Thursday, October 2, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 5

Bab 5


Sebaik keluar dari bilik temuduga, Aryana mengeluh lemah. Kau dah kenapa Aryana…. Dia berkata perlahan. Kecewanya dengan diri sendiri. Setiap kali temuduga pasti dia akan mengalami darah gemuruh yang hebat dan akhirnya telah membuatkan peluang cerah untuk mendapat pekerjaan jadi kelam-kelam hitam. Dalam sejarah pun cuma sekali ajer dia bernasib baik. Itu pun masa interview dengan Datuk Maarof yang merangkap bapa mertuanya sekarang ini tapi tu special case kerana kerja tersebut memang sudah dikhaskan untuk dia.

Haihh…Aryana mengeluh lagi.

Nampaknya peluang nak kerja sudah tiada. Esok rutinnya akan kembali seperti sedia kala. Dia akan menjadi suri rumah sepenuh masa seperti permintaan abah. Kerana terlalu menghormati abah, Aryana mengalah. Janji perlu ditepati.

Sebelum pulang ke rumah, Aryana ingat mahu singgah ke restoran yang biasa dia kunjungi dalam tempoh seminggu dua ini. Apalah yang ramuan rahsia yang diletakkan di dalam tiramisu restoran itu sehinggakan Aryana begitu terlagi-lagi mahu menikmatinya setiap hari. Pedulikanlah tentang kadar gula dan lemak yang tinggi, janji tiramisu istimewa itu boleh buat dia hilang rasa kecewa bilamana tahu, dia gagal dalam temuduga.





Bila jam tangan menginjak hampir ke pukul empat petang, Razlan jadi tidak tentu arah. Sekejap-sekejap dia akan menjenguk ke ruang hadapan restoran. Nampaknya orang yang dinantikan tidak tiba lagi.

“Chef ni kenapa? Asyik terjenguk-jenguk ke hadapan tu?” Zamir yang sedang membalikkan daging tenderloin atas pan grill bertanya apabila melihat Chef Razlan keluar masuk ke dapur dan ke hadapan.

“Tak ada apa-apalah.” Razlan sekadar menjawab. Tengkuk sekejap-kejap masih dipanjangkan ke hadapan. “Mir ingat jangan lama sangat biarkan daging tu atas grill. Pelanggan request medium rare.” Pesan Razlan kepada Zamir.

“Yes Chef. Lima minit setiap bahagian kan. Saya ingat apa yang Chef ajar.” Tutur Zamir.

Razlan cuma tersenyum. Tidak sampai seminggu praktikal di sini, Zamir sudah pandai mengaplikasikan apa yang dia belajar di kolej kulinari dalam tugas hariannya. Melihat dari gaya Zamir yang rajin belajar dan tidak malu bertanya, Razlan yakin yang Zamir akan menjadi tukang masak yang terkenal satu hari nanti. Mungkin lebih hebat daripada dia.

“Lan…Lan…” Sapa Chef Mior tiba-tiba di muka pintu dapur.

“Apa hal?” Semua yang ada di dapur memandang ke arah Chef Mior yang tersengih-sengih.

Chef Mior menggamit Razlan agar datang dekat kepadanya. Razlan menurut. “Orang yang kau tunggu-tunggu tadi tu dah sampai.” Bisiknya perlahan. Razlan memandang muka Chef Mior yang tak habis sengih. Dia mengulum senyum. Tanpa berlengah dia terus ke hadapan restoran.



Aryana yang baru sahaja mahu membuat pesanan terkejut apabila sepotong tiramisu dan hot chocolate diletakkan di atas meja. Dia angkat wajah untuk memandang ke arah pelayan restoran yang menghantar hidangan ini. Razlan yang sedang berdiri di hadapannya sekadar tersenyum manis. Aryana tidak ada sebab untuk tunjuk kekwat lagi dengan lelaki ini. Kekerapan dia datang ke mari membuatkan mereka sudah saling mengenali kerana kadang-kadang jika lelaki ini tidak sibuk di dapur dia sendiri yang akan mengambil pesanan dari Aryana. Waktu itulah kami sempat berborak-borak. Tidaklah berborak panjang, sekadar ‘hai hai bai bai’ tapi sekurang-kurangnya kami berdua sudah kenal nama masing-masing.

