Friday, September 5, 2014

Yes Ma'am : Part 1 : Bab 10

Bab 10


Nadim menggeleng-gelengkan kepala sebaik sahaja Ilham menghabiskan ceritanya.

“Am…Am macam manalah kau boleh bagi mandat pada Aryana untuk control seluruh hidup kau.” Keluhnya seakan tidak percaya bagaimana seorang lelaki seperti Ilham begitu mudah dikawal oleh seorang perempuan bergelar isteri.

Ilham menjeling sekilas ke arah Nadim dihadapannya sebelum sudu yang berisi nasi putih bercampur dengan ikan pari di masukkan ke dalam mulutnya. Sebaik nasi selesai dikunyah dan ditelan, Ilham sambung bicara. “Control apa pulak. Ini semua pun berpunca daripada kau jugalah kan. Siapa suruh kau pandai-pandai bagi nombor telefon aku pada si Sherry tu.” Getusnya yang masih lagi geram dengan tindakan Nadim yang menjual nombor telefonnya kepada Sherry.

Serta merta Nadim ketawa kecil mendengar suara tidak puas hati Ilham itu. “Manalah aku tahu dia nak kacau kau malam-malam. Si Sherry ni pun satu, nak telefon orang tengoklah masa tu jugak.” Ujarnya seraya menyalahkan Sherry pula.

Ilham mencebek sebelum jus epal diteguk. Dia bersandar kekenyangan. Satu keluhan lemah keluar dari celah kerongkong. “Kalaulah aku tak ikut cakap kau yang suruh aku mengaku bujang depan Sherry tu, mesti aku masih lagi boleh pergi ke gym tu. Sebab idea bodoh kau tu, ma’am besar kat rumah aku tu mengamuk. Dah tak pasal-pasal aku kena mengayuh basikal bodoh dekat rumah aku tu balik untuk maintain aku punya fitness nih.” Tutur Ilham yang kesal kerana terlampau mengikut kata-kata Nadim. Memanglah seronok berlagak bujang dihadapan gadis-gadis cantik dan hot seperti Sherry dan teman-temannya tapi bila sekali rahsia dah bocor memang kena la dia dengan Aryana! Nasib baik juga semalam tu angin puting beliung Aryana tak masuk gelombang kedua selepas kes dengan Qistina beberapa hari lepas kalau tak sambung seminggu lagilah dia makan nasi bungkus.

Gelak Nadim semakin galak. Beberapa pasang mata di dalam restoran ini mula terarah kepada mereka yang duduk di bahagian luar restoran. Ilham dan Nadim sekadar buat tidak tahu dengan pandangan orang. Kebanyakkan pengunjung restoran ini pun adalah staff-staff Ilham yang memang sudah sedia maklum keadaan gamat jika Nadim dan Ilham bertemu. Tu belum masuk lagi kalau ada Harun dan Shuib. Selalunya jika mereka berempat duduk makan sekali, memang suasana akan menjadi havoc.

Tanpa menghiraukan Nadim yang masih lagi mahu mentertawakan dirinya Ilham bangun dan menuju ke kaunter bayaran. Selesai membayar harga makanan dan minuman dia berlalu keluar dari restoran untuk kembali ke pejabat.

“Tapi kau pun tak patut Am. Aku suruh kau tolong aku adjust Sherry tu untuk aku. Alih-alih si Sherry tu tertarik dengan kau pulak. Ilmu pengasih apa yang kau baca ni Am sampai aku yang dah lama usha dia pun dia boleh buat-buat tak nampak.” Ujar Nadim ketika menyaingi langkah Ilham.

Ilham tersengih. “Itu tandanya saham aku tak pernah turun walaupun ada anak dua.” Tuturnya bangga tanpa memandang muka Nadim di sebelah.

Giliran Nadim buat muka.

“Ilham!! Nadim!!”

Ilham dan Nadim sama-sama berpaling ke arah suara yang tiba-tiba menyapa mereka.

“Qistina.” Ujar mereka serentak.

“Teruk betul la awak berdua ni. Saya balik sini seorang pun tak mahu datang jumpa dengan saya.” Ujar Qistina.

Kata-kata yang keluar dari mulut Qistina itu membuatkan rahang Ilham dan Nadim serentak jatuh ke bawah.

“Ilham!! Nadim!! Apa hal nih?” Tegur Qistina sedikit kuat.

“Ehh…You cakap Bahasa Melayu penuh lah. Saya…Awak… Wah!!” Ujar Nadim sukar mempercayai bagaimana Qistina yang stok-stok urban, bertahun lama duduk di luar negara sekali balik sini masih pandai berbahasa Melayu. Sebelum terbang dulu pun, Bahasa Melayu bukanlah bahasa harian rasminya. Anak-anak VVIP la katakan. Tak English, tak urbanlah.

“You perli I yer…” Balas Qistina langsung buat muka. Niat nak terus berbahasa Melayu penuh terbantut seketika.

“Kami berdua kagum bukan perli.” Sampuk Ilham sebelum Qistina dan Nadim mula bertekak.

“Kagum?” Dahi Qistina berkerut.

“Mahu tak kagum. Sudahlah you cakap Bahasa Melayu lengkap dalam sebaris ayat lepas tu tengok nih… you pakai baju kurung. I don’t believe it yang berdiri depan I ni Qistina Zarra Tan Sri Burhanuddin.” Nadim ketawa mengejek.

Kecik besar kecik besar Qistina memandang Nadim. “Eh You ni dah kenapa ni Nadim. I lahir-lahir memang Melayu mestilah I boleh cakap Bahasa Melayu dan tahu pakai baju kurung.” Getus Qistina. “You tu!! Buaya!!!” Marah Qistina lagi.

“Eh… Apa kena mengena you yang boleh cakap Bahasa Melayu dengan I yang buaya.” Nadim tidak faham kaitan dua benda yang diutarakan oleh Qistina tadi.

Qistina menjeling tajam ke arah Nadim. Dia masih bengang dengan Nadim. Dari dulu dia memang bengang dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab macam Nadim.

“Eh..Sudahlah. Kau orang berdua ni memang tak boleh nak berjumpa kan, kalau berjumpa mulalah jadi anjing dengan kucing. Sudahlah dekat tengah-tengah jalan macam ni. Tak malu ker.” Ilham menegur mahu menyedarkan dua makhluk ini tentang lokasi tempat mereka berdiri sekarang ini.

Qistina memeluk tubuh. Wajah dipaling ke tepi.

Nadim jugak berbuat perkara yang sama.

Ilham ditengah-tengah sekadar menjuling mata ke atas. “Kiki bukan I dengan Nadim tak mahu jumpa you, tapi takut manalah tahu you bawak mamat coucasion balik sekali karang tak pasal-pasal kami lebam sana sini.” Ujar Ilham yang sememangnya tahu benar taste Qistina yang begitu inginkan lelaki berdarah Coucasion dari benua Eropah untuk dijadikan suami.

“Eh…Am… I dah tukar taste lah. I dah tak mahu lelaki-lelaki Coucasion ni semua. I nak cari lelaki Melayu. Lelaki Melayu terakhir. Sebab tu I balik Malaysia.” Tutur Qistina bersahaja.

“See… I memang dah agak dah. You berubah macam ni mesti sebab sesuatu. Memang sesuatu sangat!!” Sampuk Nadim.

Qistina jeling Nadim lagi. Bencinya dia pada Nadim buat dia rasa lelaki ini seolah-olah macam semak ajer apabila berada di antara dia dan Ilham. “So? Ada masalah ker.” Ujarnya sarkastik.

