Monday, June 20, 2011

Calon Jodoh Untuk Adik 13


Selepas malam dia dan aku keluar makan bersama, aku dapat merasakan hubungan kami semakin rapat. Aku senang bersama dengan Fariz. Dia lelaki yang bijak berkata-kata. Aturan setiap perkataan di dalam setiap ayat yang dituturkannya nampak kemas dan teratur. Langsung tidak ada kata-kata yang menyakitkan telinga.

Berbeza sungguhlah dengan Ee yang ingin abang rekemenkan itu. Padaku calon pilihan kakak adalah yang terbaik.

Oleh sebab itu, hari ini aku menjemput Fariz untuk makan tengahari bersama-sama kami sekeluarga di rumah Kak Ina. Selain mahu memperkenalkan dia kepada abang, aku juga mahu dia turut serta di dalam tradisi setiap bulan kami adik beradik. Idea menjemput Fariz ini datangnya dari Kak Ina sendiri. Aku mana berani nak main-main jemput sahaja. Lagipun ini rumah Kak Ina, bukan rumah aku. Sengaja aku dan Kak Ina berahsia tentang kehadiran seorang lagi tetamu di dalam majlis ini. Aku mahu membuat kejutan kepada abang. Aku ingin abang kenal dengan Fariz. Aku mahu abang tahu, yang adiknya ini mungkin akan jatuh cinta sekali lagi dengan lelaki yang bernama Fariz ini.

Ketika membantu Kak Ina di dapur, aku mencuri-curi pandang pada Fariz yang ramah berborak dengan Abang Shah di ruang tamu. Dia jugak menunjukkan ciri-ciri seorang ayah yang penyayang apabila tabah sahaja melayan karenah Boboy dan Gegirl bermain. Mata sahamnya naik lagi. Aku memang suka lelaki yang penyayang apatah lagi yang suka kanak-kanak.

“Manalah abang ni. Tak pernah-pernah lambat kali ni lambat pulak.” Ngomel Arina.

Aku memandang jam di pergelangan tangan. “Haahlah. Manalah abang ni pergi. Semua orang pun dah lapar ni.” Balas aku pula.

“Hahh…” Tu bunyi kereta abang. Arina menjerit kecil apabila terdengar bunyi kereta abang sudah masuk ke dalam kawasan garaj rumahnya. “Cepat Ris bawak buah ni ke meja makan depan tu. Boleh terus makan ni.” Arina mula mengarah.

Aku mengambil pinggan berisi buah tembikai susu dan betik segar dari tangan Kak Ina untuk dibawa ke meja makan hadapan. Di hadapan, mujur pinggan bujur Correlle yang berisi buah-buahan ini tidak terlepas di tangan. Tiba-tiba ada lagi seorang tetamu pula yang datang. Ee! Aku sempat mengerling Kak Ina di sebelahku. Muka Kak Ina menjadi merah kerana menahan geram. Seperti apa yang ada di dalam kepala Kak Ina samalah jugak dengan apa yang sedang aku fikirkan. Mereka berkomplot! Pasti Abang Shah telah meroger abang awal-awal yang mengatakan Fariz ada di sini sebab itu Ee dijemput sekali! Jahat punya pakatan!

Kerana tetamu perlu dimuliakan, Ee tetap jugaklah di layan sebagai tetamu. Kami tetap makan bersama. Walaupun aku tidak suka dengan Ee, tetapi aku tidaklah terus menerus menunjukkan muka masamku sepanjang dia ada bersama kami, tetapi Kak Ina dengan muka masam, kelat, ketat semua ada. Bukan dengan Ee sahaja. Dengan Abang dan Abang Shah pun Kak Ina bermuka ketat dan kelat. Dia mesti sebal.

“Aku peliklah kenapa korang berdua beria-ia sungguh suruh aku datang hari ini. Tengok tu, muka Ina, dah macam tertelan cuka cap Tamin setengah botol ajer aku tengok. Aku nak makan tadi pun asyik rasa nak tercekik ajer tadi.” Kata Izlan ketika mereka bertiga duduk berborak di luar rumah. Matanya sempat mengerling ke arah Arisa yang sedang seronok berborak dengan temannya. Teman lelaki lah kut.

