Monday, September 15, 2014

Yes Ma'am : Part 2 : Bab 2

Bab 2


Ilham pandang bingkai gambar di atas meja. Walaupun sudah tidak ada apa-apa ikatan dengan Aryana, gambar Aryana masih lagi berada di atas meja. Seperti biasa, gambar bekas isteri dan anak-anaknya selalu menjadi inspirasinya ketika bekerja. Perlahan keluhan dilepaskan. Lepas satu-satu masalah yang datang. Sebaik sahaja selesai kes penceraiannya di mahkamah selesai, Suri pula berhenti kerja. Sudahnya, baik di rumah mahu pun di pejabat kelam kabut hidup menguruskan diri dan kerja.

Ilham tersentak apabila pintu pejabatnya ditolak kuat dari luar. Sebaik terpacul wajah Hamidah dari balik pintu, dia terus mengeluh perlahan.

“Ya Kak Midah.” Dia menjawab lemah.

“Encik Ilham, ni buat apa lagi dekat sini. Encik Ilham tahu tak Encik Ilham ada meeting dengan Datuk sekarang ni. Datuk dah bising tu….” Hamidah membebel.

Automatik Ilham yang lemah menjadi cergas semula. “Ya ker? Kenapa Kak Midah tak ingatkan saya.” Tuturnya sedikit gelabah. Tie yang longgar dikemaskan. Kot pada penyangkut dicapai dan terus dipakai.

“Encik Ilham ni kan lepas lunch tadi Kak Midah dah ingatkan Encik Ilham. Encik Ilham cepatlah Encik Ilham. ” Hamidah terus mendesak. Dia juga tidak tentu arah apabila melihat mood Datuk Maarof yang tidak berapa nak okey tadi.

“Ya Kak Midah. Saya tengah mencari fail untuk mesyuarat ni. Kat mana pulak la saya letak.” Balas Ilham sambil tangan mencari-cari file mesyuarat di dalam tray ‘masuk’.

“Ya Allah Encik Ilham ni dah kenapa? Yang ini bukan fail mesyuarat ker.” Balas Hamidah terus telunjuknya terarah pada fail mesyuarat yang terletak betul-betul dihadapan mata Ilham.

“Kak Midah ni kenapa tak bagi tahu saya ini fail mesyuarat.” Ilham merengus. Fail mesyuarat itu segera diambil.

“Cepatlah Encik Ilham. Tak kuasalah Kak Midah nak dengar Datuk bising-bising. Kak Midah ni dah tua. Kalau hari-hari pressure macam ni Kak Midah yang sihat walafiat ni boleh kena penyakit darah tinggi tau. Nanti tak pasal-pasal kena ambil VSS pulak.” Hamidah sambung membebel. Haih… Sejak Encik Ilham bercerai dengan Aryana bukan Encik Ilham sahaja yang tak tentu arah. Dengan dia pun tak tentu arah sekali. Entah apa hal time-time ni pulak Suri berhenti kerja. Tak pasal-pasal dia kena jadi PA kepada dua orang bos balik.

Ilham buat tidak tahu. Tanpa mempedulikan Hamidah yang masih lagi belum berhenti membebel, dia terus keluar dari pejabatnya dan segera menuju ke bilik mesyuarat.





“Am, masuk bilik abah. Ada benda yang abah nak cakapkan nih…” Arah Datuk Maarof sebelum keluar dari bilik mesyuarat sebaik mesyuarat selesai. Arahan Datuk Maarof kedengaran tegas itu membuatkan ahli-ahli mesyuarat yang masih tinggal di dalam ruang ini saling berpandangan sesama sendiri. Ada ketika pandangan mereka jatuh kepada Ilham yang terkemut-kemut menelan air liur.

“Family discussion.” Beritahu Ilham tanpa diminta. Staff-staff lain yang mendengar kata-kata spontan Ilham itu sekadar senyum sumbing dan mengangguk.

Walaupun sedikit gusar Ilham cuba berlagak selamba di hadapan staff-staff yang lain. Tanpa berlengah dia terus menuju ke pejabat abah.

