Tuesday, September 9, 2014

URUSAN HATI BAB 4

Bab 4


Syazlin pandang kiri. Couple. Syazlin pandang kanan. Couple lagi. Tengkuk berpaling ke belakang. Owh…Semua orang datang dengan pasangan hari ini. Dah macam 14 Februari pulak. Couple ada di merata-rata. Dia seorang sahaja yang tercongok seorang diri sementara menanti makanan yang dipesan tiba. Kalau bukan kerana lapar dan malas nak masak di rumah dia tak kuasa nak singgah menapau makanan di restoran ini.

Syazlin keluar Samsung tab dari dalam totebag. Dalam keadaan keseorangan begini dia perlu buat-buat sibuk. Bila buat-buat sibuk begini tak adalah nampak macam loser sangat. Dah la dia seorang sahaja yang ganjil dalam restoran ni. Dari tadi dia perasan ada beberapa pasang mata memandang ke arahnya.

“Boleh saya duduk?”

Syazlin yang sibuk melayan Facebook mengangkat kepala untuk memandang wajah yang menyapa. “Afzan.” Hatinya berkata. Gulp. Dia telan air liur sebelum mata mengitari seluruh kawasan restoran. Memang tiada tempat kosong.

Perlahan Syazlin mengangguk kepala sambil buat muka.

Afzan tidak peduli dengan muka kerek Syazlin itu. Dia terus menarik kerusi di hadapan Syazlin dan terus melabuhkan punggungnya di situ. Tangan mengetuk-ngetuk meja sementara menanti adik waiter datang mengambil pesanan.

Syazlin buat-buat sibuk. Tangannya menari-nari di atas skrin tab, tanpa mempedulikan kehadiran Afzan. Sampai sekarang dia masih bengang dengan jiran yang dah tak berapa nak baru itu. Macam tak boleh blah betul bila sehingga ke hari ini, Afzan langsung tak tahu nak minta maaf atas kesalahannya dahulu. Dah sebulan lebih berlalu!

Syazlin terus menyibukkan diri membalas komen-komen di dalam Facebook. Konon-konon buat tidak hairan pada pemandangan di hadapannya.

“Dik lambat lagi ker nasi goreng chicken chop akak dik. Lama dah tunggu ni.” Syazlin menyoal apabila adik waiter datang mahu mengambil pesanan dari Afzan.

“Lambat lagilah kak. Orang ramai ni.” Balas adik waiter.

Syazlin mengeluh lemah.

“Order bang?” Adik waiter bertanya sambil menyerahkan kad menu kepada pelanggan yang baru tiba itu.

Afzan membelek kad menu yang sudah hampir lunyai itu. Matanya turun naik atas bawah membaca senarai menu yang sudah hampir pudar warna tulisannnya.

“Bagi nasi goreng chicken chop jugaklah. Bungkus ya.” Ujarnya seraya menyerah kembali kad menu itu.

Syazlin sengaja memasang telinga. Dari butir bicara lelaki ini sewaktu memberi pesanan kepada adik waiter yang bertugas, lelaki ini juga mahu membungkus menu makanan yang sama seperti dia. Order sama menu tu mesti sebab nak cepat siap la tuh!

Syazlin masih menanti makanan yang dipesan siap. Sesekali dia curi-curi pandang pada lelaki itu. Sepertimana apa yang dia sedang lakukan, lelaki ini juga begitu. Buat-buat sibuk main game dalam telefon bimbitnya. Lelaki ini memang ada aura yang boleh buat mata Syazlin tak habis-habis nak mencuri pandang ke arahnya sahaja. Mungkin sebab hidung yang mancung tu kut. Serius. Hidung mamat ni macam perfect sangat. Perfect yang original, bukan dibuat-buat. Lagi satu, senyuman. Serius. Masa dia nampak mamat ni senyum pada adik waiter yang comel tadi, memang manis tahap kena kencing manis.

Time-time ni juga, kepala Syazlin mula berfikir benda-benda di luar kotak. Kalaulah lelaki ini lebih bersifat gentleman, pasti dia akan pertimbangkan idea Cikgu Borhan yang konon-konon mahu kenen-kenenkan dia dengan mamat ni. Owhh….Tidak. Idea Cikgu Borhan tak boleh diterima langsung. Dia bukan desperado nak cari suami sampai dengan jiran sebelah rumah pun jadi. Okey, paling tidak pun dia akan hulur salam perkenalan kepada jiran baharu. Itu lebih sesuai. Kan.

