur.  Dah kenapa Saga ini pun turut ada di sini.  Aku tak mahu dah jumpa mamat stereng lock itu.  Aku harap haluan aku dan dia berbeza.  Ngee…  Aku panjat doa dalam hati semoga aku tak jumpa mamat tu di sini.

Sebaik sampai di lobi GTV aku dan Naimah disambut mesra oleh Encik Bon.  Encik Bon membawa aku dan Naimah naik ke tingkat lima.  Katanya penerbit program sudah tidak sabar mahu berjumpa denganku.  Sepanjang perjalanan ke pejabat penerbit, aku telah terserempak dengan beberapa orang selebriti GTV.  Aku sangkakan aku yang akan kelihatan jakun apabila bertemu dengan mereka tetapi keadaan terjadi sebaliknya.  Mereka pula yang terlebih excited bertemu denganku.  Bayangkanlah pembaca Berita Dunia Jam 12 Suhaimi Osman yang legend itu pun beriya-iya mengajak aku selfie bersama bila dia mengecam wajahku dengan gadis Kancil yang malang itu adalah sama.  Aku tengok Suhaimi Osman ni baca berita dekat tv dari aku kecil kut!
Aku sempat bergambar dengan empat lima orang staff lain juga.  Melihat kepada sambutan yang aku terima di sini, aku jadi terharu pula.  Aku dapat rasakan aku akan mempunyai masa depan yang cerah di GTV.  Mungkin impak populariti yang datang kepada ku secara mengejut ini membuatkan GTV berminat mahu menawarkan kerja di sini.  Kalau betul la seperti apa yang aku bayangkan, kecil tapak tangan, airport KLIA aku tadahkan.  Tangan dah tak sabar nak hantar surat resign ke Alaudin and Co. 

“Silakan.”  Encik Bon mempersilakan aku dan Naimah masuk sebaik sahaja dia membuka pintu bilik penerbit kepada kami. 
“Owhh….  Awek Kancil.  Silakan…  Silakan…”  Kedatanganku disambut dengan mesra.  “Saya Nancy.  Salah seorang penerbit yang selalu memberi ratings yang tinggi kepada GTV.”  Wanita itu memperkenalkan dirinya kepadaku. 
Aku cuma mengangguk-angguk padahal aku pun tidak tahu rancangan mana yang pernah wanita ini terbitkan.  Aku mana pernah kisah siapa penerbit sesuatu rancangan di tv tu. 
“Awek Kancil…”
“Dian…  Nama saya Dian.”  Aku memperkenalkan diriku kepadanya.  Apa kes duk Awek Kancil, Awek Kancil dengan aku dari tadi.  Kalau Awek Ferrari ker, Awek Lamboghini ker, Awek Porcshe ker, sedap juga aku dengar. 
“Owhh…  I’m sorry.  Lupa pula nak tanya nama you tadi.  You tahu tak Maimunah….”
“Cik Nancy, Dian.  Nama saya Dian Harlina.  Bukan Maimunah.” Sekali lagi aku betul kan namaku.  Suka-suka hati tukar nama aku sebagai Maimunah pulak dah.
“Tak kisahlah Maimunah ker, Fauziah ker, yang I tahu I excited sangat hari ni sebab I dapat juga jumpa dengan you, Latifah.”
Aku mengetap bibir apabila sekali lagi Nancy salah sebut namaku.  Kali ini namaku jadi Latifah pula.  Aku mengerling kea rah Naimah yang sedang berusaha menahan ketawa dari meletus kuat. 
“Come…come…  I know you mesti datang.  Siapa yang tak mahu jadi popular kan.”  Ujar Nancy.
Melihat kening Nancy yang sedang menari ronggeng itu membuatkan aku jadi penasaran mahu mengetahui projek yang ingin dia jalankan.  Aku tidaklah hadap sangat mahu jadi popular tapi kalau popular senang sikit nak buat duit.  Kut yer aku tidak ada apa-apa bakat, paling tidak dengan populariti yang aku raih, aku mungkin boleh dilantik menjadi duta sabun susu kambing!
“Cik Nancy nak bincang pasal projek apa dengan saya?”  Aku menyoal. 