“Okey. Kalau korang nak sambung bertekak korang sambunglah. Aku nak naik atas. Sekejap lagi aku ada meeting yang nak kena attend. Assalamualaikum…” Ilham berlalu untuk memberi lebih laluan kepada Qistina dan Nadim terus bertikam lidah. Ilham memang tak faham kenapa Qistina begitu anti dengan Nadim sedangkan dahulu kami bertiga memang rapat.

“Ehh…Am…” Qistina memanggil Ilham yang sudah jauh berjalan. Panggilannya tidak bersahut. Dia kerling Nadim yang masih lagi di sini.

“Huhh!! Assalamualaikum!!” Ucapnya kepada Nadim sebelum dia turut sama pergi dari sini.

“Waalaikummusalam.” Nadim sekadar menjawab.





“Ehh… Mana Kiki. Kenapa kau tak ajak dia naik atas sekali.” Ilham menegur sebaik melihat wajah Nadim terpacul di muka pintu pejabatnya. Dokumen-dokumen untuk mesyuarat sekejap lagi dimasukkan ke dalam fail sebelum dia duduk bersandar mengadap Nadim yang sudah mengambil tempat di kerusi bertentangan dengannya.

“Dah balik.” Jawab Nadim mendatar. Sebatang pen ditarik keluar dari bekasnya. Dia pusing-pusing pen tersebut sambil kepala masih lagi memikir apa benda yang membuatkan Qistina tidak puas hati sangat dengannya sampai bertahun-tahun.

“Aku dah tahu dah perempuan yang macam mana yang sesuai dengan kau Dim.” Tutur Ilham sambil menyuring senyum pada Nadim yang kelihatan kusut.

Tangan Nadim berhenti dari terus memusingkan pen ditangan. “Qistina? Huhhh… Tak mahu aku.” Nadim menggeleng laju. “Kalau aku kahwin dengan dia, hidup aku lebih sengsara dari kau Am.” Sambung Nadim lagi jelas menunjukkan rasa takut yang amat sangat jika apa yang berada di dalam kepala Ilham itu benar-benar berlaku di dalam hidupnya.

“Kau jangan cakap Dim, biasanya kalau mula-mula benci lama-lama boleh bertukar sayang kau tahu.” Ilham terus menggiat. Selama ini asyik Nadim sahaja yang membahankannya, hari ini dapat peluang memang dia mahu balas habis-habisan.

“Kau pun dah terjebak dengan Yana jugak ker ni. Pengaruh drama Akasia sangat.” Nadim bersuara mendatar.

“Tapi kenapa yer Dim lepas ajer kau pergi oversea dia terus macam anti dengan kau? Aku sampai sekarang tertanya-tanya.” Soal Ilham mula serius. Dia ingin tahu jika ada benda-benda lain yang pernah terjadi antara Nadim dan Qistina tanpa pengetahuannya.

“Itulah yang aku pelik sangat tu. Aku sampai sekarang memang tak faham apa masalah dia dengan aku.” Balas Nadim.

“Ker dia pernah syok dekat kau tapi kau tak layan. Sentaplah tu kena reject!” Ilham membuat andaian.

Dahi Nadim berkerut memikirkan tentang peratusan kebenaran pada andaian yang dibuat Ilham. Perlahan kepala menggeleng menidakkan andaian itu. “Tak mungkinlah. Kau pun tahu kan aku ni bukan termasuk dalam senarai lelaki idaman dia. Sah-sah kau yang pernah reject dia pun elok ajer dia layan kau. Baik ajer.” Ujar Nadim.

Giliran dahi Ilham pula berkerut halus. “Betul jugak kata kau tu. Boleh sakit kepala kalau fikir ni.” Tutur Ilham sebelum bangun dari duduk. Fail mesyuarat dicapai.

“Eh… Kau nak ke mana nih.” Nadim menegur apabila melihat Ilham sudah bersiap-siap mahu keluar dari pejabat.

“Aku nak masuk meetinglah. Abah aku bukan macam bapak kau yang tak kisah bila masa kau nak datang kerja. Kalau kau nak terus lepak sini, kau lepaklah. Kalau kau nak apa-apa, mintak Kak Midah. Tak pun kau arah ajer Shuib.” Balas Ilham sebelum meninggalkan Nadim seorang diri di dalam pejabatnya.

Nadim berdecit. Ilham pun dah masuk meeting. Aku nak buat apa lagi dekat sini. Perlahan dia mengangkat punggung. Balik pejabat sendirilah!

Yes Ma'am : Part 1 : Bab 9

Bab 9


“Kau orang berdua ni kalau tak bergaduh agak tak berwarna warni kan rumah tangga. Akak pun tak faham. Agaknya memang hobi laki bini kut suka mencari pasal dan dipasalkan…”

Aryana mencemik mendengar bebelan kakak iparnya dihujung talian. Ingat apabila menghubungi Kak Amani kebarangkalian nak mendengar bebelan yang mencairkan tahi telinga boleh dikurangkan sedikit, tetapi nampaknya semua orang sudah bosan dengan drama rumahtangganya dengan Ilham yang dari dulu sampai sekarang ada sahaja perkara yang hendak digaduhkan.

“Kak Nani, masalahnya adik kesayangan Kak Nani tu over. Yana merajuk dua hari ajer kak. Dia merajuk sampai dah masuk hari ke lima ni kak. Apa cerita?”

“Ceritanya lain kali jangan nak main serkap jarang ajer. Siasat dulu. Kalau Kak Nani pun Kak Nani bengang kena tuduh macam tu. Ada ker kata Qistina Zara tu teringinkan suami Yana. Sah-sahlah Qistina, Ilham dengan Nadim tu berkawan sejak dari sekolah lagi.”

“Masa tu manalah Yana tahu. Dah bercakap dengan suami Yana daring semacam ajer. Mestilah dalam kepala Yana ni asyik fikir yang bukan-bukan.” Selar Aryana tidak mahu mengaku kesalahanya.

“Cubalah percaya suami tu sikit.”

“Alahh…Kak Nani cakap senanglah, tak jadi pada Kak Nani. Cer kalau ada perempuan yang lagi hot dari Kak Nani berBuchuk-Buchuk dengan Abang Arman, apa perasaan Kak Nani?” Aryana menguji.

Amani diam di hujung talian. Mencerna kata-kata Aryana.

“Hah…Diam tu. Mesti tak tahu nak jawab apa kan.” Tangkas Aryana menjawab sendiri bagi soalannya tadi. Tidak perlu berlagak sok suci mahu redha bila tengok ada perempuan lain yang lebih hot bermanja-manja dengan suami sendiri. Aryana mengakui, dia tipikal isteri-isteri yang akan cepat melenting dan mudah cemburu kalau dah ada perempuan gedik menyendeng pada suaminya.

“Eh Yana ni. Ni masalah Yana dengan Ilham tau. Dah kenapa pulak nak serkap Kak Nani macam tu.” Getus Amani geram apabila tidak semena-mena Aryana menarik dia juga ke dalam masalah rumahtangga mereka.

Aryana mencebek. Mulutnya kumat kamit, ,mengajuk kata-kata Kak Amani tanpa mengeluarkan suara.

“Eh Kak Nani. Okeylah. Abang Am dah balik tu. Nanti kita sambung okey. Assalamualaikum.” Aryana cepat-cepat mematikan panggilan apabila mendengar deruan enjin kereta Ilham telah memasuki ke ruang garaj rumah. Rambut dikemaskan. Kain batik yang dipakai dibetulkan kedudukannya.