“Kenapa abah?” Ilham menyoal pura-pura tidak tahu sebaik sahaja memasuki ruang pejabat Datuk Maarof. Tangan menarik kerusi keluar. Dia duduk betul-betul bertentangan dengan abah. Pandangan mata abah yang mencerun itu macam menikam ke dalam anak matanya. Ilham bawa pandangan ke tempat lain sambil jari mengetuk-ngetuk meja.

“Kenapa kamu tanya? Am, apa nak jadi dengan kamu nih. Abah tengok dua tiga menjak ni asyik hilang fokus ajer. Kerja cincai. Macam mesyuarat tadi, kamu boleh mengelamun panjang. Ilham, jangan sampai sebab sikap kamu yang macam ni abah hilang projek ya Ilham.” Hambur Datuk Maarof sekali lafaz.

“Abah ni tanya macam tak faham. Abah tahu kan Am sedang mengalami masa-masa sukar sekarang nih.” Ilham cuba meraih simpati.

“Banyaklah kamu punya masa-masa sukar.” Suara Datuk Maarof naik lagi. “Kesukaran tu datang sebab kamu yang cari. Bukan mama kamu ajer yang geram dengan kamu tau Ilham, abah ni pun kecik besar kecik besar tengok perangai kamu nih. Aryana tu sebaik-baik isteri senang-senang kamu lafazkan talak.” Datuk Maarof mengungkit.

Ilham berdecit. “Kenapa ya abah dengan mama selalu ajer menangkan Yana? Berapa kali Am nak cakap, Am tak salah. Yana provoke Am sampai Am terlepas cakap. Am pun taknak lah abah jadi macam nih.” Luah Ilham kesal dengan sikap orang tuanya yang melebih-lebihkan Aryana. Abah dan mama langsung tidak berpihak kepadanya. Amani pun sama. Semua orang menyalahkan dia. Yang nampak okey sikit pun cuma Mak Ngah ajer. Itu pun Mak Ngah tak boleh nak tolong apa pun. Tolong bagi nasihat ajerlah yang mampu.

“Habis tu kenapa masa dalam tempoh idah kamu taknak rujuk. Kenapa tetap nak juga teruskan penceraian.” Selar Datuk Maarof.

“Bukan Am taknak abah, tapi Yana. Yana tu yang dah taknak dekat Am. Takkan Am nak melutut abah. Am pun kena jaga reputasi Am sebagai lelaki abah. Am pun ada maruah jugak abah. Dah orang taknak, takkan Am nak terhegeh-hegeh.” Balas Ilham.

“Sebab nak jaga reputasi sangatlah tu yang sampai jadi macam ni. Lintang pukang. Haru biru. Am tahu tak sebenarnya Am tu perlukan Yana. Ya Allah Am. Tengok ni. Dengan baju kedut. Serabai sana sini. Am tahu tak Am tu dah jatuhkan kredibilati Am sebagai CEO dekat sini tau. Kalau dah macam ni gayanya abah kena fikir seratus kali kut Am untuk serahkan syarikat abah ni pada Am.” Luah Datuk Maarof.

Dahi Ilham berkerut mendengar luahan abahnya. Dia lihat kemeja yang dipakai. “Eh…. Abah ni. Dah jauh sangat melencongnya ni. Apa kena mengena baju kedut dengan nak serahkan syarikat. Am tak sempat nak hantar dobilah abah. Ni pun dari ampaian terus pakai. Janganlah sebab baju berkedut satu hari abah dah ubah fikiran abah tu. Abah sendiri nampak kan macam mana seriusnya Am dengan kerja Am. Performance Am dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dekat sini pun bagus kan. Abah dengan ahli lembaga pengarah yang lain pun selalu puji kerja Am sebelum ni.” Tutur Ilham.

Biji mata Datuk Maarof membuntang apabila mendengar ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Ilham. “Itu sebelum ni. Yes. Memang performance Am mantap. Tapi look at yourself man. Prestasi menurun. Boleh lingkup tau tak syarikat abah ni kalau abah serahkan pada Am dalam keadaan diri Am yang macam ni.” Selar Datuk Maarof.