Nancy ketawa devil.  Kuat.  Bergema di dalam bilik ini.  Dia mengajak aku dan Naimah duduk di atas sofa empuk di ruang tengah biliknya.  “Sabar.  Kita tunggu seorang lagi.  Dia keluar pergi tandas sekejap tadi.”  Ujar Nancy.  “Panjang umur.  Baru sebut dah datang.”  Sambung Nancy merujuk kepada seseorang yang baru masuk ke dalam bilik ini. 
Aku berpaling ke arah pintu bilik.  Mulutku ternganga luas melihat figura yang berdiri di hadapan pintu.  Doaku sewaktu melintasi proton saga tadi tak dimakbulkan tuhan.  Orang yang aku tak mahu sangat jumpa sekarang betul-betul berdiri di hadapanku.  Dia tenang.  Aku yang gelabah.  Apakah projek yang dimaksudkan oleh Nancy tadi adalah projek sidang media untuk memberitahu satu Malaysia kejadian yang sebenar??!!
“Encik Waliuddin, mari sini saya kenalkan dengan Cik Azizah…” 
“Cik Nancy, Dian Cik Nancy.  Dian Harlina.”  Aku menggetus geram.  Sekarang Azizah.  Aku tak tahu lepas ni nama siapa pulak yang Nancy akan sebut. 
“Wali.  Waliuddin.” 
Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepadaku.  Gaya macho habis.  Aku sengaja tunjuk muka kekwat.  Lelaki itu masih lagi tenang.  Ewahh.. cool pulak dia.  Mementang dekat stesen tv pandai pulak buat cool.  Hari tu bukan main kau kan sanggup nak menghayun stereng lock pada seorang awek!! 
“Okey.  Memandang kamu berdua pun dah ada di sini, I pun tak sabar dah nak bincang pasal projek terbaru yang I nak terbitkan.”  Nancy memulakan mukadimah.  “I akan terbitkan satu program reality….”  Ujar Nancy.
“Program reality?”  Aku memintas kata-kata Nancy.  Nancy menganggukkan kepalanya. 
“Yes.  Program ini akan berkisahkan apa yang berlaku selepas peristiwa kereta kancil dan proton saga tempoh hari.  Dan I mahu kamu berdua yang menjadi teraju utama untuk program reality I ini.” Ujarnya lagi.
Mataku terbeliak tapi mamat kat sebelah aku ni relek ajer.  Mungkin dia relek sebab inilah masanya untuk dia nak bagi tahu satu Malaysia yang aku adalah pesalah yang sebenarnya. 
“Saya tak mahu. Saya tak setuju.”  Kataku tegas.  Serentak itu Naimah menyiku lenganku. 
“Kau lepak dulu boleh tak.  Tanya lah dulu berapa yang dia nak bayar.”  Dia berbisik ditepi telingaku.  Aku cuma buat tidak tahu pada bisikannya itu.  Siapa mahu kisah pasal duit.  Maruah diri lagi penting.  Lagipun program yang Nancy nak terbitkan itu tidak mendatangkan apa-apa manfaat pada penonton.  Lagi menambahkan program sampah yang sudah terlalu banyak lagi itu adalah!
“Kita akan buat program ini sebanyak 20 episod.  Dan both of you akan dibayar RM5000 untuk setiap episode.”  Tanpa diminta Nancy menjelaskan lagi.
Aku agak terdiam dengan jumlah yang dinyatakan oleh Nancy.  Satu episode RM5000.  Kalau 20 episod, bermakna aku akan dapat RM100000.  Aku mula membuat kira-kira.
 “Beb, RM100000 tu.  Takkan kau nak tolak.”  Naimah berbisik lagi di telingaku.  Nadanya seperti seorang penghasut.
“Saya setuju. Asalkan Cik Nancy boleh bagi saya RM30000 sebagai bayaran pendahuluan.”  Tenang Wali bercakap. 
Aku mengalih pandang pada Encik Stereng Lock itu.  Wahh!!!  Nampaknya lelaki ini bersungguh benar mahu terlibat dengan program sampah ini.  Tidak perlu fikir panjang pun terus bersetuju. 