“Eh…Abang dah balik.” Aryana menyambut dengan senyuman mesra, namun respond yang diterima agak mengecewakan apabila Ilham sekadar berlalu tanpa menghiraukan dia di muka pintu.

Aryana urut dada. Dia tahan sabar.

“Abang dah makan. Hari ni Yana masak lauk kegemaran abang tau.” Tutur Aryana tidak mahu mudah mengalah. Kali ini biarlah Aryana yang memujuk Ilham. Ada benar kata Kak Amani, Ilham merajuk sebab salah dia juga. Main tembak terus tanpa nak siasat betul-betul.

Ilham masih membatukan diri. Dia naik ke atas.

Aryana buat muka. Dia pujuk hati supaya bersabar lagi. Langkah Ilham diekori dari belakang.

“Merajuklah sangat. Bila time nak tidur pandai pulak datang dekat!” Getus Aryana dalam hati.

“Abang….” Meleret-leret suara Aryana memanggil Ilham yang masih batu.

Ilham kekal seperti tadi. Dia mahu tengok bagaimana kesungguhan Aryana mahu memujuk dia kembali. Sesekali isteri kena diajar.

Ilham tarik tuala dari penyangkut, tanpa ambil kisah Aryana yang tersengih-sengih sambil buat muka comel terus dia melilit tuala tersebut separas pinggang sebelum seluar track ditanggalkan.

Aryana mengetap bibir. Bukan main besar-besaran tunjuk perasaan Ilham mengalahkan dia pulak. Memandangkan anak-anak semua sudah dieksport ke rumah mama agar tak ada gangguan untuk makan malam istimewa dia dan Ilham malam ini, rasanya inilah masa yang sesuai untuk dia guna cara yang terakhir untuk memujuk Ilham.

Melihat Ilham yang masih bersifat jual mahal, bibir Aryana menguntum sengih nakal. Ketika suaminya itu mahu membuka pintu bilik mandi pantas dua belah tangan merangkul erat pinggang Ilham dari belakang.

Ilham yang terkejut dengan tindakan Aryana itu meninggikan suaranya. “Apa ni Yana?” Soal Ilham sambil berusaha melepaskan rangkulan Aryana yang sangat kemas itu.

“Tak mahu lepas. Selagi abang masih nak merajuk, Yana taknak lepas.” Ujar Aryana.

Ilham mengetap bibir. Dengan sekuat tenaga dia leraikan juga rangkulan tangan Aryana yang kemas itu. Ilham berpaling sambil bercekak pinggang melihat muka selamba Aryana yang tersengih-sengih.

“Jadi ini taktik last lah nak pujuk abang?” Soalnya.

“Tak. Ada satu lagi taktik.” Kening Aryana menari ronggeng.

Dahi Ilham berkerut.

Cupp!!

Satu ciuman hinggap di pipi kanan Ilham.

Mata Ilham terbeliak. Tangan kanan meraba pipi yang baru dicium oleh Aryana.

“Tak cukup? Merajuk lagi?” Soal Aryana bertalu.

Cupp!!

Satu lagi ciuman hinggap di pipi kiri Ilham pula.

Dua belah tangan Ilham meraba pipinya.

“Abang mandi pakai sabun wangi-wangi dulu ya.” Suara Ilham nakal menuturkan sebelum dia masuk ke dalam bilik air untuk mandi.



Sementara menanti Ilham siap mandi Aryana sibuk membetul-betulkan rambutnya. Malam ini tiada kain batik ataupun baju kelawar. Sengaja Aryana mengubah gaya sedikit. Baju tidur masa mula-mula kahwin dulu sudah tersarung pada badan. Ketat sikit tapi masih muat. Fikir Aryana apabila melihat penampilan diri yang seksi di hadapan cermin. Harap-harap janganlah benang pada baju tidur ini tetas… Fikir Aryana sambil ketawa kecil.

Bunyi telefon bimbit Ilham yang berdering membuatkan Aryana berhenti menilik diri di hadapan cermin. Telefon bimbit suaminya dicapai. Dahi Aryana berkerut melihat nombor yang tidak dikenali naik di skrin telefon bimbit. Jari menolak lembut pada touch skrin sebelum telefon dipekap ke telinga.

“Assalamualaikum. Hello…” Ujar Aryana.

“Hello…Abang Am ada.”

Mendengar suara manja lemak merdu dihujung talian membuatkan mata Aryana automatik membulat. “Abang Am? Siapa nih?” Aryana bersuara agak garang. Kurang senang apabila ada perempuan lain nak berabang-abang dengan Ilham.

“Sherry.”

“Sherry mana pulak nih.”

“Sherry cikgu tarian sebelah gym yang selalu Abang Am pergi tu lah. You ni siapa. Orang gaji dia ker?”

Mulut Aryana ternganga luas. “What? Orang gaji. You tahu tak hanya orang yang gatal ajer yang sibuk telefon suami orang malam-malam. I wife Ilham.” Tutur Aryana garang.

“Owhhh… I tak tahu Am dah ada isteri. Dia tak pernah cakap pun. Maaflah. Kalau I tahu dia suami orang I pun tak teringin nak layan.” Tutur Sherry tergagap-gagap.

“Sekarang dah tahu kan, jadi jangan lagi nak telefon suami orang. Dah tak ada orang bujang lain lagi ker yang datang ke gym tu.” Aryana mula berceramah namun belum sempat dia menambah point-point penting untuk mengajar perempuan gatal itu talian telah dimatikan.

“Teetttttttt……………..”

Aryana pandang telefon yang sudah tidak bernyawa. “Dia letak? Letak sebelum sempat aku habiskan ceramah aku ni?” Aryana bercakap dengan telefon di telapak tangan.

“Siapa telefon tu Yana.” Ilham yang baru keluar dari bilik air menyoal sebaik melihat telefon bimbitnya berada di tangan Aryana. Tanpa mengesyaki apa-apa Ilham tersengih-sengih gatal sambil membuat senaman regangan badan.

“Sherry.” Aryana menjawab sepatah.

Ilham telan air liur. Serta merta senaman regangannya terhenti. Dia menghampiri Aryana. “Sherry mana?” Soalnya pura-pura tidak mengenali Sherry yang dimaksudkan Aryana itu.

“Abang tak payah nak pura-pura suci buat tak kenal. Patutlah sekarang ni rajin sangat abang pergi gym. Rupanya kat atas gym tu ada kelas tarian.”

“Yana abang tak pernah layanlah si Shery tu. Ni mesti kerja si Nadim tu.” Balas Ilham. Kurang ajar betul Nadim nih. Berani-berani jual nombor telefon aku pada si Sherry. Ilham mencemuh Nadim dalam hati. Kalau malam ni dia kempunan, memang siaplah Nadim dikerjakannya.

Mata Aryana mencerun memandang wajah Ilham yang terkebil-kebil sambil buat muka innocent. “Betul Yana. Ni memang kerja si Nadim. Abang tak pernah bagi nombor telefon abang pada perempuan lain.” Tutur Ilham bersungguh-sungguh.

“Tapi abang mesti pernah melayan juga kan. Kalau tak, takkanlah dia confident ajer nak telefon abang. Siapa berabang-abang bagai.” Selar Aryana.

“Takkanlah abang tak layan. Nanti dikatanya abang sombong.” Tanpa sedar automatik mulut Ilham menuturkan membuatkan bagai kilat Aryana berpaling memandangnya.

“Ehh… Yana ni. Mana ada.” Balas Ilham tergagap-gagap.

“Tengok tu. Tergagap-gagap. Betullah kan. Abang memang suka pergi ke sana sebab nak luaskan coverage kan.” Aryana cuba mengasak.