Wajah Syazlin rasa beku bila Afzan memberi segaris senyuman saat dia sedang lagut memerhati lelaki itu. Apa-apa pun konsepnya di sini reputasi kena jaga. Jangan sebab hanya segaris senyuman manis itu dia jadi berlembut hati dan boleh melupakan kesalahan lelaki itu. Minta maaf dulu, baru dia akan okey!

Syazlin balas senyuman Afzan itu dengan muka jengkel.

Afzan hanya tenang sahaja. Dia cuma ketawa kecil sambil menggeleng-geleng kepala. Macam-macam betul perangai jiran yang seorang ini.

Syazlin menjeling tajam apabila mendengar suara halus manusia di hadapannya ini sedang ketawa. Tanpa ambil peduli pada ketawa sinis itu, dia pandang sekilas pada jam dipergelangan tangan. Ya Allah. Lambatnya nak siap. Nasi goreng chicken chop jer kot. Akhirnya dia tutup tab dan dimasukkan kembali ke dalam tote bag. Sambil menongkat dagu dia perhati keadaan sekeliling. Bilalah dia ada peluang macam diorang ni. Dari dulu sampai sekarang, kalau masuk soal cinta, dia selalu tidak bernasib baik.

Syazlin tersentak apabila mendengar telefon bimbitnya menjerit. Ada Whatssap dari Farissa. Syazlin terus membuka aplikasi Whatssap untuk melihat apa yang dihantar oleh Farissa. Dahinya berkerut. Euwww…Spontan mulut mengeluarkan bunyi itu. Dah jadi trend orang-orang zaman sekarang kan, taka da silu langsung berkongsi gambar pregnancy test yang ada double line tu pada orang lain. Benda alah tu dah kena air kencing kot!

Meskipun Syazlin redha dengan pengakhiran kisah dia dan Faris, tapi kadang-kadang timbul rasa iri bila tengok bahagia yang sedang dikecapi oleh Farissa selepas berkahwin dengan Faris. Ah…Masa deorang tengah masyuk bercinta dulu pun dia terasa iri juga. Cuma dia ni jenis yang pandai cover jer agar tak jelas di muka.

Dengan rasa malas Syazlin taip perkataan TAHNIAH. Sepatah jer. Kemudian apabila dia mendengar lagi bunyi Whatssap masuk yang sudah tentunya dari Farissa lagi, dia sekadar buat tidak tahu. Nanti akan berjela-jela pula cerita Farissa tentang kehamilan pertamanya itu.

Sekali lagi Syazlin tersentak apabila telefon bimbitnya kembali menjerit. Panggilan dari mama. Syazlin bangun dari duduk. Dia pergi ke tempat yang tenang sedikit untuk menjawab panggilan mama itu. Keadaan di dalam restoran ini agak bising dengan suara-suara riuh pelanggan yang sedang menonton perlawanan Piala Malaysia pada skrin projector yang dipasang di luar restoran.

“Assalamualaikum mama.” Syazlin memberi salam.

“Waalaikummusalam. Lin dekat mana ni. Riuh jer.” Che Ros bertanya.

“Lin dekat kedai makan ni. Tapau.” Jawab Syazlin.

“Cuti-cuti pun tak masak Lin? Apa nak jadi ni Lin. Kasihanlah laki Lin nanti. Asyik kena makan kedai ajer. Dah bini tak reti nak masak.” Che Ros dah mula membebel di hujung talian.

Syazlin mengeluh. Che Ros kalau sudah dapat membebel memang cair tahi telinga. “Mama, Lin belum nak kahwin lagi mama. Nanti kalau Lin nak kahwin, Lin belajar la masak. Tak pun Lin cari suami yang pandai masak. Senang.” Dia menjawab.

“Ada jer nak menjawab kan Lin ni.” Getus Che Ros.

“Mama nak apa telefon Lin malam-malam ni.” Syazlin bertanya.

“Takkan mama nak telefon anak mama sendiri pun tak boleh?” Suara Che Ros bertukar sarcastic.

Syazlin ketawa kecil. Dia dengan mama memang begitu. Kalau sembang memang macam kawan-kawan. Mungkin kerana dia terlalu rapat dengan mama. Kawan sejati dia hanya mama seorang. Mama selalu ada untuk dia bila-bila masa. Syazlin tak mampu nak bayangkan macam manalah kehidupannya andai satu hari nanti mama tiada lagi.