“Saya tak mahu.  Saya taknak jadi bahan ketawa masyarakat.”  Aku bangun dari duduk dan terus berlalu menuju ke pintu pejabat.  Memang RM100000 cukup besar jumlahnya tapi kalau terpaksa mengadap muka mamat tu hari-hari tak dapat RM100000 pun tidak mengapa.  Aku bukan terdesak sangat nak pakai duit. 
“Dian sekejaplah.”  Naimah terkocoh-kocoh mengikut dari belakang.  “RM100000 beb RM100000.”  Hasut Naimah lagi.  Dian masih sempat mahu mengubah fikirannya sebelum RM100000 diberikan kepada orang lain. 
“Kau ingat aku hairan sangat ker dengan RM100000.”  Kataku sedikit angkuh sebelum tombol pintu aku pulas.  Sebaik pintu terbuka mataku terpaku melihat wajah yang muncul dihadapanku. 
“Sorry, Nancy.  I lambat sikit.  I harap discussion ni tak habis lagi.  Bila ajer I manager I bagi tahu you offer I untuk terlibat dengan projek you ni I terus tak sabar nak start shooting.  Siapa tak mahu kerja dengan penerbit yang hebat dan kreatif macam you ni kan.”  Katanya sambil berlalu dihadapanku.  Mataku menyorot pandang pada langkah lelaki itu.  Eddy Kencana a.k.a Suhardi Suparjo!!
“I pun tak sabar nak mulakan shooting program ni tapi nampaknya kita ada masalah.  Calon main cast kita baru tarik diri.”  Nancy bersuara sambil mata mengerling ke arahku.  Eddy Kencana pun terlibat sama?!!
“Cik Nancy, mana ada saya tarik diri.  Tadi tu saya Cuma nak ambil masa berfikir ajer sama ada setuju nak terlibat atau pun tidak.” 
Kening Nancy naik sebelah.  Aku tersengih-sengih sahaja.  “Sekarang saya dah habis fikir.  Saya setujulah untuk terlibat dengan program ni.”  Beritahuku sambil tersipu-sipu malu.
“Betul awak setuju.”  Nancy menyoal inginkan kepastian.
Pantas aku mengangguk laju.  Gila tak nak setuju.  Peluang untuk hari-hari bertemu dengan Eddy Kencana, haruslah aku setuju.
“Good.  Kalau macam tu kita boleh sign kontrak sekarang.  Minggu depan boleh mula shooting.  Kerja?”
“Kerja.”
“Mintak cuti dua bulan.”
“Okey!!”  Dan semudah itu aku setuju untuk semua arahan dan rancangan Nancy.  Tidak mengapalah kena hadap muka Mamat Stereng Lock tu selama dua bulan.  Aku tak rugi pun malah akan dapat keuntungan berganda.  Aku dapat RM100000 dan jugak dapat spent time banyak masa dengan Eddy Kencana!









Tuesday, May 12, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 6


Bab 6
“Tuck, kalau lu ada problem kita boleh kasi bincang sama-sama ma.  Kenapa sampai mahu pinjam itu sama Along.”  Ujar Mat.  Sejak dua minggu yang lalu bengkel mereka sering didatangi oleh dua tiga orang
“Wa tak mahu susahkan kawan-kawan.  Wa ingat dulu wa mampu bayar itu hutang.  Tapi lu orang pun tahu kan, bisness wa sudah kurang.  Pelanggan ramai lari itu bengkel yang baru buka.”
Wali kerut dahi.  Dia pun sudah habis idea sebenarnya macam mana mahu membantu Ah Tuck.  “Tuck, aku mintak maaf.  Mungkin kesan daripada video stereng lock aku tu bagi kesan pada bengkel kau.”  TUturnya serba salah.  Semenjak video stereng lock tersebar, ramai pelanggan Ah Tuck sudah beralih ke bengkel yang lain. Dahulu ramai juga awek-awek datang baiki kereta di bengkel AhTuck kerana servis yang sangat mesra pelanggan sekarang ni pelanggan yang datang boleh dikira dengan jari.