Ilham terkebil-kebil tidak mampu menjawab.

“Abang ingat Abang, abang jangan berani nak buat perangai lama abang tu balik.” Balas Aryana bernada sedikit skeptical.

“Yana ni. Takkanlah abang ni nak buat perangai lagi. Abang ni dah tua Yana.” Tutur Ilham.

Aryana mencebek. “Kalau dah tau diri tu dah tua baguslah. Abang jangan main-main dengan Yana tau abang. Kalau Yana dapat tau abang ada hubungan tak kiralah dengan Sherry ker Merry ker drebar lorry ker, siap abang Yana kerjakan.” Aryana bernada mengugut.

Ilham telan air liur. “Ya Allah Yana…. Takkan lah sampai macam tu sekali. Abang tak buatlah kerja-kerja tu semua. Abang dah pencen.” Balas Ilham.

Aryana sekadar menjeling tajam. Yer sangatlah tu dah pencen.

“Naa…Na…Yana percayakan abang kan…” Ilham memujuk. Aryana masih lagi tunjuk muka masam.

“Naa…Cepatlah Na. Abang dah wangi nih.” Suara nakal Ilham yang berbisik di tepi telinga membuatkan Aryana tergelak kecil.

“Ngee..Gatal.” Tangannya mengepit lengan Ilham.

Ilham mengaduh.

“Tunggu kejap. Nak tukar baju.” Balas Aryana seraya menarik baju kelawar yang dipakainya tadi dari penyangkut.

“Eh…Okey dah nih Yana.” Ilham menahan.

“Tak okey. Yana geli.” Balas Aryana ringkas sebelum cepat-cepat masuk ke dalam bilik mandi untuk menukar pakaian. Tadi tengah bengang-bengang dia dapat rasakan benang baju tidur seksi ini ada yang tertetas. Haih… Dari haru nanti lebih baiklah dia tukar ke baju kelawar balik.

Sebaik sahaja Aryana masuk ke dalam bilik air terus tangan mengurut dada dan melepaskan nafas lega.

“Huhh…Selamat..” Tutur Ilham perlahan.

“Abang jangan nak selamat sangat. Next time abang jangan lagi pergi gym dekat situ. Kalau nak bersenam, senam ajer dekat rumah.”

Mata Ilham terbeliak mendengar suara Aryan berteriak dari dalam bilik air.

“Haihh..Dasyat juga telinga bini aku ni.” Bisiknya sendiri. Bola mata juling ke atas.

Ilham mengajuk cakap Aryana yang memberi arahan berkuat kuasa serta merta itu.

“Yess ma’am!!!” Sengaja dia menjerit kuat biar satu rumah dengar. Huh!!









Yes Ma'am : Part 1 : Bab 8

Bab 8


Ilham mengetuk-ngetuk meja restoran sementara menanti pesanannya tiba. Sudah masuk hari ke lima dia makan di luar. Sekarang, bukan Aryana yang mogok tak nak masak, tapi dia sengaja nak tunjuk perasaan tak mahu menjamah masakan Aryana. Biar Aryana tahu, yang bukan Aryana ajer yang tahu macam mana nak lancar mogok, dia pun boleh.

“Ehhh…Bos. Makan sorang ajer ker. Aryana dengan anak-anak tak ikut sekali ker?” Tegur Harun yang kebetulan singgah ke restoran Seri Maju untuk membungkus kuewtiaw goreng untuk Leha.

“Aku sorang ajer. Dari pejabat. Singgah sini sekejap, isi perut.” Tutur Ilham malas. Nescafe ais disedut.

Dahi Harun berkerut. “Ehh… Aryana tak masak ker?” Soalnya.

“Masak……” Ilham menjawab malas.

“Habis tu?” Soal Harun lagi.

“Aku saja tunjuk perasaan. Cemburu sampai naik lemas aku jadinya.” Tutur Ilham.

Harun hanya senyum segaris. “Owwhhh….Tengah gaduh lah nih.” Dia sengaja menyoal.

“Yerlah. Gaduhlah. Apa lagi. Aku dengan Yana dalam sebulan kalau tak perang kan tak sah.” Balas Ilham geram.

Harun ketawa mendengar omelan Ilham. “Bos, bos kalau tengah bergaduh dengan Yana, tidur asing ker tidur sekali jugak bos.” Harun berbisik sedikit.

Soalan nakal Harun itu membuatkan Ilham ketawa. Telunjuknya menari memberi isyarat agar Harun datang dekat kepadanya.

“Aku ni Run ikut petua kau. Tiap-tiap malam, malam Jumaat.” Ilham berbisik sambil ketawa mengekek.

“Propa ajerlah mogok bos tu.” Balas Harun yang turut sama ketawa mengekek.

“Aku mogok makan dekat rumah ajer. Yang lain takkan aku nak mogok jugak. Rugilah aku Run.” Balas Ilham terus mengekek ketawa.

“Bos…Bos…” Harun menggeleng kepala. “Habis sampai bila nak makan dekat luar.” Harun menyoal.

“Tengoklah. Kalau lagi dua hari Yana tak pujuk aku, aku surrendar la. Tak lalu dah aku makan makanan kedai.” Ilham menggumam.

“Nasi pataya bang.” Adik pelayan datang membawa nasi pataya yang dipesan oleh Ilham.

“Terima kasih.” Ucap Ilham.

“Eh..Kau tak makan ker Run.” Ilham berkata acuh tak acuh ketika mahu menyuap nasi goreng pattaya ke dalam mulut.

“Boleh ker bos?” Tersengih-sengih Harun bertanya.

“Order ajerlah Run. Aku bayar. Dengan Leha punya pun nanti aku bayarkan. Apa ada hal. Aku bos kan!” Balas Ilham, tidak kisah.

Sengih Harun melebar sebelum berteriak memanggil adik pelayan.

“Adik!!”





Yes Ma'am : Part 1 : Bab 7

Bab 7


Sudah dua hari Aryana mogok tak mahu masak. Dia masih geram pada Ilham yang sanggup melayan berborak dengan Qistina di dalam telefon hari itu. Bukan main mesra butir bicara mereka berdua. Lagi bertambah bengang adalah apabila Qistina seperti tidak bersalah sahaja bercakap dengan Ilham menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Assalamualaikum.”

Aryana sengaja buat-buat tidak dengar tetapi salam Ilham itu tetap dia jawab dalam hati. Kalau tak jawab karang berdosa pulak. Tanpa mempedulikan Ilham yang datang menghampiri ke arahnya, Aryana buat-buat sibuk melayan Adib dan Adalia makan pizza yang baru dihantar oleh budak penghantar pizza tadi.

Berkerut kening Ilham melihat menu makan malam mereka sekeluarga hari ini adalah pizza lagi. Dia melabuhkan punggung ke atas sofa. Tali leher yang menjerut tengkuk dilonggarkan.

“Malam ni makan pizza ajer ker?” Soal Ilham. Tangannya mencapai sekeping pizza Beef Pepperoni dari dalam kotak.

“Mummy kata mummy tak ada mood nak masak. Jadi kita makan pizza ajerlah.”

Mata Aryana membuntang mendengar jawapan lancar yang keluar dari mulut Adib itu. Adib mengangkat bahu. Dia paksa bibir menyuring sengih walaupun mulut penuh dengan pizza.

Ngeee…Adib ni kan. Tak boleh nak diajak bersekongkol betul. Tadi beria-ia berjanji, jika abah tanya kenapa makan pizza lagi, kena jawab Adib yang nak makan pizza. Bukan jawab sebab mummy tak ada mood nak masak. Kan dah nampak sangat sekarang ni yang mummy tengah tunjuk perasaan! Ngomel Aryana dalam hati.