“Mama mesti telefon Lin ni sebab nak tanya bila Lin nak balik kampung kan? Sorry ya mama. Dua tiga minggu ni Lin sibuk sangat ni. Insyaallah minggu depan kalau Lin dah tak sibuk Lin balik kampung ya.” Balas Syazlin yang sudah dapat meneka tujuan mama menelefonnya malam ini. Gelabah la mama bila anak gadis kesayangan mama dah sebulan lebih tak balik kampung. Biasanya paling lama pun, dua minggu sekali Syazlin akan pulang ke kampung untuk melawat mama.

“Anak mama ni buzy mengalahkan YB ajer.” Sindir Che Ros.

Syazlin mengekek ketawa. “Minggu depan yer mama. Lepas ajer habis kerja hari Jumaat tu Lin terus balik kampung. Mama jangan risau.” Ujar Syazlin yang turut sama merindui mama. Rindu nak tidur sekatil dengan mama sambil main garu-garu.

“Eloklah tu kalau Lin balik minggu depan. Fasha tu dah berapa kali datang sini duk tanyakan Lin. Lin, kalau Fasha tu mesej ker, email ker, telefon ker, jawablah. Janganlah biar senyap macam tu ajer. Fasha tu adik Lin tau. Jangan nak kekwat tak kena tempat.”

Syazlin mengetap bibir bila mama mula membangkitkan hal-hal yang pada dia tidak penting itu. Fasha memang tiada kepentingan dalam kehidupan Syazlin. Geram pula dengan Fasha. Berani betul budak sorang ni mengadu domba dengan mama kan.

“Insyaallah mama. Mama okeylah mama. Lin rasa makanan Lin dah siap tu. Nanti-nanti kita sambung lagi lah yer.” Syazlin mahu tamatkan perbualan sebelum mama membangkitkan hal-hal lain pula.

“YErlah. Jaga diri. Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam. I love you mama.”

Sebaik menamatkan panggilan dengan mama, Syazlin kembali semula ke mejanya semula. Afzan sudah tiada di situ. Meja itu juga sudah diduduki oleh pelanggan lain. Pasti nasi goreng chicken chop nya sudah siap. Fikir Syazlin.

Segera dia ke kaunter untuk mengambil nasi goreng chicken chop yang dipesan.

“Adik, nasi goreng chicken chop akak dah siap?” Syazlin bertanya.

“Nasi goreng chicken chop?” Adik waiter bertanya kembali.

Air muka Syazlin berubah bila adik waiter balas dengan soalan balik. “Yerlah. Kan akak order nasi goreng chicken chop tadi. Dah siap ker belum?” Balas Syazlin cuba control nada suara.

“Abang yang duduk dengan akak tadi cakap akak cancel. Nak balik cepat sebab sakit perut.” Ujar adik waiter dengan muka serba salah.

“Hahh…” Biji mata Syazlin membuntang.

“Habis tu nasi goreng chicken chop?” Syazlin bertanya lagi.

“Saya bagi pada abang tu. Dia pun order menu yang sama juga. Maaf kak. Saya tak tahu akak sebenarnya ada dekat sini lagi. Saya tertipu kak.”

Syazlin tarik nafas dalam-dalam. Tak sampai hati nak bising-bising pada adik waiter yang tengah buat muka kasihan di depannya ini.

“Tak apalah dik. Kali ni akak betul-betul cancel la nasi goreng chicken chop akak tu.” Tutur Syazlin dengan suara yang dibuat-buat ramah dan senyum sinis dibibir. Terkulat-kulat adik waiter memandangnya.

“Kurang asam punya lelaki. Dah lah bulan lepas mandikan aku dengan air lopak, hari ni merompak nasi goreng chicken chop aku pulak!” Getus Syazlin sewaktu memanjangkan langkah menuju ke 7-Eleven yang terletak selang tiga lot kedai dari restoran tadi.

Malam ini Syazlin cuma mengisi perut dengan Maggie Cup sahaja. Dua kali tau lelaki ini buat dia kempunan. Pertama kali dulu, kempunankan roti canai Saif Ali Khan. Hari ini, kempunan nak makan nasi goreng chicken chop. Huhhh…..

1 comment:

Anonymous said...

wah..ada projek baru rupanya..bila nak keluar ni??
-chah husain-