“Tak apalah.  Bukan salah lu pun Wali.  Wa yang salah.  Wa pinjam Along sebab mahu main judi.  Nasib wa yang tak ada ong.  Wa kalah teruk.  Cuma wa mahu minta maaf sama lu orang.  Wa rasa wa sudah tidak mampu buat itu bisnes.  Wa mahu jual wa punya bengkel.  Nanti itu duit hasil jualan wa boleh buat bayar hutang Along.  Anak bini wa pun tak payah nak hidup takut-takut lagi.”  Ah Tuck sudah puas fikir. Rasanya ini adalah keputusan yang terbaik.  Menyesal sangat kerana terpengaruh dengan ajakan teman-teman untuk bermain judi.  Sudahnya dia terpaksa bergolok bergadai. 
“Jangan Tuck.  Lu bukak itu bengkel sudah lama.  Kita boleh tolong selesaikan masalah ini sama-sama.”  Mat cepat menghalang.
“Wa tak mahu susahkan lu sama Wali la Mat.”  Ujar Ah Tuck yang seakan sudah berputus asa.  Tidak mengapalah kalau dia menjual bengkel ini.  Nanti-nanti bila sudah cukup modal semula, dia akan buka bengkel yang baru pula.  Apa yang penting sekarang adalah keselamatan anak dan isterinya.  Along-along ini sudah mula mengganggu anak dan isterinya dirumah. 
“Nanti dulu Tuck.  Kita masih boleh fikir cara macam mana nak bayar hutang Along tu.  Lu jangan risau okey.  Kita akan hadapi masalah ini bersama-sama.”  Janji Wali.  Mat turut sama mengangguk mengiyakan.
Air mata Ah Tuck mengalir perlahan.  Dia peluk Wali dan Mat bersilih berganti.  Uniknya persahabatan yang terjalin antara mereka bertiga.  Walaupun berlainan bangsa dan agama, mereka masih lagi bersatu dalam menghadapi masalah besar ini bersama-sama. 
 
“Kau dah ada jalan ker macam mana nak tolong Ah Tuck, Li?”  Soal Mat.  “Aku ni kalau setakat seratus dua ratus tu boleh la jugak.  Kalau sampai RM30 ribu tu memang tak mampu la.  Duit dalam tabung kahwin aku tu pun tak cukup-cukup lagi.  Itu pun tunang aku dah bising-bising tanya bila boleh tetapkan tarikh kahwin.  Tunang dah lama kahwin tak jugak.”  Dia mengeluh.
Wali teguk teh tarik yang sudah suam.  “Kau tak payah risaulah Mat.  Kau simpan ajer duit kau tu untuk belanja kahwin.  Aku pun dah tak lalu tengok kau angkut Saleha tu merata-rata, tapi kahwin-kahwin jugak.”  Ujar Wali tenang.
Mat tersengih.  Banyak kali dah Wali nasihatkan dia kurang-kurangkanlah duk mengangkut Saleha tu ke hulu ke hilir dengan motor EX5 tu.  Semua tu mengundang cercaan masyarakat.  “Kau ada idea ker macam mana nak tolong Li?”  Tanya Mat bila tengok Wali rilek ajer.  Bengkel Ah Tuck tu sumber rezeki mereka berdua.  Kalaulah Ah Tuck tutup bengkel tu alamat kat mana lagi tempat diorang berdua nak cari makan.  Sekarang bukan senang nak dapat kerja.
“Idea tu belum la ada lagi, tapi nantilah aku fikirkan lagi.  Nanti-nanti tu adalah caranya macam mana nak tolong Ah Tuck.”  Balas Wali.  Sejujurnya dia belum dapat jalan lagi macam mana nak bantu Ah Tuck selesaikan hutang dengan Along tu.  Duit simpanan setakat RM10 000 dalam ASB tu belum cukup untuk membantu Ah Tuck.  Dia masih perlukan RM20 000 lagi.  Inilah yang bahayanya meminjam wang daripada lintah darat.  Jumlah yang dipinjam cuma RM3000 sahaja, tapi bila nak bayar jumlahnya menjadi berganda-ganda disebabkan bunga. 
“Aku ni kalau ada adik beradik saudara mara yang kaya memang aku mintak tolong Li.  Tapi tu la, adik beradik aku pun hidup lebih kurang aku jugak.”  Ujar Mat. 
Wali senyum nipis. 