Aryana angkat punggung apabila melihat Ilham melirik ke arahnya. Dia berlalu menuju ke dapur.

“Yana ni kenapa. Tak sihat?” Ilham bertanya lembut. Dia menunduk sedikit mencari wajah mencuka Aryana.

Aryana angkat wajah sedikit untuk melihat muka Ilham. Lemah lah pulak bila mendengar suara lembut Ilham itu. Kalau boleh tengah-tengah angin tak berapa nak betul, Aryana malas nak bercakap tentang hal Qistina. Buat tercetus perang dunia ketiga ajer nanti dalam rumah ni. Setakat tunjuk perasaan rasanya okey-okey sahaja.

“Yana tak sihat ker?” Ilham menyoal penuh prihatin apabila Aryana masih tidak menunjukkan respon.

Aryana tepis perlahan belakang telapak tangan Ilham yang baru mendarat ke dahinya.

Dia beralih ke cabinet dapur lalu berpura-pura mengelap cabinet yang sudah sedia berkilat.

“Yana ni kenapa. Abang tengok sejak balik ajer dari majlis Puan Seri Mariam hari tu, muka moody semacam ajer. Bila abang tanya kenapa, Yana diam.” Nada Ilham tinggi menyoal. Suaranya sedikit tegas apabila Aryana masih lagi bersikap dingin. Sudah dua hari Aryana begini. Hati suami mana yang tak dipagut rasa risau apabila si isteri yang selalunya banyak mulut tiba-tiba menjadi pendiam pula.

Aryana tersentak apabila suara Ilham naik begitu. Serta merta tangannya berhenti dari mengelap cabinet dapur.

Baru dia hendak menjawab, dia lihat Adib dengan selamba masuk ke dapur. Aryana kunci mulut. Sejak dari dulu lagi, jika ada perselisihan pendapat, atau ada yang tidak puas hati dalam rumahtangga, Aryana dan Ilham tidak pernah sama sekali membahaskan depan anak-anak. Aryana tidak mahu emosi kanak-kanak sebesar Adib dan Adalia terganggu apabila melihat ibu dan ayah mereka bertengkar.

Aryana dan Ilham sama-sama melihat Adib membasuh tangan di singki selepas makan.

“Mummy dah kenyang. Nak main game boleh.” Adib meminta kebenaran.

Aryana jeling Ilham dihadapannya. Kepalanya mengangguk.

“Okey. Bawak Baby naik atas sekali.” Tutur Aryana lembut.

“Yess Mummy!” Adib tabik hormat sebelum beredar meninggalkan ibu dan abahnya.

Sebaik sahaja melihat Adib dan Adalia sudah naik ke ruang tamu tingkat atas, Ilham dekatkan dirinya dengan Aryana. Kedua belah bahu Aryana dipegang. “Cakap dengan abang, apa yang buat Yana emosi dua hari ni sampai mogok tak mahu masak. Tau tak abang jemu makan pizza hari-hari.” Suara Ilham mengendur. Lembut dia menuturkan satu persatu patah perkataan yang keluar dari mulutnya.

Aryana berdecit. Ilham memang bijak mencantas rasa kurang senang yang sedang bercambah dalam hatinya. “Tak ada apa-apalah.” Balas Aryana. Dia menyambung kembali mengelap cabinet dapur.

“See…” Tidak semena-mena suara Ilham naik semula. Dia pening. “Tak ada apa-apa. Tapi…”

Tangan Aryana berhenti dari terus berpura-pura mengelap cabinet. Dia berpaling ke arah Ilham. “Abang tu lah.” Aryana pantas memotong.

“Abang pulak. Apa salah abang.” Balas Ilham yang tidak faham jika angin tak baik Aryana ini ada kena mengena dengan dia. Bila masa pula dia melakukan kesalahan.

“Ermm..A..” Aryana teragak-agak mahu meluahkannya tapi apabila melihat muka kerek Ilham yang bajet-bajet macam tak bersalah itu buatkan dia semangat nak menjawab.

“Abang tulah. Bercakap dengan Qistina bukan main mesra lagi.” Akhirnya terluah jua apa yang terbuku di dalam hati sejak dua hari lepas. Aryana berpeluk tubuh. Pandangannya dilemparkan ke arah lain. Dia curi-curi pandang Ilham. Ya Allah. Geramnya. Ilham boleh buat muka blur!

Ilham garu kepala yang tidak gatal. “Laa…Bukan masa abang bercakap dengan Kiki tu Yana ada sekali ker. Takkan itu pun nak cemburu.” Balas Ilham yang merasakan cemburu Aryana itu adalah sesuatu yang tidak relevan. Bukannya dia bermanja-manja dengan Qistina di belakang Aryana. Sah-sah semasa dia berborak dengan Qistina di dalam telefon hari itu Aryana pun ada sekali memandangkan telefon yang digunakan oleh Qistina waktu itu adalah telefon bimbit milik Aryana.

“Abang, mana-mana isteri pun akan cemburu tau bila tengok bukan main manja lagi perempuan macam Qistina tu bercakap dengan suami mereka.” Selar Aryana pula.

“Kan masa tu Yana pun ada sekali dengan Kiki, kenapa Yana tak sound ajer dia supaya jangan bercakap dengan abang macam tu.” Ilham berkata mudah. Orang perempuan suka merumitkan keadaan. Kalau sudah tidak suka, tegur sahajalah Qistina waktu itu juga. Habis cerita, tak perlulah sampai nak kena buat mogok malas masak sampai dua hari baru nak luah perasaan tak puas hati.

“Macam mana nak sound, Yana dekat rumah dia.” Aryana menggetus geram.

“Yana ni cemburu sangatlah. Abang dengan Kiki tu kawan lama. Takkan nak bersembang dengan kawan lama pun tak boleh.” Balas Ilham yang sudah mula bosan mahu melayan sikap cemburu melampau Aryana itu.

Tubir mata Aryana terasa panas. Aryana tahan air mata sedaya mungkin agar ia tidak jatuh mengalir dihadapan Ilham. “Kalau abang tahu Yana ni jenis cepat cemburu, abang patut lebih sensitif dengan perasaan Yana. Yana tahulah Yana tak sehebat dia. Tapi Yana isteri abang. Yana cemburu sebab Yana sayang abang.” Lirih Aryana bersuara.

Ilham terdiam. Dia kaget apabila melihat manik halus mula mengalir dari tubir mata Aryana. Inilah perempuan. Semedang menggunakan taktik air mata untuk melemahkan jiwa lelakinya.

Ilham bawa Aryana ke dalam pelukannya. Tepi bahu Aryana ditepuk-tepuk perlahan. “Yerlah. Yerlah. Kalau abang salah sebab layan Kiki melebih-lebih sampai buat Yana sentap abang minta maaf. Lain kali abang dah tak layan dah Kiki tu.” Ilham memujuk.

Aryana menolak perlahan dada bidang Ilham. Dia mencemik bibir. “Yerlah abang tu. Tak layan konon.” Sinis dia berkata.

Kening Ilham terangkat sebelah.

“Lagi satu, hapak sangat ker bau badan abang dulu sampai Qistina panggil abang Buchuk. Nak termuntah tahu tak!” Sedas Aryana.

“Yana…Ngeee…Yana ni kalau bercakap ikut sedap mulut Yana ajer kan. Sudahlah. Tak ada mood nak pujuk Yana dah. Abang balik penat ingat dapatlah makan masakan isteri yang sedap-sedap. Abang nak keluar. Duduk rumah ni pun berserabut kepala asyik dengar Yana membebel ajer.” Hambur Ilham satu nafas seraya terus meninggalkan Aryana termangu seorang diri di dapur.