“Macam mana Chef tahu yang saya nak order tiramisu dan hot chocolate ni.” Aryana bertanya.

“Cik Aryana, hampir setiap hari Cik Aryana datang ke restoran saya ni, mesti akan pesan tiramisu dan hot choclate. Jadi sebelum Cik Aryana order saya dah hantarkan.” Razlan menjawab ramah.

“Efisyen.” Jawab Aryana sepatah sambil ketawa.

Aryana capai garfu kecil di tepi piring tiramisu. Tiramisu diambil sedikit dengan menggunakan garfu dan terus masuk ke dalam mulut.

“Macam mana?” Razlan bertanya.

“As usual. Super delicious.” Aryana memuji.

Razlan senyum bangga. “Errrmm…Kalau Cik Aryana tak kisah, boleh saya duduk di sini?” Razlan mula mengorak langkah.

Aryana ketawa. “Ini restoran awak, Chef Razlan. Tak kan saya nak halang awak duduk dekat sini. My pleasure. Silakan.” Balas Aryana tidak kisah.

“So macam mana? Awak dapat tak kerja?” Razlan bertanya.

Aryana mengeluh. Ibu jari di hala ke bawah.

“Awak pernah cakap pada saya hari tu yang awak tak kisah kerja apa pun janji halal kan?” Razlan bertanya semula mahu memastikan yang Aryana betul-betul memaksudkan apa yang dikatakannya tempoh hari.

“Ya. Tapi nampaknya rezeki tetap juga tak ada. Sampai saya sendiri dah give up.” Lemah Aryana bersuara.

“Jangan cepat sangat mengalah Cik Aryana. Kebetulan restoran saya ni memang nak cari seorang yang boleh uruskan akaun kalau Cik Aryana tak kisah Cik Aryana boleh kerja di sini.” Ujar Razlan.

Muka muram Aryana bertukar ceria semula apabila mendapat tawaran kerja di restoran milik Razlan.

“Betul Chef bagi saya kerja dekat sini?” Aryana bertanya seakan tidak percaya.

“Ya. Kalau awak ada pengalaman buat akaun sebelum ni mungkin awak boleh tolong uruskan akaun restoran ni.” Balas Razlan.

“Chef tak payah risau okey. Walaupun degree saya bukan dalam bidang accountancy tapi saya ada ambil matapelajaran akaun masa semester pertama dulu. 3 jam kredit. Saya dapat A. Insyaallah dengan sedikit ulangkaji balik saya boleh buat. Lagipun setakat debit kredit, balance account, kunci kira-kira, kacang ajer tu. Small the pieces.” Balas Aryana bersemangat.

“Good. Awak diterima bekerja di sini. Welcome to the family.”

“Terima kasih Chef. Terima kasih sangat-sangat.” Ucap Aryana teruja.

“Tapi saya ada satu syarat.” Ujar Razlan.

Dahi Aryana berkerut. Dah agak dah. Ni kalau tiba-tiba buat baik mesti ada udang di sebalik mee. Kenapalah tak ada orang yang benar-benar ikhlas nak membantu golongan ibu tunggal sepertinya.

“Apa dia syarat Chef ni?” Aryana bertanya malas.

“Tolong jangan panggil saya Chef. Saya tak ada qualification untuk gelaran Chef tu. Kalau Chef Mior tu lainlah. Dia memang belajar kulinary sampai oversea. Saya cuma pemilik restoran sahaja. Bukan Chef.”

Aryana ketawa. Telahannya tersasar. “Tapi Chef Razlan pandai masak. Pandai buat kek.” Balas Aryana.

“Ni hobi saya ajer. Tolong yer. Jangan berChef-Chef dengan saya. Panggil saya Lan ajer.”

“Tapi budak-budak yang kerja dekat sini semua panggil Chef.”

“Cik Aryana please. Lan sahaja.”

Aryana angguk paham. “Tapi Lan, awak pun jangan nak berCik-Cik dengan saya. Panggil saya Yana jer. Boleh?”