“Kau tak ada ker saudara mara yang banyak duit yang boleh tolong pinjamkan untuk bayar hutang Along tu Li?” 
“Mana ada.  Kau pun tahu aku hidup sebatang kara.”  Tutur Wali.  Dekat lima tahun dia dan Mat bersahabat namun Mat sikit pun tak pernah tahu siapa Wali yang sebenarnya.  Wali pun tak pernah nak cerita pada Mat dia siapa.  Dia dah buang jauh-jauh kehidupannya dahulu.  Kalau dia mahu, ayahnya boleh senang-senang longgokkan RM30000 depan mata sekarang juga.  Jumlah RM30000 itu apalah sangat bagi seorang yang bernama Tan Sri Ismail Mokhtar.  Wali pegang pada prinsipnya.  Meminta bantuan dari ayah sama seperti menjilat ludahnya sendiri. 
“Kalaulah ada orang yang boleh bantu kita sekarang ni tak payahlah kita susah-susah nak fikir macam mana nak cari duit lebih.”  Mat terus mengeluh.
“Tak ada masalah Encik.  Saya Misbun dari GTV.  Saya boleh tolong selesaikan masalah kewangan yang sedang Encik berdua hadapi asalkan Encik sanggup berkerjasama dalam projek terbaru kami.” 
Wali dan Mat sama-sama terperanjat bila tiba-tiba ada orang datang menyapa.  Mereka berdua blur-blur melihat lelaki dari GTV itu.  Kuat sangatkah mereka berborak tadi sehinggakan ada pelanggan lain di dalam kedai mamak ni pun boleh dengar.  Orang GTV pulak tu! 
Misbun cuma tersengih sambil menaikkan kening beberapa kali.  Tugas untuk menjejak dua orang pelakon utama dalam projek Nancy berjaya juga akhirnya.
 
 
 
 
 
 

Monday, May 4, 2015

KERETA KANCIL, PROTON SAGA : BAB 5


Bab 5

Fail untuk mesyuarat esok aku campak malas di atas meja kerjaku.  Malas betul rasanya nak mengadap mesin fotostat untuk menyalin document mesyuarat ini menjadi sepuluh salinan setiap satu.  Dah dekat empat bulan aku kerja di sini, tapi rasanya tak ada apa yang dapat aku belajar.  Tak habis-habis kena cover kerja peon yang asyik mengular itu sahaja.  Aku dah rasa macam supervisor kepada mesin fotostat  yang selalu aku guna tu. 
“Dian, awak ni melepak ajer, document untuk meeting esok yang saya suruh awak fotostat tu dah siap ker?” 
Aku mengangkat wajah memandang suara yang selalu buat aku bengang.  “Belum lagi Cik June.”  Jawabku acuh tak acuh tanpa memandang wajah Cik June.  Cik June ni kan sejak aku masuk kerja, muka dia semendang ajerlah masam mencuka.  Macam orang period setahun 365 hari sahaja gayanya.  Mentang-mentanglah dia tu PA Datuk Alauddin tu yang kekwat bukan main tu.    
“Belum!!  Awak ni kan baru ajer kerja kontrak dekat sini dah pandai nak mengelat kan.   Awak ingat awak dah glamor satu Malaysia awak boleh nak mendiva bila dekat sini.” 
Aku mengetap bibir apabila suara Cik June mula membebel di hadapanku.  Beberapa staff yang ada duduk berdekatan dengan meja kerjaku memandang ke arah kami.  “Bila masa pula saya mendiva.  Saya nak rehat kejap la Cik June.  Baru kejap tadi saya pergi hantar surat dekat tingkat tiga tu.”  Balasku.
Melihat kening Cik June yang terangkat sebelah itu membuatkan aku jadi sedikit cuak.  Tadi berani sangat menjawab sekarang terkulat-kulat.  “Yerlah.  Yerlah.  Saya pergi buat sekarang.”  Dengan malas aku akur pada arahan Cik June.  Dokumen di atas meja aku bawa ke bilik fotostat.  Aku lepaskan rasa sebal dengan Cik June pada mesin fotostat.  Sengaja aku tekan-tekan kasar butang yang ada pada mesin fotostat.  Kalau rosak senang sikit.  Dapatlah aku berehat.  Tak adalah satu hari suntuk nak mengadap mesin ini sahaja. 