“Kau bukannya pernah datang ke rumah aku pun.” Kata Shahrul bersama ketawa kecil. Sedikit kelakar melihat muka Izlan yang kecut apabila berhadapan dengan isterinya tadi. Kata sahaja macho. Tetapi…jiwa kecil!

“Uncle Ee tolong tiup belon ni.”

Mataku cepat terarah pada suara Boboy yang kedengaran manja menyebut nama Uncle Ee. Aku lihat Boboy begitu mesra dengan Uncle Eenya itu. Sejak Ee datang ke mari tadi, Boboy dan Gegirl terus melekat bersama dengannya. Uncle Fariz pun Boboy dan Gegirl sudah buat-buat tidak kenal. Aku rasa, Abang Shah mesti selalu membawa anak-anaknya keluar minum di kedai mamak bersama Ee kerana ada butir bicara dari mulut Boboy yang petah itu mengata lain kali dia mahu keluar minum teh tarik dengan Uncle Ee lagi. Boboy dan teh tarik. Dengan Uncle Ee. Kedai mamaklah. Mana lagi!

“Arisa.”

“Arisa…” Fariz memanggil untuk sekian kalinya apabila panggilannya tiada respon dari Arisa.

Aku terpana. Astagfirullahalzim. Kenapa aku mesti melihat seorang lelaki yang paling aku tidak suka itu dengan pandangan sebegitu apabila dia mempamerkan sikap bapak-bapak yang sungguh menarik perhatianku untuk terus menerus memerhati tingkahnya.

Aku lihat Fariz sedang mengawang-awangkan tangannya dekat dengan mukaku. Aku mempamerkan senyum sumbing.

“Ermm..” Aku sekadar menjawab. Pandanganku halakan kembali ke muka Fariz. Tempat yang sepatunya aku pandang. Bukan ke arah Ee yang masih lagi bermain-main bola dengan Boboy dan Gegirl. Ahh!!! Sudah… Kenapa aku terasa macam nak join mereka sekali???!!!

“Apa yang awak mengelamun?” Soal Fariz.

Aku mempamer senyum sumbing lagi. Aku harap Fariz tidak perasan tingkah aku yang sedang memerhati lagak Ee yang gaya bapak-bapak itu. Masakan aku bersama Fariz tetapi mahu memerhati lelaki lain pula. Ee pulak tu. Tapi, kenapa bola mataku ini masih lagi ingin memerhati Ee dari jauh. Aku gila kerana kekenyangan barangkali.

“Awak ada cakap apa-apa dengan saya ker?” Aku bertanya gagap.

“Tak. Cuma saya ingat hari dah lewat ni. Saya nak balik.” Fariz meminta diri.

“Owhh…Ok.” Balasku.

“Minggu depan kita keluar lagi boleh.” Pinta Fariz.

Aku tersenyum. Fariz mahu menjual minyak. Aku beli! “Okey tapi dengan syarat kali ini kita tak pergi Muzium Negara untuk tengok pameran Perak Man tu lagi yer.” Aku memberi syarat. Kali pertama kami betul-betul dating bulan lepas ada ker patut Fariz membawa aku ke pameran Perak Man di Muzium Negara. Sangat tidak masuk akal. Kalau Perak Man itu sedara mara salah seorang dari kami logiklah jugak.

“Okey.” Dia mengangguk.

Aku menemani Fariz untuk bersalaman dengan abang. Aku juga turut menghantar Fariz sehingga ke keretanya. Hajatku sengaja mahu memancing Ee yang masih lagi duduk berborak dengan Abang dan Abang Shah di tepi air terjun mini. Aku mahu dia tahu, aku yang putus cinta ini adalah barang terhangat yang cepat sahaja ada orang mahu sambar kerana aku masih ingat lagi kata-katanya kepadaku di kedai mamak sewaktu pertama kali kami bertemu. Katanya, perempuan seperti aku tiada siapa mahu. See the leglah! Ini Seri Arisa okey!