“Abang!!” Aryana menjerit dari muka pintu apabila melihat kereta Ilham sudah meluncur laju meninggalkan parkir rumah.

Ishhh… Keluhnya lemah. Ingat nak test ajer kesabaran Ilham tadi. Nak tengok semangat Ilham memujuk sama ker tidak macam masa bercinta dulu. Rupanya nan hado!











Yes Ma'am : Part 1 : Bab 6

Bab 6


“Ni Yana kalau ke rumah Puan Seri Mariam tu, ke rumah Puan Seri Mariam jer. Jangan pulak lepas tu melencong ke tempat lain. Shoppinglah. Spalah. Yana macam tak tahu anak-anak Yana ni, bukan boleh duduk lama dengan abah mereka. Nak Yana jugak.” Pesan Ilham ketika menghantar Aryana ke kereta.

Aryana sekadar mencebek. “Alah abang ni, sesekali cubalah spent time dengan anak-anak. Asyik spent time dengan kawan-kawan jer. Anak-anak abang tu nak juga bermanja dengan abah diorang.” Becok mulut Aryana membebel cuba memulangkan paku buah keras kepada Ilham.

Ilham buka pintu pemandu untuk Aryana. “Yana ni kan apa jer yang abang cakap ada jer modal nak membidas kan!” Gerutu Ilham sambil tayang muka tak puas hati.

Aryana tergelak kecil. “Olololo…Sentaplah tu.” Tuturnya sambil jari mencubit geram pipi kanan Ilham. “Bukan bidas, betul lah apa yang Yana cakap. Abang Isnin sampai Jumaat sibuk dekat pejabat. Balik lewat. Lepas tu hari-hari cuti sibuk dengan Nadimlah, dengan Abang Harunlah……”

“Yerlah…Yerlah… Yes Ma’am. Yana ajerlah yang betul.” Ilham pantas memotong sebelum bebelan Aryana menjadi makin berjela-jela.

Aryana tergelak lagi.

“Ketawa pulak. Pergilah cepat. Nanti lama mama tunggu.” Tutur Ilham. Tangan nakalnya cuba menolak Aryana masuk ke dalam kereta.

“Abang tolak Yana.” Tutur Aryana yang hampir terjatuh.

Giliran Ilham pula ketawa. Seronoknya dapat bergurau senda dengan isteri tersayang. Selain daripada gaduh-gaduh manja, bergurau senda begini pun dapat mengeratkan perhubungan suami isteri. Barulah warna warni alam rumahtangga.

“Abang suruh Yana pergi cepat. Nanti kalau lambat, kene bebel dengan Datin Rokiah Kamsan, abang tak boleh nak tolong.” Tutur Ilham yang masih ketawa.

Aryana mencebek. Seketika bibirnya menyuring sengeh bila dia rasakan apa yang dikatakan oleh Ilham ada benarnya. “Yerlah. Abang jaga rumah. Jangan buat sepah-sepah.” Sempat Aryana berpesan.

“Iya. Abang tahulah.” Ilham sekadar menjawab.

Aryana raih tangan kanan Ilham untuk bersalaman. “Yana pergi dulu. Assalamuaikum.” Tutur Aryana sebelum memboloskan diri ke dalam keretanya.

Ilham melambai-lambai apabila kereta Aryana perlahan-lahan mengundur ke belakang sebelum kereta isterinya itu terus meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan mereka.

“Mummy!!!!”

Ilham mengeluh panjang apabila mendengar jeritan Adalia yang baru bangun tidur di depan pintu rumah. Belum sampai lima minit Aryana hilang, Adalia dah menangis jerit-jerit kerana mahukan mummynya. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Tekanan perasaan ni nak memikir cara terbaik untuk memujuk Adalia agar berhenti dari menangis. Tiba-tiba mentol di dalam kepala menyala. Mc Donalds!!



Ilham melihat muka boring Adib diselang seli dengan keletah gembira Adalia yang sedang bermain papan gelungsur di dalam restoran McDonald Seksyen 7 ini. Sudah hampir dua jam mereka anak beranak berkampung di dalam restoran ini. Dua kali dia memesan nugget dan air untuk anak-anaknya selepas mereka habis makan fillet o fish ketika baru sampai tadi.

Ketika Adalia menangis mahukan Aryana tadi, Ilham hanya terfikir untuk memujuk dengan cara membawa anak-anaknya ke Mc Donalds sahaja. Idea tersebut dirasakan berkesan untuk Adalia yang kelihatan sedang gembira bermain dengan kawan-kawan yang baru dikenali tetapi tidak pada Adib rupanya.

“Abah, bila nak balik nih….” Adib tolak Ipad yang sudah kehabisan bateri. Kepala diletak malas di atas meja. Tangan pula bermain-main dengan straw di dalam gelas kertas yang cuma hanya berisi ais batu yang hampir mencair keseluruhannya.

“Duduk dululah. Baby tengah main tu. Kalau balik awal-awal pun nak buat apa. Lagi boring. Mummy tak ada. Apa kata Adib pergi main dengan Baby dekat sana tu.” Ilham menjawab seterusnya memberi cadangan untuk mengurangkan rasa bosan Adib itu.

Dahi Adib berkerut seraya mata mengerling ke arah papan gelongsor yang dimonopoli budak-budak sebaya Adalia. “Boringlah abah. Takkan Adib nak main mainan tu semua. Malulah Adib.” Tutur Adib lemah.

Ilham pandang muka tak berperasaan Adib itu. Automatik dia tersengih sendiri apabila mendengar kata-kata Adib tadi. Adib sudah berumur sepuluh tahun. Takkanlah nak main panjat-panjat macam Adalia. Tak macholah!!

“Abah jomlah balik…” Adib separa merayu. Mulutnya yang sudah menguap luas ditutup dengan telapak tangan.

Ilham keluar telefon bimbit dari dalam kocek seluar. “Sekejap abah telefon mummy. Lambat lagi ker mummy balik.” Ujar Ilham. Jari menari di atas touch skrin Iphone 5 mencari nombor telefon Aryana. Tiga kali Ilham cuba menghubungi Aryana tetapi panggilannya itu ditolak. Ilham mengeluh lemah. Katanya tak sukalah…malaslah…boringlah…tapi bila keluar dengan mama sampai nak jawab telefon pun tak sempat. Ngomel Ilham ketika menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar.

“Abah jom balik!!”

Ilham kalih pandang pada Adalia yang sudah tercungap-cungap kepenatan. Kawasan papan gelongsor yang tadinya dimonopoli oleh Adalia dan teman yang barunya sudah pun dimonopoli oleh puak lain pula.

“Nak balik dah? Baby tak mahu main lagi ker?” Ilham sekadar menyoal.

Adalia menggeleng laju. “Kawan Baby dah balik. Jadi Baby nak baliklah. Nanti kasihan mummy tengok kita tak ada dekat rumah.” Petah Adalia berkata-kata sebelum air Milo yang masih bersisa di dalam gelas kertasnya disedut untuk menghilangkan lelah setelah penat bermain.

Ilham ketawa kecil.

“Okeylah jom!!” Balas Ilham. “Adib!! Ya Allah budak ni sampai tertidur dekat sini. Adib bangun. Jom. Jom. Balik. Tidur dekat rumah. Adib ni buat abah malu ajerlah. Macam rumah tak cukup besar sampai nak tidur dekat McDonald pulak dah dia.” Ilham membebel semasa mengejutkan Adib yang sudah tertidur. Bebelism yang berlaku membuatkan mata-mata pengunjung restoran ini terarah kepada dia anak beranak. Ilham buat tidak tahu. Takkanlah dia nak dukung Adib yang sudah besar begini. Ilham terus mengejutkan Adib sehingga Adib terjaga dan boleh berjalan sampai ke kereta.





