Thursday, October 2, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 6

Bab 6


Mastura mengetap bibir apabila terpandangkan kemesraan Aryana dan Razlan di dapur. Kenapa Aryana berada di dapur ketika ini padahal sepatutnya dia berada di pejabat untuk uruskan akaun. Aryana cuma pembantu akaun, bukannya pembantu chef yang kena ada di dapur. Kut ya nak periksa stok bahan mentah, perlu ker sampai nak tergedik-gedik mengendeng-mengendeng dengan Razlan yang jauh lebih muda.

Razlan pula, semenjak Aryana bekerja di sini, bukan main rajin lagi datang ke mari. Boleh dikatakan setiap hari Razlan akan ke mari. Banyak sangatkah masa yang terluang bagi seorang lelaki yang berjawatan sebagai CEO di syarikat keluarga sendiri. Tak ada kerja dah ker yang nak kena buat dekat pejabat CEO tu sampai senang hati melepak dekat restoran sambil ketawa-ketawa gembira dengan seorang pembantu akaun.

Mastura memang tidak berkenan dengan Aryana sejak hari pertama wanita itu masuk bekerja di sini. Aryana tu tak ubah macam anak dara tua terdesak yang sibuk-sibuk mencari pucuk muda. Huhh!!

“Oiii mak engkau.” Mastura hambur latah apabila bahunya dicuit dari belakang.

“Hey…. Apa yang Kak Mas terintai-intai ni.” Tegur Sarah sambil ketawa kecil mendengar Mastura melatah akibat dicuit olehnya tadi.

“Tu…Cuba kamu tengok. Sakitnya mata akak tengok Yana tu menyendeng-nyendeng dengan Razlan. Razlan pun satu. Dia tak tahu ker yang Yana tu tua enam tahun dari dia.” Ujar Mastura. Bahunya tergedik-gedik menunjuk rasa meluat.

“Dah apa masalahnya kalau Kak Yana tu tua dari Chef Razlan. Kak Yana tu awet muda tau Kak Mas.” Becok mulut Sarah bercerita.

Mastura buat muka apabila Sarah memuji Aryana di hadapannya. “Mata kau ni rabun ker apa Sarah. Kau tak nampak ker kedut-kedut kat muka Yana tu. Awet muda apa nya!” Hambur Mastura. Sebenarnya semenjak Aryana berkerja di sini semua orang sukakan Aryana. Kedudukan dia dalam restoran ini sudah tergugat dengan adanya Aryana.

Sarah menjuling mata ke atas. Dia pandang muka dengki Kak Mastura itu. Nampak sangat Kak Mastura cemburukan Kak Yana. Kak Mastura muka asyik masam ajer lepas tu mulut hazabedah sangat tahu nak menjoyah ajer kerjanya. Sarah mencemuh dalam hati. Dia memang tak suka Kak Mastura. Sudahlah suka marah-marah orang tak kena tempat. Huhh!!

“Apalah yang Razlan pandang pada perempuan macam Aryana tu.” Mastura terus-terusan mencemuh.

Sarah sekadar menggeleng-geleng perlahan. “Tak baik tau Kak Mas cakap Kak Yana macam tu. Entah-entah Kak Mas jealous kut sebab Chef Razlan lebih perhatian pada Kak Yana.” Tutur Sarah sinis.

Mata Mastura membulat memandang Sarah yang berwajah selamba. “Dah kenapa pulak akak nak cemburu. Aku ni dah bersuami. Suami aku sayang sangat dengan aku. Akak ni bukan apa, akak curiga sikit dengan Yana tu.” Tuturnya bersungguh mahu menyembunyi rasa cemburu yang telah bercambah di dalam hati sejak Aryana kerja di sini.

Sarah kalih pandang pada Mastura dengan dahi berkerut. “Apa yang akak curigakan. Sarah tengok Kak Yana tu biasa ajer.” Balasnya tidak faham maksud kata-kata Mastura itu.

Mastura mendekat dirinya sedikit dengan Sarah. “Tu la engkau tak tahu. Akak rasa Yana tu sebenarnya kaki kikis tau. Tu sebab dia mengendeng-ngendeng dengan Razlan. Dengan pekerja-pekerja lain tak ada pulak dia nak mengendeng-ngendeng. Mentang-mentang dia tahu restoran ni Razlan yang punya. Dia pun apa lagi. Nak try lah. Entah-entah belaan orang-orang kaya.” Tutur Mastura agak perlahan. Cukup sekadar untuk didengari oleh Sarah sahaja.

Sarah tunjuk muka tak percaya. “Ehhh Kak Mas tak baik fitnah orang macam tu. Dosa menfitnah tu sama macam dosa membunuh tau.” Sempat dia menasihati Mastura.

“Ehhh…Budak ni, jangan naïf sangat boleh tak. Kau tengok style Yana tu. Ada gaya orang kerja macam kita ni ker? Kalau setakat gaji buat akaun dekat sini berapa sen sangatlah yang dia dapat tapi cuba Sarah tengok kereta apa yang dia pakai?” Mastura menyoal.

“Prius.” Sarah menjawab sepatah.

“Kau tahu tak kereta technology hybrid buatan Jepun macam tu paling-paling koman pun sebulan RM900 tau. Tu belum lagi termasuk kos service roadtax semua.” Mastura mula menguatkan hujah dengan mencari point-point yang boleh dikaitkan dengan Aryana.

Sarah diam. Berfikir.

Mastura menyuring senyum apabila Sarah terdiam mendengar penerangannya. “Lagi satu, kau cuba tengok jenama beg tangan yang dia pakai. Kau mampu ker Sarah menjinjit Prada, LV ke sana sini macam Aryana tu.” Mastura terus menghasut.

“Setengah tahun punya gaji pun belum mampu Kak Mas.” Sarah menjawab polos.

“Jadi kau dah nampak kan. Sama ada kau nak percaya ke tidak cakap akak ni Sarah kau punya pasal. Tapi akak tetap rasa yang Yana tu belaan seseorang. Orang kaya mana entah yang spedo hidup dia. Akak rasa entah-entah dia kerja dekat sini nak cover line ajer.”

Sarah pandang muka Mastura yang tak ubah seperti makcik-makcik loser yang hanya tahu menjaga tepi kain orang lain. Jahatnya mulut kau ni kak! “Akak ni dari tadi tak habis-habis dengan akak rasa…akak rasa…akak rasa…” Sarah mengajuk. “Kalau akak nak tahu Sarah pun ada rasa jugak…” Sambung lagi.

“Kau rasa apa Sarah. Kau pun mesti rasa macam apa yang akak rasa kan…” Mastura berpuas hati kerana akhirnya dapat mempengaruhi Sarah.

“Akak nak tahu apa yang Sarah rasa?”

“Apa dia?”

“Sarah rasa macam telinga Sarah ni berdosa pulak mendengar Kak Mas sibuk menjoyah. Sudahlah kak, Sarah nak buat kerja.”

Sarah berlalu meninggalkan Mastura yang terpinga-pinga dengan kata-kata pedasnya itu. Memang kenalah gelaran Mastura Mercun Pop Pop yang Chef Mior bagi pada Kak Mastura. Dia kalau dah mula mencanang hal orang, bukan main meriah lagi. Mengata orang tahap tak ingat dosa pahala.



2 comments:

eija said...

mulut kak mas nie elok di toyoh ngn lada.. ssdap ati jer mfitnah org.. huh

Unknown said...

best sangat...cepat2 laa upload lg ya...:D