Ilham garu belakang telinga. Dia mengeluh perlahan. “Abah. Janganlah macam ni abah. Janji mesti ditepati. Abah, Am janji abah. Ini cuma sementara ajer. Nanti-nanti Am okeylah.” Balas Ilham dengan penuh semangat. Dia tidak mahu menjadi lelaki yang loser. Sudahlah kecundang dalam perkahwinan, kalau mengurus syarikat abah pun dia tidak mampu buat malu diri sahaja. Ilham tanam azam. Tempoh berkabung sudah habis!

“Nanti…nanti…” Datuk Maarof mengajuk. “Nanti..nanti kamu tu bila? Sudahlah Am. Pergilah pujuk Aryana balik. Am masih ada peluang untuk berkahwin balik dengan Aryana.” Datuk Maarof cuba memujuk.

Semangat yang tadinya berkobar-kobar terhakis sedikit demi sedikit apabila mendengar kata-kata abah yang langsung tidak memberi motivasi dalam konteks kerja untuk dia. Balik-balik soal Aryana juga yang diungkit. Ilham mengeluh lemah lagi. “Jodoh kami setakat ni ajer abah…” Ilham seolah mengalah. Lelah mahu memujuk Aryana yang keras kepala dan langsung tak boleh nak dibawa berbincang. Marah Aryana berlarutan sampai sekarang tak pernah kurang.

Datuk Maarof akhirnya melepaskan keluhan lemah juga sama seperti Ilham.

“Ni kamu tahu tak? Yana dah dekat seminggu keluar mencari kerja.” Beritahu Datuk Maarof tiba-tiba.

Ilham yang bersandar malas terus duduk tegak dengan badan rapat ke meja. “Cari kerja? Habis Baby?” Soalnya bertalu.

“Tinggal dengan mama.” Selamba Datuk Maarof menjawab. Dia sudah malas mahu melayan Ilham. Mata kembali mengadap skrin Macbook. Emel yang kebetulan baru masuk ke dalam inbox dibaca.

“Apa lagi yang Yana ni tak puas hati. Tak cukup ker duit belanja yang Am masuk bulan-bulan.” Ilham menggetus geram. Inilah benda yang paling dia tak berkenan dengan Aryana. Ada sahaja idea mencari jalan untuk bagi dia bengang.

Datuk Maarof cuma tersenyum kecil melihat muka Ilham yang semakin berkerut. “Haih..marah nampak. Cemburu ker.” Dia bersuara sinis tanpa memandang Ilham.

Ilham mengerling ke arah Datuk Maarof yang sedang tersenyum-senyum memerli sambil berpura-pura membaca emel. “Apa abah nih…” Ujarnya meleret.

“Abah mula-mula pun tak setuju jugak, tapi bila fikir-fikir balik biarlah. Lagipun takkan dia nak duduk rumah meratap sebab kena tinggal dengan kamu. Lebih baik dia pergi cari kerja dekat luar tu. Untung-untung boleh jumpa lelaki yang lebih baik dari kamu.” Datuk Maarof sengaja membakar suasana.

“Fuhh…” Ilham merengus kuat. Menusuk kalbunya kata-kata abah ini.

Ilham yang sudah hangus terbakar terus bangkit dari duduk dan keluar. Dia perlukan ruang untuk menyejukan hatinya.







Terima kasih buat yang sudi jatuhkan komen :)

5 comments:

Rasinah said...

Panas hati nampak

Eijan said...

Ada yg salah guna perkataan sepatutnya guna pressure bukan pleasure...

Citer ni dr part 1 tp akak masih blur mcmana tetiba Ayana Dan Ilham ni blh bercerai....kes apa ye?

areila sahimi said...

Hikhikhik....tunggu bab seterusnya ek. Tq komen. ...

areila sahimi said...

Ok kak iejan dah betuikan. Tq atas permerhatian yg tajam.

Nak tau mcm mana leh berpisah kene habiskan part 1 dulu.....hik3

kaka said...

Akak rasa dh hbs baca part 1 smpi 10 ke ada bab2 yg kami tak nmpk atau msh blm di n3 kn.