NJuneee….  Padan muka aku kan.  Abah suruh pergi sambung degree macam-macam alasan yang aku berikan.  Duduk kampung dan uruskan homestay abah pun aku tak mahu juga.  Walaupun aku satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, tapi boleh dikatakan aku yang paling degil dan paling keras kepala.  Aku memang jenis suka buat ikut kepala aku sahaja.  Haihh…  Kalaulah aku ikut jejak Naimah untuk sambung degree dulu mesti aku sudah masuk semester dua.  Haih…  Kenapalah bab-bab nak menuntut ilmu ni aku pemalas sangat!
Tengahari itu aku ajak Naimah pergi keluar makan bersama denganku.  Memandangkan kelas Naimah sampai pukul 12 sahaja dia okey la dengan cadangan aku.  Seperti biasa aku kena pergi ke Faculti Perakaunan UiTM Shah Alam untuk mengambil Naimah di sana.  Sebaik sampai aku lihat Naimah sudah menanti di tepi bus stop. 
“Kita nak makan dekat mana?”  Naimah terus menyoal sebaik masuk ke dalam kereta.
“Ayam penyet jom.”  Cadangku. 
Naimah mengangguk setuju.  Aku terus memandu ke tempat yang hendak di tuju.  Tak sampai sepuluh minit, aku dan Naimah sudah sampai di Restoran Ayam Penyet Wong Solo.  Seperti biasa aku dan Naimah memesan set ayam penyet dan es buah. 
Aku menongkat dagu sementara menanti pesanan kami tiba.   “Apa hal ni?”  Naimah menyoalku.
“Aku stress la kerja dekat situ, Imah.  Tak best.  Semua orang-orang dekat situ suka buli aku.”  Tuturku. 
Naimah ketawa kecil.  Aku jeling Naimah.  “Tak baik tau kawan tengah stress, gelak macam tu.” Tuturku rendah.
“Tu la kau.  Dulu aku ajak kau futher study kau bagi macam-macam alasan.  Sibuk sangat nak kerja.  Nak cari duit sendiri.  Nak kata kau tu orang susah bapak kau ada tiga biji homestay dekat kampung tu.  Dengar khabar nak bukak lagi satu homestay.  Abang-abang kau pun kerja hebat-hebat.  Setakat nak spedo kau belajar aku tak rasa ada masalah.  Lainlah macam aku, mak aku suri rumah tangga jer.  Ayah aku pulak setakat CC dekat office gomen.  Aku ni yang patut sibuk fikir macam mana nak cari duit untuk tolong keluarga bukannya kau.” 
Aku berdecit bila Naimah dah mula membebel.  Adik pelayan yang datang menghantar air dan set ayam penyet pun memandang pelik ke arah Naimah yang potpetpotpet macam mak nenek. 
“Yerlah.  Memanglah aku ni ramai yang boleh spedo.  Tapi kau pun tahu kan, aku bukan minat sangat pun nak sambung belajar.  Aku nak habiskan diploma aku dulu pun bercinta rasanya.  Ini nak tambah lagi tiga tahun.  Aku ni bukannya genius macam kau Imah.  Kau lain la, esok exam malam ni baru baca buku pun result boleh gempak.”  Balasku.  Kadang-kadang aku selalu tertanya-tanya Naimah tu makan apa sampai boleh ada otak genius macam tu.  Masa diploma dulu setiap semester dapat anugerah dekan.  Tak la macam aku ni.  Aku kategori pelajar biasa-biasa jer.  Taklah pandai sangat, tapi tak juga jatuh kategori bebal. 
Naimah mencebek.  “Alah…  Kau ni.  Tak habis-habis alasan.”  Selar Naimah sebelum menadah tangan membaca doa makan.  Aku turut tadah tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh Naimah.  Sesudu kuah kicap di dalam bekas yang terletak di tengah meja dicurahkan atas ayam goreng garing.  Aku dah Naimah menjamah nasi ayam penyet dengan selera.  Untuk seketika aku lupa sebentar beban masalah yang aku tanggung tadi. 
