Thursday, October 2, 2014

URUSAN HATI BAB 7

Bab 7


“Che Ros. Che Ros.”

Che Ros yang sedang memasak di dapur bergegas ke hadapan apabila mendengar namanya disapa berulang kali dari luar rumah. Pintu rumah dibuka. Terjojol wajah Fasha, Fadhil dan seorang pemuda bersama mereka.

“Eh…Fasha. Fadhil.” Che Ros menyambut kedatangan Fasha dan Fadhil dengan ramah. Fasha dan Fadhil terus bergilir-gilir bersalaman dengan Che Ros.

“Saper nih…” Che Ros bertanya apabila pemuda itu turut sama bersalaman dengannya. Che Ros suka tengok air muka pemuda ini. Nampak tenang. Sudahlah tenang, rupa pun boleh tahan. Sepadan dengan Lin. Memang itulah perkara yang terlintas di benak Che Ros sewaktu mula-mula melihat pemuda ini.

“Inilah Abang Afzan, Che Ros.” Ujar Fadhil.

Che Ros mengangguk-angguk. “Owhh…Ini Afzan. Semalam Lin ada cerita tentang Afzan pada Che Ros.” Ujar Che Ros yang mengetahui siapa Afzan melalui cerita yang disampaikan oleh Syazlin malam tadi.

Afzan senyum senang dengan keramahan Che Ros. Walaupun baru pertama kali bertemu, Che Ros kelihatan cukup mesra. Che Ros tidak seperti anak gadisnya yang dingin semacam. Kalau dengan dia Lin nak tunjuk kerek itu boleh diterima, dia tahu dia pun pernah buat salah pada gadis itu tetapi sewaktu makan malam semalam, dia perasan yang Lin macam ada masalah dengan Pakcik Rahman, ibu, Fasha dan Fadhil.

“Kenapa pagi-pagi datang rumah Che Ros ni?” Che Ros bertanya tujuan budak bertiga ni datang ke rumahnya pada waktu pagi-pagi begini.

Fasha seluk tangan dalam kocek track suit. Jam tangan dikeluarkan. “Ini hah…ibu suruh hantar jam tangan Kak Lin. Kak Lin tertinggal kat atas kabinet dapur lepas tolong cuci pinggan semalam. Dah alang-alang nak datang sini Fasha ajaklah Abang Afzan ikut sekali. Boleh kenal-kenal dengan Che Ros.” Tutur Fasha seraya menyerahkan jam tangan milik Kak Lin kepada Che Ros.

“Syazlin…. Syazlin…” Kepala Che Ros menggeleng perlahan apabila jam tangan sudah beralih tangan. “Dah dia letak merata-rata bukan main bising tadi mencari jam dia ni.” Ngomel Che Ros.

“Lin mana Che Ros? Tak nampak pun.” Afzan bersuara.

“Lin pergi ke kedai. Beli telur. Che Ros masak nasi lemak. Telur pulak tak ada. Lin tu kalau makan nasi lemak nak cukup semua bahan.” Jawab Che Ros.

“Owhhh…Patut dari luar bau sedap ajer Che Ros.” Fadhil mencelah. Hidungnya kembang kempis menghidu bau aroma nasi lemak buatan Che Ros.

Che Ros ketawa kecil. “Ni dah sarapan pagi ke belum ni. Kalau belum marilah sarapan sekali. Che Ros memang masak lebih hari ni. Macam tahu-tahu ajer ada tetamu nak datang makan sarapan sekali.” Dengan senang hati Che Ros jemput mereka untuk bersarapan sekali.

“Sebenarnya dah makan tadi Che Ros tapi bila tercium bau wangi nasi lemak yang Che Ros masak rasa tak apa kut kan kalau sarapan lagi sekali.” Fadhil pantas menjawab. Bijak mengambil hati Che Ros.

Che Ros ukir senyum segaris. “Yerlah. Sementara tunggu Kak Lin kamu tu balik dari kedai, duduk lah depan. Bawak Abang Afzan sekali.”

