Thursday, September 4, 2014

URUSAN HATI BAB 2

Bab 2


Syazlin bangun tidur dengan perasaan yang senang dan berlapang dada. Terasa segar apabila dapat tidur secukupnya. Mata mengerling pada jam loceng di atas meja sisi katil. Sudah pukul 6.30 pagi. Syazlin terus bangun dari baring. Tuala pada penyangkut dicapai sebelum meloloskan diri di dalam bilik air. Subuh-subuh yang sejuk begini dia cuma nak gosok gigi dan cuci muka sahaja sebelum mengambil wuduk untuk bersolat subuh. Lagipun hari ni cuti. Tak bestlah mandi awal-awal.

Selepas bersolat Subuh, dia rebahkan kembali badan ke atas tilam empuk. Sedapnya kalau dapat menyambung tidur kembali. Fikir Syazlin. Dia ingkar nasihat mama yang melarangnya tidur selepas solat Subuh. Kata mama, rezeki tak masuk. Tak kisahlah. Mata masih mengantuk. Malam tadi dia balik ke rumah hampir pukul 2.00 pagi selepas menghantar Faris dan Farissa ke KLIA. Selepas hampir dua bulan berkahwin, pasangan pengantin baru itu mahu berbulan madu ke seluruh Eropah.

Syazlin sudah lama terima kenyataan yang dia dan Faris tidak ada jodoh. Berurusan dengan hati tidak susah. Apatah lagi untuk mengajar hati menerima takdir tuhan. Dia cuma perlu positif sahaja. Bak kata Kak Husna, buang jauh-jauh aura negatif yang membelenggu diri. Faris dan Farissa pun bukan orang lain. Sahabat dia juga. Mungkin Faris sememangnya hanya ditakdirkan untuk menjadi sahabat dia sahaja. Sahabat sampai bila-bila.

Dia masih ingat lagi bagaimana hatinya ini bagai dicarik-carik apabila mendapat tahu Faris dan Farissa menjalinkan hubungan perasaan tanpa pengetahuan dia. Masa tu juga dia rasa menyesal gila kerana memperkenalkan Farissa kepada Faris. Dengan hanya pertemuan pertama, Faris telah meletakkan Farissa di tempat paling istimewa dalam hatinya, sedangkan dia sudah mengenali Faris sejak dia berusia tujuh tahun lagi. Faris tak pernah tahu yang Syazlin dah usha Faris sejak dari darjah satu. Serius. Syazlin suka Faris sejak dia darjah satu!

Sudah tertulis di Luth Mahfuz jodoh Faris dengan Farissa. Tengok. Nama mereka pun dekat-dekat. Faris-Farissa. Walaupun jauh di sudut hati ini ada sedikit perasaan yang terbuku, namun Syazlin tetap juga gembira apabila Faris dan Farissa selamat disatukan sebagai suami isteri. Sebagai seorang yang bergelar sahabat, dia restu hubungan mereka berdua. Lagipun, dia orang yang bertanggungjawab menyatukan dua hati itu. Alah…. Tak ada undang-undang dalam dunia ni apabila kita suka dekat orang tu, orang tu wajib suka pada kita semula. Tak ada.

Nasib baiklah selama bersahabat dengan Faris, Faris tak pernah tahu yang dia ada menyimpan perasaan pada lelaki itu. Farissa pun tidak pernah tahu tentang hal itu. Syazlin hanya mampu suka Faris dalam diam. Tidak mengapalah duhai hati, kalau bukan dengan Faris pun, pasti ada lelaki lain yang telah Allah ciptakan untuk dia, Nurul Syazlin Abdul Rahman. Manusia memang diciptakan berpasang-pasangan. Tulang rusuk kiri ini pasti ada pemiliknya. Cehwahhh!!!

Bunyi telefon bimbit yang tiba-tiba berdering buat Syazlin tersentak. Dia pandang ke skrin telefon bimbit. Kak Husna. Kacau sangatlah Kak Husna ni. Orang baru nak melankolik-melankolik Cik Kak sorang ni datang menganggu pula. Desis Syazlin sebelum jari melarik lembut pada skrin sentuh Note 3 di tangan.