“Hai….”

Aryana berpaling sekilas mencari empunya suara yang menegurnya.

Dahi Aryana berkerut. Sejak tadi dia perasan anak gadis Puan Seri Mariam ini tidak habis-habis memerhati dirinya sehingga Aryana jadi segan. Aryana terasa seperti penampilannya agak janggal untuk majlis minum petang seperti ini. Eksotik sangat ker wajah kampung dia sehinggakan blouse Zara serta tote bag dari Micheal Kors ini nampak tiada aura untuk menyerlahkan penampilannya sehingga diperhatikan atas bawah macam gaya orang tak puas hati.

“Hai…” Aryana sekadar berbahasa.

“You must be Aryana. Isteri Ilham.” Bijak si gadis tinggi lampai ini meneka.

Aryana terpana apabila Qistina mengenali dirinya sedangkan mereka berdua langsung tidak sempat berkenalan tadi. Sebaik sahaja Aryana dan mama sampai majlis telah pun bermula. Aryana hanya diberitahu oleh mama, nama anak gadis Puan Seri Mariam ini adalah Qistina. Setakat itu sahaja dia mengenali gadis tinggi lampai yang pada kiraan Aryana mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 9 inci, mempunyai susuk tubuh 34-24-34, kulit putih gebu, rambut ikal mayang. Memang edisi supermodel Qistina Zaara Tan Sri Ridzuan Hashim ini.

“Ya Saya Aryana. Isteri Ilham. Mana awak tahu saya isteri Ilham.” Aryana menyoal terus.

“Sejak dari you sampai tadi you asyik berkepit ajer dengan Auntie Kiah. Mestilah you menantu dia walaupun mula-mula I ingatkan you pembantu peribadi Datin Rokiah Kamsan.” Balas Qistina sambil menekup mulut menahan tawa.

Air muka Aryana sedikit berubah riak apabila mendengar kata-kata Qistina itu seperti memerlinya. Jika Aryana jenis yang murah perangai, mahu sahaja Aryana bidas kata-kata Qistina itu sambil menunjuk label original Zara dan Micheal Kors yang dia sedang jinjit ini. Excuse me, kalau setakat pembantu peribadi sahaja mampukah memakai designer branded sebegini melainkan jika ada skandal dengan bos sendiri sahaja!. Aryana ajar diri untuk bersabar. Dugaan apabila dia terpaksa bersosial dengan golongan sebegini.

“Dah lama kahwin.” Qistina menyoal lagi.

“Alhamdulillah. Dah masuk sepuluh tahun. Dah ada dua orang anak pun.” Aryana sekadar menjawab.

“Mesti anak-anak you cute kan. Maklumlah Am pun boleh tahan juga orangnya.”

Aryana buat muka. Sorry ek. Adib dan Adalia cute sebab diorang mewarisi wajah mummy mereka yang cute ini.

“Hah…” Aryana mengangguk perlahan. Dia lihat setiap kali Qistina menyebut nama Ilham, pasti wajahnya berseri-seri. Aryana kenal semua teman-teman wanita Ilham dahulu, tetapi tentang Qistina Zara dia langsung tak kenal. Ilham pun tak pernah bercerita tentang kewujudan Qistina. Mustahil sebelum ini mereka pernah berpacaran. Aryana cuba menolak rasa-rasa syak yang mula bercambah sedikit.

“Awak kenal ker dengan Ilham.” Aryana bertanya.

“Takkanlah I tak kenal. I dengan Am kawan dah lama.” Balas Qistina.

“Owwhh…. Okey.” Aryana mengangguk-angguk. Owhhh……Teman tapi mesra. Ishh… Aryana menyampah betul kalau hatinya mengapi-api tentang kepercayaan dia pada Ilham.

Perbualan Aryana dan Qistina terhenti sebentar apabila telefon bimbit Aryana berbunyi lagi. Aryana lihat Ilham menelefonnya lagi. Kalau Aryana yang bersosial kemain empat lima enam kali telefon suruh balik… Aryana mengomel di dalam hati. “Ehh…Sekejap telefon I berbunyi pulak.” Aryana meminta izin dari Qistina untuk beredar jauh sedikit sebelum menjawab panggilan dari Ilham.

“Hello… Abang, yer sekejap lagi Yana balik. Mama tengah bersembang tu….” Ujar Aryana laju seperti sudah dapat mengangak apa yang ingin Ilham kata.

Aryana berpaling apabila bahunya dicuit dari belakang.

“Ilham??” Suara Qistina sedikit berbisik kepada Aryana .

“Haaa…” Aryana mengangguk pelik apabila melihat senyuman Qistina yang kian melebar dan dia terus tergamam apabila dengan selamba Qistina merampas telefon bimbit dari tangannya.

“Hello Buchuk….”

Buchuk??!!!!!! Aryana jerit dalam hati.







Thursday, September 4, 2014

URUSAN HATI BAB 1

Bab 1


Dia tak pasti, senyuman yang sedang terukir di bibir kala ini senyuman bangga atau pun sekadar menghiasi riak wajah agar rasa sebenar yang terbuku dalam hati tiada mata yang nampak. Dia terus melihat dari bawah, pasangan pengantin baru itu bersanding di atas pelamin nan indah. Bahagia sungguh mereka.

Syazlin mengeluh lagi.

“Lin, terima kasih sebab jadi kawan aku yang terbaik. Kalau bukan sebab kau, aku tak mungkin akan dapat kenal isteri aku sekarang.” Ujar Faris seraya tangan merangkul kemas pinggang isterinya itu.

Syazlin paksa bibir untuk menyuring senyum apabila mendengar kata-kata Faris itu. Kerana dia, cinta mereka bersatu. Kerana untuk cinta mereka, dia rela cintanya berkubur begitu sahaja tanpa sempat diucapkan melalui patah kata. Aduhai Syazlin…..

“Tahniah ya. Aku doakan korang berdua akan bahagia sampai akhir hayat.” Ucap Syazlin. Hancur berkecai macam mana pun hatinya kala ini, biarlah. Tidak tega pula dia mahu mendoakan yang buruk-buruk buat pasangan yang baru sahaja menggalas gelaran baru itu. Faris sahabat dia. Farissa juga.

Tidak mengapalah Syazlin, dalam dunia ni bukan hanya ada Faris. Fahrin Ahmad masih solo. Remy Ishak juga masih single. Setiap kali hatinya walang, begitulah dia cuba menasihati diri sendiri agar semangat untuk jatuh cinta itu jangan mati. Ahh… Bijak betul ayat kala mahu berdiplomasi dengan hati. Elelele… Taste langsung tidak mahu kalah. Fahrin Ahmad dan Remy Ishak, kau mampu?!

Selepas Faris dan Farissa selamat diijabkabul, Syazlin tahu yang kisahnya dan Faris sudah bertemu titik penghujung. Dia perlu pasang tekad untuk buang Faris dari dalam hati. Dia ada prinsip yang dia tidak akan sesekali merampas hak orang lain. Apa kelas caras-caras suami orang!

Teruskan hidup Lin. Bukan Faris seorang sahaja lelaki di dalam dunia!