“Imah, apa aku nak buat ni.  Kalau aku berhenti kerja sekarang nanti abang-abang aku, adik aku semua gelakkan aku.  Malu la aku.”  Aku luah rasa gusar bila sudah habis makan.  Aku tengok Naimah tak terus menjawab sebaliknya aku lihat dahinya berkerut halus.  Mungkin Naimah sedang berfikir macam mana nak cari jalan untuk membantu aku yang selalu kena tindas dengan budak-budak di pejabat tu.
“Eh….  Ni adik yang dalam Youtube tu kan.  Yang sipi-sipi nak kena dengan stereng lock tu kan.   Ya Allah dik.  Seriau akak tengok masa mamat Saga tu mengamuk sampai nak hayun stereng lock tu kat kepala kau dik.  Nasib baik la kau tak ada apa-apa dik.  Kalau akak jumpa mamat Saga tu dik memang siaplah dia.  Berani kan nak tunjuk hebat depan perempuan.” 
Aku dah Naimah berpaling serentak pada suara yang tiba-tiba menyapa kami.  Aku tersengih-sengih sahaja mendengar kata-kata kakak yang tiba-tiba muncul entah dari mana.  “Eh kak, janganlah sampai macam tu.  Saya pun selamat.  Tak sempat diapa-apakan.  Stereng lock tu pun acah-acah ajer, belum mendarat betul-betul kat kepala saya ni kak.”  Tuturku.  Aku sempat mengerling Naimah dengan ekor mata.  Muka Naimah bengang ajer bila aku berlagak sok suci.  Yerlah.  Naimah kan tahu cerita sebenar.  Haruslah makcik ni bengang bila aku yang sepatutnya disalahkan kini menjadi perhatian masyarakat yang prihatin. 
“Eh…  Dah alang-alang akak terjumpa kau ni dik, jom selfie sekeping dua.”  Pinta akak kepochi.
Aku turutkan sahaja permintaan akak kepochi tu yang ingin selfie bersamaku.  Aku sudah terasa seperti selebriti pula.  Lepas selfie sampai lima kali snap akak kepochi tu pun berlalu. 
“Kau tengok, masyarakat tak habis lagi mencerca mamat Proton Saga tu tau.  Kau seronok la, feeling-feeling retis disayangi semua.”  Selar Naimah apabila melihat muka aku tak habis sengih.
“Bukan aku mintak nak feeling retis pun.  Dah akak tu yang nak ajak bergambar.  Aku layankan ajer.”  Balasku sambil mengekek ketawa.  Naimah mencebek tapi lepas tu aku tengok mata dia bersinar-sinar.  “Aku dah ada idea.”  Tutur Naimah. 
Dahiku berkerut.  “Idea apa?”  Tanyaku.
“Assalamualaikum.” 
“Yer.  Waalaikummusalam.”  Jawab Naimah yang sedikit terganggu dengan gangguan yang tiba-tiba datang lagi.  Belum sempat dia nak bentang idea ada pula yang datang kacau.  Susah betul bila berkawan dengan orang yang popular satu Malaysia ni.
“Saya datang ni nak jumpa dengan Cik …..”
“Dian.  Dian Harlina.”  Kataku apabila melihat ibu jari lelaki itu terarah ke arahku.  “Encik nak ambil gambar juga ker?”  Tanpa segan silu aku bertanya.  Aku seperti sudah pandai membiasakan diri apabila bertemu dengan peminat.  Hahaha…
“Saya Misbun dari GTV.”  Tanpa ditanya lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada kami.
Aku dan Naimah saling berpandangan sebelum pandangan kami sama-sama terarah kepada lelaki yang sudah pun mengambil tempat di kerusi kosong bersebelahan Naimah. 
“Gempak TV?”  Aku dan Naimah bertanya serentak.  Lelaki itu hanya mengangguk kepala sambil tersenyum.
“Tepat sekali.  Saya datang jumpa Cik Dian ni sebab ada projek yang nak dibincangkan.”  Ujar Misbun.
“Projek?!!”  Suara aku dan Naimah sama-sama naik serentak.  Kami tengok kening orang GTV tu dah mula menari ronggeng.  Projek?!!