“Assalamualaikum.” Syazlin memberi salam dengan suara yang malas.

“Waalaikumusalam. Eh… Baru bangun tidur Lin?” Husna bertanya.

Syazlin berdehem. Membetulkan kotak suara. “Mana ada. Tadi dah bangun, solat semua. Ni nak sambung tidur balik.” Ujar Syazlin malas.

“Hai…Sejak bila pulak Lin pandai ingkar nasihat mama ni. Setahu Kak Na la, Lin ni bukan jenis suka tidur lepas bangun subuh.” Ujar Husna.

“Lin mengantuk. Semalam balik lewat la. Hantar Faris dengan Farissa ke KLIA. Lepas tu lepak-lepak sampai diorang masuk depature, baru Lin balik.” Jawab Syazlin.

“Amboi. Dah la masa diorang kahwin Lin yang sibuk mengalahkan mak pengantin, sekarang nak pergi honeymoon pun Lin jugak ker kena jadi driver diorang.” Sindir Husna.

“Alah Kak Husna ni. Apa salahnya. Diorang minta tolong. Lin ikhlas.” Tutur Syazlin.

“Kagum betul Kak Husna dengan Lin ni tau. Masih boleh tabah lagi. Bukan setakat tolong jadi telangkai, siap tolong uruskan majlis kahwin sekali sekarang ni jadi driver pulak.” Balas Husna dengan rasa penuh kagum.

Syazlin hanya ketawa mendengar mulut Kak Husna potpetpotpet di hujung talian. “Kak Na juga pernah cakap pada Lin dulu kan, positifkan diri. Positifkan minda. Buang semua aura negatif. Lin buat macam yang Kak Na suruh tu la.” Jelas Syazlin.

“Memanglah. Tapi Kak Na peliklah, pasal Faris dan Farissa boleh pulak Lin positifkan diri. Pasal Babah dengan Che Yam dah bertahun pun masih macam tu juga.” Ujar Husna.

Syazlin mengeluh perlahan. Dia bangun dari baring. Bantal diambil dan diletakkan di atas peha. “Kak Na tak bolehlah nak sama kan hal Faris dan Farissa dengan hal Babah dan Che Yam tu. Kategori berbeza tahu tak.” Ujarnya senada.

“Apa yang Lin fikir sampai Lin boleh redha dan berlapang dada terima kenyataan yang Faris tu bukan jodoh Lin.” Soal Husna terus fokus pada hal Faris dan Farissa.

“Betul nak tahu ni?” Nada suara Syazlin mula berubah nakal.

“Betul lah. Cerita la pada Kak Na.” Ujar Husna tidak sabar.

“Lin cuma fikir satu jer. Prince charming Lin bukan Faris tapi adalah seorang lelaki setampan Fahrin Ahmad yang tiga puluh kali ganda lebih handsome dari Faris.” Tutur Syazlin seraya terus melepaskan ketawa besar. Ketawanya makin menjadi-jadi apabila telinganya cekap menangkap bunyi Kak Husna yang sedang menggetus geram.

“Amboi tingginya angan-angan kau ni Lin.” Ujar Husna bengang.

Syazlin terus ketawa.

“Okeylah Lin. Abang Lin dah bising tu cakap telefon lama sangat. Nanti bil tinggi katanya.” Kata Husna apabila mendengar suara halus suaminya membebel dari dalam bilik.

“Yerlah. Kirim salam dekat Abang yer. Assalamualaikum.” Balas Syazlin.

Sebaik menamatkan perbualan telefon dengan Kak Husna, Syazlin merebahkan semula badan ke atas katil. Tanpa perlu menunggu masa yang lama, dia terus tertidur dan hanya tersedar apabila mendengar azan Zohor berkumandang.

1 comment:

Unknown said...

hai lah.. lin siap leh jadik drebar lagi pi antaq pengantin nk pi honeymoon...payah nyer nk jumpa sahabat cam lin nih...mmg tabik lh kat lin...best dik writer...nk lg..