URUSAN HATI BAB 2

Bab 2


Syazlin bangun tidur dengan perasaan yang senang dan berlapang dada. Terasa segar apabila dapat tidur secukupnya. Mata mengerling pada jam loceng di atas meja sisi katil. Sudah pukul 6.30 pagi. Syazlin terus bangun dari baring. Tuala pada penyangkut dicapai sebelum meloloskan diri di dalam bilik air. Subuh-subuh yang sejuk begini dia cuma nak gosok gigi dan cuci muka sahaja sebelum mengambil wuduk untuk bersolat subuh. Lagipun hari ni cuti. Tak bestlah mandi awal-awal.

Selepas bersolat Subuh, dia rebahkan kembali badan ke atas tilam empuk. Sedapnya kalau dapat menyambung tidur kembali. Fikir Syazlin. Dia ingkar nasihat mama yang melarangnya tidur selepas solat Subuh. Kata mama, rezeki tak masuk. Tak kisahlah. Mata masih mengantuk. Malam tadi dia balik ke rumah hampir pukul 2.00 pagi selepas menghantar Faris dan Farissa ke KLIA. Selepas hampir dua bulan berkahwin, pasangan pengantin baru itu mahu berbulan madu ke seluruh Eropah.

Syazlin sudah lama terima kenyataan yang dia dan Faris tidak ada jodoh. Berurusan dengan hati tidak susah. Apatah lagi untuk mengajar hati menerima takdir tuhan. Dia cuma perlu positif sahaja. Bak kata Kak Husna, buang jauh-jauh aura negatif yang membelenggu diri. Faris dan Farissa pun bukan orang lain. Sahabat dia juga. Mungkin Faris sememangnya hanya ditakdirkan untuk menjadi sahabat dia sahaja. Sahabat sampai bila-bila.

Dia masih ingat lagi bagaimana hatinya ini bagai dicarik-carik apabila mendapat tahu Faris dan Farissa menjalinkan hubungan perasaan tanpa pengetahuan dia. Masa tu juga dia rasa menyesal gila kerana memperkenalkan Farissa kepada Faris. Dengan hanya pertemuan pertama, Faris telah meletakkan Farissa di tempat paling istimewa dalam hatinya, sedangkan dia sudah mengenali Faris sejak dia berusia tujuh tahun lagi. Faris tak pernah tahu yang Syazlin dah usha Faris sejak dari darjah satu. Serius. Syazlin suka Faris sejak dia darjah satu!

Sudah tertulis di Luth Mahfuz jodoh Faris dengan Farissa. Tengok. Nama mereka pun dekat-dekat. Faris-Farissa. Walaupun jauh di sudut hati ini ada sedikit perasaan yang terbuku, namun Syazlin tetap juga gembira apabila Faris dan Farissa selamat disatukan sebagai suami isteri. Sebagai seorang yang bergelar sahabat, dia restu hubungan mereka berdua. Lagipun, dia orang yang bertanggungjawab menyatukan dua hati itu. Alah…. Tak ada undang-undang dalam dunia ni apabila kita suka dekat orang tu, orang tu wajib suka pada kita semula. Tak ada.

Nasib baiklah selama bersahabat dengan Faris, Faris tak pernah tahu yang dia ada menyimpan perasaan pada lelaki itu. Farissa pun tidak pernah tahu tentang hal itu. Syazlin hanya mampu suka Faris dalam diam. Tidak mengapalah duhai hati, kalau bukan dengan Faris pun, pasti ada lelaki lain yang telah Allah ciptakan untuk dia, Nurul Syazlin Abdul Rahman. Manusia memang diciptakan berpasang-pasangan. Tulang rusuk kiri ini pasti ada pemiliknya. Cehwahhh!!!

Bunyi telefon bimbit yang tiba-tiba berdering buat Syazlin tersentak. Dia pandang ke skrin telefon bimbit. Kak Husna. Kacau sangatlah Kak Husna ni. Orang baru nak melankolik-melankolik Cik Kak sorang ni datang menganggu pula. Desis Syazlin sebelum jari melarik lembut pada skrin sentuh Note 3 di tangan.

“Assalamualaikum.” Syazlin memberi salam dengan suara yang malas.

“Waalaikumusalam. Eh… Baru bangun tidur Lin?” Husna bertanya.

Syazlin berdehem. Membetulkan kotak suara. “Mana ada. Tadi dah bangun, solat semua. Ni nak sambung tidur balik.” Ujar Syazlin malas.

“Hai…Sejak bila pulak Lin pandai ingkar nasihat mama ni. Setahu Kak Na la, Lin ni bukan jenis suka tidur lepas bangun subuh.” Ujar Husna.

“Lin mengantuk. Semalam balik lewat la. Hantar Faris dengan Farissa ke KLIA. Lepas tu lepak-lepak sampai diorang masuk depature, baru Lin balik.” Jawab Syazlin.

“Amboi. Dah la masa diorang kahwin Lin yang sibuk mengalahkan mak pengantin, sekarang nak pergi honeymoon pun Lin jugak ker kena jadi driver diorang.” Sindir Husna.

“Alah Kak Husna ni. Apa salahnya. Diorang minta tolong. Lin ikhlas.” Tutur Syazlin.

“Kagum betul Kak Husna dengan Lin ni tau. Masih boleh tabah lagi. Bukan setakat tolong jadi telangkai, siap tolong uruskan majlis kahwin sekali sekarang ni jadi driver pulak.” Balas Husna dengan rasa penuh kagum.

Syazlin hanya ketawa mendengar mulut Kak Husna potpetpotpet di hujung talian. “Kak Na juga pernah cakap pada Lin dulu kan, positifkan diri. Positifkan minda. Buang semua aura negatif. Lin buat macam yang Kak Na suruh tu la.” Jelas Syazlin.

“Memanglah. Tapi Kak Na peliklah, pasal Faris dan Farissa boleh pulak Lin positifkan diri. Pasal Babah dengan Che Yam dah bertahun pun masih macam tu juga.” Ujar Husna.

Syazlin mengeluh perlahan. Dia bangun dari baring. Bantal diambil dan diletakkan di atas peha. “Kak Na tak bolehlah nak sama kan hal Faris dan Farissa dengan hal Babah dan Che Yam tu. Kategori berbeza tahu tak.” Ujarnya senada.

“Apa yang Lin fikir sampai Lin boleh redha dan berlapang dada terima kenyataan yang Faris tu bukan jodoh Lin.” Soal Husna terus fokus pada hal Faris dan Farissa.

“Betul nak tahu ni?” Nada suara Syazlin mula berubah nakal.

“Betul lah. Cerita la pada Kak Na.” Ujar Husna tidak sabar.

“Lin cuma fikir satu jer. Prince charming Lin bukan Faris tapi adalah seorang lelaki setampan Fahrin Ahmad yang tiga puluh kali ganda lebih handsome dari Faris.” Tutur Syazlin seraya terus melepaskan ketawa besar. Ketawanya makin menjadi-jadi apabila telinganya cekap menangkap bunyi Kak Husna yang sedang menggetus geram.

“Amboi tingginya angan-angan kau ni Lin.” Ujar Husna bengang.

Syazlin terus ketawa.

“Okeylah Lin. Abang Lin dah bising tu cakap telefon lama sangat. Nanti bil tinggi katanya.” Kata Husna apabila mendengar suara halus suaminya membebel dari dalam bilik.

“Yerlah. Kirim salam dekat Abang yer. Assalamualaikum.” Balas Syazlin.

Sebaik menamatkan perbualan telefon dengan Kak Husna, Syazlin merebahkan semula badan ke atas katil. Tanpa perlu menunggu masa yang lama, dia terus tertidur dan hanya tersedar apabila mendengar azan Zohor berkumandang.