“Fasha tolong Che Ros buat air dekat dapur yer.” Pinta Che Ros.

“Okey Che Ros. No problem.” Fasha menjawab senang seraya terus mengikut langkah Che Ros ke dapur.



Sementara menanti telur siap direbus, Syazlin mengintai-intai tetamu yang berada di ruang tamu rumah. Bukan main lagi mereka bertiga kan, buat rumah ni macam rumah mereka sendiri.

“Lin!”

Che Ros tepuk bahu Syazlin.

“Oh mak engkau!!” Syazlin hambur latah. “Mama ni. Terkejut Lin.” Dia merengus sambil dada diurut perlahan.

“Buat apa ni? Skodeng anak teruna orang yer Lin.” Che Ros nakal menggiat anak gadisnya itu.

Syazlin mengerling mama yang sedang tersengih. Dia buat muka. “Ngeee…Please la.” Tuturnya ringkas seraya berlalu ke arah periuk di atas dapur. Air di dalam periuk sudah menggelegak dengan jayanya. Pasti telur rebus sudah siap direbus. Api dapur di matikan. Dengan berhati-hati, air panas dibuang ke dalam singki, sebelum dimasukkan semula dengan air paip yang sejuk. Syazlin bawa periuk berisi telur rebus dan mangkuk kaca ke arah kaunter dapur. Punggung dilabuhkan di atas kerusi tinggi. Tangannya mula lincah mengupas kulit telur.

“Lin ni apahal? Muka tak puas hati jer dari tadi.” Che Ros bertanya. Kerusi tinggi di sebelah Syazlin ditarik keluar. Punggungnya dilabuhkan disitu. Sebelah tangan menongkat dagu memandang Syazlin yang sedang mengupas telur dengan muka yang tidak puas hati.

Syazlin merengus perlahan. “Yerlah. Apasal mama jemput diorang tu datang breakfast sekali dengan kita. Rimas betul.” Luahnya sebal tanpa memandang muka mama.

Che Ros berdecit. “Lin, Fasha dengan Fadhil tu bukan orang lain tau. Diorang tu adik-adik Lin jugak.” Che Ros mengingatkan hubungan antara Syazlin dengan Fasha dan Fadhil. Che Ros betul-betul tak suka bila Syazlin buat perangai kekwat begini depan adik-adiknya. Walaupun Fasha dan Fadhil berlainan ibu tetapi mereka tetap satu bapa dengan Syazlin dan Syahrul.

“Satu bapak jer, tapi mak lain-lain.” Balas Syazlin acuh tak acuh.

Mata Che Ros mula mencerun memandang Syazlin.

“Tetap juga adik beradik. Diorang tetamu kita. Mama tak mahu Lin tunjuk muka ketat macam ni depan tetamu-tetamu mama. Dapat pahala tau kalau kita meraikan tetamu yang datang rumah kita.” Kali ini Che Ros bersuara tegas. Ada masa bercakap dengan Syazlin bagai mencurah air di daun keladi. Bukan mahu didengarnya. Asyik nak ikut kepala angin dia sahaja.

Syazlin jadi terkulat-kulat bila mama sudah mula mengubah nada suara dari lembut kepada tegas begitu. Sebagai seorang pengetua sekolah, mama ada sisi tegas dalam diri. Jangankan anak-anak muridnya, Syazlin yang anak mama pun kecut kalau mama dah mula masuk mood Puan Pengetua Hajjah Rose Yatimah macam ni.

“Cepat siapkan kupas kulit telur tu. Lepas tu bawa ke depan. Semua orang dah tunggu nak makan nasi lemak.” Arah Che Ros sebelum meninggalkan Syazlin di dapur.

Kepala Syazlin mengangguk laju. Tak berani nak melawan mama. Dia cepat-cepat menyudahkan kerjanya dan membawa telur yang sudah siap dikupas ke hadapan. Sebelum keluar dari dapur sempat dia sekolahkan raut wajah agar cuba menjadi lebih manis di depan tetamu yang tidak diundang itu.





Happy Reading!!