“Deal!”

“Okeylah. Saya rasa saya kena balik sekarang. Tak sabar nak bagi tahu pada family saya yang akhirnya saya berjaya jugak untuk dapat kerja.” Sambungnya lagi.

“Balik sekarang. Tapi awak tak habiskan lagi kek awak ni?”

Aryana pandang tiramisu yang baru dijamah sedikit. “Eh…Gila nak balik sebelum habiskan tiramisu awak ni. Saya habiskan dulu. Bestnya dapat kerja….” Aryana sudah teruja tahap maksimun. Lantaklah kerja dekat restoran pun. Janji kerja!

Razlan senyum sendiri melihat tingkah Aryana yang bersungguh-sungguh menghabiskan tiramisunya. Haiiii laa Cik Aryana. Kau tahu tak kau dah buat aku gila bayang sejak pertama kali kita bertemu. Hatinya mengusik nakal.





“Lan, serius ker Lan nak perempuan tu kerja dekat sini?” Mastura menyoal ketika semua yang lain sedang sibuk berkemas sebelum restoran di tutup.

“Seriuslah Kak Mas. Kenapa Kak Mas tanya?” Soal Razlan. Sejak dia menyatakan yang esok akan ada seorang pembantu akaun yang akan bekerja di restoran ini Mastura sudah buat muka tidak senang hati. Malah seingatnya dalam empat lima enam kali Mastura bertanya sama ada dia betul-betul serius mahu mengambil pekerja baru.

“Bukan selama ni Cik Linda ker yang tolong buatkan account restoran ni. Kenapa tiba-tiba nak ambil account assistant pulak.” Selar Mastura apabila merasakan Razlan sengaja mengada-adakan posisi sebagai pembantu akaun di restorannya kerana mahu wanita yang terdesak mahukan pekerjaan itu bekerja di sini. Sudah seminggu lebih dia perhatikan tingkah Razlan setiap kali wanita yang bernama Aryana itu datang ke mari. Nampak sangat macam ada ‘sesuatu’ dari gaya Razlan itu dan apabila tiba-tiba hari ini Razlan memberitahu yang Aryana akan bekerja di sini esok, jadi memang ‘sesuatu’ sangat!!

Razlan cuma senyum. “Kak Mas ni, lupa ker. Dah dua bulan kan Linda sambung master dekat Australia. Lagipun Linda sendiri yang cadangkan agar saya ambil seorang pembantu akaun untuk uruskan akaun restoran ni. Aryana bukan sekadar buat akaun sahaja, dia boleh bantu Kak Mas dengan Chef Mior juga. Kak Mas sendiri pun tahu kan yang kita akan buka satu lagi cawangan. Memang tepat sangat masanya saya tambah bilangan pekerja.” Ujar Razlan tentang rasional dan waras tindakannya menggajikan Aryana.

Mastura mencebek. “Tapi Lan kena bincang dengan Kak Mas dulu. Memang restoran ni Lan yang punya tapi Lan tak patut membelakangkan Kak Mas. Lan sendiri lantik Kak Mas sebagai pengurus di sini. Kalau betul nak pakai pembantu akaun kita boleh buat interview betul-betul bukan dengan cara ambil pekerja membuta tuli macam tu ajer. Kita tak tahu Aryana tu orang dia macam mana. Lan, kalau soal duit jangan senang-senang percaya pada orang.” Balas Mastura panjang lebar.

Razlan mula ketawa kecil. “Kak Mas…Kak Mas…” Kepalanya menggeleng perlahan. “Aryana tu nampak macam orang jahat ker. Tak kan…. Kak Mas jangan risau okey. Kak Mas kena yakin dengan pilihan saya. Chef Mior pun okey jer.” Sambungnya lagi.

Mastura merengus perlahan bila Razlan menangkan Aryana. Tengoklah. Belum lagi kerja di sini Aryana sudah mendapat pengaruh Razlan.

“Suka hati Lan lah kalau dah cakap macam tu.” Tutur Mastura kemudian terus meninggalkan Razlan di dalam pejabatnya.











No comments: